Seminar Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) "PSH Memperkasakan Modal Insan Negara"
Oktober 2013 di Kuala Lumpur
PENDIDIKAN JARAK JAUH: Keperluan dan Cabaran dalam Sistem Pendidikan Negara
Dr. Mohamad Muzammil Mohamad Noor
Pusat Pengajian Pendidikan Jarak, Universiti Sains Malaysia muzammil@usm.my
Peluang bagi meningkatkan taraf kehidupan sentiasa ada kepada setiap manusia. Salah satu peluang itu adalah mencapai taraf pendidikan tinggi sekurang-kurangnya memperolehi sekeping ijazah. Mungkin selepas tamat pendidikan menengah, seseorang itu gagal mencapai standart yang diperlukan untuk melepaskan diri ke menara gading atau mungkin juga terdapat beberapa masalah lain yang mengekang peluang mereka terutama masalah kemiskinan atau penawaran kursus yang tidak diminati. Oleh itu, cara bagi mengatasi kemelutan kemiskinan misalnya, mereka akan mencari peluang pekerjaan terlebih dahulu. Setelah situasi kewangan agak kukuh dan peluang masih ada bagi mengejar ilmu, mereka berusaha memohon alternatif lain iaitu melalui pengajian luar kampus (PLK) atau lebih dikenali sebagai pengajian secara pendidikan jarak jauh (PJJ). Namun begitu, sekarang ini PJJ agak lebih sinonim sebagai pembelajaran sepanjang hayat (PSH). Dengan memperolehi ijazah dapat merubah kehidupan seseorang atau dengan kata lain meng-upgrade-kan taraf kehidupan setelah dinaikkan pangkat mahupun memperolehi pekerjaan lain yang setara dgn kelayakannya. Di Malaysia, institusi pengajian tinggi yang terkenal dan mempelopori pendidikan sedemikian rupa ialah di Pusat Pengajian Pendidikan Jarak, Universiti Sains Malaysia yang bermula sejak tahun 1971 lagi dengan dikenali sebagai PLK, USM. Selain di USM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Universiti Terbuka Waswasan (WOU) juga turut menyediakan peluang yang serupa seperti di USM tetapi menggunakan metodologi pembelajaran yang berbeza dan yuran yang berpatutan. Kertas kerja ini akan mengupas dan membincangkan keperluan program PJJ dalam sistem pendidikan bagi mencapai hasrat Negara untuk merealisasikan Wawasan 2020. Di samping itu juga akan menyentuh cabaran-cabaran khusus dalam melaksanakan sistem pembelajaran ini yang turut melihat dari aspek pelajar PJJ itu sendiri dalam mengharungi cabaran sebagai ‘pelajar dewasa’.