• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERJUANGAN MELAYU DALAM MENJULANG PERADABAN BANGSA DAN AGAMA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "PERJUANGAN MELAYU DALAM MENJULANG PERADABAN BANGSA DAN AGAMA"

Copied!
18
0
0

Teks penuh

(1)

PERJUANGAN MELAYU DALAM

MENJULANG PERADABAN BANGSA DAN

AGAMA

Muhammad Fauzi Asmuni

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Abstrak

Kertas kerja ini ditulis untuk menjawab persoalan apakah yang telah dilakukan oleh orang Melayu sepanjang sejarah mereka di dalam mempertahankan jati diri dan agama Islam. Kajian dilakukan terhadap beberapa sumber dan analisa sejarawan terhadap sumber tersebut di dalam hal yang berkait dengan perjuangan bangsa Melayu. Topik-topik yang disentuh untuk tujuan kajian adalah berkenaan pengenalan siapakah Melayu, usaha mereka menyebarkan ajaran Islam ke seluruh nusantara, usaha mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebagai identiti Islam orang Melayu, usaha mereka untuk menjadi bangsa yang mampu menjadi sumber khazanah ilmu Islam, usaha menggubal undang-undang sebagai satu usaha pengukuhan sistem Islam di dalam masyarakat Melayu, usaha mengukuhkan Islam melalui kesenian dan semangat jihad menentang penjajahan. Hasil kajian merumuskan bahawa bangsa Melayu sepanjang sejarahnya adalah bangsa yang mempunyai agenda dan begitu kuat mempertahankan Islam melalui pendekatan dan kaedah yang pelbagai dan meluas. Usaha yang dilakukan oleh generasi silam telah menganugerahkan orang Melayu sifat keislamannya yang tidak mungkin akan berubah.

Katakunci: melayu, peradaban, bangsa, jawi,

Article Progress Received: 12 Jan 2020 Revised: 1 June 2020 Accepted: 15 July 2020 *Corresponding Author: Muhammad Fauzi Asmuni Timbalan Presiden, Ikatan Muslimin Malaysia email: (mfauzi71@gmail.com)

(2)

DEFINISI MELAYU

Perkataan ‘Melayu’ telah melalui satu evolusi yang panjang sejak dari zaman Kesultanan Melayu Melaka. Apabila kita melihat karya Melayu tradisonal seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Petani, Peringatan Sejarah Negeri Johor, Hikayat Abdullah, Kesah Pelayaran Abdullah dan Tuhfatul Nafis kita akan dapati ‘Melayu’ ditakrifkan dengan takrifan yang pelbagai. ‘Melayu’ sebagai satu kumpulan etnik pula muncul di dalam tulisan Melayu tradisional selepas kurun ke 19.1

Melayu tradisional itu mempunyai sifat-sifat yang tersendiri. Mereka adalah satu kaum yang mesra dengan alam semula jadi. Mereka duduk di sepanjang Selat Melaka dan persisiran pantai serta mendirikan pelabuhan-pelabuhan kecil yang kemudiannya menjadi besar. Mereka adalah bangsa dagang.2 Di dalam catatan sejarah China, orang Melayu dikenali sebagai bangsa yang sopan, bijak di dalam ilmu falak dan mempunyai peradaban yang tinggi.3 Kesemua ini kemudiannya membawa kepada penyempurnaan pembentukan identiti ‘Melayu’.

Faktor migrasi dan penjajahan kemudiannya telah membawa kepada satu pentakrifan yang lebih khusus kepada ‘Melayu’. Takrif ini dilihat lebih luas dan lebih merangkumi di mana asal usul, budaya dan agama dihimpunkan sebagai komponen di dalam pengenalan identiti Melayu. Ini kemudiannya menjadi asas kepada Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di dalam mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang bergama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur di dalam bahasa Melayu.

“Sa-sa’orang itu hendaklah di-sifatkan menjadi sa-orang Melayu jika dia menganot Agama Islam, dia beradat resam sechara Melayu, menjadi tabi’at-nya bercakap bahasa Melayu, …”4

1 Dr Virginia Matheson, Concepts of Malay Ethos in Indigenous Malay Writings di dalam Journal of Southeast sian Studies Vol X Number 2, 1979

2 Untuk pembacaan lanjut mengenai perdagangan di Alam Melayu sila rujuk Nordin Hussin, Trade and Society In The Straits of Melaka: Dutch Melaka and English Penang 1780-1830, NUS Press, Singapore, 2007

3 Sila rujuk untuk maklumat lanjut Liang Liji, Hubungan Melaka dan Dinasti Ming, Penerbit UKM, Bangi, 2010

4 Ini adalah cadangan Memorandum Perikatan kepada Suruhanjaya Perlembagaan Reid yang telah dikemukakan semasa penggubalan Perlembagaan 1957. Dokumen boleh dilihat di Penyata Tahunan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaya (1955-1956), nombor penerimaan 2007/0011230, Jabatan Arkib Negara.

(3)

Dengan takrif yang terkini itu, kita melihat ‘Melayu’ telah digunakan sebagai rujukan kepada satu kumpulan etnik yang mengamalkan adat-adat tertentu, bertutur dengan bahasa yang dikenali sekarang sebagai bahasa Melayu dan menganut agama Islam. Pentakrifan ini diiihat sebagai memberi penegasan kepada komponen penting yang membentuk identiti Melayu, dan di antara yang terpentingnya adalah Islam yang akan menjadi topik perbincangan kita di dalam kertas kerja ini.

Melayu – Islam: Selamanya Tidak Terpisah

Melayu sebagai kaum tidak akan dapat dipisahkan dari Islam. Kedua-duanya sudah sebati bagaikan satu jiwa. Sebagaimana Arab dan Turki dikenali sebagai bangsa Islam, begitulah juga Melayu. Ini dari satu sudut adalah pencapaian terbesar yang berjaya dicapai oleh kaum Melayu tetapi mungkin tidak oleh sebahagian kaum lain yang juga mempunyai sejarah yang hebat di dalam perjuangan Islam di zaman silam. Kuatnya Islam di dalam jiwa Melayu menjadikan proses kristianisasi menemui kegagalannya di dunia Melayu ketika era penjajahan. Frank Sweetenham berkata:

“Christian missionaries of all denominations have apprently abandoned the hope of converting them.”5

Melayu tradisional sering dikaitkan dengan pengaruh agama Hindu. Sehinggakan ketika datang Islam pun, pengaruh ini dikatakan masih wujud. Sejarawan Belanda, Van Leur menyangkal pandangan itu. Beliau lebih cenderung untuk mengatakan bahawa agama Hindu hanya dianuti oleh golongan bangsawan demi mengukuhkan kedudukan mereka tanpa mereka faham dengan mendalam falsafah agama tersebut. Pandangan ini seterusnya disokong oleh Syed Muhammad Naguib Al-Attas dan menambah bahawa kedatangan agama Hindu tidak merubah pandangan hidup masyarakat Melayu-Indonesia.6

Kedatangan Islam di alam Melayu telah berlaku seawal abad ketujuh dan lapan masihi. Beberapa batu nisan individu seperti batu nisan Syeikh Abdul Qadir Syah Alirah di Tanjung Nengih, Langgar, Kedah bertarikh 290 atau 291 hijrah bersamaan 904 masihi boleh djadikan bukti bahawa Islam sudah sampai ke

Rujuk juga sebagai perbandingan The Federation of Malaya Independence Order in Council – 1957, nombor penerimaan 2006/0011274, Jabatan Arkib Negara.

5 Mohamad Abu Bakar di dalam artikel Tanah Melayu Abad ke 19: Pengislaman Penjajahan dan Pemupukan Manhaj Melayu di dalam Islam di Tanah Melayu, Karisma Publication, Shah Alam, 2007, hlm 6

6 Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Penerbit UKM, Kuala Lumpur, 1972, hlm. 12-17

(4)

daerah ini seawal itu. Selain itu dijumpai juga batu nisan Fatimah binti Maimun ibn Hibatullah di Leran, Jawa Timur bertarikh 503 hijrah bersamaan 1082 masihi untuk mengukuhkan lagi pandangan ini. Kemudian pengislaman Raja Srindravarman, Raja Srivijaya pada tahun 718 masihi di Jambi juga membuktikan awalnya pendakwah Islam tiba di alam Melayu.7 Teori yang lebih kuat berkenaan kedatangan Islam ke nusantara ini adalah ianya dibawa oleh pendakwah Arab berbanding teori Islam datang dari China atau India. Dengan itu kita melihat Melayu dari segi bahasa, tulisan dan budayanya lebih dipengaruhi oleh Arab daripada dipengaruhi oleh kebudayaan China atau India. Dari pengislaman beberapa individu, ini membawa kepada penubuhan kerajaan-kerajaan Islam Melayu di nusantara. Di antara yang besar adalah Kerajaan Melaka, Kerajaan Pattani, Kerajaan Johor – Riau, Kerajaan Acheh, Kerajaan Demak, Kerajaan Sulu dan Kerajaan Makasar.8 Ia adalah satu topik kajian yang menarik untuk dikembangkan kerana pembinaan kerajaan-kerajaan Islam bukanlah satu usaha yang mudah. Ia melambangkan dalamnya falsafah Islam masuk ke dalam jiwa Melayu selain menyerlahkan kekuatan dan kekentalan jiwa Melayu.

Kedatangan Islam sememangnya telah membaik dan menyempurna falsafah hidup dan pemikiran orang Melayu. Amat padan Islam itu dengan susuk tubuh Melayu. Kaum Melayu amat menghargai ajaran Islam dan berpegang dengannya. Lalu, di sepanjang lipatan sejarah kita dapati banyak usaha yang dilakukan oleh kaum Melayu untuk mengukuhkan kedudukan Islam di dalam nusantara. Walau pun sejarah juga melihat kewujudan orang Melayu yang jahat, tetapi ia sama sekali tidak boleh memadamkan catatan sejarah tentang usaha murni yang telah dilakukan oleh sebahagian yang baik. Sikap sebahagian kita yang suka memperbesarkan satu atau dua kelakuan orang-orang Melayu yang jahat ini adakalanya boleh mengaburi pandangan mata dari melihat kebaikan yang ada pada kaum Melayu. Mungkin itulah nasib yang menimpa imej Melayu sekarang. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Kerana nila setitik, susu sebelanga dibuang orang.

7 Rogayah A. Hamid dan Wahyunah Abd Ghani, Pandangan Semesta Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Ampang, 2005, hlm. 11-15.

Rujuk juga Yahaya Abu Bakar di dalam kertas kerjanya bertajuk Kemasukan Islam ke Melaka dan Penyebarannya di dalam Journal Sejarah Melaka, bil 7, Penerbit Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Melaka, 1982.

Rujuk juga Mohd. Jamil Mukmin, Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Melaka, 2004, hlm. 27-41.

8 Rujuk untuk lanjutan Syed Zulflida S.M. Nor, Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka: Kemunculan dan Kegemilangan, Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur, 2006

(5)

Demi mengukuhkan Islam di dalam diri orang-orang Melayu, satu usaha yang panjang dan konsisten telah dilakukan. Ia meliputi usaha menyebarkan ajaran Islam yang murni ke seluruh nusantara. Juga usaha mengukuhkan bahasa Melayu dan tulisan Jawi sebagai identiti Islam orang Melayu. Ia juga meliputi usaha memahami ilmu-ilmu Islam dan menyebarkannya di dalam masyarakat Melayu. Selain itu penggubalan undang-undang juga boleh dilihat sebagai satu usaha pengukuhan sistem Islam di dalam masyarakat Melayu. Orang Melayu juga dilihat telah menggunakan sepenuhnya kebolehan mereka di dalam seni untuk mengukuhkan Islam. Penjajahan yang menimpa masyarakat Melayu telah disambut dengan semangat jihad.

ORANG MELAYU SEBAGAI PENDAKWAH ISLAM

Kelihatannya orang Melayu tidak mahu ketinggalan di belakang bangsa Arab yang membawa Islam kepada mereka. Menempatkan diri sebagai pendakwah Islam; mungkin itulah yang difikirkan oleh nenek moyang kita dahulu apabila mereka memahami Islam. Usaha-usaha penyebaran dakwah Islam demi mengukuhkan kedudukan Islam di nusantara telah dilakukan dengan sungguh-sungguh. Jika pun ditakdirkan tidak ada catatan sejarah yang mencatatkannya, pengislaman yang berlaku kepada bumi Melayu adalah bukti yang sudah cukup utuh. Tiada yang akan menyangkalnya kecuali orang yang berniat jahat terhadap Melayu Islam itu.

Sebagai contoh yang mampu dikongsikan di sini, penyebaran Islam di Selangor berlaku setelah beberapa daerah di Selangor seperti Kelang, Jeram, Langat, Jugra, Permatang dan Kuala Selangor tunduk di bawah pengaruh kesultanan Melaka. Penyebaran Islam di Johor berlaku di zaman Sultan Mansur Syah dan menjadi lebih kukuh setelah Sultan Mahmud membentuk kerajaan Melayu Johor. Islam tiba di Kedah lebih awal dari Melaka tetapi penyebarannya semakin rancak berlaku ketka ia duduk di bawah jajahan takluk Kesultanan Melayu Melaka. Begitulah juga penyebaran Islam di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Daerah Pattani yang telah menubuhkan kerajaan Islam pada pertengahan kurun ke 15 merancakkan lagi usaha pengislaman penduduk Melayu di daerah bekas tapak jajahan Empayar Langkasuka. Selain itu usaha dakwah juga diihat telah dilakukan oleh orang Melayu untuk menyebar dan mengukuhkan Islam keluar dari daerah Tanah Melayu. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Sultan Mansur Syah telah menghantar muballigh-muballigh Islam ke sepanjang Sungai Kampar. Minangkabau menjadi kerajaan Islam secara beransur-ansur hasil dari pengaruh Melaka dan Acheh. Wujud kemudiannya kerajaan Islam di Palembang dan hanya suku Batak sahaja yang tidak menganut agama Islam. Menurut RA Kern, Jawa telah

(6)

diislamkan oleh Melaka melalui hubungan dagang dengan pelabuhan utara Jawa terutamanya di Tuban dan Gerisek. Kukuhnya kerajaan Islam Jawa telah menyebabkan jatuhnya kerajaan Hindu Majapahit. Selepas itu pula muncul kerajaan Islam Demak. Ini kemudiannya membuka laluan dakwah di beberapa daerah jajahan Majapahit seperti di Banjarmasin. Muballigh dari Melaka dan Sumatera telah ke Maluku dan mengislamkan penduduk Makasar dan Bugis pada tahun 1505. Selain Maluku, Islam juga tersebar di Tidore, Gilolo dan Bacan. Seorang tokoh bernama Raden Rahmat telah mengislamkan daerah Ampel dan Surabaya. Manakala pada tahun 1518 pula, Raden Patah telah menyebarkan Islam di beberapa kepulauan Jawa yang agak pendalaman. Muballigh-muballigh Islam dari Melaka juga telah menyebarkan Islam di Filipina. Seorang pendakwah bernama Abu Bakar telah tiba di Sulu pada tahun 1450. Beliau telah membina masjid-masjid. Usahanya telah disambung oleh orang tempatan untuk mengukuhkan lagi Islam di sana. Dari kerajaan Sulu, Islam disebarkan ke Mindanao. Penyebarannya semakin pesat apabila Muhammad Kabungsuwan berjaya mendirikan kerajaan Islam di sana. Bahkan dakwah Islam telah sampai ke Manila dan telah didirikan kerajaan Islam di sana. Tetapi ia tidak bertahan lama apabila Kesultanan Manila di bawah Sultan Sulaiman telah jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1571.

Kerajaan Brunei telah diislamkan di antara tahun 1514-1521. Raja Brunei yang pertama memeluk Islam adalah Awang Alak Betatar dari suku Bisaya Limbang. Beliau memeluk Islam di Johor. Apabila Islam semakin kuat di Brunei pada kurun ke 17 di bawah pemerintahan Sultan Bolkiah, beberapa kerajaan di pantai barat Borneo telah memeluk Islam. Di antaranya adalah Kutai, Sukadana, Kota Waringin, Mata, Mampwa dan Pontianak. 9

Dari catatan di atas dapat dibayangkan betapa gigihnya bangsa Melayu menyebarkan dakwah Islam sekali gus menempatkan mereka di dalam kelompok muballigh Islam. Usaha itu tidak hanya berlaku di zaman kesultanan Melaka, bahkan ia berterusan selepas kejatuhannya dengan lebih rancak. Kelahiran pondok-pondok pengajian, penulisan ilmu-ilmu Islam dan lahirnya beberapa budaya seperti marhaban dan berzanji boleh dilihat sebagai kesinambungan usaha dakwah ini.

9 Mohd. Jamil Mukmn, Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Melaka, 2004, hlm. 78-120

(7)

BAHASA MELAYU SEBAGAI JATI DIRI KAUM MELAYU

Bahasa jiwa bangsa; begitulah ungkapan yang biasa disebut oleh pejuang bahasa. Ungkapan yang benar kerana sememangnya antara ciri utama yang menentukan identiti seorang Melayu adalah bahasanya. Pupusnya sesuatu bangsa bermula antara lain dengan hapusnya bahasa. Itu boleh dilihat apabila kita melihat generasi baru di Malaysia dari keturunan Jawa, Banjar, Bugis, Mendeleng dan lain-lain yang semakin cair ‘nilai kaum’nya apabila generasi demi generasi tidak berjaya mewarisi bahasa ibunda mereka yang asal.

Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Melayu samada akan bertutur menggunakan bahasa Sanskrit atau bahasa Jawa Kuno atau bahasa Melayu Kuno. Kedatangan pendakwah Islam dari Tanah Arab telah dengan sengaja memilih bahasa Melayu untuk dijadikan sebagai bahasa bagi umat Islam di rantau ini. Penolakan bahasa Jawa Kuno dan Sanskrit kemungkinan kerana kedua-dua bahasa ini digunakan dengan meluas untuk kegunaan agama Hindu-Buddha. Manakala sifat bahasa Melayu yang bukan bahasa estetik bagi mana-mana agama lebih asli untuk dikembangkan.

Seperti apa yang berlaku kepada bahasa Urdu, begitulah juga bahasa Melayu ini berkembang sebagai ciri orang-orang Islam di rantau Melayu. Berlaku penambahan perkataan bahasa Arab dan Farsi di dalam bahasa Melayu. Berlaku juga perubahan aliran bahasa dari bahasa Melayu Kuno yang digunakan di zaman Melaka kepada bahasa Melayu aliran Barus yang dipelopori oleh Hamzah Fansuri. Bahasa Melayu aliran baru ini kemudiannya terus menjadi bahasa pengantar umar Islam ke seluruh kepulauan Melayu-Indonesia pada abad ke 16.10

Kekuatan bahasa Melayu yang dibina oleh orang-orang Melayu silam terbukti apabila Indonesia yang merdeka tidak mengisytiharkan bahasa Jawa sebagai bahasa rasmi negara, sebaliknya bahasa Melayu-Indonesia dari aliran baru itu telah dipilih. Seterusnya bahasa Melayu aliran baru itu terus menerus berkembang sehingga benar-benar mampu untuk menjadi bahasa ilmiah dan menjadi ciri Islam kepada umat Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, GAPENA, Universiti Kebangsaan Malaysia (sekadar menyebut beberapa nama) serta banyak lagi badan dan individu lain telah mempergiatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu ke arah menjadi bahasa ilmu. Satu kebanggaan bagi kita umat Melayu apabila bahasa Melayu ini terbukti berjaya mencapai tahap itu. Lalu di atas nama kebenaran dan keinsafan setelah meneliti

10 Syed Muhammad Naguib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Penerbit UKM, Kuala Lumpur, 1972, hlm. 12-17

(8)

pencapaian bahasa Melayu, apakah sebenarnya hujah mereka yang lebih mengagungkan bahasa lain lalu berasa rendah diri dengan bahasa warisan ini? Bahasa Melayu menjadi ciri dan penyatu umat Islam di rantau ini. Seumpama India yang mempunyai puluhan bahasa, Urdu sebagai penyatu kepada umat Islam di sana, maka begitulah bahasa Melayu di rantau Melayu. Muncul sebagai kaum yang mempunyai bahasanya yang tersendiri sebagai warisan dari ulamak-ulamak Islam di zaman silam, tidak cukupkah ini sebagai kebanggaan bagi orang Melayu?

TULISAN JAWI

Sehubungan dengan itu, orang-orang Melayu juga telah dengan sengaja memilih untuk mengambil huruf-huruf Arab sebagai abjad dan tulisan bagi bahasa Melayu. Batu Bersurat Acheh yang ditemui bertarikh 1380 M ditulis dengan menggunakan huruf Pallawa sebagai salah satu tulisan orang Melayu silam.

Kreativiti dan usaha yang teliti telah dilakukan oleh pejuang Melayu silam untuk merekacipta lima huruf tambahan dari abjad Arab itu untuk membunyikan lima bunyi yang ada pada lidah orang Melayu dan tidak ada pada lidah orang Arab. Lima bunyi itu adalah cha, nga, pa, ga dan nya.11 Walau pun tidak dapat

dipastikan dengan tepat apakah kaedah yang digunakan untuk mencipta huruf-huruf tambahan tersebut, tetapi ia secara tidak langsung menunjukkan kesungguhan mereka untuk menjadikan huruf Arab sebagai huruf-huruf bagi bahasa Melayu.

Usaha itu berjaya apabila kita lihat penulisan orang-orang Melayu seterusnya telah menggunakan tulisan yang kemudiannya digelar tulisan Jawi. Tulisan Jawi berjaya menggantikan tulisan Melayu silam seperti Pallawa, Kavya, Lampung, Pasemah, Rencong dan lain-lain. Di antara ciri yang menjadikannya diterima dan berkembang adalah kerana ia lebih mudah dari tulisan-tulisan kaum Melayu sebelumnya.12

Kedua-dua bahasa Melayu dan tulisan Jawi ini kemudiannya menjadi ciri orang Melayu dan merapatkan orang Melayu dengan ciri-ciri Islam. Ia juga menjadikan orang Melayu lidahnya lembut untuk membaca al-Quran dan memiliki potensi untuk fasih di dalam bahasa Arab.

11 Ibid hlm. 41

12 Rogayah A. Hamid dan Wahyunah Abd Ghani, Pandangan Semesta Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Ampang, 2005, hlm. 15

(9)

BERLADUNGAN ILMU ISLAM DI DADA KAUM MELAYU

Orang-orang Melayu silam tidak mengambil masa yang lama untuk mereka memahami kewajipan menunaikan haji. Setelah memeluk Islam, bermulalah hubungan keagamaan di antara alam Melayu dan bumi Hijaz. Sesiapa yang kembali menunaikan haji akan digelar ‘haji’ sebagai lambang keagamaan. Ini kemungkinan berpunca daripada satu budaya lain yang wujud di setiap kali menunaikan haji, iaitu budaya mengambil ilmu dari ulamak-ulamak Hijaz di musim-musim haji. Mereka yang pulang dari bumi Hijaz akan kembali memainkan peranan sebagai tok guru atau faqih.

Rapatnya orang Melayu dengan bumi Arab boleh dilihat di dalam catatan Tome Pires apabila beliau menceritakan berkenaan pemergian Sultan Alaudin Riayat Shah (1477-1488) ke Mekah. Begitu juga disebut di dalam Hikayat Hang Tuah bahawa Hang Tuah mengerjakan haji dan menziarahi makam Nabi Muhammad s.a.w., perkuburan Baqi’ dan menziarahi medan peperangan Uhud. Selain itu dicatatkan juga persinggahan Hang Tuah ke Mesir selama tiga bulan. Mesir menjadi satu lagi tempat penting orang-orang Melayu mendapatkan ilmu-ilmu Islam. Bahkan disebut di dalam sejarah oleh C.R. Boxer bahawa masyarakat Acheh sudah aktif berdagang di Mesir sejak kurun ke 17. Orang-orang Melayu mula beramai-ramai belajar di Mesir pada sekitar 1920an manakala orang Melayu pertama yang dicatatkan menuntut ilmu di al-Azhar adalah Syeikh Wan Ahmad al-Fatani.

Dari bumi Hijaz ini lahir ulamak-ulamak nusantara seperti Hamzah Fansuri, seorang ulamak Sumatera pada hujung kurun ke 16. Begitu juga Abdul Rauf Singkeli, seorang ulamak Acheh yang menjejakkan kaki ke Mekah pada tahun 1643. Beliau menuntut ilmu Islam di sana selama 19 tahun. Disamping itu terkenal juga di Mekah seorang ulamak Melayu bernama Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Mustafa al-Fatani yang muncul pada akhir kurun ke 19. Salah seorang anak muridnya adalah Tuan Tabal (1819-1891), seorang ulamak negeri Kelantan. Tok Kenali juga adalah anak murid beliau. Syeikh Wan Ahmad telah menulis sebanyak 160 buah buku merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti perubatan, sains, sejarah dan politik. Kealimannya diiktiraf oleh Sultan Abdul Hamid, Khalifah Othmaniah di zaman itu.

Sebagai meneruskan usaha menyebarkan ilmu-ilmu Islam, ulamak-ulamak Melayu ini telah mendirikan pondok-pondok pengajian. Di sinilah munculnya nama-nama ulamak yang masyhur di dalam alam Melayu seperti Haji Wan Ali bin Abdul Rahman Khutan (1837-1912) dan Haji Yaakob Haji Abdul Halim. Pondok pertama dibina adalah pondok Pulau Condong pada tahun 1820 oleh Haji Abdul Samad Abdullah. Pada hujung kurun ke 19, didirikan pondok di

(10)

Masjid al-Muhammadi dan pada awal kurun ke 20, pengajian di pondok ini disambung oleh Haji Muhammad Yusof bin Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali. Salah seorng anak murid Tok Kenali adalah Syeikh Idris al-Marbawi yang kemudiannya menyambung pelajaran di Mesir dan mengajar di masjid setaraf dengan ulamak lain di Masjidil Haram.

Selain Kelantan, beberapa madrasah didirikan juga sebelah pantai barat. Madrasah Masriyah dibuka pada tahun 1906 di Pulau Pinang. Madrasah al-Iqbal al-Islamiah dibuka pada tahun 1908. Madrasah Idrisiah didirikan pada tahun 1926 di Kuala Kangsar. Mudir pertamanya adalah Haji Muhammad Salleh dari Kelantan. 13

Dengan ramainya ulamak dan banyaknya pondok dan madrasah yang didirikan, bertambah jugalah hasil karya penulisan ilmu-ilmu Islam di alam Melayu oleh ulamak-ulamak Melayu. Di antaranya adalah Syeikh Nuruddin al-Raniri yang menulis kitab Sirat al-Mustaqim pada abad ke 17 (pada tahun 1628 atau 1634),

Hidayat al-Habib fi al-Targhib wa al-Tarhib (1635), Durrat al-Faraid fi syarh al-Aqaid (1635). Beliau menulis samada 27 atau 29 buah buku. Selain itu Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari telah menulis Sabil al-Muhtadin Lil Tafaquh bi Amr Din (1780). Seorang ulamak Terengganu bernama Syeikh Abdul Malik Abdullah (1650-1750) atau lebih dikenali dengan Datuk Pulau Manis telah menulis kitab Hikam Melayu dan beberapa kitab yang lain. Manakala seorang lagi ulamak Terengganu iaitu Syed Muhammad Zainal Abidin al-Idrusi (1795-1878) atau yang lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar telah menulis kitab

Sullam al-Tawfiq dan Mukhtasar Fiqh.

Pada abad ke 19 pula Pattani telah menjadi pusat pengajian Islam dan menghasilkan banyak penulisan dalam ilmu Islam. Syeikh Daud Pattani misalnya telah menulis sebanyak 84 buah kitab dalam bidang tauhid, tasawuf, perundangan, fadail dan sejarah Rasulullah s.a.w. Di antara kitab karangan beliau yang mungkin dikenali ramai adalah Munyat al-Musalli. 14

Sebenarnya manuskrip penulisan ulamak-ulamak nusantara tidak semuanya sampai kepada generasi hari ini. Perbalahan di antara golongan wujudiah di Acheh telah menyebabkan banyak karya dibakar di zaman Sultan Iskandar al-Thani. Pada tahun 1824 pula, 300 manuskrip Melayu yang dikumpulkan oeh

13 Md. Sidin Ahmad Ishak dan Mohammad Redzuan Othman, The Malays In The Middle East, University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 2000, hlm. 7-46

14 Abdul Kadir Haji Muhammad, Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1996, hlm. 22-64

(11)

Raffles telah terbakar sewaktu dalam perjalanan ke England. Pada tahun 1922 pula hampir 1/3 dari manuskrip Melayu yang dikumpulkan Wilkinson telah terbakar hasil serangan tentera Turki ke atas bandar Smyrna. Setelah kemusnahan yang banyak itu, yang tinggal hanyalah 5% sahaja, dan 5% itu berjumlah 10,000 naskhah. Paling banyak ianya tersimpan sekarang ini di Laiden, London, Oxford dan Cambridge. Selain itu ada juga yang tersimpan di Amerika, Austria, Belgium, Brunei, Denmark, Mesir, Indonesia, Itali, German, Perancis, Russia, Singapura, Sri Lanka, Switzerland dan Thailand. Di Malaysia tersimpan sejumlah 498 naskhah manuskrip. Daripada semua yang masih tinggal itu, hampir separuh daripadanya adalah kitab-kitab agama.15

Semua fakta sejarah yang dikongsikan di sini untuk menunjukkan kepada hadirin betapa bersungguhnya kaum Melayu dahulu di dalam meneguhkan Islam di dalam masyarakat Melayu. Bukan sedikit usaha yang dilakukan untuk memahami agama dan bukan sikit juga usaha yang dilakukan untuk menjadi perladungan ilmu Islam.

PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG SEBAGAI SISTEM HIDUP

“Kemudian daripada itu menyurat dia surat ini pada hijrah al-Nabi salla’llahu’alaihi wa sallam seribu enam puluh enam tahun pada tahun Dzal pada empat hari bulan Jamadi’l-awal pada waktu duha mengarang hokum undang-undang ini dalam pelayaran jong-jongan segala yang menaruh jong. Maka, kumulai perkataan ini supaya segala hamba Allah terpelihara dengan karunia Tuhan Malik al-Jabbar. Insya-Allah Ta’ala supaya sentosa kepada pekerjaan dalam pelayaran supaya jangan bersalahan dan jangan bebal membinasakan adat dalam pelayaran, supaya selamat pekerjaan di laut dan di darat, supaya selamat segala hamba Allah Ta’ala dalam dunia dan dalam akhirat dan supaya jangan soal bantah di laut dan di darat, jangan bersalahan pada kata dan perbuatan dengan segala handai taulannya, dengan segala sahabatnya yang ada bersama dengan dia dan supaya jangan meniriskan darah segala rakannya yang bersama-sama selamanya dengan di nazirnya.” 16

Demikianlah bunyinya mukadimah Undang-undang Laut Melaka.

Satu lagi unsur yang menjadi pelengkap kepada penubuhan negara mengikut ukuran masyarakat Melayu silam adalah adanya ruang hukum di dalam negeri.17

15 Mahayudin Haji Yahaya, Karya Klasik Melayu-Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2000, hlm. 24-28

16 Liaw Yock Fang, Karya Agung: Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur, 2003 hlm. 89

17 Wan Hashim Wan Teh dan Daniel Perret, Di Sekitar Konsep Negeri, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur, 1999, hlm. 16.

(12)

Dengan itu kita melihat, Melaka dan negeri-negeri Melayu lain sudah pun memiliki undang-undang adatnya yang tersendiri yang diwarisi secara turun temurun. Undang-undang adat ini tidak bertulis dan terdedah kepada tokok tambah dan campur aduk dengan pelbagai pengaruh yang datang dari luar. Islam mengajar orang Melayu untuk berfikir secara sistematik. Apabila orang Melayu terfikir untuk menggubal undang-undang bertulis, maka itu adalah petanda perubahan cara fikir orang Melayu pada ketika itu.

Undang-undang Melaka18 mula diasaskan di Melaka pada zaman Muhammad Shah (1422-1444). Beberapa tambahan dibuat terhadap isi naskhah di zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1445-1458). Di zaman Sultan Mahmud Syah, dikarang Undang-undang Melaka. Walau pun sebahagian pengkaji menganggap bahawa Undang-undang Melaka tidak memiliki ciri-ciri undang-undang moden Barat, tetapi sebahagian pengkaji Barat telah menggunakan istilah ‘code’ dan ‘digest’ merujuk kepada Undang-undang Melaka. Raffles dan Maxwell misalnya menggunakan istilah ‘Malacca Code’ dan ‘The Maritime Code of The Malays’.19

Undang-undang ini selain dari fungsinya menjatuhkan hukuman, ia juga menggambarkan kebijaksanaan dan pandangan jauh pemimpin Melayu. Undang-undang Laut Melaka misalnya adalah hasil mesyuarat lima orang bijak pandai Melayu iaitu Patih Harun, Patih Elias, Nakhoda Zainal, Nakhoda Buri dan Nakhoda Ishak. Hasil mesyuarat telah dibawa ke Bendahara Seri Maharaja lalu dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Shah. Sultan kemudiannya memberi keizinan kepada perlaksanaan undang-undang tersebut.20 Undang-undang Melaka pula dikatakan dikarang oleh Kadi Sadar Jahan, seorang ulamak dari Jeddah.21

Penulisan undang-undang tersebut juga adalah petanda ketamadunan kerajaan Melayu Melaka. Ini kerana masyarakat Melayu silam hanya terbiasa dengan adat yang kemudiannya bertukar menjadi peraturan lisan. Penulisan undang-undang adalah perkara baru yang dimulakan di zaman kesultanan Melaka. Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka kemudiannya membuka kepada penggubalan undang-undang lain di Tanah Melayu. Undang-undang Kedah, Undang-Undang-undang Pahang, Undang-Undang-undang Patani, Undang-

18 Sila lihat Liaw Yock Fang, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur, 2003.

19 Jelani Harun, Undang-undang Kesultanan Melayu Dalam Perbandingan, Penerbit USM, Pulau Pinang, 2008, hlm. 25-30.

20 Ibid, hlm 112-113 21 Ibid, hlm. 28

(13)

undang Johor dan Hukum Kanun Brunei adalah gubahan daripada Undang-undang Melaka.22

Sebahagian dari undang yang digubal itu masih dikuasai oleh undang-undang adat. Tetapi apa yang jelas adalah terdapat usaha yang sungguh-sungguh dilakukan oleh ulamak-ulamak Islam dan pemerintah ketika itu untuk memartabatkan undang-undang Islam sebagai panduan hidup manusia.

KARYA SENI

Bangsa Melayu terkenal dengan kehalusan jiwanya. Kehalusan ini diwarisi hasil dari persekitaran orang Melayu yang menjadikannya dekat dengan alam. Di dalam mempertahankan jati diri orang Melayu dan agama Islam, kita dapati orang Melayu menggunakan karya seni sebagai medium untuk mengajak masyarakat ke arah itu.

Kita melihat penulisan Sejarah Melayu sebagai contohnya. Sejarah Melayu adalah sebuah karya sejarah yang ditulis oleh Tun Seri Lanang pada tahun 1612 masihi. Ia berkisar berkenaan kesultanan Melayu Melaka. Beliau telah menulisnya atas arahan dari istana satu kurun selepas kejatuhan Melaka. Terdapat banyak naskhah Sejarah Melayu yang dijumpai di merata-rata tempat. Terdapat 11 naskhah Sejarah Melayu di United Kingdom, 12 naskhah di Belanda, lima di Indonesia dan sebuah di Russia. Kemungkinan besar salah satu sebab ianya ditulis adalah agar kehebatan kesultanan Melayu itu terus diingati oleh generasi akan datang.23 Banyaknya naskhah itu menunjukkan kisah-kisah itu memang berlegar di dalam masyarakat Melayu di zaman itu. Kisah-kisah di dalam Sejarah Melayu dikutip dari tradisi lisan yang mana ceritanya dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi.24 Kemungkinan cerita-ceritanya sudah berlegar di dalam masyarakat Melayu satu atau dua kurun sebelum ianya dikumpul dan ditulis. Begitulah juga halnya dengan Hikayat Hang Tuah, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat Merong Mahawangsa dan banyak lagi karya-karya seni tradisional lain yang menceritakan kisah-kisah kepahlawanan Melayu untuk diingati oleh generasi seterusnya.

22 Liaw Yock Fang, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur, 2003, hlm. Vii.

23 Zahrah Ibrahim, Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1986, hlm. 323-326

24 Thilagarathi Vasudevan, Form Criticism and The Sejarah Melayu, History Department of University of Hull, Hull, 1998, hlm 118

(14)

Di kurun ke 19 pula kita melihat mereka menggunakan syair untuk meneguhkan jati diri dan semangat perjuangan. Sebagai contohnya Syair Dagang Berjual Beli, Syair Potong Gaji dan Syair Tenku Perabu. Ketiga-tiganya menceritakan tentang penderitaan orang-orang Melayu di Singapura ketika Singapura dijajah. Ketika itu orang Melayu menjadi bangsa minoriti, kurang dari seperempat penduduk Singapura sedangkan sebelum kedatangan British hampir keseluruhan penduduk Singapura adalah orang Melayu. Dilaksanakan undang-undang Inggeris dan dibawa masuk penduduk dari luar untuk menetap dan merebut perniagaan di Singapura. Orang Melayu dan Bugis terpaksa bersaing dengan mereka dan persaingan itu amat memeritkan dan menyedihkan. Semua ini diceritakan di dalam ketiga-tiga syair tersebut untuk memberi kesedaran kepada bangsa Melayu.25

Syair di dalam masyarakat Melayu silam akan dibaca dan dilagukan di dalam majlis-majlis khas. Ia akan dimulai dengan sembahyang Maghrib dan makan bersama-sama. Kaum wanita akan duduk di bahagian belakang rumah. Majlis akan dimulai dengan bismillah dan Fatihah kemudian disusuli dengan bacaan syair. Di celah-celah itu, pembaca syair akan mengulas dan memberikan nasihat. Kadang-kadang akan ada soal jawab dan dialog di antara beliau dengan hadirin. Majlis juga akan berehat dengan sekali lagi jamuan ringan dihidangkan. Ia biasanya akan berakhir pada lewat malam.26

Dari sini kita memahami bagaimana kreatifnya orang Melayu di dalam menyampaikan mesej ketika itu. Kemampuan untuk mengumpulkan orang ramai untuk berkumpul bukan hanya dapat dicapai di masjid atau di kelas-kelas pengajian ilmu. Tetapi sebaiknya di dalam keraian dan hiburan juga demikian ianya berlaku. Kemungkinan berzanji yang dilagukan adalah salah satu tarikan untuk mengumpulkan orang ramai demi mendengar peringatan-peringatan.

JIHAD ORANG MELAYU

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa kejatuhan Melaka sebenarnya disambut oleh seruan jihad oleh kaum Melayu ketika itu. Sepanjang 130 tahun Portugis menjajah Melaka, mereka tidak pernah berasa aman kerana banyaknya serangan dari luar yang menyerang mereka. Sultan Mahmud telah mengumpulkan pahlawan Melayu untuk menyerang Portugis sebanyak lima kali sehingga 1528.

25 Ketiga-tiga syair ini telah dikumpul dan diselenggarakan oleh Muhammad Haji Salleh di dalam Syair Tantangan Singapura, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994.

26 Adat ini masih diamalkan di Kampung Pulau Jambu, Kabupaten, Kampar, Riau, Indonesia. Lihat Rogayah A. Hamid dan Wahyunah Abd Ghani, Pandangan Semesta Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Ampang, 2005, hlm. 325-328

(15)

Ia kemudian diteruskan oleh anaknya dari kesultanan Melayu Islam Johor. Terdapat juga serangan dari orang-orang Jawa yang tinggal di Melaka. Kemudian serangan dari Demak. Serangan yang besar seterusnya dilakukan oleh Kesultanan Acheh berkali-kali. Satu gambar lakaran orang Eropah tentang satu peperangan Acheh-Portugis menunjukkan betapa banyaknya kapal perang Acheh yang datang ke Melaka untuk tujuan pembebasan Melaka dari Portugis. Acheh ketika itu di bawah pimpinan Sultan Iskandar Muda (1607-1623) seorang pemimpin Islam yang berjiwa besar. Beliau berjaya mengambil kembali Terengganu, Pahang, Perak dan Kedah pada tahun 1619.27

Manakala pada kurun ke 19 pula berlaku siri jihad terhadap Inggeris yang menjajah Tanah Melayu ketika itu. Sebagai contohnya Sultan Ahmad Tajudin dan Tunku Mohamad Saad dari Kedah telah berperang dengan Siam pada 1829-1839. Kita juga melihat siri-siri perang Naning di mana Dol Said telah melawan perjanjian British-Belanda 1824 lalu berperang pada tahun 1831-32. Di Perak, Perjanjian Pangkor 1874 telah membawa Dato Shahbandar Tunggal, Sultan Abdullah, Sultan Ismail, Menteri Ngah Ibrahim, Shahbandar, Laksamana Wan Muhammad Amin, Dato’ Maharajalela Pandak Lam dan Dato’ Seri Agar Diraja atau Dato’ Sagor membuat keputusan untuk membunuh Birch. Di Negeri Sembilan berlaku pemberontakan oleh Yamtuan Tunku Antah di Paroi pada tahun 1875. Di Selangor pemberontakan Raja Mahadi juga pada tahun 1875. Di Pahang berlaku pemberontakan Datok Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan kita juga melihat peranan Syed Abdul Rahman Idrus atau Tok Ku Paloh pada tahun 1889. Di Sarawak berlaku pemberontakan Syarif Mashur terhadap pendudukan Brooke tahun 1841. Beliau telah dibuang ke Betawi pada tahun 1861. Di Sabah berlaku pemberontakan Mat Salleh pada tahun 1897 dan beliau mati syahid pada 31 Januari 1900. 28 Di awal kurun ke 20 pula kita menyaksikan kisah perjuangan Tok Janggut di Kelantan.29

Paparan ringkas siri-siri jihad ini sepatutnya menjadi kebanggaan kita terhadap perjuangan bangsa Melayu di dalam mempertahankan Islam.

27 Wan Shamsuddin, Sejarah Tanah Melayu dan Sekitar-Nya 1400-1967, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1969, hlm. 25-52

28 Rujuk artikel Islam dan Anti Penjajahan di Malaysia Kurun ke 19 oleh Abdullah Zakaria Ghazali di dalam Islam di Tanah Melayu Abad ke 19, Karisma Publication, Shah Alam, 2007 29 Rujuk untuk lanjutan Nik Annuar Nik Mahmud, Tok Janggut Pejuang Atau Penderhaka, Hazco Print, Kajang, 2005

(16)

RUMUSAN

Apa yang dipaparkan di sini hanyalah sebahagian yang mampu dikongsi di dalam ruang yang sempit ini. Banyak lagi tersembunyi kisah-kisah perjuangan bangsa Melayu di dalam mempertahankan Islam dan jati diri umat Melayu. Walau pun begitu dapatlah disimpulkan bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang amat rapat dengan Islam dan Islamlah yang menjadi ciri kekuatannya. Menguatkan orang Melayu dengan unsur-unsur lain selain Islam hanya akan melemahkan orang Melayu. Bangsa Melayu juga adalah bangsa yang tidak mudah untuk mengalah demi mempertahankan keislamannya. Usaha untuk meneguhkan jati diri dan mempertahankan Islam ini telah dilakukan melalui wasilah yang pelbagai. Kepelbagaian wasilah ini telah dimainkan oleh bukan hanya satu lapisan masyarakat sahaja. Moga-moga semangat keperwiraan ini akan dapat diwarisi oleh kita sebagai generasi Melayu Muslim di zaman ini.

RUJUKAN

Abdul Kadir Haji Muhammad. (1996). Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Abdullah Zakaria Ghazali. (2007). Islam dan Anti Penjajahan di Malaysia Kurun ke 19 oleh Abdullah Zakaria Ghazali di dalam Islam di Tanah Melayu Abad ke 19, Karisma Publication, Shah Alam.

Virginia Matheson. (1979). Concepts of Malay Ethos in Indigenous Malay Writing, Journal of Southeast sian Studies, Vol X Number 2, 1979. Jelani Harun. (2008). Undang-undang Kesultanan Melayu Dalam

Perbandingan, Penerbit USM, Pulau Pinang.

Liang Liji. (2010) Hubungan Melaka dan Dinasti Ming, Penerbit UKM, Bangi.

Liaw Yock Fang. (2003). Karya Agung: Undang-undang Melaka dan Undang-undang Laut Melaka, Yayasan Karyawan, Kuala Lumpur.

(17)

Mahayudin Haji Yahaya. (2000) Karya Klasik Melayu-Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2000.

Md. Sidin Ahmad Ishak dan Mohammad Redzuan Othman. (2000) The Malays In The Middle East, University of Malaya Press, Kuala Lumpur. Mohamad Abu Bakar. (2007) Tanah Melayu Abad ke 19: Pengislaman Penjajahan dan Pemupukan Manhaj Melayu di dalam Islam di Tanah Melayu, Karisma Publication, Shah Alam.

Mohd. Jamil Mukmin. (2004) Melaka Pusat Penyebaran Islam di Nusantara, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP), Melaka. Muhammad Haji Salleh. (1994). Syair Tantangan Singapura, Dewan Bahasa

dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Nik Annuar Nik Mahmud. (2005) Tok Janggut Pejuang Atau Penderhaka, Hazco Print, Kajang.

Nordin Hussin. (2007) Trade and Society In The Straits of Melaka: Dutch Melaka and English Penang 1780-1830, NUS Press, Singapore. Penyata Tahunan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu Malaya

(1955-1956), nombor penerimaan 2007/0011230, Jabatan Arkib Negara. Rogayah A. Hamid dan Wahyunah Abd Ghani. (2005) Pandangan Semesta

Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Ampang.

Syed Muhammad Naguib al-Attas. (1972) Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, Penerbit UKM, Kuala Lumpur.

Syed Zulflida S.M. Nor. (2006) Pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka: Kemunculan dan Kegemilangan, Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

The Federation of Malaya Independence Order in Council – 1957, nombor penerimaan 2006/0011274, Jabatan Arkib Negara.

(18)

Thilagarathi Vasudevan. (1998) Form Criticism and The Sejarah Melayu, History Department of University of Hull, Hull.

Wan Hashim Wan Teh dan Daniel Perret. (1999) Di Sekitar Konsep Negeri, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur.

Wan Shamsuddin. (1969). Sejarah Tanah Melayu dan Sekitar-Nya 1400-1967, Penerbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Yahaya Abu Bakar, Journal Sejarah Melaka. Penerbit Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Melaka, bil 7, 1982.

Zahrah Ibrahim. (1986). Sastera Sejarah: Interpretasi dan Penilaian. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Referensi

Dokumen terkait