• Tidak ada hasil yang ditemukan

034-Cabaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "034-Cabaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

345

034-Cabaran dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah

*Syahrul Faizaz Abdullah, PhD

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM CAS Universiti Utara Malaysia

Saudah Ahmad, PhD

Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Syafinaz, UUM COB Universiti Utara Malaysia Afifah Abu Yazid

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM CAS Universiti Utara Malaysia

Syahrina Abdullah

Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, UUM CAS Universiti Utara Malaysia Armanurah Mohamad, PhD

Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, UUM COB Universiti Utara Malaysia Noor Asma Jamaluddin

Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Syafinaz, UUM COB Universiti Utara Malaysia

*E-mel: [email protected] ABSTRAK

Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) yang berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Kedah berperanan sebagai pusat bimbingan mualaf di peringkat lokal dan global. PUSBA telah menyediakan kelas bimbingan tentang asas fardhu ain sebagai usaha untuk memastikan mualaf dapat mengamalkan ajaran Islam yang sebenar dan terus kekal dalam Islam. Mualaf yang terdiri dari pelbagai latar belakang bahasa, budaya, agama asal dan negara telah menjadi cabaran kepada PUSBA untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan. Oleh itu, kertas kerja ini bertujuan menganalisis cabaran yang dihadapi oleh PUSBA dari segi pengajaran dan pembelajaran dalam melaksanakan program bimbingan mereka. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan teknik pengumpulan data menggunakan temu bual bersemuka dan data dianalisis secara diskriptif.

Hasil analisis mendapati antara cabaran yang dihadapi oleh PUSBA dalam pengajaran dan pembelajaran merangkumi aspek tidak mempunyai modul pengajaran khusus, tahap pendidikan, bahasa ibunda, tidak dapat mengingati istilah-istilah dalam pengajaran dan malu serta tidak berkeyakinan. Kertas kerja ini mencadangkan isu-isu ini mesti ditangani secara berkesan bagi memastikan program bimbingan yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar.

Kata Kunci: Cabaran, Pengajaran dan Pembelajaran, PUSBA, Fardhu Ain

(2)

346 PENGENALAN

Berdasarkan peruntukan undang-undang di Malaysia, pengurusan berkaitan bimbingan dan kebajikan mualaf secara rasmi berada di bawah tanggungjawab kerajaan negeri melalui agensi- agensinya sama ada Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam. Selain itu, terdapat juga organisasi dakwah bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Darul Fitrah yang sama-sama berperanan untuk membimbing dan menjaga kebajikan. Peranan yang dimainkan oleh institusi ini sangat penting bagi memastikan mualaf yang baru memeluk Islam dapat memahami ajaran Islam yang sebenar dan terus kekal dalam ajaran Islam.

Mualaf amat memerlukan bimbingan kerohanian untuk memastikan dirinya mempunyai hubungan yang erat dengan penciptanya dalam keadaan menyerah diri, tunduk dan patuh.

Hubungan ini bina melalui iktikad dari segi kepercayaan (akidah) tentang keesaan Allah SWT, pengamalan ibadah-ibadah ritual dan tingkah laku Islam (akhlak) sebagaimana yang digariskan dalam Islam. Oleh itu, bimbingan yang merangkumi pengajian ilmu-ilmu asas agama Islam (fardhu ain) berkaitan akidah, fekah, akhlak sangat penting untuk mengukuhkan kefahaman tentang ajaran Islam. Ilmu asas fardhu ain bermaksud proses melatih diri dari aspek rohani, jasmani dan akal berdasarkan nilai-nilai yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah (Abdul Halim El Muhammady, 1984). Ilmu fardhu ain sangat dituntut ke atas setiap muslim untuk mengetahui dan mempelajarinya bagi melaksanakan tuntutan agama (Ibn Khaldun, 2000) dan pembentukan diri setelah memeluk Islam (Siti Fathimatul Zahrah dan A’athiroh Masyaa’il Tan, 2015).

Dalam konteks bimbingan, sesi pengajaran yang baik akan memastikan keberkesanan program bimbingan. Aspek pengajaran merupakan satu proses yang merangkumi aktiviti- aktiviti perancangan, pelaksanaan, penilaian dan maklum balas (Shahabudin, et. al., 2003). Sesi pengajaran yang baik perlu melibatkan kemahiran guru memadankan kaedah pengajaran dengan objektif pembelajaran pelajar dan gaya pembelajaran mereka.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa isu berkaitan mualaf terutamanya berkaitan isu bimbingan. Sebagai orang yang baru memeluk Islam, mualaf masih belum memahami sepenuhnya ajaran Islam. Mereka sedang dalam proses membina persepsi diri tentang nilai, kepercayaan serta amalan hidup yang belum pernah diamalkan sebelum ini (Mahfuz, 1992).

Kajian oleh Aidid & Zulkifli(2013) menda pati masih terdapat mualaf yang belum boleh menghafal Surah al-Fatihah walaupun telah memeluk Islam selama lima tahun. Selain itu yang tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya mempunyai pengetahuan tentang Islam yang sangat terhad, tidak mengamalkan Islam dan terdedah kepada gejala murtad (Faizal Arif, 2013).

Syahrul Faizaz (2013) pula mendapati terdapat pihak yang menganggap ketidak cekapan jabatan agama Islam dan majlis agama Islam menguruskan program bimbingan dan kebajikan mualaf sebagai penyumbang kepada ingin keluar daripada Islam. Pihak tersebut menganggap jabatan agama Islam dan majlis agama Islam hanya mementingkan kuantiti bukan kualiti.

Selain itu, terdapat beberapa isu berkaitan pengajaran dan pembelajaran yang menjadi cabaran dalam melaksanakan program bimbingan. Antaranya, tahap pendidikan, tempoh pengajian dan tahap umur serta etnik dan kefahaman yang berbeza, tiada silibus dan kurikulum

(3)

347

yang khusus dan sistematik, tahap penguasaan Bahasa Melayu, kepadatan jumlah pelatih di dalam kelas pengajian dan sikap penghuni (Faezy et. al, 2020; Yasmoon dan Razaleigh, 2019).

Usaha menghasilkan modul pengajaran dan pembelajaran yang sistematik turut menjadi cabaran kepada pusat bimbingan dan terdapat isu berkaitan kefahaman mualaf disebabkan faktor modul yang terdapat di pusat bimbingan terbabit (Syarul Azman et. al., 2018; Ain Nathasha et. al., 2017, Azman Ab Rahman et. al, 2015; Masnih et. al.,2017)

Berdasarkan kepada penyataan di atas, jelaslah terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi dalam melaksanakan program bimbingan mualaf dari segi pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu kertas kerja ini akan menganalisis cabaran yang dihadapi oleh Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dari aspek pengajaran dan pembelajaran dalam program bimbingan mualaf. Analisis ini penting bagi memastikan cabaran tersebut dapat diatasi untuk memastikan objektif program bimbingan yang dilaksanakan oleh institusi ini tercapai.

PENGENALAN ORGANISASI PUSBA

Resolusi oleh jawatankuasa bagi menangani gejala murtad dalam kalangan mualaf telah menjadi titik tolak penubuhan satu pusat khusus bimbingan kepada mualaf. Rentetan itu, Mesyuarat Majlis telah bersetuju untuk menubuhkan Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru (PUSBA) pada 8 Mac 1998 dan mula beroperasi sepenuhnya pada 1 April 1999.

Mesyuarat Majlis juga telah melantik Ahli Lembaga Tadbir PUSBA bagi melicinkan perjalanan pentadbiran PUSBA. Pada tahun 1999 hingga bulan September 2005, operasi pentadbiran PUSBA ditempatkan di bangunan kepunyaan Masjid Sultan Muzaffar Shah dan 2 kuaters bersebelahan masjid tersebut telah digunakan untuk dijadikan asrama peserta lelaki dan perempuan, serta satu ruang dijadikan pejabat pentadbiran dan bilik kuliah untuk pengajian.

Kerajaan Negeri Kedah pula telah memberikan sebidang tanah seluas 1.6 hektar sebagai tapak tetap PUSBA bersebelahan dengan kem 6 Briged di Sungai Petani dan siap pada bulan Oktober 2005. Pada tahun 2007, nama Pusat Bimbingan dan Latihan Saudara Baru telah ditukarkan kepada Pusat Bimbingan Islam. Pada 12 Ogos 2008, PUSBA telah ditukarkan nama kepada Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA).

PUSBA melaksanakan tiga peranan utama berikut :

1. Penyedia perkhidmatan pendidikan asas Islam secara intensif.

2. Penyediaan perkhidmatan pemulihan dan pemantapan aqidah.

3. Penyediaan perkhidmatan kaunseling dan bimbingan.

Piagam pelanggan Pusat menetapkan agar perkara-perkara berikut dipatuhi untuk memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah efisyen dan memuaskan :-

1. Menyedia prasarana bimbingan dan pendidikan yang sempurna sepanjang tempoh kursus.

2. Memberi bimbingan asas Islam sepanjang tempoh kursus mengikut silibus.

3. Memastikan saudara baru meningkat kefahaman dalam masa empat bulan.

(4)

348

4. Memastikan pelajar lulus mengikut tahap yang ditetapkan selepas tamat kursus.

PUSBA melaksanakan program bimbingan berbentuk kelas pengajian fardhu ain secara bulanan dan mingguan. Kursus bulanan mengambil masa selama 4 bulan iaitu sesi Januari, sesi Mei dan sesi September. Peserta yang lulus akan diberikan Sijil Asas Kefahaman Islam.

Selalunya peserta akan mengikuti kursus di PUSBA selama tiga semester tanpa had umur peserta dan peluang terbuka kepada semua dari semua negeri di Malaysia. Silibus yang digunakan bagi program bimbingan asas kefahaman Islam dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah merangkumi pengajian Tauhid, Fekah, Tasawuf, Sirah Rasulullah s.a.w, pelajaran asas-asas Tilawah Al-Quran dan asas-asas Tulisan Jawi.

Kelas pengajian mingguan pula dibuka di tujuh daerah di Kedah, Sungai Petani, Baling, Kulim, Kubang Pasu, Pendang, Alor Star dan Langkawi. Pusat ini juga telah menyediakan kelas pengajian mingguan kepada mualaf yang tidak dapat mengikut kursus pengajian Islam bulan kerana berkerja, berkahwin atau komitmen. Dalam kajian program bimbingan PUSBA memfokuskan kepada pengajian berbentuk bulanan.

Silibus yang digunakan bagi program bimbingan asas kefahaman Islam dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) merangkumi pengajian Tauhid, Fekah, Akhlak, Sirah Rasulullah s.a.w, pelajaran asas-asas Tilawah Al-Quran dan asas-asas Tulisan Jawi (Informan 1, 2019)

Jadual 1 : Topik Kursus Asas Kefahaman Islam Bil. Subjek

Pembelajaran

Topik Pembelajaran

1 Tauhid Syahadah, rukun iman, perkara ghaib, perkara yang membatalkan syahadah dan sifat pelaku serta akibat perbuatan tersebut.

2 Fekah Taharah (bersuci), kaedah berwudhuk tanpa air, solat termasuk perkara wajib dan sunat, puasa, zakat, haji dan umrah.

3 Akhlak Akhlak peribadi yang perlu ditonjolkan terhadap manusia, tatatertib apabila menghadiri ke suatu tempat dan pemahaman tentang akhlak mahmudah dan mazmumah.

4 Sirah Sejarah susur galur hidup Rasulullah S.A.W sejak lahir sehinggalah tiba saat kewafatan baginda, termasuklah kisah akhlak mahmudah yang ditonjolkan oleh Rasulullah S.A.W terhadap keluarga dan sahabat handai serta masyarakat, strategi pembukaan negara Islam pertama dan mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

5 Tilawah al-Quran

Pengenalan asas huruf hijaiyah serta kaedah sebutan, hukum tajwid bacaan, mempelajari asas bacaan surah-surah dalam juz amma dan surah-surah lain yang terkandung dalam al-Quran serta menghafaz ayat-ayat lazim.

6 Jawi Pengenalan bentuk huruf jawi, cara menulis perkataan jawi, membaca dan memahami teks jawi serta latihan menulis terjemahan teks rumi ke jawi dan rumi ke jawi.

(5)

349 METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk menganalisis cabaran dari segi pengajaran dan pembelajaran yang dihadapi oleh Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (PUSBA) dalam membimbing mualaf. Kajian ini berbentuk kualitatif dengan menggunakan teknik pengumpulan data menggunakan temu bual bersemuka. Temu bual dijalankan bersama pengetua PUSBA dan tenaga pengajar PUSBA dengan menggunakan protokol temubual yang dibangunkan oleh penyelidik dan telah mendapat pengesahan dari pihak pakar. Khususnya, protokal temu bual berstruktur dipilih kerana ia sesuai digunakan untuk mendapatkan data secara terus dari respomden kajian (Isa & Wahid, 2017) dan mampu mengutip data yang lebih kaya, bermakna dan mendalam (Wan Razali, 2015). Alat-alat teknikal yang digunakan dalam proses temubual ini adalah menggunakan alatan MP3. Data temubual telah diterjemah atau ditranskrip bagi mendapat maklumat yang lebih tepat. Proses penulisan transkripsi verbatime dilakukan dengan cara menulis semula perkataan demi perkataan hasil temu bual tersebut, sebagai rujukan jika timbul kekeliruan dalam proses transkripsi data. Analisis data adalah dalam bentuk tema.

DAPATAN KAJIAN

Hasil analisis mendapati cabaran yang dihadapi oleh PUSBA dari segi pengajaran dan pembelajaran dapat dibahagikan kepada cabaran dari segi:

Cabaran menghasilkan Modul

PUSBA sebenarnya dalam usaha untuk menghasilkan modul sendiri. Penentuan silibus dan buku rujukan ditentukan oleh PUSBA sendiri. Setakat ini PUSBA telah menetapkan buku Indahnya Hidup Bersyariat sebagai sumber rujukan utama yang menjadi rujukan untuk subjek Fekah dan akhlak. Selain itu juga beberapa sumber lain yang digunakan iaitu kitab Iqra’ dan Kitab Ruuhul Amin untuk subjek al-Quran dan Kitab Misbahul Munir untuk subjek Tauhid, Kitab akhlak Mulia dan buku susunan pengetua PUSBA sendiri untuk subjek akhlak. Terdapat usaha PUSBA untuk menghasilkan pada tahun 2015. PUSBA telah melantik Panel Pakar untuk merangka modul Fekah dan Tauhid dan kedua-dua modul tersebut disiapkan. Walau bagaimanapun usaha tersebut terhenti kerana pengerusi yang baru tidak bersetuju dengan projek tersebut.

“Sebenarnya masalah silibus, masalah buku, kami yang tentukan sendiri. Saya dengan guru-guru. Okay..kita nak pakai buku mana? Kita tak melaui Majlis yang tu. Kita sendiri ja. Majlis ni pentadbiran, kewangan…yang tu ja… Buku ni….walau macam mana pun kena guna buku. Cuma pilihan tu kita pilih...Indahnya Hidup Bersyariat. Dulu pakai asas fardu ain yang bimbingan asas fardu ain tu. Pastu bincang-bincang staff kata kita guna buku Indahnya Hidup Bersyariat. Sebab dia ada gambar semua. Tapi lebih mahai sikit la. Tak apa la. Tapi bila dah berjalan separuh, pastu tengok ada pula guru-guru kata buku ni dia punya topic macam tak tersusun sikit. Kan dia mula dengan bab kelahiran?

Dia macam tu. Dia mungkin kita kata yang fardu ain tadi. Cantik dah susunan dia. Kita

(6)

350

dok test yang mana nak ni….tapi hasrat tu kalau boleh la ada buku sendiri. Tapi memang masa mula-mula saya naik dulu tahun 2015, masa tu pengerusi lain. Ada buat bengkel la. Contohnya fekah. Kita ambil berapa orang tenaga pakar untuk kita duduk, kita susun sampai siap. Lepastu selesai nanti ambil pula panel yang tauhid pula. Kita duduk dan buat sampai siap. Tapi pengerusi yang selepas itu macam lain pula. Dia tak mau benda tu (Informan 1, 2019).

Walaupun PUSBA tidak mempunyai modul yang khusus namun proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik. Ini kerana tenaga pengajar dapat melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan sumber rujukan yang khusus untuk mata pelajaran berpandukan kepada silibus yang ditetapkan. Tenaga pengajar pula telah mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelatih dapat memahami dan berminat dengan isi pengajaran. Selain itu, PUSBA telah memantau pencapaian melalui penilaian berterusan di dalam kelas dan peperiksaan akhir. Pengetua juga telah memantau proses pengajaran melalui sistem buku rekod pengajaran dan pemantauan langsung semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan di dalam kelas.

Tahap Pendidikan Mualaf

Tenaga pengajar di PUSBA berdepan dengan cabaran untuk membimbing pelatih kerana tahap pendidikan pelatih yang berbeza dalam satu kelas. Terdapat dalam kalangan pelatih tersebut yang buta huruf, tidak tahu menulis dan membaca. Ataupun yang tahu membaca dan menulis tetapi pada tahap yang paling rendah. Terdapat juga pelatih yang tidak tahu menulis perkataan walaupun mereka telah mengenal huruf.

“Selepas itu kalau yang tak boleh menulis pula, kalau kita bagi latihan dan nota tu payah la nak tulis kan. Mereka tak boleh menulis…” (Informan 4, 2020)

…. maksudnya, contoh, kalau saya suruh mereka eja Nabi Muhammad sebagai contoh, Muhammad. Apa, bila kita sebut Muhammad, mereka tak tau, tak tau nak eja Dr (Informan 6, 2020).

“….Asli ni masalahnya dia macam faham apa yang kita cerita. Sebab masa buat ujian dia tak tau nak menulis. Masalah nak menulis tu” (Informan 2, 2020).

“Macam Orang Asli kalau yang memang tak belajaq tu, memang, memang dia tak boleh la Dr. Kalau dia ada latar belakang pendidikan, setakat ni, Alhamdulillah lah, apa yang saya soal, apa yang dia tulis dia boleh dapat faham (Informan 6, 2021).

Mereka ni dari segi pemahaman ni mereka okay. Cuma mungkin mereka payah dari segi nak menulis tu la. Kefahaman selalunya ni mereka okay. Cuma mungkin ada seorang tu yang mungkin dia tak berapa faham bahasa Melayu tu selalunya dia banyak bergantung kepada bahasa Thailand la (Informan 5, 2020)

Terdapat juga pelatih yang tidak boleh menulis dan mereka mengambil masa yang

(7)

351

panjang untuk memahami satu-satu topik. Jadi pengajar terpaksa mengulang topik yang sama hingga kadang-kadang mengambil masa hampir sebulan.

Kalau yang tak boleh menulis dan membaca pula kita kena ulang silibus tu. Kadang- kdang sampai sebulan dok ulang taharah tu lagi. Tapi kalau ikut target, taharah tu kena berpindah dah kepada solat. Tapi dalam masa yang sama kita buat benda tu sekali. Biar dia relate. Ada taharah dan solat. Sebab kadang-kadang kita dok ulang-ulang….tengah kita dok mengajar ada pula yang baru masuk… Yang tu kena undur pula sekejap (Informan 3, 2020).

Walaupun begitu, pelatih masih dapat memahami subjek yang diajar. Bagi mengatasi masalah ini, PUSBA telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kelas Celik Huruf untuk tulisan Jawi dan Rumi. Tidak dinafikan usaha yang dilaksanakan ini telah memberi kesan yang positif walaupun kadang-kadang mengambil tempoh yang lama bagi sesetengah pelatih. Kelas ini bukan sahaja dapat membantu pelatih semasa pengajian di PUSBA tetapi juga apabila mereka menyambung pengajian di tempat lain.

Penguasaan Bahasa Melayu

Tahap penguasaan bahasa Melayu yang rendah juga menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran terganggu. Pelatih berbangsa India, Cina, Siam yang berasal dari Thailand dan orang Asli yang kurang menguasai bahasa Melayu. Malah ada yang penguasaan mereka sangat lemah. Tetapi mereka sangat berminat untuk mempelajari asas fardhu ain.

Mereka tak boleh nak cakap bahasa melayu, tak boleh nak faham bahasa melayu susah la kita nak sampaikan apa yang kita nak sampaikan kat mereka kan. Jadi mereka hanya bergantung kepada buku la. Macam Thailand tu mereka bergantung kepada buku mereka la. Tu antara yang cabaran la kan. Sebab dalam pengajaran banyak guna bahasa Melayu. Ada juga yang kalau dia tak faham bahasa melayu, bahasa inggeris pun dia tak boleh juga. Jadi kadang-kadang kita tak tau macam mana kita nak sampaikan kat dia kan ( Informan 5, 2020).

Ada yang India, ada Cina, ada Orang Asli. Jadi ada yang, yang kita soal, yang tak faham Bahasa Malaysia tu yang susah Dr. Cabaran norh tak paham bahasa ...Ya, cabaran, yang tu kita kena mintak kawan dia pulak trasnlate untuk dia (Informan 6, 2020)

Bagi mengatasi cabaran ini, tenaga pengajar mengambil inisiatif memberikan rujukan dalam bahasa Ibunda pelajar terbabit atau meminta pelajar yang memahami bahasa mereka dan bahasa Melayu untuk menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Masalah Kesihatan Dan Umur

Faktor usia turut menjadi cabaran bagi tenaga pengajar. Pelatih yang sudah berusia bukan sahaja menghadapi masalah lambat belajar malah dihambat masalah kesihatan.

Bila usia lanjut, satu, satu perkara, satu perkara lagi dia tak sihat. Haaa jadi kita nak

(8)

352

kena hadapi cabaran yang pertama, dah bila dia masuk warga emas ni memang, memang dia lambat lah dari segala segi, bila kita terang dia slow lah (Informan 6, 2020).

Terdapat pelatih yang menghadapi masalah kesihatan sehingga menyebabkan mereka memperolehi keputusan ujian yang rendah seperti D atau E. Pembimbing di PUSBA berusaha membantu setakat mampu. Ada ketikanya pelatih tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan mereka biasanya dinasihatkan berehat di bilik mereka.

Dia memang, haaaa, dari segi masalah kesihatan. Ini kadang-kadang golongan yang kadang dapat D, dapat E. Pertama dah tak boleh buat apa sebab ada kesihatan pula kan, yang kadang-kadang kita tak tau macam mana nak bantu. Cuma kita pun kata dengan dia tak pa la, duduk dalam aaaaa, suasana Majlis Ilmu mudahan-mudahan Allah mudahkan segala urusan (Informan 3, 2021).

Tenaga pengajar PUSBA mengambil sikap berlapang dada dengan masalah ini dan berharap pelatih tersebut mendapat ilmu sepanjang pengajian mereka.

Malu dan tidak berkeyakinan

Terdapat pelatih yang tidak berkeyakinan dan kelihatan malu-malu terutamanya apabila diminta untuk membentangkan tugasan dalam kelas. Bagi mengatasi masalah ini tenaga pengajar memberi motivasi kepada pelatih untuk memberanikan diri untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

Jadi kalau, saya kata kalau malu, kalau tak berani nak bercakap macam mana kita nak, nak kehadapan saya maklum. Jadi saya dok didik perkara tu supaya mereka berani la untuk, untuk bercakap di depan. Tapi apa, sorang dua ja lah yang, yang mampu nak buat pun Dr (Informan 6, 2020).

Tidak Dapat Mengingati Istilah-Istilah Yang Digunakan Dalam Pembelajaran

Terdapat dalam kalangan pelatih tidak dapat mengingati isi kandungan pengajaran dari segi istilah khusus berkaitan rukun dan sunat solat. Contohnya perbezaan dari segi takbiratul ihram dan takbiratul intiqalat. Hal ini menyebabkan tenaga pengajar terpaksa mengulangi isi pengajaran berkaitan. Walau bagaimanapun pelatih dapat melakukan dengan betul dari segi amali dan bacaan dalam solat kerana penekanan oleh semua tenaga pengajar semasa bulan pertama di PUSBA. Selain itu, pelatih juga dikehendaki menunaikan solat secara berjemaah di surau PUSBA setiap kali waktu solat.

Tapi ada yang boleh menulis dan ada yang tak boleh terus. Tetapi bila kita tanya boleh takbirratul ihram tak? Tak boleh la ustaz. Tu yang kamu solat Allahu Akbar tu?

Haaaa…boleh..Ooo..dia tak tau apa tu istilah tu..tajuk tu… Ha’a. Lepastu soalan kita bezakan antara Takbirratul Ihram dengan Takbir Intiqalah. Dia senyap dah. Dia blur dah. Asal nama takbir ja Allahu Akbar la. Jangan dok fikir yang lain dah. Bab pemindahan rukun tu kan…pastu mereka tanya pemindahan rukun? Rukun apa yang

(9)

353

kena tukar? Pastu cerita balik bab rukun solat (Informan 2, 2020).

Perkara yang sama dihadapi dalam pelajaran Tauhid, di mana pelatih faham istilah tapi tidak memahami konsep berkaitan istilah tersebut. Bagi mengatasi cabaran ini tenaga pengajar akan mengulang balik isi pengajaran bagi memastikan pelatih dan memahami dan mengingati isi pengajaran dengan sempurna.

Pencapaian Merosot

Pencapaian peperiksaan akademik merosot sejak beberapa sesi kebelakangan menjadi cabaran kepada PUSBA. Hal ini telah mendapat teguran dari pihak audit dari Majlis Agama Islam Kedah. Setelah diteliti terdapat dua faktor utama yang menyebabkan kemerosotan peperiksaan.

Pertamanya kerana terdapat dalam kalangan pelatih yang terdiri dari orang Asli dan mereka mungkin memahami soalan tetapi tidak tahu untuk menjawabnya. Keduanya kerana terdapat pelatih yang buta huruf dan kurang fasih berbahasa Melayu.

Pasal dok tengok dulu-dulu kita buat periksa dia punya pemarkahan dia okey, tinggi.

Tapi, kebelakangan ini dia merosot sikit. Jadi, audit tegur la pasal apa keputusan merosot. Kita check balik lah. Kita check rupanya di kalangan kita tu ramai orang asli.

Sesi lepas ramai orang asli. Mungkin dia tau, dia faham soalan tu tapi nak jawab tu dia tak reti. Kenudian, ada yang buta huruf (Informan 1, 2019).

PERBINCANGAN

Cabaran yang dihadapi oleh PUSBA dari segi pengajaran dan pembelajaran selari dengan kajian Faezy et. al (2020) berkaitan tahap pendidikan, tempoh pengajian dan tahap umur serta etnik dan kefahaman yang berbeza, tahap penguasaan Bahasa Melayu, dan sikap Penghuni Baitus Salam. Manakala cabaran dari segi tidak mempunyai modul khusus selari dengan dapatan kajian oleh Syarul Azman et. al., 2018; Ain Nathasha et. al., 2017, Azman et. al, 2015;

Masnih et. al.,2017). Ini menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh PUSBA adalah sama dengan cabaran yang dihadapi oleh pusat bimbingan lain yang terdapat di Malaysia.

Walau bagaimanapun, dapatan kajian ini berbeza dengan dapatan kajian lepas yang mendapati cabaran yang dihadapi oleh pusat bimbingan dari segi kaedah dan cara penyampaian pengajar, kurang penekanan kepada kaedah pengajaran terancang dan aspek pemantauan pelaksanaan pengajaran dalam kalangan tenaga pengajaran (Mohd Izzat Amsyar Mohd Arif, 2020; Siti Fathimatul Zahrah & Nur A’thiroh, 2015). Ini kerana, pengajar dan pembelajaran di PUSBA dapat dilaksanakan dengan baik. Ini kerana, walaupun PUSBA tidak mempunyai modul yang khusus tetapi ia mempunyai silibus yang telah ditetapkan oleh MAIK yang perlu disempurnakan bagi tempoh pengajian dan dinilai melalui peperiksaan akhir. Tenaga pengajar pula mempunyai rujukan yang khusus bagi setiap subjek dan dapat mempelbagaikan kaedah pengajar bagi memastikan keberkesanan pengajaran. Selain itu, pengetua PUSBA sentiasa memantau proses pengajaran dan pembelajaran melalui buku rekod pengajaran atau memantau

(10)

354

sendiri semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Sistem buku rekod ini juga dapat memastikan pengajaran dapat dirancang dengan baik dalam tempoh masa yang ditetapkan.

RUMUSAN DAN CADANGAN

Secara keseluruhan dapat dirumuskan bahawa cabaran yang dihadapi oleh PUSBA dalam pengajaran dan pembelajaran program bimbingan merangkumi aspek modul, tahap pendidikan, penguasaan Bahasa Melayu, pelatih malu dan tidak berkeyakinan, masalah pelatih tidak dapat mengingati istilah yang digunakan dalam pembelajaran dan pencapaian peperiksaan akhir yang merosot. Dapatan ini selari dengan kajian terdahulu berkaitan dengan cabaran yang dihadapi oleh beberapa pusat bimbingan di Malaysia. Oleh itu kajian ini boleh dijadikan panduan oleh pihak yang berkaitan untuk merangka penambahbaikan kepada program bimbingan dari aspek pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, diharapkan satu kajian yang terperinci dilaksanakan bagi menghasilkan modul standard khusus untuk mata pelajaran asas Fardhu Ain mengikut tahap pelatih dan dihasilkan dalam pelbagai bahasa mengikut keperluan pelajar.

PENGHARGAAN

Kertas kerja ini adalah sebahagian dari hasil penyelidikan di bawah Geran Lembaga Zakat Negeri Kedah melalui Institut Penyelidik Inovasi Zakat (IPIZ) Universiti Utara Malaysia bertajuk KEBERKESANAN PROGRAM BANTUAN MUALAF DI PUSAT BIMBINGAN DAN LATIHAN SAUDARA BARU (PUSBA) Kod S/O 14277

RUJUKAN

Abdul Halim El-Muhammady. (1984). Pendidikan Islam: Skop dan Matlamatnya”, Jurnal Pendidikan Islam, Bil 1. Selangor: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Aidit Ghazali & Zulkifli Abdul Hamid. (2013). Kajian Berkaitan Kepuasan Responden Terhadap Program Bantuan Kepada di Negeri Selangor. Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan 2013 (ICMuD 2013). Diakses http://www.ukm.my/hadhari/wpcontent/uploads/2014/09/ICMuD2013_Prosiding.pdf Ahmad Sabri Jamaluddin. (2020). Program Bimbingan PUSBA. Pelaksanaan Program

Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 22 Januari.

Ain Nathasha Omar, Mariam Abd. Majid, & Noraini Mohamad. (2017). Penerimaan Terhadap Pelaksanaan Pengajaran Di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP). Paper presented at the Persidangan Antarabangsa Pengajian Islamiyyat Kali Ke-3 (IRSYAD2017).

Azman Ab Rahman, Irwan Mohd Subri, Mahazan Abdul Mutalib, Wan Mohd Fazrul Wan Razali, Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, Rose Irnawaty Ibrahim, & Ismail, N. (2015).

Persepsi Terhadap Pengisian Pengislaman dan Program Pembangunan : Kajian di Negeri Sembilan. Jurnal Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa, 6, 135-148.

(11)

355

Faezy Adenan, Mohd Afandi Mat Rani, Mohd Izzat Amsyar, Mohd Arif Azri Bhari, Asmaa’

Mohd Arshad Siti Afifah Mat Rani (2020). Analisis Modul Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P) Kelas Pengajian Di Pusat Perlindungan Baitus Salam Selangor.

Jurnal Kesidang, 5(1), 19-30.

Faizal Ariff Tajul Arifin. (2013). Dulu Islam Kini Murtad. Prosiding Persidangan Antarabangsa Pembangunan 2013 (ICMuD 2013). Diakses http://www.ukm.my/hadhari/wpcontent/uploads/2014/09/ICMuD2013_Prosiding.pdf Isa, M., and Wahid, H. (2017). Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Pembangunan

Pendidikan Asnaf : Kajian Kes Kolej Dar al-Hikmah.

Masnih Mustafa, Nur Aimie Syarmimi Jaafar, & Ali, K. (2017). Management of Dakwah Towards Mualaf: A Case Study at Kompleks al-Saadah, Seremban. Paper presented at the International Conference on Social Sciences and Humanities (ICOSAH), Open University of Malaysia.

Mohd Zamri Bakar. (2019). Pelaksanaan Program Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 13 Februari.

Noraidah Waily. (2021). Program Bimbingan PUSBA. Pelaksanaan Program Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 21 Januari.

Ramli Abdullah. (2020). Program Bimbingan PUSBA. Pelaksanaan Program Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 22 Januari

Shahabuddin, Rohizani & Mohd Zohir. 2003. Pedagogi: Strategi Dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Shah Alam: PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Siti Athirah Zainol. (2020). Program Bimbingan PUSBA. Pelaksanaan Program Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 22 Januari.

Siti Fathimatul Zahrah dan A’athiroh Masyaa’il Tan. (2015). Pengajaran pendidikan Islam terhadap mualaf: Satu tinjauan literatur. Dalam Prosiding Seminar Pengurusan Islam:

Ke Arah Pemantapan Ummah

Syarul Azman Shaharuddin, Hanis Najwa Shaharuddin, Muhammad Yusuf Marlon Abdullah,

& Misra, M. K. A. (2018). Tahap Kefahaman Akidah dalam Kalangan di Negeri Selangor. Jurnal Sultan Alauddin Sulaiman Shah, volume 5, 82-91.

Yasmoon Mohamed & Razaleigh Muhamat, R. (2019). Tahap Kepuasan Mualaf Terhadap Pengurusan Kelas Bimbingan Agama Oleh Majlis Agama Islam Kelantan (Maik). Al- Hikmah, 11(2), 88-98.

Wan Hariz Hazimin Abdul Rahman. (2021). Program Bimbingan PUSBA. Pelaksanaan Program Bimbingan PUSBA. Temu bual. Sungai Petani: PUSBA. 20 Januari.

Wan Razali, W. M. F. A. (2015). Persepsi Terhadap Pengisian Pengislaman Dan Program Pembangunan Kajian Di Negeri Sembilan.

Referensi

Dokumen terkait