Menurut C.R. Mitchell dalam bukunya berjudul The Structure of International Conflict pengurusan konflik boleh didefinisikan sebagai satu proses yang merangkumi kesemua kaedah-kaedah yang digunakan di dalam masyarakat untuk menangani keadaan-keadaan konflik yang ada66. Kaedah-kaedah yang dimaksudkan ialah perlu dijalankan proses pencegahan sebelum sesuatu konflik itu timbul. Sekiranya ia gagal dicegahkan maka dilaksanakan proses yang kedua iaitu pengawalan konflik agar konflik itu tidak bertukar kepada tingkahlaku yang mengganggu, merosak atau membinasakan pihak lain. Sekiranya gagal juga, perlu dilaksanakan proses yang ketiga iaitu pemberesan dan penamatan konflik.
Pemberesan konflik merupakan proses untuk menyekat tingkahlaku dalam konflik agar tidak berpanjangan. Contohnya, mengadakan perjanjian dan pengisytiharan gencatan senjata bagi kedua pihak yang berkonflik dan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dalam sesebuah negara yang mempunyai konflik dalaman. Manakala penyelesaian konflik pula merupakan proses untuk menemukan kedua belah pihak untuk berunding bagi menyingkirkan punca-punca konflik. Kaedah-kaedah ini akan dihuraikan lebih lanjut dalam bab dua nanti. Manakala menurut Peter Wallensteen mentakrifkan bahawa penyelesaian konflik atau Conflict Resolution sebagai keadaan dimana pihak-pihak yang berkonflik menyertai perjumpaan untuk menyatakan
66 Mitchell, C.R. (1981) The Structure of International Conflict. The City University, London: The Macmillan Press Ltd. H.256.
29
persetujuan bagi menyelesaikan pertindihan matlamat, menerima pendapat pihak-pihak lain dan memberhentikan tindakan keganasan67.
Dalam kes konflik di wilayah Selatan Thailand, konflik ini telah lama berlaku dan tidak lagi berada ditahap untuk dicegah. Kini, ia melibatkan tingkahlaku yang merosak dan mengganggu. Sebagai contoh, jumlah kematian yang kian meningkat saban hari khususnya di tiga wilayah akibat daripada konflik ini. Guru-guru, sami-sami, ustaz-ustaz, tok imam, ketua komuniti, tentera, polis dan orang awam merupakan kumpulan yang menjadi mangsa. Selain daripada manusia dijadikan mangsa, harta benda juga turut dimusnahkan seperti sekolah-sekolah milik kerajaan dibakar68. Melihat keadaan ini, kerajaan Thailand telah mengisytiharkan Darurat Ketenteraan dengan menghantar pasukan keselamatan untuk menjaga keselamatan dan keamanan masyarakat awam. Tindakan kerajaan ini adalah untuk menyekat tingkahlaku pihak berkonflik agar tidak merebak serta melaksanakan beberapa kaedah untuk menyelesaikannya secara akar umbi. Antaranya penubuhan NRC, penubuhan kembali Southern Border Provinces Administrative Centre (SBPAC), dan bekerjasama dengan Malaysia untuk mencari penyelesaian secara bersama. Secara umumnya, NRC ditubuhkan untuk mengadakan penyelidikan tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh OMIP serta memberi cadangan kepada kerajaan untuk proses pembaikan69. Walau bagaimanapun, cadangan NRC tidak diterima oleh kerajaan kerana isu-isu yang dibangkitkan khususnya penggunaan bahasa Melayu di tiga wilayah bertentangan dengan kepentingan kerajaan70. Justeru itu, konflik Selatan
67Wallensteen, P., op.cit., h. 8.
68 Temubual dengan Narayut Esmaili, Yang dipertua Kelab Saudara, Prince of Songkhla University, Pattani Campus, pada 11 Julai 2007. Bertempat di Prince of Songkhla University, Pattani. Thailand.
Responden bukan nama sebenar kerana atas dasar keselamatan.
69 Report of The National Reconciliation Commission (NRC)., op.cit., h.3.
70 Bakri, M. (2006) Berakhirkah Konflik di Selatan Thailand [Online].[Akses 7 November 2006].
Boleh diperolehi melalui Laman Layar: http://www.utusan.com.my/utusan/tools/keyword_search.asp
30
Thailand masih lagi mencari proses-proses penyelesaian yang mana punca-punca konflik belum lagi diatasi.
Menurut Rubin dalam artikelnya menyatakan terdapat beberapa cara konflik boleh diuruskan apabila ianya timbul. Antaranya ialah dominasi, penyerahan, tidak beraksi, penarikan diri, perundingan dan intervensi pihak ketiga71. Bagi konsep dominasi, satu pihak akan menekan atau membebankan satu pihak lagi sama ada melalui fizikal atau psikologi. Bagi kes di Selatan Thailand, kuasa dominan yang dimiliki oleh kerajaan Thailand digunakan untuk membentuk dasar yang bertentangan dengan kepentingan OMIP serta memaksa mereka mengikut dasar tersebut. Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan dasar Rathaniyom (Thai Custom Degree) pada tahun 1939. Dasar ini bertujuan untuk mengubah identiti, budaya dan agama OMIP kepada identiti Thai. Antara kandungan dasar tersebut memaksa sekolah-sekolah dan pejabat-pejabat kerajaan menggunakan bahasa Siam dan bahasa Melayu dilarang sama sekali, nama-nama keluarga dan kampung ditukar kepada bahasa Thai. Disamping itu, kerajaan Thailand memperkenalkan dasar Nikhom Sang Ton Eng iaitu membangunkan zon perindustrian di wilayah selatan dengan menempatkan lebih ramai pegawai kerajaan dan kakitangan awam yang berbangsa Siam dan Cina serta membina kuil-kuil Buddha di tengah perkampungan orang Melayu Patani72.
Peringkat awal ada beberapa perkara yang boleh mendorong kepada penyelesaian konflik secara aman. Antaranya memberi peluang kepada kelompok minoriti untuk menyertai politik dan wujudnya kuasa federal73. Di Selatan Thailand,
71Rubin, Z. J. (1994) Models of conflict management. (Constructive Conflict Management: An Answer to Critical Social Problem?)Journal of Social Issues. [Online].[Akses 31 Oktober 2007], h. 1. Boleh diperolehi melalui laman layar : http://www.mrs.umn.edu/~joos/class/diplomacy/reading/Rubin.doc
72 Seruan Patani (2000) [Online],[Akses 12 Disember 2003]. Boleh diperolehi melalui Laman Layar:
http://www.geocities.com/pulo 99-2000/seruan.html
73 Miall, Ramsbotham dan Woodhouse., op.cit., h. 108.
31
teori ini telah pun diaplikasikan yang mana dari segi penyertaan politik memang ada pemimpin OMIP telah menang pilihanraya dan bersidang di parlimen Bangkok. Pada masa lalu para cerdik pandai Thai di Bangkok menyifatkan OMIP mempunyai kesedaran politik yang tinggi hampir sama dengan penduduk Bangkok kerana pergolakan politik terus-menerus di kawasan mereka menyebabkan tercetus kesedaran politik yang mendalam di kalangan mereka. Dengan cara ini beberapa pemimpin politik mereka berjaya dilantik dalam beberapa jawatan menteri dan timbalan menteri. Sebagai contoh Wan Mohammad Nor Matha pernah dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri, Menteri Pengangkutan dan Komunikasi dan Menteri Pertanian. Sementara dua lagi pemimpin politik Melayu Thai berwibawa Senator Den Tohmeena dan Areepin Utarasin masing-masing pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pelajaran74. Walau bagaimanapun, kekacauan yang timbul pada hari ini dilihat sebagai kemusnahan kepada kuasa politik OMIP apabila kredibiliti dan imej pemimpin politik mereka dipandang serong75. Sementara itu, kerajaan juga ada mewujudkan kuasa-kuasa federal bagi memastikan OMIP dapat meluahkan ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan dan seterusnya diambil tindakan. Sebagai contoh, SBPAC atau dikenali sebagai So Oo Bo
74 Ibid.
75 Pada awal penyertaan OMIP dalam politik Thailand, pemimpin-pemimpin politik OMIP dilantik sebagai wakil rakyat adalah dari kumpulan Wahdah. Namun, pertubuhan Wahdah ini tidak bertahan lama setelah bergabung dengan Parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin. Pemimpin Wahdah yang bertanding tiada seorang pun yang menang dalam pilihan raya . Wan Mohammad Nor dan Areepin Utrasin yang kini merupakan dua wakil rakyat daripada Wahdah yang berjaya masuk Parlimen adalah kerana mereka merupakan calon senarai parti (party list). Senarai parti bermaksud sebuah sistem yang berbeza dengan sistem perwakilan biasa. Ini kerana semua parti yang bertanding mengikut sistem senarai parti akan menyenaraikan nama calon dalam parti masing-masing yang akan dipamerkan dalam kertas undi. Jadi, Pengundi tidak mengundi calon tetapi mengundi parti dan ini Wan Muhamad Nor Matha dan Areepin Utarasin terselamat manakala wakil-wakil lain dalam kumpulan Wahdah tewas. Penolakan rakyat terhadap Wahdah kerana kerana mereka dilihat tidak dapat melakukan apa-apa untuk menyelesaikan kekacauan di Selatan Thai. Pada waktu yang sama TRT yang mereka bernaung di bawahnya pula dilihat oleh penduduk Melayu Thai sebagai memusuhi mereka. Dengan itu penduduk Melayu Thai terpaksa menolak TRT dan Wahdah sekali gus.
32
To ditubuhkan untuk menjaga kepentingan orang Melayu76. Fungsi utama badan ini adalah untuk menerima aduan orang tempatan terhadap kesalahan yang dilakukan oleh pegawai-pegawai kerajaan. Ketidakadilan atau rasuah di kalangan pegawai kerajaan akan dipantau oleh badan ini serta mempunyai kuasa untuk membawa pegawai-pegawai ke muka pengadilan. Walau bagaimanapun, badan ini telah dimansuhkan oleh Thaksin Shinawatra ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri Thailand77. Pelbagai teori yang boleh digunakan untuk menganalisis konflik yang berlaku di Selatan Thailand dan akan diperkembangkan dalam Bab 2.