PENGALAMAN DAN HARAPAN
DAPATAN AKTIVITI 1. e-NPQEL
5. Pengurusan Majlis dan Etiket di Meja Makan
Aktiviti Pengurusan Majlis dan Etiket di Meja Makan adalah aktiviti yang memerlukan persediaan sebelum, semasa dan selepas terutama sekali pengurusan majlis. Majlis yang akan diuruskan ialah Bicara Ilmu dan Bicara Profesional. Walau bagaimanapun, saya merasa bertuah kerana dapat mengurus Majlis Penutupan Program NPQEL Ambilan 2/2019 sebagai Pengurus Acara/Majlis (Floor manager). Melalui aktiviti ini saya dapat belajar cara-cara mengurus majlis rasmi terutama sekali dari segi protokol dan perjalanan majlis.
Persediaan sebelum majlis berlangsung juga penting dengan mengambil kira kemungkinan-kemungkinan yang ada. Etiket di Meja Makan merupakan aktiviti yang penuh dengan protokol. Aktiviti ini telah dapat mengukuhkan pengetahuan saya dalam adab serta tata cara makan di dalam majlis-majlis rasmi. Saya berpandangan bahawa, aktiviti ini sangat bermanfaat kerana walaupun saya pernah didedahkan dengan pengetahuan etiket meja di makan sebelum ini, namun pengalaman untuk ditaksir dalam aktiviti ini menjadikan kami lebih bersedia serta faham tentang elemen-elemen utama yang perlu dipamerkan semasa menjamu selera dalam majlis rasmi. Selain dari itu, aktiviti ini turut memberikan saya serta rakan-rakan sekelas lebih memahami dan bersedia dalam penganjuran majlis rasmi sama ada di dalam sekolah atau di luar sekolah yang melibatkan jemputan orang kenamaan dan sebagainya. Kejayaan sesuatu majlis rasmi yang dikelolakan akan lebih terserlah dengan persediaan yang rapi.
Kompetensi yang boleh dikaitkan dalam aktiviti ini ialah seperti Berkomunikasi Berkesan di mana saya telah berjaya untuk mempengaruhi serta meyakinkan rakan sepasukan dalam melaksanakan tugas dan saya berjaya meyakinkan mereka. Bekerja dengan rakan-rakan yang mempunyai pelbagai pengalaman serta latar belakang yang berbeza menjadikan saya perlu mempelbagaikan teknik dalam komunikasi agar semua matlamat yang telah ditetapkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Saya juga dapat mengaitkan aktiviti ini dengan kompetensi berkepemimpinan, sangat jelas dapat dipamerkan dan dipraktikkan melalui aktiviti pengurusan majlis. Secara keseluruhannya, tanpa perbincangan serta sumbang saran yang mantap saya melihat elemen pengagihan tugasan dan membimbing pasukan ke arah matlamat yang sama sukar untuk dicapai. Kepimpinan amat memainkan peranan yang penting dalam memastikan bahawa seluruh tenaga kerja dalam kelas kami perlu berada dalam trek yang sama serta sehaluan. Elemen kepimpinan ini telah berjaya menyatukan kami semua untuk menjayakan majlis yang dianjurkan walaupun dalam tempoh masa yang singkat serta dihimpit pelbagai kekangan dan kesibukan menyiapkan tugasan.
Selain itu juga, melalui elemen berkeperibadian tinggi, kompetensi ini dapat dilihat dalam aktiviti Etiket di Meja Makan. Walaupun suasana semasa ditaksir agak sedikit kaku, namun saya bersama-sama rakan dalam meja yang sama telah cuba sedaya upaya untuk menghidupkan suasana dengan memulakan bicara santai Bersama-sama rakan bersebelahan. Elemen mendahulukan wanita serta tidak gelojoh dan mengambil makanan yang lebih dekat sebenarnya dapat diamalkan dengan lebih meluas dalam kehidupan kita dan bukan hanya semasa majlis rasmi sahaja. Ini dapat menyerlahkan lagi aura kita sebagai pemimpin apatah lagi apabila duduk bersama dengan orang kenamaan dalam majlis rasmi. Apabila berada di sekolah sudah pasti ada banyak majlis rasmi yang dianjurkan oleh sekolah. Saya akan mempraktikan apa yang dipelajari semasa pengurusan majlis untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar dan mematuhi protokol yang sepatutnya. Saya juga akan menyebarkan pengetahuan tentang pengurusan majlis ini agar semua warga sekolah dapat menguasai dan memahami tatacara pengurusan majlis rasmi. Protokol yang dipelajari dalam Etiket di Meja Makan pula rasanya tidaklah selalu digunakan di sekolah. Walau bagaimanapun sebagai pengetahuan boleh juga disebarkan. Pengurusan Majlis dan Etiket di Meja Makan ini pada keseluruhannya dapat mendedahkan kepada saya protokol yang ada dalam majlis rasmi dan juga protokol di meja makan. Aktiviti ini penting untuk pemimpin sekolah kerana sepanjang sesi persekolahan penganjuran majlis rasmi sudah terdapat dalam takwim sekolah. Setiap penganjuran majlis rasmi sudah pasti perlu mengikut tatacara yang betul agar majlis berjalan dengan sempurna.
PENUTUP
Ketika mula mendaftar dalam mod bersemuka di Kampus IAB Cawangan Sabah, perasaan berbelah bahagi timbul kerana saya merupakan satu-satunya calon pengetua daripada 74 orang peserta NPQEL Ambilan 2/2019. Perasaan ini semakin bercelaru apabila dalam taklimat yang disampaikan oleh Penyelaras NPQEL memaklumkan saya terpaksa membuat kerja bersendirian kerana stimulus yang diberikan adalah berbeza dari calon guru besar. Namun, saya kuatkan semangat dan digagahi juga kerana sekali sudah melangkah ke dalam dunia NPQEL untuk berundur tidak akan sekali-kali dilakukan.
Berkat ketekunan dan kesabaran menghadapi cabaran yang diberikan, maka inilah coretan pengalaman yang pasti tidak akan dilupakan sepanjang hayat. Pengalaman mengikuti Program NPQEL banyak mengajar saya bagaimana untuk mematuhi arahan, memberi arahan dan menghormati arahan yang diberikan oleh ketua mahu pun pensyarah. Keupayaan sebagai pemimpin begitu teruji apabila berhadapan dengan situasi-situasi yang mendesak saya membuat keputusan.
Syabas dan tahniah kepada pihak IAB Cawangan Sabah kerana berjaya membentuk saya dan juga para peserta dalam menyediakan diri kami untuk menjadi pemimpin berprestasi tinggi seperti yang terdapat dalam Anjakan Ke-5 PPPM. Kemahiran yang dimiliki oleh pensyarah IAB Cawangan Sabah telah berperanan sebagai penyelia pembimbing, panel pentaksir telah mampu memberi teguran secara profesional. Para pensyarah juga bertindak sebagai rakan dan sahabat. Ini semua telah menjadi faktor menyokong kejayaan saya dalam mengikuti kursus ini.
Secara keseluruhannya, Program NPQEL ini telah berjaya mencapai objektifnya untuk melatih pemimpin sekolah menjadi pemimpin yang berprestasi tinggi. Kurikulum NPQEL Versi 2018 merupakan kurikulum baharu yang menjadi taruhan IAB bagi melahirkan pemimpin sekolah yang berprestasi tinggi. Walau bagaimanapun semuanya terletak pada diri sendiri juga. Perasaan ingin membuat perubahan perlu ada terlebih dahulu bagi merangsang diri untuk membuat sesuatu pada sekolah yang dipimpin. Menurut Yahya dan Yaakob (2011) ada pelbagai kompetensi kepimpinan yang perlu ada di sekolah-sekolah. NPQEL telah menyediakan diri seorang pemimpin sekolah itu dari segi mental dan fizikal untuk mengharungi arus dunia pendidikan yang dinamik. Inilah satu coretan pengalaman mengharungi Program NPQEL dan satu harapan selepas menamatkan Program NPQEL.
RUJUKAN
Abdul Ghani Abdullah, Abd. Rahman Abd. Aziz, & Mohammed Zohir Ahmad. (2008). Gaya- gaya kepimpinan dalam pendidikan. Kuala Lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
McNair, D.E., Duree, C.A. & Ebbers, L. 2011. If I knew then what I know
now: Using the leadership competencies developed by the American Association of Community Colleges to prepare community college presidents
Institut Aminuddin Baki. (2018). Kamus Kompetensi Program Kelayakan
Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan NPQEL. Versi 2018. Bandar Enstek: Institut Aminuddin Baki.
Retna K.S. (2011). The relevance of personal mastery leadership: the case of
school Principals in Singapore. School Leadership and Management, 20(2), 451-470
Rosnah Ishak, Muhammad Faizal A.Ghani dan Saedah Siraj. (2014). Amalan
kepimpinan organisasi pembelajaran di sekolah berprestasi tinggi Malaysia. Jurnal kepimpinan pendidikan. Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Julai 2014, bil.1, Isu 2, 1 – 12.
Sabuddin Hussin bin Alipin. (2013). Hubungan gaya kepimpinan pengetua
dan stres dengan hasrat meningkatkan profesional perguruan. Jurnal Pendidikan. Universiti Malaysia: Sabah
Yahya, Don & Yaakob, Daud. (2011). Kompetensi kepemimpinan dan budaya