• Tidak ada hasil yang ditemukan

SJHK 3013 Sejarah Johor lama,Pahang,Selangor+Kedah,Kelantan.docx

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "SJHK 3013 Sejarah Johor lama,Pahang,Selangor+Kedah,Kelantan.docx"

Copied!
22
0
0

Teks penuh

(1)

1.0 PENGENALAN

Sejarah awal Malaysia bermula dengan kewujudan manusia awal berusia 40,000 tahun yang ditemui di Gua Mulu dan Gua Niah, Sarawak. Secara dasarnya, sejarah negara ini telah melalui empat zaman utama sejarah manusia iaitu Prasejarah, Proto Sejarah, Zaman Pertengahan dan Zaman Kolonial. Sejarah Malaysia juga boleh dikatakan bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu sekitar tahun 1400 Masihi. Pada masa kegemilangannya, wilayah kesultanan ini meliputi sebahagian besar Semenanjung dan Pantai Timur Sumatera. Melaka muncul sebagai sebuah kerajaan yang gemilang kerana kedudukannya yang strategik iaitu titik pertemuan antara Asia Timur dengan Asia Barat. Keadaan ini membolehkan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan utama khususnya bagi perdagangan rempah di Asia Tenggara. Islam pula muncul sebagai agama utama yang tersebar dan menjadi anutan utama penduduk Tanah Melayu sehingga sekarang.

Tidak dapat dinafikan bahawa kebanyakan negeri di Tanah Melayu seperti Johor dan Selangor adalah diasaskan oleh keturunan sultan yang berasal dari Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini demikian kerana empayar Melaka berjaya meluaskan kuasanya ke tempat yang jauh. Beberapa negeri juga pernah ditakluk di bawah penguasaan kerajaan Melaka. Dalam konteks ini, sejarah setiap negeri telah dicatatkan tentang aspek kemunculan, perkembangan serta konflik yang dihadapi sama ada dari pertikaian dalaman atau ancaman luar. Jadi, sampailah masa untuk kita mengimbas semula detik-detik penting yang pernah dilalui oleh kelima-lima negeri di Tanah Melayu iaitu Johor lama, Pahang, Selangor, Kedah dan Kelantan.

2.0 SEJARAH KERAJAAN JOHOR LAMA

Sejarah Johor bermula pada tahun 800 Masihi, sebagai salah satu penempatan perdagangan yang penting di Semenanjung emas (Tanah Melayu). Pada awal tahun 1300, Johor menjadi negeri di bawah lindungan Empayar Majapahit (Indonesia). 1 Pada 10 Ogos

1511, serangan Portugis ke atas Melaka menyebabkan terhapusnya kekuasaan kerajaan Melayu Melaka. Jadi, Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Bertam, Batu Hampar, Pagoh and seterusnya ke Pahang. Kemudiannya, Sultan Mahmud Shah berpindah ke selatan dan mengasaskan Kesultanan Johor sebagai pusat dagangan saingan kepada Melaka. Jadi, pengasasan kerajaan Johor Lama adalah dari keturunan sultan Melaka iaitu Sultan Mahmud Shah.2 Juga terdapat sumber yang mengatakan bahawa kesultanan Johor

1 Faizal. (2011). Sejarah Johor Dan Jajahan Takluknya. http://chalijal33google.blogspot.my/2011/06/sejarah-johor-dan-jajahan-takluknya.html. Diakses pada 17 Ogos 2015.

2 Shaharom Husain. Sejarah Johor: Kaitannya dengan Negeri Melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, 1995, hlm. 7-8.

(2)

adalah ditubuhkan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II, iaitu anakanda Sultan Mahmud Shah, pada tahun 1528.

Sultan Alauddin Riayat Shah II merupakan sultan Johor yang pertama dan Kesultanan Johor-nya dikenali sebagai "Kesultanan Johor-Riau-Lingga".3 Setelah kuasa Kerajaan

Melayu Melaka berpindah ke Johor, kebanyakan negeri yang dulunya tertakluk kepada kerajaan Melaka telahpun bernaung di bawah kuasa kerajaan Johor. Pada tahun 1533, Johor menyerang Melaka tapi gagal dan pada tahun 1535 Portugis pula menyerang Pekan Tua iaitu pusat pentadbiran Johor. Pada awal pemerintahan kerajaan Johor, Sultan Alauddin Riayat Syah menerima pelbagai saingan sehingga mewujudkan perang segi tiga iaitu perang antara Johor, Portugis di Melaka dan kerajaan Acheh di Sumatera yang berlarutan selama 100 tahun (1536–1636).4 Portugis yang sememangnya musuh tradisi sejak zaman

kejatuhan empayar Melaka menganggap penubuhan kerajaan Johor adalah sebagai satu ancaman baru dan telah melanggar Johor sebanyak lapan kali. Acheh juga dikatakan menyerang Johor sebanyak enam kali.

Pada tahun 1540, Sultan Alauddin Riayat Shah II berpindah dan membuka Johor Lama. Baginda telah pergi ke Aru bagi membantu Ratu Aru dari ancaman Acheh. Pada tahun 1564, Sultan Alauddin al-Qahhar dari Acheh telah menawan Aru dan menyerang Johor Lama serta manghalau orang-orang Johor. Sultan Alauddin Riayat Shah II telah ditawan dan dibawa ke Acheh dan dibunuh di sana dan dengan itu beliau disebut "Marhum Syahid di Acheh".5

Mulai 1608, Johor berkerjasama dengan Belanda yang berpengkalan di Bengkahulu (Bencoolen) bagi menyerang Melaka.6 Pada tahun 1629, ancaman Acheh kian berkurangan

kerana kekalahan teruk kepada Portugis. Walau bagaimanapun, pakatan Johor-Belanda berjaya menakluki semula Melaka pada 14 Januari 1640. Antara kesan daripada ikatan Belanda-Johor ini ialah Johor kembali menjadi pusat pentadbiran dan ekonomi yang berkembang dengan peningkatan kegiatan perdagangan. Kekayaan yang diperoleh daripada perdagangan antarabangsa mengukuhkan lagi kekuasaan pemimpin. Bukan itu sahaja, kemunculan Belanda di Johor telah menjadikan kawasan di Selat Melaka sebagai kawasan penting bagi pertumbuhan perdagangan Intra Asia di antara Barat dan Timur.7

3 Wikipedia. Sejarah Johor. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Johor. Diakses pada 17 Ogos 2015.

4 Shaharom Husain. Sejarah Johor, hlm. 8-9.

5 Ibid, hlm. 11.

6 Coltoras. Kenali Sejarah Negeri Johor Darul Taazim. http://toharudinrasid.blogspot.my/2010/04/negeri-johor-darul-taazim.html. Diakses pada 17 Ogos 2015.

(3)

Kemudian, Johor diperintah oleh Sultan Abdul Jalil Shah III. Menurut Shaharom Husain (1995), perkembangan Johor bertambah baik kerana berlaku perkahwinan antara penduduk Johor dan Belanda yang merapatkan lagi hubungan diplomatik kedua-dua negeri tersebut. Pada tahun 1673, Jambi yang merupakan jajahan takluk Johor ingin memisahkan diri. Akhirnya, angkatan orang Jambi telah melanggar dan membinasakan kerajaan Johor. Baginda terpaksa berundur dari Johor dan mangkat tidak lama kemudian.8

Selepas itu, tahkta raja telah diggantikan oleh Sultan Ibrahim I. Bagindalah yang berjaya mengalahkan Sultan Jambi dan merampas balik kerajaan Johor dengan menetapkan pusat pentadbirannya di Riau. Pada 1685, baginda pun mangkat dan takhta raja diambil alih oleh puteranya yang bergelar Sultan Mahmud Shah II. Peristiwa pembunuhan Sultan Mahmud Shah II yang merupakan sultan terakhir dari keturunan Melaka oleh Megat Seri Rama pada tahun 1699 telah menyebabkan terputusnya zuriat kesultanan Melaka di Johor. Hal ini demikian kerana baginda masih bujang dan tiada pewaris, maka Bendahara Tun Abdul Jalil IV dirajakan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Dengan itu, bermulalah pemerintahan raja berketurunan Bendahara di kerajaan Johor.9 Namun begitu, pelantikan

Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV sebagai sultan telah ditentang oleh Orang Laut kerana baginda bukan daripada keturunan Bukit Seguntang Mahameru (Palembang).

Kerajaan Johor dikatakan kehilangan ketaatan orang laut yang selama ini menjadi tonggak keselamatan kerajaan Johor. Perpaduan anggota masyarakat juga menjadi kian longgar dan menyebabkan kemasukan pengaruh Siak dan Bugis ke dalam institusi politik dan masyarakat di Johor-Riau.10 Pada 1699, Raja Kecil yang merupakan ketua orang

Minangkabau di Siak mengisytiharkan dirinya sebagai pewaris takhta Johor. Antara tahun 1718 hingga 1721, takhta kerajaan Johor telah dirampas oleh Raja Kecil dan beliau mengangkat dirinya sebagai sultan Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah. Namun demikian Raja Sulaiman, putera Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV (1699-1718) berjaya merampas semula takhta kerajaan Johor dengan bantuan opu-opu Bugis iaitu Daeng Perani, Daeng Marewah, Daeng Kemasi, Daeng Kemboja dan Daeng Menambun pada tahun 1722. Dengan kejayaan tersebut, Raja Sulaiman dilantik menjadi sultan Johor dan Daeng Marewah sebagai Yamtuan Muda yang sebenarnya lebih berkuasa daripada Sultan. Maka, bermulalah pengaruh Bugis dalam kerajaan Johor-Riau.11

8 Ibid, hlm. 22.

9 Ibid, hlm. 22-23.

(4)

Sejarah Johor pada peringkat ini amat bekait rapat dengan sejarah kerajaan Selangor dan akan dibincangkan di bawah nanti. Dalam tahun 1769, Raja Mahmud lll diangkat sebagai Sultan Johor Riau kerana dipersetujui sebulat suara oleh anak-anak Raja Bugis dengan gelaran Sultan Mahmud lll. Baginda telah bertindak melantik Temenggung Abdul Hamid sebagai Temenggung Johor yang juga diiktirafkan oleh Inggeris sebagai Temenggung Johor Singapura. Anakanda Temenggung Abdul Hamid iaitu Temenggung Daeng Ibrahim telah dilantik sebagai Temenggong Johor selepas kemangkatan ayahandanya pada 1825. Pelantikan ini merupakan titik permulaan Dinasti Temenggung memerintah kerajaan Johor sehingga mewujudkan Kesultanan Johor Moden dan diteruskan hinggalah ke sekarang.12 3.0SEJARAH NEGERI PAHANG

Pahang Darul Makmur dapat dibuktikan oleh ahli-ahli sejarah bahawa negeri ini telah wujud sejak dari zaman batu lagi. Sungai Lembing, Sungai Tersang dan Sungai Tembeling merupakan antara petempatan awal yang wujud di Pahang. Sebagai buktinya, terdapat beberapa benda purba yang dijumpai tertanam dalam tanah di negeri ini, iaitu barang dan perkakas seperti kapak genggam, beliung dan pahat yang diperbuat daripada batu oleh orang zaman batu pertengahan dahulu. Jumpaan benda purba juga terdiri daripada tembikar, gangsa dan besi kuno buatan orang zaman purbakala.13 Negeri Pahang Darul

Makmur juga mempunyai pelbagai nama pada zaman dahulu. Mengikut catatan penggembara Arab serta Eropah dan China, Pahang telah disebut sebagai Pam, Pan, Phang, Paam, Pao, Paham, Fanhan, Phang, Peng-Heng, Pong-Fong, Peng-keng dan sebagainya. Bukan itu sahaja, gelaran lama yang terkenal bagi negeri Pahang Darul Makmur ialah Inderapura.

Pada zaman dahulu, ibu negeri Pahang ialah Pekan, namun ia dikenali sebagai Pura sebelum ditakluki oleh kerajaan Melayu Melaka.14 Menurut Asmad (1987), perhubungan

negeri Pahang dengan negeri-negeri lain adalah disambung oleh jalan-jalan sungai. Jalan menuju ke Kelantan adalah melalui Sungai Tanum, anak Sungai Jelai atau Sungai Sat dan Sungai Sepia, kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Bagi Negeri Perak, perhubungan adalah mengikut Sungai Bertam dan Sungai Lipis. Kedua-duanya adalah anak Sungai Jelai. 11 Lisa Yip Shukye, Jais Bin Abdul Hamid. Sejarah Politik Malaysia Sehingga Awal Abad Ke-20. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdb Bhd,1969, hlm 44-45.

12 Sejarah Kesultanan Johor. http://kemahkotaan.johor.gov.my/pengenalan/sejarah-kesultanan-johor/. Diakses pada 17 Ogos 2015.

13 Wikipedia. Sejarah Negeri Pahang. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Negeri_Pahang. Diakses pada 19 Ogos 2015.

(5)

Selain itu, perhubungan Pahang dengan negeri Selangor pula adalah melalui Sungai Semantan (rujuk rajah 3.1) dan cabang-cabangnya.

Catatan sejarah menyebutkan bahawa Pahang pernah dikuasai orang Siam dengan bukti sekarang masih terdapat nama-nama tempat di Pahang yang menggunakan nama Siam seperti Parit Siam, Kolam Siam, Tombak Siam dan Padang Siam. Pada kurun keempat belas, Pahang juga diserang dan ditakluk di bawah kuasa kerajaan Majapahit.15 Menurut

riwayat tua pula, pemerintahan negeri ini dijalankan dengan cara pemerintahan beraja. Hal ini demikian kerana Pahang juga pernah diperintah oleh sultan-sultan yang berasal dari Kesultanan Melayu Melaka. Pada tahun 1454, Sultan Mansur Syah, putera kepada Sultan Muzaffar Melaka telah menghantar satu pasukan perang untuk menyerang Pahang. Maharaja Dewa Sura, pemerintah Siam di Pura (Pekan) cuba melarikan diri ke Ulu Pahang tetapi dapat ditawan oleh angkatan perang Melaka. Dengan kekalahan itu mulalah negeri Pahang ditakluki oleh kerajaan Melaka.16

Pada peringkat awalnya Pahang diperintah oleh wakil sultan Melaka bergelar Seri Bija Diraja iaitu seorang penglima perang Melaka. Walau bagaimanapun, Raja Muhammad Shah merupakan keluarga diraja Melaka yang mula-mula dihantar menjadi sultan di Pahang. Menurut Asmad (1987) juga, pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah, puteranya, Raja Muhammmad telah membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak kerana bola sepak raga telah disepak oleh Tun Besar secara tidak sengaja ke atas dastar Raja Muhammmad. Untuk membalas tindakan zalim itu, Sultan Mansur Shan telah membuang Raja Muhammad ke negeri Pahang dan dirajakan di situ. Pada tahun 1470, Raja Muhammad telah ditabalkan menjadi Sultan Pahang yang pertama dan baginda mangkat pada tahun 1475. Negeri Pahang pernah diperintah oleh 12 orang sultan keturunan Kesultanan Melayu Melaka. Selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II pada tahun 1966, maka putuslah keturunan raja-raja Pahang yang berasal dari kerajaan Melayu Melaka.17

Kemudian, takhta Pahang diambil alih oleh Sultan dari Kerajaan Johor-Riau pada tahun 1615 dengan perlantikan Raja Bujang sebagai Sultan Johor Pahang. Hal ini demikian kerana ayahanda Raja Bujang telah menandatangani perjanjian damai dengan Portugis. Sebagai balasan Portugis telah melantik Raja Bujang sebagai permerintah di Pahang untuk 15 Ibid, Pahang Darul Makmur, hlm.11-13.

16 Arkib Negara. (2012). Sejarah Kesultanan Pahang. http://mdpekan.gov.my/sejarah-kesultanan?p_p_id=56_ INSTANCE_Ob7J&p_p_lifecycle=0&p_p_state=pop_up&p_p_mode=view&page=1. Diakses pada 19 Ogos 2015.

(6)

menggantikan anak Sultan Abdul Ghafur tetapi tidak diiktiraf oleh Raja Acheh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Ini telah menyebabkan Acheh menyerang Pahang pada tahun 1617 sehingga Raja Bujang terpaksa berundur diri ke Johor. Kemudian, raja Acheh telah menerima Raja Bujang dan melantik Baginda sebagai Sultan Johor-Pahang yang bergelar Sultan Abdul Jalil Shah III pada tahun 1623.18

Semasa kerajaan Acheh menyerang Pahang, Raja Ahmad iaitu putera almarhum Sultan Abdul Kadir Raja Pahang yang ke-10 telah membawa puteranya, Raja Iskandar Thani ke Acheh. Raja Iskandar Thani kemudiannya memperisteri puteri Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam raja Acheh. Dalam tahun 1636, Sultan Iskandar Muda telah mangkat dan takhtanya diganti oleh menantunya Raja Iskandar Thani yang digelar Sultan Iskandar Thani. Dengan demikian pada tahun 1637, kerajaan Acheh dan Pahang telah berdamai dan berbaik-baik semula.19 Apabila Sultan Iskandar Thani mangkat pada 1641, Acheh kemudian

diperintah oleh balunya, Raja Perempuan Ratu Sultanah Tajul Alam. Sejak itulah pengaruh Acheh mulai merosot dan membolehkan kerajaan Johor berkuasa ke atas negeri Pahang.20

Pada tahun 1699, negeri Pahang diperintah oleh keturunan Bendahara yang berasal dari negeri Johor iaitu Sultan Abdul Jalil IV. Baginda ialah anakanda Tun Habib Abdul Majid iaitu Bendahara kepada Sultan Mahmud Shah II. Lama-kelamaan, kekuasaan kerajaan Johor ke atas Pahang beransur-ansur lemah. Kelemahan itu adalah akibat kerajaan Johor-Pahang yang mula berpecah dua iaitu antara Orang Besar Melayu dan Orang Besar Bugis. Pada tahun 1819, Bendahara Ali mula menguatkan kedudukannya di Pahang sebagai pemerintah dan Temenggung pula berkuasa di Johor.21 Namun begitu, Bendahara Ali telah

mengisytiharkan dirinya sebagai Raja Pahang yang tidak tertakluk di bawah mana-mana negeri pada tahun 1853. Tetapi pada hakikatnya Pahang masih berada di bawah penguasaan kerajaan Johor sehingga tahun 1864.22 Pada tahun 1847, Bendahara Ali

bersara dan menyerahkan kuasa pada putera sulungnya, Wan Mutahir.

Pada tahun 1857, kemangkatan Bendahara Ali menimbulkan perbalahan antara 2 puteranya, Wan Ahmad dengan Wan Mutahir sehingga menyebabkan perang saudara yang 18 Wikipedia. Sultan Abdul Jalil Shah III. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abdul_Jalil_Shah_III. Diakses pada 19 Ogos 2015.

19 Asmad, Pahang Darul Makmur, hlm. 16.

20 Wikipedia. Sultan Abdul Jalil Shah III.

21 Arkib Negara. (2012). Sejarah Kesultanan Pahang.

(7)

berlarutan dari tahun 1857 hingga 1863. Sebelum itu, Bendahara Ali telah menandatangani surat pengisytiharan menjatuhkan hukuman mati terhadap Wan Ahmad. Ini menyebabkan Wan Ahmad melarikan diri ke Singapura dan kembali ke Pahang berikutan kematian Bendahara Ali. Pelantikan Wan Mutakir sebagai Bendahara Pahang untuk mengganti ayahandanya telah menimbulkan ketidakpuashati adindanya. Oleh itu, Wan Ahmad bertindak menentang dan menyerang abangnya Wan Mutakhir. Konflik ini juga telah melibatkan Temenggung Johor, Sultan Terengganu dan pihak British yang memainkan peranan politik. Hal ini demikian kerana Wan Ahmad meminta bantuan dari Temenggung Ibrahim Johor dan pihak-pihak yang lain. Walau bagaimanapun, konflik ini berakhir berikutan kematian Wan Mutahir pada tahun 1863.23

Selepas itu, Wan Ahmad telah dilantik menjadi pemerintah Pahang dengan gelaran Bendahara Siwa Wak Raja Pahang. Pada 10 Jun 1863 juga Orang Besar Empat telah menjemput Baginda menjadi Raja Negeri Pahang. Sebagai pemerintah, baginda berusaha mengatur undang-undang negeri Pahang dan berjaya memulihkan ekonomi negeri selepas mengalami penderitaan perang saudara selama tujuh tahun. Pada Ogos 1882, Bendahara Wan Ahmad mula memakai gelaran Sultan Ahmad Muadzam Shah yang dirasmikan oleh orang-orang Besar Pahang. Bagindalah keturunan Bendahara Pahang yang pertama kali menggunakan gelaran Sultan Pahang. Dengan pengisytiharaan rasmi penggunaan nama sultan ini, munculnya sebuah keluarga kesultanan baru di Pahang sehingga kini.24

4.0SEJARAH KERAJAAN SELANGOR

Penemuan arkeologi telah membuktikan bahawa Selangor mula didiami manusia sekurang-kurangnya 2 ribu tahun yang dulu walaupun tiada bukti-bukti sejarah yang lebih jelas dapat menentukan kisah sejarah Selangor. Antara peralatan yang dijumpai ialah gendang gangsa di Bukit Kuda, tiga buah loceng gangsa dan Tulang Mawas di Klang dan sebagainya. Menurut Haji Buyong Ali, kesemua gendang gangsa merupakan peralatan buatan manusia pada zaman ‘Kebudayaan Gangsa-Besi’ atau ‘Kebudayaan Dong Son’. Pada kurun Masihi yang ke-15, didapati beberapa daerah wujud di Selangor, iaitu Klang, Jeram, Langat, Jugra dan Selangor (Kuala Selangor) yang terletak di bawah taklukan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka. Ketika zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Shah di Melaka, Tun Perak (anak bendahara) dilantik sebagai penghulu Klang.25 Apabila Melaka ditewaskan oleh Portugis,

23 Ibid, hlm,16.

24 Ibid, hlm,17-19.

(8)

kesultanan kerajaannya dipindah ke Johor dan Selangor pula menjadi wilayah taklukan Johor sehingga ke abad ke-18.

Pada kurun Masihi yang ke-17 pula didapati bahawa Kuala Selangor telah didiami oleh orang-orang Bugis dan diketuai oleh pemimpin perempuan yang bernama Upu Chendera Burung.26 Pada tahun 1717, Raja Kecil telah meminta bantuan raja-raja Bugis untuk

merampas Kerajaan Johor-Riau daripada tangan Sultan Abdul Jalil IV tetapi tidak disetujui. Selepas itu, Raja Kecil membawa angkatan perangnya untuk menyerang negeri Johor dan berjaya menakluknya serta menurunkan Sultan Abdul Jalil IV dari tahkta kerajaan. Baginda telah menggelar dirinya sebagai Sultan Abdul Jalilm Rahmat Shah dan memperisteri Tengku Kamariah iaitu puteri bongsu Sultan Abdul Jalil.27

Apabila Raja-raja Bugis lima bersaudara (Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) diminta pertolongan daripada Raja Sulaiman dan Bendahara di Riau untuk mendapatkan kerajaan Johor-Riau dari Raja Kechil, Raja-raja Bugis pun berangkat menyerang lalu mengalahkan Raja Kecil dengan bantuan orang-orang Bugis di Selangor. Masalah-masalah yang dihadapi Raja Kecil ialah baginda dikalahkan malah dihalau keluar dari Riau dan pergi ke Lingga. Apabila Raja-raja Bugis pergi ke Selangor dan Raja Sulaiman bertolak pergi ke Pahang kerana ingin mengumpulkan wang untuk menyediakan kelengkapan perang, Raja Kecil yang berdiam di Lingga mengambil peluang pergi Riau untuk merampas balik kerajaannya. Walau bagaimanapun, raja-raja Bugis dan Raja Sulaiman tetap berjaya mengambil balik serta menduduki semula kerajaan Riau. Raja Kecil pun lari ke Siak dan menjadi pemerintah di situ.28

Setelah Raja-raja Bugis lima bersaudara itu membuat perjanjian sumpah setia dengan Raja Sulaiman di Riau, mereka melantiknya menjadi Yang Dipertuan Besar dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah di Kerajaan Johor-Riau pada tahun 1722. Daeng Merewah juga dipilih dalam kalangan Raja-raja Bugis untuk menjadi Yamtuan Muda I.29

Kemudiannya, adik perempuan Sultan Sulaiman iaitu Tengku Tengah telah dikahwinkan dengan Daeng Parani, manakala seorang lagi adik Sultan Sulaiman Tengku Mandak dikahwinkan dengan Daeng Chelak.30 Sejak itu pusat kekuatan orang Bugis yang berada di

26Sejarah Kesultanan Selangor, http://ku-alam.blogspot.com/p/sejarah-kesultanan-selangor.html. Diakses pada 20 Ogos 2015.

27 Haji Buyong Bin Adil. Sejarah Selangor. hlm.9.

28 Ibid, Sejarah Selangor, hlm.10-11.

(9)

Selangor berpindah ke Riau dan menyebabkan hubungan antara orang Bugis di Riau dengan orang Bugis di Selangor bertambah baik.

Pada tahun 1728, Daeng Marewah dari Riau datang ke Selangor dengan membawa orang Bugis untuk membantu adik Sultan Perak (Sultan Inu) di Bernam menyerang abangnya Sultan Alauddin Mughayat Shah. Pada tahun itu juga, Daeng Marewah mangkat di Riau dan digantikan oleh adiknya Daeng Chelak untuk menjadi Yang Dipertuan Muda Riau II.31 Sekitar

tahun 1730-an, seorang Bugis bernama Daeng Mateko yang berbaik dengan Raja Kecil dari Siak telah mengacau ketenteraman di Selangor. Ini membuatkan Paduka Sri Raja Chelak (Daeng Chelak) pergi ke Kuala Selangor dengan angkatan perang dari Riau bagi mengamankan kekacauan yang tercetus. Dalam misi ini Daeng Mateko dapat dikalahkan dan kemudiannya lari ke Siak. Semenjak dari itu, Paduka Sri Raja Chelak sentiasa berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor bagi memastikan keamanan di Selangor berterusan.32

Ketika Paduka Sri Raja Chelak berada di Kuala Selangor, penduduk Kuala Selangor meminta baginda terus menetap di situ tetapi permintaan mereka ditolak. Walau bagaimanapun, baginda telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu bergelar Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil), selepas itu baginda pulang ke Riau bersama-sama dengan rombongan anak buah baginda yang datang dari Riau. Tidak lama kemudian, baginda pun mangkat pada tahun 1745.33

Puteranya Raja Lumu yang masih kecil lagi hanya disebut sebagai Tengku Selangor atau Raja Selangor. Takhtanya juga diserah kepada Daeng Kemboja dengan gelaran Yamtuan Muda Riau III oleh Sultan Sulaiman. Sehingga tahun 1770 barulah Raja Lumu digelar sebagai Sultan Sallehudin Shah.34

Pada tahun 1759, Raja Selangor (Raja Lumu) dan adinda baginda iaitu Raja Haji mengetuai orang-orang Bugis di Riau pergi mengadap Sultan Sulaiman. Tujuan mereka ialah mendesakkannya supaya menyerah balik pemerintahan Riau kepada orang-orang Bugis terutamanya Yamtuan Muda Daeng Kemboja kerana Daeng Kemboja pernah berperang dengan pihak Belanda di Melaka dan telah membuat suatu perjanjian damai dengan pihak 30 Wikipedia. Sejarah Bugis di Tanah Melayu. https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Bugis_di_Tanah_Melayu. Diakses pada 22 Ogos 2015.

31 Ibid, Sejarah Selangor, hlm.9-12.

32 Sejarah Kesultanan Selangor.

33 Ibid.

(10)

Belanda. Selepas itu Daeng Kemboja dan Raja Haji pun beralih untuk tinggal di Pedas. Akhirnya, Sultan Sulaiman bersetuju dan baginda mangkat di Riau. Puteranya iaitu Raja Abdul Jalil pula ditetapkan untuk mengganti ayahandanya tetapi juga mangkat pada 1761 di Selangor. Selepas kemangkatan Raja Abdul Jalil, Daeng Kemboja menjadi orang yang paling berkuasa dalam menjalankan pemerintahan di kerajaan Johor-Riau serta mendapat perkenan dari Datuk Engku Klang Raja Haji.35

Tidak lama kemudian, dengan persetujuan Daeng Kemboja dan orang-orang besar Bugis di Riau, Raja Ahmad putera kepada Raja Abdul Jalil ditabal menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Ahmand Riayat Shah untuk menggantikan ayahandanya. Belum lama menjadi sultan, baginda mangkat pula dan diganti oleh adiknya Raja Mahmud yang digelar sebagai Sultan Mahmud Shah. Oleh kerana pada masa itu baginda masih sangat muda, maka semua hal ehwal pemerintahan negeri terserah kembali kepada Yamtuan Muda Daeng Kemboja dan Engku Klang Raja Haji. Menurut Tuffatul al Nafis karangan Almarhum Raja Ali Al Haji, Riau, ketika Tengku Raja Selangor (Raja Lumu) berkelah di Pulau Pangkor, baginda telah dijemput oleh Yang Di-Pertuan Perak untuk mengadapnya. Dalam perundingan di antara kedua-dua pihak itu bersetuju melantik Tengku Raja Selangor menjadi Yang Di-Pertuan Besar Selangor.36 Dalam majilis penabalan, baginda diberi cap mohor dan diberi gelaran

Sultan Salehuddin Shah dengan membunyikan nobat. Kemudian Sultan Salehuddin Shah pun berangkat pulang ke Kuala Selangor diiringi sendiri oleh Yang Dipertuan Besar Perak. Setelah sampai ke Kuala Selangor, Sultan Salehuddin ditabalkan di hadapan rakyat Selangor dan pembesar Perak dengan penuh istiadat.37

Pada tahun 1777, Yamtuan Muda Daeng Kemboja mangkat di Riau. Apabila perkara ini diketahui Raja Haji yang berada di Kalimantan Barat, baginda segera belayar balik ke Pahang untuk berjumpa Bendahara Abdul Majid supaya ditabal menjadi Yamtuan Muda Riau IV. Selepas setahun Raja Haji menjadi Yamtuan Muda, Sultan Salehuddin pula mangkat di Selangor. Kemangkatan Sultan Selehuddin menyebabkan Raja Haji Yamtuan Muda Riau IV pergi ke Selangor lalu melantik anak saudaranya, Raja Ibrahim iaitu putera Sultan Salehuddin untuk menjadi Sultan Selangor dengan gelaran Sultan Ibrahim Shah. Kemudiannya Raja Haji pun bertolak balik ke Riau. Semasa pemerintahan Sultan Ibrahim,

35 Ibid, hlm.18-19.

36 Ibid, hlm.20.

(11)

baginda telah melantik adindanya Raja Nala sebagai Raja Muda Selangor dan dua orang yang lain menjadi Orang Besar bergelar di Selangor.38

Sultan Ibrahim dianggap seorang sultan yang gagah berani. Hal ini dapat dibuktikan dengan kegagahan Sultan Ibrahim menentang dan menyerang pihak Belanda apabila mengetahui ayah saudaranya Raja Haji sedang bertempuran dengan angkatan Belanda.39 Peperangan

ini tercetus kerana pihak Belanda melanggari perjanjiannya dengan tidak membahagikan harta rampasan dari kapal kompeni Inggeris kepada pihak Raja Haji. Ini mengakibatkan ketidakpuas hati Raja Haji dan baginda bertindak menentang Belanda dengan membuat serangan mengganggui perniagaan Belanda di Selat Melaka. Perbuatan Raja Haji telah menimbulkan kemarahan pihak Belanda dan mereka menyerang balik serta hendak menawan kerajaan Riau. Setelah mengetahui keadaan Raja Haji, Sultan Ibrahim dengan Raja Nala pun membawa angkatan perang yang terdiri daripada orang-orang Bugis serta orang Rembau untuk memberi bantuan kepada ayah saudaranya serta menyerang pihak Belanda di Batang Tiga, Melaka. Pihak Belanda juga menyerang angkatan Sultan Ibrahim dari Kota Melaka di bandar Melaka. Sesi peperangan ini mengakibatkan banyak askar Belanda dan askar Melaka terkorban dan pihak Belanda terpaksa berundur balik ke bandar Melaka.

Dapatlah dikatakan bahawa pihak Belanda menghadapi dua pertentangan, iaitu dari Raja Haji di Riau dan Sultan Ibrahim di Melaka.40 Namun begitu, pihak Belanda berhenti

mengepung Riau dan balik ke Melaka selepas letupan kapal Belanda ‘Malakka’s Welvaren’. Raja Haji pula pergi Melaka untuk membantu angkatan Sultan Ibrahim. Pihak Belanda yang kemudiannya mendapat bantuan dari Raja Muhammad Ali, putera Raja Kecil Siak telah bertambah kuat dan serangan mereka menyebabkan kemangkatan Raja Haji dan kematian ramai askar Bugis. Selepas itu, orang-orang dari Sultan Ibrahim berundur ke Kuala Selangor manakala orang Rembau balik ke tempat mereka sendiri. Jenazah Raja Haji kemudiannya dimakamkan di Teluk Ketapang digelar Marhum Ketapang.41

Sekali lagi pihak Belanda bertolak ke Kuala Selangor menyerang tempat semayam Sultan Ibrahim. Setelah dua minggu berperang, pihak Belanda berjaya menawan Kuala Selangor. Sultan Ibrahim terpaksa berundur ke Ulu Selangor, Bernam dan akhirnya tiba di Pahang. 38 Haji Buyong Bin Adil. Sejarah Selangor. hlm.21-22.

39 Paduka Sri Sultan Ibrahim. http://ku-alam.blogspot.com/2011/07/paduka-sri-sultan-ibrahim-1778-1826.html. Diakses pada 23 Ogos 2015.

40 Haji Buyong Bin Adil. Sejarah Selangor. hlm.22-24.

(12)

Dengan bantuan Bendahara Abdul Majid iaitu pemerintah Pahang serta orang-orang Pahang, Sultan Ibrahim menyerang pihak Belanda secara mengejut di kota Kuala Selangor dan berjaya memundurkan musuh mereka. Sejak itu Sultan Ibrahim menduduki tahkta kerajaan Selangor semula pada tahun 1785. Beberapa bulan kemudian pihak Belanda bertindak mengepung Kuala Selangor dan mengakibatkan kesusahan rakyat kerana harga barang makanan dalam negeri melambung tinggi. Akhirnya, selepas Belanda mengepung Kuala Selangor selama satu tahun, kedua-dua pihak ini bersetuju untuk menandatangani perjanjian damai pada 29 Jun 1786.42

5.0SEJARAH NEGERI KEDAH

Semasa zaman awalnya, negeri Kedah dikenali sebagai Kerajaan Kedah Tua kerana ianya tergolong dalam kelompok kerajaan Melayu Tua. Kedah dipercayai telah wujud lebih awal daripada Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka lagi. Ia juga dikatakan diasaskan pada abad ke-5 dan berakhir pada abad ke-13. Dalam penulisan I-Ching, Kedah kerapkali disebut sebagai "Chiah-Chin", "Kie Ta'a" ataupun "Kieteha". Orang Cina juga panggil Kedah sebagai Cheh-Cha. Menurut rujukan mengenai Kedah dalam tulisan-tulisan Sankrit, Kedah dikenali sebagai Kataha, Kadara, Kalagam atau Kadaram. Pedagang Arab pula menyebut Kedah sebagai Kalah, Kalah Bar atau Qalha manakala Orang Siam memanggil daratan Kedah sebagai Sai.43

Bukan itu sahaja, ramai sejarawan menganggap Kedah sebagai negeri yang tertua sekali di Tanah Melayu. Hal ini demikian kerana terdapatnya penemuan arkeologi di kawasan-kawasan tertentu di Kedah yang membuktikan adanya penempatan semenjak kurun ke-4 lagi. Daripada penemuan-penemuan arkeologi, alat-alat bercucuk tanam telah dijumpai. Kajian juga menunjukkan bahawa penduduk-penduduk di kawasan tersebut pada ketika itu terdiri daripada golongan orang-orang Melayu-Proto. Kedah turut dikatakan pernah terletak di bawah kuasa Palembang diikuti dengan kuasa raja-raja Chola dan kemudian kuasa Majapahit.

Barbosa, penulis portugis yang menulis dalam tahun 1516, menyatakan bahawa, Kedah Tua muncul sebagai pusat perdagangan maritim yang terkenal pada abad ke-5 hingga ke-11. Kedudukannya yang strategik iaitu di utara Tanah Melayu menjadi ianya sebagai satu jambatan yang dilalui oleh manusia di dalam proses migrasi dari utara ke selatan. Kemasyhuran sistem perdagangan kerajaan Kedah dapat dilihatkan apabila kapal-kapal Arab datang dari merata tempat untuk berdagang. Di Kedah juga terdapat banyak lada 42 Ibid, hlm.27-31.

(13)

hitam, bijih timah, tembikar, rotan dan sebagainya untuk dibawa keluar ke China melalui Melaka. Sehingga akhir kurun ke~14, Kedah kembang sebagai pusat perdagangan bijih timah dan pusat kegiatan agama Buddha dan Hindu yang kuat tetapi selepas kejatuhan Palembang dan kemerosotan kuasa Majapahit, Kedah jatuh ke bawah kuasa Siam.44

Bagi Sejarah Kedah, terdapat dua lagi bahan rujukan yang terkenal iaitu Hikayat Merong Mahawangsa yang ditulis selepas tahun 1643 dan al tarikh salasilah Negeri Kedah dalam tahun 1927. Menurut Hikayat Merong Mahawangsa, Kedah wujud pada abad ke-7. Raja Kedah yang pertama iaitu Merong Mahawangsa telah memeluk Islam dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Sejak zaman Kerajaan Shukotai lagi, Kedah telah ditakluk oleh Siam dan terpaksa menghantar ufti kepada kerajaan Siam sebagai tanda dinaungi. Kedah juga mempunyai konflik iaitu menghadapi tekanan berat daripada pihak Burma dan Siam pada abad ke-18 dan awal abad ke-19 kerana kedua-dua kerajaan tersebut mahu menguasai negeri-negeri Melayu di utara Tanah Melayu. Bagi menghadapi situasi itu, Kedah terpaksa menjalankan ‘dasar suai-faedah’ iaitu mengambil sikap mengakui kedua-dua pertuanan.

Pada awal abad ke-19, hubungan Kedah dengan Siam menjadi agak erat dan Kedah pada ketika itu adalah berada di bawah tampuk pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (1803-1842). Semasa zaman pemerintahan baginda, Kedah membantu Siam dalam banyak perkara seperti membekal anggota tentera, makanan dan membantu Siam menyerang wilayah lain. Bagi menghargai bantuan dan kesetiaan baginda, Siam menganugerahkan Sultan Ahmad Tajuddin II dengan gelaran Chao Phraya. Namun, tetap berlaku kesangsian Raja Siam kepadanya apabila baginda tidak mahu mengadap Rama III apabila diminta berbuat demikian. Apabila mendengar berita baginda menukar kota pemerintahannya ke satu tempat di Merbok, pihak Siam melancarkan serangan pada 1821 dan berjaya menawan Kuala Kedah dalam keadaan rakyat Kedah tidak bersedia untuk berperang. Walau bagaimanapun, baginda Sulltan Ahmad Tajuddin II kembali mendapat takhtanya melalui Rama III dengan bantuan pihak Inggeris.45

Menurut Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah pula, negeri Kedah adalah diasaskan oleh Maharaja Durbar Raja. Baginda merupakan keturunan Parsi dan telah datang ke Kedah akibat peperangan yang berlaku di Parsi. Kemudian, Maharaja Durbar Raja dilantik menjadi raja Kedah oleh dua pembesar iaitu Tun Perkasa dan Tun Derma Dewa. Baginda memeluk Islam dan menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Shah. Sultan Muzaffar Shah ini telah

44 Sejarah, http://www.kedah.gov.my/sample-levels/20-profil-negeri/1-sejarah. Diakses pada 2 Sep 2015

45 Kerajaan Negeri-Negeri Melayu. http://cikguazid.com/nota-sejarah-ting-1/bab-8-kerajaan-negeri-negeri-melayu/. . Diakses pada 2 Sep 2015.

(14)

membahagikan Kedah kepada tiga pusat pentadbiran iaitu Kota Palas, Langkawi, Kota Ulu. Kota Setar pula dijadikan pusat pentadbiran yang baru.46

6.0SEJARAH NEGERI KELANTAN

Sejarah awal Kelantan tidak begitu jelas, tetapi penemuan arkeologi menunjukkan kesan petempatan manusia di zaman prasejarah. Catatan sejarawan China – Shen-Yau dari Dinasti Tang (618-907M) ada menyebut lokasi tempatan yang bernama ‘Ko-lo’, ‘Ko-lo-fu’, ‘Ho-lan-tan’ atau ‘Kuo-lan-tan’ yang berkemungkinan besar merujuk kepada Kelantan. Menurut Gerini pula, nama Kelantan berasal dari gabungan perkataan ‘kolam’ bermaksud tanah dan perkataan ‘autam’ bermaksud sempadan.47 Kelantan awal mempunyai

perhubungan dengan Empayar Funan, Empayar Khmer, Srivijaya dan Siam. Sebelum kemunculan Empayar Melaka, Empayar Srivijaya dikatakan sebagai satu empayar yang berpengaruh di Kelantan. Bermula pada kurun ke-14, Kelantan dipengaruhi kuasa Sukhotai di bahagian utara dan kerajaan Majapahit di kawasan selatan.48 Kira-kira pada tahun 1411,

Raja Kumar, raja Kelantan, membebaskan negeri itu dari Siam. Beliau memakai gelaran Sultan Iskandar Shah apabila memeluk Islam.

Pada kurun ke-15, negeri Kelantan menjadi sebuah pusat perdagangan yang penting dan dikatakan lebih berpengaruh berbanding dengan kerajaan Patani. Keadaan ini menyebabkan empayar Melaka berminat untuk menakluki Kelantan dan seterusnya berjaya menaklukinya. Keadaan ini menyebabkan Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Mansur Syah berundur ke Patani dan kembali semula setelah menerima kedaulatan daripada Kerajaan Melaka. Walau bagaimanapun, perhubungan yang dilangsungkan Sultan Mahmud dengan kerajaan Kelantan tidak bertahan lama disebabkan serangan angkatan Portugis ke atas Melaka. Dalam Sejarah Melayu diceritakan ada seorang putera kerajaan Johor-Riau yang ditabalkan sebagai pemerintah negeri Kelantan dengan memegang gelaran Sultan Hussein. Setelah kemangkatan baginda, digantikan Cik Siti Wan Kembang sebagai pemerintah dan raja. Semasa pemerintahannya, kekuasaan kerajaan Johor-Riau semakin merosot.49

Bermula kurun ke-18, Kerajaan Jembal adalah terletak di bawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar. Selepas kemangkatan Raja Omar, Tuan Besar Long 46 Ibrahim Ismail. Sejarah Kedah Sepintas lalu, hlm. 42.

47 Mohd Taib Osman. Hikayat Seri Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press, 1961, hlm.7.

48 Abdul Razak Mahmud. Ikhtisar Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd, 2005, hlm.12.

49 Abdullah Mohammad. Keturunan Raja-raja Kelantan dan Peristiwa-peristiwa Bersejarah. Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, 1981, hlm. 13.

(15)

Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak putera sulungnya, Raja Kecil Sulung. Pada 1733, Long Sulaiman iaitu putera Tuan Besar menggantikan takhta ayahandanya dan dikurniai seorang putera yang bernama Long Yunus. Walau bagaimanapun, baginda mati dibunuh oleh menantunya, Long Deraman pada tahun 1756 di Kota Kubang Labu kerana perebutan kuasa. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya Long Muhammad pula dilantik menjadi Raja Muda.50

Selepas kematian Long Pendak akibat dibunuh oleh Long Deraman pada 1758, Long Muhamad telah dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahannya, satu perang meletus antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dengan Long Gaffar, putera kepada Raja Reman di Hulu Perak. Akhirnya, Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu dapat dikuasai oleh Long Yunus. Bagi mengenang jasa Long Gaffar, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi perdana menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh.

Pada akhir abad ke-18, Kota Kubang Labu muncul sebagai sebuah kota terkuat di Kelantan. Maka, Long Yunus ingin mengundurkan diri ke Terengganu untuk mendapatkan bantuan kerajaan Terengganu menentang kekuasaan Legih di Kelantan. Baginda turut memohon bantuan ketenteraan daripada Sultan Mansur yang baharu pulang dari Riau. Dengan bantuan angkatan ketenteraan dari kerajaan Riau, masyarakat Kelantan serta bantuan ketenteraan Long Gaffar, Long Yunas berjaya menumbangkan pengaruh Legih di negeri Kelantan. Baginda selanjutnya mengisytiharkan dirinya sebagai Yang DiPertuan Kelantan pada tahun 1765 dengan menjadikan Kota Kubang Labu sebagai pusat pemerintahannya. Dengan perkataan lain, baginda juga berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja pada tahun 1765.51

Pada tahun 1794, berlaku pertikaian antara Long Yunus dengan Raja Terengganu dan menyebabkan Kelantan diserang oleh Terengganu yang mendapat bantuan daripada tentera Patani. Selepas kemangkatan Long Yunus, takhtanya diambil alih puteranya Long Muhammad. Long Muhammad kemudian menyerang balas dari Ulu Kelantan sehingga berjaya membebaskan Kelantan daripada pengaruh Terengganu. Baginda mengisytiharkan dirinya sebagai Sultan Muhammad I dan menjalin hubungan dengan Siam dengan 50 Mohd Taib Osman, hlm.13.

(16)

menghantar bunga emas kepada Siam setiap tiga tahun sekali bagi mengelakkan serangan luar. Sebagai kesannya Terengganu tidak lagi bermusuh dengan Kelantan. Namun begitu, di bawah syarat Perjanjian British-Siam pada 1909, Siam menyerahkan tuntutan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain, dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah Residen British.

7.0 ULASAN KRITIS TERHADAP ARTIKEL “EMPAYAR MELAKA SEPINTAS LALU”

Setelah membaca artikel “empayar Melaka sepintas lalu”, dapatlah disimpulkan bahawa pernyataan “keseluruhan Semenanjung Tanah Melayu adalah bermula dari semenjak zaman Melaka berkuasa dan bukanlah satu ciptaan British sahaja bagaimana yang dianggap oleh sesetengah pengarang Barat” adalah betul dan saya sangat bersetuju dengannya. Artikel yang dikarang oleh Zainal Abidin Abdul Wahid ini telah menganalisiskan kemasyhuran kerajaan Melaka sebagai pusat perdagangan dan pusat pengkajian agama Islam. Melaka yang menghadapi ancaman dari Siam juga berusaha memperkuatkan diri dan akhirnya berkembang sebagai satu empayar Melaka yang menakluki banyak negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Pengarang percaya bahawa perhubungan kerajaan Melaka dengan dunia luar seperti Siam dan China telahpun terjalin untuk tujuan keselamatan negara. Namun, tindakan kerajaan Melaka menghantar surat yang ditulis dengan cara yang halus malah penuh berhormat kepada negeri China disalah anggap oleh ahli sejarah China bahawa Melaka mengakui dirinya sebagai negeri lindungan China. Walau bagaimanapun, tiada di bahagian mana dalam Sejarah Melayu yang menyebut tentang keadaan negeri lindungan ini. Melaka yang menghantar ufti kepada China juga sekadar menjalin hubungan perdagangan dengannya seperti yang dikatakan oleh profesor Wang Gangwu. Dalam konteks ini, Melaka turut berbaik-baik dengan Siam supaya menjamin perkembangan pusat perdagangan, memastikan bekalan beras yang cukup dan menyebarkan agama Islam kepada negeri Siam dan juga kepada Kesultanan Sulu serta Filipina Selatan.

Bukan itu sahaja, tatatertib protokol mengenai sambutan utusan dari negeri luar yang digunakan oleh Melaka turut membuktikan bahawa perhubungan Melaka dengan negeri lain telah lama wujud. Utusan dari negeri lain akan disambut dengan nobat dan perutusan, serta bingkisan mereka diarak di atas haiwan seperti kuda atau gajah. Tempat duduk bagi utusan semasa mengadap raja juga akan diaturkan. Perkara ini menunjukkan kerajaan Melaka merupakan negeri yang bersistematik sama ada dari segi pentadbiran, perdagangan atau upacara sambutan yang berkaitan dengan perhubungan luar negerinya.

Kesusasteraan Melayu juga berkembang pesat akibat daripada kedatangan agama Islam ke negeri Melaka. Buku Sejarah Melayu yang penting sebagai satu sumber sejarah

(17)

telah dikarang dalam tulisan Jawi sebelum kedatangan dan penaklukan Portugis. Sejarah Melayu juga mencatatkan kewujudan hikayat seperti Hikayat Muhammad Hanafiah dan Hikayat Amir Hamzah yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu. Di samping itu, Hikayat Iskandar Dzulkarnian juga merupakan karya yang termasyhur pada masa itu. Hal seperti ini menyatakan bahawa kesusasteraan Melayu telahpun mencapai satu darjah atau tahap yang tinggi sebelum kedatangan Portugis pada tahun 1511 lagi. Dengan itu, dapat kita rumuskan bahawa kesusasteraan Melayu telah berkembang pesat tanpa perlu campur tangan British di Tanah Melayu ini.

Walau bagaimanapun, hanya sebuah buku mengenai Melaka yang dikarang pada zaman itu disimpan sehingga sekarang isitu buku Sejarah Melayu. Tidak dapat disangkal lagi buku ini telah memberi suatu pandangan yang agak menarik tentang masyarakat Melaka pada ketika itu yang menjadi asas kepada pembentukan masyarakat Malaysia. Maka, dapat dibuktikan bahawa sejarah dan perkembangan negeri-negeri Melayu lain sangat berkait rapat dengan kemunculan kerajaan Melaka sebagai sebuah empayar yang berkuasa besar di Semenanjung Tanah Melayu. Kedatangan pihak British hanya memperkembangkan lagi pembangunan sesetengah negeri di Tanah Melayu. Sebagai kesimpulannya, kerajaan Melakalah yang mempengaruhi dan mencorakkan sejarah negeri-negeri Melayu lain sehingga mewujudkan masyarakat Malaysia yang unik ini.

8.0 RUMUSAN

Sebagai kesimpulannya, negeri-negeri Melayu yang dibincangkan di atas telah mengalami sejarah kemunculan serta perkembangan yang pesat. Pemimpin-pemimpin negeri juga terpaksa menghadapi serta menyelesaikan konflik sama ada dari luar atau dalam. Dalam hal ini, kewibawaan pemimpin dalam mentadbir negeri bakal menentukan kejayaan atau kemerosotan sesebuah negeri itu. Kerjasama dan taat setia rakyat kepada raja negeri juga amat penting bagi mempertahankan kedaulatan sesebuah negeri. Oleh itu, kita perlu bergandingan memeliharakan sejarah negeri-negeri Melayu supaya tradisi serta asal usul negeri masing-masing tidak akan dilenyapkan begitu sahaja.

Selain itu, janganlah kita bergaduh sesama diri sehingga menimbulkan peluang kepada pihak luar untuk campur tangan di negara kita seperti mana yang berlaku dahulu. Dengan demikian, kita dapat mengekalkan serta memastikan kedaulatan dan identiti Malaysia sebagai sebuah negera yang penuh dengan sejarah mulia. Sejarah lampau yang meninggalkan kesan buruk akibat daripada pertimbangan yang salah juga akan mengingati kita bahawa tidak mengulangi kesilapan yang sama. Maka, nescayalah negara Malaysia

(18)

mampu menjurus ke arah yang perkembangan dan pembangunannya lebih maju dan bakal bersinar di pentas dunia!

9.0 BIBLIOGRAFI

Abdullah Mohammad. (1981). Keturunan Raja-raja Kelantan dan Peristiwa-peristiwa Bersejarah, Kota Bharu: Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Abdul Razak Mahmud. (2005). Ikhtisar Sejarah Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Ahmad Jelani Halimi. (2008). Sejarah dan Tamadun Bangsa Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Arkib Negara. (2012). Sejarah Kesultanan Pahang. Diakses pada 19 Ogos 2015, daripada http://mdpekan.gov.my/sejarah-kesultanan?p_p_id=56_INSTANCE_Ob7J&p_p_ lifecycle=0&p_p_state=pop_up&p_p_mode=view&page=1

Asmad. (1987). Pahang Darul Makmur. Melaka: Associated Educational Distributors (M) Sdn.Bhd.

Buyong Adil. (1971). Sejarah Johor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Coltoras. Kenali Sejarah Negeri Johor Darul Taazim. Diakses pada 17 Ogos 2015, daripada http://toharudinrasid.blogspot.my/2010/04/negeri-johor-darul-taazim.html

Dr. Ismail Said. (2010). Perkembangan Sejarah Negara. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Faizal. (2011). Sejarah Johor Dan Jajahan Takluknya. Diakses pada 17 Ogos 2015, daripada

http://chalijal33google.blogspot.my/2011/06/sejarah-johor-dan-jajahan-takluknya.html

Haji Buyong Bin Adil. (1971). Sejarah Selangor. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Haji Tajuddin Bin Haji Hussein. (2009). Malaysia Negara Kita. Kuala Lumpur: MDC

Publishers Sdn. Bhd.

Kerajaan Negeri-Negeri Melayu. Diakses pada 2 Sep 2015, daripada http://cikguazid.com/nota-sejarah-ting-1/bab-8-kerajaan-negeri-negeri-melayu/

(19)

Lisa Yip Shukye, Jais Bin Abdul Hamid. (1969). Sejarah Politik Malaysia Sehingga Awal Abad Ke-20. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdb Bhd.

Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin. (2011). Pengajian Malaysia (Edisi Keempat). Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Mohd Taib Osman, (1961). Hikayat Seri Kelantan. Kota Bharu: Pustaka Aman Press.

Rahmat Saripan, (1979). Perkembangan Politik Melayu Tradisional Kelantan 1776-1842. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sejarah. Diakses pada 2 Sep 2015, daripada http://www.kedah.gov.my/sample-levels/20-profil-negeri/1-sejarah

Sejarah. Diakses pada 2 Sep 2015, daripada

http://www.kelantan.gov.my/index.php/ms/kelantan/sejarah-kewujudan-kelantan Ibrahim Ismail. (1987). Sejarah Kedah Sepintas lalu. Kedah: Universiti Utara Malaysia.

Sejarah Kelantan. Diakses pada 2 Sep 2015, daripada

http://tanahmerah.webs.com/sejarah.htm

Sejarah Kesultanan Johor. Diakses pada 17 Ogos 2015, daripada http://kemahkotaan.johor.gov.my/pengenalan/sejarah-kesultanan-johor

Sejarah Kesultanan Selangor. Diakses pada 20 Ogos 2015, daripada http://ku-alam.blogspot.com/p/sejarah-kesultanan-selangor.html

Shaharom Husain. (1995). Sejarah Johor: Kaitannya dengan Negeri Melayu. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Paduka Sri Sultan Ibrahim. Diakses pada 23 Ogos 2015, daripada http://ku-alam.blogspot.com/2011/07/paduka-sri-sultan-ibrahim-1778-1826.html

Lisa Yip Shukye & Jais Bin Abdul Hamid. (1969). Sejarah Politik Malaysia Sehingga Awal Abad Ke-20. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdb Bhd.

Sharifah Juhaidah. (2015). Kerajaan Melayu Baru. Diakses pada 20 Ogos 2015, daripada http://blogakutakcomel.blogspot.com/2015/03/kerajaan-melayu-baru.html

Wikipedia. Sejarah Johor. Diakses pada 17 Ogos 2015, daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Johor.

Wikipedia. Sejarah Negeri Pahang. Diakses pada 19 Ogos 2015, daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Negeri_Pahang

(20)

Wikipedia. Sultan Abdul Jalil Shah III. Diakses pada 19 Ogos 2015, daripada https://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Abdul_Jalil_Shah_III

Zainal Abidin Abdul Wahid. (1996). Malaysia: Warisan dan Perkembangan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

10.0 LAMPIRAN

Rajah 2.1- Pasar lama di Johor menyusuri Sungai Segget

(21)

Rajah 3.2- Bendahara Siwa Raja Pahang (1863-1882) Bendahara Wan Ahmad Ibni Bendahara Wan Ali

Rajah 4.1- Sultan Selangor dengan Sharif Masahor serta anak-anak buahnya.

(22)

Referensi

Dokumen terkait