97
Peranan Penasihat Industri Dalam Pembangunan Kurikulum Pendidikan Tinggi
Nurul Aini Mohd Ahyan1 & Nor Farahwahidah Abdul Rahman1
1Faculty of Social Sciences and Humanities, School of Education, Universiti Teknologi Malaysia
[email protected], [email protected]
ABSTRAK
Pengenalan – Pada era globalisasi ini, pemantapan sistem pendidikan negara merupakan antara tonggak utama untuk memajukan negara masing-masing dalam membentuk sebuah negara yang dinamik di taraf global. Usaha pemantapan sistem pendidikan di Malaysia adalah selaras dengan kemajuan peredaran zaman masa kini. Bertitik tolak daripada inisiatif tersebut, kurikulum sesuatu pembelajaran itu hendaklah sentiasa dikemas kini dari masa ke semasa supaya pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari itu seiring dengan kehendak semasa. Umum menganggap bahawa, semakin cepat dan ramai graduan yang bekerja, semakin popular, hebat dan relevan ia ditawarkan kepada para belia di luar sana.
Sekiranya graduan kekal menganggur dalam masa yang lama, dan dalam kuantiti yang ramai pula, adakah kesalahan utama, jatuh pada program itu sendiri? Adakah program yang ditawarkan sudah tidak relevan dan tidak mendapat tempat di hati para majikan di luar sana?
Objektif – Artikel ini merupakan satu hasil kajian kepentingan penglibatan panel penasihat industri sebagai pemangkin faktor kebolehpasaran seseorang graduan dari institusi pengajian tinggi (IPT).
Methodologi – Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah berbentuk kuantitatif iaitu menggunakan set soal selidik dengan item tertutup. Responden kajian perlu menjawab berdasarkan skala likert. Lokasi kajian ini ialah tiga buah politeknik yang berada di selatan tanahair. Kajian ini melibatkan beberapa orang pensyarah daripada politeknik yang terlibat dengan pegawai CISEC atau Corporate, Industrial Services & Employability Centre. Skop kajian terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu persekitaran kerja, skop kerja, pengalaman dan kemahiran yang berbeza, yang menjurus kepada bidang TVET. Kemudian,data yang diperolehi di analisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 26.0.
Dapatan –Fungsi IPT sebagai medium untuk menghasilkan modal insan yang seimbang dan berkemahiran perlu diperkasakan dengan penglibatan panel penasihat industry.
Melalui kajian ini, jelas membuktikan bahawa penasihat industri merupakan satu individu yang sangat penting sebagai jambatan yang menghubungkan antara kedua-dua belah pihak.
98
Hubungan dua hala di antara Politeknik dan Industri menjadi salah satu faktor terhadap peningkatan peratusan kebolehpasaran graduan mereka. Tambahan lagi, peranan sebagai penasihat industri mempengaruhi perkembangan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan oleh pihak institusi pendidikan tinggi dalam menghasilkan graduan yang berkualiti.
Kepentingan – Melalui kupasan ini diharap agar keberhasilan pelajar dalam mencapai objektif pendidikan program adalah sesuatu yang menjadi keutamaan dalam memastikan sesuatu program kekal lestari dan sentiasa menjadi pilihan utama di kalangan majikan.
Kata Kunci: kebolehpasaran, pembangunan kurikulum, penasihat industri, pendidikan tinggi
Pengenalan
Kebolehpasaran merupakan satu isu yang hangat dibincangkan sehingga kini dalam terutama sekali dalam bidang kajian. Ramai pengkaji telah melakukan kajian berkenaan isu terbabit bagi mengesan punca dan mencari jalan penyelesaian yang berlaku dalam pebagai bidang (Ernisuhani dan Noraimi, 2017). Hal ini kerana, tahap kebolehpasaran graduan merupakan satu indicator yang mencerminkan kualiti dan mutu kurikulum yang digunakan di sesebuah institusi (Hazrul, 2012). Di samping itu, perkembangan teknologi yang berlaku dalam kehidupan manusia sejagat juga berkembang dengan pesat tanpa had.
Perkembangan yang berlaku juga turut mempengaruhi sektor ekonomi di seluruh dunia.
Menurut Mohd Zaidi (2016), sistem ekonomi yang wujud pada zaman kini bersifat liberal dan terbuka iaitu sistem perniagaan yang dijalankan tiada sempadan yang menjadikan dunia ini menjadi kecil, malah penyebaran maklumat juga berlaku dengan sangat pantas tanpa batasan. Oleh itu, ekonomi sesebuah negara dapat berkembang dengan adanya kemudahan teknologi bagi menghubungkan negara terbabit dengan negara yang lain.
Perkembangan teknologi ini diibaratkan senapang dua mata yang mana, ia memberikan kebaikan dan manfaat dan keburukan kepada kehidupan manusia bergantung kepada pengguna itu sendiri (Goran dan Zara, 2017).
Antara sektor ekonomi yang terkesan daripada perkembangan teknologi ini ialah sektor industri. Sektor industri telah mengalami perubahan bermula dari revolusi industri yang pertama yang hanya menggunakan enjin berkuasa stim untuk menggerakkan kenderaan dan perindustrian sehinggalah revolusi industri yang terkini iaitu revolusi industri 4.0, yang menggunakan sistem robot CPS ‘Cyber Physical Systems’ (Martin, 2018). Kemudahan ini telah meningkatkan lagi produktiviti dalam sektor industri sekaligus menjana pendapatan negara. Ini telah menyebabkan sektor pendidikan terutama sekali institusi pendidikan tinggi (IPT) juga turut mengalami perubahan bagi memenuhi tuntutan tersebut (Aini Najwa et al, 2018). Sehubungan dengan itu, pendidikan di negara ini juga perlu ditambahbaik bagi menghasilkan kurikulum yang mantap bertepatan dengan arus pemodenan semasa terutama sekali pendidikan di peringkat tinggi (Tang, K. N, 2020).
Institusi pendidikan tinggi merupakan satu institusi yang penting kerana ia merupakan satu
99
medium yang memberikan kemahiran dan maklumat yang diperlukan oleh bakal pekerja dalam sektor industri (Belwal et al, 2017).
Walaupun Malaysia merupakan salah satu negara yang berstatus negara membangun, Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia telah berjaya menghasilkan ramai graduan yang berkemahiran tinggi dan dapat memenuhi keperluan dalam pelbagai sektor di negara ini (Muhammad Harith Rosly et al, 2020). Kenyataan di atas disokong dengan maklumat daripada Kajian Pengesanan Graduan yang dilakukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2019, menunjukkan hanya seramai 12.2% daripada Universiti Awam dan 21.0% daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang tidak bekerja berbanding pada tahun sebelumnya dengan 20.7% dan 24.6% dari Universiti Awam dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang tidak bekerja. Ini jelas menunjukkan bahawa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) samada awam atau swasta, komited dalam menghasilkan kurikulum yang menepati kemahuan majikan di luar sana. Namun, menurut Farahana Misni et. al (2019) menyatakan bahawa oleh kerana perkembangan teknologi yang telah mempengaruhi sektor industri, kemahiran yang diperlukan oleh sektor industri sering berubah dan menyebabkan Institusi Pengajian Tinggi menerima tekanan daripada pemegang taruh ‘stakeholder’ terutama sekali daripada pihak industri, yang mendesak agar universiti melengkapkan pelajar dan graduan dengan kemahiran selain daripada kemahiran akademik. Menurut Prashant (2017), pihak institusi mungkin tidak dapat mengenalpasti kemahiran yang perlu ditambahbaik, namun pihak industri mengetahui apa yang diperlukan oleh mereka. Oleh itu, dalam menghasilkan kurikulum yang menepati kemahuan pihak industri, pihak institusi perlulah mendapatkan pandangan daripada Penasihat industri. Penasihat industri merupakan jambatan yang menghubungkan kedua- dua sektor bagi merapatkan lagi jurang antara dua pihak (Onder dan Zeynep, 2017).
Hasil kolaborasi daripada sektor industri dengan institusi dapat dilihat daripada peratusan bilangan graduan daripada politeknik yang tidak bekerja hanyalah 3.3% pada tahun 2019 berbanding daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (Statistik Pendidikan Tinggi 2019: Kemeterian Pengajian Tinggi). Politeknik merupakan salah satu institusi pengajian yang berkolaborasi dengan pihak industri bagi menjalankan program yang berasaskan PBK atau Pembelajaran Berasaskan Kerja (Syamhanim Ismail et al, 2015). Peratusan positif bilangan graduan yang tidak bekerja saban tahun menjadikan politeknik sebagai responden dan lokasi kajian adalah sesuai bagi menjalankan kajian ini.
Sorotan Kajian literatur
Kepentingan Kurikulum Sebagai Faktor Kebolehpasaran
Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta merupakan institusi yang penting dalam menyediakan modal insan yang diperlukan oleh sektor industri. Pelbagai program dan kursus telah diperkenalkan kepada individu yang berminat untuk menyambung pelajaran mereka dalam bidang yang diminati. Para pelajar beranggapan bahawa jika mereka mengambil kursus di institusi terbabit, ia akan memudahkan mereka untuk diambil bekerja.
100
Mereka juga beranggapan bahawa segala kemahiran yang diperlukan oleh bakal majikan mereka dapat dipelajari di institusi terbabit. Namun, terdapat beberapa graduan yang tidak dapat bekerja dalam bidang yang diceburinya. Hal ini kerana, berlakunya mismatch dari segi pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari di institusi terbabit dengan kehendak majikan (Hazrul, 2012). Ini telah menyebabkan graduan terbabit gagal mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Farahana Misni et al. (2020), menunjukkan bahawa reka bentuk kurikulum mempengaruhi tahap kebolehpasaran graduan. Sehubungan itu, pihak IPT perlulah meneliti kekurangan dan menambahbaik kurikulum yang dihasilkan dengan bantuan daripada penasihat industri.
Menurut Aini Najwa et al. (2018) menyatakan pihak universiti dan industri perlu bergandingan bagi menyediakan kurikulum dan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan ia akan dapat memberikan kebaikan kedua-dua belah pihak.
Kandungan Pembelajaran
Dalam menghasilkan graduan atau tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Kurikulum yang disediakan perlulah merangkumi kemahiran- kemahiran yang diperlukan oleh seorang individu untuk mendapatkan pekerjaan. Menurut Aini Najwa et al (2018), kurikulum yang dihasilkan oleh institut pendidikan tinggi perlulah merangkumi beberapa elemen bagi menghasilkan graduan yang holistik iaitu kemahiran teknikal dan bukan teknikal, serta mempunyai etika dan moral yang baik. Pihak industri memerlukan pekerja yang mempunyai kemahiran generik atau soft skills dan bukan semata-mata graduan yang cemerlang dalam pelajaran seperti boleh bekerja dalam kumpulan dan kemahiran dalam menyelesaikan masalah (Hamzah, 2015). Oleh itu, kurikulum yang dihasilkan perlulah seimbang, dimana secara intipatinya dalam sesebuah pelajaran kemahiran teknikal dan kemahiran generik mampu diasah dalam diri pelajar.
Aktiviti dalam sesebuah pelajaran juga boleh memasukkan aktivti-aktiviti yang dapat membantu para pelajar berkembang seperti melakukan khidmat masyarakat atau komuniti.
Dengan melakukan aktiviti tersebut ia dapat meningkatkan kemahiran generik para pelajar serta memberi pendedahan kepada pelajar.
Kemahiran Tenaga Pengajar
Tenaga pengajar juga merupakan salah satu faktor utama dalam memastikan objektif pembelajaran tercapai. Hal ini kerana, tenaga pengajar merupakan medium penyampaian maklumat serta memberikan kemahiran yang diperlukan kepada pelajar bertepatan dengan konsep pembelajaran abad 21. Dengan perkembangan teknologi yang semakin rancak, teknik penyampaian juga perlulah bertepatan dengan arus semasa (Nor Shela dan Mohd Shafie, 2019). Para pelajar ada zaman kini boleh mempelajari dan mendapatkan maklumat dari pelbagai bentuk di internet seperti media Youtube, pelajar boleh mendapatkan maklumat dari video yang menarik. Tenaga pengajar juga dapat mempelbagaikan aktiviti agar ia dapat menarik minat pelajar untuk mempelajarinya (Delipiter, 2019). Malah, aktiviti seperti melakukan lawatan ke sektor-sektor industri juga turut membantu para pelajar dengan memberi pendedahan kepada pelajar berkenaan suasana pekerjaan mereka setelah bergraduasi (Fakrul, 2020).
101 Metodologi
Kaedah kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah berbentuk kuantitatif. Lokasi kajian yang dipilih untuk kajian ini ialah tiga buah politeknik yang berada di Johor. Oleh kerana, tujuan kajian ini dilakukan adalah bagi mendapatkan maklumat berkenaan peranan penasihat industri dalam pembangunan kurikulum pendidikan tinggi dari sudut pandang pihak politeknik, kajian ini melibatkan beberapa orang pensyarah daripada politeknik yang terlibat dengan pegawai CISEC atau Corporate, Industrial Services & Employability Centre. Pihak daripada CISEC ini merupakan satu kumpulan atau organisasi yang melakukan kajian terhadap keberadaan graduan mereka setelah 6 bulan bergraduasi.
Persekitaran kerja, skop kerja, pengalaman dan kemahiran yang berbeza di kalangan responden akan memastikan bahawa jawapan yang diberikan pelbagai walaupun terlibat dengan bidang yang sama iaitu TVET. Reka bentuk soal selidik pula menggunakan item soalan tertutup. Responden kajian hanya perlu menjawab berdasarkan skala likert iaitu, Sangat Tidak Setuju, Tidak Setuju, Kurang Setuju, Setuju dan Sangat Setuju. Data yang diperolehi di analisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science (SPSS) versi 26.0 bagi mendapat nilai kebolehpercayaan alpha Cronbach. Setelah kesemua item di analisis, dapatan nilai bagi setiap item di tafsir dengan menggunakan tafsiran min yang diadaptasi daripada Landell (1997) dalam Saiful Hazman (2004)
Jadual 1.0: Tafsiran Min
Min 1.0 - 2.3 2.4 - 3.7 3.8 - 5.0
Tafsiran Min Rendah Sederhana Tinggi
(Sumber: Diadaptasi daripada Landell (1997) dalam Saiful Hazman (2004))
Dapatan
Profil Responden
Berdasarkan dapatan data kajian, majoriti responden terdiri daripada lelaki seramai 16 orang dengan peratusan sebanyak 69.6%, manakala responden perempuan adalah seramai 7 orang dengan peratusan 30.4%. Ini menunjukkan majoriti pensyarah lelaki yang memegang dan terlibat dengan tanggungjawab untuk mengesan graduan politeknik selepas enam bulan bergraduasi berbanding pensyarah wanita. Seterusnya, hasil kajian menunjukkan sampel paling banyak terdiri daripada responden yang berumur 30 hingga 39 tahun seramai 12 orang dengan peratusan sebanyak 52.2% dan diikuti oleh responden yang berusia 40 hingga 49 tahun seramai 10 orang dengan peratusan 43.5%. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa responden yang berusia 50 tahun dan ke atas merupakan responden yang paling sedikit iaitu hanya seorang dengan peratusan 4.3% dan tiada individu responden yang berusia 20 an. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti responden adalah berusia 30-an sehingga 40-an.
Selain itu, dapatan data menunjukkan bahawa majoriti responden memegang jawatan sebagai Ketua/Penolong Ketua Unit seramai 10 orang dengan peratusan sebanyak
102
43.5%, dan diikuti dengan jawatan sebagai Pensyarah Kanan seramai 6 orang dengan peratusan sebanyak 26.1%. Individu responden yang memegang jawatan dengan bilangan paling sedikit ialah Ketua/Penolong Ketua Jabatan dan Pensyarah iaitu seramai 3 dan 4 orang responden dengan jumlah peratusan 13.0% dan 17.4%. Hasil kajian juga mendapati tiada responden dari jawatan sebagai pengajar dan staf sokongan untuk kajian ini. Di samping itu juga, majoriti responden kajian merupakan responden daripada institusi Politeknik A dengan bilangan responden seramai 12 orang yang mewakili peratusan sebanyak 52.2%, dan diikuti oleh responden daripada Politeknik B seramai 7 orang responden dengan peratusan 30.4%. Akhir sekali, dapatan data mendapati bilangan responden yang paling sedikit ialah daripada Politeknik C dengan bilangan responden seramai 4 orang dengan nilai peratus 17.4%.
Seterusnya, responden kajian yang dipilih mempunyai kelayakan Ijazah Sarjana mendominasi dengan bilangan responden seramai 17 orang dengan nilai peratusan 73.9%.
Manakala, responden yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda seramai 6 orang dengan nilai peratusan sebnanyak 26.1%. Hal ini menunjukkan bahawa majoriti responden kajian mempunyai tahap pendidikan sehingga Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang masing- masing. Dapatan kajian juga telah mendapati bahawa majoriti responden adalah daripada kursus/program Kujuruteraan Elektrik iaitu seramai 15 orang dengan peratusan sebanyak 65.2% serta diikuti oleh Kejuruteraan Mekanikal seramai 4 orang dengan nilai peratusan 17.4%. Selain itu juga, seramai 2 orang responden terdiri daripada kursus/program Kejuruteraan Petrokimia dengan peratusan 8.7%. Responden daripada kursus/program Kejuruteraan Kimia dan Pendidikan teknikal masing-masing terdiri daripada seorang responden membawa peratusan sebanyak 4.3%. Akhir sekali, terdapat 6 orang responden yang mempunyai pengalaman bekerja selama 16 tahun sehingga 20 tahun dan 21 tahun ke atas dengan nilai peratusan 26.1%. Namun, dapatan kajian mendapati majoriti responden yang dipilih mempunyai pengalaman bekerja selama 11 tahun sehingga 15 tahun seramai 9 orang yang mewakili nilai peratusan sebanyak 39.1%. Individu responden yang mempunyai pengalaman yang paling sedikit iaitu 6 tahun sehingga 10 tahun hanyalah seramai 2 orang dengan nilai peratusan 8.7%.
Dapatan Data Soal Selidik
Jadual 2.0: Nilai min dapatan data kajian
Bil Item Soalan Nilai Min
1 Melibatkan diri dalam mesyuarat pembangunan kurikulum dengan politeknik
4.43 2 Menyediakan latihan-latihan peningkatan
kemahiran kepada bakal graduan
4.00 3 Menjalinkan kerjasama antara usahawan R&D
dengan Politeknik
4.43 4 Memberi sumbangan dana untuk peningkatan
kualiti pelajar (cth: pembelian mesin terkini, modul dan infrastruktur)
3.83
103
5 Sentiasa memantau/membantu perkembangan semasa pelajar di politeknik
3.91
Berdasarkan Jadual 2.0, item yang mendapat nilai min yang tertinggi ialah item dengan pernyataan ‘melibatkan diri dalam mesyuarat pembangunan kurikulum dengan politeknik’, dan ‘menjalinkan kerjasama antara usahawan R&D dengan Politeknik’. Kedua-dua item terbabit mendapat nilai min 4.43. Berdasarkan jadual tafsiran min, item terbabit berada di tahap tinggi. Seterusnya ialah item yang berkenaan menyediakan latihan-latihan peningkatan kemahiran kepada bakal graduan dengan nilai min sebanyak 4.00. Selain itu, sentiasa memantau/membantu perkembangan semasa pelajar politeknik merupakan item yang mendapat nilai min 3.91. Akhir sekali, item yang keempat mendapat nilai min sebanyak 3.83 dengan pernyataan item berkenaan memberi sumbangan dana untuk peningkatan kualiti pelajar: contohnya, pembelian mesin terkini, modul dan infrastruktur.
Perbincangan
Hasil dapatan kajian menunjukkan bahawa majoriti responden berpendapat bahawa peranan penasihat industri ialah sentiasa melibatkan diri dalam mesyuarat pembangunan kurikulum dengan politeknik. Menurut Onder dan Zeynep (2017), dengan penglibatan daripada wakil dari sektor industri, pihak institusi dapat mengenalpasti sebarang perkembangan semasa yang berlaku dalam sektor industri dan mengenalpasti kemahiran yang diperlukan oleh sektor industri. Selain itu, item berkenaan menjalinkan kerjasama antara usahawan R&D dengan politeknik juga mendapat pilihan majoriti responden.
Umum mengetahui fungsi IPT sebagai medium untuk menghasilkan modal insan yang seimbang. Namun, institusi juga bertanggungjawab untuk melakukan pelbagai kajian yang berkaitan (Belwal et al, 2017). Di mana kajian tersebut dapat mampu membantu sektor industri dalam sektor pembuatan. Seterusnya, menyediakan latihan-latihan peningkatan kemahiran kepada bakal graduan dan memantau/membantu perkembangan semasa pelajar politeknik juga merupakan salah satu peranan sektor industri. Oleh kerana, sektor industri lebih mengetahui aspek-aspek yang diperlukan oleh sesebuah individu untuk diambil sebagai pekerja maka sektor industri dapat membantu dengan memenuhi kekurangan pihak IPT (Aini Najwa et. al, 2018). Akhir sekali, item berkenaan memberi sumbangan dana untuk peningkatan kualiti pelajar: contohnya, pembelian mesin terkini, modul dan infrastruktur juga dapat membantu pihak IPT dalam menghasilkan graduan yang kompeten. Dimana mesin-mesin yang disumbangkan dapat dipelajari dan digunakan oleh para pelajar bagi meningkatkan kemahiran mereka. Menurut Farahana Misni et. al (2020), bahawa pentingnya melabur dalam sektor pendidikan, kerana dengan pendidikan ia dapat membantu perkembangan manusia dan menambahbaik taraf kehidupan sekitar mereka.
Penutup
Isu kebolehpasaran merupakan isu yang bukan sahaja berlaku di negara ini, sebaliknya ia berlaku di seluruh dunia dan ia merupakan satu isu yang serius, kerana ia mencerminkan kualiti pendidikan di negara kita. Namun, jika sektor Pendidikan terutama sekali IPT dan
104
Industri dapat bekerjasama isu ini akan dapat diatasi. Institusi pendidikan tinggi dan sektor industri perlulah bekerjasama untuk menghasilkan kurikulum yang bermutu. Kerjasama antara dua pihak akan memberikan kebaikan bukan sahaja kepada pelajar dan graduan, malah ia akan memberikan manfaat kepada sektor pendidikan dan industri. Dengan menghasilkan modal insan yang seimbang dan berkualiti, ia juga mampu menarik pelabur- pelabur asing untuk melabur di negara kita. Sekaligus ia dapat meningkatkan sektor ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat.
Rujukan
Aini Najwa, Y. K. (2018). Competencies of Engineering Graduates: What are the Employer’s Expectations? International Journal of Engineering & Technology, 519-523.
Aini Najwa, Y. K. (2018). Towards Industrial Revolution 4.0: Employers' Expectations on Fresh Engineering Graduates. International Journal of Engineering & Technology, 267- 272.
Belwal, R., Priyadarshi, P. and Al Fazari, M.H. (2017), “Graduate attributes and employability skills: graduates’ perspectives on employers’ expectations in Oman”, International Journal of Educational Management, Vol. 31 No. 6, pp. 814-827.
Delipiter Lase. (2019). EDUCATION AND INDUSTRIAL REVOLUTION 4.0. Jurnal Handayani (JH)., 48-62.
Ernisuhani dan Noraimi. (2017). Kajian Terhadap Kebolehpasaran Graduan Diploma Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Politeknik Sultan Azlan Shah. National Innovation and Invention Competition Through Exhibition (iCompEx'17). Perak: Politeknik Sultan Azlan Shah.
Fakrul, F. (2020). PERANAN POLITEKNIK DAN INDUSTRI TERHADAP KEBOLEHPASARAN GRADUAN POLITEKNIK DI JOHOR DALAM BIDANG KEJURUTERAAN. Johor: Universiti Teknologi Malaysia.
Farahana Misni, N. H. (2020). The effect of curriculum design on the employability competency of Malaysian graduates. Kuala Lumpur: Management Science Letters.
Goran Roos & Zara Shroff. (2017). What Will Happen to The Jobs? Technology Enabled Productivity Improvement-good For Some, Bad for Others. Labour & Industry: A Journal of The Social and Economic Relations of Work, 1-28.
Hamzah, S. N. (2015). Softskills- Kepentingannya Dalam Memenuhi Kebolehpasaran Pekerjaan Terhadap Graduan Politeknik Johor Bahru. Tourism and Hospitality Essentials (THE) Journal, 921-938.
Hazrul, I. M. (2012). Kajian Mengenai Kebolehpasaran Siswazah di Malaysia: Tinjauan dari Perspektif Majikan. Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VII (PERKEM VII), (pp. 906-913). Ipoh, Perak.
105
Kementeriaan Pengajian Tinggi. (2019). Kajian Pengesanan Graduan. In Statistik Pendidikan Tinggi 2019 (pp. 152-163). Putrajaya.
Kementerian Pendidikan Tinggi. (2018). Kajian Pengesanan Graduan. In Statistik Pendidikan Tinggi 2018 (pp. 161-171). Putrajaya.
Martin, H. (2018). INDUSTRY 4.0: How it will affect employment and what skills will be required to match the requirements of the market. Denmark: Aarhus Business Academy.
Mohd Zaidi, H. (2016). Strategi Menghasilkan Generasi Cemerlang Melalui Pendidikan:
Peranan Universiti. International Seminar on Education 2016 (pp. 15-22). Selangor:
Universiti Selangor, Malaysia.
Muhammad Harith Rosly, N. A. (2020). Study On The Employability Of Graduates From Bachelor Of Technology With Education Through The Graduates Perceptions. Journal Of Critical Reviews, 690-698.
Nor Shela Saleh dan Mohd Shafie Rosli. (2019). Kepentingan Pembelajaran Abad ke 21 terhadap Potensi Kebolehpasaran Modal Insan. Innovative Teaching and Learning Journal, 71-81.
Onder Enkarslan & Zeynep Aykul. (2018). Review of Curriculum Development for University-Industry Collaborations with a Comparative Analysis on Master of Industrial Product Design Education. Turkey: Izmir Institute of Technology.
Prashant Ambad, S. B. (2018). Industry 4.0 - A Glimpse. 2nd International Conference on Materials Manufacturing and Design Engineering (pp. 233-238). India: Elsevier B.V.
Syamhanim Ismail, M. M. (2015). Kajian Kes: Pembelajaran Berasaskan Kerja Program Teknologi Pengurusan Fasiliti Melalui Kolaborasi Politeknik Dan Industri. Johor: UTHM.
Tang, K. N. (2020). The importance of soft skills acquisition by teachers in higher education institutions. Kasetsart Journal of Social Sciences, 41(1), 22–27.