• Tidak ada hasil yang ditemukan

Celal Akar Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Tel: , E-Mel:

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "Celal Akar Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Tel: , E-Mel:"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

889 TEKNOLOGI REVOLUSI INDUSTRI 4.0 UNTUK KESEJAHTERAAN UMMAH:

MENYINGKAP PERSPEKTIF RASAIL NUR Siti Fatimah Binti Mohd Tawil (Penulis bersama)

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.

Tel: +60199722760, E-Mel: [email protected]

Celal Akar

Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, 71800 Nilai, Negeri Sembilan, Malaysia.

Tel: +60132179591, E-Mel: [email protected]

Abstrak

Islam adalah agama syumul meliputi pelbagai aspek kehidupan. Begitu juga, ehwal pembangunan dan kepesatan teknologi tidak dihalang dalam Islam. Selagi mana ia selari dengan apa yang digariskan di dalam panduan agama serta memberi manfaat kepada individu mahupun masyarakat, maka ia merupakan sesuatu yang sentiasa diraikan. Kajian ini bertujuan mengupas pembangunan teknologi khususnya di era revolusi industri 4.0 dari perspektif Islam. Penulisan ini juga berhasrat meneroka kewujudan teknologi dari kaca mata kitab Rasail Nur yang merupakan karya ulung seorang ulama negara Turki terkenal iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Penulisan ini akan melihat satu persatu pandangan beliau tentang kemajuan dan pembangunan teknologi serta dipersembahkan ulasan dari setiap pandangan tersebut. Secara teknikalnya, naratif ini diteroka menerusi kaedah kepustakaan dan penyelidikan kualitatif umumnya. Ia menyelak satu persatu perspektif Badiuzzaman Said Nursi terhadap pembangunan teknologi dari sumber premier dan juga sumber sekunder di dalam keseluruhan koleksi Rasail Nur. Ia turut dikukuhkan dengan petikan-petikan dari pendapat dan pandangan Badiuzzaman Said Nursi yang menyokong ke arah pembangunan teknologi dan peranannya untuk kesejahteraan ummah dan individu muslim secara umum dan menyeluruh.

Penulisan ini berhasil menyingkap bukti dan pandangan jelas Badiuzzaman Said Nursi berkenaan pembangunan teknologi di dalam Islam demi kemakmuran umat Islam. Secara tuntasnya, pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh Badiuzzaman Said Nursi adalah selaras dengan perspektif Islam dan mengukuhkan lagi setiap panduan-panduan yang digariskan bertunjangkan sumber utama kita iaitu Quran dan sunnah.

Kata kunci: Teknologi, Revolusi Industri 4.0, Kesejahteraan Ummah, Badiuzzaman Said Nursi, Rasail Nur

Pendahuluan

Pantasnya pembangunan teknologi masakini menjadi bukti aliran kemajuan yang dikenali sebagai

zaman revolusi industri 4.0. Penggunaan teknologi merupakan asas kemodenan zaman ini. Pelbagai

(2)

890 jenis teknologi muncul waktu ini menjadi medium memudahkan setiap urusan dalam kehidupan manusia. Bahkan, ia menjadi faktor kepada kelangsungan hidup kelompok manusia tidak kira bangsa, agama dan komuniti. Naratif ini akan mengupas secara tuntas pandangan dan perspektif Islam terhadap kepelbagaian pembangunan teknologi zaman kini yang telah bermula sejak zaman keemasan Islam di masa silam khususnya di zaman Abbasiyah (Ibrahim et al., 2018) dan mengulas satu persatu pandangan dari nas-nas Islam khususnya dari pandangan Badiuzzaman Said Nursi.

Sorotan Literatur

Ketika Kuala Lumpur Summit pada penghujung 2019, Tun Mahathir Mohamed, bekas perdana Menteri Malaysia menekankan bahawa umat Islam mesti bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dunia masakini atau selamanya umat Islam akan berada di belakang. Ini kerana, pembangunan teknologi kini masih di terajui oleh orang bukan Islam dan kita masih perlu bergantung kepada mereka sebagai pembangun teknologi serta kekal sebagai pengguna (Bernama, 2019).

Pembangunan teknologi adalah antara yang menyumbang dan mendukung kepada kesejahteraan sesebuah ummah. Ia menjadi dua aras kayu ukur yang bersinergi dan perlu sentiasa harmoni.

Seandainya teknologi ingin terus menjadi faktor kemakmuran bagi sesebuah masyarakat, maka ia perlu diurus dengan saksama. Sepesat apa pembangunan teknologi berlangsung, ia mesti berada pada asas dan dasar ketaatan kepada perintah Tuhan. Bahkan, sebagai makhluk sosial, setiap bentuk teknologi yang dibangunkan oleh manusia mesti sentiasa dibina dan dimajukan dalam kerangka etika dan moral (Norwawi, et al., 2019). Secara khususnya, ia merujuk kepada etika dan moral Islami. Penerapan nilai-nilai Islam dalam pembangunan teknologi adalah keperluan mustahak dan mesti diambil cakna. Oleh kerana kemodenan teknologi lahir dari ahli-ahli teknologi, maka penerapan nilai-nilai Islam itu mesti disemai dan disuburkan melalui minda dan aspirasi mereka (Zarkasyi, 2016). Antara yang dicadangkan adalah perubahan pandangan alam yang Islami bagi seseorang ahli teknologi, penerapan nilai-nilai kemaslahatan dalam teknologi serta transformasi terhadap silibus pendidikan di universiti. Inilah antaranya yang memungkinkan perubahan ini akan berupaya untuk dibentuk sebagaimana yang dicadangkan oleh Zarkasyi (2016) sekalipun ia memerlukan usaha, komitmen dan waktu yang bukan sedikit.

Menyorot antara literatur terawal dan terkini yang mengulas tentang hubungan kerangka moraliti dan teknologi, ia menyebutkan bahawa sejarah telah merekodkan bahawa kegagalan atau kecuaian manusia meletakkan teknologi dalam kerangka moral dan etika akhirnya akan menghasilkan masyarakat yang huru-hara serta tidak bertamadun (Radzi & Osman, 1996; Sen, 2016). Hal ini sama diulas di beberapa rangkaian penulisan akademik (Ferdous & Uddin, 2012). Mereka menyatakan betapa perlunya untuk sentiasa berada di menara tinjau ‘check and balance” ketika meraikan sesebuah kecanggihan teknologi agar ia tidak menjadi seumpama senjata makan tuan. Misalnya, teknologi nuklear yang canggih namun digunapakai ketika perang yang memusnahkan alam dan mencabut nyawa manusia yang tidak berdosa. Demikian, penilaian kepada sesebuah teknologi berdasarkan kayu ukur agama itu adalah amat penting agar ia tidak memudaratkan tetapi memberi manfaat.

Literatur berkaitan dan terkini membuktikan diskusi terhadap topik ini adalah sentiasa relevan.

Malahan ia dilihat amat diperlukan sebagai manual kepada urus tadbir bijaksana kepada pelbagai

(3)

891 bentuk teknologi yang muncul dan digunapakai masakini.

Teknologi Masakini

Kontekstual didefinisikan sebagai berkaitan dengan, atau bergantung pada konteksnya. Kamus Oxford selanjutnya menjelaskan bahawa, kontekstual bergantung pada, atau berkaitan dengan keadaan yang membentuk pengaturan untuk suatu peristiwa, pernyataan, atau idea. Selain itu, ia juga bermaksud bergantung pada bahagian teks sebelumnya atau berikut untuk menjelaskan makna.

Dalam bahasa Arab, ia disebut sebagai 'alaqah, qarinah dan siyaq al-kalam yang masing-masing menentukan perkaitan, hubungan dan konteks Teknologi masakini amat berkait rapat dengan apa yang dikatakan revolusi industri 4.0. Jika kita menyingkap sejarah, istilah revolusi industri 4.0 buat pertama kalinya diperkenalkan pada tahun 2011 sebagai "Industrie 4.0" oleh sekumpulan wakil dari pelbagai bidang (seperti perniagaan, politik, dan akademik). Ia menjadi inisiatif untuk menambahkan daya saing negara Jerman dalam industri perkilangan. Pada ketika itu, kerajaan persekutuan Jerman mengguna pakai idea itu dalam Strategi Teknologi Tinggi mereka untuk menuju tahun 2020 (Martin, 2017). Namun, visi berkenaan industri fasa keempat ini sebenarnya telah bermula sejak seawal 2003 dengan merujuk kepada rekomendasi mereka terhadap fasa tersebut merangkumi yang berikut:

“Sistem siber-fizikal ini terdiri daripada mesin pintar, sistem penyimpanan dan kemudahan pengeluaran yang mampu menukarkan maklumat secara autonomi, mencetuskan tindakan dan mengawal satu sama lain secara bebas. Ini memudahkan asas penambahbaikan kepada proses industri yang terlibat dalam pembuatan, kejuruteraan, penggunaan bahan dan rantaian bekalan dan pengurusan kitaran hayat”.

Apa yang digambarkan di dalam visi tersebut merujuk kepada kebanyakan realiti yang berlaku di fasa industri revolusi keempat. Ledakan teknologi di dalam revolusi industri 4.0 dilihat bakal dan sedang memacu perubahan terhadap cara kita hidup, cara kita bekerja, cara kita berkomunikasi dan secara umumnya perubahan itu merangkumi seluruh aspek kehidupan. Ia turut mengubah bagaimana kita berinteraksi sesama kita, peluang-peluang yang kita ada, serta berupaya mengubah identiti-identiti kita di dunia yang kita diami kini samada secara fizikal mahupun di dunia maya.

Variasi Kepelbagaian Kemajuan Teknologi

Secara spesifiknya, revolusi industri 4.0 melibatkan kemunculan teknologi dengan dimensi yang lebih

pelbagai tahap kemodenan dan sofistikatednya berbanding teknologi di fasa revolusi ketiga. Menurut

Majid Gwaiz (2017), asas utama kepada kepelbagaian teknologi tersebut terbahagi kepada tiga

komponen utama iaitu pembuatan (manufacturing), kesambungan (connectivity) dan pengkomputeran

(computing).

(4)

892 Rajah 1. Teknologi-teknologi zaman revolusi industri 4.0 (Tech Startup, 2019)

Dari ketiga asas tersebut, tercetuslah teknologi internet pelbagai benda (internet of things), kepintaran buatan (artificial intelligence), keselamatan siber (cyber security), pengkomputeran awan (cloud computing), data raya (big data), analisis data raya (big data analytics), teknologi dron, virtual reality, augmented reality, blockchain dan pelbagai lagi. Setiap bentuk teknologi ini berkembang pesat mengikut keperluannya yang tersendiri. Namun, setiap satunya memberi sumbangan dan impak yang berbeza. Gambaran trend teknologi terkini yang menerajui dalam zaman revolusi industri 4.0 kini adalah seperti paparan Rajah 1.

Di dalam sebuah buku bertajuk “Revolusi Perindustrian Keempat” yang ditulis oleh Profesor Klaus Schwab (2017) yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Forum Ekonomi Dunia, beliau menjelaskan bahawa revolusi industri keempat membawa nuansa kelainan berbanding tiga revolusi sebelumnya. Menurut beliau, fasa revolusi industri keempat ini secara asasnya adalah bercirikan kemajuan teknologi yang merangkum dunia fizikal, biologikal serta digital seterusnya mewujudkan kepelbagaian teknologi baharu yang memberi kesan kepada pelbagai bidang, samada di peringkat industri juga ekonomi.

Menurut Unay (2017), bertitik tolak dari teknologi-teknologi di dalam zaman ini maka akan terbit pelbagai peluang-peluang baharu hasil daripada meningkatnya aktiviti seperti kesambungan (connectivity), pemprosesan dan kapasiti penyimpanan, proses automasi dan akses kepada ilmu pengetahuan melalui penemuan-penemuan dalam kepintaran buatan (artificial intelligence). Malahan, teknologi seperti Internet pelbagai benda (internet of things), kenderaan berautonomi, percetakan 3-D, nanoteknologi, bioteknologi, sains bahan dan pengkomputeran kuantum dengan nilai yang amat besar juga dilihat semakin mendominasi.

Antara teknologi yang semakin mendapat tempat adalah teknologi Internet pelbagai benda (internet of

things - IoT). Ia adalah teknologi digital yang membolehkan setiap sistem fizikal misalnya peralatan

rumah dicirikan dengan sistem kawalan digital lengkap dengan hanya akses teknologi di hujung jari

iaitu melalui telefon pintar masing-masing. Apa sahaja peralatan rumah seperti peti sejuk, pendingin

hawa, pembuat kopi, lampu dan pelbagai lagi peralatan dengan mudahnya dapat dikawal pantau

(5)

893 dengan adanya teknologi internet pelbagai benda (IoT) ini. Dikatakan bahawa pada tahun 2020 khususnya, peranti yang disambungkan kepada sensor teknologi IoT bertambah dari 10 bilion hari ini kepada 30 bilion peranti. Ternyata fenomena ini telah pun menguasai majoriti komuniti yang mempunyai akses internet apatah lagi di kala situasi pandemik waktu ini. Fenomena ini telah diutarakan oleh Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai iaitu:

“Komputer dan internet akan mendasari revolusi ini meskipun dipanggil revolusi industri namun ini ialah revolusi baharu sistem ekonomi maklumat. Penciptaan jaringan internet pada pertengahan 90an menjadi tonggak perubahan dalam revolusi ketiga ini menerusi perkembangan sistem satelit dan jaringan perhubungan telefon, fiber optik dan juga teknologi tanpa wayar”

Selain itu, teknologi pengkomputeran awan (cloud computing) dilihat sangat pesat penggunaannya masakini. Pengkomputeran awan secara mudahnya merupakan penggunaan pelbagai perkhidmatan, seperti platform pembangunan perisian, pelayan, stor penyimpanan dan perisian, yang kesemuanya melalui internet (Techopedia, 2018). Bermula dari emel harian ke storan telefon, semuanya disimpan dan diuruskan oleh teknologi pengkomputeran awan. Penggunaan pengkomputeran awan tidak hanya terhad kepada e-mel atau stor penyimpanan peribadi, malah penyelesaian yang berskala ini menjadi medium pilihan untuk pembangunan, pengujian dan juga penggunaan perisian. Kebanyakan dari kita yang menggunakan internet menggunakan teknologi ini misalnya di dalam aplikasi pemesejan (Whatapps), untuk aplikasi backup dan recovery (Dropbox dan Google Drive), perkhidmatan penstriman audio dan video (Netflix) dan pelbagai lagi aplikasi yang berkaitan dengan data yang berskala. Seterusnya, pengkomputeran awan akan menghasilkan akses kepada data raya (Big Data) dan membolehkan para saintis data menjalankan Analisa Data Terkehadapan (Advanced Data Analytics) untuk menganalisa corak dan pandangan, mencari korelasi, memberi jangkaan krisis masa depan dan membantu dalam membuat keputusan yang signifikan (Newgenapps, 2017).

Seterusnya, kewujudan teknologi keselamatan siber (Cyber Security) menjadi sangat mustahak bagi kebanyakan aplikasi di atas talian masakini. Ia merupakan amalan melindungi sistem, rangkaian dan program daripada serangan digital. Serangan ini biasanya bertujuan untuk mengakses, mengubah atau memusnahkan maklumat sensitif; memeras wang dari pengguna; atau mengganggu proses perniagaan. Oleh kerana hari ini terdapat lebih banyak peranti daripada pengguna, penyerang menjadi lebih inovatif dan pelaksanaan langkah-langkah keselamatan siber menjadi semakin mencabar.

Keselamatan siber sangat penting bagi melindungi data dan maklumat kita daripada ancaman virus, malware, phishing,dan sebagainya (Cisco.com, 2019). Jika terdedah, serangan digital ini ia boleh berlaku dengan sangat pantas dan bersifat merosakkan.

Cabaran Teknologi Era Industri Revolusi 4.0

Sejujurnya, manusia masakini mempunyai hubungan yang tidak dapat dipisahkan dengan teknologi.

Teknologi menjadi alat dan cara manusia membentuk dan menguruskan dunia serta dengannya

manusia perlu membangunkannya dengan penuh hati-hati. Maka yang paling utama, amatlah penting

(6)

894 untuk bermula dengan betul dalam mengendalikan teknologi. Sebagaimana diekpresikan oleh Tegmark dalam bukunya:

“Kita mesti memenangi perlumbaan di antara kepesatan kuasa teknologi yang semakin meningkat dan kebijaksanaan yang semakin berkembang iaitu dengannya (kebijaksanaan) kita menguruskannya. Kita tidak mahu belajar daripada kesilapan”. (Tegmark, 2017)

Terdapat pelbagai isu-isu teknologi yang menjadi cabaran dan kontroversi di zaman ini, antaranya adalah bagaimana bidang bioteknologi moden boleh keluar dengan ciptaan bayi pereka yang dapat menjadi pemacu gen serta berupaya menukar ciri-ciri warisan genetik bagi keseluruhan spesies.

Inovasi dalam teknologi robotik dan automasi pula boleh menjadi konflik umum yang menyebabkan manusia kehilangan kerja, atau sekurang-kurangnya struktur pekerjaan akan menjadi sangat berbeza dengan nilai kemahiran yang berbeza. Kewujudan media sosial pula dilihat berupaya memadamkan sempadan dan membawa kebersamaan orang ramai, tetapi ia juga boleh meningkatkan jurang sosial.

Dan ia memberikan suara untuk pembuli siber berleluasa menyebarkan kebencian serta menyebarkan cerita palsu (Kuge, et al., 2014). Pada akhirnya, garis panduan dan peraturan media sosial semestinya perlu dirangka dan diperkemaskan di samping kita juga perlu menerima dan sedar bahawa peraturan media sosial tersebut yang akan nanti membentuk nilai pada individu dan masyarakat yang menggunakannya.

Di samping itu, Robot Sophia yang terhasil daripada kombinasi teknologi robotik dan kepintaran buatan (Artificial Intelligence) diumumkan sebagai robot manusia pertama yang mendapat kewarganegaraan Kerajaan Arab Saudi. Sebetulnya, banyak persoalan dan kegundahan yang muncul daripada teknologi ini. Bagaimana sekiranya robot itu dihasilkan dalam bentuk yang massa? Apakah jaminan jika produksinya dibuat secara pukal akan dapat menjamin kemaslahatan manusia? Perkara ini adalah antara perkara yang menjadi kerisauan Elon Musk dan Stephen Hawkings yang keduanya merupakan jurutera dan saintis terkenal dunia (Vinayak & Sharma, 2017). Mereka bimbang robot AI (Artificial Intelligence) akhirnya akan dapat merampas dan memusnahkan manusia:

"Ia keuntungan yang mempunyai potensi besar, kerana semua yang dilakukan oleh tamadun adalah produk kepintaran manusia, kita tidak boleh meramalkan apa yang dapat dicapai jika kepintaran ini dimajukan oleh alatan AI, pemberantasan penyakit dan kemiskinan juga terhad. Oleh kerana besarnya potensi AI, adalah sangat penting untuk menyelidik bagaimana untuk meraih faedahnya sambil mengelakkan masalah yang berpotensi berlaku"

Namun, Hanson Robotics yang mencipta robot-robot AI ini menekankan bahawa mereka boleh

merekacipta robot yang dapat membina hubungan yang dipercayai dengan orang lain berasaskan tiga

pegangan utama iaitu kreativiti, empati, dan belas kasihan. Syarikat itu ingin menerapkan perisian AI

dengan kebaikan dan belas kasihan sehingga robot "cinta" manusia dan manusia dapat pula belajar

menjadi tenang di sekitar robot. Misi Hanson adalah untuk memastikan bahawa robot pintar dapat

membantu, berkhidmat dan menghiburkan orang-orang semasa mereka membangunkan "hubungan

yang rapat" dengan manusia. Dengan memberikan kepintaran emosi dan logik, mereka berpandangan

yang robot akhirnya akan melebihi kecerdasan manusia. Dr. Hanson percaya bahawa ia bukannya

(7)

895 untuk membahayakan manusia namun mereka akan membantu umat manusia menyelesaikan masalah-masalah utama (Hanson Robotics, 2017). Mungkin untuk waktu ini, ia memang benar namun prosedur yang jelas bagi membenarkan simulasi pembuatan robot manusia masih perlu diambil kira dan diperhalusi implementasinya.

Ini kerana telah pun terdapat bukti kebejatan yang melibatkan teknologi robot AI masakini misalnya teknologi ini dilihat telah dimanipulasi di dalam industri pembuatan robot-robot ‘wanita pelayan’ di beberapa negara Eropah waktu ini dan ia telah mendapat tentangan di kalangan para pelayan wanita (GRO) sendiri serta sebahagian aktivis masyarakat Eropah. Kemunculannya teknologi robotik ini jelas membimbangkan mereka kerana ia ibarat menabur pasir di periuk nasi mereka. Apapun, jelas sekali sedari awal ia telah melangkau norma-norma kemanusiaan dan sudah tentunya nilai-nilai Islami itu sendiri. Dr. Kevin Curran (BBC News, 2015) bimbang bahawa masyarakat sendiri secara keseluruhannya tidak bersedia untuk era kemunculan teman intim robotik yang canggih sebagai suatu norma yang diterima. Beliau mengangkat isu-isu seperti; "Adakah kita mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk isu-isu yang bakal timbul di masa depan ketika robot menjadi cukup maju sehingga tidak dapat dibezakan lagi dengan manusia? Bolehkah robot berkahwin? Bolehkah pasangan robot mengambil anak angkat?”.

Menurut pandangan Vinayak dan Sharma, etika yang berasal dari falsafah atau agama tidak semudahnya masuk ke dunia teknologi. Garis panduan yang pernah diberi oleh Aristotle misalnya berupaya memberi navigasi panduan moral untuk mengurus teknologi, begitupun ia masih merupakan pelaksanaan yang penuh dilema. Sekalipun belum ada kod etika dan moral yang khusus sebagai panduan standard di era kemajuan teknologi ini, hal ini sebenarnya pernah diangkat menjadi perbincangan di barat selaku peneraju kepada titik mula teknologi tersebut (Vinayak dan Sharma, 2017). Maka, adakah limpahan kepelbagaian teknologi ini akan bersifat mutlak memusnahkan atau ianya akan menjadi teknologi yang membangun kemanusiaan atau sebaliknya? Secara dasarnya, pegangan kukuh umat kepada nilai-nilai kepercayaan Islam dan kejelasan tasawwur Islam seseorang yang berurusan dengan setiap alat teknologi tersebut yang bertanggungjawab untuk membuat pilihan selari dengan setiap yang tergaris di dalam manual wahyu.

Pembangunan Teknologi dari Perspektif Islam

Jika diungkap dari sudut pandang Islam, kewujudan apapun jenis pembangunan teknologi adalah bersifat harus. Selagi mana khidmatnya digunakan dalam rangka memberi faedah dan manfaat kepada individu mahupun umat, maka ia dibolehkan. Persoalannya, bagaimana mungkin sesebuah kecanggihan teknologi dapat menjadi asbab kepada kesejahteraan sesebuah komuniti ataupun masyarakat?. Antaranya, digariskan oleh Islam adalah kewujudan sesebuah teknologi tersebut hendaklah digunapakai untuk perkara dan cara yang benar selain benar pula tujuan dan matlamatnya (Ibrahim et. al, 2018;). Selain itu, ia mesti berlandaskan maqasid syariah yang memenuhi dan menjaga setiap aspek syariat yang lima iaitu untuk memelihara agama, nyawa, ‘aqal, keturunan dan harta.

Selain itu, Islam juga menitikberatkan agar setiap penggunaan teknologi diuruskan dengan adab dan

akhlak yang mulia. Apabila teknologi digunapakai dengan saksama dan penuh akhlak yang mulia, ia

menjadi asbab keberkatan kepada sesebuah masyarakat, menambah keimanan dan melahirkan

(8)

896 masyarakat yang tersusun serta karismatik (Radzi & Osman, 2006; Nasr, 1988).

Pembangunan Teknologi dari Sudut Pandang Rasail Nur

Teknologi dari ufuk pandang Badiuzzaman Said Nursi dibahas begitu tuntas dalam kesatuan pandangan beliau yang jelas serta selaras dengan maqasid Islam sebagaimana terakam dalam koleksi Risalah Nur. Secara ringkasnya, ia tidaklah jauh dari apa yang dijelaskan di dalam bahagian sebelumnya. Namun yang paling utama, pemikiran Badiuzzaman Said Nursi dalam mengurus keilmuan Naqli dan aqli sentiasa memfokuskan ke arah sinergi dan keharmonian antara keduanya (Aydin, 2019). Kepelbagaian disiplin dan bidang antara agama dan sains teknologi mesti dimaknai dengan kaca mata keimanan tanpa meletakkan pemisah serta tidak bertentangan dengan mesej ketuhanan (Hayrat Neşriyat, 2013).

Antara pandangan signifikan yang dapat disandarkan kepada Badiuzzaman Said Nursi apabila berdiskusi tentang teknologi, antaranya adalah sewajarnya setiap usaha dalam bentuk projek pembangunan termasuklah kemajuan teknologi mestilah sejalan dengan undang-undang yang ditentukan Allah (swt). Ini kerana, sesuatu kemajuan yang tidak selari dengan apa yang digariskan dalam undang-undang langit tidak akan membuahkan kejayaan yang signifikan serta hanya akan memberikan kerugian. Ini bersesuaian dengan intipati yang dapat dipetik dari Akhbar Dini terbitan 1909 yang menyatakan:

“Wahai para pemimpin dalam pelbagai urusan! Jika kamu mahukan kejayaan, sesuaikanlah tindakan kamu dengan undang-undang ‘Adatullah.

Jika tidak, kamu akan mendapat balasan jawapan melalui ketidakberhasilan”.

Sesuai dengan berkembangnya teknologi, ia bukan sahaja memperlihatkan malah membuktikan bahawa sesebuah daya usaha itu menjadi faktor kepada sesebuah keberhasilan atau kewujudan bersesuaian dengan aspirasi kebangkitan kehidupan yang dinyatakan oleh Badiuzzaman Said Nursi di dalam Risalah Nur, buku Kalimah-Kalimah iaitu:

“Orang yang paling malang, tertekan dan gelisah ialah orang yang tiada kerja. Ini kerana, ketiadaan fungsi ialah ketiadaan di dalam kewujudan dan kematian dalam kehidupan. Sesungguhnya usaha pula merupakan nyawa kewujudan serta kebangkitan kehidupan!”

Kenyataan ini pada waktu yang sama sebenarnya menyemai semangat berusaha gigih di dalam jiwa umat Islam agar setiap yang diusahakan berfaedah di sepanjang kehidupan sesuai dengan konsep itqan yang digalakkan agama. Di samping itu, apa sahaja bentuk pembangunan boleh dilaksanakan selagi mana ia tidak menyalahi serta berlaku ketaatan kepada perintah-perintah takwiniyyah. Ini ditekankan di dalam kata-kata Badiuzzaman Said Nursi di dalam “Benih-Benih Hakikat, Himpunan Surat-Surat” yang menyatakan:

“Sebagaimana terdapat ketaatan dan penderhakaan kepada perintah-

perintah syarak, terdapat juga ketaatan dan keingkaran kepada perintah-

perintah takwiniyyah”

(9)

897 Ini bermakna, setiap pembangunan teknologi masa kini boleh dibangunkan dan tidak disekat kepesatannya dengan syarat ia bersesuaian dengan kehendak yang digariskan oleh undang-undang sosial dan norma kemanusiaan.

Menariknya, penekanan Badiuzzaman Said Nursi terhadap akhlak yang baik sebagai asas penting sesebuah ketamadunan juga menjadi panduan terhadap cara untuk berurusan dengan kepelbagaian kecanggihan teknologi masakini khususnya di era revolusi industri 4.0 ini. Ia jelas disebut di dalam koleksi Risalah Nur iaitu Khutbah Syamiyyah dan Himpunan Surat-Surat. Dinyatakan bahawa:

“Mengajarkan dustur-dustur akhlak hasanah dan perasaan-perasaan yang tinggi yang merupakan nyawa peradaban.”

Selain itu, menurut Badiuzzaman Said Nursi di dalam koleksi yang sama juga menyebutkan bahawa rahsia kejayaan sesebuah umat itu juga adalah apabila sesebuah kemajuan termasuklah pembangunan dan kemajuan teknologi itu berlangsung dengan berlandaskan pegangan kukuh umat kepada ajaran- ajaran Islam yang sebenar di dalam kehidupan dan begitu pula sebaliknya. Ini termaktub di dalam petikan:

“Sejarah memperlihatkan bahawa umat Islam menjadi bertamadun dan meningkat maju dalam pergerakan mereka menurut nisbah kekuatan (pegangan) mereka pada hakikat-hakikat Islam dan sejarah turut memperlihatkan bahawa mereka menjadi mundur dan ketinggalan serta ditimpa dengan pelbagai bala dan kekalahan menurut tahap kelemahan (pegangan) mereka pada hakikat Islam.”

Di dalam koleksi risalah yang lain, iaitu di Maqam Kedua Kalimah Kedua Puluh bertajuk “Kilauan Kemukjizatan Al-Quran Yang Bersinar Pada Wajah Mukjizat Para Nabi”, Badiuzzaman Said Nursi menekankan bahawa bangsa manusia berupaya menjadi terulung dan hebat ketika ilmu disaring dari sumber wahyu yang tepat serta dapat dimaknai dan diaplikasi di sepanjang kehidupan. Ini merujuk kepada kepelbagaian teknologi yang muncul pada hari ini dan sumbernya adalah dari mukjizat Islam terbesar iaitu al-Quran. Al-Quran memaparkan pelbagai bukti yang dianugerahkan langsung kepada para Nabi. Tambahan beliau juga, umat Islam mampu menjadi terbilang seandainya benar-benar menghayati hakikat ilmu yang diestrak langsung dari sumber utama lagi terpercaya (al-Quran) serta mengambil manfaat dan faedah darinya. Topik yang dikupas dengan mendalam di dalam koleksi ini menunjukkan bukti jelas tentang kepelbagaian mukjizat ilmu dan teknologi yang dikurnia kepada para nabi terpilih serta memberi mesej jelas bahawa ianya mesti diurus dengan asas keimanan yang teguh kepada Allah tuhan yang menciptakan semesta (Nursi, 2011b).

Secara keseluruhannya, setiap pandangan Badiuzzaman Said Nursi yang berkaitan dengan usaha dan

kemajuan termasuklah dalam bidang teknologi dapat dirumuskan amat dekat dan relevan dengan

pandangan keseluruhan Islam terhadap teknologi. Bahkan, pandangan-pandangan dari pemikiran

Badiuzzaman Said Nursi merupakan nutrisi tambahan buat mengukuhkan lagi kefahaman umat Islam

tentang hakikat sesebuah kemajuan dan usaha dari dimensi yang sedikit berbeza namun berupaya

meneguhkan kefahaman dan prinsip keislaman di dalam jiwa seseorang Muslim.

(10)

898 Kesimpulan

Pandangan serta kupasan terhadap kepesatan dan pembangunan teknologi masakini dari perspektif Islam umumnya dan dari pandangan Badiuzzaman Said Nursi khususnya telah tuntas dibincangkan.

Dalam konteks teknologi revolusi industri 4.0, faedah dari pembangunan dan kemajuan teknologi sememangnya tidak dapat disangkal. Manfaatnya jelas diterima oleh ummah ini namun ujian dan cabaran yang datang bersama teknologi tersebut mesti diuruskan dengan saksama.

Teknologi mesti dikawal selia dan diurus berdasarkan wahyu bersekali dengan ilmu dan norma kemanusiaan demi memastikan ianya akan menjadi faktor penyumbang kepada ummah yang sejahtera dan kekal mengangkat nilai-nilai keinsanan. Secara tuntasnya, setiap yang digariskan di dalam Islam telah memberi panduan untuk kita mengurus teknologi. Pandangan-pandangan kemas dan komprehensif yang dilontarkan oleh Badiuzzaman Said Nursi pula jelas mengukuhkan lagi setiap panduan-panduan yang digariskan bertunjangkan sumber utama kita iaitu Quran dan sunnah.

Quran dan sunnah merupakan tiang-tiang yang mesti dipasakkan sebagai sandaran ummah dalam memastikan setiap jenis teknologi yang terhasil berupaya memberi nilai kesejahteraan kepada para pengguna pada masa yang sama tetap sesuai dengan laras kemodenan dan keperluan ummah pada masakini.

Penghargaan

Kajian ini adalah sebahagian penyelidikan di Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia bersama Pusat Islam USIM dengan Kerjasama Yayasan Hayrat, Turki.

Rujukan

Aydin, N. (2019). Said Nursi and Science in Islam: Character Building through Nursi’s Mana-I Harfi. Routledge.

Ferdous, F., & Uddin, M. A. (2012). Toward Islamization of Science and Technology. IIUC Studies.

ISSN 1813-7733, Vol. 9, December 2011, p. 233-242.

Koch, V., Kuge, S., Geissbauer, R. and Schrauf, S. (2014). Industry 4.0: Opportunities and challenges of the industrial internet. Tech. Rep. TR 2014-2, PWC Strategy GmbH, United States, New York City, New York (NY). http://www.strategyand.pwc.com/reports/industry-4- 0.

Gwaiz, Majid. (2017). 2017 Industrial Revolution 4.0. IKTVA SMEs Forum & Exhibition: Saudi Aramco.

Hayrat Neşriyat. (2013). Bediüzzaman Said Nursi ve Hayrul Halefi Ahmed Hüsrev Altınbaşak.

Hayrat Neşriyat: Isparta

Ibrahim, Muhamad Izzat; Nazri; Fadzren Iqbal; & Basiron, Bushrah (2018). Islam serta Pembentukan Sains dan Teknologi in Prosiding Seminar Tamadun Islam 2018 pada 17hb.

Ogos 2018 di Bilik Kuliah 6, Blok N28, UTM. Program anjuran Akademi Tamadun Islam,

UTM, p. 1-12. ISBN: 978-967-2171-28-7.

(11)

899 Martin. (2017). Industry 4.0: Definition, Design Principles, Challenges, and the Future of

Employment. Retrieved May 4, 2021. https://www.cleverism.com/industry-4-0/

Nasr, Seyyed Hossein. (1988). Science education: The Islamic Perspective”. Muslim Education Quarterly, 5, pp. 4-14.

Nazli Ibrahim. (2018). Cabaran 2018: Tingkat pembabitan Revolusi Industri 4.0. Selangorkini.my.

Retrieved May 8, 2021. https://selangorkini.my/2017/12/cabaran-2018-tingkat-pembabitan- revolusi-industri-4-0/

Newgenapps. (2017). Top 10 Cloud Computing Examples and Uses. Retrieved May 29, 2018.

https://www.newgenapps.com/blog/top-10-cloud-computing-examples-and-uses

Norita Md Norwawi, Mohd Radhi Ibrahim, Muhammad Widus Sempo, Mashitah Sulaiman &

Latifah Abdul Latif. (2019). Introduction to Islamic Science. Penerbit USIM Press.

Nursi, Said. (2009). Sözler Mecmuası. Altınbaşak Neşriyat: Istanbul.

Nursi Said. (2011). Mektubat Mecmuası. Altınbaşak Neşriyat: Istanbul.

Nursi Said. (2011b). Zulfikar Mecmuası. Altınbaşak Neşriyat: Istanbul.

Radzi, C. W. J. W. M., & Bakar, O. (1996). Teknologi Menurut Perspektif Barat dan Islam. Jurnal Usuluddin, 3, 147-155.

Rammel Ramli. (2017). Revolusi Industri 4.0 – Adakah Robot AI Akan Ambil Alih?. Retrieved May 10, 2021. https://otakit.my/revolusi-industri-4-0-adakah-robot-ai-akan-ambil-alih/

Schwab, K. (2017). The Fourth Industrial Revolution. Crown Business: New York.

Şen, Zekai. (2016). Technology and its Place in Islamic Civilization. Afro Eurasian Studies Journal Volume 5, Issues 1&2 and Spring & Fall 2016, pp. 70-89.

Tegmark, Max. (2017). Life 3.0: Being Human in the Age of Artificial Intelligence. Penguin UK.

Unay, S. (2017). Industrial Revolution 4.0 and Social Values. Retrieved May 8, 2021.

https://www.setav.org/en/industrial-revolution-4-0-and-social-values/

Vinayak Dalmia & Kavi Sharma. (2017). Retrieved May 5, 2021. The moral dilemmas of the Fourth Industrial Revolution. https://www.weforum.org/agenda/2017/02/ethics-2-0-how-the-brave- new-world-needs-a-moral-compass

Zafir Khan, Mohamed Makhbul. (2021). “5 Komponen Tangani Cabaran Industri 4.0.” Berita

Harian, Retrieved May 4, 2021.

https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2018/01/370721/5-komponen-tangani-cabaran- industri-40

Ziauddin Sardar. (2016). Science, Technology and Development in the Muslim World. London:

Croom Helm.

Zarkasyi, Hamid Fahmy. (2016). Inculcation of Values into Technology: An Islamic Perspective.

Afro Eurasian Studies Journal Volume 5, Issues 1&2 and Spring & Fall 2016, pp. 90-118.

Bernama. (2019). Muslim world needs to catch up in technological development: Dr M. from

bernama December 19, 2019. https://www.malaysiakini.com/news/504267

Referensi

Dokumen terkait