Penilaian Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) Sekolah Menggunakan Model Logik
Adnadia Darmawan Jamil bin Ahmad
Fakulti Pendidikan,Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Budaya pembelajaran kolaboratif dalam kalangan guru telah diintegrasikan dalam sistem pendidikan di Malaysia melalui Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan profesionalisme guru. Kajian berbentuk penilaian program ini bertujuan untuk menilai pelaksanaan awal program PLC dalam kalangan guru menggunakan Model Logik (W.K.Kellogg Foundation 2004) dengan memberikan fokus kepada penilaian input dan aktiviti. Kaedah tinjauan dan pensampelan secara bertujuan telah digunakan bagi kajian ini. Responden kajian adalah terdiri daripada 92 orang guru yang pernah terlibat dengan aktiviti program PLC di sekolah. Pengumpulan data melalui soal selidik telah dianalisis menggunakan perisian statistik SPSS versi 22. Dapatan kajian penilaian input dan aktiviti menunjukkan bahawa pelaksanaan program berada pada tahap tinggi.
Namun, aspek kecukupan kemudahan dan kerjasama semua pihak perlu ditingkatkan bagi memastikan keberkesanan program PLC di sekolah.
Kata kunci: PLC, budaya kolaboratif, perkongsian amalan, penilaian program.
PENGENALAN
Dunia pendidikan kini sedang berhadapan dengan inovasi ilmu dan teknologi yang semakin pesat membangun. Pada masa yang sama, pendidik terutamanya golongan guru perlu bergerak seiring dalam proses memperkaya ilmu dan kemahiran dalam bidang masing-masing. Oleh itu, dalam usaha meningkatkan kualiti profesion keguruan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan inisiatif program pembangunan profesional melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013- 2025) untuk sekolah iaitu Professional Learning Communities (PLC) atau dikenali sebagai Komuniti Pembelajaran Profesional. Dalam aspek pembangunan profesion keguruan, program PLC menggalakkan budaya pembelajaran secara kolaboratif sesama komuniti guru dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Bagi memastikan program ini berjalan seperti yang dirancang dan mencapai objektif, penilaian program perlu dilaksanakan untuk mengetahui kelebihan dan kelemahan program tersebut.
Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kajian tentang pelaksanaan PLC pernah dijalankan di beberapa universiti tempatan dan didapati berada pada tahap yang baik (Lokman et al. 2013). Kajian PLC yang dibuat oleh Zuraidah dan Muhammad Faizal (2014) terhadap guru pula mendapati sekolah menengah di Malaysia banyak berfokus kepada usaha meningkatkan prestasi murid tetapi akiviti pemerhatian sesama guru berada pada tahap lemah. Namun demikian, kajian lepas menunjukkan bahawa kurang penekanan diberikan dari aspek penilaian program. Penilaian terhadap pelaksanaan adalah satu proses yang penting untuk tujuan penambahbaikan dan memastikan program berjalan seperti yang dirancang. Dapatan daripada penilaian program ini adalah penting dan boleh digunakan oleh pihak berkepentingan (stakeholders) seperti Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pelajaran Negeri, pihak sekolah, dan juga para pendidik untuk tujuan penambahbaikan program dan juga pembangunan profesional pendidik.
Tujuan kajian ini adalah untuk menilai pelaksanaan awal program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) di sekolah. Untuk lebih memahami kajian ini, objektif kajian adalah untuk mengenal pasti tahap pelaksanaan PLC dari segi input dan aktiviti berdasarkan model logik Kellogg.
Persoalan kajian pula adalah seperti berikut:
1) Apakah tahap pelaksanaan PLC dari segi input iaitu tahap kecukupan kemudahan?
2) Apakah tahap pelaksanaan PLC dari segi aktiviti melalui strategi Perkongsian Amalan yang terdiri daripada aktiviti Bimbingan Rakan Guru (Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walks), Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran (Lesson Study) dan Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions)?
Bahagian selanjutnya akan membincangkan kajian literatur yang dijalankan berkaitan model penilaian dan program, kaedah pelaksanaan kajian, dapatan kajian dan perbincangan serta rumusan keseluruhan.
KAJIAN LITERATUR
Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC)
Dalam kajian ini, Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) merujuk kepada satu usaha kolaboratif antara semua pendidik secara berterusan untuk membuat inkuiri atau kajian tindakan bagi meningkatkan pencapaian murid-murid dengan lebih baik (Bolam et al. 2005; Graham 2007; Falk &
Drayton 2009). Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) merupakan satu strategi yang berkesan untuk penambahbaikan mutu dan kapasiti sekolah (Hord 1997; Stoll et al. 2006; Feger & Arruda 2008).
Pemerhatian awal dari kajian oleh Kruse, Louis dan Bryk (1994) menyatakan bahawa keperluan untuk menambah baik budaya, suasana dan hubungan interpersonal dalam sekolah kurang diberi perhatian. Model pembangunan PLC yang dibangunkan oleh Kruse et al. terdiri daripada lima strategi iaitu 1) Dialog reflektif, 2) Perkongsian amalan, 3) Fokus secara koleksi pada pembelajaran murid, 4) Kolaborasi, serta 5) Norma dan nilai dikongsi bersama. Walaupun PLC dikatakan membawa perubahan positif kepada perkembangan guru (Lujan 2009), dapatan kajian Maloney dan Konza (2011) mendapati sesetengah guru menganggap aktiviti kolaborasi dan perkongsian amalan membuatkan mereka mengabaikan tugasan harian yang dirasakan lebih penting. Kajian Pablo- Wrzosek (2011) turut mendapati kebanyakan sekolah kekurangan struktur hasil kerja secara kolektif dan pembelajaran guru yang kolaboratif. Perkara ini turut dikemukakan dalam kajian LaRocco (2010) yang menyatakan tidak mudah bagi guru untuk mendapatkan persetujuan menyeluruh semasa sesi perbincangan. Permasalahan yang timbul ini menjadikan penilaian program PLC suatu kemestian bagi memastikan semua aktiviti berjalan seperti yang dirancang.
Dalam konteks kajian dalam negara, PLC telah dijadikan satu program dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) untuk melihat keberkesanan program tersebut dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan dan pembangunan profesional guru di sekolah. Kajian yang pernah dijalankan dalam negara berkaitan dengan PLC oleh Lokman et al. (2013) melihat kepada keberkesanan PLC yang dilaksanakan di peringkat universiti. Pemerhatian awal tentang pelaksanaan PLC di sekolah menengah pula telah dijalankan oleh Zuraidah Dan Muhammad Faizal Kajian (2014) tersebut menggunakan model PLC gabungan daripada Hord dan Hipp & Huffman dalam menilai keberkesanan PLC berfokuskan guru. Model tersebut digunakan untuk melihat tahap pelaksanaan PLC di sekolah menengah bagi tujuan penambahbaikan sekolah dan pembelajaran murid.
Namun, penilaian program yang berasaskan model penilaian yang sesuai masih kurang dijalankan dalam negara.
Dalam kajian ini, pengkaji ingin memfokus kepada penilaian tahap pelaksanaan aktiviti dalam salah satu strategi model PLC oleh Kruse et al. yang terdapat dalam modul PLC terbitan KPM iaitu strategi Perkongsian amalan. Aktiviti yang terlibat adalah seperti Bimbingan rakan guru (Peer coaching), Jejak pembelajaran (Learning walks), Pembelajaran berasaskan rancangan pengajaran (Lesson study) dan Sesi perkongsian guru (Teacher sharing session). Hal ini kerana strategi tersebut
merupakan strategi yang sedang aktif dijalankan di sekolah sejak pelancaran program bermula.
Berikut merupakan kerangka konseptual kajian yang dibina oleh pengkaji bagi memudahkan proses penilaian.
Model Penilaian
Definisi bagi penilaian adalah berbagai dan bergantung kepada tujuan penilaian tersebut dijalankan.
Popham (1975) menyatakan dengan ringkas bahawa penilaian adalah penentuan nilai bagi sesuatu.
Penilaian program dapat memberikan maklumat yang berguna tentang perkembangan suatu program dan maklumat tersebut akan diguna pakai oleh pihak yang berkepentingan bagi proses penambahbaikan program (Posavac & Carey 2003). Model penilaian pula adalah satu prosedur yang digunakan bagi memandu sesebuah penilaian program. Setiap model penilaian mempunyai fahaman penilaian yang berlainan kerana dihasilkan melalui ideologi dan anggapan yang berbeza (House 1978).
Model Logik adalah satu kaedah atau alat sistematik yang sering digunakan oleh pengurus projek dan para penilai untuk menyampaikan idea dalam suatu program terutamanya terhadap aspek penilaian dan perancangan (McCawley 2001). Logik amat penting dalam suatu penilaian terutamanya dalam bahagian menentukan impak penilaian. Oleh itu, penilaian sebegini lebih berbentuk sumatif (Owen & Rogers 1999).
Model ini sering diguna pakai dalam proses perancangan kerana elemennya yang mudah difahami dan sangat praktikal bagi penilai untuk menentukan keberkesanan sebuah program. Peranan utama sebuah model logik adalah menerangkan hubungan sebab-akibat dalam suatu perancangan.
Selain itu, model ini turut membantu dalam memahami aspek persoalan seperti ‘Apakah yang boleh dilakukan untuk mencapai objektif?’ dan ‘Apakah kesannya?’. Seterusnya, model ini menjadikan objektif program yang implisit menjadi lebih eksplisit dan jelas (Sundra, Sherer & Anderson 2003).
Keberkesanan model logik juga disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Csiernik, Chaulk dan McKeon (2015) bahawa model ini mewujudkan satu kaedah komunikasi yang mudah dan berkesan antara pihak-pihak berkepentingan terhadap program. Selain itu, kajian Thompson (2012) juga mendapati model ini unik kerana menumpu kepada aspek meneroka dan memfokuskan cara komponen program berhubung dengan hasil program secara logik. Melalui pemerhatian kajian yang lepas, penilaian program berpandukan model logik masih kurang digunakan di Malaysia. Oleh itu, pengkaji ingin meneroka penggunaan model logik dalam proses penilaian program PLC sekolah.
Rajah 1 Kerangka konseptual kajian menggunakan model logik Kellogg
Sumber : Model Logik Kellogg (W.K.Kellogg Foundation 2004)
METODOLOGI Pensampelan
Reka bentuk kajian ini adalah kajian kuantitatif tinjauan yang berbentuk penilaian. Populasi bagi kajian ini melibatkan guru-guru sekolah yang pernah terlibat dengan aktiviti-aktiviti dalam program PLC. Sampel kajian pula ditentukan menggunakan persampelan bertujuan kerana kajian ini memerlukan maklumat yang tepat dari sampel (Beins 2013) iaitu guru yang pernah terlibat dengan program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) sekolah dari beberapa sekolah di sekitar negeri Sabah.
Instrumentasi
Instrumen yang digunakan oleh pengkaji ialah soal selidik. Hal ini kerana soal selidik merupakan instrumen yang murah dan mudah untuk dikendalikan pada bila-bila masa (Gavetter & Forzano 2010;
Breakwell, Hammond & Fife-Schaw 2000). Soal selidik ini dibina berdasarkan penerangan tentang aktiviti PLC dalam buku PLC yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Soal selidik ini terdiri daripada tiga bahagian iaitu demografi responden, penilaian input dan penilaian aktiviti program. Bahagian A memerlukan maklumat ringkas tentang responden manakala Bahagian B pula berkaitan dengan kemudahan yang disediakan bagi menjalankan program PLC. Seterusnya, bahagian C adalah mengenai pelaksanaan aktiviti program seperti Bimbingan Rakan Guru, Jejak Pembelajaran, Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran dan Sesi Perkongsian Guru. Skala likert yang digunakan terdiri daripada empat poin iaitu Sangat Tidak Setuju (STS), Tidak Setuju (TS), Setuju (S), dan Sangat Setuju (SS). Hal ini sesuai untuk pengkaji mengukur dimensi yang diingini dan respon bersifat homogen dalam mendiskriminasikan kategori skala (Asun et al. 2015).
Kesahan dan Kebolehpercayaan
Sebelum soal selidik kajian ditadbirkan kepada responden sebenar, pengkaji telah membuat satu kajian rintis untuk mendapat kesahan dan kebolehpercayaan instrumen. Kesahan muka dan kesahan kandungan bagi soal selidik telah disemak oleh beberapa orang pakar bidang penilaian.
Kebolehpercayaan bagi item dalam soal selidik pada peringkat rintis menunjukkan nilai alfa, α = 0.817. Hal ini menunjukkan bahawa item mempunyai ketekalan dalaman yang baik dan boleh ditadbirkan (Creswell 2012).
Analisis Deskriptif
Seterusnya, dapatan kajian dianalisis menggunakan kaedah analisis statistik deskriptif Statistic Package for Social Science (SPSS) bagi menentukan tahap pelaksanaan program PLC untuk setiap penilaian input dan aktiviti. Untuk tujuan penentuan tahap, pengkaji telah menggunakan interpretasi skor min kepada tiga tahap iaitu rendah, sederhana dan tinggi (Abdul Sukor, Ab. Aziz & Mohd Khan 2008) seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1.
Jadual 3 Jadual interpretasi skor min Skor Min Interpretasi Skor Min (Tahap)
1.00 – 1.99 Rendah
2.00 – 2.99 Sederhana
3.00 – 4.00 Tinggi
DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Bahagian ini membincangkan dua persoalan kajian yang melibatkan penilaian input dan penilaian aktiviti berasaskan model logik Kellogg. Penilaian input dalam kajian ini melibatkan penilaian tahap kecukupan kemudahan dalam program PLC manakala penilaian aktiviti melibatkan keempat-empat aktiviti di bawah strategi Perkongsian Amalan iaitu Bimbingan Rakan Guru, Jejak Pembelajaran, Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran dan Sesi Perkongsian Guru. Analisis deskriptif telah dirumuskan dalam Jadual 2 yang menggunakan frekuensi, peratusan, skor min dan tahap pelaksanaan bagi setiap aspek.
Berdasarkan Jadual 2, penilaian program berasaskan model logik menunjukkan bahawa program PLC dilaksanakan dengan baik mengikut perancangan setakat program tersebut dijalankan secara serentak seluruh Malaysia bermula tahun 2013. Tahap pelaksanaan program PLC secara keseluruhan berada pada tahap yang tinggi. Penerangan bagi setiap aspek dijelaskan dalam jadual yang seterusnya mengikut persoalan kajian.
Jadual 4 Skor min dan sisihan piawai bagi keseluruhan penilaian input dan penilaian aktiviti
Konstruk Frekuensi dan Peratusan
Skor Min
(1.00-1.99) (2.00-2.99) (3.00- 4.00)
Rendah Sederhana Tinggi
SkorMin Tahap Pelaksanaan Setiap Aspek
Penilaian Input
Kecukupan Kemudahan 3
(3.3%) 37
(40.2%) 52
(56.5%) 2.91 Sederhana Penilaian Aktiviti Strategi
Perkonsian Amalan
Aktiviti Bimbingan Rakan Guru 1
(1.1%) 30
(32.6%) 61
(66.3%) 3.09 Tinggi
Aktiviti Jejak Pembelajaran 1
(1.1%) 33
(35.9%) 58
(63.0%) 3.03 Tinggi
Aktiviti Pembelajaran Berasaskan
Rancangan Pengajaran 0
(0.0%) 34
(37.0%) 58
(63.0%) 3.07 Tinggi
Aktiviti Sesi Perkongsian Guru 1
(1.1%) 23
(25.0%) 68
(73.9%) 3.12 Tinggi
Penilaian input dan aktiviti secara
keseluruhan 3.04 Tinggi
1) Apakah tahap pelaksanaan PLC dari segi input iaitu tahap kecukupan kemudahan?
Merujuk kepada Jadual 3, penilaian input iaitu tahap kecukupan kemudahan dalam program PLC secara keseluruhannya berada pada tahap sederhana. Berdasarkan jadual tersebut, terdapat dua aspek yang berada pada tahap sederhana iaitu pendedahan kepada tujuan dan prosedur pelaksanaan PLC serta kelengkapan mengajar guru. Pihak pentadbir khususnya pengetua dan penolong kanan memainkan peranan penting dalam mendedahkan kepentingan dan mukadimah tentang program PLC kepada para guru. Hal ini kerana sokongan pengetua merupakan tunjang keberkesanan suatu program sekolah. Muhammad Faizal dan Crow (2013) menyimpulkan bahawa pelaksanaan PLC akan menjadi lebih berkesan dalam proses menaikkan prestasi sekolah sekiranya pengetua turut bersama terlibat dalam memantau perkembangan perancangan.
Selain itu, kekurangan kelengkapan mengajar untuk guru dalam program PLC menyebabkan guru kurang bermotivasi dalam bekerjasama melaksanakan tugas dengan baik. Laporan motivasi guru oleh Guajardo (2011) mendapati keperluan asas guru yang tidak mencukupi menyebabkan guru berasa tertekan kerana terpaksa menggunakan pembiayaan sendiri ditambah lagi dengan faktor penyumbang lain seperti cabaran pengajaran, kurang penghargaan dan komunikasi yang lemah dengan pengetua sekolah. Zuraidah (2009) turut berpendapat bahawa kualiti kemudahan dan infrastruktur telah dikenal pasti sebagai suatu vabaran dalam melaksanakan PLC. Oleh itu, tanggungjawab pengetua dan pihak atasan perlu turut sama turun padang untuk memberi sokongan kepada para guru kerana usaha sebegini dapat memberi semangat kepada guru sekaligus meningkatkan prestasi murid dan sekolah. Pihak sekolah perlu mengambil kira keperluan kemudahan yang penting untuk kelancaran program seperti bilik darjah, tempat dan waktu untuk perbincangan sesama guru dan alat tulis.
Jadual 5 Aspek penilaian input iaitu tahap kecukupan kemudahan dalam program PLC
Aspek Min Sisihan Piawai Interpretasi
Saya pernah terlibat dengan aktiviti PLC di
sekolah 3.00 0.711 Tinggi
Saya didedahkan kepada tujuan dan prosedur
pelaksanaan PLC oleh pihak pentadbir 2.92 0.745 Sederhana
Pihak sekolah menyediakan bilik perbincangan
untuk kegunaan guru 3.01 0.734 Tinggi
Pihak sekolah menyediakan kemudahan bilik
mengajar yang mencukupi untuk program PLC 3.05 0.618 Tinggi
Kelengkapan mengajar guru disediakan untuk
program PLC 2.55 0.635 Sederhana
Aspek penilaian input iaitu tahap kecukupan kemudahan dalam program PLC secara keseluruhan
2.91 0.527 Sederhana
2) Apakah tahap pelaksanaan PLC dari segi aktiviti melalui strategi Perkongsian Amalan yang terdiri daripada aktiviti Bimbingan Rakan Guru (Peer Coaching), Jejak Pembelajaran (Learning Walks), Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran (Lesson Study) dan Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions)?
Strategi PLC yang dinilai dalam kajian ini adalah strategi Perkongsian Amalan. Secara keseluruhannya, tahap pelaksanaan PLC dari segi penilaian aktiviti berada pada tahap yang tinggi.
Namun, beberapa aspek dalam setiap aktiviti berada pada tahap sederhana.
Merujuk kepada Jadual 4, pelaksanaan aktiviti Bimbingan Rakan Guru berada pada tahap yang tinggi. Namun, terdapat dua aspek berada pada tahap sederhana seperti tayangan rakaman video dan kesediaan menjadi jurulatih. Guru perlu didedahkan kepada keperluan setiap aktiviti sebelum dijalankan untuk mengelakkan sebarang kekangan. Dalam usaha mengubah budaya sekolah menjadi suatu komuniti yang profesional, setiap ahli harus memberikan komitmen dalam melaksanakan tugas.
Kesediaan guru dalam memberikan kerjasama merupakan satu kunci utama kejayaan program PLC.
Kajian oleh Gemeda, Fiorucci dan Catarci (2014) mendapati guru pada masa kini, secara realitinya, mempunyai banyak komitmen kerja di sekolah dan tidak mampu untuk memberikan sepenuh perhatian kepada tugas jika mereka tidak diberikan masa untuk bersedia. Sekiranya hal ini tidak diperbaiki dari semasa ke semasa, dikhuatiri prestasi guru dan murid akan terjejas.
Jadual 6 Aspek Penilaian Aktiviti Bimbingan Rakan Guru
Aspek Min Sisihan Piawai Interpretasi
Saya bersedia untuk menambah baik pengajaran saya melalui bimbingan guru yang lebih
berpengalaman
3.42 0.650 Tinggi
Saya pernah menonton rakaman video berkaitan
mata pelajaran saya diajar oleh guru lain 2.70 0.752 Sederhana Saya bersedia menjadi jurulatih (coach) bagi
tujuan membimbing rakan guru lain 2.98 0.574 Sederhana
Saya dan rakan guru bekerjasama dalam pasukan mentaksir hasil kerja murid bagi memperbaik kelemahan pembelajaran mereka
3.13 0.597 Tinggi
Guru yang lebih berpengalaman membantu dalam memberi cadangan terhadap kelemahan dan kelebihan pengajaran saya
3.22 0.570 Tinggi
Aspek penilaian aktiviti bimbingan rakan guru
secara keseluruhan 3.09 0.419 Tinggi
Berdasarkan Jadual 5, penilaian aktiviti Jejak Pembelajaran secara keseluruhannya berada pada tahap yang tinggi walaupun terdapat dua aspek masih pada tahap sederhana. Kedua-dua aspek ini melibatkan penyertaan daripada pengetua dan pihak pentadbir yang lain. Tahap sederhana menunjukkan bahawa pihak atasan kurang membuat pantauan dan kurang memberi maklum balas terhadap kegiatan guru di dalam kelas. Pihak atasan khususnya pengetua perlu lebih kerap meluangkan masa untuk melihat perkembangan guru dan murid supaya dapat memahami situasi sebenar yang berlaku semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Kajian telah menunjukkan bahawa guru yang sentiasa dipantau dan dibimbing secara berterusan oleh pihak atasan mempunyai tahap motivasi dan keyakinan yang lebih tinggi semasa menjalankan tugas. Prestasi murid turut meningkat kerana suasana pembelajaran yang positif di sekolah (Taylor 2011).
Jadual 7 Aspek Penilaian Aktiviti Jejak Pembelajaran
Aspek Min Sisihan Piawai Interpretasi
Pemimpin sekolah dan guru terlibat secara aktif dalam aktiviti mengelilingi sekolah untuk memerhatikan guru
2.73 0.681 Sederhana
Memerhatikan rakan guru lain menjalankan aktiviti dalam kelas dapat membantu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan pengajaran saya
3.12 0.531 Tinggi
Saya mendapat idea untuk mempelbagaikan strategi pengajaran dengan memerhatikan rakan guru lain
3.24 0.454 Tinggi
Saya bersedia jika guru lain memerhatikan pengajaran dan aktiviti yang berlaku dalam kelas
3.13 0.539 Tinggi
Ahli pasukan Jejak Pembelajaran memberikan maklum balas dan cadangan tentang pengajaran yang diperhatikan
2.93 0.589 Sederhana
Aspek penilaian aktiviti Jejak Pembelajaran
secara keseluruhan 3.03 0.412 Tinggi
Seterusnya, penilaian aktiviti Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran berada pada tahap tinggi secara keseluruhan. Jadual 6 menunjukkan aspek penglibatan guru dalam proses membina rancangan pengajaran dalam pelaksanaan aktiviti tersebut berada pada tahap sederhana.
Walaupun aktiviti ini merupakan aktiviti yang sedang aktif dijalankan di sekolah, namun tidak ramai guru yang berpeluang untuk mengambil bahagian kerana kekangan masa yang tidak sesuai. Hal ini kerana aktiviti tersebut dijalankan pada waktu perdana dan kebanyakan guru mempunyai jadual tugasan masing-masing yang tidak mengizinkan. Satu waktu yang sesuai untuk semua guru mata pelajaran perlu dicadangkan supaya guru mendapat manfaat yang sebenar bagi membantu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan dalam proses PdP.
Jadual 8 Aspek Penilaian Aktiviti Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran
Aspek Min Sisihan Piawai Interpretasi
Saya pernah terlibat dengan aktiviti Pembelajaran Berasaskan Rancangan Pengajaran
2.88 0.754 Sederhana
Saya pernah terlibat dalam proses membina
rancangan pengajaran 2.84 0.760 Sederhana
Rancangan pengajaran harian yang baik wajar
dijadikan sebagai contoh 3.47 0.523 Tinggi
Penambahbaikan terhadap pengajaran boleh dilakukan semasa aktiviti Pembelajaran
Berasaskan Rancangan Pengajaran berlangsung
3.09 0.623 Tinggi
Semua ahli yang terlibat memberikan maklum
balas secara positif selepas sesi pengajaran 3.05 0.542 Tinggi Aspek penilaian aktiviti pembelajaran
berasaskan rancangan pengajaran secara keseluruhan
3.06 0.419 Tinggi
Jadual 7 menunjukkan bahawa semasa aktiviti Sesi Perkongsian guru dijalankan, pihak pentadbir kurang membuat pantauan terhadap aktiviti perkongsian ilmu antara guru di sekolah.
Aktiviti sebegini seharusnya diperhatikan kerana semua guru berpeluang untuk berkongsi pendapat dan masalah yang dihadapi dalam proses PdP. Guru yang berpengalaman juga dapat berkongsi petua yang baik kepada guru yang lain. Perkongsian ilmu antara guru yang unik dan berlainan boleh dijadikan sebagai panduan kepada pihak sekolah dan pihak berkepentingan kerana maklumat sebegini boleh memberikan kesan yang positif kepada pembelajaran guru dan murid (Ambler 2015).
Jadual 9 Aspek Penilaian Aktiviti Sesi Perkongsian Guru
Aspek Min Sisihan Piawai Interpretasi
Saya bersedia untuk berkongsi amalan pengajaran yang baik dengan rakan guru yang lain
3.30 0.588 Tinggi
Saya dan rakan guru lain bertemu dan berbincang untuk menentukan strategi pengajaran yang sesuai bagi mata pelajaran utama yang diajar
3.16 0.598 Tinggi
Guru-guru sedia berkongsi maklumat pencapaian murid secara jujur demi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran
3.25 0.527 Tinggi
Saya dan rakan guru lain bekerjasama dalam menentukan standard kaedah pentaksiran kualiti dan pencapaian murid
3.12 0.552 Tinggi
Pihak pentadbir sentiasa memantau
perkembangan aktiviti perkongsian ilmu antara guru di sekolah
2.74 0.709 Sederhana
Aspek penilaian aktiviti sesi perkongsian guru
secara keseluruhan 3.12 0.455 Tinggi
KESIMPULAN
Kajian ini adalah tertakluk kepada beberapa limitasi memandangkan kajian ini hanya menggunakan sasaran kumpulan guru dari sekolah yang melaksanakan program PLC di sekitar negeri Sabah sahaja.
Hal ini menyebabkan dapatan kajian hanya memberi interpretasi terhadap program PLC di sekolah yang dikaji sahaja dan tidak dapat digeneralisasikan. Selain itu, kajian ini menggunakan sebahagian elemen daripada model penilaian logik yang mengehadkan interpretasi dapatan. Di samping itu, kajian ini hanya menggunakan soal selidik sebagai instrumen untuk mendapatkan data. Adalah lebih baik jika data soal selidik disokong dengan dapatan temubual.
Oleh itu, beberapa cadangan telah dikemukakan bagi memurnikan dapatan kajian penilaian program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) akan datang. Antaranya ialah pemilihan dan bilangan sampel perlu diperluaskan agar dapatan yang lebih tepat diperolehi. Selain itu, penggunaan kaedah temubual bagi menyokong dapatan juga boleh dipertimbangkan. Penggunaan komponen output dan hasil (outcomes) dalam model logik membolehkan penilaian objektif program boleh dilaksanakan secara menyeluruh. Penilaian akan lebih bermakna apabila pengkaji dapat mengintegrasikan kesemua komponen penilaian Model Logik iaitu input, aktiviti, output dan hasil (outcomes).
Kesimpulannya, model penilaian logik telah membantu pengkaji membuat penilaian pelaksanaan PLC dari aspek input dan aktiviti dengan memberikan gambaran pelaksanaan awal program. Dapatan kajian menunjukkan guru berpuas hati secara keseluruhan berkaitan input dan aktiviti program. PLC yang bercirikan amalan pembelajaran secara kolaborasi antara guru sewajarnya dibudayakan di sekolah. Amalan kolaborasi guru boleh disimpulkan menjadi satu aktiviti dimana guru dapat berkongsi informasi sambil menambah baik kaedah pengajaran yang berkesan dalam bilik darjah. Program PLC seharusnya diteruskan kerana budaya positif yang diterapkan dalam kerja berpasukan mampu mengubah atmosfera sekolah sekaligus membantu meningkatkan prestasi kerja guru dan murid, serta melonjakkan nama sekolah.
RUJUKAN
Abdul Sukor Shaari, Ab. Aziz Yusof & Mohd Khan Jamal Khan. 2008. Keadilan penilaian prestasi dalam kalangan guru dan hubungannya dengan motivasi kerja dan prestasi akademik sekolah.
International Journal of Management Studies 15: 159-176.
Ambler, T.B. 2015. The day-to-day work of primary school teachers: a source of professional learning. Professional Development in Education: 1-14.
Asun, R.A., Rdz-Navarro, K. & Alvarado, J.M. 2015. Developing multidimensional likert scales using item factor analysis the case of four-point items. Sociological Methods & Research : 1-20.
Beins, B.C. 2013. Research Methods: A Tool for Life. Edisi Ketiga. New Jersey: Pearson Education Bolam, R., Mcmahon, A., Stoll, L., Thomas, S., Wallace, M., Greenwood, A., Hawkey, K., Ingram,Inc.
M., Atkinson, A. & Smith, M. 2005. Creating and Sustaining Effective Professional Learning Communities. General Teaching Council for England, 210.
Breakwell, G.M., Hammond, S. & Fife-Schaw, C. 2000. Research Methods in Psychology. Edisi Kedua. London: Sage Publications Ltd.
Creswell, J. 2012. Educational Research: planning, conducting and evaluating quantitative and qualitative research (4th ed.). Boston: Pearson Education Inc.
Csiernik, R., Chaulk, P. & McKeon, K. 2015. Applying the logic model process to Employee Assistance Programming. Journal of Workplace Behavioral Health 30: 306-323.
Falk, J.K & Drayton, B. 2009. Creating and Sustaining Online Professional Learning Communities.
New York: Teachers College Press, Columbia University.
Feger, S. & Arruda, E. 2008. Professional learning communities: key themes from the literature. The Education Alliance at Brown University.
Gavetter, F.J. & Forzano, L.B. 2010. Research Methods for the Behavioral Sciences.Edisi keempat.
Belmont: Wadsworth Cengage Learning.
Gemeda, F.T., Fiorucci, M. & Catarci, M. 2014. Teachers’ professional development in schools:
rhetoric versus reality. Professional Development in Education 40(1): 71-88.
Graham, P. 2007. The role of conversation, contention and commitment in a professional learning communities. OpenStax-CNX module- m14270 : 1-6.
Guajardo, J. 2011. Teacher motivation: Theoretical framework, situation analysis of save the children country offices, and recommended strategies. Save the Children Basic Education Intern: 1-57.
Hord, S.M. 1997. Professional learning communities: communities of continuous inquiry and improvement. Austin, Texas: Southwest Educational Development Laboratory.
House, E.R. 1978. Assumptions underlying evaluation models. American Educational Research Association 7 (3): 4-12.
Kruse, S.D., Louis, K.S. & Bryk, A. 1994. Building professional community in schools. Issues in Restructuring Schools 6 : 3-6.
LaRocco, D.J. 2010. On the path to becoming a professional learning communities: charting change in one suburban middle school. Journal of Research for Educational Leaders 4 : 75-101.
Lokman Mohd Tahir, Mohd Nihra Haruzuan Mohd Said, Mohd Fazli Ali, Narina A. Samah, Khadijah Daud & Tasia Hidaya Mohtar. 2013. Examining the professional learning communities practices:
an empirical comparison from Malaysia universities clusters. Procedia – Social and Behavioral Sciences 97: 105-113.
Lujan, N.R.B. 2009. Professional Learning Communities and Their Impact on the Roadblocks That Inhibit Collaboration Among Teachers and Certified Staff at Berkshire Elementary School.
Disertasi Doktor Falsafah Pendidikan dari Universiti North Carolina di Chapel Hill.
Maloney, C. & Konza, D. 2011. A case study of teachers’ professional learning: becoming a community of professional learning or not? Issues in Educational Research 21 (1): 75-87.
McCawley, P.F. 2001. The Logic Model for Program planning and Evaluation. University of Idaho Extension. Retrieved at http://www.uiweb.uidaho.edu/extension/LogicModel.pdf
Modul Program Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC). Strategi 2: Amalan penswastaan (Deprivatization of practise). Bahagian Pendidikan Guru.
Muhammad Faizal A. Ghani & Crow, G.M. 2013. Amalan komuniti pembelajaran profesional:
Perspektif pemimpin sekolah cemerlang negara maju. Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia Pasifik 1(3): 10-27.
Owen, J.M. & Rogers, P.J. 1999. Program evaluation: forms and approaches. New South Wales, Australia: SAGE Publications.
Pablo-Wrzosek, M.J. 2011. Time, Structure, and Teacher As Learner. Tesis Master Kesasteraan dari Universiti Athabasca, Alberta.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).
Popham, W. J., 1975. Educational Evaluation. New Jersey: Prentice-Hall, Inc.
Posavac, E. J. & Carey, R. G., 2003. Program Evaluation: Methods and Case Studies. 6th ed. New Jersey: Pearson Education, Inc.
Stoll, L., Bolam, R., McMahon, A., Wallace, M. & Thomas, S. 2006. Professional learning communities: a review of the literature. Journal of Educational Change 7: 221-258.
Sundra, D.L., Scherer, J. & Anderson, L.A. 2003. A guide on logic model development for CDC’s prevention research centers. Retrieved on https://www.bja.gov/evaluation/guide/documents/cdc- logic-model-development.pdf
Taylor, J.Y.S.B. 2011. Teachers’ Perceptions of Professional Learning Communities in Public Schools in Saipan. Disertasi untuk Doktor Falsafah dari Universiti Pepperdine.
Thompson, C. 2012. Evaluating Outcomes through a Logic Model. Disertasi untuk Masters dari Prescott College.
W.K.Kellogg Foundation. 2004. Using logic models to bring together planning, evaluation and action- Logic model development guide. Retrieved from http://www.wkkf.org
Zuraidah Abdullah & Muhammad Faizal A. Ghani. 2014. Professional learning community in secondary schools community in Malaysia. Journal of Education and Learning 8 (3): 227-248.
Zuraidah Abdullah. 2009. Pembentukan komuniti pembelajaran profesional: kajian terhadap sekolah menengah di Malaysia. Jurnal Manajemen Pendidikan 5(2): 78-96.