Ilmuku ilmu ghaib, berasal dari yang ghaib, datangnya dari Yang Maha Ghaib. Kepada saudaraku, kaumku, bangsaku yang berasa ketinggalan dalam mengecap nikmat hidup di dunia ini, aku pesankan janganlah cemas, janganlah iri hati dan jangan putus asa kerana masih ada jalan. Masih ada kesempatan bagimu untuk mengejar ketinggalan itu.
Kebanyakan dari mereka yang punya itu (nikmat hidup), adalah hasil dari ilmu akalnya; mengambil kesempatan dalam kesempitan, membolehkan yang tak boleh, menghalalkan yang haram dan lain sebagainya. Ketahuilah olehmu bahawa kesemua mereka itu mempergunakan tenaga lahir, tenaga yang bergelumang dengan hawa nafsu. Kalau akal sihatmu tak mahu berbuat seperti jalan alam fikiran mereka itu, tandanya kebenaran masih ada padamu, sungguhpun hati kecilmu, perasaanmu ingin hendak mempunyai seperti apa yang dipunyai mereka itu. Dan kebenaran yang ada padamu letaknya ialah di dirimu. Letakkanlah sesuatu pada tempatnya dengan mengharamkan yang haram, menghalalkan yang halal dan jangan pakai kesempatan dalam kesempitan. Kuasailah dirimu, letakkanlah pula pada tempatnya iaitu di ketenangan dan kedamaian. Pembawaan yang tenang itulah menentukan harga diri seseorang. Rumahtangga yang mewah tak
ada erti, kalau tidak ada ketenangan di dalamnya. Sebaliknya, kemiskinan, kemelaratan menandakan kebodohan, tak tahu harga diri.
Berfikir, berbuat, berlaku dengan tenaga lahir termasuk golongan sudah tua, dan sudah sangat tua. Ketahuilah olehmu bahawa padamu ada tenaga yang tersembunyi, yang belum pernah engkau pakai selama ini secara positif, dan belum pernah pula dipergunakan orang. Ada beberapa orang yang telah dapat memakainya, akan tetapi terbatas iaitu masih tetap tinggal di dalam, masih diselubungi juga hawa nafsu. Yang dinamakan kekuatan batin, tenaga yang tersembunyi itu mengaliri seluruh batang tubuh di dalam.
Bagi orang yang belum menemuinya, adalah dia itu terkurung, negatif dan pasif. Bagi mereka yang telah menemuinya, dia jadi bebas, positif dan aktif. Untuk mengejar ketinggalan kita di dalam segala hal, tenaga itulah yang akan dipergunakan kerana selain belum dipergunakan orang, sangat banyak daya gunanya. Carilah itu tenaga yang tersembunyi, sampai dapat engkau kuasai. Dia ada padamu dan banyak di luar. Tingkatkan cara berfikirmu ke dalam; hentikan segala gerak-langkah lahirmu sehingga yang tinggal gerak yang tak dapat engkau menguasainya. Gerak yang tinggal itu ialah gerak dari tenaga batinmu atau tenaga yang tersembunyi bagimu. Dengan perlakuan semacam itu, sudah mulai engkau mengadakan pemisahan di badan dirimu, pemisahan antara gerak lahir dan gerak batin; tenaga lahir dan tenaga batin, antara badan dan diri. Terjadinya itu baharu pemisahan di dalam. Sekarang tingkatkan lagi fikiranmu bagaimana caranya hendak mengetahui dan dapat merasakan tenaga dalam itu. Untuk itu tentu engkau mesti membawa tenaga itu keluar, yang bererti engkau harus menembus alamnya sendiri sampai ke kulit dan bulumu. Sanggupkah engkau sendiri menembus itu, dengan perkataan lain membuka pintu yang tertutup? Jawabnya ialah, sebaik-baiknya engkau cari orang yang tahu dan mengerti dan telah mempunyai untuk meminta
petunjuk-petunjuk. Kalau perlu, berguru kepadanya.
Dia ada tetapi tiada. Dia sulit tetapi mudah. Dia ringan tetapi berat, dan jangan dipandang enteng (ringan) kerana mungkin membahayakan kalau dicuba dengan sendiri. Sebaik-baiknya, mendapatnya dengan jalan berguru kerana sangat banyak rahsia terkandung padanya; rahsia diri, Rahsia Tuhan dan yang belum dipelajari dan dipergunakan orang selama ini. Adalah dia itu mempunyai jalan sendiri semenjak dari dalam. Jalan yang berisi berisikan titik-titik, dan di titik itulah letaknya rahsianya kerana dia berasal dari yang setitik (sedikit). Perjalanan titik di dalam tubuh kita merupakan gambaran dari jasmani kita yang dinamakan rohani, yang berasal dari yang sedikit iaitu roh. Titik-titik itulah yang akan membahagiakan kita kalau kita tahu mempergunakannya. Dengan titik itulah kita dapat mengejar yang ketinggalan, dan dengan titik itu pula mencapai bahagia dunia dan akhirat. Bukankah segala kejadian yang dijadikan berasal dari titik?
Titik kejadian kita sudah tidak ada pada kita kerana telah berkembang menjadi kita yang berasal dari ibu bapa kita, dan pada kita ada titik menjadikan, akan tetapi pada kita adalah titik penjadian yang berasal dari Tuhan. Dan dengan dapat menguasai titik itu kita dapat pula jadi menjadikan dengan memperkembangkannya pula.
Dia adalah titik hidup, menghidupkan kita di dalam. Di luar kita menguasainya kerana adanya terkandung di dalam badan kita. Untuk kelanjutan hidup kita, untuk ketentuan tujuan hidup kita, kenapa kita tak mempergunakan dia? Di situlah letaknya kebodohan kita, dan di situ pula letaknya kekurangan kita.
Kalau kita tahu padanya ada bintang, maka diperkembangkan bintang itu akan bercahayalah bintang kehidupan kita dengan dikelilingi oleh bintang-bintang dengan mempunyai daya tarik-menarik.
diperkembangkan, maka kita akan dikasihi, disayangi dan dicintai. Selain dari itu, maka kita akan mengasihi, menyayangi dan mencintainya pula.
Kalau kita ketahui padanya tidak ada yang tidak ada, maka akan mudahlah segala urusan kita .
Kalau kita ketahui bahawa apa yang ada pada kita, dan belum ada pada orang lain, dan ada yang tidak ada pada kita, ada pada orang banyak, tidak akan susah rasanya hidup, dan tidak perlu gelisah menjalankan kehidupan.
Kalau kita tahu bahawa kita telah pandai membawakan, memasukkan siang kepada malam dan malam kepada siang, mendatangkan yang hidup dari yang mati dan yang mati dari yang hidup, tentu kita akan menerima rezeki yang tak terduga-duga datangnya.
Kalau kita tahu bahawa padanya ada jalan untuk menuju kepada kebesaran dan kejayaan, kemuliaan, kekebalan dan lain sebagainya dan kita pergunakan jalan itu, tentu akan mudah tercapai segala tujuan kita. Tidak ada yang sulit di sisi Tuhan dan padanya tidak ada kesulitan yang tak bisa diatasi.
Kalau kita ketahui padanya ada ubat segala ubat, kalau kita pandai menjalankannya tentu akan terubat segala macam penyakit. Kalau kita ketahui padanya ada rezeki dan kalau kita perkembang, tentu akan mudah rezeki kita.
Dari itu jadilah menjadi orang segala tahu, serba tahu dan di jalannya dan pandai menjalankannya.
Tahukah engkau bahawa engkau dikeluarkan dari tempat yang senang dan didatangkan dari tempat yang sesenang-senangnya yang memberi segala kesenangan? Kenapa sewaktu engkau belum dikeluarkan dari alam yang sempit lagi terbatas tidak merasa susah, akan tetapi setelah di alam maha besar yang tak bertepi engkau harus menderita? Sepantasnya dikeluarkan engkau dari tempat yang senang (rahim) di alam yang sempit dan terbatas itu dan
ditempatkan di alam maha luas yang tak bertepi, supaya merasa lebih senang dan menuju kepada kesenangan yang kekal abadi. Akan tetapi kejadiannya, kenapa engkau susah gelisah dan menderita? Padamulah letaknya segala kesusahan itu, bukan pada orang lain. Engkau tak tahu di dirimu dan telah lupa akan dirimu. Engkau telah menurutkan jalan mati, bukan jalan hidup. Kembalilah ke jalan yang benar dan tinggalkanlah itu jalan yang sesat lagi menyesatkan.
Yang benar ialah dirimu bukan badanmu. Dirimu itulah yang hidup dan pada badanmulah letaknya kematian. Orang yang berpegang kepada badannya bererti menempuh jalan mati dan yang berpegang pada dirinya bererti menempuh jalan hidup. Dirimu letaknya di dalam dan mempunyai jalan sendiri di dalam badanmu. Untuk menemui jalannya, hendaklah engkau bukakan pintu dari luar atau engkau tembus dari dalam. Dan ini semua di luar kemampuanmu kerana belum ada buku untuk itu dan di luar kemampuan manusia biasa. Dari itu carilah orang yang dapat mengetahuinya dan bergurulah kepadanya.
Apa katamu kalau aku mengatakan Aku sekarang telah bebas dan berada di tempat yang lebih senang dari yang senang di bawah lindungan, dalam kandungan Yang Memberi Segala Kesenangan kerana aku telah menemui diriku dan telah banyak pula mengetahui rahsianya dan aku pilih jalan yang sebaik-baiknya. Aku hiba kasihan kepada badanku yang mengandungku selama ini. Aku menderita dalam kandungan lantaran kebodohannya, oleh kerana tidak tahunya. Setelah Aku dapat ditemuinya dan setelah Aku mengenal dunia luar, tahulah Aku bahawa aku hidup dalam dua alam iaitu alamku sendiri alam ghaib dan alam badanku alam nyata.
Sungguh sangat kasihan Aku pada badanku yang telah lama menderita, bahkan punggungku telah cacat disebabkan perjalanan hidup menurutkan kemahuan badan selama ini. Beruntunglah Aku belum dipanggil kembali. Dunia luar bagiku sangat indah dan
cantik, dan kalau boleh Aku ingin hidup dengan badanku yang telah cacat ini yang menyebabkan Aku agak bongkok sedikit untuk seribu tahun lagi. Kasihan badanku yang salah jalan selama ini; badan yang tak tahu dirinya. Sekarang Aku ke muka dan tidak Aku biarkan badanku menderita. Aku tidak mahu berpisah dengannya, kecuali kalau Tuhanku tidak mengizinkan, kerana Aku ingin hidup sepanjang masa bersamanya.
Dan Aku akan memperbaiki segala kesalahan yang diperbuat selama ini. Aku akan menebus segala perbuatan yang telah menjadi dosa selama ini dengan membuat baik sebanyak-banyaknya. Semoga Tuhan akan meredhai perjalananku ini, mengampunkan segala dosaku dan menerima segala amalanku.
Dan Aku telah bebas dari kongkongan, telah keluar dari kurungan melalui pintu yang wajar, pintu yang Aku sendiri yang menemuinya. Kebebasanku tidak akan melepaskan badanku kerana Aku telah lama hidup bersamanya. Aku mengasihinya, setelah dia mengasihi Aku semenjak Aku telah dikenalinya. Aku menyayanginya setelah dia mencintaiku. Aku mencintainya setelah dia mencintaiku, semenjak Aku diketahuinya benar siapa Aku. Bahkan, kasih sayang serta cintaku padanya berlebih dari kasih sayang cintanya padaku. Perpaduan kasih sayang dan cinta mendatangkan hiba kasihan. Kasih bisa habis, sayang bisa hilang dan cinta bisa bertukar, akan tetapi bila kasih telah meningkat kepada sayang dan sayang meningkat kepada cinta, maka jadinya ialah hiba kasihan. Kalau hiba kasihan telah diperdapat, putih tulang dalam kubur namun dia teringat juga. Betapa tidak? Bukankah dia badanku sendiri? Aku sendiri yang akan mengisi keperluan hidupku ke luar dan ke dalam kerana Aku banyak tahu tentang itu rahsia ghaib. Dan Aku akan bahagiakan badan diriku sendiri kerana Aku dengannya satu.
Aku tinggalkan jalan hidup cara lama kerana tidak memuaskan dan aku hidup dengan jalan hidup yang baru hasil dari penggalianku sendiri yang berpokok pangkal dari jalannya
kehidupanku yang di dalam, suatu jalan yang berisi. Dengannya aku menjadi manusia baru. Dan aku telah lahir untuk kedua kalinya, dilahirkan dan melahirkan dan akan kujalankan kehidupanku dengan gaya baru, yang mempunyai garis hidup, jalan hidup yang positif. Dan dalam pengembaraan hidupku, di mana-mana aku akan melahirkan manusia baru, dengan menunjukkan jalan hidup baru, garis hidup baru yang akan ditempuh. Dengan banyak manusia baru terlahir, dengan sendirinya akan terciptalah dunia baru yang diidam-idamkan oleh orang yang berpendirian.
Berlayarlah sampai ke pulau dan berjalanlah sampai ke batas. Pelayaran kita adalah ke pulau cita-cita dan perjalanan kita ialah ke batas kehidupan kita. Ada permulaan dan ada kesudahan. Titik kehidupan kita berjalan semenjak kita di dalam perut ibu kita dan tempatnya di rahim ibu. Dan setelah kita dilahirkan, maka kita menjalankan sendiri kehidupan kita di luar. Kita sendiri yang memilih jalan hidup dan membawakan kehidupan kita. Dan kebanyakan salah pilih jalan, itu sebabnya maka badan menderita, melarat, sengsara. Dan salah pilih itulah membawa masyarakat dan dunia sampai jadi begini. Salah pilih, salah jalan, tidak terpilih pada jalan yang sebenarnya. Di satu saat, tapi pasti, perjalanan kita itu akan sampai di batasnya. Tidak boleh tawar-menawar, tak ada tolak ansur.
Kalau tadinya pada titik permulaan kehidupan Kita berjalan dengan sendirinya, dan setelah terlahir Kita sendiri yang menjalankan kehidupan Kita di luar. Maka setelah sampai di batas, hidup Kita dibawa berjalan untuk dikembalikan ke tempat asal, iaitu Allah. Dan tinggallah segala yang dikasihi; badan sendiri, anak yang disayangi, sanak saudara, isteri yang dicintai, handai taulan, harta benda yang mana kesemuanya itu tak dapat menolong Kita, mempertahankan hak hidup Kita, kerana Yang Punya datang menjemput.
Telah kita ketahui dalam kehidupan kita, kita menempuh tiga jalan:
Pertama : Berjalan dengan sendirinya. Kedua : Menjalankan kehidupan sendiri. Ketiga : Dibawa berjalan
Perjalanan Pertama: Iaitu sewaktu di dalam kandungan, berjalan dengan Ilmu Tuhan, itu sebabnya kita tak berasa susah.
Perjalanan Kedua: Iaitu setelah kita lahir, kita harus menjalankan sendiri kehidupan kita. Salah jalan mengakibatkan penderitaan.
Perjalanan Ketiga: Iaitu setelah perjalanan sampai di batas, kita dibawa berjalan untuk kembali ke asal.
Dari tiga macam perjalanan tersebut di atas, perjalanan yang pertamalah yang baik iaitu berjalan dengan sendirinya atau berjalan dengan Ilmu Tuhan. Setelah kita lahir, adakah Ilmu Tuhan itu pada kita? Ada. Padanyalah terletak rahsia kehidupan kita. Dia menghidupkan kita di dalam, mengaliri dan mengisi jalan kehidupan kita dan terbatas pada kulit dan bulu kita. Pembawaannya yang berjalan dengan sendirinya itu bagi kita tetap ada. Dia telah ada semenjak kita diadakan. Dan keadaan alam sekeliling kita yang menyebabkan kita lupa atau sampai melupakannya.
Kehidupan yang kita warisi setelah kita dilahirkan terlampau banyak dibawa melihat ke luar dan amat sedikit sekali diberitahu tentang keadaan kita di dalam. Kita dididik, diasuh, diajar mengenai keadaan alam di luar kita. Keperluan hidup kita di luar, kehidupan kita sekarang dan kehidupan kita nanti, kita disuruh mencari. Menuntut ilmu biar sampai ke negeri China sekalipun. Dititik-beratkan kehidupan kita kepada kehidupan lahir, dan amat sedikit kita diberitahu mengenai kedudukan yang tak nampak, yang ghaib. Diberitahu kita akan adanya Yang Maha Ghaib iaitu Allah, Maha Besar lagi Maha Kuasa, tetapi amat sedikit kita mengetahui jalan kepada-Nya kerana tidak ada yang dapat menunjukkan jalan yang sebenarnya, kerana amat sedikit pula orang yang dapat petunjuk akan jalan itu iaitu jalan yang sebenarnya jalan.
Kita dididik terlampau jauh melihat ke luar sampai lupa akan diri sendiri. Dari itu makanya banyak orang kesasar (sesat) hidup. Jalan hidup kita yang sebenarnya ialah lurus iaitu ke atas dan ke bawah. Ke atas untuk kembali kepada Tuhan, ke bawah ialah untuk dikembalikan ke tanah. Akan tetapi, caranya kita menjalankan kehidupan ialah bercabang iaitu ke kiri dan ke kanan, ke muka dan ke belakang. Ke belakang bererti mundur. Berjalan surut itu tidak mungkin kerana telah dilewati (dilalui). Kita melihat ke belakang untuk mempelajari jalan yang telah kita bawakan dan lalui untuk diperbaiki pada jalan yang akan datang. Kita melihat ke muka untuk maju kalau-kalau ada halang rintangan. Untuk itu makanya kita berbelok ke kiri, sudah itu ke kanan, guna kembali ke jalan lurus. Banyak jalan terbentang di muka kita, berlurah, berbukit, berbatu, berduri, rata, menurun, mendaki dan lain sebagainya.
Banyak sudah jalan yang dilalui. Telah banyak pula kelok (selok-belok) yang dijalani; ke kiri dan ke kanan. Banyak sudah lurah yang dituruni, bukit yang didaki. Jauh sudah kita berjalan, dan telah lama pula rasanya kita berjalan. Apa yang telah diperdapat dan apa yang dicari? Suka-duka telah dilalui. Bermacam teori telah dipraktikkan. Yang tak pernah dibuat telah dibuat, yang tak boleh telah dibolehkan, yang haram telah dihalalkan. Mahu harta telah punya tetapi mahu lagi, mahu isteri telah dapat tetapi mahu lagi, mahu rumah besar telah punya tetapi mahu lagi, mahu mobil (kereta) telah punya tetapi mahu lagi. Kenapa begitu? Kerana kepuasan belum diperdapat oleh kerana jalan untuk mendapatnya tidak pada Jalan-Nya yang benar, melainkan dengan jalan menurutkan hawa nafsu. Dan dengan tak disedari, jalan lurus yang ditempuh untuk mendapat bahagia telah berjalan dengan sendirinya dan telah hampir sampai di batasnya. Tahu-tahu tenaga habis, daya tidak ada. Kekuasaan Tuhan berlaku; api mati, pelita tak berminyak dan sekali ragut sahaja Tangan Ghaib menangkap kita dan maut datang; kita sudah tak ada lagi. Kita sudah jauh di dasar dan sesat lagi disesatkan kerana berjalan tidak pada jalan-Nya. Mahu
kembali ke pangkalan tidak bisa lagi kerana semuanya keadaan sudah gelap-gulita pada kita.
Kita telah menempuh jalan kosong yang dimurkai lagi menyesatkan iaitu hawa nafsu yang berisikan syaitan, iblis. Telah terpedaya mereka yang dapat diperdayainya, dan ‘yang sedikit’ yang ditakutinya tinggal tetap sedikit. Itu sinar tadinya bercahaya menerangi alam sendiri serta sekitarnya telah pudar dan hilang diliputi oleh kegelapan kabut yang tebal, yang mana keluhan dan rintihan tak berguna lagi. Emas 24 karat, oleh perbuatan kita telah menjadi loyang (tembaga) dalam nilainya.
Bukan tidak ada jalan untuk menempuh kehidupan yang wajar dan layak untuk mendapat pangkat, harta, mobil, isteri cantik dan lain sebagainya. Bukan tidak ada jalan pada kita; jalan yang berisi, yang tidak dimurkai dan tidak pula sesat. Jalan itu ada padamu, pokok pangkalnya di dirimu. Untuk mendapat petunjuk hendaknya jangan mendoa sahaja. Berdoalah, bermohonlah, di samping itu pergunakan otakmu, kecerdasanmu. Apa lagi yang diminta kepada Tuhan, sedangkan yang engkau kehendaki itu telah diberikan-Nya padamu.
Kebodohanmu yang menyebabkan engkau berasa kekurangan, tidak puas dan sebagainya. Kalau engkau telah mengetahui itu semua, tidak pada tempatnya lagi engkau minta kepada Tuhan kerana apa yang engkau minta itu telah diberikan-Nya sebelum engkau meminta pada-Nya. Hanya yang tak ada padamu dan yang belum engkau lakukan ialah bersyukur; pernyataan syukur kepada Allah atas pemberian-Nya (rahmat-Nya), yang telah engkau perdapat. Dan kalau engkau akan bermohon pada-Nya, pohonkanlah akan keampunan dosa-dosamu yang sudah-sudah, dosa-dosa ibu bapamu, kaum keluargamu, kaum muslimin dan muslimat yang telah terdahulu. Bermohonlah atas tambahan rahmat-Nya dengan tak putus-putus sampai kepada anak cucu turun-temurun nanti di belakang hari. Rahmat pada Tuhan menjadi nikmat padamu, dari itu perbanyaklah syukur pada-Nya.
Sembahlah Dia, salawat sebanyak-banyaknya kepada rasul-Nya yang penghabisan iaitu Muhammad s.a.w.. Jadilah, menjadi seorang hamba yang soleh, pemberi dan penunjuk jalan yang benar kepada sesama manusia. Insya-Allah.
* * *
Telah engkau temui itu dirimu, telah banyak pula engkau mengetahui keadaannya, dan telah banyak pula pengalamanmu dengannya, apa katamu sekarang mengenai sesuatunya, terutama hubunganmu keluar? Engkau yang tadinya duduk di tempatmu di alammu sendiri, setelah pintu terbuka dan mengenal dunia luar yang menakjubkan, sangat mengasihi dan menyayangi dan mencintai badanmu dan ingin hidup seribu tahun lagi bersama-samanya. Dunia yang engkau kenal sekarang bukanlah seperti alam yang engkau diami selama ini.
Duniamu selama ini dunia khayal, dunia bayangan dan sekarang engkau telah mengenal itu dunia nyata yang indah, cantik lagi menarik. Pada siang hari disinari matahari yang memberi isi kepada alam semesta, datarannya yang menghasilkan pemandangan yang menakjubkan, lautnya yang maha luas, sungainya yang terdiri dari besar dan kecil, lembahnya, negerinya dan lain sebagainya. Pada malam harinya, bermandikan cahaya bulan dengan bintang-bintangnya yang bertaburan di langit, menambah indah dan menakjubkan rasa perasaan, menandakan akan kebesaran Tuhan-mu, Pencipta dari segala yang diciptakan iaitu Yang Maha Pencipta, cukup dengan menyebut namanya sahaja iaitu Allah.
Engkau yang tadinya tak mengenal dunia nyata, setelah mengenalnya, mencintainya lantaran kekagumanmu akan nikmat Ilahi, kebenaran-Nya, keagungan-Nya. Semua yang menakjubkan engkau itu ialah perbuatan Tuhan. Dan sekarang cuba pula pandang olehmu perbuatan sesamamu iaitu yang dinamakan manusia.
Pelajarilah sejarah. Apa yang diperbuat oleh manusia dahulu, sekarang dan mungkin nanti, dan apa pula yang telah engkau perbuat pada waktu yang sudah-sudah, sekarang dan yang akan datang.
Mereka berlumba-lumba memburu dan mengumpul harta kekayaan dan lain-lain, dan amat sedikit sekali di antara mereka yang mengingat dan mensyukuri nikmat Tuhan. Mereka lupa kepada asal-usulnya, lupa kepada diri sendiri, lupa kepada Yang Menjadikan, lupa kepada Tuhan. Akibatnya kemelaratan, kemiskinan, kesengsaraan timbul di mana-mana oleh kerana yang