1
NILAI INSANI MONA FANDEY: SATU WACANA DARI PERSPEKTIF
LEGENDA URBAN
[MONA FANDEY'S HUMAN VALUES: A DISCOURSE FROM THE
PERSPECTIVE OF AN URBAN LEGEND]
1 NORASHIKIN HAMZAH
*1SHAIFUL BAHRI MD RADZI
1Pusat Penyelidikan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BAYU),
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. *Corresponding Author
ABSTRACT
The study trialled urban legend Mona Fandey. Mona Fandey was the main suspect in the brutal murder case over Batu Talam Assemblyman Datuk Mazlan Idris. The events that occurred around the 1990s are now re-listed on the website and blogging on the internet to form a phenomenon known as urban folklore as a result of technological advancements that make society now an IT savvy society. Mona’s clichity deceives her victims, murder atrocities, personalities and the use of black knowledge are among the things that are said in these sites and blogs. The research data is a website and blog on the internet that deals with Mona Fandey. The findings show that these faulted stories can be lifted as urban legends because the basis for legends is to lift the advantages of a figure or an overdrawn place in its narrative. In this narrative, the cluster that forms the folklore of the urban also deals with the human value of Mona Fandey. In pursuit of life's luxury, Mona Fandey is willing to perform inhumane actions that are willing to commit brutal and tragic murders once. The entitlement to the beliefs of bomoh services and tahyul things shows that educated human beings will also lose their judgment of the human values that are inherently present in every human instinct.
Keywords: Mona Fandey, Urban Folklore, Lore, Cyber, Human Values. ABSTRAK
Kajian ini membicarakan lagenda urban Mona Fandey. Mona Fandey merupakan suspek utama dalam kes pembunuhan kejam ke atas Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris. Peristiwa yang berlaku sekitar tahun 1990-an ini kini disensasikan semula dalam laman sesawang dan blog di internet sehingga membentuk suatu fenomena yang dikenali sebagai lagenda urban (urban folklore) akibat daripada kemajuan teknologi yang menjadikan masyarakat kini sebagai masyarakat celik IT. Kelicikan Mona memperdayakan mangsanya, kekejaman pembunuhan, personaliti diri dan penggunaan ilmu hitam adalah antara perkara yang diperkatakan dalam laman dan blog ini. Data kajian adalah laman sesawang dan blog di internet yang memperkatakan tentang Mona Fandey. Dapatan kajian memperlihatkan bahawa cerita-cerita yang diwacanakan ini dapat diangkat sebagai lagenda urban kerana asas kepada lagenda adalah mengangkat kelebihan tokoh ataupun tempat secara berlebih-lebihan dalam penceritaannya. Dalam penceritaan ini, kelompok yang membentuk folklor urban ini turut memperkatakan tentang nilai insani Mona Fandey. Dalam mengejar kemewahan hidup, Mona
2
Fandey sanggup melakukan tindakan yang tidak berperikemanusiaan sehingga sanggup melakukan pembunuhan kejam dan tragis sekali. Kenaifan terhadap kepercayaan khidmat bomoh dan benda-benda tahyul menunjukkan manusia yang berpelajaran juga akan hilang pertimbangan nilai insani yang sememangnya ada dalam setiap naluri seorang manusia.
Kata kunci:Mona Fandey. Legenda Urban. Tradisi, Siber, Insani.
PENDAHULUAN
Setiap manusia menginginkan laskar kehidupan yang indah dan sempurna. Ibarat pelangi yang bersinar penuh dengan seribu satu impian, begitulah harapan setiap insan yang bernyawa. Walaupun telah masing-masing telah meletakkan satu batasan dalam kawasan peribadinya, namun kebergantungan terhadap orang lain, atau dalam kata lain hidup bermasyarakat adalah suatu keperluan. Apatah lagi dalam dunia mutakhir ini, manusia yang sememangnya dianugerahkan dengan akal berpotensi untuk menggilap kemampuan dalam pelbagai cara bagi memperoleh sesuatu yang dianggap mustahil. Arus globalisasi memberikan satu peluang yang pastinya tidak akan dilepaskan oleh mereka-mereka yang mempunyai agenda tertentu untuk dilaksanakan. Mentaliti masyarakat sudah berbeza berbanding dahulu. Persaingan memaksa mereka membuat pilihan yang tepat bersesuaian dengan matlamatnya. Malahan, niat turut diselaraskan semula dan adakalanya niat tersebut sudah tersongsang dari tujuan sebenar. Segala-galanya kini diperlakukan atas kehendak hati bersandarkan kepada emosi dan nafsu. Tatkala itu, akal pun sudah hilang pertimbangannya. Aspek pahala dan dosa sudah dibuang jauh. Ketika itulah manusia diibaratkan seperti binatang kerana sudah hilang kewarasan diri.
Kira-kira 20 tahun yang lalu, Malaysia digemparkan dengan berita penemuan mayat seorang ahli politik negara, Datuk Mazlan Idris (Berita Harian, 23 Julai 1993). Kisah ini bertambah panas apabila mangsa ditemui dengan tubuh badan yang dikerat kepada 18 bahagian. Ini menunjukkan bahawa pelakunya telah kehilangan rasa kemanusiaan sehingga sanggup bertindak kejam ke manusia lain. Lanjutan dari itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Mona Fandey dan suaminya, Nor Affandey serta pembantu mereka, Juraimi Hussin telah ditahan dan dihukum atas kesalahan yang dilakukan oleh mereka. Kesensasian kisah ini secara tidak semena-mena telah membentuk sebuah kumpulan folklor yang mempunyai jaringan meluas ke serata negara, termasuklah Brunei, Singapura dan Indonesia. Sesuai dengan gaya urban masa kini, folklor bandaran adalah konsep paling mudah untuk dikenali. Dengan hanya menggunakan medium Internet, segala berita dan maklumat, sama ada yang terkini ataupun sebelumnya dengan mudah dapat diperoleh dalam masa yang singkat. Inilah yang menjadikan Mona Fandey diangkat sebagai lagenda urban disebabkan perbicaraan berkenaan kekejamannya yang tidak berperikemanusiaan.
FOLKLOR BANDARAN
Kemodenan mengubah gaya hidup manusia. Ia juga bergerak seiring dengan kemajuan akal fikir manusia, terutamanya dalam masyarakat Melayu seperti yang ditegaskan oleh Nisah Haron (2013: 7) iaitu “Kemajuan dan tahap pemikiran ini telah menjadi sesuatu yang ingin dicapai pada tahap luar kotak konvensional”. Namun begitu, semakin maju kehidupan, semakin terhakis tradisi terdahulu yang telah diperturunkan melalui nenek moyang mereka. Akibatnya, ada yang beranggapan bahawa
3
tradisi ini hanya layak terperosok di desa terpencil, bahkan diklasifikasikan sebagai mundur dan tidak relevan dalam rutin harian masyarakat kini. Namun begitu, secara tidak sedar masih terdapat tradisi tersebut yang dikekalkan malah semakin popular kerana sudah di naik taraf ke dalam bentuk yang lebih baru. Inilah yang dimaksudkan dengan tradisi lisan (oral tradition) atau lebih tepat lagi, folklor. Sejak sebelum zaman penjajahan British lagi, tradisi folklor ini sudah pun mula berkembang dengan meluas.
Masyarakat sastera diketahui terdiri daripada cerita-cerita berbentuk tulisan dan lisan. Cerita lisan yang diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi mewujudkan proses pinjam-meminjam dan saling mempengaruhi. Selain itu, pemupukan dan penambahan juga turut berlaku sepanjang proses transisi ini (Mohd. Taib Osman 1965). Tradisi ini berterusan waima dalam konteks folklor bandaran malah lebih hebat daripada itu. Ditambah dengan kewujudan komputer dan saluran Internet memberikan satu laluan pantas bagi penyaluran cerita-cerita lisan yang baru. Akses yang mudah kepada laman-laman sesawang memberi peluang untuk folklor sentiasa ‘berdampingan’ dalam kalangan penuturnya.
Tidak kira dalam konteks masyarakat atau budaya, folklor akan sentiasa berlangsung sepanjang zaman. Dan kini, transmisi folklor kepada bentuk maya mewujudkan satu lagi istilah baru, iaitu folklor bandaran (urban foolklore). Pelopor utama Dundes (1980) yang mengetengahkan bidang folklor bandaran menegaskan bahawa “folk” adalah terdiri daripada sekurang-kurangnya dua individu. Walaupun tidak saling mengenali, namun mereka masih mengamalkan dan berkongsi satu faktor penghubung yang sama. Ia boleh dibentuk berdasarkan pekerjaan, bahasa, minat mahupun agama. Ciri sepunya inilah, iaitu tradisi yang diamalkan secara bersama yang membentuk kumpulan tersebut.
Pengukuhan bidang ilmu folklor bandaran bukan sahaja mendapat persaingan di Barat, malah Malaysia juga tidak terkecuali. Amin Sweeney telah meragui dan menolak kewujudan folklor moden
ini. Petikan kenyataan beliau diperlihatkan seperti berikut: “Folklore” is equally unsatisfactory terms
for the orally produced materials with which we are concerned, particurlarly since the recent efforts of Dundes (Dundes and Pagter, 1975), which have convincingly demostrated that the compass of folklore need not be confined to orally transmitted materials. This has, however, removed one of the few criteria upon which folklorist were able to reach some consensus in defining their field. Dundes’s contention that his ‘urban paperwork’ written materials are folklore, that is, traditional, insofar as they “exist in multiple versions and in more than one time or place.”
Sweeney amat menekankan “kemurnian” dan “keaslian” data dalam pengekalan masyarakat yang berdasarkan kelisanan tulen (orally transmitted materials). Namun demikian, pendapat Sweeney ini sudah tidak relevan melihat kepada keadaan konteks masyarakat kini. Revolusi Industri di Barat pada akhir abad ke-19 merupakan titik tolak kepada proses mentransformasikan kawasan desa menjadi kawasan yang besar dan berperanan penting dalam semua aktiviti. Justeru, masyarakat Malaysia sudah pun celik huruf apatah lagi dengan perkembangan teknologi masa kini memudahkan penyaluran maklumat di edar dalam sekelip mata, serta sudah pasti tradisi folklor turut bergerak seiring dengan teknologi canggih tersebut.
Kekangan masa merupakan salah satu faktor yang menjadikan pelbagai aplikasi terkini dimuat turun melalui telefon pintar (smart phone). Melalui cara ini, mereka yang berminat dengan sesuatu cerita sama ada yang berkaitan gosip artis, berita politik, ataupun segala isu-isu semasa lain tidak akan ketinggalan kerana boleh mengikutinya pada bila-bila masa yang dikehendaki mereka. Secara tidak langsung, situasi ini telah membentuk satu kumpulan folklor bandaran di alam maya dan Maslin Jukin
4
(2004: 126) turut bersetuju dengan mengatakan: “Pengguna secara sedar atau tidak menggunakan kecanggihan dan kemudahan ini mentransmisikan tradisi lisan...Asalkan cerita atau bahan tradisi lisan itu pendek dan menjimatkan masa untuk ditaip dan penerimanya juga nanti tidak akan merasa bosan.” Selanjur dengan itu, Shaiful Bahri Md. Radzi (2003) turut mempunyai pandangan yang hampir serupa berkenaan kaitan antara kecanggihan telefon bimbit dan folklor bandaran: “Maklumat SMS (Short Message Service) yang tidak dapat ditentukan penciptanya itu wujud dan tersebar berulang kali apabila penerima selalunya akan menyebarkan pula kepada orang lain (kenalan) untuk dikongsi bersama. Kriteria ini menepati salah satu ciri seperti yang ditegaskan oleh Dundes sebagai “multiple existence.” Keadaan ini jelas sekali menunjukkan bahawa proses penciptaan dan kumpulan (folk) itu wujud (dalam konteks ini kumpulan masyarakat bandaran). Maklumat SMS ini pula sebagai satu bentuk tradisi (lore) yang dikongsi bersama itu amat diminati...” Bersandarkan kepada pandangan-pandangan di atas, jelaslah bahawa perkembangan teknologi membantu kelestarian folklor, atau lebih mesra kini dengan istilah folklor bandaran. Bertuntas dari itu, perbezaan zaman juga dilihat tidak menghalang penyebaran folklor tentang kekejaman Mona Fandey ke atas mangsa-mangsanya yang menjadi korban akibat ketamakan dan kepentingan dirinya sendiri. Persaingan adakalanya memaksa manusia membuat pilihan yang bertentangan dengan lumrah kehidupan sehinggakan sampai ke satu tahap rasa kemanusiaan sudah terhapus dalam diri. Isu inilah yang menjadi tatapan dan bualan kumpulan folk bandaran sehingga ke hari ini.
LEGENDA URBAN MONA FANDEY
Bercerita adalah sifat hakiki seorang manusia. Bermula dari sekecil-kecil kuman sehinggalah sebesar-besar alam kesemuanya dapat dijadikan topik penceritaan antara dua individu atau lebih. Walau bagaimanapun, suatu topik yang nyata lebih mendapat perhatian kerana pemikiran masyarakat kini lebih berpijak di alam realiti. Bukan menidakkan sentuhan magis atau khayalan itu turut mendapat tempat di hati folk, tetapi tatkala perbicaraan itu menyentuh berkenaan seseorang, ianya lebih memberi keterujaan. Sehubungan itu, apabila ketokohan seseorang individu acap kali diperbesar-besarkan, makanya secara tidak langsung telah menjadikannya seorang lagenda. Dalam konteks perbincangan ini, Mona Fandey telah diangkat sebagai seorang lagenda Malaysia.
Secara amnya, lagenda adalah sebuah cerita yang benar bersandarkan kepada unsur sejarah. Tokoh lagenda tempatan, iaitu Mohd. Khalid Taib (1991: 261) memberikan satu definisi yang dianggap bersesuaian dengan rantau Nusantara: “Lagenda adalah sebuah pernyataan yang selalunya bercorak cerita; berlatarkan masa atau sejarah yang masih boleh diingati oleh mayarakat berkenaan; yang mungkin menghubungkan pengalaman masa lampau dengan yang kekinian. Lagenda dipercayai benar oleh penyampainya dan oleh mereka yang menerima penyampaian cerita itu, terutama sekali apabila wujudnya tanda-tanda di muka bumi yang seolah-olah mensahihkan sesuatu cerita lagenda.” “Kekinian” dalam pernyataan di atas memberi satu dimensi baru dalam subgenre lagenda. Sokongan daripada Internet yang amat penting dewasa ini telah membolehkan penceritaan kisah Mona Fandey dianggap sebagai lagenda urban (urban legend). Walaupun sudah lebih 20 tahun kisah tragik ini berlaku, namun ianya kembali menitip dalam ruang maya oleh generasi terkini yang sememangnya celik IT. Pelbagai sumbang saran dikongsikan bersama tidak kira positif atau negatif komentar yang dilontarkan ke atas Mona Fandey. Secara tidak langsung, cerita-cerita sedemikian telah meletakkannya sebagai lagenda urban kerana lagenda adalah bertujuan mengangkat sesuatu yang dianggap hebat dalam lingkungan kawasan yang luas (Norashikin Hamzah 2014: 30).
5
Justeru itu, Jan Harold Brunvand (1981: xi) mentakrifkan lagenda urban itu sebagai:
“...stories the most people heard as true accounts of real-life experiences...refer to these believable stories...as “urban belief tales” or simply, “urban legends”...Urban legends...are realistic stories concerning recent events (or alleged events) with an ironic or supernatural twist...told and believed by some of the most sophisticated “folk” of the modern society-young people, urbanites, and the well educated.”
Bersandarkan kepada kenyataan Brunvand ini, kata “urban” sudah pun mencerminkan kehidupan warga kota yang dikelilingi dengan kepesatan teknologi. Walaupun begitu, mereka adalah kumpulan folk yang sofistikated namun masih mempercayai akan kewujudan lagenda kerana peristiwa yang berlaku adalah sesuatu yang realistik. Oleh itu, folk sememangnya tidak lagi merujuk kepada masyarakat yang mundur dan tidak bertamadun. Pemikiran seperti ini seharusnya diubah selari dengan era globalisasi dan perkembangan ketamadunan manusia.
Ledakan berita pembunuhan Adun Batu Talam yang ditemui dalam keadaan menyayat hati telah menjadikan Mona Fandey kembali popular. “Come back” yang dilakukan oleh Mona Fandey ternyata hebat. Bukan kerana menghasilkan album baru, tetapi menjadi dalang utama dalam kes bunuh dan kerat 18 ke atas mayat Datuk Mazlan Idris. Maznah Ismail atau lebih dikenali sebagai Mona Fandey dilahirkan pada 24 Oktober 1956. Sekitar tahun 1980-an, Mona Fandey yang menceburi bidang nyanyian telah merakamkan sebuah single berjudul “Ratapan Anak” dan pernah tercalon dalam carta Muzik-Muzik. Kekejaman yang dilakukannya adalah suatu tindakan di luar batas norma seorang manusia. Bertuntas daripada itulah, Mona Fandey dapat dikategorikan sebagai lagenda urban alaf baru.
PENGANIAYAAN DEMI KEPENTINGAN DIRI
Wang adalah unsur utama dalam kelangsungan hidup. Kaya atau miskin seseorang dalam konteks keduniaan sekarang diukur pada jumlah harta yang dimiliki. Bagi yang berkedudukan mewah, puji-pujian dan taraf hierarki dalam masyarakat akan berada di tangga teratas dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, tidak hairanlah jika manusia berlumba-lumba untuk memperoleh dan mengumpul seberapa banyak kekayaan selagi masih bernyawa. Namun, adakalanya tidak semua rancangan yang disusun dan hajat hati bergerak dengan lancar. Apabila perancangan tidak mengikut pelan asal, lantas jalan paling mudah untuk diambil adalah dengan melaksanakan sesuatu yang melanggar nilai kemanusiaan. Inilah yang berlaku terhadap pembunuhan tragik oleh Mona Fandey yang berjaya menjentik hati warga Malaysia dulu dan kini.
Kekecohan kisah hitam ini bermula sewaktu penemuan mayat Adun tersebut ditemui dengan kesan anggota badan dikerat kepada 18 bahagian. Laporan penemuan mayat beliau disiarkan seperti petikan akhbar di bawah:
RAUB. Khamis- Pembunuhan Datuk Mohd Mazlan Idris disifatkan sebagai terlalu kejam berikutan setiap sendi dipotong hingga putus manakala sebahagiannya pula dilapah.
Adalah difahamkan kepala Mazlan ditetak dua kali dari bawah dagunya sehingga putus menampakkan otak dan bahagian lain dipotong setiap sendi kecuali lengan kirinya yang tidak dipisahkan daripada siku dan pergelangan tangan.
Kedua-dua belah pehanya pula dilapah dagingnya sehingga tinggal tulang manakala perutnya dipotong tanpa mengeluarkan isi perutnya.
6
Menurut sumber ketika jenazah Mazlan dibawa ke hospital daerah Raub kira-kira 10 pagi, semua anggotanya yang sudah kecut bercampur aduk dengan tanah.
Semua anggota badan beliau kemudian disusun mengikut kedudukan asalnya dan dimandikan sebelum dikebumikan.
(Berita Harian 1993, 23 Julai) Menurut laporan akhbar tersebut, keadaan mangsa ketika ditemui amat mengerikan. Ianya adalah sesuatu yang mengejutkan dan di luar kotak pemikiran untuk menemui seorang tokoh pimpinan rakyat dalam keadaan sadis sedemikian. Berikutan penemuan tersebut, seluruh negara memberikan tumpuan luar biasa ke atas lanjutan kes ini. Pelbagai spekulasi dan andaian mula digembar-gemburkan sehingga Mona Fandey dilihat sebagai subjek yang sangat hebat ketika itu. Ia adalah suatu perlakuan jenayah yang amat dahsyat malah dapat dianggap sebagai pemula kepada “tradisi” jenayah kejam masa kini di Malaysia.
Di saat nafsu mulai mendahului akal dan ilmu, lalu hilanglah nilai kemanusiaan sesama insan. Ketika ini segala yang haram menjadi halal apabila diri sendiri meletakkan hukum Tuhan dengan sewenang-wenangnya. Penganiayaan demi penganiayaan dilakukan ke atas individu lain demi kepentingan diri sedangkan Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Al-Hijr ayat ke-88, “Rendahkan lah sayap mu terhadap sesama kaum mukminin.” Sesungguhnya kehidupan di dunia ini menuntut setiap manusia saling berkasih-kasihan dan saling berbelas kasihan demi kesejahteraan hidup. Namun demikian, kerakusan Mona Fandey untuk mendapatkan kemewahan dan kesenangan hidup sehingga sanggup melakukan pembunuhan kejam adalah satu tindakan yang melampaui batasan kemanusiaan. Kehebatan Mona Fandey dalam jenayah kejamnya diperlihatkan melalui serangkap pantun berikut:
“Tersebutlah kisah si Mona Fendi, Seorang bomoh kejam tidak terperi, Berbakat juga dalam bidang nyanyian, Menetak, mengerat dan melapah menjadi hobi.”
Sumber: jalanpulang1978.blogspot.com
Pantun ini dicipta oleh kumpulan folk yang mengikuti perkembangan kes pembunuhan tersebut. Tanpa perlu banyak berselindung di sebalik bait-bait kata, pantun ini secara literalnya mengecam perlakuan Mona Fandey yang tidak berhati perut. Sindiran ditujukan seolah-olah kerja menetak, mengerat dan melapah adalah suatu hobi kepada lagenda urban ini. Statusnya sebagai bekas artis telah digunakan dengan sebaiknya untuk memperdaya golongan-golongan kaya dan berpengaruh. Penyamaran sebagai bomoh handalan memudahkan lagi perancangan Mona Fandey untuk mengambil kesempatan ke atas golongan yang sememangnya taksub kepada amalan ilmu khurafat sebegini.
Demi mengekalkan status kemasyhurannya dalam parti UMNO, Datuk Mazlan Idris sanggup menggunakan taktik licik dan menggadaikan akidahnya dengan mengamalkan perkara-perkara syirik ini. Mona Fandey pula menganggap peluang yang datang ini sebagai satu lubuk emas buatnya dan perencanaan dibuat sebaik mungkin. Lama-kelamaan jerat sudah pun mengena tetapi disebabkan bimbang temberangnya pecah dan menggugat hidupnya, nyawa Mazlan menjadi galang ganti. Walaupun Mazlan mempunyai latar pendidikan yang bukan calang-calang dan berjawatan tinggi,
7
namun beliau masih jua menjadi mangsa penipuan Mona Fandey. Nilai kemanusiaan yang memudar inilah yang mengangkat Mona Fandey sebagai ikon lagenda urban dalam dunia siber.
HILANGNYA NILAI KEMANUSIAAN MONA FANDEY
Kehidupan masyarakat Melayu tidak lagi konservatif seperti dahulu. Namun demikian, pengamal perubatan tradisional seperti Pawang dan Bomoh masih lagi mendapat sambutan pada masa kini, malah perkhidmatan ini tidak akan pernah pupus. Ia kerana kaedah perubatannya mempunyai jaluran kuat dengan alam sekeliling, tidak kira yang tampak mahupun tidak. Pandangan dari Winstedt (1982: 7) berkenaan perubatan Melayu dipetik seperti berikut:
“Although the Malay has long been an orthodox Muslim, still in every hamlet there is a Pawang or magician, repository of immemorial supersititions and older faiths...In some parts of the Malay Archipelago initiated priest or magicians has for his province the cure of the sick and the care of rice-fields and house-building...In Malaya too, one may search large collections of ordinary incantations in vain for references to Father Sky and Mother Earth and for prayers to ancestors.”
Menurut Winstedt, Pawang dan ahli magis masih kekal kewujudannya walaupun masyarakat Melayu Islam sudah lama meninggalkan pemikiran mereka yang ortodoks. Kini, ianya berbeza apabila amalan khidmat sebegini digunakan bagi tujuan yang bertentangan dengan akidah. Oleh sebab itu juga, ada golongan-golongan yang berniat jahat menggunakan pendekatan sebagai bomoh bagi tujuan menipu wang ribuan ringgit mangsa-mangsanya, tidak terkecuali Mona Fandey.
Bantuan dari kuasa-kuasa supernatural, yakni jin dan syaitan sememangnya mengundang pelbagai masalah kepada manusia yang lemah imannya. Akad yang dimeterai antara manusia dan makhluk-makhluk ini merupakan suatu penyesatan untuk mendapatkan segala keinginan dengan membelakangkan dosa dan pahala. Satu persatu kemungkaran dilakukan asalkan diri terlepas daripada hukuman. Sama halnya dengan kaedah pembunuhan yang dilakukan oleh Mona Fandey ke atas Mazlan Idris. Kekejamannya mengarah pembunuhan dan pengeratan mayat mangsa mendapat komentar-komentar seperti berikut:
(A1) : “saya tetak leher Dato Mazlan dengan kapak sebanyak tiga kali baru kepalanya putus selepas mendapat isyarat tangan daripada Affandi.”
Sender: IdaSyuhada Sent: 27-01-2012 (A2): “Juraimi mengerat, menyelesaikan segalanya dalam masa setengah jam SAHAJA.”
Sender: IdaSyuhada Sent: 27-01-2012
Ida Syuhada yang mengemukakan komentar dalam (A1) dan (A2) menunjukkan kerakusan seorang manusia yang bertindak seperti seekor binatang. Tanpa ada belas kasihan, mangsa di kapak sebanyak tiga kali oleh Juraimi selepas mendapat isyarat daripada Affandi. Tugas mengerat anggota badan yang lain kepada 18 bahagian selesai dalam masa setengah jam. Walaupun Juraimi mendakwa tindakannya
8
itu di luar kawalan akibat dipukau dan dirinya ialah kambing hitam, tetapi bukti dan keterangan lain menunjukkan sebaliknya.
Masa yang singkat untuk mengerat-ngerat mayat dilakukan dengan pantas supaya segala jejak jenayah mereka dapat disembunyikan. Berkemungkinan ini bukanlah kali pertama rancangan pembunuhan dilakukan mereka oleh kerana semuanya dilakukan dengan mudah tanpa sebarang keraguan mahupun rasa panik. Pemisahan jasad Datuk Mazlan Idris dapat dilihat seperti foto di bawah:
Foto 1: Ceraian Jasad Datuk Mazlan Idris
Foto 1 yang dilakarkan semula oleh pihak pendakwa jelas menggambarkan bahawa nilai kemanusiaan telah hilang dari jiwa seorang manusia. Tetakan dan pemisahan pertama dilakukan bermula dari bahagian kepala dan leher. Kepala mangsa kemudiannya dibelah dua. Kedua-dua tangan diceraikan pada paras ketiak. Tangan di sebelah kanan dikerat pula kepada dua bahagian lagi, iaitu siku dan pergelangan tangan, manakala bahagian tangan kiri dipisahkan pada bahagian siku. Kedua-dua kaki dipotong kepada tiga bahagian, iaitu peha, lutut dan pergelangan kaki.
Sesungguhnya amat kejam melihat kepada ceraian jasad ini kerana tidak layak pelakunya digelar sebagai manusia. Tindakan kejam yang tidak berperikemanusiaan ini umpama seekor harimau melapah mangsanya. Motif mayat dikerat-kerat kepada bahagian-bahagian kecil adalah bagi memudahkan penghapusan bukti. Sejurus setiap anggota badan dipisahkan, bahagian-bahagian tersebut dimasukkan ke dalam lubang stor dan kemudiannya disimen. Melalui kaedah itu, pereputan mayat menjadi lebih cepat malah tiada bau busuk dapat dihidu dan menimbulkan kecurigaan kepada para penduduk yang berdekatan. Sememangnya perkara ini telah dirancang oleh Mona Fandey dan suaminya lebih awal. Tambah menyayat hati, terdapat beberapa bahagian organ dalamannya dikhabarkan telah hilang. Hal ini disebut dalam komentar di bawah:
(A3): “Nak tahu tak? Ala malula nak cerita, Tapi cerita jugak la eh, Buah zakar Allahyarham didapati hilang. Macam mana boleh hilang? entah. *Ala malula nak cerita.kahkah. Dr yang telah melakukan bedah siasat ke atas Allahyarham mengatakan bahagian betis kedua-dua kiri dan kanan serta otot-otot lengan kanan Allahyarham hilang, lapisan dinding lemak pada abdomen pon hilang, hati, pundi hempedu, buah pinggang dan usus dalam proses pembusukan. Badan Allahyarham telah ditetak kepada 18 bahagian iaitu bahagian kepala yang telah dipisahkan daripada leher. Bahagian badan tercerai daripada kedua-dua tangan pada bahagian ketiak, serta kedua-dua kaki tercerai pada pangkal peha. Bahagian tangan kanan terpisah kepada tiga bahagian iaitu pergelangan tangan dan siku sementara tangan kiri pula terpisah kepada dua bahagian. Kaki kiri dan kanan jasad terputus kepada
9
tiga bahagian iaitu pada peha, lutut dan buku lali. Ada yang cakap bahagian yang hilang tu dimakan oleh mereka.”
Sender: IdaSyuhada Sent: 27-01-2012 Blooger dalam komentar (A3) menceritakan kepada kumpulan folk lain bahawa buah zakar mangsa didapati telah hilang. Malahan, organ-organ dalaman yang lain seperti hati, pundi, hempedu, buah pinggang dan usus di dalam proses pembusukan. Dipercayai anggota sulit itu dimakan oleh pasangan ini, berkemungkinan sebagai salah satu amalan pengamalan ilmu hitam. Sudahlah badan mangsa dikerat-kerat umpama memotong seekor ayam, organ dalaman pula sebahagiannya disimpan di dalam botol dan dimakan. Tindakan Mona Fandey dan pasangannya serta pembantu mereka adalah perbuatan yang tarafnya lebih rendah dari binatang. Ia adalah sesuatu perlakuan yang tidak mungkin dapat dimaafkan.
Kezaliman yang dilakukan oleh Mona Fandey tidak terhenti setakat membunuh Adun terbabit. Tanpa diberikan penghormatan terakhir yang sepatutnya seorang Muslim dikebumikan dengan mengikut tatacara Islam, dengan sewenangnya tubuh badan yang telah dikerat dicampakkan ke dalam lubang. Disebabkan itu juga, ada komentar-komentar yang dilontarkan memberi idea yang lebih ekstrem mengenai pembunuhan ini. Antaranya seperti berikut:
(A4): “yg herankan kenapa tanam mayat tu, klu dibakar sure ssh nak jumpa bukti...kan...kan...x trpikir kot?”
Sender: Az Az Sent: 14-01-2010; 12:07 (B1): “serammm...kes jenayah yang terawal tp skg da ramai ikut cr Mona Fandey bunuh potong2 ni.” Sender: aina fesyen Sent: 20-05-2011; 9:03AM Az Az (A4) secara bersahaja merendahkan tahap pemikiran Mona Fandey. Seharusnya mayat tersebut bukannya ditanam tetapi dibakar supaya bukti pendakwaan terhadap jenayah itu tidak akan dapat ditemui. Tanpa mayat, tiada kes untuk dibicarakan. Komentar dari aina fesyen (B1) kemudiannya merumuskan bahawa kejadian tragik ini merupakan titik tolak kepada jenayah-jenayah kejam lain yang berlaku kini. Ia membuktikan bahawa manusia semakin hari semakin hilang rasa kemanusiaan mereka. Apa sahaja sanggup dilakukan agar segalanya mendatangkan keuntungan kepada diri mereka sendiri.
Lebih memeranjatkan, terdapat desas-desus yang mengatakan bahawa Mona Fandey suatu ketika dulu pernah mengadakan kenduri dan menjamu tetamunya dengan hidangan daging yang amat enak. Komentarnya seperti di bawah:
(B2): “tapi si mona siap simen lagik tu...siap buat kenduri makan2 daging...ekeke. Dia punya upacara kot”
10
Sender: aquawavel Sent: 22-05-2011; 11:28AM Aquawavel (B2) mengatakan Mona Fandey menghidangkan lauk daging kepada tetamunya. Rata-rata mereka menyatakan keenakan masakan daging tersebut. Sangkaan awalnya, ia adalah daging lembut tetapi apabila mengetahui daging tersebut adalah daging manusia yang telah dilapah, kesemua mereka telah memuntahkan kembali makanan tersebut. Selain daripada bertujuan menghilangkan bukti dan mayat, Mona Fandey tanpa rasa belas kasihan sanggup memasak daging manusia tersebut dan memberi makan kepada penduduk sekitar. Amat jijik perbuatan yang telah dilakukannya ini. Di samping itu juga, aquawavel menganggap perbuatan sedemikian adalah sebagai salah satu daripada upacara korban Mona Fandey. Penyembahan korban adalah salah satu daripada amalan masyarakat animisme yang dikenali sebagai pagan. Winstedt (1982: 86) dalam penulisannya ada
membicarakan berkenaan hal ini: “A type of sacrificial offering that clearly had no particular
significance before the coming of Islam is the offering pork and spiritious liquor...In the foundation of a new house, the Indonesian Dayak, untouched by Muslim influence, placed formerly a slave-girl and more recently a fowl to be crushed to death, and he sprinkled the pillars with the victim’s blood.”
Daripada kenyataan ini, mereka percaya untuk mengelak dari berlakunya sebarang kecelakaan dan mendapat keberkatan dalam hidup, upacara penyembahan sesuatu harus dijalankan kepada satu kuasa ghaib. Selain daripada menggunakan binatang sebagai korban, terdapat juga puak yang mengorbankan anak gadis kerana dianggap lebih suci. Namun kedatangan Islam telah memberi satu pencerahan terhadap maksud korban. Melihat kepada perbincangan ini, ternyata tindakan Mona Fandey adalah tindakan masyarakat primitif yang seolah-olah tiada pegangan agama. Tambahan pula jenayah tersebut sangat meruntun jiwa dan dilaknat oleh Allah S.W.T.
KESIMPULAN
Tahap sedar (awareness) pada keadaan sekeliling harus diperkuatkan dalam kalangan anggota masyarakat. Dewasa ini, segala isu waima sebesar zarah sekalipun mampu menjadi racun berbisa yang mampu menggugat keharmonian perpaduan rakyat dan negara. Oleh itu, pertalian antara
hablumminAllah bukan sahaja harus dipelihara malah dalam masa yang sama perhubungan sesama
manusia (hablumminannas) perlu diseimbangkan. Apatah lagi dengan kemajuan dunia yang
berkembang dengan pantas menjadikan manusia semakin alpa dengan tanggungjawab sebenar mereka di dunia ini sehinggalah berlakunya perkara-perkara yang melanggar batas kemanusiaan. Salah satunya adalah kes tragik pembunuhan Adun Batu Talam, Datuk Mazlan Idris.
Ibarat pepatah “harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama”. Perumpamaan ini amat bersesuaian dalam konteks perbincangan berkenaan kedudukan nilai kemanusiaan Mona Fandey. Populariti yang diidami selama ini akhirnya tercapai. Popular sebagai seorang pembunuh kejam di Malaysia. Ledakan teknologi masa kini memudahkan generasi terkini mengungkap kembali perihal kemanusiaan Mona Fandey terhadap mangsanya yang dikerat 18 bahagian. Sumbang saran yang rata-ratanya memperlihatkan kekejaman Mona Fandey sejak 20 tahun yang lepas masih diingati sehinggakan dirinya dapat diangkat sebagai lagenda urban pada hari ini.
11 RUJUKAN 40 produk terbaik. (2012). Majalah PC. Bil. 192 (12): 13-17.
Brunvand, Jan Harold. (1981). The vanishing hitchhiker: American urban legends and their meanings. New York: W.W. Norton.
Dk. Masni Pg. Haji Damit. (1993). Komputer: canggih untuk manusia. Beriga. Bil. 41 (Okt-Dis): 64- 78.
Donovan, Pamela. (2002). Crime legends in a new medium: fact, fiction and loss of authority. SAGE Publications. Vol. 6 (2): 189-215.
Dundes, Alan. And Pagter, Carl R. (eds.). (1975). Urban folklore from the paperwork empire. Austin, Texas: American Folklore Society.
Dundes, Alan. (1980). Interpreting folklore. Bloomington: Indiana University Press.
Halmi Samad, Hamid Salleh, Zainuddin Isa dan Abdullah Abu Bakar. (1993). Cita-cita Mazlan tidak tercapai. Berita Harian. 2 Ogos.
Maslin bin Jukin. (2004). Transmisi tradisi lisan (folklor) dalam era mel-elektronik: satu tinjauan ringkas. Pangsura. Jil. 10 (19): 124-130.
Mittleman, J.H. (edt.). (1996). Globalization: critical reflection. London: Lynne Reiner Publisher. Mohd. Khalid Taib. (1991). Legenda-legenda nama tempat dan orang terkenal di Semenanjung
Malaysia. Dlm. Mohd. Taib Osman (pngr.). Pengkajian sastera bercorak cerita. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd Shauki Abdul Majid. (2006). Wacana ketamadunan dalam masyarakat Islam Hadhari. Kuala Lumpur: iBook Publications Sdn. Bhd.
Mohd. Taib Osman. (1981). Mengenalkan kesusasteraan rakyat. Dlm. Jamilah Haji Ahmad. (pnyt.). Kumpulan esei sastera Melayu lama. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Taib Osman. (1989). Malay folk beliefs: an integration of disparate elements. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nisah Haron. (2013). Fiksyen sains dalam cerita-cerita lipur lara. Tesis Sarjana. Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Norashikin Hamzah. (2014). Mona Fandey: lagenda urban di Malaysia. Tesis Sarjana. Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Remaja dikerat sebelum dibakar. (2011). Utusan. 5 Julai.
Saodi Mat Atar, Khalid Amin, Halmi Samad, Zabidi Hitam, Nadzim Ahmad Jamlludin, Fazli Arman, Fazli Abdullah, Ismail Mat, SM Yusof dan Sabaruddin Ghani. (1993). Mayat Mazlan ditemui. Berita Harian, 23 Julai.
Setiap sendi dipotong. (1993). Berita Harian. 23 Julai.
Shaiful Bahri Md. Radzi. (2003). Genre cerita jenaka: suatu perbandingan folkor. Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Bandingan ASEAN, Universiti Brunei Darussalam. 17-19 Oktober.
Sweeney, Amin. (1987). A full hearing: Orality and literacy in the Malay world. Berkeley: University of California Press.
T. A. Lathief Rousydiy. (1987). Qurban dan ‘Akikah menurut sunnah Rasulullah S.A.W. Medan: Penerbit Rimbow.
12
Winstedt, R. O. (1951). The Malay magician: being shaman, saiva and sufi. London: Routledge and Kegan Paul.
dyapunyabelog.blogspot.com http://www.tv3.com.my/index.php
www.carigold.com/portal/forums/archieve/index.php?t-233917.html www.janbrunvand.com/about.html