TAHAP KOMPETENSI GLOBAL PEMIMPIN PELAJAR INSTITUT PENDIDIKAN GURU DI MALAYSIA
Nurhijrah binti Zakaria1 Pajuzi bin Awang2
Badrul Muin bin Muhamad Adam3 Hammadah bin Abdul Rahman4
Hj. Salleh bin Said5
Rashihah binti Hj. Muhammad6
123456Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail (IPGKDRI), Malaysia (E-mail:
___________________________________________________________________________
Abstrak: Kajian tinjauan ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap kompetensi global dalam kalangan pelajar Institut Pendidikan Guru(IPG). Populasi kajian adalah Ahli Jawatan Kuasa Pemimpin Pelajar berjumlah 405 orang. Seramai 200 responden dipilih melalui kaedah pensampelan rawak mudah berdasarkan jadual Krejie dan Morgan(1970). Pengumpulan data dibuat secara online dengan menggunakan soal selidik yang dibina melalui Google Form dan juga melalui temubual. Data yang dikumpul dibuat screening melalui pembersihan data, ujian Alpha Cronbach dan Ujian Kenormalan Data. Data dianalisis dengan menggunakan analisis desktiptif. Dapatan kajian menunjukkan tahap kompetensi global dalam kalangan pelajar pemimpin pelajar adalah tinggi daripada aspek pengetahuan global tetapi sederhana dalam penerimaan kepelbagaian budaya. Pembangunan kompetensi global di IPG diperoleh melalui pelaksanaan kurikulum, kokurikulum, program di IPG seperti aktiviti kesukarelawan, penglibatan antarabangsa dan juga pengalaman individu. Kajian ini memberi implikasi kepada peningkatan kesedaran terhadap perlunya kompetensi global dalam pendidikan guru untuk memastikan mereka kekal relevan sebagai pendidik dan pemimpin yang boleh mendepani cabaran pendidik abad ke 21.
Kata kunci : Kompetensi global, isu global, kompetensi pelbagai budaya, penglibatan global, pelajar IPG
Abstract: This survey study aims to identify the level of global competence among students of the Institute of Teacher Education (IPG). The study population was Jawatankuasa Pewakilan pelajar totaling 405 people. A total of 200 respondents were selected through a simple random sampling method based on Krejie and Morgan’s (1970) table. Data collection was done online using questionnaires constructed through Google Form and also through interviews. The collected data was screened through data cleaning, Alpha Cronbach test and Data Normality Test. Quantitative data were analyzed using descriptive analysis and qualitative data using thematic analysis. The findings of the study show that the level of global competence among student leaders is high in terms of global knowledge but moderate in the acceptance of cultural diversity. The development of global competencies in IPG is obtained through the implementation of curriculum, co -curriculum, programs in IPG such as volunteer activities, international involvement and also individual experience. This study has implications for increasing awareness of the need for global competencies in teacher education to ensure that they remain relevant as educators and leaders who can meet the challenges of 21st century educators.
Keywords: Global competencies, global issues, multicultural competencies, global engagement, IPG students
__________________________________________________________________________________
1. Pengenalan
Kompetensi global adalah satu pengetahuan, kemahiran, pola pemikiran, dan nilai-nilai yang diperlukan untuk perkembangan dalam masyarakat global yang pelbagai. Kompetensi global bertujuan melengkapkan pelajar untuk mencapai aspirasi kerjaya mereka dalam ekonomi yang berhubungan secara global. Kompetensi global memerlukan tanggungjawab individu secara kolektif sebagai warganegara global untuk menjadikan dunia adalah tempat yang lebih adil dan lestari untuk seluruh umat manusia di dunia (Banks, 2014; Zhao, 2010). OECD(2018) merujuk kompetensi global sebagai keupayaan untuk memeriksa isu-isu tempatan, global dan kepelbagaian budaya dalam memahami perspektif dan world-view orang lain untuk membolehkan seseorang itu terbuka dan berinteraksi secara berkesan dengan orang lain yang berbeza budaya agar kesejahteraan kolektif dan pembangunan secara lestari dapat diteruskan.
Kompetensi global diperlukan untuk kehidupan yang lebih harmoni dalam komuniti pelbagai budaya. Keharmonian ini perlu dalam perubahan pasaran kerja global, menggunakan platform media secara berkesan dan bertanggungjawab serta menyokong matlamat pembangunan lestari daripada aspek, kemiskinan, ketidakseimbangan, iklim, kemerosotan kualiti alam sekitar, kesejahteraan, keharmonian dan keadilan. Institusi memainkan peranan penting dalam membantu pelajar membangunkan kompetensi global, menyediakan peluang untuk belajar mengenai pembangunan global seperti menerusi penglibatan pelajar dalam hubungan antara budaya serta mempromosikan nilai-nilai kepelbagaian budaya.
Generasi muda dilihat orang yang aktif melibatkan diri dalam merekabentuk persekitaran untuk masa yang akan datang tanpa mengira dimana mereka dilahirkan, tinggal dan bekerja. Dunia sekarang memerlukan generasi muda yang berpengetahuan dan berminat untuk mengetahui tentang dunia di sekeliling mereka. Sehubungan dengan itu keyakinan, sukakan cabaran, fleksibel, berdaya tahan, kemahiran komunikasi dan interaksi sosial merupakan satu keperluan dan peluang untuk mendepani dunia yang berubah begitu cepat, saling berhubungan dan bergantungan. Generasi pelajar pada abad ke 21 hidup dalam dunia yang saling kebergantungan, kepelbagaian dan dunia yang cepat mengalami perubahan daripada aspek ekonomi, digital, budaya, demografi dana lam sekitar melingkungi hidup generasi muda dan meningkatkan hubungan antara budaya dalam kehidupan seharian.
Persekitaran yang kompleks menghasilkan peluang dan cabaran kepada generasi akan datang.
Membangunkan kompetensi global memerlukan satu jangka masa yang panjang dan sehubungan dengan itu pendidikan memainkan peranan yang penting bagi mencapai matlamat ini (Barrett et al., 2014, Mansilla dan Jackson, 2011, UNESCO 2016). Menurut NAFSA(2015), guru yang kompeten secara global mempunyai pengetahuan tentang dunia, isu-isu global yang kritikal dan kesannya kepada tempatan, latar belakang budaya pelajar; menunjukkan kesedaran budaya dan penerimaan perbezaan. Guru yang kompeten mengaplikasikan pengetahuan dan kesedaran ini dalam amalan di bilik darjah dan membina karakter, pengetahuan dan perkembangan pelajar.
Kepentingan Kompetensi Global
Kompetensi global perlu dalam kalangan generasi muda adalah bertujuan untuk memupuk kesedaran budaya dan interaksi yang saling menghormati dalam masyarakat yang semakin berkepelbagaian. Dengan menghargai perbezaan dalam masyarakat yang mereka anggotai
(masyarakat, wilayah, bandar, kejiranan dan sekolah), generasi muda boleh belajar untuk hidup bersama sebagai satu warga dunia(UNESCO, 2014). Kompetensi global memerlukan pelajar mempunyai kemahiran komunikasi yang berkesan dan tingkah laku yang bersesuaian dalam kumpulan yang berkepelbagaian dan ini merupakan salah satu kunci kejayaan dalam banyak pekerjaan dan ditambah lagi dengan kemahiran penggunaan teknologi yang dapat memudahkan perhubungan di peringkat global. Menurut British Council(2013), majikan lebih berminat kepada mereka yang mudah menyesuaikan diri dan boleh mengaplikasi serta memindahkan kemahiran dan pengetahuan dalam konteks yang baru. Kesediaan untuk bekerja dalam dunia yang saling berhubungan memerlukan generasi muda memahami dinamik globalisasi yang kompleks, keterbukaan kepada masyarakat yang berbeza latar belakang, kepercayaan terhadap kumpulan yang kepelbagaian dan mempamerkan sikap menghormati orang lain.
Dimensi Kompetensi Global
Kompetensi global yang dibangunkan oleh OECD(2018) mempunyai empat dimensi iaitu dimensi pengetahuan, nilai, sikap dan kemahiran. Empat dimensi ini merangkumi empat aspek kompetensi iaitu i) memeriksa isu-isu tempatan, global dan antarabudaya, ii) memahami dan menghargai pandangan orang lain, iii) melibatkan diri daripada aspek keterbukaan, kebolehsuaian dan interaksi merentas budaya dan iv) mengambil tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari seperti yang dipaparkan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Dimensi kompetensi global
Kerangka Kompetensi Global di bangunkan oleh PISA sebagai satu instrumen untuk menilai guru-guru dalam memupuk kompetensi global dalam kalangan remaja. Kompetensi global merupakan domain baru yang dimasukkan untuk penilaian PISA 2018 kerana pembelajaran, pekerjaan dan persekitaran adalah saling bergantungan dan berhubungan dalam dunia global masa kini (OECD 2018). Huraian mengenai dimensi kompetensi pelbagai budaya oleh OECD adalah seperti berikut :
i) Memeriksa isu-isu tempatan, global dan kepelbagaian budaya,
Dimensi ini merujuk kepada amalan kompetensi global yang berkesan iaitu daripada aspek pengetahuan tentang dunia dan alasan kritikal apabila mereka membentuk pandangan mereka terhadap isu global. Pelajar yang mempunyai kompetensi global berkebolehan membentuk
model pemikiran yang diperlukan di sekolah seperti penyoalan, analisis data, menerangkan fenomena dan membangunkan kesedaran terhadap isu-isu tempatan dan global(Mansilla dan Jackso 2011). Pembangunan dimensi ini memerlukan literasi media seperti keupayaan untuk mengakses, analisis dan menilai secara kritikal mesej-mesej di media bagi menghasilkan mesej baru(Buckingham 2007).
Dalam konteks pendidikan, kompetensi global memerlukan pendidik memahami isu- isu tempatan dan dunia semasa. Isu-isu dunia yang sering menjadi dilema ialah kemiskinan, imigrasi, globalisasi, teknologi, pengangkutan, pergerakan penduduk merentas pelbagai budaya, tiada negara yang homogenus dan kepelbagaian budaya semakin meningkat di sesebuah negara. Oleh itu, dalam bilik darjah, guru perlu mengajar menggunakan perspektif kepelbagaian budaya demi untuk memahami keterangkuman penduduk dunia terutamanya yang berkait dengan isu keadilan(Roberts, A 2007). Kajian oleh Nurhijrah(2017) mengenai elemen kepelbagaian budaya dalam pengajaran sejarah mendapati bahawa guru-guru perlu mengetahui dan memahami isu-isu semasa sama ada di dalam mahupun di luar negara.
Pengetahuan dan kefahaman ini penting bagi membolehkan guru bersedia untuk memberi penjelasan kepada pelajar ataupun membuat rasionalisasi perkara yang dibangkitkan.
ii) Memahami dan menghargai pandangan orang lain
Individu yang mempunyai kompetensi global berkebolehan untuk mempertimbangkan pelbagai perspektif orang lain daripada pelbagai sudut pandangan. Untuk memahami dan menghargai orang lain, seseorang itu perlu mempunyai pengetahuan tentang sejarah budaya, nilai, gaya komunikasi, kepercayaan dan amalan. Nurhijrah(2017) juga menyatakan bahawa, memahami dan menghargai perbezaan sama ada pandangan atau budaya orang lain merupakan elemen kompetensi yang perlu ada pada seseorang guru. Kompetensi global membolehkan seseorang individu berinteraksi dengan orang lain yang berbeza budaya.
iii) Mengambil tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari Kompetensi global dalam kalangan pelajar memerlukan generasi muda memainkan peranan yang lebih aktif sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Kompetensi ini merujuk kepada kesediaan individu untuk memberi respon dan bertindak terhadap isu tempatan, global atau isu-isu budaya. Seseorang yang mempunyai kompetensi global sentiasa berusaha untuk memperbaiki keadaan masyarakatnya daripada aspek keharmonian, insklusif dan melestarikan alam sekitar. Pembangunan lestari merupakan satu yang perlu diberi perhatian kerana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu melalui Resolusi 57/254 pada Disember 2002 telah mencadangkan Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari 2005-2014 (DefSD) kepada pihak UNESCO (UNESCO, 2007). Ini adalah satu usaha peringkat antara bangsa dalam menangani isu alam sekitar. Malaysia selaku negara pendokong usaha UNESCO turut melaksanakan pendidikan pembangunan lestari atau Education for Sustainable Development (ESD) menerusi pendidikan informal berteraskan alam sekitar.
Pendidikan Guru di Malaysia
Dalam latihan perguruan, matlamat pendidikan guru adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjug warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu-padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Bagi
mencapai matlamat ini, Institut Pendidikan Guru menetapkan misinya iaitu melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia. Berdasarkan perkembangan pendidikan dalam dunia global, selain daripada penglibatan dan sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan negara, pelajar juga perlu mempunyai berkolaborasi di peringkat antarabangsa. Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) yang mula diperkenalkan di Institut Pendidikan Guru(IPG) merupakan satu pendekatan pedagogi Abad 21 menekankan kemahiran pembinaan karater, kolaborasi, komunikasi, kreativiti, pemikiran kritikal dan kewarganegaraan (Fullan dan Langworthy 2013). Kemahiran ini juga diperlukan untuk melahirkan pelajar yang boleh menjadi pemimpin yang kompeten di peringkat global. Latihan perguruan juga memberi penekanan kepada aspek kepimpinan. Semua pelajar IPG perlu menguasai kemahiran 8K termasuklah kepimpinan. Kepimpinan pelajar IPG dibentuk melalui pelbagai cara dan salah satunya dalam Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar(JPP). Organisasi ini diwujudkan bagi mengcungkil bakat kepimpinan dan menguruskan pelbagai kegiatan dan menjaga kebajikan pelajar IPG.
2. Tinjauan Literatur
Kajian mengenai kompetensi global terhadap bakal guru boleh dikenalpasti melalui beberapa kajian yang dibuat sama ada dalam dan luar negara. Bordeianu(2019) membuat tinjauan terhadap 69 responden daripada program persediaan guru di Amerika Syarikat mengenai kompetensi global untuk pendidik masa depan daripada aspek kesedaran, kefahaman dan tingkah laku. Hasil kajian mendapati latihan perguruan mempunyai hubungan yang signifikan dengan kompetensi global guru. Guru yang mengikuti program pendidikan global mempunyai kompetensi yang lebih tinggi berbanding dengan guru yang mengikuti latihan persediaan yang tradisional. Situasi dunia sekarang memerlukan guru-guru meningkatkan pengetahuan dan pengalaman global bagi membolehkan ilmu dan kemahiran ini dipindahkan kepada pelajar.
Guru-guru juga perlu membangunkan pengetahuan dan kemahiran bagi membolehkan mereka signifikan dengan pengalaman budaya lain. Kajian yang dibuat oleh Robert(2007) mendapati pengalaman memberi kesan kepada secara personal dan professional terutamanya daripada segi minda global. Pengalaman di luar negara memberi kebaikan kepadaguru pelatih seperti meningkatkan kepercayaan, kesedaran terhadap kepelbagaian budaya dan juga efikasi kendiri dalam berurusan dengan mereka yang pelbagai budaya.
Kajian kompetensi guru lepasan IPG mendepani cabaran Pendidikan Abad 21 mengenai kemahiran komunikasi, kolaborasi, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran teknologi maklumat serta kemahiran PdPc mendapati tahap kemahiran adalah pada tahap yang baik (Nurhijrah et al. 2018). Namun begitu, kajian oleh Nurafiqah(2019) mengenai elemen merentas kurikulum dalam KSSR dalam kalangan guru pelatih mendapati pengetahuan siswa guru pelatih mengenai kelestarian global adalah sederhana. Kajian oleh Hanifah Mahat et al.(2013) juga mendapati kesedaran pendidikan pembangunan lestari oleh pelajar berada pada tahap sederhana. Walau bagaimanapun kajian oleh Nurhijrah et al.(2019) mendapati tahap kompetensi global pelajar IPG adalah tinggi tetapi masih sederhana dalam aspek penerimaan kepelbagaian budaya.
3. Metodologi Kajian
Kajian dibuat bertujuan untuk mengenalpasti tahap kompetensi global dalam kalangan pelajar pemimpin pelajar IPG dan bagaimana kompetensi global dalam kalangan pemimpin pelajar dibangunkan di IPG. Kajian tinjauan dibuat terhadap pemimpin pelajar di 27 buah IPG seluruh Malaysia. jumlah populasi kajian ialah terdiri daripada mereka yang berada dalam Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) yang sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PISMP) berjumlah 405 orang dan 200 orang telah memberi respon berdasarkan kaedah pensampelan rawak mudah yang digunakan.
Jadual 1: Responden kajian
Bil Pembolehubah Responden Peratus(%)
1 Jantina Lelaki
Perempuan
66 134
33.0%
67.0%
2 Kohort Ambilan PISMP Sem 7 PISMP Sem 5 PISMP Sem 3 PISMP Sem 1
40 55 60 45
20.0%
27.5%
30.0%
22.5%
Untuk mendapatkan data kualitatif, lima orang pemimpin pelajar telah ditemu bual bagi mendapatkan pandangan mengenai program IPG yang telah meningkatkan kompetensi global mereka. Instrumen yang digunakan ialah borang soal selidik yang dibina melalui google form.
Instrumen yang digunakan adalah instrumen yang diterjemahkan daripada PISA 2018 Global Competence Questionaire dan diubahsuai untuk konteks pendidikan guru di Malaysia.
Kontstruk yang diuji dalam kajian ini ialah i) Pengetahuan terhadap isu-isu global, ii) Sikap terhadap perbezaan budaya, iii) Penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dan iv) Tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari. Konstruk ini adalah dibentuk berdasarkan dimensi pengetahuan, sikap, nilai dan kemahiran. Instrumen temu bual menggunakan protokol temu bual separa struktur dan dianalisis menggunakan pendekatan bertema. Data kuantitatif dianalisis menggunakan perisian Statistical Package for the Social Sciences (SPSS), versi 23 untuk data deskriptif dan juga data inferensi. Sebelum ujian statistik dilaksanakan, ujian Alpha Cronbach dilaksanakan bagi mendapatkan nilai kebolehpercayaan item. Berdasarkan ujian yang dilaksanakan, nilai Alpha Cronbach berada di antara 0.919 hingga 0.923. Purata nilai Alpha Cronbach ialah 0.921 seperti dipaprkan dalam Jadual 2.
Menurut Sekaran(1992) nilai Alpha Cronbach melebihi 0.06 adalah satu nilai yang menggambarkan kebolehpercayaan yang tinggi.
Jadual 2 : Ujian Alpha Cronbach
Cronbach's Alpha Cronbach's Alpha Based on
Standardized Items N of Items
.921 .899 79
Ujian normaliti dibuat bagi mendapatkan nilai Skewness dan Kurtosis untuk menentukan sama ada data adalah bertaburan normal atau tidak. Data adalah bertaburan normal apabila nilai Skewness dan Kurtosis berada di antara -1 hingga +1. Dalam ujian ini didapati nilai Skewness dan Kurtosis adalah seperti Jadual 3 berikut :
Jadual 3 : Nilai Skewness dan Nilai Kurtosis
Konstruk Nilai
Skewness
Nilai Kurtosis Interpretasi 1. Pengetahuan terhadap isu-isu
global .472 .231 normal
2. Perspektif nilai terhadap
perbezaan budaya -.126
-.439 normal
3. Penerimaan terhadap
kepelbagaian budaya -.210 -.121 normal
4. Tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari.
.298
-.503 normal
4. Dapatan Kajian 1 : Apakah tahap kompetensi global dalam kalangan pelajar pemimpin pelajar IPG ?
Tahap kompetensi global dalam kalangan pelajar IPGKDRI diukur berdasarkan empat konstruk utama seperti iaitu i) Pengetahuan terhadap isu-isu global, ii) Perspektif nilai terhadap perbezaan budaya, iii) Penerimaan terhadap kepelbagaian budaya dan iv) Tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari.
a) Pengetahuan terhadap isu-isu global.
Pengetahuan terhadap isu-isu global Kemahiran memeriksa isu-isu tempatan, global dan kepelbagaian budaya adalah berdasarkan efikasi kendiri mengenai isu-isu global ii) kesedaran terhadap isu-isu global dan iii) pemikiran global. Dapatan hasil analisis adalah seperti dalam Jadual 4a.
Jadual 4a: Pengetahuan Terhadap Isu-Isu Global
Sub-konstruk
N Mean Std.
Deviation Statistic Statistic Std.
Error Statistic Intepretasi 1. Efikasi kendiri
mengenai isu- isu global 200 2.842 .035 .488 Tinggi
2. Kesedaran mengenai
isu-isu global 200 2.807 .036 .508 Tinggi
3. Pemikiran global 200 3.184 .029 .406 Tinggi
Min Keseluruhan 200 2.944 .033 .467 Tinggi
Berdasarkan Jadual 4a, min keseluruhan konstruk pengetahuan terhadap isu-isu global dalam kalangan pelajar IPGKDRI adalah tinggi(2.944). Min paling tinggi adalah bagi sub- konstruk pemikiran global(3.184), diikuti oleh efikasi kendiri mengenai isu-isu global(2.842) dan kesedaran mengenai isu-isu global(2.807).
b) Perspektif terhadap perbezaan budaya
Konstruk perspektif terhadap perbezaan budaya merangkumi kebolehan untuk memahami dan menghargai pandangan orang lain diukur berdasarkan, perspektif diri, kesedaran terhadap komunikasi silang budaya dan menghormati perbezaan budaya. Dapatan analisis adalah seperti dalam Jadual 4b.
Jadual 4b : Perspektif Terhadap Perbezaan Budaya
Sub Konstruk
N Mean Std.
Deviation Statistic Statistic Std.
Error Statistic Intepretasi
1. Perspektif diri 200 3.00 .0410 .581 Tinggi
2. Kesedaran terhadap kemahiran komunikasi silang budaya
200 3.24 .0284 .402 Tinggi
3. Menghormati perbezaan budaya 200 3.34 .0449 .636 Tinggi
Min keseluruhan 200 3.19 .0383 .540 Tinggi
Berdasarkan Jadual 4b nilai min daripada persektif terhadap perbezaan budaya adalah tinggi. Nilai min yang paling tinggi adalah menghormati perbezaan budaya(3.34) diikuti dengan kesedaran terhadap kemahiran komunikasi silang budaya(3.24) dan perspektif diri adalah 3.00.
c) Penerimaan terhadap kepelbagaian budaya
Penerimaan terhadap kepelbagaian budaya diukur melalui sikap keterbukaan, kebolehan menyesuaikan diri dan berinteraksi secara merentas budaya boleh dikenalpasti melalui kebolehsuaian(adaptability), keinginan mempelajari budaya lain, sikap terhadap imigran dan hubungan dengan orang daripada negara lain. Dapatan kajian adalah seperti yang dipaparkan dalam Jadual 4c .
Jadual 4c : Penerimaan Terhadap Kepelbagaian Budaya
Sub Konstruk
N Mean Std.
Deviation Statistic Statistic Std.
Error Statistic Interpretasi
1. Kebolehsuaian 200 2.681 .0440 .6228 Sederhana
2. Keinginan mempelajari
budaya lain 200 3.058 .0513 .7251 Tinggi
3. Sikap terhadap imigran 200 2.534 .0385 .5443 Sederhana
Min Keseluruhan 200 2.452 .0400 .5676 Sederhana
Berdasarkan Jadual 4c, tahap penerimaan terhadap kepelbagaian budaya adalah pada tahap sederhana(Min = 2.45). Hanya sub-konstruk keinginan mempelajari budaya lain adalah tinggi(Min=3.06) manakala kebolehsuaian dengan budaya lain(min=2.68) dan sikap terhadap imigran adalah sederhana(min=2.53).
d) Mengambil tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari Tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari dikenalpasti melalui penglibatan pelajar dalam isu global, kemahiran linguistik dan komunikasi (bahasa yang digunakan, bahasa lain yang dipelajari) dan amalan aktiviti global di institusi. Dapatan kajian adalah seperti yang dipaparkan dalam Jadual 4d, Jadual 4e.
i) Penglibatan pelajar dalam isu global.
Penglibatan pelajar berkenaan isu global diukur melalui 8 item seperti Jadual 4d di bawah.
Jadual 4d: Penglibatan Pelajar Dalam Isu Global
Bil Item Ya Tidak
frekuensi (%) frekuensi (%) 1 Saya mengurangkan penggunaan tenaga di
rumah untuk menjaga alam sekitar.
185 92.5 15 9.5
2 Saya memilih beberapa produk yang mesra alam walaupun agak mahal
161 80.5 39 19.5
3 Saya memberi respon berkaitan isu sosial atau alam sekitar yang dikemukakan di atas talian(online)
136 68.0 64 32.0
4 Saya memastikan saya mendapat informasi aktiviti seluruh dunia melalui media sosial(Facebook atau Twitter dan lain-lain)
175 87.5 25 12.5
5 Saya memboikot produk-produk atau syarikat-syarikat yang berkepentingan politik, menimbulkan konflik etika atau menjejaskan alam sekitar
175 87.5 25 12.5
6 Saya menyertai aktiviti-aktiviti yang memperjuangkan kesamarataan (equality) antara lelaki dan wanita.
63 31.5 137 69.5
7 Saya menyertai aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar
173 86.5 27 13.5
8 Saya biasa membaca laman web berkenaan isu sosial antarabangsa (contoh:
kemiskinan, hak kemanusiaan)
158 79.0 42 21.0
Berdasarkan Jadual 4d, semua responden memberi respon ‘ya’ lebih tinggi daripada respon ‘tidak’ kecuali bagi item 6: Saya menyertai aktiviti-aktiviti yang mempromosikan kesamarataan antara lelaki dan wanita. Item ini mendapat respon ‘ya’ sebanyak 31.5% dan
‘tidak’ 69.5%. Item yang paling tinggi mendapat respon ‘ya’ ialah item 1(92.5%) diikuti item 4 dan 5 (87.5%), item 7(86.5%), item2(80.5%), item 8(79.0%) serta item 3(68%).
ii) Penglibatan pelajar dalam amalan aktiviti global di institusi.
Penglibatan pelajar dalam amalan aktiviti global di institusi diukur berdasarkan 10 item seperti yang dipaparkan dalam Jadual 4e.
Jadual 4e : Penglibatan Pelajar Dalam Amalan Aktiviti Global Di Institusi
Bil Item Ya Tidak
frekuensi % frekuensi %
1 Saya belajar tentang hubungkait ekonomi antara negara-negara lain.
176 88.0 24 12.0
2 Saya belajar untuk menyelesaikan masalah antara rakan-rakan sekelas.
193 96.5 7 3.5
3 Saya belajar tentang budaya yang berbeza .
191 95.5 9 4.5
4 Saya membaca akhbar dan melayari Internet untuk mengetahui berita dunia.
190 95.0 10 5.0
5 Saya selalu diminta oleh pensyarah untuk memberi pandangan berkenaan dengan berita antarabangsa.
140 70.0 60 30.0
6 Saya meraikan acara atau aktiviti pelbagai budaya.
159 79.5 41 20.5
7 Saya kerap kali mengambil bahagian dalam perbincangan kelas berkenaan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia.
157 78.5 43 21.5
8 Saya menganalisis isu-isu global bersama rakan-rakan sekelas dalam satu kumpulan kecil.
164 82.0 36 18.0
9 Saya belajar bahawa orang yang berlainan budaya mempunyai berlainan perspektif dalam sesetengah isu.
196 98.0 4 2.0
10 Saya belajar bagaimana mahu berkomunikasi dengan orang yang berlainan budaya.
184 92.80 16 8.0
Purata 87.5 12.5
Berdasarkan Jadual 4e, item yang paling tinggi mendapat respon ‘ya’ ialah item 9(98.0%) iaitu “Saya belajar bahawa orang yang berlainan budaya mempunyai berlainan perspektif dalam sesetengah isu” diikuti oleh item 2(96.5%), item 3(95.5%), item 4(95.0%), item 10(92.8%). Item yang mendapat respon kurang daripada 90 % ialah item 1(88.0%), item 8(82%), item 6(79.5%), item 7(78.5%) dan yang paling rendah ialah item 5(70.0%). Item yang paling rendah ialah “Saya selalu diminta oleh pensyarah untuk memberi pandangan berkenaan dengan berita antarabangsa”.
Dapatan Kajian 2 : Bagaimanakah kompetensi global dalam kalangan pemimpin pelajar dibangunkan di IPG ?
a) Penyampaian kandungan kursus
Menurut peserta kajian kursus yang banyak membantu meningkatkan pengetahuan global guru pelatih ialah Cabaran dan Isu Semasa Dunia dan. Tamadun Islam dan Asia. Kursus-Kursus dalam program TESL dan kursus bahasa yang diikuti seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab menjadikan guru pelatih lebih berkeyakinan untuk berhubungan dengan orang negara luar
secara formal. Bagi PK1, PK7 dan PK8, kursus Hubungan Etnik dan Budaya dan Pembelajaran menjadikan mereka lebih berpengetahuan mengenai kepelbagaian budaya. bagi pelajar yang mengikuti Program Sejarah, Kursus SJHK3023 Malaysia dan Hubungan Antarabangsa banyak membantu memberi kefahaman mereka tentang dunia global. Namun begitu PK8 mengakui bahawa amalan secara praktis untuk menguruskan kepelbagaian budaya di sekolah masih belum mencukupi. PK2, PK3, PK4 kursus elektif terbuka Pembangunan Lestari juga menjadikan mereka lebih berpengetahuan tentang alam sekitar. Kemahiran untuk pembinaan kompetensi global juga, diperolehi ketika menjalani latihan praktikum, penyelidikan, Bina Insan Guru dan latihan intership. Semua PK bersetuju bahawa pengalaman menjalani program berkenaan sedikit sebanyak meningkatkan keyakinan mereka berhubungan dengan pelbagai pihak di luar sana.
b) Kepelbagaian aktiviti pembelajaran dan pentaksiran
Kepelbagaian aktiviti pengajaran di dalam bilik darjah juga meningkatkan kompetensi global guru. Aktiviti seperti perbincangan kumpulan, pembentangan, forum, pidato, projek, aktiviti luar bilik darjah, permainan, kuiz, inkuiri dan sebaginya diakui dapat meningkatkan kompetensi guru pelatih daripada aspek komunikasi, kemahiran kolaboratif, interpersonal, kemahiran pemikiran kritikal, kepemimpinan dan sebagainya. Amalan Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) yang diperkenalkan kepada pelajar menyumbang kepada peningkatan kompetensi global. Semua PK bersependapat bahawa latihan perguruan menjadikan mereka menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi guru. Namun begitu PK 5 dan PK6 berpendapat, pemimpin pelajar IPG perlu banyak belajar dan mencari pengetahuan dan kemahiran baru bagi memantapkan potensi diri masing-masing sebagai pendidik dan pemimpin. PK 3, PK5 dan PK7 menjelaskan pentaksiran beberapa tugasan kerja kursus seperti projek KPBB yang memerlukan tugasan secara berkumpulan dan mencari rakan pembelajaran di dalam dan di luar negara membolehkan mereka mendapat pengalaman baru dan menguasai kemahiran 6C.
c) Kegiatan kokurikulum
Aktiviti ko kurikulum seperti Unit Beruniform, persatuan dan permainan. Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum juga dapat meningkatkan kompetensi global guru pelatih. Bagi semua PK, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum banyak membentuk sahsiah melalui pemupukan nilai seperti empati, kerjasama, toleransi, kekitaan, kepimpinan yang menjadi asas kepada kompetensi global. Menurut PK2, PK4 dan PK6 dalam Pandu Puteri menjadikan mereka lebih terbuka kepada kepelbagaian budaya kerana ilmu Pandu Puteri itu sendiri bersifat global dan sejagat. Begitu juga dengan PK1 yang menganggotai Unit Beruniform Pengakap. Menurut PK1, Pengakap adalah pertubuhan yang diktiraf di peringkat antarabangsa dan banyak negara menganggotainya. Peluang mengikuti Jambori Pengakap Asia Pasifik menjadikan beliau lebih kompeten di peringkat global kerana mempunyai rakan-rakan daripada pelbagai negara.
d) Penglibatan dalam program pengantarabangsaan
Program yang disertai oleh guru pelatih seperti lawatan penanda aras ke universiti luar negara, perkongsian budaya juga dapat meluaskan pengalaman guru pelatih di peringkat antarabangsa.
PK2 yang telah mengikuti program lawatan Menelusuri Sejarah dan Warisan Kebudayaan Melayu-Riau mengakui bahawa pengalaman mengikuti program berkenaan menjadikan beliau mempunyai lebih berempati terhadap sejarah kebudayaan Melayu masa lalu. PK2 dan PK4
yang telah mengikuti lawatan penanda aras ke universiti dan komuniti di Vietnam juga mengakui program pengantarabangsaan yang disertai dapat meningkatkan pemahanan mereka terhadap budaya masyarakat negara lain. Selain itu, PK5, penganjuran program wacana ilmu antara IPG dengan pelajar universiti luar negara juga meningkatkan kompetensi global melalui pengalaman pemimpin pelajar IPG juga dapat membina jaringan persahabatan baru dengan pelajar di universiti. Penglibatan sebagai jawatankuasa program antarbangsa seperti dalam seminar dan pertandingan inovasi juga dapat meningkatkan kompetensi global pemimpin pelajar. Pembentangan kertas kerja di seminar di peringkat antarabangsa juga memberi pengalaman kepada PK1, PK2 dan PK5 untuk berkongsi dan mendapat ilmu, idea dan pandangan kritis orang lain.
e) Penganjuran program bersifat kepimpinan
Semua PK menyatakan program yang dianjurkan di IPG membantu mereka meningkatkan kompetensi global. PK1 dan PK3 menyatakan program Pemantapan Kepimpinan JPP yang diadakan banyak meningkatkan kemahiran mengurus, mengelola, berkomunikasi yang merupakan elemen penting dalam kepimpinan. Kepimpinan ini menjadikan mereka berkeyakinan dan selesa untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak tanpa mengira budaya.
f) Pengalaman individu.
Aktiviti persendirian yang disertai oleh guru pelatih juga secara tidak langsung dapat meningatkan kompetensi global pemimpin pelajar PK2, PK3, PK5 selalu mengikuti aktiviti rekreasi, sukan dan kesukarelawan banyak melatih mereka tentang pembangunan diri dan sahsiah serta kompetensi diri dalam memimpin, mengelola, mengurus dengan nilai-nilai murni.
PK2 menyatakan aktiviti mendaki gunung menjadikan mereka berpeluang untuk bergaul dan beradaptasi dengan orang luar. PK3 dan PK4 selalu menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, kem ibadah khidmat masyarakat. Penglibatan dalam program sebegini dapat memantapkan kompetensi pemimpin pelajar dalam aspek kepemimpinan. Pembelajaran kendiri berterusan dapat menambah ilmu dan membina sikap, pengetahuan, kesedaran, nilai dan pelbagai kemahiran yang boleh dimanfaatkan menjadikan pemimpin pelajar lebih kompeten.
5. Perbincangan dan Kesimpulan
Pengetahuan terhadap isu-isu global dalam kalangan pemimpin pelajar IPG adalah tinggi Pengetahuan pelajar terhadap isu-isu tempatan dan global mempengaruhi pemikiran global dalam kalangan pelajar. Pemimpin pelajar mendapat pendedahan mengenai isu-isu global kerana semasa mengikuti PPISMP mereka telah didedahkan dengan isu-isu global dalam kursus GCI1022 Cabaran dan Isu Semasa Dunia. Walau bagaimanapun pemerolehan pengetahuan mengenai isu global juga bergantung kepada pedagogi pengetahuan kandungan guru, aktiviti, tugasan, peluang dan sikap pelajar terhadap pembelajaran kursus itu sendiri.
Zahari(2006) menyatakan, proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang bematlamatkan untuk meningkatkan pengetahuan dan perkembangan intelektual pelajar bergantung pada pengetahuan profesional pendidik. Kuliah dan tugasan kursus menggalakkan pemimpin pelajar meneroka isu-isu global melalui pelbagai sumber.
Perspektif terhadap perbezaan budaya adalah tinggi kerana pemimpin pelajar terdedah kepada pengalaman mengurus rakan-rakan IPG daripada budaya yang berbeza. Pemimpin pelajar mempunyai kesedaran untuk menghormati perbezaan, kemahiran komunikasi silang budaya dan melihat perspektif diri terhadap isu-isu global. Tahap kompetensi global juga dipengaruhi oleh pengalaman dan kajian oleh Cushner dan Mahon(2016) mendapati guru pelatih yang mempunyai pengalaman di luar negara memberi kesan terhadap kesedaran terhadap budaya, efikasi kendiri, kesedaran diri serta peningkatan professional dari aspek minda global. Perkara ini memberi kesan kepada penerimaan terhadap kepelbagaian budaya daripada kesedaran komunikasi silang budaya perspektif global. Tahap penerimaan terhadap kepelbagaian budaya adalah pada tahap sederhana kerana faktor perspektif kendiri terhadap budaya lain. Keinginan mengetahui tentang budaya lain dipengaruhi oleh persekitaran budaya di sekelilingnya dan sejajar dengan kajian Nurhijrah(2017). Sikap yang fleksibel, toleransi dan empati terhadap perbezaan budaya dapat membantu seseorang menyesuaikan diri dengan masyarakat.
Tindakan secara kolektif terhadap kesejahteraan dan pembangunan lestari dikenalpasti melalui penglibatan pemimpin pelajar dalam isu global, kemahiran linguistik dan komunikasi dan amalan aktiviti global di IPG. Walaupun penglibatan dalam isu-isu global adalah tinggi tetapi pelajar kurang memberi respon terhadap isu-isu berkenaan secara di atas talian seperti di media sosial, blog dan sebagainya. Pelajar selalunya lebih selesa membaca sebagai silent reader daripada memberi komen kerana berhati-hati dalam memberi komen secara terbuka terutamanya komen yang negatif kerana dibimbangi akan memberi tanggapan serong serta menjejaskan nama mereka sebagai pemimpin.
Pembangunan kompetensi global guru pelatih adalah selari dengan misi IPG iaitu melahirkan guru yang kompeten dan berjiwa pendidik melalui program pembangunan guru yang dinamik ke arah pendidikan sekolah bertaraf dunia. Kedinamikan ini dilihat sangat relevan dengan perkembangan pendidikan era Revolusi Industri 4.0. Kursus yang ditawarkan membina kompetensi global guru pelatih termasuklah pemimpin pelajar. Ini kerana program pendidikan di IPG direkabentuk berasaskan i) Berpengetahuan dan berkemahiran praktikal dalam bidang keguruan selaras dengan kehendak organisasi dan pelanggan, ii) Menjana penyelesaian masalah dalam bidang keguruan melalui pendekatan saintifik secara inovatif, kreatif dan beretika; iii) Berkomunikasi secara berkesan dengan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan memperkukuhkan bahasa Inggeris; iv) Berupaya mencari dan mengurus maklumat yang relevan daripada pelbagai sumber; v) Mempamerkan kemahiran keusahawanan, pengurusan dan menyedari keperluan pembelajaran sepanjang hayat untuk pembangunan kerjaya dan vi) Memiliki nilai dan sikap profesionalisme, ciri-ciri kepimpinan berkemahiran sosial, bertanggungjawab dan mampu melaksanakan kerja berpasukan. (Buku Panduan PISMP IPGM).
Aktiviti pembelajaran adalah amalan praktis yang dilaksanakan semasa proses PdP juga meningkatkan kompetensi global pemimpin pelajar IPG. Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna yang menggunakan prinsip New pedagogy for deep learning(NPDL) yang diperkenalkan di Institut Pendidikan Guru(IPG) merupakan satu pendekatan pedagogi Abad 21 yang menggariskan enam kemahiran yang perlu dikuasai oleh pelajar agar mereka standing dengan pelajar dan bakal guru di peringkat global. Penglibatan kokurikulum memang tidak
dapat dinafikan banyak membentuk sahsiah guru secara praktikal bukan sahaja kepada pemimpin pelajar IPG malah kepada semua guru pelatih. Kemahiran ini juga diperlukan untuk melahirkan pelajar yang kompeten di peringkat global.
Berdasarkan perkembangan pendidikan dalam dunia global, pelajar perlu berkolaborasi di peringkat antarabangsa dan penyertaan di peringkat antarabangsa memberi satu dimensi perspektif kepada bakal-bakal guru. Kajian yang dibuat oleh Robert(2007) mendapati pengalaman di peringkat antarabangsa memberi kesan kepada secara personal dan profesional terutamanya daripada segi minda global. Pengalaman di luar negara memberi kebaikan kepada guru pelatih seperti meningkatkan kepercayaan, kesedaran terhadap kepelbagaian budaya dan juga efikasi kendiri dalam berurusan dengan mereka yang pelbagai budaya. Pendedahan kepada pemahaman terhadap budaya masyarakat lain menjadikan seseorang itu lebih terbuka terhadap perbezaan budaya (Nurhijrah et al. 2017). Perkongsian pengalaman dan idea dalam penyelidikan dengan pihak lain meningkatkan kemahiran komunikasi dan pemikiran kritikal melalui hujah-hujah yang disampaikan (Sugito et al. 2017). Sebagai kesimpulannya, kompetensi global wajar diberi perhatian dalam pembangunan pasukan pemimpin pelajar bagi menyediakan bakal guru yang lebih kompeten dalam kerjaya dan berdaya saing di pelbagai peringkat. Secara tidka langsung akan memberi implikasi kepada penambahbaikan program latihan guru sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Rujukan
Amy Roberts(2007).Global Dimensions of Schooling: Implications for Internationalizing Teacher Education. Teacher Education Quarterly. 9-26.
Barrett, M., M. Byram, I. Lázár, P. Mompoint-Gaillard and S. Philippou (2014), Developing Intercultural Competence through Education, Council of Europe Publishing, Strasbourg Bordeianu.A.D(2019). Exploring global competencies for future educators: investigating students’ global competency level in teacher preparation programs - traditional versus global education. Ijazah Doktor Falsafah. Oakland University Rochester, Michigan.
Buckingham, D. (2007), Digital Media Literacies: rethinking media education in the age of the Internet, Research in Comparative and International Education, Vol.2/1, pp.43-55 Buku Panduan Akademik Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan
Kepujian(PISMP). Institut Pendidikan Guru Malaysia.
Cushner, K and Mahon, J(2002). Overseas Student Teaching: Affecting Personal, Professional, and Global Competencies in an Age of Globalization . https://doi.org/10.1177/1028315302006001004.
Mansilla, V. and A. Jackson (2011), Educating for Global Competence: Preparing Our Youth to Engage the World, Asia Society.Council of Chief State School Officers.
Fullan,M dan Langworthy,M(2013).Towards a New End: New Pedagogies for Deep Learning. Collaborative Impact Seattle, Washington, USA.
Nur Afiqah Ezani(2019). Hubungan pengetahuan elemen merentas budaya dengan pengintegrasiannya dalam pengajaran dan pembelajaran Sejarah. Tesis Sarjana Muda Perguruan. IPGKDRI.
Nurhijrah Zakaria(2017). Elemen Kompetensi Pelbagai Budaya dalam pengajaran dan pembelajaran bagi guru Sejarah. Tesis Doktor Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nurhijrah Zakaria, Marzuki Ngah, Yuslaini Yunus, Fouziah Mohd, Kamarauzaman Zakaria.(2018). Kompetensi Guru Novis Keluaran Institut Pendidikan Guru Mendepani Cabaran Pendidikan Abad 21 Jurnal Penyelidikan Pendidikan IPGKTI.
OECD (2016), “PISA 2018 draft reading framework”, OECD working paper, OECD, Paris.
Sugito, Sri Mulyani ES, Hartono, Supartono. (2017) Enhancing students’ communication skills through problem posing and presentation. International Journal of Evaluation and Research in Education, 6(1), 17-22.
UNESCO (2014), Global Citizenship Education: Preparing learners for the challenges of the 21st century, UNESCO, Paris.
UNESCO (2016), Global Education Monitoring Report, UNESCO, Paris
Zahari Ishak(2006). Psikologi Pendidikan: Realiti pengajaran dan Pembelajaran. Masalah Pendidikan. 21-36
Zhao, Y. (2010). Preparing globally competent teachers: A new imperative for teacher education. Journal of Teacher Education, 61(5), 422-431.