• Tidak ada hasil yang ditemukan

CABARAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM USAHA MENCAPAI NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "CABARAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM USAHA MENCAPAI NEGARA BANGSA DI MALAYSIA"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

181

CABARAN PEMERKASAAN BAHASA MELAYU DALAM USAHA MENCAPAI NEGARA BANGSA DI MALAYSIA

(The Challenge of Empowering Malay Language in Achieving Nation State in Malaysia) Ibrahim Majdi Mohamad Kamil1*, Maliati Mohamad1

1 Centre For Fundamental Studies (CFS), Management & Science University, University Drive Off Persiaran Olahraga, 40100 Shah Alam Selangor Darul Ehsan

*Corresponding Author: ibrahim_majdi@msu.edu.my

Received: 12 Februari 2020 • Accepted: 21 April 2020 • Published: 31 October 2020

Abstract

Malaysia is a multi ethnic country that has a diverse culture. The policy during the colonial era caused a conflict between ethnic groups in Malaysia.To foster a racial integration in Malaysia, the government has been striving to create a nation state.One of the most important methods in creating a nation state is through the use of one language which is ‘Bahasa Melayu’.Various efforts have been made by the Government in order to upholding the Malay language.Among them have established laws and special Act on Malay language, writing in various fields in the Malay language and the establishment of Wawasan school.The findings found some challenges in achieving the nation state are lack of fluency in Malay language among the multi-racial society, political aspects, education and the usage of the ‘rojak’ Malay language. Various efforts from the Government in empowering the Malay language need to be pursued so that the Malay language can be one of the main tools in moulding the identity of the Malaysian society.

Keywords: Malay language, nation state, challenges, Malaysia

Abstrak

Negara Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik dan suku kaum. Dasar penjajah ketika era kolonial telah menyebabkan berlaku konflik antara kaum di Malaysia. Bagi memupuk integrasi antara kaum di Malaysia, kerajaan telah berusaha mewujudkan sebuah negara bangsa. Salah satu kaedah yang penting dalam mewujudkan negara bangsa adalah menerusi penggunaan satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu. Pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. http://dx.doi.org/10.37231/apj.2020.3.2.152

(2)

182

Antaranya dengan mewujudkan undang-undang dan akta khas mengenai bahasa Melayu, penghasilan penulisan dalam pelbagai bidang dalam bahasa Melayu dan penubuhan Sekolah Wawasan. Dapatan kajian artikel ini mendapati beberapa cabaran yang mengekang usaha untuk mencapai negara bangsa melalui bahasa Melayu antaranya kurang penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, aspek politik, pendidikan dan penggunaan bahasa Melayu yang salah. Pelbagai usaha daripada pihak kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu perlu diteruskan supaya bahasa Melayu boleh menjadi salah satu alat utama dalam membentuk identiti masyarakat Malaysia.

Kata kunci: Bahasa Melayu, negara bangsa, cabaran, Malaysia

PENDAHULUAN

Negara Malaysia dikenali sebagai masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina, India, serta bumiputera Sabah dan Sarawak.Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Malaysia telah berusaha untuk membentuk sebuah negara bangsa, iaitu melahirkan masyarakat yang berpegang kepada konsep satu bangsa, satu identiti.Walaupun Malaysia berjaya mengurangkan konflik dan ketegangan antara kaum, namun objektif Malaysia untuk mencapai tahap negara bangsa masih lagi jauh.Peranan masyarakat sangat penting dalam membentuk negara bangsa terutama apabila terdapatnya rasa hegemoni antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Pembentukan negara bangsa memerlukan masyarakat di dalam Malaysia mempunyai rasa hegemoni dengan masyarakat Malaysia yang lain. Sebelum perbincangan lebih lanjut berkenaan topik utama, perlulah didedahkan dengan konsep negara bangsa.

Negara menurut Ibn Khaldun (1991) merupakan suatu tubuh yang keadaanya sama seperti tubuh manusia, mempunyai sifat dan tabiat sendiri, mempunyai jasmani dan rohani serta batas umur. Pemikir klasik J.J Rosseau (1968) pula mendefinisikan negara memerlukan kerjasama rakyat untuk melindungi dan mempertahankan harta benda anggota mereka yang bebas dan merdeka. Karl Marx (1972) pula memberi pandangan bahawa negara sebagai alat pemenang untuk menindas yang kalah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat(2007), negara merujuk kepada kawasan yang didiami oleh penduduk yang di perintah di bawah satu sistem politik yang sama. Secara ringkasnya kita boleh melihat negara sebagai satu legitimasi dan penggunaan kuasa. Konsep nasion atau lebih dikenali sebagai bangsa pula merujuk kepada sesebuah masyarakat yang mempunyai adat, budaya, agama dan fahaman yang tersendiri. Perkembangan bangsa Malaysia hanya bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.

Istilah Negara-Bangsa

Nasion menurut Abdul Rahman Embong (2015) merujuk kepada satu kelompok manusia yang terbentuk dalam sejarah, dipertaut melalui perkongsian wilayah bersama, ekonomi bersama, bahasa bersama dan psikologi serta emosi bersama. Definisi negara bangsa pula tidaklah dinyatakan dengan jelas. Hal ini demikian kerana konsep negara bangsa di Eropah tidak sama dengan konsep negara bangsa di Malaysia. Konsep negara bangsa di Eropah menekankan tentang hegemoni kaum dalam membentuk negara bangsa. Malaysia pula ingin membentuk negara bangsa dengan acuan sendiri yang terdiri daripada pelbagai kaum. Definisi negara bangsa secara umum menurut

Cite as: Ibrahim Majdi Mohamad Kamil, Maliati Mohamad. (2020). Cabaran Pemerkasaan Bahasa Melayu dalam Usaha Mencapai Negara Bangsa di Malaysia. Asian People Journal, 3(1), 181-191.

(3)

183

kamus dewan adalah negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Tun Dr. Mahathir dalam ucapan beliau pada tahun 1991 telah menekankan konsep negara bangsa ini. Hal ini demikian kerana negara bangsa merupakan medium untuk mencapai negara yang berdaulat yang mana rakyatnya hidup bersatu-padu tanpa dipisahkan oleh sentimen perkauman, agama, bangsa dan keturunan. Beliau menyeru supaya masyarakat Malaysia mesti bersatu padu untuk menyanjung masa depan yang dikongsi bersama di samping mengamalkan gaya hidup yang sejahtera dan berintegrasi demi keharmonian hidup bermasyarakat.

“Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sesebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia, tetapi juga nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama bangsa itu mestilah sejahtera, berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut” (Tun Dr Mahathir, 1991). Jelaslah bahawa perkongsian bersama amat penting dalam negara bangsa.

Sejarah Negara Bangsa Di Malaysia

Sejarah negara bangsa secara ringkasnya bermula daripada masyarakat Eropah. Kewujudan konsep negara bangsa di Eropah bermula apabila berlakunya zaman pencerahan yang mana masyarakat menentang golongan gereja yang pada ketika itu telah mentadbir negara. Penentangan tersebut telah mewujudkan pentadbiran berbentuk sekular iaitu pengasingan kuasa antara gereja dengan pentadbiran negara. Di Malaysia pula, konsep negara bangsa hanya bermula pada era kolonial terutama pada era kolonial British.Walau bagaimanapun, perjuangan negara bangsa pada masa itu berbeza dengan pembentukan negara bangsa kini. Pada masa itu, idea pembentukan negara bangsa terutamanya yang diperjuangkan oleh golongan yang digelar sebagai golongan aliran kiri yang menginginkan pembinaan negara bangsa Malaysia bersama Indonesia dan Filipina.

Usaha untuk membentuk negara bangsa bersama Indonesia dan Filipina gagal apabila setiap negara mendapat kemerdekaan yang berbeza. Setelah rundingan kemerdekaan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman, akhirnya Persekutuan Tanah Melayu terbina pada tahun 1957 dengan kaum Melayu, Cina, dan India sebagai kaum utama di semenanjung Tanah Melayu. Setelah Malaysia merdeka, maka telah bermulanya usaha untuk mewujudkan satu negara bangsa di Malaysia tetapi usaha dalam mencapai negara bangsa pada waktu itu masih kurang. Insiden peristiwa 13 Mei 1969 yang diberitakan sebagai rusuhan antara kaum sehingga menyebabkan darurat dan penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) telah memaksa pemimpin negara melakukan sesuatu bagi menangani dan mengurangkan konflik antara kaum di Malaysia.

Malaysia Dalam Usaha Ke Arah Negara Bangsa

Hasil daripada Peristiwa 13 Mei, telah terhasilnya Rukun Negara yang dilihat sebagai satu bentuk penyatuan antara kaum untuk bersatu padu. Seperti yang kita tahu, Rukun Negara boleh menyemai semangat kenegaraan dalam diri masyarakat. Secara tidak langsung, pengenalan Rukun Negara dilihat sebagai satu alat untuk membentuk negara bangsa. Menurut Mohamad Rodzi (2009), perkembangan negara bangsa Malaysia banyak tertumpu kepada politik.

Usaha secara insentif hanya bermula selepas Peristiwa 13 Mei 1969. Walau bagaimanapun usaha pada masa itu tidak secara khusus menekankan konsep negara bangsa. Penekanan terhadap konsep negara bangsa telah menjadi salah satu strategi dalam Dasar Ekonomi Baru. Konsep negara bangsa yang jelas telah diperkatakan oleh Tun Dr

(4)

184

Mahathir pada tahun 1991 semasa pengenalan Wawasan 2020. Di dalam Wawasan 2020, ianya lebih berfokus kepada matlamat utama pembinaan negara bangsa yang boleh mewujudkan sebuah negara maju pada tahun 2020 di samping melahirkan masyarakat yang bersatu padu, taat dan cinta akan negara.

Pengenalan Wawasan 2020 juga menjadi permulaan kepada pembentukan negara bangsa Malaysia yang lebih serius. Untuk membentuk negara bangsa yang sesuai dengan Malaysia, penulis ingin menggunakan pendekatan konsep pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu sebagai konsep utama untuk membina negara bangsa Malaysia. Bahasa bukanlah alat komunikasi untuk berhubung semata-mata, tetapi ianya berfungsi sebagai lambang identiti sesebuah negara dan mampu melahirkan semangat kekitaan, kebangsaan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Justeru, peranan bahasa perlu dilihat dengan lebih meluas. Dalam esei ini, penulis ingin mengulas dengan lebih mendalam berhubung peranan bahasa yang memainkan peranan utama dalam pembentukan negara bangsa di Malaysia.

Bahasa Sebagai Alat Untuk Mencapai Negara Bangsa

Bahasa merupakan lambang dalam budaya dan melalui pembinaan bahasa juga sesuatu budaya boleh dipengaruhi. Antara isu yang sering dibangkitkan dalam pembinaan negara bangsa ialah isu bahasa. Hal ini demikian kerana bahasa merupakan lambang jati diri bagi sesuatu masyarakat atau bangsa itu. Bahasa mempunyai banyak fungsi dalam perkembangan budaya berdasarkan keperluan semasa. Menurut Hartmann dan Stork (1976), bahasa digunakan untuk menggambarkan sesuatu (fungsi representasi), untuk menyampaikan maklumat antara anggota masyarakat (komunikatif), penerimaan daripada pendengar (fungsi apelatif), untuk menyatakan dan mengujarkan perasaan (fungsi ekspresif) atau memberikan penaakulan intelektual (fungsi kognitif). Sepanjang proses pembinaan negara bangsa, bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa rasmi seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan. Hal ini jelas menunjukkan struktur bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar tunggal dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan sekaligus meletakkan bahasa Melayu sebagai maruah dan citra negara. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam sektor pendidikan dapat dilihat dalam Akta Pendidikan 1996, Perkara 17 yang menyatakan:

“Bahasa Kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam sistem pendidikan kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain

yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini” (Undang-Undang Malaysia Akta Pendidikan 1996,

1996).

Menurut Puteri Roslina Abdul Wahid (2005), bahasa ialah cermin budaya, penghubung dengan masa silam, dan penjelmaan keseluruhannya. Pendidikan dan bahasa merupakan tunjang dalam membina kekuatan konsep negara bangsa dan pendekatan ini haruslah seiring. Hal ini demikian kerana, isu yang wujud berkaitan bahasa mampu diselesaikan melalui saluran sistem pendidikan. Perkara asas yang boleh digunakan adalah dengan meningkatkan pemahaman pelajar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa penting kerana ianya ditulis dengan menggunakan lunas undang-undang. Kerajaan terus berusaha keras dalam memastikaan bahasa Melayu menjadi medium utama sebagai alat komunikasi dalam membina negara bangsa. Hal ini selaras dalam usaha untuk melahirkan satu bangsa, satu bahasa dan merealisasikan dasar kerajaan iaitu memartabatkan bahasa Melayu mengukuhkan bahasa Inggeris.

Memperkasakan bahasa Melayu bermaksud menjadikan bahasa itu hebat dan dominan. Pemerkasaan sesuatu bahasa itu juga bermaksud memberikan peranan kepada bahasa Melayu untuk digunakan dalam semua

(5)

185

bidang dan semua peringkat, daripada yang paling rendah ke peringkat yang paling tinggi, daripada komunikasi sosial kepada komunikasi formal dalam bidang-bidang seperti pentadbiran, perniagaan, undang-undang dan bidang-bidang profesional yang lain. Bahasa juga digunakan dalam perbahasan intelektual. Bahasa yang diperkasakan ialah bahasa yang akan digunakan secara kreatif, dapat menggambarkan pelbagai jenis emosi, cita rasa, keinginan, cita-cita, sifat dan perilaku manusia dengan sedalam-dalam dan sehalus-halusnya seperti yang digambarkan dalam karya kesusasteraan peringkat tinggi (Yusfarina & Abdul Rasid, 2011). Menurut Asmah (1993), perancangan sesuatu bahasa sangat penting terutama dalam proses penyatuan negara dan masyarakat.

Apabila kita melihat kepada sejarah kerajaan terdahulu, pemerkasaan penggunaan bahasa dapat membentuk kerajaan dan tamadun yang kuat dan berjaya. Awang Sariyan (2010), berpendapat bahawa bahasa amat penting dalam kejayaan pembangunan sesebuah tamadun. Beliau memberi contoh kekuatan tamadun Yunani dan tamadun Greek yang terbina beratus tahun dahulu hasil daripada keampuhan bahasa mereka sendiri. Begitu juga dengan tamadun Arab yang mana pemerintahan tanah Arab serta zaman kegemilangan Islam menggunakan bahasa Arab. Bahasa Arab juga terus digunakan oleh para cendiakawan Islam dalam ilmu perubatan, sains, fizik dan sebagainya.

Selain tamadun Yunani, Greek dan Arab, alam Melayu juga telah menjadi tamadun yang gemilang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca telah menjadi medium utama dalam segala aktiviti ekonomi di Melaka. Menurut Peter Trudgill (1983), lingua franca merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam komunikasi dan perhubungan seharian dalam kalangan masyarakat yang tidak mempunyai bahasa ibunda yang sama. Menurut Noriah Mohamed (1999), penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca di kawasan Kepulauan Melayu telah wujud beratus tahun dahulu, iaitu bermula sejak zaman kerajaan Sriwijaya, Majapahit sehinggalah Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Melaka menguasai alam Melayu ketika itu sebagai salah satu pelabuhan yang banyak didatangi oleh orang luar termasuk pedagang daripada India, Cina, dan Arab.

Malah, kesannya masih boleh dilihat sehingga ke hari ini. Contoh yang dapat dilihat ialah Baba Nyonya yang telah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dan juga telah memberi kesan yang sangat besar kepada masyarakat. Malah, bukan setakat bahasa sahaja, tetapi ianya juga memberi kesan terhadap budaya dalam kedua-dua peranakan ini seperti dalam konteks makanan, pakaian, sastera dan sebagainya. Walaupun generasi pertama Chetti serta Baba dan Nyonya sudah tiada, tetapi bahasa dan budaya yang digunakan oleh mereka digunakan secara turun temurun.

Bahasa Sebagai Alat Negara Bangsa Di Malaysia

Melihat kepada kerajaan Melayu Melaka dan peranakan di Melaka, bahasa amat penting kerana ianya dapat mencapai perpaduan hasil daripada bahasa dan budaya. Apabila melihat kepada zaman kerajaan Melayu Melaka, iaitu pada era penggunaan bahasa Melayu Klasik, fungsi bahasa Melayu sebagai lingua franca bukan hanya untuk berkomunikasi sahaja, tetapi telah menjadi bahasa ilmu pengetahuan.

Pada awalnya, bahasa Melayu digunakan dalam penyebaran agama Islam, namun penggunaannya semakin meluas terutama dalam kalangan sarjana serta para ilmuan dan telah menjadi bahasa pengantar utama dalam penulisan ilmiah dan penyebaran agama Islam.Terdapat banyak karya sastera yang telah ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu, seperti Sulalatus Salatin yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Di samping itu, bahasa

(6)

186

Melayu juga telah digunakan dalam aktiviti persuratan antara golongan sultan dan juga pembesar untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara luar.

Menurut Gallop dan Arps (1991), surat-surat yang ditulis oleh raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu dan juga pedagang-pendagang dianggap sebagai manuskrip yang sangat tinggi nilainya. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan, penulisan karya dan persuratan telah mendorong para ilmuan luar untuk belajar bahasa Melayu. Menurut Hashim Musa, Rozita Che Rodi dan Salmah Jan Noor Muhammad (2014) fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca mengalami kemerosotan pada awal abad ke-20 akibat desakan kolonial untuk menggunakan bahasa mereka.

Contoh ini membuktikan bahawa pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu oleh masyarakat Malaysia boleh menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara bangsa. Hal ini bermaksud bahasa Melayu bukan sahaja medium untuk berkomunikasi, tetapi merupakan asas utama dalam membentuk sebuah ketamadunan. Bahasa juga dikatakan sebagai alat untuk mendukung, mencerminkan dan mewariskan khazanah dalam sesebuah masyarakat daripada satu generasi ke generasi. Di Malaysia, madah bahasa Melayu sebagai ‘Bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa’ dapat diinterpretasikan sebagai bahasa tidak akan pupus selagi ada masyarakat dan budayanya yang masih berpegang kepada bahasa tersebut (Rozita Che Hodi & Hashim Musa, 2014). Justeru, usaha dalam pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu telah mula diperkenalkan selepas Malaysia dijajah lama oleh pihak kolonial.

Kolonial mula bertapak di Tanah Melayu sekitar abad yang ke-16. Kedatangan penjajah telah menyebabkan penggunaan bahasa Melayu telah terjejas. Dasar penjajah telah menyebabkan masyarakat di Tanah Melayu semakin hilang identitinya. Perkara ini dapat dilihat apabila penggunaan bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama dan digunakan secara meluas terutama dalam sektor pendidikan dan pentadbiran ketika zaman penjajahan Inggeris. Hal ini bermaksud bahasa Inggeris telah mengambil kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Tanah Melayu pada waktu itu. Apabila Jepun datang menjajah, bahasa Jepun pula dijadikan bahasa utama sebelum British kembali menjajah. Zaman kolonial telah memberi impak yang sangat mendalam terutama impak daripada penjajahan British kerana Britih telah menjajah Tanah Melayu dalam tempoh yang agak lama.

Sekolah-sekolah yang dibina ketika zaman penjajahan banyak berorientasikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama pendidikan di sekolah. Perkara ini menghakis pengaruh bahasa Melayu sebagai bahasa utama di Tanah Melayu. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk kembali memartabatkan bahasa Melayu. Usaha pertama untuk mengembalikan martabat bahasa Melayu ialah dengan memperkenalkan satu undang-undang mengenai kepentingan bahasa Melayu dalam perlembagaan Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Garis panduan ini termaktub dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010).

Pada era sebelum penjajahan, bahasa Melayu yang merupakan lingua franca telah membuktikan kemampuannya sebagai bahasa perpaduan kaum seterusnya menjadi tonggak kepada budaya negara bangsa Malaysia. Jika disingkap dari segi perkembangan dan sejarah kenegaraan, kerajaan telah memainkan peranan yang penting dalam melakukan pelbagai usaha bagi memartabatkan kembali bahasa ibunda. Antaranya ialah Penyata Razak yang diangkat menjadi Ordinan Pelajaran 1957 yang mengesyorkan pengakuan matlamat akhir bahasa kebangsaan iaitu bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan.

(7)

187

Selain itu, bagi memperkasakan bahasa Melayu kerajaan juga telah mempergiatkan aktiviti-aktiviti berkaitan kebahasaan, kesusasteraan, penterjemahan, pengkaryaan serta bahan bahasa dan sastera sejak era Kesultanan Melayu Melaka lebih-lebih lagi terutamanya melalui penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1956 yang bertujuan untuk menerbitkan, mengalakkan dan memperkembangkan bahasa Melayu dalam semua bidang disiplin. Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah diperuntukkan dalam akta 213, Akta Dewan Bahasa dan Pustaka bersama beberapa akta lain bagi mengukuhkan agensi ini sebagai sebuah badan yang dapat mengukuhkan bahasa Melayu.

Di dalam Penyata Razak (1956), perenggan ke-12, telah dinyatakan tujuan dasar pelajaran yang mengkehendaki penyatuan para pelajar daripada semua bangsa untuk menggunapakai hanya satu aliran atau aturan pelajaran yang menggunakan bahasa kebangsaaan sebagai bahasa pengantar utama. Perkara ini tidak dapat dibuat secara serta-merta, tetapi secara beransur-ansur. Usaha ini sudah ada sebelum merdeka lagi seperti yang telah dilaparkan di dalam Laporan Razak.Walau bagaimananapun, setelah 63 tahun merdeka, mengapakah bahasa Melayu masih tidak dapat diperkasakan? Telah ada usaha oleh pihak kerajaan untuk mewujudkan sebuah kompleks khas bagi menghimpunkan jenis sekolah aliran yang berbeza dengan pengenalan Sekolah Wawasan.

Pengenalan Sekolah Wawasan merupakan salah satu langkah dalam pembinaan negara bangsa di Malaysia. Seperti yang kita ketahui, penubuhan Sekolah Wawasan ini berpegang kepada konsep belajar di bawah satu bumbung yang sama. Hal ini bermakna pelajar-pelajar daripada kaum Melayu, India dan Cina belajar bersama-sama tanpa mengambil kira perbezaan kaum. Selain itu, Sekolah Wawasan juga berkongsi kemudahan yang bersama-sama seperti kantin, guru, padang, pusat sumber dan sebagainya. Penubuhan Sekolah Wawasan boleh memupuk perpaduan terutama apabila bahasa Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa untuk berkomunikasi antara pelajar sekolah tersebut. Penggunaan bahasa ibunda seperti bahasa Tamil dan Mandarin di Sekolah Wawasan tidak akan melemahkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi utama dalam kalangan pelajar. Walau bagaimanapun, konsep ini dilihat kurang berjaya untuk mencapai objektif. Bagi menjayakan usaha-usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, perlu diteliti beberapa cabaran penting yang mungkin menjadi penghalang kepada usaha ini.

Cabaran Dalam Mencapai Negara Bangsa

Perbincangan ini lebih berfokus kepada permasalahan dan cabaran yang dihadapi sehingga bahasa Melayu masih tidak dapat diperkasakan walaupun Malaysia telah merdeka selama 63 tahun. Menurut Ku Hasnan (2012), bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan bagi Malaysia, Brunei, dan Indonesia. Bahasa ini dipanggil dengan pelbagai nama. Terdapat kekeliruan dalam masyarakat Malaysia berkenaan nama yang harus dipanggil sama ada “Bahasa Melayu” atau pun “Bahasa Malaysia”. Tambah Ku Hasnan lagi, pada tahun 1986, istilah "Bahasa Malaysia" ditukar kepada "Bahasa Melayu". Menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, bahasa kebangsaan Malaysia ialah bahasa Melayu.

Namun begitu, pada 4 Jun 2007, kabinet membuat keputusan untuk menukarkan penggunaan "Bahasa Melayu" kepada "Bahasa Malaysia". Kabinet mengarahkan supaya semua kementerian, universiti dan pusat pengajian tinggi supaya memaklumkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menggunakan istilah "Bahasa Malaysia" dalam surat-menyurat, notis dan dokumen. Rasionalnya ialah untuk menanam semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Pada 5 November 2007, Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin, menegaskan lagi bahawa penggunaan istilah baru "Bahasa Malaysia" adalah muktamad.

(8)

188

Malaysia juga menghadapi masalah untuk membentuk negara bangsa kerana faktor politik. Politik amat memainkan peranan dalam pembentukan negara bangsa. Dasar-dasar kerajaan banyak menunjukkan usaha kerajaan untuk memperjuangkan negara bangsa antaranya seperti laporan Razak, Perlembagaan Malaysia, Wawasan 2020, dan sebagainya. Kebanyakan dasar-dasar yang dibuat oleh kerajaan amat mendokong pembentukan negara bangsa. Walau bagaimanapun, adakah semua dasar yang dibuat oleh kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik? Persoalan ini boleh dibincangkan kerana kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Apabila diperhatikan masyarakat Malaysia pada hari ini, penguasaan bahasa Melayu masih lagi ditahap yang kurang memberangsangkan. Masih terdapat ramai masyarakat India dan Cina yang kurang penguasaan bahasa Melayu yang baik. Sebagai rakyat Malaysia, setiap masyarakat perlu mahir berbahasa Melayu kerana bahasa itu melambangkan identiti negara seseorang individu tersebut. Bahkan, terdapat segelintir daripada pemimpin masyarakat terutamanya ahli-ahli politik yang tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang tidak mahir bukan sahaja daripada komuniti Cina dan India, tetapi turut dihadapi oleh orang Melayu sendiri.

Masalah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pada masa ini adalah penggunaan bahasa “rojak” yang menghilangkan identiti asal bahasa Melayu. Jika diperhatikan banyak bahasa asal perkataan diubah menjadi ringkas atau lebih mudah disebut atas alasan perkataan asal terlalu panjang untuk disebut. Masyarakat menggunakan alasan bahasa “rojak” atau pasar ini lebih mudah digunakan dalam kehidupan seharian.Tambahan lagi, dalam kepesatan penggunaan teknologi seperti penggunaan e-mel dan juga pesanan ringkas memberi kesan yang lebih buruk kepada penggunaan bahasa Melayu. Ini amat memberi kesan terhadap usaha pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Masalah seterusnya ialah dasar penggunaan bahasa dalam sistem pendidikan negara. Penggunaan bahasa yang tidak konsisten menyebabkan berlakunya masalah pemerkasaan bahasa Melayu. Selepas kemerdekaan, kerajaan telah berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu setelah sistem pendidikan sekolah telah diubah semasa pendudukan British dan Jepun.Walau bagaimanapun, setelah kerajaan mengumumkan penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik telah menambah cabaran dalam memperkasakan bahasa Melayu ini. Alasan kerajaan untuk mewujudkan sistem ini adalah untuk generasi Malaysia seterusnya bersaing di peringkat global kerana bahasa Inggeris telah menjadi bahasa pendidikan di dunia.

Dasar ini telah menyebabkan sebahagian masyarakat dan pejuang-pejuang bahasa menentang perlaksanaan dasar ini sehingga dasar ini dikaji semula dan penggunaan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matemik ditarik balik setelah dilaksanakan untuk beberapa tahun. Alasan pihak yang menentang hal ini berpendapat bahawa masyarakat Melayu luar bandar khususnya akan semakin ketinggalan ke belakang. Walau bagaimanapun, baru-baru ini kerajaan memperkenalkan dasar dwi bahasa iaitu kebebasan kepada pihak sekolah sama ada ingin memilih bahasa Melayu atau bahasa Inggeris sebagai bahasa utama Sains dan Matematik. Sebenarnya, bahasa Melayu boleh memainkan peranannya dalam penyampaian maklumat berkaitan sains dan teknologi sekiranya kita memiliki ilmu dan teknologi sendiri tanpa bergantung kepada ciptaan teknologi negara lain. Gagasan Agenda Ilmu yang dikemukan oleh Shahir Mohd. Zain (1995) amat bertepatan dengan kehendak Malaysia untuk menggunakan bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi.

Selain itu, pertambahan sekolah vernakular di Malaysia juga telah menjejaskan pemerkasaan bahasa Melayu sekaligus semakin jauh untuk Malaysia mencapai sebuah negara bangsa. Jumlah sekolah vernakular

(9)

189

sepatutnya menjadi lebih sedikit apabila kita dalam usaha untuk membentuk negara bangsa tetapi yang terjadi adalah sebaliknya. Malah, usaha kerajaan membina sekolah kebangsaan sebagai tempat penyatuan kaum sedikit terjejas apabila kebanyakan masyarakat Malaysia lebih memilih sekolah vernakular sebagai tempat pembelajaran anak mereka. Malah, sekolah-sekolah antarabangsa juga semakin bertambah yang pasti akan membawa masalah kepada pemerkasaan bahasa Melayu apabila majoriti sekolah antarabangsa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi.

Di peringkat yang lebih tinggi, kebanyakan universiti juga mula memperkenalkan pengajaran kursus dalam bahasa Inggeris. Mereka berpendapat bahawa kebanyakan ilmu dan rujukan maklumat utama merupakan sumber daripada bahan yang berbahasa Inggeris. Masalah-masalah sebegini yang akan menjejaskan usaha memperkasa bahasa Melayu di Malaysia kerana sekolah dan universiti merupakan institusi sosialisasi yang banyak memberi kesan kepada kehidupan individu.

Pada era pasca merdeka, bahasa Melayu berjaya dimartabatkan dan diberikan kuasa, pengaruh dan kewibawaan untuk menentukan tempat dan kekuatannya dalam negara ini. Namun begitu, apa yang dihasratkan sebenarnya kian kabur dari segi pencapaiannya. Sejarah mungkin berulang dan kini, bahasa Inggeris mula mengambil alih posisi bahasa ibunda. Seperti zaman penjajahan British dahulu, bahasa Inggeris diletakkan sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan. Pengenalan terhadap pengecualian penggunaan bahasa Melayu dalam sektor pendidikan di peringkat sekolah jenis kebangsaan dan mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri Pendidikan telah memberi peluang kepada institusi terlibat terutama Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS)untuk menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama dalam proses pengajaran dan pembelajaraan. Namun demikian, menurut Hashim Haji Musa (2004), hal ini juga telah mewujudkan peningkatan terhadap penggunaan bahasa Inggeris di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Persepsi serong dari segelintir masyarakat mengenai kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris berkaitan keperluan negara dan kepentingan antarabangsa menyebabkan kedudukan bahasa Melayu kembali goyah. Hasil tuntutan globalisasi, bahasa Inggeris kini telah mendominasi dan mula mengambil alih kedudukan bahasa kebangsaan. Sebagai contoh, pengenalan sistem pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah melemahkan kedudukan bahasa Melayu itu sendiri. Justeru, dengan adanya konflik kedudukan bahasa ini telah memberi ruang kepada kaum yang wujud di Malaysia untuk turut sama memperjuangkan bahasa mereka. Sekalipun kedudukan bahasa kebangsaan dijamin kedudukannya mengikut Perlembagaan Malaysia, namun, realiti sebenar dalam kehidupan seharian seolah-olah meminggirkan bahasa ibunda.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan, untuk melihat pemerkasaan bahasa Melayu sebagai asas kepada Malaysia dalam mencapai perpaduan dan membentuk sebuah negara bangsa memang begitu jelas. Terdapat beberapa negara telah berjaya menjadi sebuah negara bangsa dengan berasaskan bahasa mereka sendiri. Sebagai contoh, negara Jepun dan Korea Selatan dapat mewujudkan negara bangsa mereka sendiri dan menjadi sebuah negara yang maju.

Dalam kelompok Asia Tenggara pula, negara jiran iaitu Indonesia telah berjaya mencapai negara bangsa mereka setelah mereka mencapai kemerdekaan. Masyarakat Indonesia yang berbilang kaum menggelar diri mereka

(10)

190

sebagai ‘Bangsa Indonesia’ atau ‘Orang Indonesia’. Mereka juga menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Indonesia. Asas bahasa Indonesia ialah bahasa Melayu iaitu daripada kelompok bahaas Austronesia.

Sebagai sebuah negara yang telah lama mencapai kemerdekaan, Malaysia seharusnya meneruskan usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu dalam membentuk sebuah negara bangsa. Kerajaan Malaysia telah banyak menggariskan dasar-dasar untuk sebuah pembentukan negara bangsa dan memperkasakan bahasa Melayu.Tetapi dasar-dasar yang telah dibuat oleh kerajaan perlulah dilaksanakan dengan sebaik mungkin supaya Malaysia berjaya membentuk sebuah negara bangsa Malaysia yang telah lama diidamkan oleh rakyat Malaysia.

RUJUKAN

Abdul Rahman Embong. (2015). Negara-bangsa: Proses dan perbahasan. Ed. Ke-2. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Asmah Haji Omar. (1993). Perancangan bahasa dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Awang Sariyan. Pemartabatan bahasa kebangsaan dalam pembinaan negara bangsa. Syarahan bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka wilayah timur dan IPG Tengku Ampuan Afazan: Kuala Lipis. [25 Febuari 2010].

Gallop, A.T. & Arps, B. (1991). Golden Letters: Writing Traditions of Indonesia (Surat Emas: Budaya Tulis di Indonesia). London: The British Library.

Hartmann. R.R.K., Stork, F.C. (1976). Dictionary of Language and Linguistics. London: Applied Science Publisher.

Hashim Bin Haji Musa. (2004). Pemerkasaan tamadun Melayu Malaysia: Menghadapi globalisasi barat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Hashim Musa, Rozita Che Rodi & Salmah Jan Noor Muhammad. (2014). Pelestarian Bahasa Melayu sebagai Bahasa Utama dalam Persuratan Pembudayaan Ilmu, Sains dan Teknologi di Rantau Ini.International Journal of the Malay World & Civilization (Iman). Jilid 2 (2): 3-19.

Ibn Khaldun. (1991). Muqaddimah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.Idris Zakaria. 1991. Teori Politik al Farabi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2007). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ku Hasnan bin Ku Halim. (2012). Membugar harapan pemersatuan atau menanti masa ditalkinkan atas nama bernegara? Di mana bahasa Melayu dalam pemupukan jati diri bangsa setelah 55 tahun merdeka. Jabatan Pengajian Kemanusiaan: Universiti Tun Hussein Onn.

Marx, K. 1972. Karl Marx: The Essential Writing. Edt: Frederic L. Bender. London: Westview Press.


Mohamad Rodzi Abd Razak. (2009). Pembinaan negara bangsa Malaysia: peranan pendidikan sejarah dan dasar pendidikan kebangsaan. JEBAT (36):90-106

Noriah Mohamed. (1999). Sejarah Sosiolinguistik bahasa Melayu lama. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Peter, T. (1983). Sociolinguistics: An intoduction to language and society. Britain: Pinguin Book.

Puteri Roslina Abdul Wahid (2005). ``Bahasa Melayu dalam konteks budaya dan kuasa’’. Dlm. Melayu: Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu, DBP, 2 Disember 2005.

(11)

191

Rozita Che Hodi & Hashim Musa. (2014). Bahasa Melayu bahasa negara bangsa Malaysia.Jurnal Bahasa, Budaya dan Warisan Melayu, 1(2), 257-272

Yusfarina Mohd Yussof & Abdul Rasid Jamian. (2011). Pembinaan Negara bangsa dan identiti kebangsaan melalui pemerkasaan bahasa dalam sistem persekolahan. Pendidikan bahasa dan kesusasteraan, 11(1):10-16.

Referensi

Dokumen terkait

)rgan a!domen yang daat mengalami herniasi antara lain gaster& oment#m& #s#s hal#s& kolon& lien dan hear$ *#ga daat terjadi hernia inkarserata ma##n

Peserta didik mampu belajar cara belajar (learning to learn), (2) Kepemimpinan sekolah yang kuat dalam mengkoordinasikan, menggerakkan dan menyerasikan semua

Puji dan syukur kepada Tuhan yang Maha Esa atas segala berkat rahmat-Nya sehingga penulis dapat menyelesaikan Tugas Akhir dan dapat menyusun laporan Tugas Akhir

Para pembina maupun pelatih dalam melatih dribble shooting sepakbola dapat menggunakan pendekatan pembelajaran praktik drill dan bermain yang disesuaikan dengan koordinasi

Aplikasi sistem struktur bangunan pilar/tiang yang menggunakan bahan bangunan lokal seperti kayu nibung dan rumah rakit yang menggunakan bambu sebagai pondasi apung telah

Berikut ini potongan ayat al-Qur’±n dari beberapa surat- surat pendek4. Amati dan diskusikan

Berdasarkan grafik, rasio yang memberikan angka minimum adalah 28 gram dengan waktu 38 menit dan bilangan penyabunan yang dihasilkan akan berada dalam angka 140..

Penelitian ini dilakukan untuk mendapatkan respon terbaik kontrol PI dengan upaya merancang sistem pengendalian tekanan pada reaktor cstr dengan mentuning nilai