• Tidak ada hasil yang ditemukan

MODEL POLISI MAKLUMAT: KES MALAYSIA MOKMIN BIN BASRI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "MODEL POLISI MAKLUMAT: KES MALAYSIA MOKMIN BIN BASRI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA"

Copied!
30
0
0

Teks penuh

(1)

MODEL POLISI MAKLUMAT: KES MALAYSIA

MOKMIN BIN BASRI

(2)

BAB 1

PENDAHULUAN

1.1. PENGENALAN

Maklumat memainkan peranan penting kepada pembangunan negara dan masyarakat. Justeru, institusi maklumat, infrastruktur maklumat dan sumber maklumat perlu diurus dengan sistematik berasaskan kepada polisi (Pajaro & Betancourt 2007a). Menyedari kepentingan tersebut, kerangka konsep mula digubal dan amalan polisi maklumat dilaksana sejak tahun 1950-an (Schwuchow 1999). Kajian polisi maklumat berkembang secara ketara pada tahun 1970-an seperti diakui oleh Lamberton (1974) dan yang terkini kajian oleh Arnold (2007), Koga (2010) dan Case (2010). Isu yang diberi penekanan pada awal perkembangan bidang polisi maklumat adalah berkait dengan usaha mengurangi bebanan menyedia kertas kerja, memasti ketepatan maklumat dan keselamatan maklumat (Dae 1996) dan keperluan menyedia maklumat teknikal dan saintifik serta penubuhan perpustakaan awam oleh kerajaan (Bustamante 2007; Soler 2007). Konsep dan amalan polisi maklumat terus menerima perspektif baharu dengan pengenalan dan peningkatan percantuman teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pemproses, penggunaan dan alat penghantar maklumat yang berlaku tanpa mengira waktu dan sempadan. Terkini, percantuman teknologi maklumat dan komunikasi menjadi teras kepada perkembangan isu polisi maklumat yang baharu seperti demokrasi pengetahuan dalam masyarakat dan organisasi sosial pasca-industri yang dipanggil masyarakat bermaklumat (Soler 2007). Hal ini menjadi bukti bahawa polisi maklumat terus menjadi satu bidang akademik dan amalan bagi menangani isu berkaitan maklumat yang berkembang secara dinamik.

(3)

Bab ini membincang latar belakang kajian berkaitan bidang polisi maklumat, penyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, kerangka teori, kepentingan kajian, skop kajian dan organisasi tesis.

1.2. LATAR BELAKANG KAJIAN

Kebanyakan negara, tanpa mengira saiz, ideologi yang dianuti atau tahap pembangunannya menyedari kepentingan membangun polisi maklumat. Polisi maklumat dibangun sebagai tindak balas terhadap peluang atau ancaman daripada teknologi digital serta kesan dari ekonomi global yang kompetitif (Moore 2005). Selain itu, pembangunan polisi maklumat juga bermatlamat untuk membantu pemodenan kerajaan, membangun ekonomi berasas maklumat, menyedia persekitaran e-dagang yang baik, memperbaiki keberkesanan pendidikan, mengelak penyisihan dalam masyarakat dan memperkasa identiti budaya negara (UNESCO t.th). Polisi maklumat turut berperanan menjadikan pengurusan maklumat kerajaan menjadi berkesan (Kamar 2006). Kepelbagaian matlamat dan kepentingan polisi maklumat yang dikemukakan di atas menjadi bukti bahawa polisi maklumat menjadi satu aspek penting dalam polisi awam dalam abad ini (Norman 2006).

Kajian tentang polisi maklumat menjadi minat dalam kalangan pengkaji bidang sains maklumat (Hahn 2003). Sejak 1973 lagi Borko sudah menjangka antara isu utama kajian dalam sains maklumat pada tahun 2000 adalah berkaitan dengan polisi maklumat serta implikasinya pada peringkat tempatan, negeri, negara, rantau dan antarabangsa. Pandangan Borko diperkuat dengan saranan Pajaro & Betancourt (2007b) yang menegaskan keperluan setiap negara membangun polisi maklumat sesuai dengan realiti dalam negeri dan selari dengan konteks wilayah dan global. Sepadan dengan ramalan Borko, beberapa pengkaji didapati menjalan kajian analisis status terkini polisi maklumat negara tertentu. Misalnya, Arnold (2007) memilih Afrika Selatan sebagai kajian kes manakala Soler (2007) mengkaji evolusi dan status terkini polisi maklumat di Amerika Latin dan Caribbean. Sementara itu, Hosman & Howard (2010) pula mengkaji interpretasi sejarah dan kesan polisi ICT di negara Bosnia, Croatia, Macedonia, Montenegro, Serbia dan Slovenia.

(4)

Sementara itu, kajian mendapati polisi maklumat di Malaysia menunjukkan beberapa perkembangan. Polisi maklumat di Malaysia dikaji secara ilmiah bermula dengan kajian oleh Wijasuriya pada tahun 1979 dan diikuti oleh Oli pada tahun 1982. Seterusnya kajian dilakukan oleh Abdus Sattar (1993), Ruzaini (1996), Sajjad (1996), Ramli (2001), Xue (2005) dan yang terkini oleh Ahmad Naqiyuddin (2008a). Walaupun pengkaji yang dinyatakan di atas memilih Malaysia sebagai kajian kes, namun kajian mereka didapati hanya memfokus kepada isu tertentu berkaitan dengan maklumat secara umum tanpa melihat polisi maklumat sebagai satu kerangka yang menyeluruh. Sebagai contoh, pada tahun 1982, Oli mengemuka kerangka konsep Sistem Maklumat Kebangsaan (NATIS) untuk Malaysia. Pada tahun 1991 pula, Oli mengemuka pula kerangka Polisi Kebangsaan Perkhidmatan Maklumat dan Perpustakaan di Malaysia. Kedua-dua kerangka yang dikemukakan oleh Oli didapati khusus untuk bidang perkhidmatan maklumat dan perpustakaan. Begitu juga kajian Abdus Sattar pada tahun 1993. Skop kajian Abdus Sattar terbatas kepada bidang perkhidmatan maklumat dan perpustakaan. Dalam perkembangan lain, meskipun Sajjad (1996) mendakwa polisi maklumat di negara maju melibatkan semua bidang yang berkaitan dengan kehidupan seharian termasuk maklumat sains dan teknologi, perniagaan, kesihatan, pendidikan, media dan komunikasi, pertanian, ekonomi, sosio kebudayaan, teknologi maklumat, persekitaran dan pembangunan, namun kajian Sajjad masih tidak dapat menunjukkan gambaran sebenar polisi maklumat di Malaysia. Kajian Sajjad didapati berkisar sekitar perkhidmatan maklumat dan perpustakaan. Kajian terkini oleh Ahmad Naqiyuddin (2008a) pula mengemuka kerangka polisi khusus bagi menghadapi cabaran isu yang bersifat teknikal iaitu berkaitan percantuman digital di Malaysia. Perkara yang disebut di atas merupakan bukti pengkaji masih berbeza pandangan tentang status polisi maklumat di Malaysia. Justeru, sebahagian dari pengkaji mendakwa bahawa Malaysia mempunyai polisi maklumat yang menyeluruh (Xue 2005) manakala sebahagian lagi berpandangan sebaliknya (Arnold 2002b; Moore 2005).

(5)

Dari segi amalan pula, polisi maklumat Malaysia didapati menunjukkan beberapa perkembangan dan corak tersendiri. Menurut Katni (1988), sekitar tahun 1980-an, terdapat lebih 2000 institusi rasmi dibangun bagi memberi perkhidmatan pusat atau penyebaran maklumat. Walaupun begitu Katni mendapati wujud aktiviti berkaitan pengurusan maklumat yang bertindan antara sektor yang ada berikutan ketiadaan usaha bersepadu yang baik. Selain itu badan kerajaan yang berbagai turut menyebabkan kekeliruan. Sebagai contoh, untuk mendapat maklumat berkaitan perancangan sosio-ekonomi, tidak dapat dipastikan jabatan mana yang perlu dirujuk. Tidak dapat dipastikan sama ada Unit Perancang Ekonomi (UPEN), Unit Kajian Sosio-Ekonomi (SERU), MAMPU atau Jabatan Perangkaan Negara (JPN). Dalam pada itu, selari dengan perkembangan ICT dan kesedaran potensi ICT sebagai sektor penting dalam ekonomi, Malaysia mengorak langkah menjadikan ICT sebagai budaya dalam masyarakat. Bagi mengkoordinasi dasar, rancangan dan tindakan pada peringkat nasional, Majlis IT Kebangsaan (NITC) ditubuh pada tahun 1986. Namun, koordinasi tidak berlaku dengan sewajarnya. Dalam hal ini isu kesepaduan ditimbulkan lagi. Salleh (2008) mendakwa ketiadaan kesepaduan dalam kalangan agensi yang terlibat di Malaysia menjadi punca kepada kegagalan 7 aplikasi perdana Koridor Raya Multimedia (MSC).

1.3. PENYATAAN MASALAH

Penyataan masalah merujuk kepada keadaan yang mempunyai ruang atau lompang antara keadaan yang sebenar dan tahap yang dihajati (Sekaran & Bougie 2009). Penyataan masalah lazimnya merujuk kepada satu penyataan yang jelas, tepat dan ringkas terhadap persoalan atau isu yang diselidiki bertujuan mencari jawapan atau penyelesaian. Ini merangkumi (i) masalah sedia ada yang sedang dalam proses penyelesaian, (ii) keadaan yang memerlukan penambahbaikan, (iii) keadaan yang memerlukan beberapa penjelasan konsep bagi membina teori dan (iv) keadaan yang memerlukan penyelidik mencari jawapan secara empirikal terhadap persoalan kajian. Proses (i) dan (ii) adalah penyelidikan gunaan sementara proses (iii) dan (iv) pula adalah penyelidikan asas. Kajian ini termasuk dalam kategori yang ketiga iaitu kajian bagi menjelaskan konsep berkaitan dengan polisi maklumat. Hal ini dilakukan dengan carian dan penentuan isu polisi

(6)

maklumat dan mengemuka pengkelasan isu polisi maklumat berdasarkan sektor tertentu, seterusnya penjelasan melalui model yang dicadangkan oleh kajian ini.

Bagi merumus masalah kajian, beberapa isu dan lompang berkaitan bidang polisi maklumat dikenal pasti dan dibahagi kepada dua iaitu aspek teori dan aspek amalan.

1.3.1. ASPEK TEORI

Beberapa lompang dalam teori polisi maklumat dikenal pasti iaitu kepelbagaian isu polisi maklumat dan pengkelasan yang tidak disepakati, polisi maklumat sebagai bidang silang disiplin, keperluan menyedia keperluan maklumat bagi semua sektor dalam negara dan kepelbagaian matlamat polisi maklumat.

a) Isu polisi maklumat dan pengkelasan yang tidak disepakati

Mengenal pasti isu yang membentuk polisi maklumat adalah penting (Wilkinson & Nilsen 2010) bagi mengelak pemahaman pengkaji terhadap suatu isu polisi maklumat hanya bergantung kepada persepsi dan sikap pengkaji sahaja (Arnold 2007). Kegagalan menentukan isu polisi maklumat menyebabkan analisis atau pembangunan polisi maklumat yang menyeluruh gagal dilakukan. Kajian mendapati isu yang mendasari pembentukkan polisi maklumat masih tidak dapat ditentukan dengan pasti (Duff 2004). Sarjana dalam bidang polisi maklumat tidak bersependapat bagi menentu apakah isu yang dapat dikelas dalam polisi maklumat. Kajian lampau mendapati sarjana polisi maklumat hanya mengadaptasi senarai isu cadangan pengkaji sebelumnya. Ini dikesan sejak kajian Rowlands pada tahun 1996, Rabina (2001), Maxwell (2003a), Henrici (2004) dan terkini oleh Arnold (2007). Berdasarkan lompang yang ditemui di atas, kajian ini menyoroti isu yang dikaitkan dengan polisi maklumat selari dengan saranan Trosow (2010) yang mendakwa isu polisi maklumat perlu dikenal pasti bagi membangun model polisi maklumat yang bersepadu.

(7)

Sementara itu pengkelasan isu polisi maklumat juga masih tidak dapat diputuskan oleh penyelidik lampau. Walaupun pengkelasan bermula seawal 1970-an oleh Lamberton (1974), diikuti oleh Milevski pada tahun 1986, Chartrand (1989), Hill (1994), Rowlands (1996), Priftis & Oppenheim (1999), Nilsen (2000) dan Moore (2005), namun saranan supaya isu polisi dikelas kepada beberapa sektor yang piawai terus disuarakan oleh Braid (2006). Kerja pengkelasan masih menjadi minat pengkaji dan yang terkini dilakukan oleh Kargbo pada tahun 2007. Hal di atas menjadi alasan kukuh mengapa kajian bagi mengenal pasti isu polisi maklumat dan pengkelasannya perlu dilakukan.

b) Polisi maklumat sebagai bidang silang disiplin

Kajian polisi maklumat bukan sahaja diminati dan berkait dengan aspek akademik tetapi meliputi kelompok yang berbagai. Kelompok ini membentuk satu komuniti polisi tersendiri yang terdiri daripada kerajaan, industri, kumpulan komuniti dan individu pengguna maklumat (Nilsen 2000). Dari sudut akademik, polisi maklumat turut menjadi bidang ilmiah yang menarik minat dalam kalangan pengkaji daripada berbagai disiplin. Kepelbagaian disiplin menyumbang kepada ketidakpastian rumah disiplin yang mengakibatkan analisis polisi maklumat dilakukan secara tidak adil. Sebagai contoh, interpretasi polisi maklumat dari disiplin perpustakaan cenderung dan berat kepada ‘memenangkan’ isu perpustakaan seperti model yang dikemukakan oleh The Library Association (2002). Walaupun Model The Library Association dalam Rajah 3.6 menunjukkan isu lain berkaitan maklumat seperti ekonomi berasas maklumat, tetapi model ini menunjukkan isu utama polisi maklumat adalah berkaitan ‘isu perpustakaan’. Antara isu utama yang ditonjolkan adalah seperti kakitangan sektor maklumat dan perpustakaan dan penyediaan tenaga kerja bergelar pakar maklumat. Hal seperti di atas gagal membawa kefahaman yang jelas berkaitan polisi maklumat sebagai bidang silang disiplin. Keadaan ini menjadi alasan yang kuat kepada keperluan satu kajian yang dapat mengemuka model yang menunjukkan sifat polisi maklumat sebagai satu bidang silang disiplin.

(8)

c) Keperluan menyedia keperluan maklumat bagi semua sektor dalam negara

Maklumat adalah asas penting yang perlu disedia kepada semua sektor dalam negara. Sektor penting yang terlibat adalah yang berkaitan dengan maklumat teknikal dan saintifik, perpustakaan dan perkhidmatan maklumat, ICT, sosial, maklumat kerajaan dan ekonomi.

i) Maklumat Teknikal dan Saintifik

Maklumat teknikal dan saintifik merupakan asas kepada perkembangan polisi maklumat. Lamberton (1974) mendakwa polisi maklumat bermula dengan matlamat untuk menyebar, berkongsi dan menyedia maklumat teknikal dan saintifik khususnya dalam kalangan ahli sains seawal 1800-an. Maklumat untuk sektor ini didapati masih signifikan meskipun isu maklumat teknikal dan saintifik moden sudah dikemukakan sejak tahun 1950-an (Schwuchow 1999). Kajian terkini seperti oleh Ruenwai (2006) dan Orna (2008) menjadi bukti bahawa sektor maklumat teknikal dan saintifik terus mendapat perhatian dalam kalangan pengkaji.

ii) Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat

Perpustakaan menjadi satu sektor polisi maklumat yang penting dan mula dikemukakan seawal 1974 oleh Lamberton. Sektor ini terus menjadi isu utama dalam pembangunan polisi maklumat (Kamar 2006; Arnold 2007; Bustamante 2007; Pajaro & Betancourt 2007). Tanpa perpustakaan dan perkhidmatan maklumat, polisi maklumat adalah pincang dan tidak dapat berfungsi dengan sempurna (Arnold 2007, Chen et al. 2010).

(9)

iii) Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)

Polisi maklumat sering disinonim dengan ICT, di samping beberapa istilah lain iaitu ‘polisi maklumat dan komunikasi’ dan ‘polisi masyarakat bermaklumat’ (Beer 2005). Malah, Hosman & Howard (2010) mengaitkan secara langsung polisi maklumat sebagai polisi ICT. Isu ICT sebagai sektor dalam pembangunan polisi maklumat didapati mula diberi perhatian sejak tahun 1970-an oleh Lamberton (1974). Lamberton secara khusus menyebut keperluan menyedia infrastruktur ICT atau lebuhraya maklumat. Isu ICT terus dibahas sebagai isu penting pada tahun 1980-an melalui kajian seperti yang dilakukan oleh Eisenbeis (1989). Isu ICT terus berkembang antaranya mengait ICT sebagai alatmembantu penciptaan dan penyebaran maklumat dalam masyarakat (Case 2010).

iv) Sosial

Pembangunan polisi maklumat perlu dilihat dalam konteks yang luas melangkaui sosio budaya dan ekonomi (Maxwell 2003b). Justeru, isu sosial sering dikaitkan sebagai komponen pembangunan polisi maklumat sejak tahun 1980-an melalui kajian oleh Wesley-Tanaskovic pada tahun 1985, Trauth (1986) dan Burger (1988). Isu sosial terus dibahas seperti oleh Overman & Cahill (1990), Muir & Oppenheim (2001), Maxwell (2003b) dan Pajaro & Betancourt (2007). Antara isu berkaitan sosial adalah berkaitan dengan keperluan untuk membangun masyarakat bermaklumat yang dikemukakan sejak 1982 oleh Cawkell hingga kini oleh Moore (2005), Jaeger (2007) dan Kargbo (2007).

v) Maklumat Kerajaan

Kaitan antara kerajaan dan polisi maklumat adalah jelas kerana maklumat merupakan sumber bagi mencapai matlamat pembangunan negara (Smith et al. 2000; Maret 2002). Capaian awam terhadap maklumat kerajaan menjadi isu yang mendasari pembangunan polisi maklumat mula dibahas pada tahun 1960-an

(10)

seperti dakwaan Dae (1996). Isu capaian maklumat terus dibahas oleh Rowlands (1996) dan Orna (2008). Selain itu, terdapat isu lain seperti pertentangan di antara pengumpulan maklumat oleh kerajaan dengan perlindungan hak kebersendirian individu (Rowlands et al. 2002; Jaeger et al. 2011). Sementara itu maklumat kerajaan juga dikaitkan dengan keselamatan kebangsaan (Maxwell 2004; Duff 2004; Smith 2004; Mokmin & Zawiyah 2009; Case 2010; Jaeger et al. 2011; Prins et al. 2011).

vi) Ekonomi

Polisi maklumat diperlukan bagi menyokong industri maklumat. Isu ini mula dikemukakan oleh Porat pada tahun 1977 dan diikuti oleh Rowlands (1996), seterusnya oleh Rowlands et al. pada tahun 2002. Isu berkaitan ekonomi terus dibahas dengan penambahan isu baharu iaitu mengubah sistem ekonomi kepada berasaskan pengetahuan seperti yang dikemukakan oleh Saxby (2011). Polisi maklumat perlu dibangun bagi menangani isu berkaitan ekonomi iaitu hak harta intelek atau hak milik maklumat, hak cipta, industri maklumat dan kreatif, ekonomi berasas maklumat, e-dagang, inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan perpindahan teknologi, undang-undang paten, maklumat pelanggan, aplikasi dan perisian, cetak rompak, industri teknologi maklumat, nilai maklumat bagi persaingan ekonomi, pindahan wang elektronik, cap dagangan, hak harta industri, undang-undang rahsia perniagaan, pasaran maklumat dan industri telekomunikasi.

Keadaan di atas menunjukkan bahawa maklumat merupakan keperluan penting kepada semua sektor utama dalam negara. Kegagalan menangani mana-mana sektor maklumat boleh menjadi punca kepada kepincangan dalam pembangunan negara. Justeru, satu model polisi maklumat yang dapat menunjukkan kepelbagaian sektor polisi maklumat perlu dikemukakan agar polisi maklumat tidak dilihat secara terpisah-pisah.

(11)

d) Kepelbagaian matlamat polisi maklumat

Matlamat polisi maklumat yang jelas masih tidak dapat diputuskan (Duff 2004). Antara matlamat terawal adalah penyatuan media, teknologi dan perkhidmatan maklumat seperti yang dikemukakan oleh Montviloff pada tahun 1990 dan Rowlands (1996). Sementara itu, matlamat polisi maklumat terkini adalah bagi menyedia perkhidmatan maklumat dalam masyarakat (Henrici 2004), matlamat berkaitan infrastruktur dan aplikasi ICT (Pajaro & Betancourt 2007b), matlamat bagi menyelia dan mencapai infrastruktur telekomunikasi yang berkesan dan murah (Moore 2004b; Pajaro & Betancourt 2007b) serta aplikasi ICT yang inovatif (Soler 2007) dan matlamat bagi menetapkan piawaian selari dengan cabaran etika baharu terhasil daripada ICT (Soler 2007). Polisi maklumat juga dibangun dengan matlamat menjaga kepentingan budaya, sosial dan masyarakat sesuai dengan sifat sebuah masyarakat yang kompleks yang bergantung kepada maklumat sebagai salah satu keperluan utamanya. Antara pengkaji yang mengaitkan polisi maklumat dengan kepentingan budaya, sosial dan masyarakat adalah Henrici (2004), Soler (2007) dan Case (2010). Selain itu, polisi maklumat turut dibangun dengan matlamat berkaitan capaian maklumat kerajaan kerana maklumat adalah perkara pokok bagi demokrasi dan pentadbiran yang telus. Polisi maklumat turut dikaitkan dengan kerajaan kerana peraturan diperlu bagi memenuhi hak rakyat seperti hak kebersendirian, kebebasan mengeluar pendapat (Uhegbu 2004; Henrici 2004; Soler 2007; Jaeger et al. 2011), ketelusan kerajaan (Saxby 2011) dan hak capaian maklumat kerajaan (Pajaro & Betancourt 2007a; Jaeger et al. 2011). Kerajaan melalui polisi maklumat juga hendaklah menyedia maklumat yang memadai kepada yang berhak pada waktu dan format yang sepatutnya (Uhegbu 2004). Polisi maklumat juga dibangun dengan matlamat yang berkaitan ekonomi dan pembangunan negara. Maklumat diakui sebagai komponen penting bagi membantu pembangunan ekonomi sesebuah negara (Henrici 2004; Soler 2007; Arnold 2007; Case 2010) kerana kekayaan maklumat dapat mempercepat aktiviti kritikal seperti penggubalan keputusan, perancangan dan pengurusan maklumat (Henrici 2004). Polisi maklumat turut dibangun dengan matlamat yang berkaitan dengan pendidikan. Pendidikan adalah satu keperluan bagi perkembangan kerajaan dan pembangunan strategik adalah modal insan yang menjadi teras produktiviti dan kreativiti

(12)

dalam ekonomi (Henrici 2004; Soler 2007). Justeru, semua lapisan masyarakat perlu mempunyai maklumat dan kemahiran teknologi asas dan hal ini dapat dipenuhi melalui pendidikan (Moore 2004b).

Matlamat polisi maklumat yang berbagai membuktikan bahawa polisi maklumat dilihat secara terpisah-pisah berdasarkan kepada perspektif pengkaji. Justeru, satu model polisi maklumat yang dapat menunjukkan kesepaduan adalah wajar bagi menyatukan matlamat polisi maklumat.

1.3.2. ASPEK AMALAN

Dari segi amalan polisi maklumat pula, dua lompang dikenal pasti. Pertama, pengubalan dan pelaksanaan polisi maklumat yang terpisah-pisah. Kedua, keperluan membangun polisi maklumat yang terkoordinasi.

a) Polisi Maklumat yang terpisah-pisah

Sorotan susastera mendapati ramai pengkaji lampau menemui lompang yang sama iaitu polisi maklumat bersifat serpihan, terpisah-pisah bagi menangani isu yang berlainan dan tidak bersepadu. Walaupun lompang ini dikenal pasti sejak kajian Trauth pada tahun 1986, namun masalah polisi maklumat yang terpisah-pisah terus dikemukakan oleh Dae (1996), Browne (1997), Norman (1998), Priftis & Oppenheim (1999), Braid (2006), Case (2010), Koga (2010) dan Trosow (2010). Pendekatan polisi maklumat yang bersifat terpisah-pisah menyebabkan polisi maklumat tidak mampu menyelesai isu penting dalam maklumat dan teknologi maklumat. Sebagai contoh, pembangunan polisi maklumat berdasarkan teknologi maklumat tertentu menimbulkan masalah bagi mengekal perundangan yang dibangun apabila teknologi baharu dan penggunaan teknologi baharu diperkenal dan semakin berkembang. Selain itu set polisi yang tidak dikoordinasi pada peringkat kebangsaan mengakibatkan pembaziran bukan sahaja dari sudut kerja yang bertindan tetapi menyebabkan jurang dalam penyediaan maklumat pada peringkat kebangsaan semakin melebar (Revkin 2006). Hal sedemikian adalah natijah daripada

(13)

polisi maklumat yang bersifat terpisah-pisah, bertindih dan kelihatan bertentangan antara satu dengan yang lain. Keadaan ini juga menyebabkan polisi maklumat terasing dari polisi aliran utama serta tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Beberapa negara didapati mengamal pendekatan seperti ini. Antaranya Brazil (Chaparro 2008), AS (Trauth 1986), England (Rowlands 1996) dan Jepun (Koga 2010). Dalam pada itu UNESCO (t.th) turut melaporkan hampir keseluruhan negara Asia Pasifik termasuk Malaysia tidak mempunyai polisi maklumat yang menyeluruh. Malah menurut Moore (2005), Malaysia belum lagi mempunyai polisi maklumat. Sementara itu, Salleh (2008) mendakwa kegagalan 7

aplikasi perdana MSC adalah berpunca dari ketiadaan kesepaduan polisi maklumat dalam kalangan agensi yang terbabit di Malaysia.

b) Koordinasi Polisi Maklumat

Polisi maklumat tidak semestinya dalam bentuk satu dokumen khusus kerana seperti yang dibentang di atas, polisi maklumat adalah bidang silang disiplin dengan matlamat yang berbagai. Justeru, apa yang penting adalah membangun dan melaksana set polisi maklumat yang dikoordinasi (Moore 2005; Wilkinson & Nilsen 2010). Dalam kerangka polisi maklumat yang dikoordinasi, pertalian di antara hubungan dan kesepaduan perlu ditunjukkan dengan jelas (Priftis & Oppenheim 1999). Namun mewujudkan polisi maklumat yang terkoordinasi bukanlah mudah kerana model polisi yang dikoordinasi memerlukan komitmen dan kerjasama pada peringkat tertinggi dalam kalangan agensi kerajaan yang terbabit dan semua pihak yang memberi kesan atau menerima kesan daripada polisi maklumat (Duff 2004; Saxby 2011).

Sorotan susastera mendapati tidak ada model yang boleh diguna bagi mensepadu polisi pada peringkat konseptual mahupun amalan. Model polisi maklumat sedia ada pula adalah tidak jelas dan tidak disepakati oleh para pengkaji. Ini terbukti dengan kepelbagaian model dikemukakan oleh pengkaji sejak tahun 1977 seperti oleh Porat, diikuti oleh Trauth (1986), Moore (1993), Dae (1996), Rowlands (1999), The Library Association (2002), Moore (2005), Lei (2007), Bustamante (2007), UNESCO (2009) dan Trosow (2010). Justeru, gesaan agar kerajaan membentuk polisi maklumat yang

(14)

bersepadu terus disuarakan oleh pengkaji seawal 1977 oleh Porat dan diikuti oleh oleh Trauth (1986), Moore (1998c), Arnold (2004), Xue (2005), Kamar (2006) dan yang terkini oleh Wilkinson & Nilsen (2010), Trosow (2010) dan Koga (2010).

Bagi mengisi lompang di atas, model polisi maklumat bersepadu yang boleh diguna pada peringkat teori dan amalan wajar dibangun. Model bersepadu penting bagi memahami status polisi maklumat sedia ada agar perubahan pada masa hadapan dapat dilakukan secara konsisten (Arnold 2004). Selain itu, kepelbagaian matlamat polisi maklumat juga perlu dijelaskan bagi menentu skop kajian polisi maklumat dan seterusnya mengenal pasti isu yang terkandung dalam model polisi maklumat. Justeru, bagi mengatasi kepelbagaian matlamat polisi maklumat, polisi maklumat sebagai bidang silang disiplin, penentuan isu polisi maklumat dan interaksi antara sektor maklumat, satu model yang dapat memenuhi keperluan di atas adalah penting dibangun.

Dari sudut amalan polisi maklumat pula, Pajaro & Betancourt (2007b) menegaskan tentang keperluan setiap negara membangun polisi maklumat masing-masing. Selain itu, analisis terhadap status terkini polisi maklumat negara penting dilakukan bagi menilai keberkesanan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi seterusnya bagi penambahumbaikan pada masa hadapan. Beberapa kajian analisis polisi maklumat terkini negara tertentu pernah dijalankan seperti oleh Arnold (2007), Soler (2007) dan Hosman & Howard (2010). Kajian yang mengambil negara tertentu sebagai kajian kes juga diminati oleh pengkaji seperti yang ditunjuk dalam Rajah 1.1.

Berkaitan dengan status polisi maklumat di Malaysia, para pengkaji lampau masih berbeza pandangan. Sebahagian pengkaji mendakwa Malaysia mempunyai polisi maklumat yang menyeluruh (Xue 2005) manakala sebahagian yang lain berpandangan sebaliknya (Arnold 2002b; Moore 2005). Status polisi maklumat yang berbeza serta kajian lampau berkaitan Malaysia yang terkebelakang menjadi justifikasi penting bagi menganalisis status polisi maklumat terkini di Malaysia.

(15)

1.4. OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian adalah penyataan mengenai sasaran yang hendak dicapai yang boleh dicerap dan diukur (Khalid 2003; Mohd Bakhari 2009). Objektif kajian dibahagi kepada dua iaitu objektif umum dan objektif khusus. Objektif umum bertindak merangka kefahaman yang tepat tentang topik kajian manakala objektif khusus pula menerangkan langkah demi langkah yang perlu dilakukan dalam kajian (Khalid 2003).

Berdasarkan pemasalahan kajian, objektif kajian ini adalah untuk mencadangkan model polisi maklumat. Sebelum model polisi maklumat dicadangkan, situasi semasa polisi maklumat di Malaysia perlu diselidiki. Bagi mencadangkan model polisi maklumat dan mengkaji status polisi maklumat Malaysia, aktiviti dilaksanakan:

i. Mengenal pasti isu yang mendasari polisi maklumat melalui sorotan susastera.

ii. Mencadangkan sektor polisi maklumat yang bersesuaian bagi isu yang dikenal pasti dalam objektif (i).

iii. Menentukan interaksi dan hubungkait antara sektor polisi maklumat bagi membentuk satu model polisi maklumat yang bersepadu.

iv. Mengenal pasti lompang atau masalah yang wujud dalam bidang polisi maklumat di Malaysia.

Objektif i, ii dan iii dicapai dengan melakukan sorotan susastera mengguna teknik analisis kandungan dokumen. Objektif iv, v dan vi pula dicapai melalui gabungan teknik analisis kandungan dokumen terhadap dokumen primer iaitu Penyata Rasmi Parlimen Malaysia dan Rancangan Malaysia dan temu bual terhadap tokoh yang terlibat dalam pengubalan dan pelaksanaan polisi maklumat di Malaysia.

(16)

1.5. PERSOALAN KAJIAN

Persoalan kajian adalah pengganti bagi hipotesis bagi kajian kualitatif seperti yang pernah diguna oleh penyelidik seperti Krippendorff (2004) dan White & Marsh (2006). Persoalan kajian berperanan memberi fokus kepada penyelidik bagi mencari jawapan kepada fenomena yang dikaji. Hasil dari penyataan masalah yang dikemukakan pada halaman 4, kajian ini mengemuka beberapa persoalan kajian yang dibahagi kepada dua iaitu persoalan yang berkaitan dengan teori polisi maklumat dan persoalan yang berkaitan dengan amalan polisi maklumat di Malaysia.

a) Persoalan kajian berkaitan dengan teori polisi maklumat

i. Apakah isu yang dikaitkan dengan bidang polisi maklumat? ii. Apakah sektor utama polisi maklumat?

iii. Bagaimanakah bentuk model polisi maklumat?

b) Persoalan kajian berkaitan dengan amalan polisi maklumat di Malaysia

i. Adakah polisi maklumat wujud di Malaysia? ii. Apakah bentuk polisi maklumat Malaysia?

iii. Apakah masalah yang dikaitkan dengan polisi maklumat di Malaysia?

1.6. JUSTIFIKASI KAJIAN

Sorotan susastera menunjukkan bidang polisi maklumat adalah satu bidang yang masih belum matang dari sudut disiplin akademik dan amalan (Duff 2004; Arnold 2007). Kajian dalam polisi maklumat masih terhad terutamanya dari aspek skop, definisi dan silang disiplin. Kajian tentang polisi maklumat secara menyeluruh dan umum masih langka terutamanya kajian asas bagi pembangunan polisi maklumat (Jaeger 2007) sedangkan polisi maklumat adalah polisi penting yang sering dilihat sebagai satu cabaran yang tidak dapat dielak bagi membentuk masyarakat bermaklumat (Weitzner et al. 2008).

(17)

Rabina (2001) menjelaskan keperluan mengkaji terlebih dahulu asas kepada masalah polisi maklumat sebelum kajian yang khusus dijalankan. Antara asas masalah yang perlu dikaji ialah keupayaan negara menangai isu berkaitan polisi, penyelidikan dan keperluan melakukan penilaian kepada polisi sedia ada. Kajian yang bersepadu lagi menyeluruh perlu dilakukan bagi menghasil model polisi maklumat seterusnya dapat diguna bagi memahami status polisi sedia ada supaya perubahan pada masa akan datang boleh dilakukan secara konsisten (Arnold 2004).

Kajian ini menepati saranan The Library Association (2002) agar pengkaji memberi fokus bagi mengenal pasti tindakan yang perlu diambil dalam pembangunan model polisi maklumat dan bukannya membangun polisi. Berdasarkan lompang yang dikenal pasti dalam perenggan 1.3, adalah penting satu kajian polisi maklumat yang menyeluruh dijalankan bagi menentu isu yang sering dikemukakan dan dikaji. Dapatan dari kajian ini dijangka boleh diguna sebagai garis panduan bagi membangun model polisi maklumat yang komprehensif pada masa hadapan. Selain itu, dari aspek teori hasil kajian ini terutamanya yang berkaitan dengan isu, pengkelasan dan model polisi maklumat cadangan ini dapat menambah lagi teori yang boleh dipilih oleh pengkaji pada masa hadapan.

Kajian ini memilih Malaysia sebagai kajian kes kerana kajian lampu mendapati kajian kes adalah pendekatan yang popular dalam kalangan pengkaji polisi maklumat. Jadual 1.1 menunjukkan pengkaji dan negara yang pilih sebagi kajian kes.

(18)

Jadual 1.1 Senarai pengkaji dan negara pilihan

Pengkaji Negara yang dijadikan kajian kes

Baark (1985) India dan China

Stroetmann & Schwuchow (1992) German

Trigo et al. (1996) Portugal

Hernon (1996a) New Zealand

Oli Mohamed (1982; 1991), Abdus Sattar (1993), Ruzaini (1996), Sajjad (1996), Ramli (2001) & Xue (2005)

Malaysia

Nilsen (1997a) Kanada

Cornella (1997) Sepanyol

Moore (1997) Asia Timur

Moore (1998b) United Kingdom

Kularatne (1998) Sri Lanka

Priftis & Oppenheim (1999) Greece

Rabina (2001) Israel

Oladele (2001) Afrika

Dae (1996); Weaver (2002), Amerika Syarikat

Xue (2005) Singapura

Uhegbu (2003); Adeyeye & Iweha (2005) Nigeria

Moore (2005) Asia

Middleton (2006a) Australia

Arnold (2007) Afrika Selatan

Soler (2007); Pajaro (2007); Bustamante (2007) dan Betancourt (2007)

Amerika Latin

Kargbo (2007) Sierra Leone

Koga (2010) Jepun

(19)

1.7. KERANGKA TEORI

Kerangka teori atau kerangka konsep adalah asas kepada keseluruhan oleh penyelidikan (Sekaran & Bougie 2009). Kerangka teori boleh dibangun berdasarkan penemuan susastera dan tinjauan (Sunassee & Sewry 2002). Kerangka teori bagi kajian ini adalah seperti dalam Rajah 1.1:

Rajah 1.1 Kerangka Teori Kajian

Reka bentuk kualitatif menjadi pilihan sebahagian pengkaji dalam bidang polisi maklumat seperti Rabina (2001), Arnold (2007) dan Ahmad Naqiyuddin (2008a). Dalam kajian ini, reka bentuk kualitatif dipilih kerana bersesuaian dengan tujuan kajian dijalankan iaitu meneroka isu, pengkelasan dan kerangka polisi maklumat yang masih

(20)

belum terbangun sepenuhnya (Creswell 2009). Selain itu reka bentuk kualitatif dipilih kerana jenis data bagi kajian ini bukan berbentuk nombor (Robson 2011). Pendekatan mengenal pasti isu, menyenarai dan mengkelas diadaptasi dari kajian Braman (2009). Dari segi teknik memperoleh data atau maklumat, kajian ini mengadaptasi pendekatan analisis kandungan seperti yang diguna oleh Bryman & Bell (2007), Ahmad Naqiyuddin (2008a) dan Creswell (2009).

Kajian ini bermula dengan menyoroti susastera berkaitan dengan polisi maklumat. Melalui proses sorotan susastera, isu polisi maklumat yang dicadangkan oleh pengkaji lampau dikenal pasti dan disenarai (Braman 2009). Isu polisi maklumat kemudiannya dikelas kepada beberapa sektor. Namun pengkelasan semata-mata tidak dapat memberi gambaran yang tepat dan menyeluruh tentang bidang polisi maklumat yang bersifat dinamik dan berinteraksi antara satu sektor dengan sektor yang lain. Justeru, sektor polisi maklumat kemudiannya dikaitkan antara satu dengan yang lain berdasarkan saranan pengkaji lampau. Perkembangan satu sektor polisi maklumat ke satu sektor yang lain juga ditunjukkan. Perkaitan dan perkembangan ini kemudiannya dirangkum lalu menjadi satu model polisi maklumat yang bersepadu seperti yang dicadangkan oleh Arnold (2004), Xue (2005) dan Kamar (2008).

Model cadangan kajian ini seterusnya diguna sebagai asas carian dokumen primer bagi menganalisis polisi maklumat di Malaysia selaras dengan saranan Arnold (2007). Bagi menganalisis status polisi maklumat di Malaysia dua sumber data primer diguna. Sumber pertama ialah data dari sumber cetak terutamanya dokumen Rancangan Malaysia dan Penyata Rasmi Parlimen. Sumber kedua adalah temu bual dengan tokoh terkemuka dalam bidang polisi maklumat di Malaysia. Bagi menjadikan kajian ini praktikal, penyelidik tidak menganalisis semua isu polisi maklumat kerana kekangan masa dan skop yang luas. Bagi dokumen terbitan rasmi kerajaan dan penyata rasmi parlimen, analisis dilakukan berdasarkan sektor yang ditetapkan dalam Bab 2 iaitu Maklumat Teknikal dan Saintifik, Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sosial, Maklumat Kerajaan, Ekonomi dan Pendidikan ICT. Bagi tujuan analisis data sumber cetak, pendekatan analisis kandungan dokumen diguna seperti

(21)

yang pernah diguna oleh Bryman & Bell (2007), Ahmad Naqiyuddin (2008a) dan Creswell (2009).

Temu bual pula dilakukan berdasarkan enam sektor penting yang dikaitkan dengan polisi maklumat Malaysia iaitu: Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), Agenda Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITA), Koridor Raya Multimedia (MSC) dan Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Maklumat Kerajaan dan Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat. Sektor ini ditentu berdasarkan cadangan pengkaji lampau iaitu Lallana (2004), Xue (2005), Ahmad Naqiyuddin (2008a) dan Tengku Mohd Azzman (2008b). Pendekatan temu bual diadaptasi dari kajian Bryman & Bell (2007), Scanlon dlm. Ruenwai (2006), Ahmad Naqiyuddin (2008b) dan Creswell (2009).

1.8. KEPENTINGAN KAJIAN

Setiap kajian harus memberi faedah. Antara faedah yang dijangka diperoleh dari kajian ini adalah seperti berikut:

a) Dari segi teori, senarai polisi maklumat yang diperoleh dari dokumen sekunder dapat diguna sebagai senarai semak kepada pengkaji akan datang. Senarai semak ini dapat diguna sebagai batas penentu dan penetapan isu yang termasuk dalam bidang polisi maklumat.

b) Dari segi amalan, model polisi maklumat bersepadu cadangan kajian ini dijangka dapat memberi impak yang positif kepada pembangunan bidang polisi maklumat kerana model cadangan ini dijangka dapat diguna sebagai panduan oleh agensi kerajaan yang terlibat bagi membangun polisi maklumat Malaysia.

(22)

c) Faedah kepada teknologi maklumat komunikasi (ICT). Model polisi maklumat bersepadu dijangka dapat membantu kerajaan membangun strategi bagi menangani isu persaingan dalam perubahan maklumat dan teknologi maklumat global. Hal ini dapat dicapai melalui pembangun infrastruktur maklumat negara dan menyedia maklumat lengkap pada waktu yang tepat kepada organisasi penting dan orang awam.

d) Faedah kepada bidang ekonomi. Model polisi maklumat bersepadu dijangka dapat membantu kerajaan merangka strategi bagi perkembangan ekonomi dengan membekal maklumat kepada industri dan institusi serta membangun industri infrastruktur maklumat asas.

e) Faedah kepada bidang sosial. Model polisi maklumat yang bersepadu dijangka dapat membantu melindungi maklumat sulit dengan membangun persekitaran masyarakat dan perundangan yang betul. Disamping itu, model cadangan kajian ini dijangka dapat merapat jurang maklumat dengan cara menggalak inovasi teknologi dan menyemarak penggunaan maklumat secara beretika dalam kalangan rakyat.

f) Faedah kepada bidang kawalan dan perundangan. Model polisi maklumat yang bersepadu juga dijangka dapat membantu dalam membangun kawalan dan perundangan polisi maklumat yang komprehensif. Hal ini dapat dilaksanakan dengan penyesuaian semula kawalan dan perundangan melalui kerjasama antara institusi dan agensi kerajaan.

g) Faedah kepada kerajaan. Model polisi maklumat cadangan kajian ini dijangka dapat membantu dalam membangun teknologi maklumat yang inovatif bagi memenuhi keperluan rakyat terhadap capaian saksama maklumat kerajaan.

(23)

h) Kajian ini dapat menjadi asas kepada kajian yang berkaitan polisi maklumat. Dapatan tentang kerangka polisi maklumat sedia ada, lompang atau masalah berkaitan dengan polisi maklumat, status polisi maklumat di Malaysia boleh diguna untuk pengkaji seterusnya sama ada untuk menilai model polisi maklumat, mengisi lompang atau membangun polisi maklumat mahupun kajian lain.

1.9. SKOP KAJIAN

Polisi maklumat adalah satu bidang yang mempunyai skop yang luas. Namun, pengkaji lampau didapati menjurus skop kepada aspek tertentu sahaja. Sebagai contoh, Arnold (2007) memfokus kepada isu berkaitan rancangan penggunaan dan aplikasi maklumat kerajaan peringkat kebangsaan. Ida Madieha (2004) pula menganalisis polisi maklumat berdasarkan perundangan berkaitan maklumat. Sebahagian kajian polisi maklumat pula memberi tumpuan kepada aspek masyarakat maklumat seperti oleh Duff (2004), Moore (2005), Pajaro & Betancourt (2007), Jaeger (2007) dan Arnold (2007). Lallana (2004) pula didapati memfokus kepada polisi teknologi maklumat.

Bagi membina model polisi maklumat yang menyeluruh dan bersepadu, kajian ini tidak membataskan skop kajian kepada isu polisi maklumat tertentu. Begitu juga dengan sumber susastera, kajian ini tidak menghad sumber susastera dari displin kajian tertentu. Hal ini juga selari dengan sifat bidang polisi maklumat yang silang disiplin.

Bagi analisis amalan polisi maklumat, kajian ini memilih skop negara Malaysia. Dokumen yang dirujuk dalam kajian ini adalah dokumen Penyata Rasmi Parlimen Malaysia dan Rancangan Malaysia yang diterbit dari tarikh kemerdekaan Malaysia 1957 sehingga 2011.

(24)

1.10. SUMBANGAN KAJIAN

Kajian ini dijangka memberi sumbangan yang dianggap signifikan kepada perkembangan teori polisi maklumat dan juga dari aspek amalan polisi. Sumbangan kajian ini adalah seperti berikut:

Sumbangan kajian kepada teori polisi maklumat:

a) Menyenarai isu yang dikaitkan dengan polisi maklumat.

b) Mengemuka cadangan sektor dan isu yang dikaitkan dengan sektor tersebut.

c) Mengemuka cadangan model polisi maklumat yang bersepadu.

Sumbangan kajian ini kepada amalan polisi maklumat:

a) Mengemuka analisis status polisi maklumat Malaysia yang boleh diguna sebagai asas bagi menggubal polisi maklumat yang komprehensif pada masa hadapan.

1.11 ISTILAH BERKAITAN BIDANG POLISI MAKLUMAT

Beberapa istilah dan justifikasi penggunaannya dalam kajian ini dikenalpasti. Istilah berkaitan dengan bidang polisi maklumat turut dibentangkan dalam perenggan ini.

i) Model dan Kerangka Kerja

Kerangka kerja dan model merupakan dua perkara yang berbeza tetapi saling berkaitan (Fulcher & Davidson 2007). Model merupakan huraian hipotesis bagi suatu proses atau entiti yang kompleks. Kerangka kerja pula adalah struktur konsep asas yang diguna bagi menyelesai atau menangani sesuatu isu yang kompleks (Joseph & Mohapatra 2010). Menurut Fulcher & Davidson (2007), model merupakan rangka tindakan yang umum manakala kerangka kerja berperanan menerangkan sebahagian daripada model.

(25)

Dalam ertikata lain, model lebih tepat dan lebih preskriptif berbanding kerangka kerja (Malone & Bucknall 2011). Konsep hubungan antara konsep perlu ditakrif secara menyeluruh dalam model. Sesuai dengan peranannya menerangkan polisi maklumat yang menyeluruh dan sifat kompleks polisi maklumat, model merupakan istilah yang sesuai bagi kajian ini.

ii) Dasar dan Polisi

Kajian ini mengguna istilah ‘polisi’ bagi merujuk set strategi dan prinsip yang menjadi panduan tindakan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Selain itu, menurut Kamus Dewan (2005) istilah dasar adalah istilah yang sinonim dengan istilah polisi dan boleh diguna bagi merujuk perkara yang sama. Sementara itu, istilah lain yang sinonim dengan polisi maklumat turut diguna pengkaji seperti Tengku Mohd Azzman (2008b) dan Xue (2005) yang mengguna istilah strategi berbanding istilah polisi atau dasar.

iii) Maklumat dan Pengetahuan

Walaupun sebahagian pengkaji membezakan antara istilah maklumat dan pengetahuan namun dalam kajian ini, kedua istilah ini dianggap serupa. Istilah maklumat dan pengetahuan adalah dua istilah yang saling bergantungan antara satu dengan yang lain (Rikowski 2000) dan dirujuk sebagai perkara yang sama (Ramachandran 2002; Moore 2005). Soler (2007) merujuk masyarakat pasca industri, masyarakat bermaklumat atau masyarakat berpengetahuan sebagai satu bentuk baharu masyarakat. Justeru, sebagai contoh, konsep seperti ekonomi berasas maklumat dan ekonomi berasas maklumat dianggap sebagai konsep yang sama dalam kajian ini. Bagi menyeragam bahasa, istilah masyarakat bermaklumat diguna dalam kajian ini.

(26)

iv) Maklumat dan Komunikasi

Kajian ini menganggap terma maklumat dan komunikasi boleh diguna secara bersama sama seperti yang diamal di Norway. Komunikasi dimerujuk sebagai proses manakala maklumat adalah produk atau pesanan (Ministry of Labour and Government Administration Norway 2001).

v) Pengguna dan Rakyat

Dalam kajian ini istilah pengguna dan rakyat adalah merujuk kepada perkara yang sama seperti yang diguna oleh Ministry of Labour and Government Administration Norway (Ministry of Labour and Government Administration Norway 2001).

vi) ‘Isu’ dalam Polisi Maklumat

Kajian ini mengenal pasti enam istilah diguna oleh pengkaji lampau bagi merujuk isu berkaitan polisi maklumat iaitu ‘bidang polisi maklumat’ (Moore 2005), ‘nilai polisi maklumat’ (Maxwell 2004), ‘komponen polisi maklumat’ (Priftis & Oppenheim 1999), ‘bidang tindakan polisi maklumat’ (Pajaro & Betancourt 2007b), ‘konsep polisi maklumat’ (Rowlands et al. 2002), ‘sektor polisi maklumat’ (Hill 1994), ‘skop polisi maklumat’ (Moore 2005), ‘elemen polisi maklumat’ (James 2001) dan ‘prinsip polisi maklumat’ (Hernon 1996a). Kajian ini memilih istilah ‘isu polisi maklumat’ sama seperti yang diguna oleh Smith (2004), Lester & Koehler (2007) dan Jaeger (2007).

vii) Polisi Maklumat

Kajian mendapati beberapa istilah yang sinonim dengan polisi maklumat dikenal pasti iaitu; ‘polisi maklumat dan komunikasi’, ‘polisi masyarakat bermaklumat’ dan ‘polisi teknologi maklumat dan komunikasi’ (Beer 2005). Beberapa istilah dikenal pasti sinonim dengan istilah di atas adalah seperti senarai berikut:

(27)

a) Polisi maklumat (Browne 1997a; Weingarten 1989).

b) Polisi maklumat awam (Maxwell 2003a; Esanu 2004; Nyquist 2004; Soler 2007).

c) Polisi Maklumat Persekutuan (Smith et al. 2000; Smith 2004).

d) Polisi Maklumat Kebangsaan (Rowlands et al. 2002; Arnold 2002a).

e) Polisi Maklumat Kerajaan (Schwuchow 1999; Nilsen 2000).

f) Polisi Maklumat Kerajaan Pusat (Ministry of Labour & Government Administration Norway 2001).

g) Polisi Masyarakat Bermaklumat (Moore 2005).

h) Polisi Komunikasi Kebangsaan (Arnold 2004).

i) Polisi Komunikasi dan Maklumat Kebangsaan (Arnold 2004).

j) Polisi Teknologi Maklumat Kebangsaan (Arnold 2004).

k) Polisi ICT (UNESCO 2009).

l) Strategi Masyarakat Bermaklumat (UNESCO 2009)

Polisi maklumat sebenarnya tidak berbeza daripada polisi maklumat kebangsaan kerana terdapat persamaan dalam isu yang menjadi perhatian. Misalnya, isu Akta Kebersendirian, kebebasan maklumat, dan arkib kebangsaan. Perbezaan hanya pada skop penggunaan sahaja. Manakala sebahagian istilah pula merujuk kepada skop kecil polisi maklumat seperti yang dikemukakan oleh Adeyeye & Iweha (2005). Justeru, kajian ini menganggap semua istilah seperti yang disenarai di atas boleh dirujuk sebagai polisi maklumat. Polisi maklumat bertukar menjadi polisi maklumat kebangsaan apabila kajian dijalankan terhadap negara tertentu (Rabina 2001). Kajian ini memilih istilah polisi maklumat bagi membincang aspek teori, manakala istilah polisi maklumat kebangsaan diguna bagi membincang tentang polisi maklumat Malaysia.

(28)

1.12. ORGANISASI TESIS

Penulisan tesis dibahagi kepada beberapa bab seperti berikut:

Bab 1 membincang tentang polisi maklumat masalah berkaitan dengan bidang polisi maklumat iaitu berkaitan dengan teori dan amalan. Bab ini turut membincang latar belakang kajian, penyataan masalah, objektif kajian, persoalan kajian, justifikasi kajian, kerangka teori kajian, kepentingan kajian, skop kajian, sumbangan kajian, istilah berkaitan berkaitan bidang polisi maklumat organisasi tesis dan kesimpulan.

Bab 2 menyoroti susastera yang merangkumi dua komponen penting iaitu latar belakang teori dan amalan polisi maklumat. Latar belakang teori meliputi konsep polisi maklumat, isu polisi maklumat dan pengkelasan polisi maklumat. Manakala sorotan berkaitan amalan polisi maklumat dibuat bagi mengenal pasti lompang dalam amalan bidang polisi maklumat.

Bab 3 pula mengulas kajian lampau dan model yang dibangun oleh pengkaji lampau berkaitan bidang polisi maklumat. Berdasarkan lompang, isu dan sektor polisi maklumat serta masalah amalan polisi yang dikenal pasti dalam Bab 2, model polisi maklumat bersepadu dicadangkan.

Bab 4 membincang tentang kaedah yang diguna dalam kajian penyelidik yang merangkaumi huraian tentang reka bentuk kajian iaitu bentuk kualitatif. Falsafah atau paradigma kajian iaitu konstruktivis, strategi kajian iaitu kajian kes, teknik kajian iaitu analisis kandungan dokumen terhadap data dokumen dan data temu bual. Bab 4 juga turut menghurai teknik yang diguna bagi menganalisis data iaitu mengguna teknik analisis kandungan dokumen.

(29)

Bab 5 membincang mengenai analisis dan interpretasi kajian dari data sumber cetak. Tanpa mengguna sebarang perisian tertentu (sesuai dengan tabii kajian kualitatif), analisis data primer sumber cetak dibentang berdasarkan kepada enam sektor seperti yang dikemukakan dalam Bab 2 iaitu: konteks maklumat teknikal dan saintifik, konteks perpustakaan dan perkhidmatan maklumat, konteks ICT, konteks sosial, konteks maklumat kerajaan, konteks ekonomi dan konteks pendidikan ICT. Bab 5 turut membentangkan mengenai analisis dan interpertasi kajian dari data sumber temu bual. Bagi analisis data primer dari sumber temu bual, analisis dikemukakan berdasarkan kepada enam sektor utama polisi maklumat khusus dikaitkan dengan Malaysia iaitu NITC, NITA, MSC dan MDec, SKMM, Maklumat Kerajaan dan Perpustakaan dan Perkhidmatan Maklumat.

Bab 6 adalah mengenai rumusan dan penutup. Bab ini mengulas tentang kekurangan kajian, adakah objektif tercapai, adakah metod sesuai, apakah kekangan yang dihadapi, dan apakah implikasi kepada dasar. Selain itu, bab ini turut menyenarai cadangan untuk kajian pada masa hadapan.

1.13. KESIMPULAN

Bab 1 membincangkan beberapa aspek penting berkaitan kajian yang dijalankan penyelidik. Ketiadaan model polisi maklumat yang dapat diterima dalam kalangan sarjana dalam bidang polisi maklumat mendorong kajian ini mengemuka satu model bersepadu sesuai dengan sifat bidang polisi maklumat yang silang disiplin. Bagi tujuan menentu model polisi maklumat, penyelidik beberapa proses dijalankan penyelidik iaitu mengenal pasti isu yang mendasari polisi maklumat, menentu sektor dan isu yang terkandung didalamnya, dan menentu interaksi diantara sektor. Selain itu, perbezaan pandang tentang amalan polisi maklumat di Malaysia turut mendorong kajian ini menganalisis keadaan polisi maklumat di Malaysia dengan mengguna model bersepadu seperti yang dicadangkan oleh kajian. Skop kajian bagi aspek teori iaitu membangun model polisi maklumat bersepadu tidak dibatas kepada disiplin tertentu sahaja tetapi meliputi semua bidang kajian yang pernah dikemukakan oleh pengkaji lampau. Hal ini adalah bagi

(30)

menjadikan model cadangan kajian ini dapat diterima oleh berbagai disiplin akademik dan sektor yang mempunyai kepentingan dengan maklumat. Bagi aspek amalan polisi maklumat pula, analisis ditetapkan kepada kajian terhadap polisi maklumat di Malaysia. Kajian ini adalah penting bagi kedua-dua teori dan amalan. Dari aspek teori, model ini dijangka dapat menambah lagi alatan kajian bagi bidang polisi maklumat yang masih dianggap baharu. Sementara model polisi maklumat yang dicadangkan turut boleh diguna sebagai asas koordinasi sektor maklumat yang sebelum ini diamal secara terpisah-pisah. Analisis polisi maklumat di Malaysia pula penting bagi menentu status terkini polisi maklumat yang seterusnya boleh dijadikan asas kepada pembangunan polisi maklumat Malaysia yang bersepadu.

Referensi

Dokumen terkait

Definisi operasional digunakan untuk menafsirkan istilah yang terdapat dalam judul penelitian yaitu Manfaat Hasil Belajar “Menyediakan Layanan Makanan dan Minuman

Hasil penelitian dengan mengunakan model pembelajaran kooperatif tipe STAD pada mata pelajaran pada mata pelajaran Konstruksi Bangunan SMK N 1 Sidoarjo

[r]

The study also contributes to the development aspects of the study of the human resources that human capital gives effect on business success which requires mediation of

It may be implemented by investing in environmental friendly sectors, keeping the balancing of exploitation, waste recycling, increased social costs as well as other

Rangka/chasis adalah bagian utama dari mobil yang berfungsi untuk menopang komponen- komponen lainya seperti mesin, baterai, sistem kemudi, sistem pengereman, kursi

Sebelum pengaruh budaya Hindu-Budha masuk, bangsa Indonesia talah menggunakan bahasa melayu kuno dan Jawa kuno. Setelah masuknya Hindu-Budha masyarakat menggunakan bahasa

DEEPER LEARNING TERHADAP HASIL BELAJAR BIOLOGI SISWA KELAS XI IPA SMA NEGERI 2 SURAKARTA TAHUN PELAJARAN