• Tidak ada hasil yang ditemukan

UCAPAN PERASMIAN SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN DI SEKTOR PERTANIAN, PERIKANAN DAN PERHUTANAN 2019 YB DATO HAJI MAHFUZ BIN OMAR

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "UCAPAN PERASMIAN SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN DI SEKTOR PERTANIAN, PERIKANAN DAN PERHUTANAN 2019 YB DATO HAJI MAHFUZ BIN OMAR"

Copied!
9
0
0

Teks penuh

(1)

UCAPAN PERASMIAN

SEMINAR KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN DI SEKTOR PERTANIAN, PERIKANAN DAN PERHUTANAN 2019

YB DATO’ HAJI MAHFUZ BIN OMAR

TIMBALAN MENTERI SUMBER MANUSIA MERANGKAP

PENGERUSI MAJLIS NEGARA BAGI KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN

Tarikh : 26 Jun 2019 (Rabu) Masa : 10.00 pagi

Tempat : Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah

Anjuran : Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP)

(2)

2

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Salam Sejahtera.

Rujuk Senarai Protokol.

1. Alhamdulillah, terlebih dahulu saya memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. dan merasa amat berbesar hati kerana dijemput dan dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan pada program Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Tahun 2019 yang diadakan pada hari ini.

2. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Negeri Sabah kerana telah membuat persediaan rapi bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tahniah saya ucapkan.

3. Ucapan yang sama juga saya tujukan khas kepada pegawai dan kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Pertanian, Koperasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan, Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan dan juga Yayasan Sabah di atas komitmen yang diberikan dalam menjayakan program ini. Ia jelas menunjukkan keprihatinan tuan-tuan dan puan-puan dalam memastikan aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terjamin dan diberikan perhatian sewajarnya.

4. Tidak dilupakan, ucapan tahniah dan terima kasih juga saya ucapkan kepada peserta seminar kali ini. Saya percaya kehadiran tuan-tuan

(3)

3

dan puan-puan ke seminar ini sedikit sebanyak akan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga keselamatan dan kesihatan tuan-tuan dan puan-puan semasa bekerja.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, (Objektif Seminar & Kemalangan di Sektor 3P)

5. Tujuan seminar kita pada hari ini antara lainnya adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di sektor pertanian, perikanan dan juga perhutanan. Ini memandangkan, bekerja di sektor tersebut juga turut berdepan dengan risiko bahaya kemalangan dan juga tahap kesihatan yang boleh terganggu hingga boleh membawa kepada penyakit yang serius.

Justeru, kesedaran tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja wajar dipupuk dan tidak diambil mudah, agar sebarang kemalangan atau kejadian berbahaya dapat dielakkan serta para pekerja terhindar daripada penyakit berbahaya.

6. Untuk makluman hadirin, pada tahun ini, sehingga Mei 2019, sebanyak 274 kes kemalangan pekerjaan bagi sektor pertanian, perikanan dan perhutanan telah pun disiasat oleh JKKP. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 10 kes (3.6%) adalah kemalangan maut.

Manakala, 33 kes siasatan penyakit dan keracunan pekerjaan juga telah dijalankan sehingga tempoh berkenaan.

(4)

4

7. Disini ingin saya kongsikan antara kes-kes maut yang direkodkan adalah:

(i) terjatuh dari traktor;

(ii) terkena renjatan elektrik;

(iii) terkena sabit pemotong buah kelapa sawit;

(iv) terhidu gas beracun semasa menjalankan kerja di ruang terkurung; dan

(v) lain-lain lagi

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, (Preventive Culture & National Workplace Accident Rate)

8. Seharusnya kita mengambil iktibar di atas kes-kes kemalangan serta penyakit pekerjaan yang telah berlaku dalam sektor ini dan berusaha sebaik mungkin bagi mengelak tragedi yang sama berulang lagi.

Dalam hal ini, budaya pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan (OSH Preventive Culture) haruslah diterapkan di semua tempat kerja dan di dalam diri setiap pekerja di sektor ini khususnya.

9. Budaya Pencegahan sebenarnya menekankan:

(i) nilai kesedaran tanggungjawab dan komitmen majikan dan pekerja;

(ii) menghormati hak pekerja terhadap hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan;

(iii) melibatkan pekerja dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan; dan

(5)

5

(iv) meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan hal keselamatan dan kesihatan pekerjaan berteraskan kepada pengurusan risiko yang berkesan dan seterusnya, mengamalkan cara kerja yang selamat dan sihat.

10. Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengubah tempat kerja di negara ini khususnya di sektor pertanian, perikanan dan perhutanan menjadi persekitaran kerja yang selamat dan sihat dalam melindungi para pekerja. Persekitaran kerja yang lebih kondusif dan hubungan majikan dan pekerja yang lebih harmoni turut menyumbangkan kepada penurunan kadar kemalangan di tempat kerja seterusnya dapat membantu meningkatkan indeks komponen persekitaran kerja iaitu salah satu daripada komponen Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia.

11. Untuk makluman, pada tahun 2018, kadar kemalangan di tempat kerja adalah 2.40/1,000 pekerja berbanding 2.93/1,000 pekerja pada tahun 2017. Manakala kadar kemalangan maut pada tahun 2018 adalah 4.14/100,000 pekerja berbanding 4.90/100,000 pekerja pada tahun 2017. Penurunan ini berlaku kerana di antaranya JKKP telah menggunakan kaedah baharu agar pengiraan kadar kemalangan ini lebih komprehensif. Selain itu, ianya juga menunjukkan para majikan dan pekerja semakin mulai sedar mengenai kepentingan memastikan tempat kerja mereka selamat dan sihat. Tambahan pula, pelbagai program dan inisiatif yang proaktif dilakukan oleh JKKP dan pihak berkepentingan yang lain juga membantu dan menyumbang kepada

(6)

6

penurunan kadar kemalangan ini. TAHNIAH dan SYABAS saya ucapkan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, (Self-Regulation & Workplace Accident Free Week)

12. Dalam usaha menjadikan tempat kerja selamat, sihat dan bebas dari kemalangan dan penyakit, Kerajaan menyeru agar semua pihak sama ada pekerja, majikan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk bersama-sama menjalankan program dan aktiviti yang menyumbang ke arah pengurangan kemalangan. Inisiatif bagi mengurangkan kemalangan ini adalah selari dengan prinsip peraturan kendiri atau

‘self-regulation’ yang menjadi teras Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994).

13. Prinsip dan Falsafah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 menyatakan “Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah terletak kepada mereka yang mewujudkan risiko dan mereka yang bekerja dengan risiko berkenaan”. Dalam konteks ini mereka yang mewujudkan risiko adalah para majikan dan siapa yang bekerja dengan risiko adalah para pekerja. Konsep Peraturan Kendiri atau Self-Regulation amat penting difahami dan diterapkan di tempat kerja kerana melibatkan penglibatan dan perundingan majikan dan pekerja.

Jika prinsip dan falsafah ini dapat difahami, usaha ke arah menjadikan tempat kerja yang selamat dan sihat akan bertambah mudah. Majikan dan pekerja perlu mengenalpasti bahaya-bahaya di tempat kerja,

(7)

7

membuat analisis risiko dan yang paling penting adalah mengadakan kawalan risiko yang berkesan.

14. Sehubungan dengan itu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengambil inisiatif dengan mengadakan program “Workplace Accident Free Week” yang akan diadakan pada 7 Julai hingga 13 Julai 2019 bersempena dengan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (National OSH Week) 2019.

15. Saya telah dimaklumkan bahawa program ‘Workplace Accident Free Week’ ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan melibatkan penyertaan hampir 955 tempat kerja di seluruh Malaysia yang melibatkan hampir 390,000 pekerja dan majikan. Jumlah ini jelas menunjukkan komitmen yang tinggi telah mula diberikan oleh majikan dan pekerja terhadap isu-isu berkaitan KKP di tempat kerja. Ini bermakna mesej mengenai isu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) telah dapat disampaikan secara langsung kepada para majikan dan pekerja di Negara kita. SYABAS DAN TAHNIAH atas usaha ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, (Tanggungjawab Majikan dan Pencapaian KKP)

16. Kejadian kemalangan dan penyakit pekerjaan akan berlaku jika para majikan dan pekerja tidak mengambil berat tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Adalah menjadi TANGGUNGJAWAB MAJIKAN untuk menyediakan tempat kerja

(8)

8

yang selamat dan sihat kepada semua pekerjanya. Komitmen orang nombor 1 (satu) dalam organisasi menentukan kejayaan dalam perkara ini.

17. Justeru, bagi menangani isu ini, pihak kerajaan melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sentiasa berusaha dan meningkatkan aktiviti dan inisiatif yang berkesan samada penguatkuasaan, penyediaan standard dan promosi bagi memastikan semua tempat kerja berada di dalam keadaan selamat. Pada tahun 2018 sahaja, aktiviti dan inisiatif yang dijalankan oleh JKKP adalah sebanyak 934,141 (83%) dimana ianya ditumpukan kepada aktiviti bersifat proaktif pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan.

Manakala, 193,086 (17%) aktiviti ditumpukan bersifat reaktif termasuk siasatan aduan dan kemalangan serta tindakan punitif. Selain itu, terdapat peningkatan bilangan pengamal KKP berdaftar kepada 57,445 (2018); 39 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan kursus KKP (2018); 94 pusat latihan berdaftar diwujudkan bagi menawarkan kursus di peringkat sijil untuk 16 jenis kompetensi KKP dan mewujudkan 2,248 OSH – Coordinator (2018) di seluruh Negara.

18. Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan amat komited dan prihatin dalam memastikan keperluan perundangan yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak yang terlibat. Walaubagaimanapun, adalah mustahil untuk bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP)

(9)

9

PERLU MENJADI TANGGUNGJAWAB UTAMA MAJIKAN daripada pelbagai sektor di Negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

19. Sebelum mengundurkan diri, saya mengucapkan tahniah dan terima kasih sekali lagi kepada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta semua jabatan dan agensi lain yang terlibat di atas penganjuran Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Sektor Pertanian, Perikanan dan Perhutanan bagi tahun 2019 ini.

Saya amat berharap program ini akan dapat memberi manfaat dan kebaikan kepada semua peserta yang hadir serta dapat memberi inspirasi kepada semua yang terlibat di dalam memelihara persekitaran yang lebih kondusif serta bebas daripada risiko kemalangan.

20. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Seminar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Di Sektor Pertanian, Perikanan Dan Perhutanan Tahun 2019. Saya sudahi dengan wabillahit Taufik Wal Hidayah Wassalam Mualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.

Referensi

Dokumen terkait

Selanjutnya tindak lanjut ketentuan UUPA tentang WNA, Undang- Undang Nomor 4 Tahun 1992 tentang Perumahan dan Permukiman, dalam rangka memberikan kepastian hukum mengenai

1) Model pertama adalah model dengan nilai  0 adalah suatu konstanta. Menghitung standar eror dari regresi poisson bivariat dengan menggunakan metode bootsrap untuk

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Unit Kesihatan Pekerjaan, Sektor Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian

Permohonan hendaklah menyenaraikan kakitangan teknikal yang bertanggungjawab bagi skop pemasangan, penyelenggaraan & merombak mesin angkat premis utama di Bahagian B.

Saat beberapa aplikasi sedang berjalan, Anda dapat mengklik dari panel tugas untuk menampilkan semua aplikasi yang sedang berjalan, lalu klik aplikasi atau item untuk

Berdasarkan kepada perundangan di atas, setiap syarikat yang akan menjalankan kerja-kerja pemasangan talian paip berkaitan petroleum hendaklah berdaftar dengan

Karena keterbatasan alat praktik, keduabelas job tersebut dibagi dalam tiga kelompok job, yaitu job las listrik (4 job), las gas (4 job) dan kerja bangku (4 job). Sehingga,

Teknik Infrastruktur Sipil / FVOKASI Muhammad Athoillah, S.Tr.T Mahasiswa Pengaruh Superplasticizer Terhadap Mechanical Properties dari Beton Geopolimer Penelitian Dasar