Dalam setiap masyarakat, ia mempunyai sistem pembahagian sumber yang berbeza. Pembahagian sumber yang berbeza ini membawa kepada wujudnya sistem stratifikasi. Ia adalah sistem yang membahagikan manusia berdasarkan jumlah faedah atau kekayaan negara yang mereka terima. Kelompok yang menerima faedah yang terbanyak akan diletakkan di tampuk teratas sistem hieraki manakala yang mendapat faedah yang sedikit diletakkan di bawah. Masyarakat moden distratifikasikan berdasarkan pelbagai dimensi di mana yang paling dominan ialah stratifikasi kelas. Dalam konteks ini, manusia dibahagikan mengikut pendapatan, kekayaan dan pekerjaan. Satu lagi bentuk stratifikasi yang tidak kurang pentingnya iaitu stratifikasi etnik.
Stratifikasi etnik
Stratifikasi etnik adalah aturan hieraki di mana kumpulan etnik tertentu mengambil kedudukan dominan manakala kelompok etnik lain mempunyai skop kuasa yang lebih kecil bergantung kepada kedudukan mereka dalam hieraki tersebut. Umumnya, hieraki kumpulan dibentuk berdasarkan sejauh mana kumpulan tersebut berbeza dengan kumpulan etnik yang dominan. Kumpulan yang hampir menyerupai kumpulan etnik dominan akan diletakkan di kedudukan tinggi manakala kumpulan
etnik yang berbeza dengan kumpulan dominan akan diletakkan di bawah. Ahli sosiologi, umumnya, merujuk sistem stratifikasi etnik kepada sistem majoriti- minoriti, atau dominan-bawahan (Marger, 2011: 43).
Sama ada seseorang itu menjadi sebahagian kelompok dominan atau minoriti adalah bergantung kepada situasi sosial (Marger, 2011: 52). Dalam keadaan tertentu, sesebuah kumpulan etnik akan menjadi kumpulan yang dominan tetapi dalam konteks sosial yang lain, mereka dianggap sebagai kumpulan minoriti. Umpamanya, masyarakat Melayu Sarawak dianggap sebagai kelompok minoriti di Malaysia.
Walau bagaimanapun, di mata masyarakat Iban, Melayu Sarawak adalah sebahagian daripada kelompok dominan Melayu. Keahlian dalam sesebuah masyarakat bagi kumpulan etnik adalah bukan sesuatu yang mudah. Seringkali berlaku pertindihan atau kekaburan status sesebuah kumpulan etnik tersebut.
Untuk mengukuhkan kuasa dan mengekalkan kedudukan istimewa mereka, kelompok majoriti menggunakan dua alat iaitu prejudis dan diskriminasi (Marger, 2011: 70). Dengan kata lain, prejudis dan diskriminasi bukan setakat luahan sikap rasisme atau etnosentrik tetapi ia adalah teknik dominasi kelompok majoriti. Ini adalah tren yang berlaku di banyak negara pelbagai etnik. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna sikap prejudis dan diskriminasi hanya dilakukan oleh kelompok majoriti atau dominan sahaja. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuklah kumpulan etnik minoriti.
Prejudis
Prejudis adalah imej mental yang bersifat tetap mengenai kelompok individu tertentu.
Ia adalah kepercayaan umum yang selalunya bersifat negatif terhadap kesemua ahli dalam kumpulan tersebut. Sikap prejudis mempunyai beberapa ciri khusus iaitu:
1. Ia adalah pandangan yang bersifat umum. Individu dinilai berdasarkan ikatan mereka terhadap kumpulan etniknya, dan bukan sifat peribadi individu tersebut. Oleh itu, prejudis melangkaui norma rasional kerana individu tidak dinilai secara objektif dan adil sebagai seorang individu tetapi lebih kepada pandangan umum mengenai kumpulan etniknya.
2. Prejudis tidak bersifat fleksibel. Individu yang mempunyai sifat prejudis terhadap kelompok etnik tertentu mempunyai ikatan emosi terhadap pandangan tersebut. Ini menyebabkan pandangan prejudis tidak mudah diubah walaupun adanya bukti untuk menafikan kebenarannya.
3. Prejudis selalunya mempunyai konotasi yang negatif. Walau bagaimanapun, prejudis juga boleh bersifat positif. Cuma, prejudis positif ini selalu digunakan untuk mengambarkan kekuatan serta ketuanan kumpulan etnik yang dominan manakala prejudis negatif digunakan untuk menilai kumpulan etnik minoriti.
4. Akhir sekali, prejudis adalah imej yang salah atau tidak tepat mengenai sesebuah kumpulan etnik. Jenis prejudis ini dipanggil stereotaip. Menurut Walter Lippmann, stereotaip, adalah ‘gambar dalam kepala kita’ yang terbentuk bukan hasil daripada pengalaman peribadi (dalam Marger, 2011: 71 – 72). Sebaliknya, ia terbentuk hasil daripada peristiwa yang berlaku sebelum itu dan juga pengaruh agen sosialisasi terutamanya media massa.
Diskriminasi
Jika prejudis adalah aspek sikap dalam stratifikasi etnik, diskriminasi pula adalah aspek tingkah laku. Diskriminasi meliputi tingkah laku yang bertujuan untuk menafikan kumpulan etnik tertentu daripada mendapat akses yang sama rata terhadap faedah atau kekayaan negara. Justeru, diskriminasi adalah lebih daripada sekadar mempunyai tanggapan negatif terhadap kumpulan etnik lain. Ia adalah tindakan atau amalan yang selalunya dilakukan oleh kelompok majoriti atau dominan, ataupun wakil mereka, yang mempunyai impak negatif terhadap kumpulan bawahan atau kelompok minoriti.
Walaupun prejudis dan diskriminasi saling berkait, ia adalah fenomena yang perlu ditangani secara berasingan. Sikap prejudis selalunya membawa kepada tindakan diskriminasi tetapi ramai pengkaji berpendapat bahawa kedua-duanya tidak semestinya berlaku seiring. Apapun, diskriminasi, sepertimana prejudis, diaplikasikan terhadap seseorang atas dasar ikatan mereka dengan sesebuah kumpulan etnik tertentu dan bukan sifat peribadinya. Justeru, diskriminasi adalah keadaan di mana individu dinafikan peluang atau faedah negara bukan kerana kapasiti atau tingkah laku mereka tetapi disebabkan keahliannya dalam sesebuah kumpulan etnik.
Tindakan diskriminasi berlaku dalam pelbagai bentuk dan tahap. Penggunaan label yang bersifat menghina terhadap sesebuah kumpulan etnik tertentu adalah suatu bentuk diskriminasi yang paling rendah. Walaupun begitu, label yang menghina ini berupaya meningkatkan lagi amalan stereotaip dan membawa kesan psikologikal terhadap mangsa. Bentuk diskriminasi yang lebih serius dan mampu membawa kesan jangka panjang terhadap golongan minoriti atau bawahan ialah penafian terhadap pelbagai peluang hidup seperti pekerjaan, perumahan, kesihatan, pendidikan, keadilan dan penyertaan politik. Golongan yang didiskriminasi bukan sahaja tidak dapat menikmati kualiti hidup seperti mana kumpulan etnik yang lain, malah jurang antara kumpulan yang dominan dan minoriti sudah pasti akan bertambah besar.
Ini mengukuhkan lagi stratifikasi sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik.
Bentuk diskriminasi yang paling serius ialah tindakan agresif atau fizikal terhadap golongan minoriti atau bawahan. Tindakan ini merangkumi keganasan yang bersifat terpencil hinggalah kepada keganasan terancang yang bertujuan menghapuskan mereka secara mutlak. Pada kurun ke-19 dan 20, pelbagai keganasan etnik berlaku di merata pelusuk dunia yang seringkali membabitkan kelompok minoriti seperti penyembelihan lebih sejuta etnik Armenia oleh etnik Turki, pembunuhan secara sistematik enam juta orang Yahudi oleh tentera Nazi, pembunuhan hampir 200,000 orang Bosnia oleh etnik Serbia dan penghapusan beribu orang etnik Rohingya oleh etnik Rakhine.
Aktiviti 1.5
Bincangkan secara ringkas tiga fasa hubungan etnik di Malaysia.