• Tidak ada hasil yang ditemukan

METODOLOGI 3.1 Pengenalan

3.2 Soalan Kajian

Pada Bab 1 muka surat 16, telah dinyatakan tiga soalan kajian yang menjadi fokus bahasan penyelidikan ini. Ketiga-tiga soalan kajian itu adalah seperti berikut:

1. Apakah jenis-jenis wacana yang terdapat dalam pertuturan masyarakat Seletar dari aspek Semiotik Sosial?

2. Bagaimanakah ketiga-tiga unsur gaya Semiotik Sosial boleh digambarkan dalam pertuturan masyarakat Seletar?

3. Bagaimanakah pertuturan masyarakat Seletar menunjukkan modaliti yang wujud di antara ahli-ahli masyarakat.

Bagi soalan kajian 1, objektif yang diingin ialah bagi mengenalpasti jenis-jenis wacana yang terdapat dalam masyarakat Seletar. Wacana dalam bahasa Seletar wujud dalam

62

pelbagai situasi di antaranya ialah dialog, ucapan, mesyuarat, dan rutin harian. Kesemua bentuk situasi ini merupakan pewujudan makna melalui bahasa di kalangan masyarakat Seletar ketika menjalani kehidupan sehari-hari.

Bagi situasi berbentuk dialog dapat dipecahkan lagi menjadi bahagian-bahagian kecil seperti dialog ketika santai misalnya ketika menunggu suami pulang dari laut, gossip, keluhan mengenai kepayahan hidup. Selanjunya ada juga dialog ketika menjalani urusan berjual beli misalnya jualan runcit dan jualan hasil laut. Sementara itu, dialog mengenai rutin harian sebagai nelayan berkaitan dengan pekerjaan sebagai nelayan seperti memancing, menjaring atau memukat, mencari kupang, perumpun, menyelam dan sebagainya.

Situasi berikutnya ialah ucapan. Ucapan yang disampaikan oleh tentunya orang yang berjawatan di kalangan anggota masyarakat Seletar. Dalam hal ini ucapan yang dimaksudkan ialah ucapan Tok Batin sebagai ketua masyarakat mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan kepentingan anggota masyarakat misalnya mengenai pendidikan, kesihatan, keselamatan anggota masyarakatnya. Seringkali Tok Batin diminta oleh pihak-pihak seperti JHEOA, pihak sekolah, Majlis Bandaran dan lain-lain untuk menyampaikan amanat mahupun maklumat bagi mewakili pihak-pihak tersebut.

Situasi berikutnya ialah mesyuarat. Mesyuarat di peringkat kampung selalunya dianjurkan oleh JKKK kampung tersebut. Mesyuarat ini di pengerusikan oleh Tok Batin sementara ahli-ahli mesyuaratnya terdiri dari ahli jawatan kuasa JKKK kampung tersebut. Lazimnya ada mesyuarat bulanan dan mesyuarat atas permintaan penduduk mahupun panggilan mesyuarat oleh Tok Batin sendiri kerana diarahkan oleh pihak-pihak tertentu seperti JHEOA. Di antara agenda mesyuarat tersebut ialah persediaan mengadakan gotong royong bagi membersihkan kampung, permohonan bantuan kepada

63

nelayan, pengurusan surau, pencerobohan kawasan kampung oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab dan sebagainya.

Bagi menjawab soalan kajian 1, setiap situasi itu akan dibahaskan mengikut aturan yang telah ditentukan iaitu (a) Unsur-unsur Wacana, (b) Senario Teks, dan (c) Analisis Struktur Perbualan. Dalam (a) unsur wacana terdiri dari 7 unsur. Kesemua 7 unsur ini merupakan kesatuan yang tidak boleh dipisahkan memandangkan wacana secara definisinya adalah suatu rentetan peristiwa dengan suatu maksud yang jelas. Ketujuh-tujuh unsur itu ialah, (1) aksi, (2) sikap, (3) aktor, (4) Persembahan dan penampilan, (5) Sumber, (6) Masa dan (7) Ruang. Sila rujuk Bab 2, Kajian Pustaka, muka surat 43 bagi mendapatkan maksud setiap satu dari tujuh unsur wacana ini. Sementara itu dalam (b) scenario teks bermaksud untuk menggungkapkan scenario yang membangun suatu teks itu. Bahasan mengenai (b) ialah lanjutan bahasan (a). Namun bezanya dalam (b) berbanding (a) ialah setiap dari tujuh unsur itu diletakkan di dalam tujuh kolum yang berbeza secara menegak, sementara setiap peristiwa yang menghubungkan ketujuh-tujuh unsur ini diletakkan secara melintang. Selanjutnya peristiwa tuturan yang diletakkan secara mendatar ini dipisahkan secara mendatar pula oleh tanda ( ) dengan kolum yang dikosongkan.

Soalan kajian 1 selanjutnya ialah (c) analisis struktur perbualan. Analisis (c) dikemukakan jadual yang terdiri dari tiga kolum. Kolum pertama ialah keseluruhan teks yang diletakkan dalam barisan (L) dan diberi nombor barisan dan nombor tuturan. Kolum dua diletakkan Kata kunci sementara kolum ketiga ialah nombor bagi setiap tuturan yang mewakili satu pertuturan. Setiap kata kunci mewakili satu maksud tuturan. Dalam hal ini, tuturan itu dapat berupa pengambilan giliran, seruan, soalan, jawapan dan sebagainya. Kata kunci ini ada yang mewakili keseluruhan maksud tuturan itu sehingga maksudnya disesuaikan dengan kata kunci yang dipilih. Kata kunci seumpama

64

ini bersifat eksplisit kerana rumusan bagi menamakan kata kuncinya diambil dari kata-kata yang terdapat dalam tuturan tersebut. Bagi kata-kata kunci yang dirumuskan berdasarkan pengertian yang perlu ditakrifkan ini disebut implisit.

Selanjutnya, bagi menjawab soalan kajian 2, mengenai gaya berdasarkan sudut pandang semiotik sosial, bahasa mengenai gaya dipecahkan kepada tiga iaitu (1) gaya individu, (2) gaya sosial dan (3) gaya hidup atau lifestyle. Di antara perkara yang dibincangkan dalam (1) ialah ciri-ciri individu yang muncul sama ada melalui cara bertutur, cara mengungkapkan pandangan, loghat, pelat termasuklah juga atau bahasa tubuh. Sungguhpun individu ini terikat dengan fungsinya sebagai anggota masyarakatnya namun jatidiri atau ciri-ciri individu itu tetap muncul dalam perbualan sehingga menyebabkan individu berkenaan dapat dibezakan dengan individu yang lain. Sementara itu, dalam (2) gaya sosial pula diperhatikan mengenai jatidiri seseorang itu sebagai anggota masyarakat. Justeru itu pandangan, buah fikiran cenderung dikemukakan berdasarkan norma dan nilai yang mengatur masyarakat ini secara kolektif. Gaya sosial juga berkaitan dengan fungsi dan posisi individu di dalam masyarakat. Ini bermakna setiap pandangan, buah fikiran yang diungkapkan adalah atas kapasiti individu itu sesuai dengan fungsi mahupun statusnya di dalam masyarakat. Akhir sekali, bagi menjawab soalan kajian 1 ini, dibincangkan mengenai (3) Gaya hidup atau pun lifestyle iaitu gabungan gaya individu mahu pun gaya sosial. Dengan demikian, dalam gaya hidup ini, individu itu dapat dikenalpasti gayanya berdasarkan ciri-ciri individunya, peranan, tanggungjawab dan status dalam masyarakat serta lumrah individu itu menjalani kehidupannya sebagai anggota masyarakat. Misalnya di dalam organisasi kemasyarakatannya dia menjawat jawatan Tok Batin (status sosial), dalam masa yang sama dia tetap sama seperti individu Seletar yang lain kerana tetap turun ke laut kerana bekerja sebagai nelayan. Jadi dalam gaya hidup ini dapat ditonjolkan ciri

65

individu, ciri sosial yang berkaitan dengan peranan dan tanggungjawabnya sebagai anggota masyarakat Seletar.

Selanjutnya ialah mencari jawapan bagi soalan (3) yang berkaitan dengan modaliti yang wujud di antara ahli-ahli masyarakat Seletar. Perkara yang difokuskan dalam soalan ini ialah modaliti. Dalam penyelidikan ini, dibahaskan hanya satu aspek dari beberapa cara untuk membahas modaliti. Aspek itu ialah modaliti. Modaliti berkaitan dengan kategori nahu yang dihubungkan dengan ekspresi tentang tanggungjawab, keizinan, larangan, kesesuaian, kemungkinan, kemampuan dan sebagainya. Pembahasan mengenai modaliti ini akan menampilkan dua jenis modaliti iaitu modaliti lingusitik dan modaliti visual. Sungguh pun modaliti ini dipecah menjadi dua bahagian namun hakikatnya modaliti ada satu. Ini ialah kerana tuturan dikesan dalam modaliti lingusitik sementara aspek bukan lisan dikesan dalam modaliti visual. Kesejajaran mengenai apa yang dituturkan akan kelihatan dalam visual seperti pergerakan tangan, gelengan kepala, kerutan wajah, mimik muka dan sebagainya.