International Conference on Economics, Entrepreneurship and Management 2021 (ICEEM2021)
Nilai February 28,2021
SENTIMEN AKHBAR BAHASA MALAYSIA PADA HARI PERTAMA PELAKSANAAN PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) 2.0
Mohammad Noorizzuddin Nooh1 & Nur Aimie Syarmimi Bt Jaafar2
1Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan Malaysia
2Pelajar Kedoktoran, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM, Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai, Negeri Sembilan Malaysia
1Tel: +606 798 6460 E-mail: [email protected]
2Tel: +601114790049 E-mail: [email protected]
Abstrak. Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan peningkatan kes jangkitan COVID-19 semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Malaysia telah merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara iaitu sebanyak 3309 kes pada 12 Januari 2021. Kenaikan jumlah kes harian COVID-19 di Malaysia mencecah sehingga empat angka sejak awal bulan Oktober. Lebih membimbangkan Malaysia sedang berdepan ledakan gelombang ketiga koronavirus jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua yang mencatatkan kes harian hanya dua ke tiga angka sahaja. Kerajaan mengambil langkah drastik iaitu mengisytiharkan semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 untuk tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021 untuk membendung wabak ini dari terus merebak. Penyampaian berita memainkan peranan yang penting di dalam masyarakat terutama ketika sesuatu krisis berlaku. Pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia telah menyebabkan berlakunya perubahan lanskap dalam kita menjalankan kehidupan seharian sehinggakan ianya digelar sebagai norma baharu. Akhbar memainkan peranan yang penting dalam penyampaian berita kepada khalayak masyarakat dengan menetapkan tona dan nada berita yang ingin disampaikan ketika berlakunya sesuatu krisis. Kertas ini bertujuan untuk mengupas tema-tema utama yang disiarkan di akhbar-akhbar utama Bahasa Malaysia pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berlangsung dari 13 sehingga 26 Januari 2021. Pendekatan analisis tematik telah digunakan untuk mendapatkan tema- tema utama berita yang disiarkan pada hari tersebut. Pelaksanaan PKP 2.0 kali ini adalah serentak dengan proklamasi darurat dan dapatan dari kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan pihak berkepentingan amat mengambil berat mengenai pelaksanaan serentak PKP 2.0 serta proklamasi darurat dan kesannya terhadap ekonomi inidividu, keluarga dan negara. Secara kesimpulan, tajuk- tajuk berita pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0 adalah bercorak memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai perkara yang mreka perlu tempuhi selama pelaksanaan PKP 2.0 yang
merangkumi isu kesihatan, sosial, ekonomi serta prosedur operasi standard yang perlu mereka hadapi sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 ini.
Katakunci: COVID-19; Kesihatan; Ekonomi; Berita; Akhbar; Analisis Tematik, Darurat, PKP 2.0
Pengenalan
Pandemik COVID-19 telah menzahirkan kesan yang belum pernah terjadi sebelumnya kepada seluruh dunia. Ini adalah satu peristiwa besar yang berlaku yang memerlukan penilaian dan tindakbalas yang pantas. Banyak negara telah membuat keputusan yang sukar untuk ‘menutup’
negara mereka untuk mengekang penularan wabak ini. Malaysia adalah antara negara pertama yang melaksanakan Perintah Kawalan Gerakan atau Sekatan di Asia Tenggara berikutan krisis wabak COVID-19 yang semakin meruncing. Wabak Coronavirus (COVID-19) adalah penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan penyakit pernafasan, seperti selesema dengan gejala batuk, demam dan kesukaran bernafas yang boleh menyebabkan kematian. Sebagai langkah untuk membendung wabak ini, Perdana Menteri Malaysia telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 1 pada 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020. Perintah ini adalah bersandarkan pada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967 (Majlis Keselamatan Negara, 2020).
Pada 25 Mac 2020, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020 (Fasa 2) dan pada 10 April 2020, sekali lagi PKP telah dilanjutkan tempohnya sehingga 28 April 2020 (Fasa 3). Seterusnya pada 23 April 2020, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 4 akan dilanjutkan sehingga 3 Mei 2020.
PKP 2.0
Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik COVID-19 dan peningkatan kes jangkitan COVID-19 semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. Malaysia telah merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara iaitu sebanyak 3309 kes pada 12 Januari 2021 (Majlis Keselamatan Negara (Telegram Group), 2021). Kenaikan jumlah kes harian COVID- 19 di Malaysia mencecah sehingga empat angka sejak awal bulan Oktober. Lebih membimbangkan Malaysia sedang berdepan ledakan gelombang ketiga koronavirus jika dibandingkan dengan gelombang pertama dan kedua yang mencatatkan kes harian hanya dua ke tiga angka sahaja.
Kluster COVID-19 kali ini lebih pelbagai dan membimbangkan kerana virus itu berada di mana- mana sahaja. Jumlah kes keseluruhan sehingga 12 Januari 2021 mencatatkan sehingga 141,322 kes serta trend jumlah kematian semakin meningkat. Jumlah kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia lebih meningkat mendadak berbanding sebelum ini.
Kerajaan mengambil langkah drastik iaitu mengisytiharkan semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 melalui Perutusan Khas Perdana Menteri pada Isnin, 11 Januari 2021 jam 6 petang. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP 2.0 tersebut untuk
tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, Rabu, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021 untuk membendung wabak ini dari terus merebak. Jika tidak dilaksanakan segera Perintah Kawalan Pergerakan, jumlah kes yang tinggi akan menyebabkan negara dalam keadaan terdesak kerana fasiliti dan petugas kesihatan yang semakin terbeban serta peningkatan kes harian menyebabkan kemudahan seperti katil, ruang wad dan alat bantuan pernafasan semakin berkurangan dan tidak cukup merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan penjagaan intensif.
Kerajaan telah memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan itu melibatkan tiga peringkat pelaksanaan iaitu PKP ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah. Kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Manakala, ketiga, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.
Negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat. Keputusan untuk mengadakan PKP semula juga mengambil kira faktor risiko kesihatan awam yang perlu diutamakan bagi memastikan rakyat Malaysia dilindungi dari risiko jangkitan yang boleh memudaratkan negara. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, iaitu Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, tempoh dua minggu itu sangat penting kepada kita dan negara serta menggesa rakyat untuk terus duduk di rumah bagi mengawal penularan wabak ini (Mahpar, 2021).
Melalui perutusan khas Perintah Kawalan Pergerakan antara larangan ketika PKP adalah semua aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Bagaimanapun bagi negeri-negeri di bawah pelaksanaan PKPP, aktiviti sosial adalah dibenarkan, tertakluk kepada pematuhan SOP yang ketat (Prime Minister's Office of Malaysia, 2021).
Selain itu, pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan. Tetapi untuk sektor ekonomi, Kerajaan telah mengenal pasti lima (5) sektor yang dibenarkan beroperasi dan dikategorikan sebagai sektor ekonomi perlu (Essential economic sector) iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi.
Proklamasi Darurat
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman khas darurat pada pukul 11 pagi bertarikh 12 Januari 2021 (Astro Awani, 2021). Perdana Menteri telah diterima menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 .Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat berkuatkuasa hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.
Proklamasi Darurat juga bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 di negara Malaysia.
Darurat yang diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong itu bukan satu bentuk rampasan kuasa tentera (Amin & Aling, 2021). Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan ketika tempoh darurat. Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat, kerajaan awam akan terus berfungsi. Dari segi pentadbiran kerajaan pula, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa. Perdana Menteri Malaysia turut memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak akan terganggu dengan pengisytiharan darurat ini (Ruzki, 2021).
Beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19 (Rahim, 2021). Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam. Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti (Bakar, 2021).
Parlimen dan Dewan Undangan Negeri juga tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak boleh diadakan (Pejabat Perdana Menteri Malaysia, 2021). Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs. Mengikut konteks ini, Perdana Menteri sebagai Ketua Kerajaan bertanggungjawab untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi daripada jangkitan COVID-19. Perdana Menteri juga menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID- 19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan.
Sepanjang tempoh darurat juga, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah (Bernama, 2021). Aktiviti- aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa. Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.
Kerajaan komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat. Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran (Metro, 2021).
Kajian Terdahulu
Kebanyakan kajian berkenaan media yang dilaksanakan ketika pandemik COVID-19 berkisar mengenai isu penyebaran berita palsu. Md Saiful Islam et. al. (2020) telah menjalankan kajian
berkenaan 2,311 berita mengenai khabar angin, stigma dan teori konspirasi di 87 negara dan mendapati kebanyakan berita palsu tersebut berkisar mengenai kaedah jangkitan penyakit dan juga kadar kematian. Selain itu, kewujudan berita yang mengelirukan juga telah mempengaruhi kesihatan mental pelancong dari China (Zheng, Goh, & Wen, 2020). Kajian yang dilaksanakan oleh Brennen et. al. (2020) telah mendapati bahawa 59% daripada maklumat yang tidak tepat di dalam berita adalah berita yang telah diolah semula dari berita asal manakala 38% daripadanya adalah berita yang dicipta sendiri.
Kajian-kajian media massa yang lain daripada Shelby et. al. (2020), Aslam et. al. (2020), dan Jurkowitz (2020) berkisar mengenai sentimen yang dimainkan oleh akhbar dan televisyen berkenaan isu COVID-19 pada suku pertama tahun 2020. Kriteria seperti ketakutan, kepercayaan, kesedihan dan marah banyak mempengaruhi sentimen pembaca terhadap berita yang disiarkan ketika pandemik COVID-19. Satu kajian berkenaan Surat kepada Pengarang telah dijalankan ke atas akhbar The Star Online oleh Siti Aesiha dan Syamimi telah mendapati bahawa surat yang merujuk kepada pandemik COVID-19 memiliki konotasi yang negatif serta sarat dengan emosi (Joharry & Turiman, 2020). Satu kajian mengenai kepenggunaan telah dijalankan oleh S.M. Yasir Arafat et. al. (2020) mendapati bahawa kebanyakan laporan pembelian panik yang membincangkan mengenai sebab dan impak berlaku di negara membangun. Selain itu kajian yang dilaksanakan oleh Nor Friza dan Adlyn Syahirah terhadap akhbar The Star Online berkenaan laporan mengenai COVID-19 telah mendapati bahawa isu-isu seperti ketakutan dan ketidakpastian serta impak terhadap ekonomi dan kehidupan sosial adalah merupakan antara isu yang dilaporkan oleh akhbar tersebut ketika PKP 1.0 (Nor & Zulcafli, 2020).
Metod Kajian
Kajian adalah berdasarkan berita yang telah disiarkan di dalam media cetak utama Bahasa Malaysia iaitu akhbar Berita Harian, Sinar Harian dan Harian Metro. Menurut NSTP, jumlah pembaca Harian Metro telah meningkat sehingga mencecah kepada angka 3 juta pada tahun 2019 berbanding 106,000 orang pada tahun 1993 (NSTP, 2020). Akhbar ini adalah merupakan tabloid Bahasa Malaysia yang paling laris di pasaran. Sinar Harian adalah merupakan sebuah akhbar yang diklasifikasikan sebagai akhbar wilayah yang diterbitkan oleh Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd.
mulai tahun 2006 untuk memenuhi kehendak berita lokal sesebuah negeri (ADQRATE, 2021).
Kelebihan akhbar ini ialah setiap daerah di dalam sesebuah negeri telah dilengkapkan dengan skuad pemberitaan bergerak yang dinamakan sebagai Skuad Cakna dalam mendapatkan berita terkini di sesebuah daerah. Jumlah edaran akhbar Sinar Harian ialah 160,000 unit dengan jumlah khalayak pembaca seramai 509,000 orang (ADQRATE, 2021). Khalayak pembaca bagi Harian Metro, Berita Harian dan Sinar Harian ialah antara umur 18 tahun ke atas (Prima, 2020). Untuk kajian ini, penulis merasakan kriteria spektrum khalayak pembaca telah dipenuhi kerana ketiga- tiga akhbar Bahasa Malaysia ini mempunyai khalayak pembaca bermula dari 18 tahun ke atas yang merangkumi golongan belia dan golongan dewasa.
Kaedah yang telah digunakan oleh penulis ialah kaedah analisa tematik. Kaedah ini dipilih atas kesesuaian dengan bentuk kajian yang dijalankan. Berita yang di analisa adalah berita bercetak dan bukannya berita yang bercorak digital. Berita-berita bercetak ini dikumpulkan secara fizikal pada tarikh hari pertama perintah pelaksanaan PKP 2.0 iaitu pada tanggal 13 Januari 2021. Ini adalah bersesuaian dan berpadanan dengan tarikh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang dilaksanakan di beberapa negeri di seluruh Malaysia selama 2 minggu pada ketika itu. Berita- berita ini diambil hanya dari ruangan berita tempatan dan nasional sahaja.
Kaedah analisa menggunakan 6 Langkah Analisa Tematik (Clarke & Braun, 2006). Langkah pertama ialah dengan membiasakan diri dengan artikel yang ditulis melalui pembacaan berulang kali serta menulis kod-kod ringkas. Langkah kedua ialah dengan mewujudkan kod awalan dalam bentuk yang sistematik. Langkah ketiga ialah dengan mengenalpasti tema yang dizahirkan melalui kod kod awalan yang telah diwujudkan. Langkah keempat ialah melibatkan pemeriksaan tema tema yang berkaitan dan mewujdkan peta tematik. Langkah seterusnya ialah dengan mendefinisikan tema dengan jelas dan langkah terakhir ialah dengan membuat laporan berdasarkan tema-tema yang terbit dari artikel yang diselidik.
Dapatan dan Perbincangan
Tema 1: Proklamasi darurat
Menurut kesemua artikel, tujuan utama proklamasi darurat adalah untuk membendung penularan wabak COVID-19. Ini bermakna sebarang pilihanraya dilaksanakan ketika waktu darurat. Ianya sedikit sebanyak meredakan kebimbangan rakyat mengenai penularan penyakit melalui pelaksanaan pilihanraya. Selain itu, akhbar juga menerangkan bahawa ianya bukan satu bentuk rampasan kuasa dan berbeza dengan proklamasi darurat terdahulu dimana melibatkan perintah berkurung. Kuasa akan diberikan kepada Perdana Menteri untuk mengambil tindakan jika ada mana mana pihak yang mengganggu usaha kerajaan. Selain itu, ianya juga memberi jaminan bahawa kebajikan rakyat akan terpelihara seperti biasa. Ini bermakna tumpuan utama proklamasi darurat ialah untuk memudahkan perjalanan operasi menjaga kebajikan rakyat, mengekang penularan wabak serta menjaga kesejahteraan ekonomi negara. Selain itu aset-aset dari pihak swasta juga boleh digembleng demi menangani pandemik ini.
Tema 2: Kesihatan
Kebanyakan artikel dalam tempoh ini berkisar mengenai penambahbaikan terhadap proses sedia ada serta penambahan bilangan pusat kuarantin mengikut keperluan semasa. Selain itu, dalam tempoh yang sama, kebimbangan rakyat mengenai peningkatan kes penularan wabak COVID-19 yang semakin menaik juga menjadi tumpuan utama akhbar-akhbar tersebut. Memandangkan hampir genap setahun berita penularan wabak ini di Malaysia, masyarakat ingin tahu mengenai langkah kerajaan dalam menangani penularan wabak ini dan isu seperti pembelian dan pengedaran vaksin juga diberikan penekanan oleh akhbar-akhbar tersebut. Isu seperti penularan wabak ini kepada ahli politik di Malaysia juga menjadi tumpuan utama akhbar-akhbar pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0.
Tema 3: Polisi Operasi Standard Sektor Pendidikan
Sesi persekolahan untuk tahun 2021 adalah dijangkakan bermula pada 20 Januari 2021. Atas sebab pelaksanaan PKP 2.0 para ibu bapa tidak pasti samada sesi persekolahan tersebut akan berlangsung seperti yang telah ditetapkan atau akan ditunda pelaksanaannya. Penangguhan sesi bersemuka telah dilaksanakan dengan diganti dengan sesi pengajaran dan pembelajaran maya. Selain itu, penerangan mengenai keperluan murid-murid yang menduduki peperiksaan awam untuk menghadiri sesi persekolahan seperti biasa juga disebarkan melalui tajuk tajuk berita di akhbar akhbar tersebut.
Tema 4: Pengoperasian Sektor Ekonomi dan Sosial
Kebanyakan berita yang disiarkan pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0 ialah mengenai jenis- jenis aktiviti ekonomi dan sosial yang dibenarkan beroperasi disepanjang tempoh tersebut.
Penekanan juga diberikan kepada polisi operasi standard bagi sektor-sektor tersebut. Selain itu kegusaran masyarakat mengenai impak PKP 2.0 terhadap ekonomi juga diberikan perhatian di akhbar akhbar tersebut manakala jenis-jenis bantuan yang disediakan untuk industri yang terjejas juga diperincikan untuk pengusaha yang terlibat.
Tema 5: Polisi Operasi Standard Pergerakan
Sekatan jalanraya untuk aktiviti merentas daerah dan negeri akan dimulakan serentak dengan pelaksanaan PKP 2.0 untuk mengekang penularan wabak ini. Pihak polis telah memberikan penerangan mengenai bilangan sekatan jalanraya yang akan diadakan untuk membataskan pergerakan melalui akhbar-akhbar. Ianya adalah bertujuan supaya masyarakat lebih bersedia sebelum PKP 2.0 dilaksanakan.
Kesimpulan
Dalam ketidaktentuan yang berlaku ketika mulanya Pandemik COVID-19 melanda Malaysia, masyarakat tertumpu untuk mendapatkan berita terkini dari media maya dan juga media kontemporari seperti akhbar bercetak. Kajian ini telah mendapati, kebanyakan artikel yang dizahirkan di akhbar ketika tempoh PKP 2.0 adalah menghuraikan kebimbangan dan kegusaran masyarakat mengenai proklamasi darurat dan impak terhadap kehidupan seharian mereka. Selain itu, setelah selesai menjalani PKP 1.0 bermula awal Mac 2020, masyarakat ingin tahu mengenai isu yang berkait rapat dengan mereka seperti pengedaran dan pembelian vaksin oleh kerajaan serta prosedur operasi standard pelaksanaan PKP 2.0. Seperti PKP 1.0, masyarakat ingin tahu impak PKP 2.0 terhadap ekonomi kerana mereka terkesan secara langsung dengan pelaksanaan PKP 2.0.
Secara kesimpulan, tajuk-tajuk berita pada hari pertama pelaksanaan PKP 2.0 adalah bercorak memberikan penerangan kepada masyarakat mengenai perkara yang mereka perlu tempuhi selama pelaksanaan PKP 2.0 yang merangkumi isu kesihatan, sosial, ekonomi serta prosedur operasi standard yang perlu mereka hadapi sepanjang pelaksanaan PKP 2.0 ini.
References
ADQRATE. (2021, January 24). Sinar Harian. Retrieved from ADQRATE:
http://www.adqrate.com/newspaper/details?id=43&type=1
Amin, M. M., & Aling, Y. D. (2021, January 25). Darurat bukan rampasan kuasa tentera.
Retrieved from MyMetro: https://www.hmetro.com.my/utama/2021/01/663013/darurat- bukan-rampasan-kuasa-tentera-metrotv
Arafat, S. Y., Kar, S. K., Menon, V., Kaliamoorthy, C., Mukhrejee, S., Alradie-Mohamed, A., . . . Kabir, R. (2020, July 16). Panic Buying: An Insight from the Content Analyssis of Media Reports During COVID_19 Pandemic. Neurology, Psychiatry and Brain Research, 37, 100-103.
Aslam, F., Awan, T. M., Syed, J. H., Kashif, A., & Parveen, M. (2020). Sentiments and Emotions Evoked by News Headlines of Coronovirus Disease (COVID-19) Outbreak.
Humanities & Social Sciences Communications, 7(23), 1-9.
Astro Awani. (2021, January 25). Teks penuh Pengumuman Khas Darurat oleh PM Muhyiddin.
Retrieved from Astro Awani: https://www.astroawani.com/berita-malaysia/teks-penuh- pengumuman-khas-darurat-oleh-pm-muhyiddin-277288
Bakar, A. A. (2021, January 25). Ordinan darurat bolehkan kerajaan ‘ambil alih’ aset hospital swasta untuk perangi Covid-19. Retrieved from FMT:
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/12/operasi- perniagaan-masih-berjalan-kata-muhyiddin/
Bernama. (2021, January 26). Badan kehakiman terus berfungsi sepanjang tempoh darurat - PM.
Retrieved from Bernama: https://www.bernama.com/bm/am/news_covid- 19.php?id=1921032
Brennen, J. S., Felix M. Simon, P. N., & Nielsen, R. K. (2020). Types, Sources, and Claims of COVID_19 Misinformation. Oxford: Reuters Institute for the Study of Journalism.
Buckman, S. R., Shapiro, A. H., Sudhof, M., & Wilson, D. J. (2020, April 6). News Sentiment in the Time of COVID-19. Research from Federal Reserve Bank of San Francisco, pp. 1-5.
Clarke, V., & Braun, V. (2006). Using Thematic Analysis in Psychology. Qualitative Research in Psychology, 3, 77-101.
Islam, M. S., Sarkar, T., Khan, S. H., Kamal, A.-H. M., Hasan, S. M., Kabir, A., . . . Seale, H.
(2020). COVID-19-Related Infodemic and Its Impact on Public Health: A Global Social Media Analysis. American Journal of Tropical Medicine and Hygiene, 1621.
Joharry, S. A., & Turiman, S. (2020, August). Examining malaysian Public Letters to Editor on COVID-19 Pandemic: A Corpus-assisted Discourse Analysis. Journal of Language Studies, 20(3), 2420260.
Jurkowitz, M. (2020, April 1). Cable TV and COVID-19: How Americans Perceive the Outbreak and View Media Coverage Differ by Main News Source. Journalism & Media, 1-8.
Mahpar, N. (2021, January 25). PKP mungkin 4 minggu, kata KP Kesihatan. Retrieved from FMT: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/13/pkp- mungkin-4-minggu-kata-kp-kesihatan/
Majlis Keselamatan Negara (Telegram Group). (2021, January 12). Laporan Statistik Harian COVID-19.
Majlis Keselamatan Negara. (2020, March 18). Soalan Lazim (FAQ's) - Bil. 1 (Dikemaskini) 18- 31 Mac 2020. Putrajaya, Putrajaya, Malaysia: Majlis Keselamatan Negara.
Metro, H. (2021, January 26). Darurat: Badan kehakiman berfungsi seperti biasa. Retrieved from MyMetro: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/663050/darurat-badan- kehakiman-berfungsi-seperti-biasa-pm-metrotv
Nor, N. F., & Zulcafli, A. S. (2020, August). Corpus Driven Analysis of News Report about COVID-19 in a Malaysian Online Newspaper. GEMA Online Journal of Language Studies, 20(3), 199.
NSTP. (2020, October 27). NSTP. Retrieved from Products: https://www.nstp.com.my/harian- metro-2/
Pejabat Perdana Menteri Malaysia. (2021, January 25). Teks Ucapan Pengumuman Khas Darurat. Retrieved from Pejabat Perdana Menteri Malaysia:
https://www.pmo.gov.my/ms/2021/01/teks-ucapan-pengumuman-khas-darurat-2/
Prima, M. (2020, October 27). NSTP. Retrieved from Media Prima:
https://www.mediaprima.com.my/?page_id=228
Prime Minister's Office of Malaysia. (2021, January 25). Perutusan Khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 11 Januari 2021. Retrieved from Prime Minister's Office of Malaysia Official Website: https://www.pmo.gov.my/2021/01/perutusan-khas- pelaksanaan-perintah-kawalan-pergerakan-11-januari-2021/
Rahim, M. S. (2021, January 25). Hospital swasta sedia bantu rawat pesakit Covid-19 .
Retrieved from Utusan Malaysia: https://www.utusan.com.my/nasional/2021/01/hospital- swasta-sedia-bantu-rawat-pesakit-covid-19/
Ruzki, R. M. (2021, January 25). Jentera pentadbiran tak terjejas dengan pengisytiharan darurat. Retrieved from BHOnline:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/01/775341/jentera-pentadbiran-tak- terjejas-dengan-pengisytiharan-darurat
Zheng, Y., Goh, E., & Wen, J. (2020). The Effects of Misleading Media Reports ABout COVID- 19 on CHinese Tourists' Mental Health: A Perspective Article. Anatolia, 31(2), 337-340.