Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian
Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, MALAYSIA
Inap Desa dan Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat
Luar Bandar: Kuala Kedah sebagai Destinasi Baharu Pelancongan
Mohamad Zaki Ahmad
Johan Afendi Ibrahim
Norria Zakaria
a&bPusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia,
06010 Sintok, Kedah.
c Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia, 06010 Sintok, Kedah.
Abstrak
Dengan status sebagai antara industri paling progresif dan berdaya maju, perkembangan industri pelancongan yang
amat besar saban tahun memberikan indikasi bahawa pelancongan adalah satu industri yang amat signifikan untuk
dipertimbangkan sebagai pemangkin terhadap pembangunan sosioekonomi sejagat. Malahan, impak-impak yang
tercetus daripada pembangunan pelancongan turut menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat
luar bandar. Pelbagai usaha dan perancangan sedang dan telah direncanakan terutamanya oleh pelbagai agensi
kerajaan bagi terus memajukan industri ini terutamanya dalam meningkatkan sumbangannya terhadap aspek
2508-0001 © 2016. Published by ECoFI.
pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia. Inap desa atau lebih dikenali sebagai homestay merupakan salah satu daripada produk pelancongan desa yang terdapat di Malaysia dan menjadi satu program yang sering mendapat
perhatian kerajaan dan agensi berkaitan sejak kebelakangan ini. Dengan sumber warisan dan tarikan semulajadi
yang pelbagai di samping kemudahan infrastruktur berkaitan yang baik, Kuala Kedah mempunyai potensi yang
amat besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dengan memberikan fokus utama terhadap program
inap desa. Malahan ianya mampu menyumbang manfaat dan faedah yang dapat membantu penduduk terutamanya
dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Perbincangan dalam kertas seminar ini difokuskan terhadap
aspek-aspek seperti perkembangan dan impak pelancongan, definisi, konsep dan sumbangan inap desa serta
beberapa cadangan bagi mewujudkan satu bentuk pembangunan pelancongan yang bakal memberikan manfaat dan
sumbangan kepada masyarakat hos di Kuala Kedah.
Katakunci: impak sosioekonomi masyarakat, inap desa, Kuala Kedah, pelancongan
1. Pengenalan
Industri pelancongan terus kukuh menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara sejak lebih sedekad yang lalu. Pelbagai usaha dan perancangan sedang dan telah direncanakan oleh pelbagai agensi kerajaan bagi terus memajukan industri ini terutamanya dalam meningkatkan sumbangannya terhadap aspek pembangunan sosioekonomi masyarakat termasuklah menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar. Malahan, dapat dilihat bahawa masyarakat luar bandar atau masyarakat desa pada hari ini semakin membangun dan berusaha meningkatkan taraf hidup dengan melibatkan diri dalam aktiviti dan pembangunan pelancongan di tempat mereka. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui “Model Baru Ekonomi Luar Bandar” (2011)
mensasarkan untuk membangun dan memperluaskan potensi Inap Desa di 500 buah kampung sebagai langkah penjenamaan pelancongan luar bandar dan memeta Inap Desa sebagai ikon pelancongan negara. Langkah dan inisiatif ini telah dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar dan seterusnya dapat mengurangkan pengaliran keluar guna tenaga ‘anak-anak muda kampung’ ke bandar-bandar.
Pembangunan pelancongan dilihat sebagai aktiviti ekonomi yang penting dalam meningkatkan ekonomi penduduk tempatan. Banyak kajian yang mencadangkan bahawa pembangunan dan promosi pelancongan merupakan sumber baru bagi pendapatan, pekerjaan, pendapatan cukai tambahan, faedah pertukaran asing, dan peningkatan infrastruktur masyarakat tempatan. Pembangunan pelancongan dapat menarik dan mampu menyumbang untuk memajukan industri-industri lain (Lankford dan Howard, 1994). Sehingga hari ini, pembangunan dan usaha penggalakan industri pelancongan telah diterima ramai sebagai satu langkah ekonomi yang positif terutamanya di negara-negara maju (Cooke, 1982). Malahan, Huang dan Stewart (1996) mendapati bahawa pembangunan pelancongan dapat mengubah hubungan penduduk antara satu sama lain dan hubungan penduduk sesuatu petempatan dengan petempatan yang lain. Secara umum, didapati bahawa tanggapan dan sikap penduduk terhadap impak-impak pelancongan dijadikan pertimbangan penting bagi perancangan dan polisi untuk menjamin kejayaan pembangunan pelancongan, pemasaran dan pengoperasian program pelancongan sedia ada dan yang akan datang (Ap, 1992).
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 3 terdapat di Malaysia dan menjadi satu program yang sering diberikan perhatian oleh kerajaan dan agensi berkaitan sejak kebelakangan ini. Fokus pihak kerajaan bagi membangunkan inap desa ini adalah amat wajar dan tepat pada masanya memandangkan industri pelancongan negara tidak hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar, pulau, tasik dan pantai semata-mata. Hal ini disebabkan sumberjaya alam semulajadi dan warisan budaya yang terdapat di kawasan luar bandar juga mempunyai keunikan dan nilai yang tinggi untuk dihargai dan berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk ke sana. Melalui pelaksanaan program yang berkaitan, komuniti setempat atau masyarakat luar bandar diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam menjayakannya dan secara tidak langsung hasil pendapatan yang dijana dapat membantu mereka menghadapi senario kenaikan kos sara hidup pada masa kini. Di samping dapat menjana ekonomi masyarakat setempat, Pelancongan Desa juga membantu kerajaan dalam usaha membasmi kadar kemiskinan dan pengangguran. Justeru, dalam konteks ini, inap desa boleh memainkan peranan bagi membantu pihak-pihak terlibat mencapai aspirasi dan hasrat yang tersebut.
Program Inap Desa atau homestay merupakan salah satu daripada program yang dijalankan untuk memajukan kawasan luar bandar yang amat memerlukan penglibatan komuniti bagi menjayakannya. Sejajar dengan pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar dan, Program Pembangunan Pelancongan di Luar Bandar, Program Inap Desa diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat luar bandar menyertai sektor pelancongan negara. Menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sehingga Oktober 2010, sejumlah 138 inap desa, 2,987 pengusaha inap desa dan 4,042 bilik di 225 kampung seluruh negara sudah didaftarkan secara sah bagi menjalankan perniagaan inap desa berdasarkan peraturan dan syarat yang ditetapkan. Untuk tempoh yang sama, seramai 128,000 pelancong yang datang ke Malaysia, terutamanya dari Singapura, Jepun, Korea dan Eropah, telah memilih untuk mengikuti Program Inap Desa kerana tertarik dengan budaya hidup di kampung (Zunaidah Zainon, 2010). Sehingga Ogos 2015 pula, kementerian telah mendaftarkan 175 kluster homestay dengan 3,561 pengusaha yang menawarkan 4,932 bilik kepada pelancong di seluruh negara. Untuk tempoh yang sama, sebanyak 48,626 pelancong antarabangsa memilih tinggal di inap desa, berbanding 44,871 orang bagi tempoh sama pada 2014. Jumlah pelancong yang mengikuti program itu sehingga Ogos 2015 ialah 228,883 orang manakala jumlah keseluruhan bagi 2014 pula ialah 367,473 orang. Pendapatan homestay untuk tempoh Januari sehingga Ogos 2015 juga telah meningkat sebanyak 3.7 peratus dari RM15.9 juta ke RM16.5 juta.
Statistik yang amat positif ini berterusan sehingga suku pertama 2016. Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, jumlah pendapatan pengusaha perkhidmatan inap desa di negara ini meningkat sebanyak lima peratus kepada RM8.7 juta dalam tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Program Inap Desa negara telah melibatkan 3,723 pengusaha inap desa daripada 187 kluster berdaftar yang menyediakan 5,236 bilik, manakala pendapatan bagi seorang pengusaha inap desa yang berdaftar dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan, dan jumlah tersebut memberi impak yang cukup besar kepada pengusaha dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka.
Hakikatnya, Program Inap Desa inimerupakan salah satu daripada program yang bertujuan untuk menggalakkan penglibatan masyarakat luar bandar untuk menyertai sektor pelancongan. Sewajarnya, pihak-pihak berkepentingan perlu memanfaatkan impak-impak positif pelancongan terutamanya dari sudut ekonomi dan sosiobudaya bagi mencapai agenda pembasmian kemiskinan di kalangan masyarakat di sesebuah destinasi. Justeru, penglibatan masyarakat dalam pembangunan inap desa di Kuala Kedah bukan sahaja dapat membantu usaha untuk mentransformasikan pekan kecil nelayan ini sebagai destinasi baharu pelancongan, malahan ianya bakal membantu masyarakat menangani kenaikan kos sara hidup yang dilhat agak sukar dibendung sejak kebelakangan ini.
2. Inap Desa: Definisi dan Pendekatan Konsep
homestay dalam konteks negara-negara lain. Dalam hal ini, bukan hanya konsep, definisi dan fokus homestay yang berbeza, fungsi homestay juga adalah berbeza mengikut negara-negara berkenaan; sebagai contoh konsep homestay di Australia dan New Zealand lebih memfokuskan kepada penginapan rumah perladangan manakala di United Kingdom dan Amerika Syarikat homestay selalu dikaitkan dengan motivasi untuk meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris di kalangan pelajar antarabangsa. Sebahagian daripada konsep-konsep homestay yang berbeza di beberapa buah negara adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Walaubagaimanapun, idea keseluruhan berkenaan homestay ini masih lagi sama iaitu ianya berkaitan dengan penyediaan kemudahan penginapan kepada pelancong. Secara umumnya, homestay adalah berbeza berbanding kemudahan penginapan lain seperti hotel, motel atau “bed and breakfast” yang dibina dan dibangunkan di lokasi-lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan ramai seperti di bandaraya-bandaraya, pusat-pusat bandar atau di lokasi berhampiran lebuhraya utama, sedangkan lokasi umum bagi homestay pula adalah di kawasan luar atau pinggir bandar di mana masyarakat setempat masih lagi mengamalkan cara hidup dan budaya tempatan.
Jadual 1: Konsep Homestay di Beberapa Negara
NEGARA KONSEP HOMESTAY
Thailand Student Homestay, Cultural Homestay, Volunteer Homestay
Singapura Urban Homestay
Indonesia Cultural Homestay, Leisure Homestay
Sumber: Pazin (2004) di dalam Amran Hamzah (2010)
Dalam konteks yang berkenaan, antara pengertian konsep homestay antarabangsa ialah:
Pilihan penginapan yang melibatkan tinggal di sebuah rumah persendirian, di mana tetamu membayar sewa kepada pemilik rumah. Pilihan ini sering ditawarkan kepada mereka yang mengembara dengan tujuan untuk mempelajari bahasa asing. (www.ytrip.org.ph/resources/so-you-know-and-you-dont-get-lost…)
Sebuah rumah tempat tinggal pemilik yang menawarkan penginapan kepada tetamu berbayar; sistem di mana pelajar antarabangsa dari luar negara tinggal bersama keluarga pemilik kediaman pada harga yang berpatutan. (en.wiktionary.org/wiki/homestay)
Homestay merupakan satu bentuk pelancongan yang melibatkan pelajar program pengajian luar negara menyewa bilik dari sebuah keluarga tempatan untuk mempelajari cara hidup masyarakat setempat dengan lebih baik di samping meningkatkan keupayaan bahasa asing mereka. (en.wikipedia.org/wiki/Homestay)
Satu pilihan penginapan di mana pelajar antarabangsa tinggal bersama sebuah keluarga Amerika di rumah milik keluarga berkenaan. Pelajar antarabangsa berpeluang meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dan membolehkan mereka didedahkan dengan cara hidup sebenar di Amerika Syarikat. (www.usaeducationguides.com/guidance/articles/080707-glossar…)
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 5 di bawah kementerian berkenaan yang menawarkan peluang kepada para pelancong untuk berinteraksi serta mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung serta dapat mempelajari warisan budaya masyarakat setempat. Malahan, pelancong bukan sahaja berpeluang untuk menikmati suasana perkampungan tradisional tetapi juga dapat mengetahui serta mempelajari gaya hidup dan rutin harian masyarakat tempatan. Dalam konteks ini, inap desa tidak boleh dikategorikan sepenuhnya sebagai kemudahan penginapan semata-mata memandangkan tumpuan utamanya adalah terhadap aspek “cara hidup dan pengalaman”, merangkumi aspek budaya dan kegiatan ekonomi komuniti setempat.
Antara elemen yang terdapat dalam program ini ialah penyediaan makanan kepada tetamu, memasak dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bersama dengan keluarga angkat demi mewujudkan keserasian antara tuan rumah dan tetamu yang berbeza latar belakang kehidupan dan kebudayaan. Melalui interaksi yang mesra, tuan rumah dan tetamu akan lebih saling kenal-mengenali antara satu sama lain serta dapat mempelajari sesuatu yang baru mengikut perspektif masing-masing. Malahan, program inap desa juga membolehkan tetamu untuk menyertai kegiatan harian atau aktiviti rutin tuan rumah di samping memberikan peluang kepada mereka untuk menikmati keindahan dan keunikan alam semulajadi di samping dapat menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan tradisional masyarakat tuan rumah. Umumnya inap desa yang berbeza pastinya menawarkan bentuk-bentuk aktiviti yang berlainan bergantung kepada aspek-aspek setempat seperti lokasi, budaya, kepelbagaian makanan dan kegiatan ekonomi. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dan disertai oleh para tetamu inap desa di seluruh negara adalah seperti di Jadual 2. Sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan keturunan etnik, setiap sebuah negeri di Malaysia sememangnya mempunyai keunikan dan tarikannya tersendiri; dari Tarian Canggung di negeri Perlis hinggalah keindahan Kinabalu dan keasyikan Tarian Sumazau di Sabah serta Tarian Ngajat dan keunikan hidup di Rumah Panjang Sarawak.
Jadual 2: Aktiviti untuk Tetamu Inap Desa
AKTIVITI UNTUK TETAMU INAP DESA
Pertanian: padi, koko, kelapa sawit, buah-buahan
Leisure
Program Plant a Tree (PAT): Setiap pelancong digalakkan untuk menanam sebatang pokok di inap desa yang mereka lawat untuk menyumbang memulihara alam sekitar di samping mengindahkan lanskap inap desa yang dikunjungi
Sumber:http://www.virtualmalaysia.com/destination/top%205%20malaysia%20homestays.html
3. Kuala Kedah sebagai Destinasi Pelancongan Baharu
Terletak di bahagian utara negeri Kedah Darul Aman, Kuala Kedah merupakan sebuah kawasan petempatan dalam daerah Kota Setar yang lebih dikenali sebagai sebuah pekan nelayan yang turut mempunyai peninggalan sejarah silam. Dipisahkan hanya 11 kilometer dari Pusat Bandaraya Alor Star, Kuala Kedah merupakan sebuah kawasan tanah pamah yang terletak di kawasan pinggir laut yang menghala ke Selat Melaka. Perikanan merupakan kegiatan ekonomi utama di Kuala Kedah sejak sekian lama memandangkan kedudukannya berhampiran pinggir pantai. Selain itu, aktiviti pertanian terutamanya penanaman padi juga giat diusahakan di Kuala Kedah.
dari luar pekan ini. Namun ‘ikon’ yang begitu sinonim dengan Kuala Kedah adalah Kota Kuala Kedah itu sendiri yang terkenal dengan rumah api dan beberapa meriam lagenda yang mempunyai mitos yang tersendiri dan masih gagah dipelihara dan dipulihara oleh pihak berwajib. Dengan jarak yang berdekatan serta kemudahan pengangkutan yang baik, pengunjung tidak akan menghadapi banyak masalah untuk melawat tarikan-tarikan pelancongan di Bandaraya Alor Star seperti Balai Besar, Muzium Di Raja, Masjid Zahir, Menara Telekom, Balai Nobat, Balai Seni Negeri, Muzium Negeri, Rumah Kelahiran Mahathir dan Pekan Rabu.
Kuala Kedah juga merupakan pintu masuk ke Pulau Langkawi melalui jalan laut. Memang tidak dapat dinafikan bahawa majoriti pelancong Kuala Kedah merupakan pelancong transit yang dalam perjalanan ke Langkawi. Memandangkan trend peningkatan kedatangan pelancong yang positif ke Langkawi, adalah menjadi satu kerugian kepada pekan ini kerana tidak dapat mengambil peluang menjadikan atau mengekalkan pelancong-pelancong transit tersebut sebagai pelancong Kuala Kedah itu sendiri. Ataupun, sekurang-kurangnya, usaha menarik lebih ramai pelancong berpotensi termasuk pelancong-pelancong transit bermalam dan seterusnya menggalakkan mereka berbelanja di pekan ini akan menjadikan aktiviti dan pembangunan pelancongan di Kuala Kedah akan lebih bermakna.
Di samping tarikan warisannya seperti cara hidup nelayan dan pesawah, makanan uniknya yang tersendiri seperti Laksa Kuala Kedah atau turut dikenali sebagai Laksa Teluk Kechai dan pulut sambal serta hidangan makanan lautnya yang segar, tarikan dominan yang seringkali dikaitkan dengan sejarah negeri Kedah adalah Kota Kuala Bahang atau lebih dikenali sebagai Kota Kuala Kedah. Walaupun tidak segah atau begitu tua jika dibandingkan dengan Kota A’ Famosa yang amat terkenal di Melaka, Kota Kuala Kedah yang amat berjasa ini mempunyai peninggalan sejarah dan elemen warisan yang amat tinggi nilainya. Antara peninggalan warisan yang masih kekal sehingga hari ini ialah rumah api berbentuk istana catur yang masih berfungsi dan dapat beroperasi menggunakan kuasa solar, tembok asal yang bertindak sebagai kubu, beberapa pucuk meriam termasuklah dua meriam lagenda yang dikenali sebagai “Tok Badak Berendam” dan “Katak Puru”, Pintu Malim, Pintu Kota Alor Melaka dan bangunan istana lama yang telah diubahsuai menjadi sebuah muzium yang mempamerkan artifak dan bahan-bahan bersejarah lain yang ditemui di kawasan kota berkenaan dan kawasan yang berhampiran. Makam Tok Pasai yang terletak di kawasan letak kereta Terminal Penumpang Kuala Kedah juga merupakan satu lagi peninggalan sejarah yang dikaitkan dengan pembukaan pekan Kuala Kedah sekarang.
Kuala Kedah Yacht Marina serta kawasan pantai dan perkampungan Melayu yang dihiasi landskap sawah padi yang luas terbentang turut menawarkan satu pemandangan yang indah menawan terutamanya pada awal pagi dan lewat petang di kala malam menjelang. Sesungguhnya kawasan ini akan menarik minat mereka-mereka yang mencintai pemandangan indah terutamanya bagi penggemar fotografi. Satu lagi tarikan yang dikaitkan dengan warisan semulajadi di Kuala Kedah yang ramai tidak menyedarinya adalah ‘mengendap burung’ (bird watching). Menurut Hymeir Kamarudin (wildasia.net), berdasarkan pengalaman beliau menjalankan aktiviti ini di perairan antara Kuala Kedah dan Kuala Sala (antara latitud 6° 06' dan 5° 57) sejak 1997, terdapat banyak spesis burung yang dapat dilihat di sini. Antara spesis-spesis burung berkenaan adalah Raja Udang, Leher Putih, Jambul Hitam, Bangau, Helang Laut Perut Putih, Layang-layang Bahu Hitam dan Layang-layang Brahminy. Kedudukan Kuala Kedah yang tidak berapa jauh dengan tarikan-tarikan pelancongan yang lain seperti Pantai Murni, Air Terjun Seri Perigi dan Batu Hampar di Yan serta tarikan-tarikan di sekitar Alor Star juga turut memberi nilai tambah untuk membangun sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik dan lebih terkenal.
4. Potensi Impak dan Perkembangan Inap Desa
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 7 perkembangan positif program homestay peringkat awalnya juga telah menarik banyak pihak sehinggakan ianya diletakkan di bawah pengawasan dan penyeliaan Kementerian Pertanian, dan seterusnya telah dijadikan pemangkin untuk pembangunan ekonomi luar bandar bersesuaian dengan konsep pelancongan agro.
Program Homestay kemudiannya telah diperkenalkan pada tahun 1988 sebagai satu usaha mempelbagaikan produk pelancongan bukan sahaja kepada pelancong domestik malahan kepada pelancong antarabangsa. Pada tahun 1995, Program Homestay Malaysia secara rasminya telah dilancarkan di Desa Murni Kerdau, Temerloh Pahang oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada ketika itu. Program ini yang juga merupakan salah satu program di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan di samping mempromosikan keunikan warisan budaya serta sumberjaya alam negara kepada pelancong. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, bagi tahun 2016 Program Inap Desa kebangsaan melibatkan 3,723 pengusaha inap desa daripada 187 kluster berdaftar yang menyediakan 5,236 bilik (Jadual 3), manakala pendapatan bagi seorang pengusaha inap desa yang berdaftar dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan. Malahan, jumlah tersebut memberi impak yang cukup besar kepada pengusaha dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka; manakala jumlah pendapatan pengusaha perkhidmatan inap desa negara telah meningkat sebanyak lima peratus kepada RM8.7 juta dalam tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Dapat dilihat bahawa inap desa mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan berdasarkan reputasinya yang mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat terutamanya dari segi ekonomi. Dalam hal ini, Kuala Kedah sewajarnya mengambil peluang membangunkan program inap desa dengan memberi peluang untuk masyarakat setempat menjadi peserta. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu usaha memerangi masalah sosioekonomi terutamanya masalah kemiskinan di kalangan penduduk. Penganjuran inap desa di kawasan luar bandar bukan sahaja mampu menawarkan peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan tambahan, malahan ianya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk. Melalui penglibatan ini juga, kawasan luar bandar dapat dibangunkan dan dimajukan terutamanya dalam meningkatkan kualiti kemudahan asas serta penyediaan dan pembinaan baru kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan. Justeru, dalam usaha untuk membangunkan program ini dengan lebih bermakna, penglibatan secara menyeluruh pelbagai pihak (stakeholders) adalah amat diperlukan memandangkan perkara yang penting dalam pembangunan program ini bukanlah berkisar kepada persoalan ‘apakah’ tetapi ‘bagaimanakah’ untuk membangunkannya. Tanpa garis panduan yang jelas dikhuatiri pembangunan inap desa tidak dapat mencapai objektif dan matlamat yang telah ditetapkan.
Sumber: http://www.motour.gov.my/muat-turun/category/11-homestay
Dalam kes-kes tertentu pembangunan pelancongan tidak semestinya sesuai untuk setiap komuniti. Namun, kerap kali telah dibuktikan bahawa pelancongan merupakan satu industri dinamik yang dapat menawarkan komuniti dalam semua bentuk dan saiz termasuklah komuniti luar bandar yang terlibat dengan inap desa, peluang-peluang pembangunan yang unik. Secara umumnya, impak pelancongan adalah sama ada ianya positif atau negatif bergantung kepada ciri-ciri kawasan berkaitan (jenis dan sejauh mana pelancongan telah dimajukan) dan ciri-ciri masyarakat setempat (penerimaan terhadap kesan-kesan berkenaan). Dalam membincangkan potensi impak-impak pelancongan daripada pembangunan inap desa, tidak terkecuali ianya turut dibincangkan dari sudut ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran (alam sekitar). Malahan, bagi kebanyakan impak pelancongan, secara umumnya saiz, sifat dan had bagi impak pelancongan adalah bergantung kepada faktor-faktor berikut:
Persamaaan atau perbezaan antara masyarakat tempatan dan pelancong Jumlah aktiviti pelancong berbanding aktiviti masyarakat setempat Bagaimana baik pelancongan dirancang, dikawal dan diuruskan.
Tahap kepadatan atau keselerakan aktiviti pelancong di kawasan berkaitan
Kestabilan atau sensitiviti struktur ekonomi, sosial dan persekitaran setempat Tempoh dan sifat hubungan pelancong dengan komuniti
Potensi impak ekonomi yang besar telah menyumbang kepada penjanaan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk dan penjanaan pendapatan yang lebih baik melalui aktiviti-aktiviti inap desa yang ditawarkan kepada pelancong. Malahan, melalui pembangunan inap desa yang terancang, pelancongan secara tidak langsung dapat membantu melindungi alam sekitar, menjaga dan memulihara aspek warisan budaya serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat. Namun, sekiranya inap desa dibangunkan secara ad hoc tanpa perancangan yang berkesan dan menyeluruh, pembangunan pelancongan ini juga berupaya menyumbang impak-impak negatif. Inskeep (1991) menyenaraikan impak-impak ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran berkaitan pembangunan dan aktiviti pelancongan secara umum seperti di Jadual 4.
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 9 dirancang dengan baik’ (Kalsom Kayat & Nor Ashikin, 2006).
Mantan Pengerusi Homestay Pulau Pinang, Haji Muhammad Farid Saad menjelaskan bahawa: ‘Inap desa merupakan program pelancongan yang fleksibel, berskala kecil serta diusahakan sendiri oleh penduduk tempatan di mana keuntungan yang dinikmati adalah terus kepada komuniti tanpa menjejaskan nilai dan cara kehidupan seharian mereka.’ Justeru, di kebanyakan inap desa di seluruh negara, kewujudan Program Inap Desa ini turut dapat membantu penduduk setempat untuk memajukan aktiviti pertanian mereka seperti galakan dan khidmat nasihat untuk aktiviti penternakan atau penanaman dan promosi tanaman seperti ubi kayu, keledek, pisang serta buah-buahan tempatan yang lain. Selain itu, penduduk juga boleh menceburi bidang perniagaan seperti Perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui penjualan produk hasil pertanian seperti kerepek ubi dan pisang, ikan pekasam, belacan, tempoyak dan sebagainya. Dalam hal ini, IKS bukan sahaja menjadi tarikan baru inap desa yang berkenaan malahan ianya juga turut membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan membantu menjana pendapatan tambahan masyarakat setempat. Dengan keupayaan IKS menembusi pasaran global, Program Inap Desa dilihat mampu menjana “kesan pengganda” (multiplier effects) kepada banyak pihak terutamanya komuniti setempat.
Dengan wujudnya Program Inap Desa, masyarakat kampung yang sebelum ini hanya bergantung kepada aktiviti pertanian sebagai sumber ekonomi mereka, bakal di’limpah’kan peluang untuk mereka menceburi dan mengusahakan aktiviti ekonomi baru yang berkaitan sektor pelancongan. Melalui pendekatan ini, mereka mampu untuk mendapatkan pendapatan sampingan dan tidak lagi hanya bergantung kepada aktiviti pertanian atau perikanan semata-mata. Malahan, melalui program ini juga kemudahan asas serta infrastruktur lain akan dapat ditingkatkan untuk memberi keselesaan bukan sahaja kepada pelancong malahan masyarakat setempat sebagaimana diperkatakan oleh Clayton dan Jose (1999): “komuniti setempat akan turut menerima faedah daripada pembangunan hasil dari pelaksanaan aktiviti pelancongan”. Menurut Haji Muhammad Farid lagi: “Faedah inap desa bukan sahaja berbentuk kewangan malah ianya juga dalam bentuk bukan kewangan (non-monetary benefit). Contohnya adalah seperti dapat merapatkan hubungan antara anggota masyarakat, meningkatkan rasa bangga, semangat kerjasama, keceriaan kampung serta dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja. Ia juga merupakan satu kaedah membasmi kemiskinan yang efektif”.
Kos infrastruktur pembangunan pelancongan di Kuala Kedah bagi menenuhi aspirasi menjadikan pekan nelayan ini sebagai destinasi baharu pelancongan. Pembangunan pelancongan ini bakal memberikan sumbangan dan faedah kepada semua pihak terutamanya penduduk tempatan (host) di samping memelihara dan mengekalkan survival sumberjaya warisan di destinasi. Dalam konteks ini, pandangan para pakar dan tokoh akademik dalam bidang yang berkaitan perlu diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya. Untuk menjadi sebuah destinasi yang berjaya, beberapa pakar dan tokoh akademik seperti Edgell dan Swanson (2013), Lickorish dan Jenkins (1999), Swarbrooke (1999), Davidson dan Maitland (1997), Inskeep (1991) serta Pearce (1989) berpendapat bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam pembangunan destinasi berkenaan perlu memberikan penekanan kepada lima elemen yang berikut: tarikan (attractions), kemudahan (facilities), infrastruktur (infrastructure), pengangkutan (transportation) dan sumber hospitaliti (hospitality resources). Tarikan (termasuk acara) merupakan aspek utama yang menarik pelancong dan pelawat datang ke sesuatu destinasi, manakala kemudahan, infrastruktur, pengangkutan dan sumber hospitaliti pula diperlukan bagi menyokong tarikan dan acara.
Para tokoh akademik berkenaan juga bersetuju agar lima ‘A’ bagi pelancongan [five A's of tourism –
Accessibility (kemudahsampaian), Accommodation (penginapan), Attractions (tarikan), Activities (aktiviti) and
Amenities (kemudahan)] perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak yang bertanggungjawab dalam usaha mewujudkan sebuah destinasi pelancongan yang berdaya saing dan mampu memikat dan akhirnya menarik pelawat atau pelancong untuk datang ke destinasi tersebut. Hakikatnya, faktor-faktor inilah yang amat diperlukan dalam membangunkan sebuah destinasi yang berjaya dan secara langsung akan dapat membantu meningkatkan sosioekonomi sesebuah destinasi. Dalam konteks Kuala Kedah, memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian tarikan terutamanya yang berunsurkan warisan serta elemen-elemen dan aspek-aspek lain yang berkaitan sebenarnya berkemampuan untuk ‘memancing’ dan menarik lebih ramai pelancong dan pelawat untuk ke sana.
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 11
untuk masyarakat setempat dan juga untuk tujuan pertumbuhan ekonomi. Malahan, sektor tidak formal termasuk pembuatan dan penjualan kraftangan, serta aktiviti-aktiviti pembiayaan mikro serta hiburan dan kebudayaan juga mempunyai hubungan yang kukuh dengan industri pelancongan.
Pelancongan juga terdedah kepada perubahan ekonomi dan politik global serta perubahan sosial dan politik di destinasi. Punca-punca dan ciri-ciri kemiskinan setempat juga boleh menjadi faktor penghalang untuk pelancongan membantu kepada usaha pembasmian kemiskinan ini. Justeru, pihak berkepentingan perlu bersedia untuk menghadapi dan seterusnya mencari penyelesaian kepada faktor-faktor penghalang tersebut. Antara halangan-halangan yang perlu diberi perhatian sebagaimana yang dikenal pasti oleh Jamieson et.al. (2002) ialah: kurang pendidikan dan latihan; kekurangan akses kepada kredit untuk membiayai pembangunan pelancongan; kekurangan organisasi untuk menyelaraskan aktiviti; akses yang kurang baik kepada infrastruktur dan aset pelancongan pada masa yang tepat; kurang pengetahuan tentang pasaran pelancongan; peraturan dan karenah birokrasi; akses sedia ada yang tidak mencukupi; pasaran pelancongan yang berpotensi; dan kekurangan program kerajaan yang disasarkan kepada sektor berkaitan pelancongan.
6. Kesimpulan.
Kuala Kedah berada di landasan yang terbaik untuk dibangunkan menjadi sebuah destinasi baharu pelancongan. Dengan tarikan serta keunikan dan kemudahan berkaitan yang dimiliki, pelancongan bakal membantu meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat. Dalam usaha transformasi ini, program inap desa dicadangkan untuk diberikan tumpuan yang paling utama memandangkan perkembangan, impak, sumbangan dan masa hadapan yang amat positif dalam menyediakan platform terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam menangani kenaikan kos sara hidup yang semakin sukar dibendung pada hari kini. Maka, penglibatan semua pihak berkepentingan terutamanya masyarakat itu sendiri adalah amat diperlukan bagi mencapai dan memenuhi hasrat serta aspirasi memperkasakan aspek sosioekonomi mereka melalui pelancongan.
Rujukan
Allen, L. R., Long, P. T., Perdue, R. R. and Kielselbach, S. (1988). The impacts of tourism development on residents perceptions of community life. Journal of Travel Research, 26(1), 16-21.
Amran Hamzah. (2010). ‘Malaysian Homestays From the Perspective of Young Japanese Tourist: the Quest for Furusato’. CIPD Monograf 2. Universiti Teknologi Malaysia : Skudai.
Ap, J. (1992). Residents’ perceptions on tourism impacts. Annals of Tourism Research, 19(4), 665-690.
Bolwell, D. & Weinz, W. (2008). Reducing poverty through tourism, International Labour Office, ILO Sectoral Activities Programme – Geneva, p-22.
Clayton, C., Jose, G.D.S. (1999). ‘Tourism in Rural Area As a New Opportunity For Small farmers’. UNICAMP. Campinas.
Cooke, K. (1982). Guidelines for socially appropriate tourism development in British Columbia. Journal of Travel Research, 21(1), 22-28. Davidson, R. & Maitland, R. (1997). Tourism destination. London: Hodder & Stoughton.
Edgell, D. & Swanson, J. (2013). Tourism policy and planning: yesterday, today and tomorrow. London: Routledge
Huang, Y. and Stewart, W. P. (1996). Rural tourism development: shifting basis of community solidarity. Journal of Travel Research, 36(4), 26-31.
http://www.umno-online.my/2016/06/29/pendapatan-pengusaha-inap-desa-meningkat-5-peratus-kepada-rm8-7-juta/
Inskeep, E. (1991). Tourism planning: an integrated and sustainable development approach. New York: Van Nostrand Reinhold.
Jamieson, W. & Pallavi, M. (2002). Exploration of the National Policy Issues Related to the Use of Tourism Development in Poverty Reduction in Southeast Asia, Conference proceedings, Tourism in Asia, Hong Kong Polytechnic University, Hong Kong.
Kalsom Kayat dan Nor Ashikin. (2006), ‘Penglibatan Ahli Komuniti Dalam Program Pembangunan Komuniti: Satu Kajian Ke Atas Program Homestay Di Kedah’. Tesis Tidak Diterbitkan. Fakulti Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar, Universiti Utara Malaysia : Sintok.
Kamarudin, H. (2003) Coasting down the Bund: Birding in Northern Peninsular Malaysia (article retrieved from wildasia.net)
Ko, D.-W. and Stewart, W. P. (2002). A structural equation model of residents’ attitudes for tourism development. Tourism Management, 23, 521-530.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2011). Model Baru Ekonomi Luar Bandar.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (2016). Garis Panduan Pendaftaran Homestay Malaysia.
Lankford, S. V. and Howard, D. R. (1994). Developing a tourism impacts attitude scale. Annals of Tourism Research, 21(1), 121-139. Lickorish, L. J. and Jenkins, C. L. (1999). An introduction to tourism. London: Butterworth-Heinemann.
Malaysia (1995) Garis panduan Penyediaan Homestay, Ministry of Culture, Arts and Tourism: Kuala Lumpur.
Mathieson, A. and Wall, G. (1982). Tourism: economic, physical and social impacts. Singapore: Longman Singapore Publishers (Pte) Ltd. MOCAT. (1995). Garis Panduan Penyediaan Homestay, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan: Kuala Lumpur.
Muhammad Farid. (2009). ‘Pengurusan Homestay Sebagai Satu Produk pelancongan’. Bengkel Pembangunan Destinasi Pelancongan 2009, Universiti Sains Malaysia.
Nickerson, N. P. (1996). Foundations of Tourism. New Jersey, Prentice Hall.
Nuchnard, R. (1998). ‘Rural Tourism – The Impact on Rural Communities II Thailand’. Universiti Kasetsart. Pearce, D. G. (1989). Tourism development. Essex: Longman.
Swarbrooke, J. (1999). Sustainable tourism development. Wallingford: CABI.
Wanhill, S. (1997). ‘Introduction – Tourism Development: Environment and Community Issues’. John Wiley & Sons : New York.
Yahaya Ibrahim & Abdul Rasid. (2009). ‘Homestay Program and Rural Community Development in Malaysia’. vol 2. Universiti Malaysia Terengganu.