1 Perubahan Nilai Yang Merugikan Tamadun Melayu
Oleh
Mohd. Affandi Hassan
2 Kemunculan istilah “kesusasteraan” dan “sasterawan” menandakan berakhirnya tradisi persuratan yang kaya dalam tamadun Melayu. Malah istilah “persuratan” itu sendiri tidak disukai dan dimomokkan sebagai mencerminkan kemunduran, sedangkan “kesusasteraan” itu mencerminkan kemajuan, sifat progresif para “sasterawan”. Bagi Asas 50, usaha mereka yang pertama ialah menghapuskan tulisan Jawi, meskipun terdapat di antara mereka yang menjadi editor akhbar dan majalah yang bertulisan Jawi. Akhbar Warta (Bil. 58, bertarikh 6 April 1954) menggunakan tajuk berita yang besar dan panjang untuk menarik perhatian orang Melayu tentang matlamat sebenar Asas 50 dalam perjuangannya. Inilah tajuk berita itu: “Memorandum Asas 50: Sebabnya Pertubuhan Mereka Menyokong KGMS (Kesatuan Guru‑ guru Melayu Singapura) Mencadangkan Rumi Menjadi Tulisan Rasmi Melayu. Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan Agama Islam. Bahasa Melayu Tidak Perlukan Tulisan Jawi. Orang Turki Telah Menyingkirkan Tulisan Arab.” Menurut pandangan Asas 50, hanya dengan tulisan Rumi saja “kesusasteraan” Melayu baru dapat dimajukan. Pada ketika itu, pendirian Asas 50 amat mengejutkan orang Melayu, dengan itu akhbar Warta menyiarkan sepenuhnya Memorandum Asas 50 untuk diteliti oleh orang Melayu. Walaupun pendirian Asas 50 tentang bahasa Melayu dan tulisan Jawi itu karut, bertentangan dengan fakta sejarah perkembangan bahasa Melayu sendiri, namun dengan pendirian itu mereka telah membuktikan kebenaran kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al‑Attas dalam syarahan pengukuhannya di Universiti Kebangsaan Malaysia 1972 yang mengatakan, “Golongan pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’ dalam kesusasteraan Melayu‑Indonesia sebenarnya terdiri dari orang‑orang yang tiada benar‑benar mendalami kefahaman mengenai sifat‑sifat asasi kebudayaan Barat dan sifat‑sifat asasi kebudayaannya sendiri; orang‑orang yang dari segi kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada jelas, tiada mendalam. Penganut‑penganut golongan ini pun mereka yang terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar‑ benar menyerapi kebudayaan Barat itu, mahupun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai‑nilai kebudayaan yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai‑nilai yang dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”.
3 sasterawan diberi kedudukan istimewa, dengan itu tidak saja meminggirkan tulisan Jawi, tetapi juga meminggir dan mengetepikan persuratan Melayu yang telah berjasa besar dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu itu. Yang muncul dengan megah dan bergaya sekarang ialah para sasterawan dan karya mereka yang diberi sanjungan tinggi, walaupun pada hakikatnya mereka adalah dari kumpulan orang yang “keliru” seperti yang ditegaskan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al‑Attas dalam syarahan pengukuhannya. Adakah perubahan dari persuratan kepada kesusasteraan memberi keuntungan kepada orang Melayu?