KELENGAKAPAN DAN PERABOT
5 KESIMPULAN DAN CADANGAN
5.2 Kesimpulan dan pencapaian objektif
Kesimpulan dan pencapaian objektif dibahagi kepada dua bahagian, iaitu berdasarkan objektif kajian
5.2.1 Objektif Pertama
Objektif pertama: Mengenal pasti pendekatan elemen bangunan yang diukur secara manual atau berkomputer
Hasil daripada analisis yang diperoleh dari Bab 4 adalah untuk mengenal pasti pendekatan elemen bangunan yang diukur secara manual atau berkomputer.
Oleh itu, daripada 29 responden, hanya 9 buah firma sahaja yang menggunakan kaedah manual untuk melakukan kerja pengukuran kuantiti dan 20 buah firma menggunakan komputer iaitu perisian dalam kerja pengukuran kuantiti. Walaupun 20 buah firma ini menggunakan perisian dalam kerja pengukuran kuantiti, firma-firma ini masih menggunakan kaedah manual atau menggabungkan kedua-dua kaedah dalam mengukur sesetengah elemen.
Hasil kajian mendapati bahawa kesemua elemen menunjukkan adanya penggunaan kaedah manual dan menggabungkan kedua-dua kaedah walaupun firma tersebut telah menggunakan perisian dalam membantu kerja pengukuran kuantiti.
Elemen kerja-kerja luar iaitu seperti kerja tapak, kerja-kerja jalan raya, saliran air dan retikulasi menunjukkan kekerapan yang hampir sama bagi kaedah manual, perisian dan juga menggunakan kedua-dua kaedah. Manakala bagi elemen kemasan seperti kemasan luar, kemasan lantai dalam, kemasan dinding dalam dan kemasan siling
dalaman, elemen ini menunjukkan kekerapan yang paling tinggi menggunakan kaedah perisian dalam kerja pengukuran untuk mendapatkan kuantiti berbanding dengan elemen yang lain. Bagi elemen kelengkapan perabot iaitu kelengkapan bangunan elemen kemudahan iaitu kelengkapan kebersihan, kajian mendapati bahawa kekerapan menggunakan kaedah manual lebih tinggi berbanding dengan kaedah yang lain.
Secara keseluruhannya, hasil kajian menunjukkan bahawa kaedah manual masih lagi digunapakai walaupun keadah berkomputer iaitu perisian digunakan dalam pengukuran kuantiti. Ianya mungkin terdapatnya kekangan dalam penggunaan berkomputer iaitu perisian dalam kerja pengukuran kuantiti. Perisian tersebut tidak dapat mengukur setiap elemen bangunan seperti mana yang diperkatakan ketika memperkenalkan perisian tersebut. Selain itu, kekangan seperti tiada butir perincian dalam lukisan, tiada butang fungsi yang khusus atau kaedah manual lebih mudah untuk digunakan menyebabkan sesetengah elemen tersebut diukur menggunakan kaedah manual dan menggabungkan kedua-dua kaedah dalam mendapatkan kuantiti.
5.2.2 Objektif Kedua
Objektif Kedua: Untuk mengetahui faktor-faktor yang mempengaruhi pendekatan kaedah pengiraan elemen tersebut dalm senarai kuantiti.
Hasil analisis daripada bab 4 adalah untuk mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi pendekatan pengiraan elemen tersebut dalam senarai kuantiti. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan perbezaan pendekatan kaedah yang digunakan bagi setiap elemen. Kesemua responden
mengatakan bahawa kaedah perisian sebenarnya tidak mampu untuk mengira kesemua elemen terutamanya bagi kerja-kerja luar ataupun infrastruktur. Ini kerana ketidakupayaan perisian tersebut bagi mengukur elemen kerja-kerja luar melainkan juruukur bahan menggunakan butang fungsi yang lain yang bersesuaian mengikut unit pengukuran elemen kerja-kerja luar tersebut.
Bagi elemen substruktur iaitu kerja cerucuk dan kerja aras lantai terbawah, pemilihan penggunaan kaedah perisian lebih tinggi kerana keupayaan perisian memilih saiz secara automatik yang menyebabkan kerja-kerja pengukuran menjadi lebih cepat dan mudah. Penggunaan kaedah manual pula dipilih untuk memudahkan semakan yang ingin dibuat.
Bagi elemen superstruktur, pemilihan penggunaan keadah pengukuran bergantung kepada reka bentuk lukisan terutamanya bagi elemen bumbung. Reka bentuk yang rumit menyebabkan elemen bumbung susah untuk dikira secara perisian kerana perisian tidak mempunya fleksibiliti yang tinggi dalam mengukur elemen bumbung dan terhad kepada jenis bumbung rata dan bumbung curam (pitch roof).
Elemen bumbung hanya boleh dikira menggunakan perisian bagi mendapat kuantiti atap bumbung manakala item seperti rainwater downpipe (RWDP) perlu digunakan secara manual. Bagi elemen tangga, ia lebih mudah untuk dikira menggunakan perisian kerana perisian mempunyai reka bentuk standard dan pelbagai dimana juruukur bahan hanya perlu memilih dan memasukkan informasi mengikut perincian pada lukisan. Bagi lantai atas dan kerangka, penggunaan kaedah perisian atau pun manual boleh digunakan kerana ianya merupakan elemen yang mudah untuk dikira.
Elemen tingkap, pintu dan dinding berkait rapat antara satu sama lain. Penggunaan perisian dapat menjimatkan masa kerana kuantiti dinding yang diperolehi adalah hasil kuantiti setelah ditolak elemen pintu dan tingkap. Sub-item dalam pintu seperti kelengkapan pintu (ironmongeries) perlu dikira secara manual. Kaedah manual masih digunakan apabila kerja-kerja semakan ingin dibuat setelah kaedah perisian digunakan terutamanya bagi elemen pintu dan tingkap.
Bagi elemen kemasan, ia lebih mudah digunakan secara perisian kerana apabila struktur elemen lantai dan dinding diukur menggunakan perisian, perisian tersebut secara tidak langsung mengira kuantiti kemasan siling, dinding dan lantai.
Seterusnya bagi elemen kelengkapan dan perabot dan kerja-kerja luar, ia lebih mudah digunakan secara manual kerana limitasi perisian yang tiada butang fungsi khusus untuk elemen ini. Mereka perlu menggunakan “custom toolbar” bagi mengira elemen ini ataupun menggunakan butang fungsi elemen lain yang bersesuaian. Bagi elemen kelengkapan dan perabot beserta kelengkapan bangunan, konsultan telah mengeluarkan jadual bagi elemen ini. Juruukur bahan hanya perlu menyemak kembali kuantiti dimana kaedah manual lebih mudah untuk digunakan.
Bagi elemen kerja-kerja luar, ia tidak sesuai menggunakan perisian kerana lukisan yang diberi tiada perincian yang terperinci dimana ia akan menyebabkan kaedah perisian tidak boleh digunakan. Selain itu, kebanyakan unit pengukuran bagi elemen kerja-kerja luar adalah mudah seperti dalam unit nombor, m ataupun m2 dan hanya perlu mendapatkan bilangannya, panjang atau luas. Elemen kerja-kerja luar akan menggunakan lukisan dalam format AutoCAD dan kuantitinya akan dipindah ke dalam Excel.
Secara keseluruhanya, faktor-faktor yang mempengaruhi pendekatan kaedah pengukuran boleh dikaitkan dengan kajian literatur yang dilakukan dalam Bab 2.
Faktor tiada butang fungsi yang khusus bagi elemen tertentu menyebabkan perlunya penggunaan butang fungsi yang lain seperti yang terjadi pada elemen kelengkapan dan perabot dan kerja-kerja luar. Selain itu, reka bentuk yang kompleks menyebabkan kesukaran untuk memodelkan elemen tersebut dapat dikaitkan dengan kekangan dalam mengukur elemen bumbung kerana perisian terhad dalam mengukur elemen bumbung rata atau bumbung curam. Tambahan pula, adanya elemen yang perlu dikira secara sub-item seperti elemen seperti bumbung dan pintu memerlukan penggunaan kaedah manual kerana perisian tidak boleh mengira mengikut sub-item tersebut. Kebanyakan daripada perisian adalah mengikut piawaan SMM. Oleh itu
penggunaan perisian tidak memberi sebarang masalah terhadap kuantiti yang dihasilkan.