• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pengajaran Karangan Argumentatif Menggunakan Teknik Drama Kepada Pelajar Berisiko Harapan Lulus (Halus)

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Pengajaran Karangan Argumentatif Menggunakan Teknik Drama Kepada Pelajar Berisiko Harapan Lulus (Halus)"

Copied!
14
0
0

Teks penuh

(1)

1674

Pengajaran Karangan Argumentatif Menggunakan Teknik Drama Kepada Pelajar Berisiko Harapan Lulus (Halus)

Dima Mazlina@ Siti Aishah Bt Abu Bakar Abd Rasid Bin Jamian

Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia

__________________________________________________________________________________

Abstrak

Menulis karangan argumentatif adalah sesuatu yang sukar kemahiran yang sukar bagi pelajar berisiko harapan lulus. Pelajar berisiko harapan lulus mengalami pelbagai kesukaran menulis karangan argumentatif terutama untuk mencari idea, membina idea, dan menulis idea tersebut dalam bentuk penulisan karangan. Selain itu juga, pelajar berisiko juga menghadapi masalah menggunakan perbendaharaan kata dalam karangan mereka . Sehubungan dengan itu, guru bahasa Melayu perlu mencari pelbagai pendekatan serta kaedah yang sesuai untuk mengajar karangan argumentatif kepada pelajar berisiko harapan lulus. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengemukakan satu teknik yang boleh digunakan oleh guru dalam usaha untuk mengajar karangan argumentatif kepada pelajar berisiko harapan lulus. Teknik yang boleh digunakan ialah teknik drama. Pelajar lemah didapati kurang memberi tumpuan kepada pengajaran guru lebih-lebih lagi ketika pengajaran dan pembelajaran karangan argumentatif dilaksanakan. Melalui teknik drama, murid akan bersemangat dan menumpukan perhatian terhadap apa yang guru ajar.

Kata kunci pengajaran penulisan karangan, karangan argumentatif, pelajar berisiko harapan lulus, pendekatan dan kaedah, teknik drama

____________________________________________________________________________________ 1.0 Pengenalan

Penulisan merupakan salah satu daripada komponen yang diajar dalam mata pelajaran bahasa Melayu. Penulis yang baik dapat menulis dengan menggunakan pelbagai ilmu bantu yang diperoleh daripada pelbagai sumber. Pengertian menulis secara umum adalah proses untuk menyampaikan buah fikiran atau idea kepada khalayak melalui media tulisan (Juriah Long dan Dayangku Pg Damit, 1998:37) . Kandungan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah (2003) menyatakan bahawa kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan murid mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul serta tulisan yang jelas.

(2)

1675

Dalam hal yang berkaitan, kemerosotan pencapaian murid dalam mata pelajaran bahasa Melayu telah mengundang kebimbangan banyak pihak (Zulkifley:2005). Menyatakan, secara umum, taraf pencapaian para pelajar di Malaysia dalam mata pelajaran Bahasa Melayu amatlah menyedihkan. Peratusan pe1ajar yang mencapai taraf cemerlang amat kecil, manakala peratusan yang gagal dan yang hanya mencapai taraf sekadar lulus amat tinggi.

Mengajar karangan argumentatif kepada pelajar pandai dan tidak bermasalah mungkin agak tidak sukar bagi guru bahasa. Namun, terdapat masalah untuk mengajar murid berisiko tetapi ada potensi untuk lulus. Seorang guru bahasa yang hendak mengajar karangan argumentatif kepada murid harapan lulus perlu menyediakan diri dengan pelbagai ilmu bantu mengajar yang dapat memberi impak terhadap gaya pengajaran. Guru perlu bijak mencari bahan dan kaedah yang sesuai untuk mengajar murid yang berisiko ini kerana matlamat akhir pengajaran dan pembelajaran bahasa ialah melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi bagi memenuhi keperluan diri dalam urusan harian, pendidikan dan pekerjaan ( Azizul Abdul Rahman, 2010:1).

Dalam hal ini, teknik yang boleh dicadangkan untuk membantu murid berisiko harapan lulus untuk menulis karangan argumentatif ialah teknik drama. Hal ini demikian kerana, pengajaran bahasa dan kebudayaan tidak dapat dipisahkan. Bahasa tidak boleh diajar tanpa aktiviti kebudayaan dan kesenian. Drama atau main peranan merupakan salah satu aktiviti yang boleh digunakan untuk mengajar bahasa kepada murid (Maria A. Kodotchigova:2002). Maka, kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan penggunaan teknik drama dalam pengajaran karangan argumentatif untuk murid berisiko harapan lulus.

1.1 Karangan Argumentatif

Karangan argumentatif ialah menulis karangan berbentuk perbahasan atau perbincangan yang bertujuan untuk membuktikan kesahihan sesuatu perkara itu (Weiner, 1987). Menurut Roselan Baki ( 2003 ), penulisan karangan argumentatif memerlukan fakta dan pembuktian sebagai tunggak utama. Menulis karangan argumentatif tidak mudah kerana untuk menguasai kemahiran

(3)

1676

menulis karangan berbentuk argumentatif, seseorang perlu mempunyai ilmu kosa kata serta mahir menggunakan penanda wacana secara berkesan (Roselan Baki :2003 )

Karangan argumentatif merupakan karangan yang sukar untuk ditulis. Hal ini demikian kerana karangan argumentatif merupakan karangan yang sukar ditulis kerana sifatnya yang kompleks. Melalui tinjauan rambang pula, para pelajar rasa kurang yakin dalam mengutarakan pendapat kerana tidak mempunyai kemahiran menulis dan bahan rujukan. Ini mungkin disebabkan pelajar tidak berupaya untuk berfikir secara kritikal hingga menjejas pilihan mereka untuk menulis karangan jenis argumentatif (Azizah, n.d.).

Menurut Deka Kurnia (2011), tulisan atau karangan argumentatif adalah suatu bentuk tulisan yang isinya mengungkapkan pendapat penulis tentang suatu objek permasalahan dan berusaha untuk mempengaruhi pembaca dalam mengambil suatu sikap tertentu, atau mengubah sikap serta cara (Kurnia, 2011).

Sehubungan dengan itu, karangan argumentatif merupakan hasil penulisan yang memerlukan kepakaran yang khusus. Karangan argumentatif memerlukan murid mengupas sesuatu tajuk karangan dengan mengemukakan contoh dan bukti yang banyak sehinggakan orang yang membacanya tidak dapat mencari keraguan di sebalik penulisan tersebut. Oleh hal yang demikian, guru yang hendak mengajar karangan argumentatif perlu menyediakan diri dengan kaedah serta teknik yang sesuai terutama untuk mengajar murid-murid yang lemah tetapi berpotensi untuk menulis dengan baik. Menurut Council (2013) guru yang mengajar karangan argumentatif memerlukan teks karangan yang standard untuk dijadikan rujukan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan argumentatif sentiasa dapat memperoleh objektif yang digariskan (Council, 2013).

1.2 Teknik Drama

Susan Holden (1981) mendefinisikan drama sebagai aktiviti yang meminta pelaku melakonkan watak-watak tertentu dalam situasi yang dibayangkan. Drama juga merupakan aktiviti untuk menjadi orang lain dalam situasi tertentu. Drama menyediakan peluang bagi seseorang untuk mengekspresikan diri melalui ekspresi verbal serta pergerakan menggunakan imaginasi dan memori.

(4)

1677

Dalam pendidikan, drama merupakan aktiviti antara guru dan murid. Guru dan murid mencipta dan melakonkan watak untuk diri mereka sendiri. Lazimnya aktiviti drama di dalam kelas merupakan aktiviti spontan untuk menunjukkan situasi yang berlaku dan dikaitkan dengan pengajaran dan pembelajaran (Bolton, 1992,1998,2007; Neelands, 2008).

Menurut Sir John Pollock (1958) pula, drama ialah satu pertunjukan yang berlaku melibatkan penyatuan lakonan, pengucapan, persembahan gerak laku serta aksi meniru watak-watak tertentu. Drama mesti mengandungi tema dan persoalan, aksi, perkembangan, dan klimaks serta peleraian atau penyelesaian.

Terdapat beberapa teknik drama yang boleh digunakan dalam pendidikan. Teknik drama tersebut ialah mimos, arca, improvisasi, simulasi, teater bercerita, pantomin, mestamu dan dikon.

Mimos

Lakonan mengutamakan gerak laku seluruh anggota dan ekspresi muka bagi menyampaikan idea, cerita, persoalan, perasaan dan emosi pelakon tanpa dialog. Penonton yang menonton akan membuat catatan tentang apa yang dilihat menggunakan perkataan yang tepat, ayat yang betul dan idea yang tersusun.

Arca

Aktiviti gambaran dalam fikiran atau pertalian fikiran yang dihasilkan dalam karya sastera. Arca merupakan patung yang menyerupai seseorang atau bayang yang terlihat di dalam cermin atau melalui kanta kamera.

Improvisasi

Lakonan spontan dalam kumpulan kecil yang mengisahkan kejadian, keadaan atau situasi dalam kehidupan seharian.

Main peranan

Aktiviti melakonkan satu watak daripada satu suasana yang dipetik daripada peristiwa, novel, cerita atau situasi.

Simulasi

Mempunyai elemen-elemen dunia sebenar dan dapat dibentuk serta dipersembahkan di dalam bilik darjah. Situasi simulasi dilakonkan berdasarkan pemerhatian, pengalaman, dan pembacaan yang dilakukan oleh murid.

(5)

1678 Teater bercerita

Teknik drama bercorak cerita yang dilakonkan secara spontan hasil gabungan antara pencerita dengan pelakon.

Pentomin

Lakonan situasi tanpa dialog. Skripnya akan dibaca oleh murid lain yang mengiringi lakonan tersebut. Pentomin memberi peluang kepada murid berlakon tanpa memikirkan masalah untuk menghafal dialog.

Mestamu

Melagukan sajak atau puisi tanpa muzik. Sajak dilagukan menggunakan melodi lagu yang popular manakala lirik lagunya digantikan dengan sajak yang dipelajari.

Dikon

Aktiviti mendeklamasikan sajak dan murid lain akan melakonkan aksi yang sesuai dengan maksud sajak atau puisi yang dideklamasikan itu.

1.3 Pelajar Berisiko Harapan Lulus

Education Resources Information Center (ERIC) menggunakan perkataan berisiko bagi merujuk kegagalan akademik dan kegagalan di sekolah, berpotensi untuk tercicir, tidak mendapat pendidikan, dan di bawah pencapaian. American Arts Organization (AAO) mendefinisikan kanak-kanak berisiko sebagai kanak-kanak yang terdedah kepada pelbagai faktor yang menyebabkan mereka terlibat dalam masalah jenayah atau bertingkah laku sebagai penjenayah (Ali et al., 2009).

Murid harapan lulus (HALUS) merujuk kepada pelajar yang ada harapan untuk lulus dalam mata pelajaran – mata pelajaran tertentu dalam peperiksaan. Jabatan Pelajaran Negeri Pahang menggariskan kriteria murid harapan lulus ini berada dalam lingkungan markah 20-35 markah yang menunjukkan bahawa pelajar ini ada potensi untuk lulus sekiranya diberikan perhatian dan pengajaran yang berkesan. Istilah murid harapan lulus (HALUS) ini juga diguna pakai oleh Jabatan Pelajaran Negeri Perak. Murid harapan lulus juga mempunyai keupayaan membaca dan menulis yang terhad disamping tidak mempunyai motivasi yang tinggi untuk menghadapi pelajaran.

(6)

1679

Pelajar berisiko adalah pelajar biasa di sekolah biasa tetapi berkemungkinan untuk gagal atau tidak mampu berjaya di sekolah kerana masalah-masalah tertentu. Antara tingkah laku yang boleh mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran ialah kelakuan yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang di sekeliling. Seterusnya ialah murid yang mengalami kemurungan dan kebimbangan tidak dapat memberi perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Terdapat juga golongan yang rendah diri dan kurang keyakinan terhadap diri sendiri. Seterusnya murid juga terlalu bergantung kepada bantuan guru. Terdapat juga kelakuan yang mengganggu sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini melibatkan tingkah laku disruptif. Hal ini ditambah pula dengan murid yang sering menggunakan perkataan kesat dalam pertuturan mereka.

Pelajar yang berisiko tetapi HALUS memerlukan aktiviti pembelajaran yang berstruktur tinggi. Hal ini kerana pelajar berisiko tetapi ada peluang untuk lulus tidak dapat belajar dengan berjaya sekiranya mereka gagal menguasai set ilmu yang asas sebelum berpindah ke bahagian seterusnya. Pelajar berisiko tidak dapat menilai kemampuan diri secara bersendirian (Zaidatol Akmaliah Lope Pihie: 2005). Kajian mendapati bahawa pada 2004 sebanyak 32, 599 atau 8.8% daripada jumlah calon peringkat SPM tidak dapat mencapai tahap minimum dalam Peperiksaan Kebangsaan ( Bahagian Perancangan Pendidikan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pelajaran Malaysia : 2004).

The Solon Community School District At Risk Pelan of Services (2003) mengenal pasti 3 kategori pelajar berisiko ini iaitu pelajar yang tidak mencapai matmalat dalam program pendidikan, pelajar yang tidak melibatkan diri disebabkan masalah sosial atau emosi, dan pelajar yang dijangka tidak menjadi pekerja yang produktif.

2.0 Keberkesanan Penggunaan Drama 2.1 Dalam pengajaran

Secara umumnya, implikasi penggunaan drama dalam pendidikan mula disedari sebagai satu usaha untuk membina perkembangan awal kanak-kanak (Redington, 1983). Drama menghasilkan tenaga dan imaginasi yang membantu mencapai objektif pengajaran. Menurut

(7)

1680

Fernandez dan Coil (1986) penggunaan drama menggalakkan murid-murid melatih rasa sensitiviti dan imaginasi bagi menghasilkan pembelajaran yang lebih realistik dan bermakna.

Sebagai alat pengajaran, penggunaan drama membina kehidupan sosial, intelektual dan perkembangan linguistik kanak-kanak (Dougill, 1987). Hal ini disokong oleh Early dan Tarlington (1982). Mereka berpendapat bahawa penggunaan drama membentuk perkembangan bahasa, perkembangan kerjasama berkumpulan, sikap prihatin dan pertumbuhan imaginasi. Selain itu, penggunaan drama dalam pendidikan dapat dijadikan alat terapi untuk menyelesaikan masalah berkaitan emosi dan masalah salah laku murid. Murid bermasalah pembelajaran dapat menggunakan drama sebagai alat untuk mengekspresikan diri seterusnya dapat melepaskan perasaan yang terpendam (Stern, 1980; Scharengnivel,1970)

Guru pula akan lebih bermotivasi untuk mengenal pasti keperluan anak-anak muridnya (Mordecai,1985). Hal ini kerana aktiviti drama menyediakan peluang guru untuk memahami perasaan murid-murid. Apabila guru mengenali siapa murid-muridnya, maka aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat dirancang dengan teliti dan berkesan.

Penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran secara langsung dapat menceriakan kelas seterusnya menggalakkan murid mengambil bahagian secara langsung dalam pembelajaran. Mariani Md Nor (2007) berpendapat bahawa teknik drama dalam pendidikan dapat menyemai rasa seronok murid untuk belajar topik yang sukar dan membosankan. Sekiranya guru mengajar menggunakan bahan atau kaedah biasa tentunya murid berasa bosan dan objektif pengajaran guru tidak akan tercapai secara berkesan. Hal ini disokong oleh Mohd Haidi Hj Mohd Kasran dan Ismail Saliyan (2011). Drama dalam pendidikan dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang bersepadu. Ibarat serampang dua mata, apabila pengajaran berkesan dan menyeronokkan, murid akan cepat faham pengajaran guru. Apabila murid memahami apa yang guru ajar, tentulah mereka dapat menjawab peperiksaan dengan jayanya.

(8)

1681 2.2 Dalam pengajaran karangan argumentatif

Tidak terdapat kajian khusus berkaitan dengan keberkesanan penggunaan drama dalam pengajaran karangan argumentatif. Walau bagaimanapun, keberkesanan penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa telah terbukti sejak dahulu lagi. Drama merupakan salah satu cabang kesusasteraan yang dapat mengembangkan daya imaginasi murid-murid.

Napei Mat dan Noriani Abdullah (1988) berpendapat bahawa penggunaan bahan sastera yang penuh dengan ilmu pengetahuan dan keindahan bukan sahaja dapat memperkaya para pelajar dengan ilmu pengetahuan serta hal kemasyarakatan tetapi juga dapat menolong mengembangkan daya pemikiran pelajar ke tahap yang kritis dan analitis.

Sehubungan dengan itu, drama berperanan untuk mengembangkan idea murid dalam pengajaran karangan argumentatif. Oleh hal sifat karangan argumentatif merupakan karangan yang sukar ditulis, pendekatan guru menggunakan drama merupakan pilihan yang baik untuk menyemai minat murid menulis. Hal ini kerana, penggunaan drama dapat menggalakkan proses interaksi berlaku antara guru dengan murid, juga murid sesama murid. Omar Mamat (1995) menyebut bahawa, teknik drama dalam pengajaran dapat memberikan impak yang baik kerana interaksi aktif berlaku. Mereka berinteraksi untuk memperoleh maklumat. Dalam proses menulis, maklumat sangat penting untuk memperoleh isi dan idea yang relevan.

Omar Mamat (1995) juga menegaskan cara pengajaran Bahasa Melayu menggunakan teknik drama dapat melatih murid mengembangkan idea. Apabila berlakunya aktiviti lakonan drama, interaksi berlaku. Banyak gerak laku terhasil untuk sesuatu watak yang dimainkan. Teknik mimos, improvisasi, main peranan dan sebagainya dapat memberi murid peluang untuk menghasilkan penulisan yang bagus melalui karangan dan pembinaan ayat.

2.3 Masalah penggunaan drama dalam pengajaran penulisan karangan

Penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa sangat digalakkan. Kajian menunjukkan penggunaan drama secara kreatif oleh guru terbukti menghidupkan suasana pembelajaran dalam sesuatu kelas. Walau bagaimanapun, penggunaan drama juga menimbulkan

(9)

1682

kesan atau masalah terutama kepada guru yang hendak menggunakan drama sebagai kaedah mengajar. Tidak terdapat kajian khusus berkaitan masalah penggunaan drama dalam pengajaran penulisan karangan argumentatif. Namun begitu, dalam hal berkaitan, kajian dalam negara dan luar negara dapat digunakan sebagai panduan.

Wan Ye Sam (1990) dalam kajiannya Drama in Teaching English As Second Language – A Communicative Approach telah menyenaraikan beberapa masalah penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran seperti berikut :

i. Aktiviti yang dijalankan tidak asli. Dalam hal ini, aktiviti yang dijalankan lebih bersifat dibuat-buat dan tidak asli. Main peranan atau drama ini sewajarnya menyediakan situasi sebenar sesuatu keadaan agar murid dapat menggunakan bahasa dengan berkesan. Namun, ada ketika situasi dalam drama tidak asli dan tidakreleven dengan keperluan murid (Richards : 1985).

ii. Aktiviti sukar dikawal. Dalam hal ini, murid akan “terlebih” seronok untuk melakonkan watak tanpa mengira apakah kemahiran yang guru hendak diterapkan kepada pelajar. Lama-kelamaan aktiviti hal-hal seperti terlalu banyak pergerakan dan pengucapan dalam kelas akan mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran.

iii. Dalam keadaan tertentu apabila mengajar murid yang berada dalam tingkatan menengah atas, aktiviti drama boleh menyebabkan murid berasa malu dan janggal. Hasilnya, murid tidak mahu turut serta dalam aktiviti yang guru jalankan.

iv. Guru wajar melihat kepada budaya dan keadaan murid-muridnya untuk melaksanakan aktiviti drama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa. Terdapat budaya yang tidak menggalakkan pelaksanaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran maka pelaksanaannya mungkin akan menimbulkan masalah. Murid akan sukar untuk memberi respon dan pengajaran guru tidak akan mencapai objektifnya.

v. Untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran menggunakan drama, guru menggunakan banyak masa untuk merancang kerja dan melaksanakannya. Guru tidak dapat menjangka berapa banyak waktu yang diperlukan memandangkan keperluan setiap kelas yang diajar berbeza.

(10)

1683

vi. Berkemungkinan besar, aktiviti pengajaran dan pembelajaran drama tidak sesuai digunakan di semua peringkat usia dan tahap pelajaran. Bagi murid-murid peringkat rendah, mungkin keseronokan berdrama ketika pengajaran dan pembelajaran bahasa akan memberikan impak positif, manakala pada peringkat yang lebih tinggi penggunaan drama tidak menjadi relevan.

3.0 Sorotan Literatur

Drama telah lama digunakan untuk mengajar Bahasa Inggeris. Kajian sarjana pendidikan barat mendapati penggunaan drama dalam pengajaran bahasa terutama bahasa kedua memberikan impak yang besar. Pengajaran dan pembelajaran bertambah menarik. Murid didapati lebih berminat untuk belajar. Hal ini kerana elemen drama dapat memberikan keseronokan ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Menurut Tapio Toivanen, Kauko Komulainen dan Heikki Ruismaki (2011), guru menghadapi masalah untuk mengajar secara kreatif meskipun mengajar secara kreatif itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab mereka sebagai guru. Walaupun begitu, penggunaan drama, improvisasi dan main peranan dapat melatih murid berinteraksi dengan baik. Secara tidak langsung, cara mengajar guru juga dapat diperbaiki.

Dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, penggunaan drama banyak digunakan untuk menarik minat murid mempelajari bahasa tersebut. Masalah yang dihadapi oleh penutur kedua bahasa termasuklah bahasa Melayu merupakan halangan komunikasi. Mereka tidak mahu menggunakan bahasa Melayu ketika sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Hal ini kerana mereka tidak tahu, atau mereka tidak yakin, atau mereka memang tidak menggunakan bahasa Melayu ketika di rumah. Dalam hal ini, Wan Yee Sam (1990) menyebut bahawa penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris terbukti dapat membantu murid-murid berkomunikasi dengan berkesan.

Maria A Kodotchigova (2002) dalam kajian beliau menggariskan enam cara pantas bagaimana untuk mengimplementasikan drama dalam pengajaran dan pembelajaran. Langkah yang pertama ialah menyediakan situasi untuk main peranan mengikut keperluan isi kandungan pelajaran pada hari tersebut. Selain itu, guru perlu membangunkan aktiviti main peranan

(11)

1684

tersebut. Seterusnya, persediaan linguistik. Hal ini merujuk kepada penggunaan laras bahasa apa yang sesuai dihubungkan dengan situasi main peranan itu. Yang keempat pula ialah menyediakan situasi sebenar main peranan tersebut. Yang kelima ialah memberikan tugas kepada watak-watak main peranan atau drama tersebut. Watak boleh dicari dengan menggunakan dua kaedah iaitu sukarela dan juga tugasan yang ditetapkan sendiri oleh guru. Yang terakhir pula ialah sesi muhasabah diri atau refleksi. Sesi ini bukan untuk mencari silap sesiapa tetapi dalam sesi ini, setiap pelakon yang melakonkan watak diberi peluang untuk bercerita mengenai peranan yang dimainkan.

Vani Chauhan ( 2004 ), dalam kajiannya mendapati bahawa banyak faedah yang diperoleh apabila guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris menggunakan kaedah drama. Menurut beliau, pengajaran bahasa Inggeris menggunakan teknik drama dapat memecahkan kaedah konvensional dan sukatan pelajaran dapat ditransformasikan. Penggunaan teknik drama dalam pengajaran bahasa Inggeris dapat menyediakan murid untuk menggunakan bahasa tersebut dengan efisien kerana mereka berpeluang untuk menggunakan bahasa tersebut secara langsung.

Penggunaan drama bukan sahaja boleh digunakan untuk mengajar mata pelajaran bahasa, bahkan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang hendak menggunakan pelbagai cara untuk merentasi kurikulum, penggunaan drama telah diguna untuk mengajar mata pelajaran pendidikan Islam. Mohd Haidi Hj Mohd Kasran dan Ismail Saliyan (2012) dalam kajian mereka telah menggunakan kaedah dan teknik drama untuk mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam tahun enam . Lima orang murid tahun enam telah melakonkan sebuah drama pendek bertemakan “Air Hujan”. Kajian mereka mendapati bahawa teknik drama dapat menyuburkan kecergasan tauhid. Murid-murid berasa seronok dan mudah mengingati dan memahami apa yang guru sampaikan.

Penggunaan drama dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu juga dapat mengurangkan ketidakhadiran murid ke sekolah. Kajian Ghazali b Ismail, Mazlan Zaharuddin Mat Arof, dan Mohamad Hanifah bin Moideen ke atas 160 murid Orang Asli di enam daerah di negeri Pahang menunjukkan bahawa murid orang Asli berminat untuk belajar Bahasa Melayu menggunakan teknik drama. Mereka mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti yang

(12)

1685

dijalankan oleh guru. Hal ini mempengaruhi kehadiran murid orang asli untuk sentiasa datang ke sekolah.

Walau bagaimanapun, kajian berkaitan dengan penggunaan teknik drama dalam pengajaran karangan argumentatif tidak banyak dijalankan secara khusus. Kebanyakan kajian penggunaan teknik drama dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa sama ada di luar negara atau dalam negara dijalankan secara umum. Sehubungan dengan itu, pengkaji mengambil peluang untuk mengkaji penggunaan drama dalam pengajaran karangan argumentatif untuk murid berisiko harapan lulus (HALUS).

4.0 Kesimpulan

Guru perlu kreatif ketika berhadapan dengan murid berisiko harapan lulus (HALUS) ketika pengajaran dan pembelajaran karangan argumentatif dijalankan. Hal ini kerana murid berisiko harapan lulus cepat bosan dan mudah mengganggu orang lain. Apabila hal ini berlaku sudah tentu guru tidak dapat meneruskan pengajaran dan sesi pembelajaran juga akan terganggu. Dalam hal berkaitan teknik drama boleh digunakan untuk mengajar karangan argumentatif kepada murid berisiko harapan lulus. Guru boleh menggunakan mimos, pantomin, main peranan, simulasi, improvisasi dan sebagainya dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknik drama berpotensi untuk merangsang minat dan potensi murid untuk mengambil bahagian secara berkesan ketika guru mengajar karangan argumentatif. Walaupun terdapat kajian mendapati bahawa penggunaan drama tidak memberikan impak yang maksimum kepada pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah, penggunaan drama masih dianggap teknik alternatif yang boleh digunakan untuk merangsang murid belajar. Karangan argumentatif dikategorikan sebagai “karangan berat” yang menyebabkan murid berasa bosan. Teknik drama seperti main peranan, improvisasi, pantomim, simulasi dan sebagainya dalam pengajaran dan pembelajaran penulisan karangan argumentatif dapat menyuntik semangat dan “mood” murid untuk belajar. Walaupun begitu, guru yang hendak menggunakan teknik drama perlu membuat perancangan yang rapi supaya objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai . Perancangan yang rapi juga dapat mengelakkan kelas berada dalam keadaan terkawal.

(13)

1686 BIBLIOGRAFI

Azizul Rahman Abdul Rahman (2010). Guru Kreatif Pelajar Aktif dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Majlis Guru Cemerlang Malaysia. Utusan Publications & Distribution Sdn Bhd. Cheras

Azizah, A. (n.d.). Penerapan pemikiran kritis dalam penulisan karangan argumentatif, 206–214. Council (2013). Teaching Argument: An Introduction to the Youlmin Model. National Council

of Teachers of Teachers of English, 29(3), 237-241

Kurnia, D. (2011). Upaya Meningkatkan Keterampilan Menulis Argumentasi Dengan Menggunakan Metode Jigsaw Pada Siswa Kelas Xb Sma Islam 1 Gamping Sleman Yogyakarta. Fakultas Bahasa Dan Seni Universitas Negeri Yogyakarta

Ghazali Ismail, Mazlan Zaharuddin Mat Arof, Mohamad Hanifah Moideen (2008), Teknik Drama Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu : Tinjauan Terhadap Sikap dan Minat Orang Asli Di Sekitar Negeri Pahang, Jabatan Pengajian Melayu, Institut Perguruan Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis, Pahang.

Holden, Susan (1981): Drama in Language Teaching. Essex: Longman

Maria A Kodotchigova (2002). Role Play in Teaching Culture: Six Quick Steps for Classroom Implementation. The Internet TESL Journal. Sysoyev, P.V. (Ed.) (2002). Identity, Culture, and Language Teaching. Iowa City, IA: Center for Russian, East European, anda Eurasian Studies.

Mariani Md Nor (2007). Kepentingan Bermain Dalam Pendidikan Prasekolah, Seminar Pendidikan Prasekolah Peringkat Kebangsaan 26-28 Mac 2007, Sibu Sarawak Anjuran Institut Pendidikan Guru Malaysia, Kampus Rajang, Bitangor.

Roselan Baki (2003). Pengajaran dan Pembelajaran Penulisan Bahasa Melayu Senario, Teori dan Panduan Untuk Guru dan Pelajar. Karisma Publications Sdn Bhd. Shah Alam.

Tapio Toivanen, Kauko Komulainen, Heikki Ruismaki (2011). Drama Education and

Improvisation as a Resource of Teacher Student’s Creativity. International Conference on Education and Educational Psychology (ICEEEPSY 2010). Department of Teacher Education, University od Helsinki. Finland. Procedia Sosial and Behavioral Sciences 12 (2011) 60-69.

Vani Chauhan (2004), The Internet TESL Journal, Vol. X, No. 10, October 2004, http://iteslj.org/Techniques/Chauhan-Drama.html

Wan Zah Wan Ali, Sharifah Md Nor, Siti Suria Salim, Othman Mohamad, Kamariah Abu Bakar, Arshah Abd Samad, Ramlah Hamzah, Rohani Ahmad Tarmizi, Rasid Jamian, Hayat Marzuki ( 2009). Persepsi Pelajar Berisiko Terhadap Iklim Pembelajaran, Jurnal Pendidikan Malaysia 34 (1)(2009):17-36

(14)

1687

Wan Ye Sam (1990). Drama in Teaching English as a Second Language – A communicative Approach. The English Teacher Vol XIX Julai 1990

http://melta.org.my/ET/1990/main8.html

Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Foo Say Fooi (2005). Memperkasa Pendidikan Pelajar Berisiko, Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Zulkiflie Mad Aros. (2005). Strategi pengajaran Bahasa Melayu berpusatkan pelajar di Sekolah Bestari Negeri Selangor Darul Ehsan. Projek Sarjana Pendidikan. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Referensi

Dokumen terkait