• Tidak ada hasil yang ditemukan

PROSEDUR TERJEMAHAN DALAM INFOGRAFIK COVID 19

PENGENALAN

Tahun 2019 merupakan tahun berlakunya penularan wabak Covid 19 yang bermula dari negara China dan akhirnya merebak ke peringkat global. Pandemik ini menyebabkan keseluruhan masyarakat dunia khuatir untuk meneruskan kehidupan seharian seperti biasa serta berlakunya penutupan sektor ekonomi secara besar-besar. Masyarakat juga diwajibkan untuk duduk di rumah serta semua aktiviti terpaksa dihadkan. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan telah menggunakan pelbagai jenis platform dan medium untuk menyampaikan maklumat berkaitan Covid 19.

Maklumat dan mesej ini seterusnya harus dicakna oleh semua golongan masyarakat supaya tindakan dan langkah yang diambil kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat terjamin boleh dilaksanakan. Dalam konteks penyampaian maklumat dan mesej berkenaan Covid 19, kerajaan Malaysia telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk memastikan mesej dan maklumat yang disampaikan itu menyeluruh dan difahami oleh semua lapisan masyarakat. Antara langkah yang diambil ialah menyediakan maklumat dan mesej Covid 19 dalam pelbagai bahasa.

Medium yang paling banyak digunakan oleh kerajaan (KKM) untuk penyampaian maklumat dan mesej ialah infografik. Pemilihan infografik sebagai medium penyampaian dilihat lebih berkesan kerana ia mudah disebarkan kepada masyarakat. Elemen dalam infografik seperti ilustrasi, foto, ikon, graf dan carta mampu menterjemahkan teks panjang dan maklumat kompleks dengan pantas, ringkas dan mudah difahami. Infografik yang telah disediakan oleh KMM terdapat dalam beberapa bahasa. Ini bertujuan supaya infografik ini dapat difahami oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa. Selaras dengan itu juga, infografik yang telah disediakan oleh KKM terdiri daripada dua bahasa utama iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dan terkini terdapat juga infografik dalam bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Oleh kerana itu, KKM perlu memastikan maklumat dalam kedua-dua bahasa adalah sama supaya pembaca dalam bahasa masing-masing mempunyai kesan kefahaman yang sama. Maklumat yang sama dalam dua bahasa yang berbeza memerlukan penterjemahan yang baik, jika berlaku penterjemahan terlebih atau terkurang, akan wujud jurang kefahaman antara pembaca bahasa sumber dan pembaca bahasa sasaran. Jurang kefahaman di kalangan masyarakat akan menyebabkan berlakunya keadaan di mana akan wujud segelintir masyarakat yang tidak mematuhi SOP dan melanggar segala arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Tahap kesedaran dan kefahaman rakyat tentang pandemik COVID-19 yang tinggi, akan membawa kepada kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang disediakan serta arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan dan sekaligus akan dapat mengekang penularan wabak ini.

Persoalannya sejauh mana inforgrafik dalam bahasa sasaran (bahasa Melayu) ini dapat menyampaikan mesej yang sama kepada pembaca bahasa sasaran seperti mana mesej yang diterima oleh pembaca bahasa sumber (bahasa Inggeris). Bagaimana pula pemilihan perbendaharaan kata baru dalam terjemahan infografik ini mudah difahami dan sekata atau berubah-ubah sehingga mengelirukan pembaca sasaran.

Bertitik tolak daripada permasalahan ini, kajian ini akan membincangkan mengenai prosedur terjemahan (bahasa Ingeris ke bahasa Melayu) dalam inforgrafik Covid-19 KKM dan juga padanan pernyataan yang telah digunakan.

SOROTAN KAJIAN LITERATUR

Infografik merupakan medium baru dalam penyampaian sesuatu maklumat. Infografik di pilih supaya maklumat dapat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan dengan menggunakan campuran dan gabungan elemen visual (Dur, 2012). Penggunaan infografik dilihat semakin diminati berpunca daripada ciri-ciri persembahan teksnya yang menarik, ringkas dan mudah dibaca dan sifatnya yang informative (bermaklumat) dan persuasive (memujuk) (Piotti & Murphy, 2019).

Infografik direka berpandu kepada standard dan formatnya tersendiri. Terdapat pelbagai jenis grafik yang digunakan untuk menvisualisasikan data daripada teks kepada carta, jadual, rajah termasuk penggunaan gambar dan simbol ikonik (Golombisky & Hagen, 2010). Tambah Dur (2012), sebahagian besar grafik yang digunakan dalam aplikasi visual adalah diambil daripada kehidupan seharian. Sementara graf pula akan membolehkan kita meneroka dan memerhatikan corak data yang tidak dapat dicapai dari penulisan teks (Ziegler, Jenny, Gruse, & Keim, 2010).

Sharudin et al. (2020) dalam kajiannya telah membuktikan bahawa visual infografik memberi kesan dalam memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat Malaysia. Kajian yang dijalankan Rusydi et al. (2013) juga telah membuktikan betapa visual memainkan peranan penting bagi menyampaikan mesej kesihatan. Peranan visual yang dikeluarkan oleh KKM bukan sekadar di Instagram mahupun laman sosial KKM sahaja, malahan ia turut digunapakai oleh media dan wartawan untuk kegunaan berita dan wacana akhbar serta majalah. Hal ini dianggap sebagai satu usaha yang baik bagi memastikan kesahihan maklumat dan berita yang hendak disampaikan kepada khalayak.

Sementara itu penterjemahan yang melibatkan teks bahasa untuk tujuan khusus (Language for Special Purposes (LSP)) seperti teks perubatan/kesihatan akan berhadapan dengan masalah yang berbeza. Pilihan strategi terjemahan bergantung tentang ciri-ciri teks sumber dan teks sasaran serta budaya dan fungsi dalam konteks teks tersebut. Penterjemah teks perubatan pastinya akan menghadapi beberapa cabaran seperti terminologi perubatan, padanan leksikal teks perubatan, kebolehbacaan dan juga isu kualiti. Terjemahan teks perubatan tidak terhad kepada satu genre atau wacana yang seragam. Teks terjemahan merangkumi buku teks untuk pelajar perubatan, kertas penyelidikan, prosiding persidangan, kajian kes, sejarah kes, laporan keluar hospital, laporan perubatan termasuk teks mudah kepada pesakit, risalah dan poster yang mempunyai maklumat kesihatan.

Wacana perubatan terdiri daripada pelbagai bentuk komunikasi. Gotti (2008: 24) telah menglasifikasikan wacana perubatan sebagai wacana khusus. Menurut beliau wacana khusus adalah “bahasa yang digunakan seorang pakar dalam konteks yang tipikal dikalangan komuniti khusus yang terdiri daripada ahli akademik, profesional, ahli teknikal, pengamal dan mereka yang bekerja dalam bidang berkaitan”. Tiga faktor yang sangat penting, iaitu pengguna, domain penggunaan dan bahasa untuk tujuan khusus. Bahasa perubatan digunakan dalam komunikasi antara pakar dan pakar, juga antara pakar dan orang awam dengan ciri ciri yang berbeza daripada genre ke genre, bergantung kepada situasi komunikatif dan pesertanya.

Masalah utama yang sering dihadapi oleh penterjemah teks perubatan ialah pemilihan istilah yang sesuai dengan genre dan register yang khusus. Salager (1983) membahagikan istilah perubatan Inggeris kepada tiga kumpulan iaitu bahasa Inggeris asas (BE), bahasa Inggeris perubatan asas (FME) dan bahasa Inggeris perubatan khusus (PKS). Dalam kajian terbaru Fage-Butler dan Nisbeth Jensen (2016) mula menggunakan pembahagian kepada istilah teknikal dan separa teknikal, kemudiannya digantikan dengan pembahagian lima kategori: istilah perubatan di dalam kamus, istilah perubatan yang ditakrifkan bersama teks, inisial perubatan, nama jenama perubatan dan istilah teknikal bahasa harian.

Sementara itu, Pearson (1998, 36 - 38), turut mengkelafikasikan teks mengikut kategori berbeza bergantung pada tahap kemahiran penutur dan pendengar. Kategori pertama ialah komunikasi di antara pakar dengan pakar. Kategori kedua ialah pakar sebagai pemula komunikasi: Biasanya, keadaan begini berlaku apabila pakar yang bekerja dalam bidang mereka dikehendaki berkomunikasi dengan ahli bidang lain yang tidak mempunyai tahap kepakaran yang sama.

Kategori ketiga adalah komunikasi pakar kepada mereka yang bukan dalam bidang dan tiada pengetahuan Dan yang terakhir kategori keempat ialah komunikasi di antara guru dengan pelajar.

Pemilihan kaedah dan terjemahan yang sesuai menentukan kualiti sesebuah penterjemahan itu.

Teks yang berbeza memerlukan kriteria dan kaedah terjemahan yang berbeza. Newmark telah membezakan maksud kaedah (method) terjemahan dan prosedur (teknik) terjemahan, Menurut beliau kaedah terjemahan akan melibatkan keseluruhan teks, sementara prosedur terjemahan hanya melibatkan kata, ayat dan unit yang lebih kecil. Secara umumnya teks yang terdapat dalam infografik Covid-19 KKM boleh dikategori sebagai teks informatif. Teks informatif merupakan teks yang mempunyai maklumat seperti teks dalam buku teks, kertas laporan, kertas kerja, artikel, memo, minit, mesyuarat, dokumen undang-undang.dan sebagainya (Newmark,1998). Penterjemah teks informatif harus memberi keutamaan kepada ketepatan mesej dan yang paling utama ialah kekuatan teks untuk menghasilkan kesan yang setara secara pragmatik kepada pembaca. Sekiranya teks terjemahan merupakan teks yang teruk atau tidak tepat, penterjemah harus memperbetulkan teks tersebut melalui terjemahan komunikatif. Ini kerana fungsi teks informatif memberi tumpuan kepada situasi luaran, fakta sesuatu topik, dan realiti di luar bahasa. Newmark (1982) telah mencadangkan kaedah terjemahan komunikatif untuk teks informatif kerana bersesuaian dengan usaha untuk menghasilkan kesan kepada pembaca sasaran sehampir mungkin sama seperti kesan yang diperolehi oleh pembaca asal, disamping turut mengutamakan ketepatan dan kebenaran dalam proses pemindahan maklumat.

Tambah Newmark dalam bukunya A Textbook of Translation (Newmark 1988, 5) mengenai teks LSP (seperti perubatan, ekonomi, undang-undang), penterjemahan akan lebih cenderung menggunakan prosedur terjemahan literal yang merupakan kaedah yang paling asas dalam terjemahan dan boleh digunakan selagi sesuai dengan bahasa sasaran (BSa). Terjemahan literal bukan hanya melibatkan pasangan satu lawan satu, malah turut peka kepada kehendak sistem tatabahasa BSa. Walau bagaimanapun, objektif penterjemah bukanlah menghasilkan semula teks tetapi menyesuaikan teks dengan bahasa sasaran (TL) dan menyelesaikan permasalahan yang hadir dalam terjemahan, seperti masalah antara bunyi dan rasa, urutan perkataan dan kesejadian

(tatabahasa), kiasan dan literal, kekemasan dan komprehensif, serta ketepatan. Oleh kerana itu, penterjemah mestilah seorang yang profesional yang terlatih dan berkemampuan menangani dan menyelesaikan masalah yang mendatang. Newmark turut mencadangkan beberapa prosedur lain antaranya pemindahan (transference), naturalisasi (maturalization), padanan budaya (cultural equivalent), padanan fungsian (functional equivalent), padanan deskriptif (descriptive equivalent), calque/ pinjaman (through-translations), transposisi(transpositions), modulasi (modulation), terjemahan sedia ada / diiktiraf (recognised translations), terjemahan label (terjemahan label), pampasan (compensation), analisis komponen (componential analysis), pengurangan dan pengembangan (reduction and expansion).

Sementara itu, Putri, (2014) dalam artikel yang bertajuk Translation Procedures of Medical Terms in The Book Entitled ‘Stress Less’ telah menjelaskan prosedur terjemahan yang telah digunakan untuk menterjemah istilah-istilah perubatan daripada bahasa Inggeris ke bahasa Indonesia. Data- data berupa istilah-istilah perubatan ini diambil dari buku yang berjudul Stress Less yang ditulis oleh Colbert (2005) dan versi Indonesianya dengan judul sama yang diterjemahkan oleh Wandaningsih (2006). Beliau telah menggunakan prosedur terjemahan Newmark (1988) untuk menganalisis proses penterjemahan telah dilakukan. Hasil penelitian ini menunjukkan bahwa terdapat sebelas prosedur yang digunakan untuk menerjemahkan istilah-istilah perubatan yang terdapat pada buku Stress Less tersebut. Prosedur terjemahan yang digunakan adalah literal, pemindahan, naturalisasi, padanan deskriptif, pinjam terjemah, shift, modulation, recognized translation, reduction, dan expansion, note, dan triplets. Penggunaan prosedur-prosedur tersebut sangat dipengaruhi oleh aspek pembaca, di mana pembaca buku tersebut adalah orang-orang dengan berbagai macam latar belakang,

Dalam konteks kertas kerja ini juga, penulis telah memanfaatkan prosedur terjemahan Newmark (1988) untuk menganalisis prosedur terjemahan infografik Covid 19. Teks infografik pula dikategorikan dalam kategori ke 3 (Pearson 1998, 36 - 38) iaitu komunikasi pakar kepada khalayak yang bukan dalam bidang dan tiada pengetahuan. Oleh kerana itu, terminologi yang digunakan adalah kurang padat dan beranggapan pembaca mempunyai kecekapan yang baik terhadap bahasa di mana komunikasi berlaku. Istilah mesti dijelaskan atau ditakrifkan dalam bahasa umum untuk membolehkan pemahaman antara pengarang dan pembaca. Teks sebegini bersesuaian untuk infografik supaya maklumat dapat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan dengan menggunakan campuran dan gabungan elemen visual (Dur, 2012).

LIMITASI KAJIAN

Sampel kajian hanya melibatkan penyataan yang diambil secara rawak daripada 20 infografik bahasa Inggeris (BSu) dan padanannya daripada Infografik Bahasa Melayu (BSa) yang boleh didapati di laman sesawang KKM. Penterjemah untuk infografik ini terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang kesihatan seperti ahli farmasi dan pegawai kesihatan (Portal MyHealth).Pernyataan yang diambil terdiri pelbagai bentuk seperti perkataan, frasa dan ayat.

METODOLOGI

Kajian secara kualitatif ini menggunakan analisis kandungan dan analisis perbandingan sebagai kaedah kajian. Kaedah kajian ini digunakan bagi menganalisis terjemahan infografik Covid-19 yang dikeluarkan oleh KKM. Infografik yang digunakan sebagai bahan analisis dimuat turun dari laman sesawang KKM. Setiap infografik yang dimuat turun dipastikan mempunyai pasangan bahasa iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Setiap infografik bahasa sumber akan dianalisis bentuk pernyataannya. Sebanyak 165 pernyataan daripada 40 infografik (20 infografik BSu dan padanannya 20 infografik BSa) telah dipilih. Semua bentuk pernyataan akan dibandingkan dengan terjemahannya dalam bahasa sasaran bagi mengenal pasti padanannya. Infografik dalam kedua-dua bahasa juga akan dianalisis prosedur terjemahan yang digunakan untuk menterjemah infografik Covid-19 KKM yang dimuat turun. Prosedur terjemahan oleh Newmark (1988) digunakan sebagai kerangka untuk menganalisis prosedur terjemahan infografik Covid-19 KKM. Prosedur terjemahan yang digunakan juga akan dikira bagi melihat kekerapan penggunaannya. Sementara kamus English Grammar (Collins Cobuild 2017) dan kamus Tatabahasa Dewan (2012) akan digunakan untuk menyemak makna leksikal.

Rajah 1 Metodologi Kajian

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Berikut adalah jadual yang menunjukkan kekerapan prosedur yang digunakan dalam penterjemahan Infografik Covid 19. Sebanyak 14 prosedur yang digunakan. Prosedur yang paling banyak digunakan ialah terjemahan literal iaitu sebanyak 113 kali dan yang paling sedikit ialah prosedur naturalisasi, parafrasa, penambahan, penggantian, triplet dan quarplet yang masing- masing digunakan sekali.

Jadual 1 Jenis Prosedur dan Bilangan Kekerapan No. Prosedur Bilangan Kekerapan

1. Kuplet 24

2. Literal 113

3. Modulasi 2

4. Naturalisasi 1

5. Parafrasa 1

6. Pemindahan 6

7. Penambahan 1

8. Pengembangan 3

9. Penggantian 1

10. Pengguguran 3

11. Pinjam Terjemah 4

12. Quarplet 1

13. Transposisi 3

14. Triplet 1

Jumlah 165

Berikut adalah perbincangan mengenai 5 prosedur penterjemahan Newmark (1998) yang paling kerap digunakan dalam penterjemahan Infografik Covid-19.

1. Literal

Prosedur ini dimana penterjemah berusaha memberi makna setiap kata yang ada dalam BSu serta menyesuaikannya dengan BSa. Prosedur ini ialah dengan menggantikan perkataan atau frasa dalam ayat tanpa perlu melakukan perubahan yang besar terhadap kedudukan struktur atau susunannya.

Berikut adalah beberapa ciri terjemahan literal yang dapat dilihat dalam terjemahan Infografik Covid-19.

a. Pengekalan struktur serta bentuk ayat

No BSu BSa

Halaman 1 (5)

The most IMPORTANT places, such as medical centers, pharmacies, and grocery stores, remain open.

Tempat yang paling PENTING seperti pusat perubatan, farmasi dan kedai runcit masih beroperasi.

Halaman 3 (1)

How contact tracing is done

for covid-19 Bagaimana pengesanan kontak COVID- 19 dilakukan

b. Ketidak selarasan padanan terjemahan

No BSu BSa

Halaman 2 (1)

Should you wear mask? Perlukah pakai penutup mulut dan hidung (mask)?

Halaman 11 (6)

Wear a mask when visiting

crowded places Pakai pelitup mulut dan hidung (mask) jika kunjungi tempat tumpuan ramai

Perkataan mask telah di terjemahkan kepada penutup mulut dan hidung dan pelitup mulut dan hidung. Walau bagaimanapun ia tidak menjejaskan keseluruhan maksud ayat dan tidak menjejaskan pemahaman pembaca sasaran. Dan ia masih dianggap trjemahan literal.

c. Padanan kata tidak setara

No BSu BSa

Halaman 1 (1)

Prevention Covid-19. Advice for Taxi/ E-Hailing

Passengers.

Pencegahan Covid-19. Nasihat kepada pelancong yang menggunakan teksi/ e- hailing

Dalam hal ini perkataan ini tidak diterjemah terlalu literal sebagai “penumpang”, sebaliknya dipadankan sebagai “pelancong” yang didapati lebih sesuai dengan makna konteks.

2. Kuplet

Penggabungan dua, tiga atau empat prosedur terjemahan bagi menterjemah sesuatu perkataan bahasa sumber. Kebiasaannya kaedah ini digunakan dalam menterjemahkan perkataan yang mempunyai unsur budaya.

No BSu BSa

Halaman 9 (3)

Escalator and its handrail Eskalator & Susur Tangan

Halaman 10 (4)

Disinfect frequently touched

surfaces regularly Disinfeksi permukaan yang kerap disentuh

Halaman 9 (3) merupakan penggabungan prosedur literal dan naturalisasi. Prosedur terjemahan literal untuk keseluruhan frasa. Dan prosedur terjemahan naturalisasi digunakan untuk menterjemah perkataan escalator kepada escalator. Terdapat perubahan gaya terjemahan daripada bentuk ejaan penuh ‘and’ kepada penggunaan simbol ‘&’.

Halaman 10 (4) merupakan penggabungan 3 prosedur literal, naturalisasi dan pengurangan.

Prosedur terjemahan literal untuk keseluruhan ayat. Prosedur terjemahan naturalisasi untuk tejemahan perkataan ‘disinfect’ kepada ‘disinfeksi’ dan perkataan ‘regularly’ tidak diterjemah (pengurangan).

3. Pemindahan

Proses memindahkan perkataan BSu ke dalam teks BSa sebagai prosedur terjemahan. Ini termasuk transliterasi, iaitu proses penukaran abjad yang berbeza daripada bahasa sumber kepada bahasa sasaran. Perkataan itu kemudiannya menjadi 'perkataan pinjaman’ (loan word). Contoh dalam penterjemahan BI ke BM seperti vaksin, varian dan dos.

No BSu BSa

Halaman 6

(21) SCAN ME SCAN ME

Halaman 7 (2)

NOVEL CORONOVIRUS (2019-

nCoV)? NOVEL CORONOVIRUS (2019-

nCov)?

Pernyataan di Halaman 6 (21) dan Halaman 7(2) dipindahkan terus bulat-bulat ke BSa tanpa sebarang perubahan. Walau bagaimanapun terdapat isu yang timbul berkenaan dengan keperluan menganalisis maklumat yang ada pada kapsyen dan label ‘scan me’. Berlaku ketidakselarasan terjemahan, mungkin disebabkan oleh penterjemahnya orang yang berbeza kerana terdapat ‘scan me’ diterjemah menjadi ‘sila imbas’ pada halaman 7.

4. Sinonim

Menurut Newmark, beliau menggunakan perkataan "sinonim" iaitu persamaan terdekat bahasa sasaran untuk menterjemah perkataan bahasa sumber dalam konteks, sama ada wujud padanan yang tepat atau pun tidak. Prosedur ini digunakan pada perkataan bahasa sumber yang tidak mempunyai padanan satu lawan satu dan kurang penting dalam ayat. Seperti adjektif dan adverba. Penterjemah tidak boleh mengelak daripada menggunakan prosedur ini, terutamanya apabila tidak boleh melakukan terjemahan literal. Penterjemah harus bertolak ansur untuk menterjemah bahagian yang lebih penting yang dapat memberikan maksud yang lebih tepat. Contoh, household member (BI) kepada ahli keluarga.

No BSu BSa

Halaman 6

(23) Always maintain good personal

hygiene and cleanliness. Sentiasa menjaga kebersihan diri.

Prosedur terjemahan sinonimi digunakan untuk menterjemah ‘good personal hygiene an cleanliness’ kepada ‘kebersihan diri’. Walau bagaimanapun, terdapat isu pengurangan bagi perkataan, mungkin disebabkan oleh pengulangan unsur makna yang sama dengan personal hygiene.

5. Tranposisi

Prosedur ini melibatkan pertukaran tatabahasa dari bahasa sumber ke bahasa sasaran. Terdapat 2 jenis transposisi. Transposisi golongan kata merupakan kaedah terjemahan yang menggantikan kelas sesuatu kata atau elemen dari bahasa sumber dengan kelas kata atau elemen yang lain dalam bahasa sasaran yang mempunyai makna yang sama tetapi tidak mengubah mesej secara keseluruhan. Sementara tranposisi struktur kata pula melibatkan kaedah yang menukar struktur tatabahasa bahasa sumber dalam bahasa sasaran tanpa megubah maksud teks.

No BSu BSa

Halaman 10

(10) Wearing of masks by both infected persons and other family member caring for ill persons.

Pesakit dan penjaga sentiasa

memakai penutup mulut dan hidung Halaman 18

(3)

Scan MySejahtera QR Code for

‘Travellers’ Pengembara mengimbas QR kod MySejahtera untuk ‘Pengembara Luar Negara’

Kedua-dua pernyataan di halaman 10 (10) dan halaman 18 (3) menggunakan prosedur terjemahan transposisi, dimana struktur tatabahasa BSu telah ditukar ke struktur BSa untuk mendapat maksud yang paling hampir.

PENUTUP

Hasil kajian mendapati penterjemahan infografik Covid-19 memerlukan pemilihan perkataan/

frasa/ ayat yang mudah dan ringkas. Pemahaman pembaca BSa akan dibantu dengan pelbagai jenis grafik yang digunakan untuk menvisualisasikan data daripada teks kepada carta, jadual, rajah termasuk penggunaan gambar dan simbol ikonik (Golombisky & Hagen, 2010). Permilihan teks juga dipengaruhi dengan beranggapan bahawa pembaca BSa tidak mempunyai pengetahuan mengenai Covid-19 yang disampaikan. Penterjemahan yang dilakukan mencari padanan yang sehampir mungkin supaya mesej yang disampaikan kepada pembaca teks sumber perlu sama dengan mesej yang disampaikan kepada pembaca teks sasaran.

RUJUKAN

Dur, B. I. U. (2012). Analysis of data visualizations in daily newspapers in terms of graphic design.

Procedia-Social and Behavioral Sciences, 51, 278-283.

Fage-Butler, Antoinette M. & Matilde Nisbeth Jensen. (2016) “Medical terminology in online patient–patient communication: evidence of high health literacy?” Health Expectations 19:3, pp. 643–653.

Gálová, Dita. (2007) Languages for Specific Purposes Searching for Common Solutions.

Newcastle: Cambridge Scholars Publishing,

Golombisky, K., & Hagen, R. (2010). Type: What you don’t know can hurt you. In, White space is not your enemy: A beginner’s guide to communicating visually through graphic, web and multimedia design (Chap. 8, pp. 85-110). China: Focal Press

Gotti M., Salager-Meyer F. (2006) Advances in Medical Discourse Analysis: Oral and Written Contexts. Peter Lang.

Gotti M. 2008 Investigating Specialized Discourse. Peter Lang.

Newmark, P. (1988). A Textbook of Translation. Shanghai: Shanghai Foreign Language Education Press.

Pearson, J (1998). Terms in Context Studies in Corpus Linguistics. Amsterdam: John Benjamins Publishing Co,.

Puteri, Desak Nyoman Astri Pradnyani (2014), Translation Procedures of Medical Terms in The Book Entitled ‘Stress Less’. Bali. Universitas Udayana.

Rusydi Mohamad Kamal, Abdul Latif Abu Bakar, & Muhammad Hakimi Tew Abdullah. (2013).

Kesan komunikasi visual mesej kesihatan pada kotak rokok ke atas perokok. Proceeding of the International Conference on Social Science Research, ICSSR 2013,

(June), 1490–1503.

Salager, Francoise. (1983) “The Lexis of Fundamental Medical English:

Classificatory Framework and Rhetorical Function (A Statistical Approach).”

Reading in a Foreign Language 1:1, pp. 54-64.

Sharudin, S. A., Mustaffa, N., & Sannusi, S. N. (2020). The Role of Infographic in Increasing Youths’ Health Awareness from a Graphic Designer Perspective. Jurnal Komunikasi:

Malaysian Journal of Communication, 36(1), 356–368.

Ziegler, H., Jenny, M., Gruse, T., & Keim, D. A. (2010, October). Visual market sector analysis for financial time series data. 2010 IEEE Symposium on Visual Analytics Science and Technology, Salt Lake City, UT, 2010, pp. 83-90.