• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pengenalan. *Corresponding author. Tel: E-mel:

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Pengenalan. *Corresponding author. Tel: E-mel:"

Copied!
13
0
0

Teks penuh

(1)

1265

Kertas Konsep Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Graduan “Technical Vocational Education And Training” (Tvet) Memilih Pekerjaan Di Sektor Industri

Mior Amran Noor Bin Mior Ahmad Noor Kolej Komuniti Bandar Penawar

_______________________________________________________________ Abstrak

Malaysia kini sedang menuju ke arah sebuah negara maju dan industri menjelang abad ke-21. Justeru, kemajuan yang drastik zahirnya melahirkan persaingan serta memerlukan transformasi gaya hidup terutamanya dalam bidang pekerjaan, pendidikan dan kehidupan seharian. Oleh yang demikian, pemilihan kerjaya seawal mungkin amatlah penting dan signifikan bagi setiap individu. Pemilihan kerjaya yang betul dan tepat mampu menentukan dan melahirkan individu yang dinamik, progresif serta berdaya saing di dalam masyarakat kelak. Namun begitu, ada sebilangan kecil graduan TVET yang memilih profesion di sektor industri dengan motif peribadi seperti gaji yang besar, bonus yang banyak dan mudah untuk menukar pekerjaan. Oleh itu, kertas konsep ini bertujuan untuk melihat apakah faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi graduan TVET memilih pekerjaan di sektor industri. Sebanyak 5 faktor dikenalpasti mempengaruhi pemilihan kerjaya iaitu faktor pengaruh orang yang signifikan, faktor peribadi, faktor kemahiran, faktor pendidikan TVET dan jantina yang berkemungkinan menjadi pendorong mereka memilih kerjaya ini. Oleh itu, penulis mencadangkan agar satu kajian secara terperinci perlu dilakukan untuk mengenalpasti apakah faktor sebenar yang menyebabkan graduan ini memilih pekerjaan tersebut. Kajian ini juga penting untuk mengetahui sejauh mana kematangan dan kesedaran graduan dalam merancang kerjaya masing-masing.

Kata kunci : TVET, industri, faktor pemilihan kerjaya.

_______________________________________________________________

Pengenalan.

Kerjaya dalam bidang industri memerlukan kualiti dan disiplin pekerja yang tinggi. Kualiti dan disiplin Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET) merupakan satu usaha berterusan untuk melahirkan graduan yang kreatif, berdaya saing dan berakhlak mulia. Pemerkasaan modul pengajaran dan pembelajaran TVET dewasa ini mampu memberi impak agar graduan dilengkapkan dengan pengetahuan baru, dinamik dan inovatif sejajar dengan pembentukan negara yang progresif. Pemerkasaan modul ini memerlukan satu anjakan paradigma dalam usaha melahirkan graduan yang berkemahiran, celik teknologi, yakin menghadapi perubahan serta mampu menangani cabaran persekitaran industri.

___________________________________________ *Corresponding author. Tel: +6012-5088524

(2)

1266

Kerjaya merupakan impian yang diidamkan oleh seseorang graduan yang telah menghabiskan sesi pengkuliahan mereka. Kerjaya yang dipilih pada hari ini akan mencerminkan kehidupan masa hadapan seseorang itu. Pemilihan kerjaya adalah suatu proses yang berterusan bermula dengan persepsi kanak-kanak terhadap dunia pekerjaan dan kemudiannya berkembang hingga ke peringkat remaja dan awal dewasa (Tolbert 1974). Keazaman dan iltizam yang tinggi menjadi nadi penggerak para graduan memilih sesuatu bidang kerjaya yang diinginkan.

Pemilihan kerjaya merupakan satu proses berterusan yang melibatkan graduan dalam siri pekerjaan di mana ia boleh membantu kepada perkembangan peribadi terutamanya dalam bidang pekerjaan yang diceburi. Graduan TVET adalah kumpulan pelajar yang sedang berada di peringkat akhir dalam menentukan kerjaya. Graduan menggunakan minat, kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada untuk membuat keputusan berkenaan pemilihan kerjaya.

Sesungguhnya, cabaran dalam menjamin kualiti dan disiplin perkhidmatan profesion industri di alaf ini amatlah penting. Huselid (1994) serta Stewart dan Knowles (2000) menegaskan bahawa amalan pengambilan dan pemilihan pekerja akan memberi kesan ke atas prestasi organisasi secara keseluruhannya. Ini kerana arus pembangunan masa kini mendesak peningkatan kualiti dalam semua bidang perkhidmatan. Oleh itu, menjadi harapan negara agar graduan TVET dapat memainkan peranan dalam sektor industri pada masa hadapan.

Latar Belakang

Saban tahun, ratusan ribu lepasan pelajar Insitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Insitusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menamatkan pengajian. Objektif mereka hanyalah satu iaitu menembusi pasaran pekerjaan yang semakin tepu dewasa ini. Namun ironinya, kadar pengangguran yang tinggi membantutkan keinginan para graduan IPTA dan IPTS ini. Impian mereka untuk tidak hidup menganggur yang seterusnya membebankan diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Walau bagaimanapun, kebanyakan graduan masih lagi buntu atau tidak memahami bagaimanakah kaedah yang terbaik dalam mempersiapkan diri untuk melangkah ke dunia pekerjaan. Oleh itu, proses bimbingan dan panduan dalam pemilihan kerjaya perlulah diterapkan kepada mereka. Bimbingan dan panduan yang betul tentunya mampu membantu

(3)

1267

graduan dalam usaha pemilihan kerjaya yang menjadi impian, cita-cita dan kemahiran setiap individu.

Dewasa ini, manusia diukur berdasarkan status pekerjaan dan ekonomi mereka. Ini dibuktikan oleh Salehudin 2005 yang menyatakan peredaran dalam dunia moden yang serba mencabar yang telah menyebabkan bidang pekerjaan amat penting kepada kebanyakan orang. Dalam usaha Malaysia menuju negara maju yang lestari, pelbagai peluang pekerjaan telah wujud. Oleh hal yang demikian, pemilihan pekerjaan yang tepat dan seimbang amat dititikberatkan. Menurut Srebalus (1982) di dalam Masriaini (2001), pemilihan kerjaya mengutamakan faktor pengetahuan tentang diri dan pengetahuan tentang pekerjaan sebagai petunjuk pemilihan kerjaya.

Setiap pekerjaan yang dipilih oleh graduan bergantung kepada keinginan individu itu sendiri seperti minat, mencari kepuasan diri, memperoleh sumber kewangan, memupuk sumber sokongan sosial, membina identiti dan harga diri, seterusnya menterjemahkan semula kepada agama, bangsa dan negara. Secara tidak langsung, keputusan pemilihan kerjaya yang tepat seseorang graduan dapat mendorong kepada peningkatan ekonomi negara.

Menurut pandangan Siti Maspiah dan Nor Azizah (1995) di dalam Norhasyila (2004) iaitu:

"Pendidikan teknik dan vokasional semakin penting dalam era pembangunan ekonomi dan sosial negara. Di mana-mana negara yang sedang pesat membangun, keperluan tenaga mahir dan separa mahir amat diperlukan bagi menentukan kesinambungan pembangunan negara. Ini kerana mereka adalah teras pembangunan".

Bersesuaian dengan Wawasan 2020 untuk bergelar negara maju, pembangunan graduan TVET amat diperlukan oleh negara Malaysia di saat ini. Hasilnya, kepelbagaian pasaran kerjaya dapat membangunkan ekonomi dan taraf hidup rakyat di Malaysia secara tidak langsung. Justeru pembangunan pendidikan TVET dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang merupakan satu cabaran besar untuk Malaysia.

Perkembangan Pendidikan TVET.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menekankan agar setiap kurikulum yang diajar di sekolah akan melahirkan individu yang seimbang dari segi JERI di samping mengamalkan

(4)

1268

pendidikan itu secara berterusan dalam kehidupan. Pendidikan merupakan proses pemerolehan dan pemindahan pengetahuan, nilai murni dan pelbagai kemahiran. Proses ini berlangsung secara berterusan dalam diri seseorang sejak kecil hingga ke akhir hayatnya. (Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi – KPM, 2001).

Sejarah pendidikan TVET dalam sistem pendidikan kebangsaan mempunyai peranannya yang tersendiri. Pada dasarnya, perkembangan sistem pendidikan TVET di Malaysia bermula di Kuala Lumpur dengan penubuhan "Trade School" (Sekolah Pertukangan) pada tahun 1926. Sekolah ini pada asasnya mengajar asas kemahiran pertukangan, baik pulih mesin, pendawaian elektrik dan pembinaan bangunan. Sistem pendidikan ini menawarkan kursus dalam tempoh masa selama tiga tahun. Namun begitu, selepas Perang Dunia Kedua, "Trade School" telah ditransformasikan kepada "Junior Technical Trade School" oleh pemerintah British.

Pendidikan komprehensif telah diperkenalkan di mana semua pelajar akan mendapat pendidikan am dan diberikan juga penekanan teknik dan vokasional, perindustrian, perdagangan, pertanian atau sains rumahtangga (Kementerian Pendidikan, 1992). Pada tahun 1967, Sekolah Menengah Vokasional telah ditubuhkan bagi menggantikan "Trade School" (Kementerian Pendidikan, 1975) yang berterusan sehinggalah pada tahun 1995 di mana ianya telah digabungkan dengan Sekolah Teknik dan memakai nama Sekolah Menengah Teknik dan Vokasional.

Perkembangan TVET yang terbaru telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pendidikan di dalam akhbar Utusan Malaysia telah merumuskan di dalam ucapannya sewaktu merasmikan Karnival Kolej Vokasional 1Malaysia 2013. Beliau menegaskan bahawa Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Vokasional (PSTPV) perlu dijadikan asas kepada lonjakan pantas untuk mengarusperdanakan pendidikan TVET di semua tahap dan peringkat. Ini termasuklah menyediakan laluan pengajian tinggi, pengiktirafan profesion di samping penyediaan modal insan negara. PSTPV yang dilancarkan pula harus disokong dengan program-program di peringkat lebih tinggi, daripada peringkat pensijilan sarjana muda, sarjana dan seterusnya Doktor Falsafah Utusan Malaysia (2013).

Seterusnya diharap kewujudan sistem pendidikan TVET ini dapat menyediakan ruang kemahiran kepada para graduan sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan. Namun

(5)

1269

sejauh manakah aliran TVET ini diperlukan atau mempunyai peluang dalam sektor pekerjaan pada masa kini?

Penyataan Masalah.

Menurut Walterberg (1973), permasalahan yang wujud di kalangan graduan adalah tertumpu kepada permasalahan kewangan, seks, dadah, sosial dan kerjaya. Persoalan kerjaya yang akan dijawat graduan kelak merupakan sesuatu yang signifikan dalam kehidupan mereka. Menurutnya lagi, graduan melihat kerjayanya di masa hadapan sebagai batu loncatan dalam menggapai kesempurnaan kehidupan bagi diri serta keluarga. Malah tidak keterlaluan untuk diungkapkan bahawa masalah pemilihan kerjaya pada masa kini merupakan masalah asas dan sangat penting.

Walaupun membuat keputusan untuk menceburi sesuatu kerjaya mampu memberi impak yang amat besar dalam kehidupan seorang graduan. Namun begitu, sekiranya kerjaya yang dipilih itu tidak sesuai dengan pendidikan dan kebolehan mereka, besar kemungkinan mereka menukar kerjaya apabila sudah bekerja kelak. Hasilnya, mereka akan terus mencari kerja sehinggalah mendapat kerjaya yang benar-benar sesuai dengan pendidikan dan kebolehan mereka. Jika perkara ini terus berlaku maka ia akan merugikan masa dan diri graduan itu sendiri.

Pemilihan kerjaya di dalam sektor industri memerlukan persediaan yang rapi dengan ilmu pendidikan TVET yang sesuai. Para graduan perlu didedahkan, dibimbing dan diberi input informasi agar mereka dapat membuat pemilihan yang releven, tepat dan selari dengan pendidikan dan kemampuan diri mereka. Persoalan yang boleh dibangkitkan ialah apakah faktor-faktor yang menyebabkan graduan TVET memilih kerjaya dalam bidang industri?

Perbincangan Faktor Pemilihan Kerjaya.

Faktor Pengaruh Orang Signifikan dengan Kerjaya Industri.

Pengaruh individu terhampir dalam kehidupan graduan mampu mencorak dan mendorong mereka dalam pemilihan kerjaya. Menurut Salehudin (2005), orang yang dianggap berpengaruh di dalam kehidupan kita terdiri dari ibu bapa, anggota keluarga, guru, rakan sebaya dan lain-lain. Pengaruh terawal yang diperoleh oleh graduan dalam kehidupan adalah daripada ibu bapa. Pengaruh ibu bapa ini mampu mempengaruhi pendapat dan nilai mereka.

(6)

1270

Ibu bapa adalah orang yang pertama memindahkan kepada anak-anak segala warisan sosial, kebudayaan dan nilai serta adat kebiasaan melalui pengalaman mereka Salehudin, (2005).

Mengikut Margaret Mead (Canger, 1973), di dalam budaya yang stabil biasanya anak-anak menghormati ibu bapa sebagai pembimbing mereka kerana ibu bapa dianggap lebih matang dan mempunyai pengalaman yang lebih luas. Hal ini menyebabkan pengaruh ibu bapa amat memainkan peranan dalam pembentukan minat graduan terhadap sesuatu perkara termasuklah di dalam soal memilih pekerjaan. Malah Morrison dan Mac Intyre (1970) di dalamMasriaini (2001) mempunyai dapatan yang tidak berbeza dan menegaskan bahawa ibu bapa yang bekerja sebagai guru boleh mempengaruhi secara langsung graduan untuk memilih profesion yang sama. Selain itu, dapatan ini menguatkan lagi kepentingan pengaruh ibu bapa terhadap graduan.

Kajian yang dilakukan oleh Fox (1961) menunjukkan seramai 75% daripada respondennya menyatakan bahawa mereka dipengaruhi oleh guru mereka apabila membuat keputusan dalam pemilihan pekerjaan. Menurut Salehudin (2005) pengaruh guru juga memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya di dalam kehidupan seseorang individu kerana dalam tempoh 11 tahun, seseorang kanak-kanak itu membesar dalam persekitaran persekolahan. Kenyataan di atas disokong oleh Jantzen (1981), yang menunjukkan adanya pengaruh guru dalam pemilihan pekerjaan. Pengaruh guru juga mendapat tempat dalam keenam-enam kajian Joseph & Green (1986).

Namun ironinya, pengaruh guru tidak begitu menonjol dalam penyelidikan yang pernah dibuat di Malaysia. Menurut Obura (1974), pengaruh ibu bapa mengatasi pengaruh guru. Dapatan yang sama diperolehi oleh Quek (1991) yang mendapati bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pilihan kerjaya di kalangan guru pelatih teknikal. Menurutnya lagi, seramai 77.1% daripada sampelnya mengatakan bapa merupakan ahli keluarga yang paling berpengaruh berbanding dengan 22.9% yang menyatakan ibu juga mempunyai pengaruh di dalam hal ini. Manakala kajian yang dibuat oleh Noran Fauziah Yaakub (1990), menunjukkan 74% daripada respondennya tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa mereka dipengaruhi oleh guru mereka dan hanya 23% sahaja yang menyatakan mereka mendapat bimbingan daripada guru kerjaya mereka.

(7)

1271

Jelas dapat dilihat pengaruh ibu bapa dan guru memainkan peranan kepada graduan dalam memilih kerjaya dalam bidang industri. Tidak dinafikan juga pengaruh rakan sebaya dan ahli keluarga terhampir memainkan peranan dalam pemilihan kerjaya.

Faktor Peribadi dengan Kerjaya Industri.

Menurut Masriani (2001) menyatakan bahawa terdapat faktor peribadi yang merupakan faktor utama dalam pertimbangan memilih kerjaya, iaitu seperti menilai kesesuaian diri sendiri dengan pekerjaan yang hendak diceburi ataupun ciri-ciri dalaman seperti personaliti yang dianggap sesuai dengan pekerjaan yang dipilih.

Selain itu, menurut Locke (1976) di dalam Masriani (2001) kepuasan kerja juga mempengaruhi pemilihan pekerjaan graduan. Kepuasan kerja bermaksud tahap kesan positif pekerja terhadap pekerjaan dan persekitaran kerja. Hasil kajian lalu di dalam Salehudin, (2005) ada menunjukkan terdapat banyak perkara yang mempengaruhi kepuasan kerja seperti ganjaran (Taylor & Vest 1992), kenaikan pangkat (US Merit System Protection Board 1987), faedah sampingan, bentuk pekerjaan dan jam bekerja (Desantis & Durst 1996).

Kepuasan kerja, niat untuk berhenti dan komitmen kerja merupakan sifat individu yang sentiasa ada di dalam sesuatu organisasi. Satu teori yang diasaskan oleh Super 1953 menyatakan bahawa kepuasan kerja dan kepuasan kehidupan bergantung kepada cara individu tersebut menerapkan kebolehan, minat, personaliti dan nilai terhadap sesuatu kerja.

Menurut Rahmah 2001, perbezaan pendapatan buruh antara pekerja mahir dan separa mahir ialah 0.2683, manakala antara pekerja mahir dan tidak mahir ialah 0.5706. Perbezaan antara pekerja separa mahir dan pekerja tidak mahir pula ialah 0.3023. Bagi pekerja mahir dan separa mahir, didapati 41.22 peratus daripada jumlah perbezaan pendapatan mereka ditentukan oleh faktor modal manusia (pendidikan, latihan dan pengalaman).

Faktor Pendidikan TVETdengan Kerjaya Industri.

Negara seperti Finland, Jepun, Kanada dan Austria peratus pelajar lepasan sekolah menengahnya yang menjurus kepada pendidikan teknikal dan vokasional mencecah hingga 50 hingga 60%. Ini kerana negara itu menyasarkan sejumlah besar ahli teknologi, pekerja

(8)

1272

mahir dan separa yang tinggi bagi memangkin pertumbuhan ekonomi secara berterusan dan berkualiti (Utusan Malaysia, 29 Oktober 2013).

Menurut Masriani (2001) tingkat atau taraf pendidikan seseorang adalah penting dalam membuat pemilihan kerjayanya. Tahap pendidikan juga mempengaruhi pemilihan pekerjaan oleh graduan lepasan universiti. Semakin tinggi pendidikan yang diperolehi, semakin tinggi jangkaan pekerjaan yang diharapkan (Akademika UKM 2003). Seseorang yang memiliki gred purata pelajar yang tinggi akan memilih pekerjaan yang lebih tinggi tarafnya kerana pengiktirafan yang diperolehinya.

Kejayaan pelajar juga bergantung sepenuhnya kepada peranan institusi pendidikan dalam konteks ini politeknik. Secara keseluruhannya, politeknik yang dikaji memberi maklumbalas yang positif iaitu, mereka sanggup menerima pelajar-pelajar berkeperluan khas tanpa mendiskriminasikan hak untuk golongan tersebut terutamanya dalam bidang pendidikan teknikal Lokman (2009).

Kementerian Pendidikan telah mengambil tindakan penting pada tahun 1995 dengan menggubal Pelan Tindakan Peningkatan Pengeluran Tenaga Manusia Teknikal yang menyebut bahawa:

”Pelan Tindakan Pengeluaran Tenaga Manusia Teknikal bertujuan meningkatkan keluaran juruteknik dan jurutera menjelang tahun 2020 dengan menggunakan satu strategi terancang yang radikal bagi menjuruskan pelajar ke bidang teknik semasa di sekolah menengah lagi. Pelan ini melibatkan penawaran mata pelajaran teknikal di beberapa buah sekolah menengah atas serta pengembangan sekolah menengah teknik dan politeknik”.

(Kementerian Pendidikan 1992:45)

Dapatan daripada hasil kajian juga menunjukkan bahawa pensyarah di politeknik-politeknik yang terlibat berkomitmen tinggi, berpengetahuan dan berkemahiran dalam usaha membimbing golongan pelajar berkeperluan khas ini untuk cemerlang seiring dengan pelajar yang normal. Daripada keputusan hasil kajian ini, dapatlah dirumuskan bahawa pengajaran pensyarah dalam perlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran sememangnya memberi impak terhadap peningkatan pembelajaran pelajar berkeperluan khas yang menuntut di politeknik (Azila, 2010).

(9)

1273

Kemahiran diertikan sebagai ketrampilan, kecekapan dan pengetahuan guna tenaga dalam bidang teknikal yang melibatkan operasi kognitif, psikomotor dan penggunaan sumber yang berkesan (Ahmad, 1997; Zamri, 2007). Selain itu, kemahiran mengadaptasi persekitaran pembelajaran di insitusi juga mempengaruhi pemilihan pekerjaan graduan selepas graduasi.

Satu kajian telah dilakukan ke atas graduan perubatan dan ‘healthcare’ untuk mengetahui persekitaran kerjaya yang akan dipilih. Menurut Schmit dan Van (2001) di dalam Masriani (2001) menerangkan hasil kajian menunjukan bahawa mereka memilih pekerjaan yang lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah dan kerja dalam kumpulan. Hal ini disebabkan oleh pendedahan graduan semasa menuntut di insitusi pengajian, di mana graduan lebih cenderung kepada kemahiran kerja berkumpulan dan menyelesaikan masalah yang diberikan oleh pensyarah.

Pada tahun 1990, peratus buruh mahir lebih tinggi dalam industri peralatan pengangkutan 21.2 peratus dan elektrikal elektronik 10.3 peratus dibandingkan dengan sub-industri yang lain. Pada 1999, peratus buruh mahir dalam sub-industri peralatan pengangkutan ialah 30.1 peratus dan dalam intiustri elektrikal elektronik 24.4 peratus. Jelas daripada hasil kajian ini bahawa proses perindustrian telah meningkatkan komposisi buruh mahir dalarn kesemua jenis industri kecuali industri tekstil Rahmah (2001). Hasil kajian ini jelas menunjukkan faktor kemahiran menjadi penyumbang kepada pemilihan kerjaya graduan.

Faktor Jantina dengan Kerjaya Industri.

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan terdapatnya hubungan yang signifikan di antara jantina dengan keputusan pemilihan profesion di sektor industri. Di antaranya kajian oleh Pratt (1975), Shinar (1975), Suchner dan Moore (1975) yang terkumpul dalam Osipow, 1983, semua menunjukkan adanya pengaruh jantina di dalam pemilihan kerjaya seseorang. Ini juga dibuktikan oleh kajian Wafubwa (1991) yang mendapati peranan jantina penting serta mempengaruhi sikap dan pilihan kerjaya seseorang.

Currie (1982) juga telah menyentuh perkara yang sama. Dapatan dari kajiannya telah menunjukkan pola pemilihan kerjaya penuntut-penuntut di Australia Barat lebih cenderung tergolong di dalam pekerjaan yang secara tradisionalnya dipadankan dengan jantina. Norhasyila (2004) mengupas lokasi tempat bekerja tidaklah penting kerana ianya hanya

(10)

1274

menyumbang 1.08 peratus perbezaan pendapatan, tetapi jantina merupakan faktor penting dengan sumbangan 26.7 peratus.

Didapati pekerjaan utama yang dipilih oleh penuntut wanita ialah bidang perguruan, jururawat dan ahli terapi. Sementara penuntut lelaki pula lebih meminati bidang perakaunan, kejuruteraan dan perguruan. Hal ini disebabkan oleh perbezaan pendapatan yang boleh juga dilihat daripada dimensi perbezaan jantina. Banyak kajian mendapati bahawa pekerja lelaki dibayar lebih tinggi daripada pekerja wanita walaupun mereka memiliki tahap pendidikan dan kemahiran yang sama (Rahmah 2001). Menurut Rahmah (2001) di dalam kajian beliau juga menunjukkan 48.10 peratus responden bekerja di Selangor dan 85.0 peratus merupakan pekerja lelaki.

Kajian Chua (1986) dengan menganggarkan logaritma pendapatan buruh mengikut jantina mendapati nilai R2 ialah antara 0.3704 hingga 0.3847. Kajian Rahmah (1988) pula mendapati nilai R2 ialah antara 0.11 50 hingga 0.3490 bagi keseluruhan sampel dan 0.1700 hingga 0.35 12 bergantung kepada pemboleh ubah bersandar yang dipilih. Kajian Latifah (1998) juga memperoleh nilai R2 sebesar 0.107 hingga 0.4357 bagi keseluruhan sampel dan 0.3704 hingga 0.3847 bagi analisis mengikut jantina.

Di Malaysia, kadar penyertaan tenaga industri wanita jauh lebih rendah daripada lelaki. Misalnya pada tahun 1999, kadar penyertaan tenaga industri lelaki ialah 83.4 peratus, manakala bagi wanita hanya 44.2 peratus (Kementerian Kewangan Malaysia, 2000). Walau bagaimanapun, wanita boleh dimobilisasikan ke dalam pasaran industri sekiranya mereka diberi peluang yang sama. Sesebuah negara juga perlu menghapuskan sebarang bentuk diskriminasi yang boleh menjejaskan penggunaan sumber secara optimum.

Kesimpulan

Pendidikan TVET menjadi teras dalam membangunkan potensi individu seperti yang dihasratkan dalam Misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu dan memenuhi aspirasi negara Malaysia. Seperti yang dinyatakan dalam Wawasan 2020 (Mahathir 2001), pendidikan merupakan agenda penting yang akan memenuhi aspirasi demi menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjadi realiti.

(11)

1275

Mengapa fenomena pendidikan TVET ini berlaku dalam abad ke 21? Ini disebabkan oleh, di pihak kerajaan, mereka ingin mencapai negara perindustrian menjelang 2020. Namun sebaliknya di pihak ibu bapa dan guru pula, mereka tidak nampak laluan kerjaya dalam bidang teknikal dan vokasional merupakan satu potensi bagi mencapai negara perindustrian. Hasilnya TVET melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu, pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Kekuatan dan kemajuan sesebuah negara dalam industri banyak bergantung kepada sistem pendidikan TVET yang baik dan berkesan. Selain itu, kekuatan sesebuah sistem pendidikan TVET itu pula bergantung kepada guru yang berkualiti untuk diterjemahkan kepada para graduan. Kekuatan ekonomi negara juga dapat dipacu dengan graduan-graduan yang memilih sektor industri sebagai kerjaya mereka. Semoga graduan Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah bersama-sama negara maju yang lain di dalam sektor industri.

RUJUKAN

Ahmad Mohd Sharif. 1997. Pelaksanaan program pendidikan vokasional, teknikal dan kejuruteraan serta implikasinya. Prosiding Persidangan Kebangsaan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan, Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.

Azila Binti Dason, Rohana Binti Hamzah, Amirmuddin Bin Udin. 2010. Hala Tuju Pendidikan Teknik dan Vokasional ke arah Memartabatkan Falsafah Pendidikan Negar. Tesis akhir Ijazah Universiti Tun Hussien Onn Malaysia.

Chua Y.Y. 1986. Wage dzfferentialj. in Peninsular Mrrlaysia. Unpublished doctoral dissertation, University Microfilms International, Ann Arbor, Michigan, U.S.A. Fox, R.B. 1961. Factors Influencing The Career Choice Of Prospective Teachers. Journal Of

Teacher Education. Vol. 12, No. 4. p. 427-432. Huselid, M. A., (1994). Documenting HR’s effect on company performance. HR Magazine, 39, 79-85.

Halimah Harun. 2001. Budaya Keusahawanan Pelajar Politeknik. Laporan Kajian Laluan Pantas. Fakulti Pendidikan, UKM.

Halimah Harun. 2006. Minat, Motivasi dan Kemahiran Mengajar Guru Pelatih. Journal pendidikan 31 (2006) 83-96

(12)

1276

Hisrich, R.D. & Peters, M.P. 2000. Entreprenuership. Edisi Ke 4. Boston: Irwin McGraw Hill.

Jantzen, J. M. 1981. Why College Students Choose To Teach. Journal Of Education. Vol. 32, p. 45-48.

Joseph, P. B. & Nancy Green (1986). Perspectives On Reasons For Becoming Teachers. Journal Of Teacher Education. Vol. 37, No. 6. P. 28-33.

Kagan, D. M., & Tippins, D. J. 1991. How Teachers’ Classroom Express Their Pedagogical Beliefs. Journal Of Teacher Education. 42 (4), 281-291.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 1992. Buku Penerangan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2001. Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi. Kuala Lumpur. Pusat Perkembangan Kurikulum.

Lokman Mohd Tahir dan Nurul Qistin Mustafa & Mohd Hanafi Mohd Yassin. 2009. Pendidikan Teknik Dan Vokasional Untuk Pelajar Berkeperluan. Khas Jurnal Pendidik dan Pendidikan, Jil. 24, 73–87.

Masriaini Binti Mansor. 2001. Tinjauan Terhadap Faktor-Faktor Yang Berkaitan Pemilihan Kerjaya Pelajar-Pelajar Sekolah Menengaii Teknik Batu Pahat. Jabatan Pendidikan Teknik dan Vokasional Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn.

Mahathir Mohammed. 1991. Malaysia: The way forward. Kuala Lumpur: Malaysia Business Council.

Malaysia. 1980. Rancangan Malaysia Ketiga. Kuala Lumpur:Percetakan Nasional Berhad. Malaysia. 1990. Rancangan Malaysia Ketujuh. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Berhad. Noor Qhuzaimah Binti Arisan, Norhidayu Binti Samsury, Siti Fasihah Binti Yusoff &

Syafinaz Binti Zolkifl. 2013. Faktor Yang Mempengaruhi Pemilihan Pekerjaan Dalam Kalangan Pelajar Tempatan Universiti Kebangsaan Malaysia (Ukm) Kampus Bangi. Tesis Akhir UKM.

Noran Fauziah Yaakub (1988). The Relationship Between Personality Traits, Motives For Teaching And Teacher Trainees Attitute Towards Teaching & Their Performances, USM, p.24

Noran Fauziah Yaakub & Ahmad Mahdzan Ayob. 1990. Guru Dan Perguruan. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Norfadhilah Nasharudin & Halimah Harun. 2010. Aspirasi Kerjaya Keusahawanan dalam Kalangan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (Entrepreneurial Career Aspirations Among IPTA Students). Jurnal Pendidikan Malaysia 35(1)(2010): 11-17. Norhasyila Bintiminhat. 2004. Pemilihan Kerjaya Di Kalangan Pelajar Aliran :

(13)

1277

Obura, Simon Ojwang (1974). Attitude Towards And Interest In Teaching Among Trained Secondary School Teachers. M. Ed. Dissertation, Education Department, University Of Malaya.

Quek, A. H. (1991). Nature, Stability And Consequences Of Career Choice Among Technical Teachers And Super’s Theory Of Vocational Development. Ph. D. Thesis, Faculty Of Education, University Of Malaya. Analisis 8 (1 & 2), 129-152 (2001)

Rahmah Binti Ismail. 1988. The effect of human capital on earnings differention. (Occasional paper, Faculty of Economics, UKM).

Rahmah Binti Ismail. 2001. Penentu Perbezaan Pendapatan Buruh Mengikut Kemahiran Dalam Industri Pembuatan Di Malaysia. Analisis 8 (1 & 2) 129-152.

Salehudin Hj. Sabar ,Mahadi Hj. Khalid. 2005. Kertas Konsep Faktor- Faktor Graduan Berkerjaya Memilih Kursus Perguruan Lepas Ijazah–Pengkhususan Sekolah Rendah Jurnal Penyelidikan MPBL, Jilid 6.

Stewart, J., & Knowles, V., 2000. Graduate recruitment and selection practices in small businesses. Career Development International Journal, 5(1), 21-38.

Tolbert. .1974. Counseling for Career Development. Boston: Haughton Mufflin Co. Utusan Malaysia. 29 Oktober 2013

Zamri Sahaat. .2007. Faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran pelajar khas(cacat pendengaran) dalam mata pelajaran vokasional–Satu tinjauan kes di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional, Seksyen 17, Shah Alam. Disertasi Sarjana Muda, Universiti Teknologi Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait