1
PARAMETER KESOPANAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA : ANALISIS PRAGMATIK
oleh
Dr. Zaitul Azma bt Zainon Hamzah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia [email protected]
Pengenalan
Parameter ialah garis-garis yang menentukan atau menandakan keluasan atau batasan sesuatu, keluasan yang ada batasan-batasannya. Contoh kalau ditinjau secara objektif, parameter kesetiaan seseorang berkisar dalam ruang bulatan yang berlegar dan bertindih; watak-watak didalamnya bertingkah laku secara konkrit dalam lingkungan. (KD2005: 1140)
Kesopanan adalah amalan tingkah laku yang mematuhi peraturan-peraturan sosial yang terdapat dalam sesebuah masyarakat. Seseorang yang tidak mematuhi peraturan-peraturan soaial ini dianggap tidak sopan. Perilaku yang menonjolkan ketidaksopanan lebih merujuk kepada perilaku seseorang yang ditonjolkan secara personal yang boleh menimbulkan suasana konflik dan ketegangan yang lebih besar. Dengan kata lain setiap orang harus bertindak dengan penuh kesopanan antara satu dengan lainnya berdasarkan norma kesopanan dalam sesebuah masyarakat.
Kertas kerja ini akan mengenal pasti aspek kesopanan yang wajar diamalkan mengikut parameter kesantunan dalam pragmatik. Kedua membincangkan faktor-faktor yang boleh meningkatkan kesantunan dalam kalangan masyarakat multilingual di Malaysia khususnya. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan, dan sampel kajian adalah terdiri daripada kanak-kanak dan remaja yang dipilih secara sampel kuota, iaitu jumlah sampel yang dikehendaki ditentukan terlebih dahulu. Pemilihan sampel bergantung kepada kehendak penyelidik tanpa mempertimbangkan ahli sampel. Data dianalisis menggunakan teori pragmatik Grice (1975) , Prinsip Kesantunan Leech (1983), Model Kesantunan Lakoff (1975) dan Teori Pragmatik Sperber dan Wilson.
2 Disebabkan kegagalan mengamalkan kesopanan bahasa, konflik turut terjadi dalam kalangan pelajar sekolah. Dapatan kajian mendapati kanak-kanak menghadapi konflik bahasa apabila bahasa yang diujarkan kepada mereka boleh menyinggung perasaan mereka (S1), kasar dan menyentuh peribadi mereka (S2), bahasa yang digunakan kasar dan menyentuh diri mereka, ibu bapa dan keluarga kanak-kanak (S3). Mereka juga akan menghadapi konflik sekiranya bahasa yang diujarkan dan menyindir diri kanak-kanak itu, ibu bapa dan keluarga mereka (S4).
Tambahan sekiranya bahasa yang diujarkan itu boleh memalukan mereka di hadapan orang lain (S5)
Hal ini demikian ada kaitannya dengan gaya hidup sekarang yang kanak-kanak dan remaja lebih bersuara lantang dan suka mengeluarkan kata-kata yang menyakiti orang lain. Pengaruh media juga tidak terkecuali apabila sampel kajian mengakui bahawa kata-kata yang terdapat dalam rancangan television seperti drama swasta turut mempengaruhi mereka menggunakan bahasa sedemikian. Selain itu rancangan hiburan yang lantang mengkritik persembahan peserta seperti Malaysian Idiol, Akademi Fantasia dan sebagainya turut menjadi sasaran kanak-kanak dan remaja mengeluarkan kata-kata yang lebih terbuka sehingga menyebabkan rakan mereka berasa tersinggung dan seterusnya menghadapi konflik.
Penggunaan kata sapaan, kata gelaran peribahasa yang bertujuan menyindir atau mengejek serta bahasa yang kasar dan tidak menepati konteks turut menyebabkan pendengar tersinggung. Dalam hal ini didapati terdapat garis tertentu seseorang itu perlu mengawal pertuturan mereka supaya tahap kesopanan dapat dipelihara. Beberapa strategi mengekalkan kesopanan berbahasa dicadangkan. Antaranya;
1. Berbahasa dengan mengutamakan konteks siapa pendengar dan budayanya.
2. Menguasai aspek kecekapan pragmatik.
3. Berkomunikasi secara beretika.
4. Mempraktikkan kandungan budaya dan menyesuaikan dengan konteks dan situasi.
5. Mengenali situasi, personaliti, mood, dan minat pendengar ketika berkomunikasi.
a. Mendengar dengan teliti.
b. Memberi maklum balas dengan bahasa yang santun
c. Memahami perkataan yang diujarkan dan makna yang terselindung di sebalik kata-kata tersebut.
3 d. Memahami perbezaan bentuk bahasa yang digunakan, minat pasangan perbualan, dan asas memahami dunia sosial pasangan kita.
Pelahiran Kod kesopanan (etika sosial)
Pelahiran kod etika sosial ini adalah untuk memastikan integrasi budaya dan pemantapkan amalan kesopanan bahasa dan kelakuan yang terpuji ini benar-benar diamalkan. Kod etika sosial ini merangkumi penggunaan bahasa yang santun dalam semua aspek kehidupan, misalnya dalam bidang perniagaan, urusan kerajaan, industri pelancongan dan sebagainya.
Kandungan Kod kesopanan berbahasa
a. Penggunaan kata ganti nama diri, kata panggilan, dan kata gelaran yang tepat dan sesuai dengan konteks.
b. Penggunaan bahasa halus termasuk penggunaan sistem bahasa yang beradat dan bertatasusila, bersopan santun, dan berbudaya tinggi. Tujuannya adalah untuk menyerlahkan darjah kesopanan dan keperihatanan masyarakat Melayu agar sentiasa berkelakuan sopan dan barakhlak tinggi.
c. Penggunaan bahasa yang menghormati aspek kenegaraan sesuatu bangsa.
d. Penggunaan bahasa yang tidak bertentangan dengan ajaran agama sesuatu bangsa
Rumusan
Pengetahuan linguistik dan sosiobudaya dalam bahasa dan bangsa ini perlu difahami supaya setiap individu atau tetamu yang berkenaan dapat menguasai aspek kesopanan berbahasa sesuai dengan rumus sosiobudaya yang ada dalam bahasa dan budaya sesuatu bangsa ini. Hal ini penting kerana penguasaan bahasa dan pengetahuan tentang nilai-nilai dan norma-norma yang diamalkan oleh sesuatu bangsa itu membolehkan ahli masyarakat itu berinteraksi ataupun berkomunikasi menggunakan bahasa yang tepat dan dapat menjaga tatasusila pergaulan dalam konteks sosial.
Kesimpulan
Amalan kesopanan berbahasa dalam sesebuah masyarakat terpancar dari segi amalan dan pelahiran kod-kod bahasa kerana sistem nilai yang diamalkan ini dikatakan mempunyai
4 hubungannya dengan cara hidup dan amalan organisasi sesuatu masyarakat itu. Dengan mengamal kesopanan berbahasa anda akan digolongkan sebagai ahli masyarakat yang peramah, bertimbang rasa, berfikiran positif, mengamalkan sikap toleransi, bersopan santun, jujur dengan tetamu, bermoral dan baik hati. Secara tidak langsung anda dapat mengekalkan peribadi yang mulia, sekali gus menonjolkan peribadi bangsa yang lemah lembut dan tinggi peradabannya.
Pepatah "Bahasa menunjukkan Bangsa" menonjolkan penggunaan bahasa yang santun melambangkan tingkat peradaban dan jati diri bangsa Melayu. Hal ini kerana bahasa memang memainkan peranan penting dalam perkembangan intelektual, sosial, dan emosi. Kepentingan bahasa dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara tidak perlu dinafikan.
Bibliografi
Asmah Haji Omar, (1986). Bahasa dan alam Pemikiran Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hussain, (2004). Kamus Istimewa Peribahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Bode, J. (1989). Different worlds: Interracial and cross-cultural dating. New York:
Franklin Watts.
Fishman, J.A., Ferguson, C.A dan Das Gupta, Jyotirindra,ed. (1968). Language Problems of Developing Nations. New York: John Wiley.
Gumperz, J.J. (1971). Language in Social Groups. Stanford, California: Stanford University Press,
Gumperz, J.J, ed. (1972). Directions in Sosiolinguistics: The Ethnography of Communication. New York: Rinehart and Winston.
Noriah Mohamed, (1998). Sosiolinguistik Bahasa Melayu Di Malaysia. Pulau Pinang:
Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Nor Hashimah Jalaluddin (1992a). Semantik dan Pragmatik: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Novinger, Tracy. (2001) Intercultural Communication. Austin, TX: University of Texas Press, , P. 84.
Okun, Barbara F., Fried, Jane, Okun, Marcia L. (1999) Understanding Diversity. A Learning as Practice Primer. Pacific Grove, CA: Brooks/Cole Publishing, , pp. 59-60.
Sperber,D. & Wilson, D. (1995). (2nd edn): Relevance. Communication and Cognition. Oxford : Basil Blackwell.