GTP bantu percepat usaha basmi kemiskinan
2011/04/03
LAPORAN prestasi keseluruhan Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010, baru-baru ini menunjukkan hasil membanggakan. Wartawan Berita Minggu, ROHANIZA IDRIS dan MOHD AZIS NGAH mendapatkan Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), DATUK DR MAHANI ZAINAL ABIDIN serta Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF DR ABD RAHIM MD NOR yang juga pakar pengangkutan awam untuk membincangkan kejayaan program dari segi pembasmian kemiskinan dan sistem pengangkutan negara.
DR MAHANI ZAINAL ABIDIN
Prestasi GTP untuk pembasmian kemiskinan menunjukkan 44,535 isi rumah berjaya dikeluarkan daripada kategori miskin tegar dan 15,868 daripada kelompok miskin. Apa reaksi Datuk.
Berdasarkan prestasi itu jelas menunjukkan Malaysia memang mendahului negara sedang membangun lain dalam pembasmian kemiskinan kerana kita mengukur tahap kemiskinan rakyat berdasarkan garis kemiskinan antarabangsa. Statistik juga menunjukkan program GTP yang dijalankan berjaya memacu usaha kerajaan menangani dan membasmi kemiskinan dengan lebih cepat. Hakikatnya Malaysia sudah lama berjaya membasmi kemiskinan mutlak iaitu kelompok yang tiada keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal. Kini tumpuan kerajaan, saya lihat lebih kepada usaha mengeluarkan miskin tegar kepada miskin dan miskin kepada berpendapatan sederhana. Prestasi bidang ini sangat memberangsangkan dan kejayaan ini perlu diberi pujian. Jika kerajaan mahu membuat perbandingan mengenai tahap kemiskinan rakyat, perlu bandingkan dengan negara maju. Jika dulu kita
membandingkan tahap kemiskinan kita dengan Kemboja, kini melalui prestasi memberangsangkan itu, perbandingan perlu dibuat dengan Korea sebagai contoh.
Sejauh mana kejayaan ini benar-benar dirasai rakyat kerana masih ada mendakwa tidak merasai kesannya.
Ketika ini garis kemiskinan tegar adalah pendapatan isi rumah RM750 sebulan. Berbanding 10 tahun lalu, ia sangat berbeza. Jika mengikut garis kemiskinan antarabangsa, Malaysia jauh lebih baik kerana rakyat mendapat keperluan asas, tempat tinggal, makanan dan pakaian berbanding rakyat di sesetengah negara di benua Afrika. Tanggapan rakyat mengenai kemiskinan kini jauh berbeza dan tidak boleh lagi dibandingkan dengan takrif kemiskinan antarabangsa. Takrifan kemiskinan bukan lagi mengambil kira aspek keperluan asas kerana semua itu sudah dimiliki, sebaliknya kemiskinan pada kaca mata rakyat dilihat dalam perspektif berbeza. Kemiskinan di Malaysia adalah relatif iaitu taraf hidup seseorang diukur melalui perbandingan dengan kehidupan orang lain di sekeliling. Contohnya seseorang itu dianggap miskin bukan hanya kerana pendapatan rendah tetapi aspek lain seperti tiada
kenderaan, rumah, perabot atau produk teknologi maklumat dan komunikasi. Justeru kerajaan perlu melihat kembali bagaimana mahu mengukur tahap kemiskinan rakyat supaya orang ramai rasa kesan pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan.
Tumpuan kini meningkatkan keupayaan kelompok miskin tegar dan miskin, bukan hanya menukar status mereka. Bermakna selain tingkatkan pendapatan, kerajaan bantu tingkatkan produktiviti mereka, kemahiran dan keupayaan dengan bantuan seperti latihan keusahawanan dan kemahiran. Dengan kata lain, golongan miskin diberikan keupayaan untuk ubah hidup, bukan hanya bergantung kepada kerajaan. Kita ambil contoh China yang berjaya
mengeluarkan lebih 70,000 rakyatnya daripada paras miskin dengan mewujudkan banyak peluang pekerjaan melalui aktiviti ekonomi yang berkembang baik di sana. Langkah seperti ini perlu diberikan perhatian oleh kerajaan kita jika mahu kelompok miskin dan miskin tegar diselamatkan.
Di sebalik kejayaan GTP ini, masih ramai juga mempersoalkan sama ada program berkenaan realistik atau tidak.
Apa yang boleh kerajaan laksanakan bukan hanya menunjukkan prestasi menurunkan angka golongan miskin dan miskin tegar, tetapi membetulkan tanggapan mengenai kemiskinan yang berbeza mengikut faktor geografi, persekitaran dan latar belakang masyarakat. Apa yang dilaksanakan kerajaan memang realistik tetapi rakyat mahukan lebih seperti isu kemiskinan yang dikaitkan dengan pengangkutan dan perumahan.
Jika dulu rakyat anggap mereka yang tiada kenderaan itu miskin tetapi kini yang ada kenderaan pun boleh dikategorikan miskin jika berpendapatan rendah dengan jumlah
tanggungan besar termasuk anak bersekolah yang ramai. Sama juga dalam isu persekolahan, rata-rata rakyat mampu ke sekolah tetapi ada ibu bapa tak mampu hantar anak tuisyen atau ke kelas tambahan. Jadi harapan rakyat, isu sebegini perlu ditangani. Rakyat mahu kerajaan menyediakan kehidupan lebih baik kepada mereka. Isu peningkatan kualiti hidup adalah apa yang rakyat mahu diambilkira dalam mengukur tahap kemiskinan.
Adakah kejayaan GTP ini hanya di atas kertas atau benar-benar berlaku dalam masyarakat.
Kejayaan memang wujud, jika tidak bagaimana angka dalam statistik diperoleh. Namun seperti saya nyatakan tadi masih banyak perlu dilakukan kerana usaha sekarang bukan hanya menyelesaikan baki kelompok miskin dan miskin tegar yang masih tinggal tetapi memastikan tidak wujud kelompok baru dalam kategori berkenaan. Contohnya mereka yang bersara, mungkin akan masuk dalam kumpulan miskin tegar apabila pendapatan berkurangan dan pada masa sama terpaksa mengeluarkan belanja besar untuk kos perubatan.
Jadi, apa lagi usaha harus dilakukan bagi memastikan program pembasmian kemiskinan dicapai, sekali gus menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020. Sebenarnya banyak program pembasmian kemiskinan dilaksanakan kerajaan sebelum GTP diperkenalkan dan sudah pun berjaya. Misalnya pada 1970, 49 peratus kelompok masyarakat adalah miskin, kini hanya tiga peratus. Ini satu kejayaan besar. Pada saya kerajaan kini perlu lebih fokus dan memastikan program ini diterima orang yang memerlukan. Pada peringkat pelan perancangan memang ada usaha dilakukan kerajaan namun pelaksanaan perlu ditingkatkan lagi walaupun usaha itu sudah ada.
Kita perlu lihat masalah kemiskinan untuk masa depan, bukan hanya menyelesaikan untuk situasi semasa saja kerana cabaran kemiskinan akan datang sudah tentu berbeza dengan
cabaran hari ini. Perspektif baru mengenai kemiskinan juga perlu dilihat selain kelompok baru yang hampir dengan garis kemiskinan atau mereka yang berpotensi jadi miskin seperti orang berpencen yang pendapatannya mula berkurangan dan terpaksa menanggung kos perubatan tinggi, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rendah, ibu tunggal dan pekerja bergaji rendah yang tinggal di bandar. Sistem sokongan perlu disediakan seperti bantuan penjagaan anak-anak untuk ibu tunggal keluar bekerja, subsidi kos perubatan atau penjagaan kesihatan dan perlindungan untuk warga tua. Bantuan bagi memastikan orang miskin dapat berdikari menerusi program 1Azam perlu diteruskan, begitu juga isu
perumahan, kesihatan, pengangkutan selain isu utama iaitu pendapatan isi rumah. Pada masa sama kerajaan perlu beri tumpuan kepada aspek pendidikan iaitu yang lebih berkualiti termasuk hapuskan jurang pendidikan di antara orang miskin dan orang berada, latihan kemahiran vokasional dan teknikal.
Dalam menyediakan peluang perniagaan dan keusahawan, bukan hanya beri bantuan modal tetapi permudahkan permohonan permit, lesen perniagaan serta pinjaman mudah. Latihan dan peningkatan keusahawanan juga perlu diteliti. Kerajaan juga harus menyemak jurang
kemiskinan mengikut kawasan serta mentafsir kembali takrif kemiskinan mengikut sempadan geografi dan persekitaran. Terakhir, cabaran masa depan seperti tanggapan rakyat mengenai tafsiran kemiskinan yang sudah berubah juga perlu diambil berat kerana rakyat kini mahukan kualiti hidup ditingkatkan selaras usaha kerajaan menjadikan Malaysia negara maju
menjelang 2020.
Kualiti pengangkutan awam boleh dibanggakan DR ABD RAHIM MD NOR
Boleh Prof ulas secara keseluruhan mengenai pencapaian GTP 2010 dalam bidang pengangkutan.
Satu daripada enam perkara ditekankan program ini ialah pembaikan sektor pengangkutan awam bandar, khasnya di Lembah Klang yang kini memperoleh nama baru ‘Greater Kuala Lumpur’. Ketika ini keadaan pengangkutan awam menjadi masalah utama di wilayah ini, jumlah penumpang komuter 40 peratus lebih tinggi daripada kapasiti, perkhidmatan tidak boleh dipercayai dengan kelewatan dan pembatalan trip, kesalinghubungan kurang baik dalam kalangan jaringan pengangkutan trek dan kurangnya akses untuk orang ramai mendapatkan pengangkutan awam dengan hanya 61 peratus penduduk tinggal dalam lingkungan 400 meter dari laluan bas. Kualiti perkhidmatan merosot menyebabkan pengangkutan awam semakin tidak mendapat sambutan dengan peratusan penggunaan menurun daripada 34 peratus pada 1985 kepada 20 peratus pada 1997 dan sekitar 10 hingga 12 peratus pada 2010.
Selepas setahun dilaksanakan, GTP pengangkutan awam menampakkan hasil positif. Pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) berjaya mengurangkan kesesakan akibat bas dengan anggaran 500 hingga 600 bas dapat dielakkan daripada memasuki pusat bandar setiap hari. Bagi memberikan lebih perlindungan dan keselesaan kepada penumpang, 634 hentian bas di Ampang Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Selayang, Sepang, Kajang dan Petaling Jaya dibaik pulih. Penambahan 22 set tren empat gerabak baru untuk LRT laluan Kelana Jaya membolehkan laluan itu membawa lebih 2.43 juta penumpang sepanjang tahun lalu.
Pengenalan khidmat bas ekspres dalam bandar iaitu lima Bus Expressway Transit (BET) yang menggunakan lebuh raya menjimatkan masa perjalanan penumpang yang meningkat 192 peratus sepanjang setahun diperkenalkan. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ditubuhkan mengawal selia pengangkutan awam darat yang sebelum ini diurus kementerian serta 12 agensi berbeza.
Adakah TBS-BTS yang berharga RM570 juta itu mampu memenuhi sasaran dan diterima oleh pengguna serta pengusaha bas.
Terminal itu destinasi akhir semua bas ekspres dari selatan Semenanjung, khasnya Seremban, Melaka dan Johor Baharu. Langkah ini mengurangkan kesesakan bas di Kuala Lumpur kerana mulai 1 Mac 2011 semua bas ekspres dari selatan tidak lagi masuk ke pusat bandar. Terminal berintegrasi dengan laluan LRT, komuter dan ERL ini tentu jadi pilihan kerana memudahkan perjalanan, penumpang boleh menukar perjalanan dan memilih jenis pengangkutan. Mereka yang ke situ atas pelbagai urusan termasuk balik kampung atau menjemput keluarga tidak perlu meredah kesesakan lalu lintas seperti di Hentian Puduraya. Terminal enam tingkat ini dilengkapi 55 platform untuk 1,000 bas keluar masuk, 150 ruang bagi teksi termasuk untuk perjalanan jauh dan 1,800 tempat duduk dalam terminal berhawa dingin.
Ia mampu menampung 45,000 pengguna sehari, 19 kaunter tiket disediakan dilengkapi skrin dan mikrofon untuk memudahkan komunikasi penumpang dengan staf kaunter. Penumpang boleh membeli tiket secara tunai atau melalui enam kios. Ini akan menghapuskan ulat tiket. Bagi pengguna kereta, 1,000 ruang letak kenderaan disediakan. Ruang khas wanita juga ada bagi keselamatan mereka. Di luar terminal, landskap ditanam 10,000 jenis tumbuhan. Sistem Hampagas Berpusat dipasang bagi memastikan pencemaran oleh ekzos bas terkawal. Sistem Siaran Informasi Pengunjung (PIDS) disediakan untuk orang ramai tahu jadual perjalanan bas. Kemudahan lain adalah seperti restoran, mesin ATM, bilik rehat VIP, surau, tandas, tempat menukar lampin bayi serta perkhidmatan WiFi, keistimewaan untuk Orang kurang Upaya (OKU) termasuk lantai penunjuk arah, kaunter perkhidmatan dan tiket yang direndahkan, tandas, lif, laluan jalan istimewa serta petak letak kereta khas.
Suatu transformasi besar dalam sistem pengangkutan awam seperti TBS-BTS ini pasti menempuh masalah penerimaan pada peringkat awal. Dalam beberapa minggu selepas dibuka pada 1 Januari 2011, tidak banyak syarikat bas berpindah ke situ. Faktor penolak utama ialah caj terhadap syarikat bas yang menggunakan terminal selain masalah
infrastruktur tiket. Tempoh dua bulan diberikan untuk syarikat bas berunding dengan
pengurusan terminal dan SPAD sebagai orang tengah. Mulai 1 Mac 2011, kerajaan bertindak tegas terhadap 51 pengusaha membabitkan 1,907 bas ekspres sekiranya masih enggan
berpindah ke terminal itu.
Beralih kepada pengangkutan awam di Lembah Klang. Berdasarkan kajian sebuah syarikat swasta pada Ogos 2010, hanya 48 peratus daripada 10,000 responden berpuas hati dengan perkhidmatan ini. Kenapa ia berlaku.
Orang ramai di Lembah Klang memang belum puas hati. Kajian pada Ogos 2010
menunjukkan hanya 28 peratus pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan komuter, hanya 38 peratus berpendapat khidmat bas sedia ada di Lembah Klang adalah baik, majoriti belum puas hati dari segi pencapaian perkhidmatan, ketepatan masa, masa menunggu dan masa
perjalanan, keadaan bas, kemudahan perpindahan dan sikap pemandu. Bagaimanapun, 63 peratus pengguna berpendapat LRT sangat berdaya harap dan ini peratusan menggalakkan. Memang banyak usaha dilaksanakan tetapi keadaan belum memuaskan kerana pengangkutan awam memerlukan kos mahal, tambahan pula kawasan liputan perkhidmatan sangat luas seperti Lembah Klang. Pihak swasta tidak boleh diharapkan kerana sektor ini tidak
menguntungkan mereka. Pengguna sentiasa mengharapkan perkhidmatan terbaik, tetapi tidak sanggup bayar tambang mahal menyebabkan operator kerugian.
Kita perlu memahami situasi kerana pengguna adalah rakyat berpendapatan rendah, orang sedang mencari kerja, belia, pelajar dan suri rumah. Banyak inisiatif dilancar sejak setahun lalu tetapi belum membuahkan hasil sepenuhnya. Untuk komuter, empat set EMU enam gerabak ditempah tetapi hanya akan tiba dan beroperasi Disember 2011. Sebanyak 480 bas baru akan ditambah tahun ini dan LRT laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang sedang disambung hingga Putra Height sepanjang 35 kilometer. Sistem MRT laluan Sungai Buloh-Kajang masih dalam perancangan dan dijangka mula dibangunkan pertengahan 2011. Langkah lain sedang dan akan dilaksanakan ialah pembinaan perhentian bas baru,
penambahbaikan perhentian bas lama, menambah lorong khas bas dan penyusunan semula rangkaian laluan bas.
Jumlah pengguna tren di Lembah Klang semakin meningkat, bukti rakyat lebih gemarkan tren berbanding bas. Perlukah bandar utama di negeri lain menikmati kemudahan sama.
LRT ada banyak kelebihan dan berpotensi menarik penumpang. Jika perkhidmatan mencukupi, pengguna pasti meninggalkan kereta di rumah dan guna LRT ke tempat kerja bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan. LRT dijadual kemas oleh komputer dan selamat berbanding motosikal, kereta atau bas, tetapi kita tidak boleh berharap kemudahan ini berkembang cepat di luar Lembah Klang kerana kos pembinaannya tinggi. Pembangunannya di bandar lain juga tidak boleh diharapkan kerana faktor sama. Pendekatan terbaru belum dicuba ialah konsep TOD (pembangunan berasaskan transit) yang boleh mendorong faktor menang-menang dalam operasi pengangkutan kerana operator, penumpang, kerajaan dan swasta mendapat faedah secara bersama.