• Tidak ada hasil yang ditemukan

Rajah 4.5 : Tiang elektrik yang perlu dipindahkan

4.5 Analisis Langkah

Bahagian ini menerangkan hasil analisis langkah yang diambil oleh responden bagi mengatasi cabaran yang dihadapi dalam projek LPB di Sabah seperti yang telah dibincangkan diatas. Analisis terhadap langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi cabaran adalah berdasarkan maklumat yang disampaikan oleh responden sewaktu temubual dijalankan.

4.5.1 Analisi Langkah (Peringkat Tender)

Langkah yang diambil untuk mengatasi cabaran akan dibincangkan dalam peringkat ini mengikut susunan cabaran dalam Analisis Cabaran (Peringkat Tender).

4.5.1.1 Perancangan Program Kerja Kontraktor [01]

Seperti yang dibincangkan dalam analisis cabaran, responden R1 iaitu BHP mengalami masalah untuk menerima dan menilai program kerja kontraktor kerana ia tidak menepati syarat yang ditetapkan disebabkan program kerja terlalu mudah dan tidak mengambil kira faktor “Critical Path Method. Responden R1 menyatakan langkah yang diambil oleh pihak pengurusan syarikat BHP ialah terpaksa memberi kelonggaran iaitu dengan memberi peluang kepada kontraktor kerja yang memasuki tender untuk menghantar semula program kerja yang lengkap dan menepati syarat. Tempoh masa selama satu (1) minggu telah diberikan kepada kontraktor untuk menghantar program kerja yang baru.

Bagi responden R2 pula, kontraktor menghadapi masalah untuk membuat program kerja yang komprehensif. Tambahan pula, kontraktor tidak mempunyai staf atau pekerja yang berkemahiran untuk membuat program kerja seperti yang diperlukan. Program kerja yang dibuat ialah dengan menggunakan perisian “Mircosoft Excel” sahaja. Oleh itu, menurut responden R2, langkah yang diambil untuk mengatasi cabaran ini ialah kontraktor mencari dan mengupah orang yang mempunyai kelayakan dan kemahiran untuk membuat program kerja seperti yang diperlukan dan menghantarnya dalam masa seminggu. Di samping itu, kontraktor turut menghantar staf untuk menghadiri kursus pengurusan program kerja perisian “Primavera” dan “Microsoft Project”.

4.5.1.2 Pengisian Tender [02]

Responden R2 menyatakan terdapat beberapa langkah yang diambil oleh kontraktor untuk mengatasi cabaran ini. Antara langkah-langkah yang diambil adalah seperti berikut :-

iii. Mengenal pasti dan menyenaraikan semua jawatan yang diperlukan dalam pelaksanaan projek LPB seperti yang dikehendaki oleh pihak klien.

Kontraktor memulakan dengan mengenal pasti dan menyenaraikan semua jawatan yang diperlukan dalam projek itu. Penyenaraian ini dilakukan untuk dijadikan sebagai senarai semak (checklist).

iv. Mencari dan merekrut pekerja-pekerja profesional melalui surat khabar dan rangkaian syarikat.

Seterusnya, kontraktor mencari dan merekrut pekerja yang diperlukan melalui pengiklanan dalam surat khabar dan dengan menggunakan rangkaian syarikat. Rangkaian syarikat merujuk kepada kenalan syarikat-syarikat kontraktor yang lain, yang mana kontraktor menggunakan platform ini untuk mencari orang dan akan disyorkan oleh syarikat kontraktor yang lain

v. Merangka organisasi syarikat untuk pembahagian semula tugas dan peranan disebabkan penambahan staf.

Setelah kontraktor berjaya mendapatkan dan memenuhi kesemua jawatan yang diperlukan, kontraktor merangka semula carta organisasi syarikat untuk tujuan pembahagian semula tugas dan peranan disebabkan penambahan staf.

vi. Mengisi maklumat yang diperlukan dalam dokumen tender.

Langkah yang seterusnya ialah kontraktor dapat mengisi tender dokumen kerana kesemua maklumat yang diperlukan telah boleh diisi.

4.5.1.3 Penyelarasan Keseragaman [03]

Responden R1 mengatakan langkah yang diambil oleh Jabatan Kejuruteraan dalam syarikat BHP untuk mengatasi cabaran penyelarasan dari segi rekabentuk ialah

menyediakan rekabentuk jalan dan jambatan yang sama dalam semua pakej. Keseragaman dalam saiz dan rekabentuk membolehkan penyediaan satu spesifikasi piawaian seragam apabila memesan bahan binaan daripada pembekal bahan binaan terutamanya untuk bahan binaan precast dalam pembinaan jambatan. Rekabentuk untuk lebuhraya diseragamkan mengikuti piawaian R5. Keputusan itu dibuat bagi menjaga kualiti pembinaan walaupun terdapat sesetengah kawasan merekodkan “traffic count” yang sedikit, syarikat BHP memutuskan untuk menyeragamkan rekabentuk agar kualiti terjamin dan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan.

4.5.1.4 Pengawalan kualiti kerja [04]

Responden R1 mengatakan langkah yang diambil oleh syarikat BHP dalam mengatasi masalah pengawalan kualiti kerja adalah mengeluarkan prosedur kualiti kepada kontraktor untuk dipatuhi semasa di peringkat tender. Selain daripada itu, syarikat BHP juga mengarahkan kontraktor untuk menyediakan pelan jaminan kualiti (Quality Assurance) dan kawalan kualiti (Quality Control). Tujuan pengawalan kualtiti dititikberatkan dalam projek ini adalah bagi memastikan proses pembinaan menepati standard atau piwai yang telah ditetapkan. Kontraktor diarah untuk mengeluarkan pelan jaminan kualiti (Quality Assurance) dan kawalan kualiti (Quality control) bagi mematuhi prosedur kualiti syarikat BHP.

Jaminan kualiti ialah suatu program yang merangkumi aktiviti yang dapat menyediakan kualiti dalam projek pembinaan. Kontraktor bertanggungjawab dalam menyediakan pelan jaminan kualiti untuk menubuhkan polisi berkaitan projek, prosedur, piawaian, latihan, garis panduan dan sistem yang akan digunakan agar dapat menghasilkan kualiti. Kawalan kualiti merupakan pelan tindakan pelaksanaan prosedur jaminan kualiti pada aktiviti-aktiviti pembinaan yang terdapat dalam proses pembinaan.

4.5.2 Analisi Langkah (Peringkat Pra-Pembinaan)

Langkah yang diambil untuk mengatasi cabaran akan dibincangkan dalam peringkat ini mengikut susunan cabaran dalam Analisis Cabaran (Peringkat Pra-Pembinaan).

4.5.2.1 Pengambilan Balik Tanah [05]

Secara amnya, projek ini merupakan projek kerajaan dan pengambilan balik tanah diuruskan oleh pihak kerajaan iaitu Jabatan Tanah dan Ukur Sabah. Namun, syarikat BHP dan kontraktor juga memainkan peranan yang penting dalam menyelesaikan dan mempercepatkan proses pengambilan tanah. Berdasarkan jadual 4.1, masalah ini dihadapi oleh semua responden. Responden R1 iaitu wakil daripada syarikat BHP yang merupakan pihak PDP juga membantu dalam proses pengambilan balik tanah. Langkah yang diambil oleh syarikat BHP untuk mengatasi masalah pengambilan balik tanah terbahagi kepada dua iaitu :

i. Pengedaran notis pengambilan balik tanah kepada pemilik tanah.

ii. Penyerahan surat tawaran pampasan tanah kepada pemilik tanah.

Responden R1 mengatakan syarikat BHP menjalinkan kerjasama bersama dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dan Jabatan Kerja Raya Sabah untuk mempercepatkan proses pengambilan balik tanah agar kontraktor dapat memulakan kerja dengan segera. Langkah pertama yang diambil oleh Syarikat BHP adalah untuk mengedarkan notis pengambilan tanah kepada pemilik tanah yang terlibat. Setelah warta pemberitahuan umum dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, syarikat BHP menolong untuk mengedarkan notis pengambilan tanah dengan menjemput pemilik tanah yang terlibat ke sesi penyerahan notis pengambilan tanah. Gambar sesi penyerahan notis pengambilan tanah ditunjukkan di bawah:-