• Tidak ada hasil yang ditemukan

KEPENTINGAN MEMBACA

Dalam dokumen BAHASA MELAYU 100 CONTOH KARANGAN SPM (Halaman 31-34)

ENGAGE EQUIP

7. KEPENTINGAN MEMBACA

Membaca jambatan ilmu, merupakan peribahasa yang menunjukkan kepentingan membaca kepada kita. Amalan membaca ini merupakan satu amalan yang amat berfaedah namun tidak ramai yang menjadikan amalan membaca sebagai hobi mereka. Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk membetulkan kembali pandangan songsang ini agar tidak terus menyesatkan remaja pada hari ini dengan menjelaskan faedah atau kepentingan membaca kepada mereka.

Salah satu faedah membaca yang signifikan kepada remaja hari ini ialah seseorang yang suka membaca mempunyai minda yang sihat dan positif. Mereka tidak mudah terpengaruh oleh hasutan atau pandangan negatif daripada orang lain. Mereka dihormati kerana berpegang pada pendapat tokoh-tokoh terkenal dalam sesuatu bidang. Buku-buku ilmiah karya agung tokoh pemikiran dunia perubatan dan kedoktoran seperti Ibnu Khaldun, menjadikan seeoarang pembaca itu memiliki rujukan tersendiri. Oleh itu, pemikiran kita akan sentiasa sihat dan berkembang secara positif serta kreatif, kritis dan mempunyai wawasan.

Selain itu, amalan suka membaca juga boleh meningkatkan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa. Seseorang itu harus bijak memilih bahan bacaan agar perbendaharaan kata yang diperoleh akan dapat meningkatkan penguasaan bahasa. Jika seseorang itu membaca buku novel, maka perbendaharaan kata yang diperoleh berbeza daripada pembacaan buku ilmiah.

Maka untuk meluaskan perbendaharaan kata dalam sesuatu bahasa adalah wajar seseorang itu membaca mengikut kecederungan dan keperluan mereka dalam berbahasa. Secara tidak langsung, membaca mampu membina keyakinan diri dan keberanian untuk berbicara dengan sesiapa sahaja.

Di samping itu, tabiat gemar membaca buku boleh menambah pengetahuan kita. Dengan membaca, sesuatu ilmu itu akan dapat diteroka dengan lebih mendalam dan lebih luas lagi tanpa sempadan. Sebagai satu tamsilan, perniagaan dalam talian yang sedang meledak pada era norma baharu ini telah meningkatkan penjualan e-buku. Hal ini membuktikan kepentingan membaca dapat membuka peluang baharu kepada mereka. Dengan itu, pengetahuan mereka dalam konsep perniagaan dalam talian telah berkembang dan secara tidak langsung pembacaan tersebut juga mampu menjana pendapatan kepada mereka.

Seterusnya, masa lapang kita akan terisi dengan perkara berfaedah jika kita suka membaca. Mereka yang suka membaca akan sentiasa membawa buku ke mana-mana sahaja.

Hal ini dikatakan demikian kerana apabila mereka berada dalam situasi masa senggang atau lapang, mereka akan terus membuka buku yang dibawa lalu membacanya. Masa mereka sentiasa terisi dengan aktiviti membaca sahaja. Mereka akan membaca mengikut kecenderungan dan minat mereka. Oleh itu, masa lapang kita tidak akan terbuang dengan sia-sia kerana masa itu emas dan perlu kita hargai.

Secara tuntasnya, amalan membaca ini haruslah dijadikan budaya dalam kehidupan agar amalan ini terus diamalkan dari zaman ke zaman tanpa perlu lagi diadakan kempen kesedaran kepada masyarakat. Kesedaran ini harus timbul dalam diri kita sendiri untuk berubah menjadi lebih baik dari hari semalam. Perubahan paradigma pemikiran ini bakal mengangkat sesuatu bangsa itu agar lebih dihormati dan dikagumi pada masa akan datang. Sejarah telah membuktikan kejayaan zaman dahulu dalam meneroka pelbagai bidang ilmu adalah bermula daripada amalan membaca sehingga lahirnya tokoh-tokoh terbilang dalam pelbagai bidang ilmu dan kajian. Oleh itu, jika kita ingin menjadi bangsa yang berjaya, maka generasi akan datang haruslah dipupuk dengan amalan membaca.

8. IBU BAPA PENDORONG ANAK-ANAK DALAM MEREALISASIKAN BUDAYA MEMBACA - PIDATO

Yang saya hormati, tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, saudara penjaga masa yang sentiasa jitu dan tepat waktunya, guru-guru yang dikasihi, seterusnya rakan-rakan seperjuangan,

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera.

Pada pagi yang mulia dan berbahagia ini, saya telah diberi peluang untuk berdiri di persada pertandingan pidato peringkat sekolah dengan mendukung tajuk ‘Ibu Bapa Pendorong Anak -anak dalam Merealisasikan Budaya Membaca.’

Hadiri dan hadirat yang dihormati,

Sebelum saya membawa bahtera pidato ini jauh ke tengah lautan perbincangan, izikan saya merujuk satu kandungan yang tersurat mahupun tersirat daripada Surah Al Alaq, nescaya jawapan yang diperoleh tentulah amalan membaca merupakan suatu kewajipan. Kewajipan membaca bukan hanya sebagai syarat untuk persediaan menghadapi peperiksaan semata-mata, sebaliknya merupakan tanggungjawab sebagai rakyat untuk melahirkan insan yang bijaksana, dan hebat menguasai dunia keilmuan. Oleh itu, sejajar dengan pandangan orang dulu-dulu, pendidikan itu bermula dari rumah, maka keluarga haruslah bersikap proaktif dalam usaha memupuk semula amalan membaca.

Ibu bapa merupakan pemegang amanah Tuhan yang diberi tanggungjawab dan peranan untuk mendidik anak menjadi insan kamil, maka mereka perlu menjadikan aktiviti membaca sebagai agenda wajib dalam rumah tangga. Ibu bapa perlu menjadikan amalam membaca sebagai satu rutin harian yang wajib dilakukan sebelum memulakan sebarang aktiviti. Mungkin ibu bapa boleh memulakan pembacaan sebelum atau semasa bersarapan sambil mengajak anak-anak untuk turut bersama menyertai aktiviti tersebut. Oleh itu ibu bapa hendaklah menjadikan amalan membaca sebagai satu amalan penting setaraf dengan keperluan asasi yang lain seperti makan, minum, riadah dan semua aktiviti keluarga

Hadirin yang dikasihi,

Selain langkah pragmatik tersebut, Ibu bapa yang berkelulusan tinggi dalam akademik hendaklah menunjukkan karisma sebagai golongan terpelajar dan berfikir. Mereka perlulah mencetuskan idea-idea baharu, bernas dan matang melalui pengalaman membaca yang pernah dilalui oleh mereka. Cetusan idea yang berinovasi daripada ibu bapa yang membantu anak anak dalam menyiapkan kerja-kerja sekolah akan melahirkan rasa bangga anak-anak atas kebolehan ibu bapa mereka. Secara tidak langsung, anak -anak menyakini bahawa hanya dengan membaca, mereka akan dapat melahirkan idea bernas dan berinovasi. Tindakan ini pasti akan menatijahkan sesuatu yang positif dalam budaya membaca di rumah

Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membentuk tabiat membaca merupakan satu aspek signifikan yang perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Mereka perlulah berusaha melengkapkan semua sudut di dalam rumah dengan prasarana membaca dan bahan-bahan bacaan yang pelbagai bidang bukan hanya menyediakan sebuah bilik perpustakaan kecil sahaja malah melengkapi setiap sudut rumah dengan ruang bacaan. Persekitaran ini pastinya akan menggamit hati untuk menyentuh, mengambil, menyelak lalu membaca buku-buku yang tersusun kemas di ruang bacaan tersebut. Malah ruang bacaan ini akan lebih ‘hidup’ dan tidak sekadar menjadi ruang kosong yang penuh dengan debu dan habuk sahaja. Hasilnya, tabiat membaca menjadi satu budaya sihat dalam rumah tangga.

Hadirin dan hadirat,

Secara keseluruhannya, ibu bapa merupakan arkitek utama yang melakari landskap kehidupan anak mereka. Maka, ibu bapa berperanan penting untuk mencorakkan mereka mengikut acuan dan landasan yang betul . Oleh itu, budaya membaca dalam keluarga akan

menjadi pemangkin kepada kejayaan anak-anak dalam apa-apa bidang yang diminati oleh mereka.

Dalam dokumen BAHASA MELAYU 100 CONTOH KARANGAN SPM (Halaman 31-34)

Dokumen terkait