70
MEMPERKASAKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL IPGKPT
Mohamed Nazul Ismail, PhD
Jabatan Teknologi Pengkomputeran IPG Kampus Pendidikan Teknik Kompleks Pendidikan Nilai Bandar Enstek, Negeri Sembilan [email protected]
PENGENALAN DAN IMBAUAN MASA LALU
Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV) atau lebih dikenali dengan istilah TVET merupakan satu daripada agenda utama pendidikan Malaysia hari ini. Berpandukan di kebanyakan negara maju, TVET merupakan pilihan pendidikan arus perdana yang fleksibel serta mempunyai prospek kerja yang setara dengan aliran akademik (Ahmad, Jalani, & Hasmori, 2015) Kesannya terdapat penambahan peluang, pengambilan pelajar dan peningkatan kualiti dalam kurikulum TVET untuk membuka laluan teknikal yang sama penting sebagaimana laluan akademik di peringkat pendidikan tertiari.
IPG Kampus Pendidikan Teknik yang sebelum ini dikenali sebagai Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur (MPTKL) merupakan satu-satunya pusat untuk melatih bakal guru teknikal sejak tahun 1962 (Wai, 2011). Sebelum wujudnya Giat Mara, Institut Kemahiran Perindustrian, dan banyak lagi agensi kemahiran, MPTKL telah melahirkan ramai guru permulaan
71
sebagai tenaga pengajar di sekolah-sekolah yang mempunyai aliran pertukangan ataupun kemahiran. Namun sejak akhir- akhir ini, peranan IPGKPT sebagai pemain utama TVET pada suatu ketika dulu telah dipandang sepi sama ada di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun negara.
Hassan. R et. al (2019) menerangkan laluan pendidikan TVET di Malaysia dan agensi-agensi yang terlibat sebagai penyedia modal insan berasaskan TVET. Malangnya IPGKPT tidak lagi tersenarai sebagai penyedia pendidikan TVET di Malaysia.
Apakah peranan IPGKPT telah ada penggantinya, atau ke arah pemansuhan secara perlahan-lahan, atau perlu beralih arah kepada penyedia perkhidmatan perguruan dalam bidang TVET secara kursus pendek, atau perlu menerima hakikat bahawa Reka Bentuk dan Teknologi untuk latihan perguruan di sekolah rendah itulah nilaian bidang TVET di IPGKPT hari ini? Cuba kita telusuri secara ringkas, apakah yang menjadi faktor kepada hilangnya sirna permata TVET di IPGKPT.
FAKTOR-FAKTOR HILANGNYA KILAUAN TVET
Di antaranya faktor-faktor yang menjadi penyebab kepada hilangnya sirna permata TVET di IPGKPT seperti
A. Perubahan dasar kerajaan
Sebanyak 27 buah Maktab Perguruan di Malaysia dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan mendapat mandat yang melayakkannya menganugerahkan ijazah. Semua IPG mendapat kelulusan ini melalui Jemaah Menteri pada 13 Julai 2005 (IPGKPT 2019). Mulai tarikh itu IPG kini bertaraf universiti dengan melaksanakan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan atau PISMP (KPM 2019).
72
Oleh itu maktab-maktab perguruan perlu melatih guru praperkhidmatan di bawah PISMP yang dikhususkan untuk sekolah rendah. Dasar ini bersifat menyeluruh sekalipun MPTKL pada ketika dahulu menyediakan latihan perguruan untuk sekolah teknik dan vokasional. Kedua-dua jenis sekolah ini merupakan sekolah menengah atas untuk dwimod pembelajaran iaitu akademik beserta kemahiran.
MPTKL turut menerima impak yang besar. Sejak daripada itu tiada lagi pengambilan pelajar untuk sekolah menengah dalam bidang kemahiran dengan tahap kelulusan diploma. Program Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) mula dimansuhkan dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan mula mengambil alih di semua maktab yang mula dikenali sebagai institut pendidikan guru.
B. Pengurusan Sumber
Sejak perubahan dasar tersebut pengurusan sumber kewangan, tenaga pengajar dan kurikulum mula berubah.
Banyak peruntukan kewangan tidak diturunkan, tenaga pengajar yang bersara atau keluar daripada sistem tidak diganti, malahan terdapat juga tenaga pengajar teknikal yang beralih arah mengajar kursus- kursus akademik dan ganerik.
Tidak dinafikan juga perubahan kurikulum dan pengambilan calon- calon guru untuk latihan perguruan yang tidak lagi menekan aspek kemahiran. Apatah lagi pada akhir era 90-an, terdapat khabar angin yang bertiup kencang bahawa MPTKL akan berpindah ke lokasi baharu.
73 C. Sikap dan Pemikiran
Hari ini IPGKPT tidak lagi seperti 10 ke 20 tahun yang lalu.
Suatu ketika dulu, semua projek, program, aktiviti pelajar, latihan pembangunan kemahiran untuk pensyarah ditaja sepenuhnya oleh pihak kerajaan. Suasana tersebut hamper sudah tidak ada pada hari ini. Oleh itu usaha yang serius terhadap perubahan corak pemikiran melalui penstrukturan semula pendidikan mampu meningkatkan pembangunan sumber manusia sekali gus membantu negara dalam menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti dalam sistem latihan Teknikal dan Vokasional (Ahmad 2016).
Tidak ramai di kalangan pensyarah yang menyedari hakikat ini.
Sekali pun ada yang sedar namun tidak berupaya untuk berbuat apa-apa kerana masalah TVET ini, bukan sahaja masalah di IPGKPT malahan turut di bincangkan di peringkat negara (Hassan et. al, 2019).
Saya menjangkakan jawapan kepada semua faktor ini adalah transformasi. Ubah sikap, ubah cara berfikir, ubah cara bekerja.
Smile for change. Semuanya perlu dibuat secara komprehensif dan holistik. Semua warga perlu menjana idea baru dan mencipta sejarah serta peluang untuk memastikan IPGKPT ini terus relevan.
STRATEGI MENTRANSFORMASIKAN TVET DI IPGKPT Tempoh perkhidmatan saya di IPGKPT agak lama. Namun suka saya untuk melihat beberapa idea transformasi yang telah dilaksanakan bermula 2013 hingga kini. Tahun 2013 merupakan tahun kembali tugas di IPGKPT setelah menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah.
74 A. Transformasi dalam Organisasi
Sejak 2013 hingga kini terdapat 3 orang pengarah yang menerajui IPGKPT. Ketiga-tiganya sentiasa mencuba menggunakan pendekatan kepimpinan transformasi dalam menerajui IPGKPT. Pendekatan ini merupakan proses pemimpin untuk membangkitkan komitmen, semangat, dorongan, motivasi kepada subordinatnya (Ainon & Abdullah, 2011; Faridah, 2018) Saya mendapati kepimpinan tertinggi IPGKPT sentiasa segar dalam merangka beberapa strategi bagi memperjuangkan nasib TVET di IPGKPT agar terus relevan dan mendapat perhatian di peringkat IPGM khususnya dan negara. Terdapat beberapa strategi yang pernah dirancangkan. Di antaranya
i. Mewujudkan Jawatan Setiausaha Vokasional (SUV)
Jawatan ini bertujuan untuk mengembling kapasiti yang ada daripada segala aset, sumber manusia, idea dan usaha untuk mengangkat martabat TVET. Di antara hasil kejayaan yang dicapai adalah seperti yang kita lihat hari ini
• Pembinaan 4 bengkel dan 1 ruang akademik lengkap dengan pejabat.
• Jalinan kerjasama dengan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional, Jabatan Pembangunan Kemahiran, CIAST dan Giat Mara.
• Pengambilan pelajar untuk Sijil Kemahiran Malaysia.
• Program Diploma Lepas Diploma (PDLD) Giat Mara ii. Penambahan Jabatan Teknikal dan Bahagian Pemerkasaan TVET
75
Pada asalnya terdapat hanya 4 jabatan yang menjadi pasak utama TVET di IPGKPT iaitu:
• Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV),
• Jabatan Perdagangan,
• Jabatan Ekonomi Rumah Tangga (ERT) dan
• Jabatan Reka Bentuk dan Teknologi.
Bagi memantapkan organisasi TVET maka jawatan SUV dan Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional dimansuhkan.
Penstrukturan semula jabatan secara dalaman dengan menambahkan lagi jabatan dalam kluster TVET.
• Jabatan Kejuruteraan Mekanikal
• Jabatan Kejuruteraan Awam
• Jabatan Elektrik dan Elektronik.
• Jabatan Perdagangan (kekal)
• Jabatan Reka Bentuk dan Teknologi (kekal)
• Jabatan Pendidikan Vokasional Hospitaliti (Menggantikan Jabatan Ekonomi Rumah Tangga)
• Jabatan Teknologi Pengkomputeran (Menggantikan Jabatan Teknologi Pendidikan)
Tidak ketinggalan juga, Jawatankuasa Akademik IPGKPT yang mengawal selia perjalanan sistem kurikulum di institut juga menubuhkan satu lagi sayap iaitu Bahagian Pemerkasaan TVET. Bahagian ini bertindak sebagai pemikir dan peneraju kepada idea pemerkasaan TVET secara total. Segala usaha gigih ini telah tencetuskan beberapa kejayaan seperti:
• Pembangunan direktori digital pensyarah TVET,
• Jalinan kerjasama dengan Yayasan Basmi Kemiskinan, Institut Latihan Pengindustrian dan beberapa institusi kemahiran yang lain.
76
• Lawatan penanda aras ke Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Sarawak, Jelajah Kolej Vokasional dan beberapa institusi pengajian teknikal di Bandung, Indonesia,
• Penyertaan Inovasi di peringkat antarabangsa
• iiDEX16: Jabatan RBT (Emas), Jabatan Teknologi Pengkomputeran (Emas)
• iiDEX17: Jabatan Teknologi Pengkomputeran (Gangsa)
• Johan Kuiz Pelaburan PNB
• Pengambilan besar-besaran Pelajar Interim daripada Kolej Vokasional
• Mewujudkan Jawatan Penolong Setiausaha Akademik (Vokasional)
iii. Penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan TVET
Tugas jawatankuasa ini secara umumnya mengendalikan hal ehwal TVET yang bukan bersifat akademik seperti jalinan komuniti dan antarabangsa, pengendalian kursus yang bersifat kemahiran seperti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan Vocational Trainner Executive (VTE), Vocational Trainner Officer (VTO), Vocational Trainner Manager (VTM), penyelidikan untuk pembangunan kerangka TVET. Pada masa yang sama Bahagian Pemerkasaan TVET di bawah Jawatankuasa Akademik dimansuhkan.
iv. Pembentukan Semula Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV)
Pada 2019, kepimpinan semasa menstrukturkan semula organisasi dengan mengintegrasikan jabatan-jabatan TVET kepada satu jabatan sahaja. Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Reka Bentuk dan Teknologi, Jabatan Pendidikan Vokasional Hospitaliti dan Jabatan Perdagangan dijadi satu
77
jabatan iaitu Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional (PTV).
Jabatan ini pernah wujud suatu ketika dulu. Penstrukturan organisasi ini lebih bersifat mengkoordinasikan semula tugas sama ada aspek akademik, kemahiran TVET dan pentadbiran secara menyeluruh. Sehingga kini banyak aktiviti yang telah dijalankan seperti lawatan penanda aras di Thailand, jalinan kerjasama akademik dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan pastinya masih ada lagi aktiviti yang akan berlangsung pada masa depan.
Pada asasnya saya melihat setiap kepimpinan yang menerajui IPGKPT sentiasa cuba memartabatkan kembali TVET di IPGKPT. Namun satu kekurangan yang ketara adalah tiada pelajar sepenuh masa untuk dilatih pada tahap kemahiran TVET yang sebenar. Terdapat juga pelajar sepenuh masa dalam bidang Reka Bentuk dan Teknologi. Namun kandungan kurikulumnya hanya mencakupi kemahiran asas dan bersifat penggabungjalinan antara bidang TVET jika dibandingkan dengan kemahiran TVET yang pernah dikendalikan sebelum ini.
B. Transformasi dalam Pemikiran
Melihat daripada usaha kepimpinan, sesiapa yang menerajui IPGKPT akan sentiasa mencuba untuk melakukan transformasi pada TVET. Namun usaha ini tidak akan mencukupi jika pensyarah sendiri tidak turut berubah. Di antara strategi yang boleh kita buat bersama
i. Membudayakan Penglibatan dalam Inovasi dan Pembentangan Penyelidikan
Setiap pensyarah perlu meletakkan sasaran untuk terlibat secara total dalam inovasi, pembentangan penyelidikan sama
78
ada secara individu ataupun berkumpulan. “Jual idea dan bitara”. Dengan cara ini, idea dan pemikiran boleh ditonjolkan kepada pihak luar seterusnya mempamerkan kebitaraan pensyarah IPGKPT dalam bidang TVET. Hasil inovasi yang terbaik dipertandingkan dalam pertandingan inovasi yang berprestej atau hasil penyelidikan dibentangkan dalam seminar atau jurnal yang berimpak tinggi. Saya cukup yakin jika terdapat satu gerakan yang besar dalam kampus untuk memaksa budaya inovasi dan penyelidikan maka pensyarah harus memaksa dirinya untuk terlibat. Gesaan secara paksaan pada hemat saya perlu dan diikuti dengan inisiatif, sokongan kewangan dan pengiktirafan yang bersesuaian mampu membina budaya inovasi dan penyelidikan untuk masa depan.
Hari ini pertandingan inovasi dan pembentangan kertas penyelidikan boleh dikatakan merata. Tinggal lagi mahu atau tidak sahaja.
ii. Mengubah Gaya Berfikir
Selain inovasi dalam pembangunan produk terdapat pelbagai inovasi yang boleh diceburi seperti perkhidmatan, proses, model pengurusan dan pelbagai termasuk inovasi terhadap pemikiran dari kalangan tenaga pengajar TVET. Saya yakin jika kita hentikan budaya menyalahkan orang lain tanpa melihat punca masalah, menunggu peruntukan tanpa menonjolkan keupayaan, mengharapkan pelajar mendaftar tanpa menyerlahkan kebitaraan yang ada. Proaktif dalam pemikiran, bertindak dengan strategi dan maklumat yang tepat, perkuatkan kesepakatan daripada pelbagai pihak berkepentingan merupakan wadah awal untuk membina kecemerlangan. Dalam hal ini terdapat juga di kalangan pensyarah TVET berusaha menganjurkan beberapa siri kursus untuk meningkatkan kemahiran TVET. Seringkali usaha ini tertangguh dan tidak dapat dijalankan kerana faktor kewangan seperti kos bahan
79
mentah, penyenggaraan mesin yang sedia ada, penggantian alatan bengkel yang usang. Semuanya ini sedikit sebanyak menjejaskan usaha pemerkasaan TVET.
iii. Meningkatkan Kemahiran Pedagogi Pensyarah
Kerap kali kita mendengar bahawa kekuatan utama IPG ini adalah penguasaan dalam bidang pedagogi. Tatkala perkataan itu kedengaran, timbul persoalan apakah bukti yang menunjukkan IPG mempunyai kekuatan pedagogi berbanding institusi lain? Sekiranya ianya benar sudah tiba masanya pensyarah terutama pensyarah TVET perlu tonjolkan kemahiran pedagogi yang unik berbanding institusi lain.
Tunjukkan perbezaan pendekatan, strategi, kaedah dan teknik yang digunakan semasa PdP. Hari ini, kita mahu diangkat sebagai Pusat Kecemerlangan TVET tapi apa yang boleh ditunjukkan? Terkadang hal ini menjadi persoalan dalam benak hati yang tidak pasti apakah jawapannya?
iv. Meningkatkan Potensi Diri
Kini sudah tiba masanya pensyarah TVET dihantar untuk menerima latihan di Industri bagi memantapkan diri dengan kemahiran terkini, memperbanyakkan Professional Learning Community (PLC) di antara pensyarah yang sama bidang, Continues Professional Developments (CPD) yang berstruktur serta melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi ataupun pembelajaran terarah kendiri bagi meningkatkan perkongsian ilmu dan potensi diri (Hashim, Judi, & Tengku Wook, 2016) Saya mendapati kepimpinan di IPGKPT sentiasa menggalakkan tenaga pengajar meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi selagi mana tertakluk dengan syarat yang ditetapkan. Maklumat terkini IPGM sedang merangka satu
80
dasar untuk Program Guru Sarjana (Scholarly Teacher).
Seandainya berjaya dijangka mulai 2020, IPGM memulakan Program Guru Sarjana. Sekiranya bidang TVET atau yang terhampir Reka Bentuk dan Teknologi ditawarkan, berapa ramaikah yang layak untuk jadi tenaga pengajarnya? Lazimnya syarat umum, tenaga pengajar mestilah mempunyai sekurang- kurangnya satu kelayakan akademik yang lebih tinggi. Tidak pasti sama ada laba atau bala yang akan tiba nanti.
C. Transformasi dalam Profesionalisme
Saya percaya semua pensyarah di IPGKPT telah mempunyai diploma pendidikan. Diploma ini bukan pengiktirafan akademik tetapi indikator kepada profesionalisme dalam bidang keguruan. Bertitik tolak daripada itu saya cenderung agar institusi ini memantapkan lagi dalam beberapa aspek di antaranya
i. Melebarkan Jaringan Komuniti Pendidikan dan Industri Usaha untuk melebarkan jaringan komuniti sentiasa berjalan sama ada dengan institusi pendidikan tinggi, institusi - institusi kemahiran, bahagian dan jabatan dalam beberapa kementerian, pengerak industri dan pengantarabangsaan.
Namun sehingga hari ini, kekurangan yang jelas adalah log untuk tindakan susulan dan direktori untuk mengekalkan hubungan. Terdapat beberapa lawatan penanda aras yang dilakukan tetapi kurang diikuti dengan aktiviti bersifat kolaboratif dengan pihak yang pernah dikunjungi. Sukar juga untuk menyatakan sebarang pandangan kerana isu kewangan akan menjadi punca yang akan merencatkan banyak perancangan.
IPGKPT tidak seperti institusi lain. Terdapat institusi yang beroleh kebenaran untuk menjana pendapatan dan ada tabungan sendiri tetapi kebenaran itu bukan untuk IPGKPT.
81 ii. Menyertai Badan Professional TVET
Penglibatan aktif dalam badan-badan profesional juga merupakan satu daripada strategi untuk memperkenalkan TVET IPGKPT di peringkat yang lebih tinggi seperti badan- badan profesional dalam kejuruteraan Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia), Lembaga Teknologis Malaysia (Malaysia Board of Technologists), Institut Perakaunan Malaysia (Malaysian Institute of Accountants) dan lain-lain lagi. Saya mengesa agar penyertaan tetap di dalam sekurang-kurangnya satu daripada badan profesional perlu disertai oleh pensyarah dibidang TVET. Tiada lain tujuannya hanyalah untuk bina hubungan profesional dengan industri dan mengangkat TVET di IPGKPT di mata pihak luar.
KESIMPULAN
Usaha untuk mentransformasikan TVET di IPGKPT bukanlah usaha seorang tetapi secara berpasukan. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Jadikan usaha ini suatu amal soleh dalam membina generasi masa depan yang lebih cemerlang kognitif, baik adab dan mahir dalam kerja tangan.
Usaha tangga kejayaan, jujur dalam urusan, bina kesepakatan bergerak dengan satu tujuan jika mahu melihat TVET di IPGKPT terus cemerlang. Jika tidak, tahulah nasib. Tidak mustahil perkataan ‘Teknik’ pada nama IPGKPT juga turut hilang ditelan zaman.
82 RUJUKAN
Ahmad, Z. (2016). Model Kelestarian Program Tvet Berasaskan Kompetensi Pensyarah Dan Amalan Lestari Kolej Vokasional.
Tanpa diterbitkan Tesis PhD. Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor. (pp. 5).
Ahmad, M. J., Jalani, N. H., & Hasmori, A. A. (2015). TEVT di Malaysia: Cabaran dan Harapan. In Seminar Kebangsaan Majlis Dekan-Dekan Pendidikan Awam 2015 (pp. 1–8).
Ainon. M., & Abdullah. H. (2011). Gaya Kepimpinan di Tempat Kerja.
Batu Caves, Selangor: PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd.
Faridah. N. (2018). Amalan Kepimpinan Transformasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Jurnal Refleksi Kepemimpinan,1(1), 1-5.
Hassan R., Foong L.M., Ismail A.A. (2019) TVET in Malaysia. In: Bai B., Paryono (eds) Vocational Education and Training in ASEAN Member States. Perspectives on Rethinking and Reforming Education. Springer, Singapore.
Hashim. H, Judi, H.M, & Tengku Wook, T.S.M. (2016) Success Factors for Knowledge Sharing Among TVET Instructor.
Journal of Theoretical and Applied Information Technology, 85(1),12-21.
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik (2019).
Perancangan Tahunan 2019.
http://ipgkpt.edu.my/perancangan%20tahunan/perancangan
%202019.pdf. Dicapai 16 Ogos 2019.
Kementerian Pendidikan Malaysia (2019). Sejarah IPG.
https://www.moe.gov.my/pendidikan/ipgm/3314-sejarah-ipg.
Dicapai 16 Ogos 2019.
Wai, T. M. (Ed.). (2011). Imbauan Kenangan MPT kepada IPGKPT.
Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur: Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik.