TAJUK 6 KEBUDAYAAN MELAYU ( BIDANG SOSIAL )
7.5 Nilai dan Falsafah Dalam Kebudayaan Melayu
Pembinaan budaya kebangsaan amat penting diberikan perhatian dan tumpuan. Budaya kebangsaan itu bukan sahaja menyatakan jati diri masyarakat dan negara Malaysia, malahan juga penting dalam memupuk semangat patriotisme dan integrasi kaum di negara ini.39 Melalui budaya kebangsaan itu membolehkan anggota-anggota masyarakat mengenali sejarah dan membina ikatan emosi kepada masyarakat dan negara. Kesedaran tentang pentingnya budaya kebangsaan itu adalah sebahagian daripada kekuatan semangat kebangsaan Melayu yang dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial lagi. Pemerintah kolonial tidak memberikan perhatian tentang bahasa dan budaya Melayu, sebaliknya bahasa dan budaya kolonial didapati semakin penting yang membawa nilai-nilai sosial dan ekonomi. Perjuangan orang Melayu untuk mencapai kemerdekaan adalah tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan persoalan bahasa dan budaya.
Kerajaan telah menerima konsep dan prinsip budaya kebangsaan, dan usaha perancangan serta perlaksanaan dimulakan pada tahun 1970. Kerajaan menyedari pentingnya pembinaan budaya kebangsaan, terutama kesan daripada peristiwa 13 Mei 1969. Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan waktu itu ditubuhkan bagi menumpukan perancangan dan perlaksanaan budaya kebangsaan itu, 40 terutama pemuliharaan dan penggalakan budaya rakyat.
Salah satu usaha yang dilakukan ialah mengenali dan menggalakkan perkembangan di peringkat nasional berbagai-bagai unsur budaya tradisional pribumi Malaysia. Dalam pemuliharaan dan penggalakan tradisi rakyat itu, berbagai bantuan diberikan. Malahan
ada usaha mendorongkan generasi muda terlibat dalam kegiatan-kegiatan tradisi budaya rakyat itu. Berbagai pihak, terutama pencinta-pencinta seni rakyat berusaha mengembangkan dan menyebarkan ke peringkat nasional. Terdapat institusi-institusi pendidikan yang turut menggalakkan perkembangan seni dan mainan tradisonal. Selain itu, penyelidikan, seminar dan bengkel tentang berbagai warisan tradisi rakyat itu sentiasa diberikan perhatian oleh berbagai-bagai pihak.
Generasi muda patut dipupuk dengan nilai-nilai positif, iaitu memandang tinggi dan berbangga dengan warisan tradisi. Kedudukan warisan tradisi tidak boleh disamakan dengan bahan-bahan budaya popular. Bahan-bahan budaya popular sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain untuk mengisi keperluan yang lebih tinggi. Apabila nilai-nilai sosial yang berbeza diberikan kepada kedua-dua fenomenon itu, maka budaya popular itu tidak dapat dianggap sebagai persaingan kepada warisan tradisi atau budaya rakyat itu.
Kedudukan budaya tradisi atau budaya rakyat yang ingin diperkembangkan dalam rancangan pembinaan budaya kebangsaan tidak menunjukkan kemajuan sebagaimana yang diharapkan.42 Oleh itu kerajaan telah mengubah strategi bagi menggalakkan pertumbuhan budaya kebangsaan, iaitu Kementerian yang berkenaan telah digabungkan dengan industri pelancongan, yang kini dikenali sebagai Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan. Memahami masalah yang dihadapi dalam usaha membangunkan berbagai-bagai unsur seni tradisional adalah berkaitan dengan masalah ekonomi. Mereka yang terlibat dalam kegiatan seni tradisional tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada kegiatan yang berkaitan memandangkan kegiatan itu tidak memberikan pulangan ekonomi sewajarnya.
Budaya Popular dan Budaya Kebangsaan
Dalam hasrat membina budaya kebangsaan itu, ruang lingkup budaya yang diliputi itu sepatutnya tidak terbatas kepada warisan budaya tradisional atau budaya rakyat. Budaya itu dinamiks. Budaya Melayu juga adalah dinamiks, yang sentiasa berubah menyesuaikan dengan perubahan yang dilalui masyarakat. Perkembangan budaya terkini itu kemudian akan menjadi tradisi. Proses penciptaan dan penghasilan bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada proses perubahan-bahan masyarakat dan budaya Melayu. Dengan itu juga dapat memperkukuhkan kedudukan budaya
Melayu. Masyarakat dan budaya akan terus dinamiks, iaitu perubahan perlu dilakukan bagi menjamin peningkatan peradaban Melayu itu. Dalam konteks ini penghasilan bahan-bahan budaya popular itu adalah sebahagian daripada kemajuan budaya yang dicapai masyarakat Melayu. Dalam konteks ini budaya kebangsaan itu perlu dibina atas warisan budaya tradisi dan pembangunan budaya moden, iaitu budaya popular. Oleh itu dalam penghasilan bahan-bahan budaya popular itu juga perlu mempertahankan mutu yang sewajarnya. Bahan-bahan budaya popular itu juga tidak dapat dinafikan masih mempunyai mutu dan nilai-nilai seni yang akan menjadi warisan budaya Melayu. Penghasilan budaya popular itu juga melalui proses kreativiti sewajarnya, yang dengan sendirinya menyatakan pembangunan budaya Melayu, dan seterusnya memainkan peranan sebagai sumbangan peningkatan peradaban Melayu.
Budaya rakyat kini semakin lemah kedudukannya berikutan minat atau tumpuan orang ramai didapati semakin berkurang. Peranan atau fungsi sesuatu fenomenon itu tidak dapat dipisahkan daripada kepentingan sesuatu tradisi budaya. Berikutan dengan perubahan sosial, ekonomi dan pendidikan, didapati kepentingan terhadap budaya rakyat semakin kurang mendapat tempat dalam kehidupan masyarakat Melayu moden hari ini. Walaupun terdapat usaha untuk menghidupkan tradisi rakyat pada peringkat kampung terutama di kalangan golongan tua, tetapi sambutan daripada orang-orang muda tidak menggalakkan. Mereka yang masih meneruskan perlibatan dalam tradisi rakyat semata-mata berasaskan kepada minat, bukannya sebagai suatu yang dilakukan secara sungguh-sungguh. Masalah yang dihadapi di kalangan penduduk kampung ialah tekanan ekonomi yang tidak memungkinkan mereka menumpukan perhatian terhadap minat mereka itu.43 Sambutan orang ramai yang dingin terhadap tradisi budaya itu tidak memberi peluang mereka untuk menambahkan pulangan ekonomi dengan menumpukan kepada bidang yang diminati. Penumpuan dalam kegiatan-kegiatan ekonomi yang lain lebih penting, terutama bagi memperbaiki kehidupan mereka.
Dengan pesatnya penawaran berbagai-bagai bahan budaya popular Melayu moden, boleh dianggap mempengaruhi kedudukan tradisi rakyat yang tidak lagi berkembang dan menjadi popular. Bahan-bahan budaya popular yang dianggap lebih moden mempengaruhi keseluruhan kehidupan orang ramai. Citarasa budaya orang ramai telah berubah, terutama berikutan dengan proses modenisasi dan urbanisasi yang semakin pesat. Setiap orang tidak mahu ketinggalan dalam menghadapi atau mengalami gaya
hidup moden kini. Sesuatu yang baru dan moden itu mudah didapati dan sesuai dengan perubahan citarasa budaya orang ramai.
Berbagai-bagai usaha pernah dilakukan oleh mereka yang ingin mengekalkan tradisi bagi menghidupkan budaya rakyat Melayu untuk menyesuaikan dengan keperluan mengisi inspirasi budaya nasional. Tetapi jelas didapati, dorongan dan galakan yang dilakukan tidak membawa banyak kesan, terutama di kalangan orang-orang muda. Golongan muda tidak menunjukkan minat yang mendalam terhadap unsur-unsur budaya rakyat tradisi. Proses modenisasi dan urbanisasi membawa kesan-kesan langsung kepada kedudukan warisan budaya rakyat, yang semakin kepinggiran.
8.1 Sinopsis
Tajuk ini membincangkan secara khusus tajuk kebudayaan Melayu dengan memberi fokus terhadap perubatan, pakaian dan permaianan.
8.2 Hasil Pembelajaran
i. Membincangkan kebudayaan Melayu yang berkaitan perubatan, pakaian dan permaianan dengan masyarakat Melayu.
ii. Membincangkan perubatan, pakaian dan permaianan falsafah pemikiran masyarakat Melayu.