GARIS PANDUAN PENGURUSAN BUANGAN TERJADUAL
1.0 TUJUAN
1.1 Garis Panduan Pengurusan Buangan Terjadual ini disediakan bertujuan memberi informasi dan panduan kepada semua warga UTHM yang terlibat dalam pengurusan buangan terjadual dengan mengambil kira keperluan yang terkandung di dalam Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 [Akta 127] yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) bermula daripada notifikasi kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), penghasilan, pelabelan, penyimpanan, pengangkutan dan pelupusan ke premis berlesen yang telah ditetapkan.
1.2 Garis Panduan Pengurusan Buangan Terjadual ini adalah bagi menggantikan Garis Panduan Program Pelupusan Sisa Terjadual (Sisa Kimia) (UTHM/OSHE/GP.021).
2.0 SKOP
2.1 Garis panduan ini digunakan oleh Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (OSHE), UTHM dan terpakai di setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) dan semua tempat kerja yang menghasilkan buangan terjadual seperti yang ditakrifkan di dalam Jadual Pertama, Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127].
2.2 Garis panduan ini juga terpakai di setiap Pusat Tanggungjawab (PTj) dan semua tempat kerja di Universiti yang mengendalikan, menyimpan, mengangkut dan ingin membuat rawatan, pemerolehan semula atau pelupusan buangan terjadual hasil dari pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, perundingan atau operasi kerja dalam memastikan buangan terjadual tersebut dikendalikan dan seterusnya dilupuskan dengan baik dan memenuhi aspek keselamatan dan perundangan yang telah ditetapkan.
2.3 Garis panduan ini juga terpakai bagi pengurusan buangan terjadual yang ditelah dilantik oleh UTHM di Kampus (Cawangan Pagoh) iaitu pihak Sime Darby Properties Selatan (SDPS).
2.4 Garis panduan ini juga terpakai bagi pengurusan buangan terjadual yang telah dilantik oleh UTHM di mana-mana kampus UTHM iaitu mana-mana pihak yang dirasakan sesuai oleh pihak universiti dalam maksud pengurusan sisa terjadual tersebut.
3.0 TANGGUNGJAWAB
3.1 Sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti pengurusan penghasilan, pelabelan, penyimpanan, pengangkutan dan pelupusan buangan terjadual perlu mematuhi garis panduan ini.
3.2 Ianya terdiri dari (namun tidak terhad kepada) Unit Persekitaran OSHE/
Penolong Jurutera/ Ketua Makmal/ Penyelaras Buangan Terjadual/ Pengurus Makmal/ SLO / Ketua Penyelidik / Penyelidik/ Pensyarah/ SDPS/ mana-mana pihak lain yang dilantik oleh universiti dan juga pelajar adalah bertanggungjawab untuk menentukan garis panduan ini dipatuhi.
4.0 DEFINISI
Alam Sekeliling faktor-faktor fizika bagi kawasan di sekeliling manusia termasuk tanah, air, udara, iklim, bunyi, bau, rasa, faktor-faktor biologi bagi binatang-binatang dan tumbuh-tumbuhan dan faktor-faktor sosial astetika;
Buangan terjadual apa-apa buangan yang termasuk dalam kategori buangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama di bawah Peraturan- peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005;
Buangan terjadual tidak serasi buangan terjadual yang dinyatakan dalam Jadual Keempat di bawah Peraturan- peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, yang apabila dicampurkan, akan menghasilkan situasi yang berbahaya menerusi penjanaan haba, kebakaran, letupan atau pelepasan bahan-bahan toksik;
Buangan hazard biologi (bio hazard) buangan dari hasil ujikaji dan perkhidmatan kesihatan yang mengandungi mikroorganisma, tumbuh-tumbuhan, bangkai haiwan, serangga dan organisma akuatik, tisu dan anggota badan, serum, darah, komponen darah haiwan atau manusia dan bahan/ peralatan yang digunakan untuk mengendalikan perkara di atas seperti sarung tangan, kertas, tisu, bekas dan peralatan tajam seperti picagari dan alatan lain yang terkandung dalam definisi buangan hazard biologi;
Helaian Data Keselamatan (SDS) suatu dokumen yang mengandungi maklumat yang berkaitan dengan sesuatu bahan kimia dan disediakan menurut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pengelasan, Pelabelan dan Helaian Data Keselamatan Bahan Kimia Berbahaya) 2013;
Kontraktor Mana-mana organisasi yang berdaftar atau berlesen dan diiktiraf oleh Jabatan Alam Sekitar yang telah dilantik oleh Universiti
untuk menjalankan tugas-tugas berkaitan dengan pengangkutan dan pelupusan buangan terjadual atau organisasi yang berupaya melakukan kerja dengan kemahiran dalam pembungkusan buangan terjadual yang telah dilantik oleh Universiti;
Orang Yang Kompeten (OYB) wakil dari OSHE dan SDPS atau pengendali sisa di makmal yang terdiri daripada orang- orang yang diperakui oleh Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar yang boleh mewakilkan mana-mana daripada kuasa- kuasa, kewajipan-kewajipan dan tugas- tugasnya di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 2005 [Akta 127] berkenaan dengan pengeluaran lesen-lesen, penyiasatan kesalahan- kesalahan dan penguatkuasaan peraturan dan akta. Ianya juga dikenali sebagai orang yang berwibawa (competent person);
Penghasil buangan Terdiri dari penyelidik, pengendali ujikaji di makmal/bengkel dan mana-mana orang yang menjalankan atau bertanggungjawab terhadap aktiviti yang menghasilkan/
mengeluarkan /menjana buangan terjadual;
Premis yang ditetapkan Premis yang telah ditetapkan oleh Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan) (Kemudahan Pengolahan dan Pelupusan Buangan Terjadual) 1989 [P.U (A) 140/1989];
Sisa Kimia Makmal Sebarang bahan kimia makmal yang usang, yang ditinggalkan, luput tarikh dan tidak mengikut spesifikasi di dalam bentuk cecair, pepejal atau gas termasuk sampel yang terhasil dari operasi makmal yang tidak lagi digunakan dan ingin dilupuskan;
Tempat Pengasingan (segregation) Tempat pengasingan buangan terjadual (biasanya di dalam atau berhampiran dengan makmal/ tempat penghasil buangan) sebelum ianya dibawa keluar dari makmal/
tempat penghasil buangan ke stor pusat buangan terjadual di dalam UTHM atau terus ke luar UTHM untuk tujuan diolah semula/ rawatan/ pelupusan.
Universiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
(UTHM).
5.0 KEPERLUAN KESELAMATAN
5.1 Semua maklumat mengenai buangan terjadual yang mengandungi maklumat mengenai sifat-sifat buangan terjadual, pengendalian buangan terjadual termasuklah kelengkapan pelindung diri (PPE), langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku tumpahan atau pelepasan tidak sengaja yang menyebabkan kecederaan atau kerosakan fizikal perlulah di rujuk kepada maklumat buangan terjadual (waste card).
5.2 Gunakan peralatan kelengkapan diri mengikut kesesuaian sahaja.
Pemakaian kelengkapan diri yang salah boleh meningkatkan risiko berlakunya kemalangan.
5.3 Kelengkapan pelindung diri perlu dipastikan mempunyai rekod serahan kepada staf terbabit.
5.4 Semua peralatan kelengkapan pelindung diri perlu mempunyai prosedur dan pelan pengeluaran, penyenggaraan, pemeriksaan dan latihan yang jelas dalam penggunaan kelengkapan pelindung diri yang diluluskan
5.5 Peralatan kelengkapan diri perlulah jenis yang diluluskan sahaja dan mematuhi standard oleh pihak JKKP Malaysia sekiranya berkaitan.
5.6 Kelengkapan peralatan diri perlu disediakan ruang / tempat pengasingan yang baik bagi memastikan peralatan kelengkapan diri sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
5.7 Setiap tumpahan atau pelepasan tidak sengaja sebarang buangan terjadual perlulah di maklumkan kepada pihak OSHE dengan kadar yang segera.
5.8 Bagi lain-lain maklumat mengenai Pelan Tindakan Kecemasan, dan Kelengkapan Pelindung Diri, rujuk Perkara 14.0 dan 15.0, Garis Panduan Pengendalian Bahan Kimia, OSHE, UTHM (2020).
5.9 Sebarang ketidakpastian atau pertanyaan berkenaan pengurusan buangan terjadual ini perlulah merujuk semula kepada pihak OSHE.
6.0 PEMINIMAAN PENGHASILAN BUANGAN TERJADUAL DAN LANGKAH PENJIMATAN KOS BAGI PELUPUSAN SISA TERJADUAL
6.1 Peminimaan penghasilan sisa kimia makmal perlulah diamalkan bagi tujuan mengurangkan amaun yang terhasil dan meminimumkan kos rawatan dan pelupusan buangan terjadual.
6.2 Pendekatan yang diambil dalam prinsip pencegahan pencemaran adalah berdasarkan hierarki pengurusan buangan terjadual iaitu; pengurangan sisa (paling dikehendaki), guna semula/kitar semula, rawatan dan pelupusan buangan terjadual (paling tidak dikehendaki).
6.3 Antara langkah peminimaan penghasilan buangan terjadual (namun tidak tertakluk kepada) ialah dengan:
i. Mematuhi peraturan pengurusan bahan kimia (rujuk Garis Panduan Pengendalian Bahan Kimia, OSHE, UTHM (2020)).
ii. Menggalakkan pembelian barangan berserta perkhidmatan memulangkan kembali bekas, katrij atau silinder gas bagi tujuan guna semula.
iii. Menggalakkan pengumpulan buangan elektrik dan elektronik (e-waste) melalui kontraktor yang telah dilantik atau kempen-kempen pengumpulan buangan terjadual e-waste anjuran universiti untuk dikitar semula.
7.0 JENIS-JENIS BUANGAN TERJADUAL YANG DIKLASIFIKASI MENGIKUT KEPERLUAN UTHM
7.1 Terdapat empat (4) kelas buangan terjadual yang telah dikenalpasti terhasil daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, perundingan dan perkhidmatan kesihatan universiti dan sistem sokongan universiti. Ianya terdiri daripada (namun tidak terhad kepada):
i. Sisa kimia makmal
ii. Buangan terjadual dari operasi penyelenggaraan mesin dan automotif iii. Buangan terjadual dari operasi penyenggaraan bangunan termasuk
pencahayaan,
iv. Buangan terjadual dari perkhidmatan kesihatan universiti dan makmal yang menghasilkan buangan hazard biologi (bio hazard).
7.2 Buangan terjadual ini perlu dikendalikan, dilabel, disimpan, direkod dan dilupuskan secara betul sebagai buangan terjadual.
8.0 HELAIAN DATA KESELAMATAN (SDS)
8.1 Semua bahan kimia yang hendak dilupuskan perlu menyertakan SDS seperti yang dihendaki dalam Jadual Kedua.
8.2 Keperluan lain bagi Perkara 8.0 ini perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Bahan Kimia terkini, OSHE, UTHM.
9.0 KATEGORI DAN PENGKELASAN BUANGAN TERJADUAL
9.1 Suatu sisa kimia / sisa sesuatu bahan dikatakan buangan terjadual apabila mempunyai lima (5) kriteria iaitu mengakis, mudah terbakar, reaktif, toksik dan mudah berjangkit.
9.2 Buangan terjadual perlu diklasifikasi untuk tujuan pelabelan, pengenalpastian risiko dan langkah berjaga-jaga jika berlaku kemalangan yang tidak diingini.
Klasifikasi yang betul dan tepat diperlukan sebelum buangan dimasukkan ke
dalam bekas, disimpan di stor sisa, di angkat bagi tujuan pembungkusan dan seterusnya dilupuskan.
9.3 Kategori buangan terjadual merujuk kepada Jadual Pertama (Lampiran 1), Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
9.4 Bagi buangan terjadual dari Perkara 7.1 (i), ianya boleh dikelaskan kepada empat (4) jenis sisa seperti Jadual 1 yang dinyatakan di dalam Garis Panduan Pembuangan Sisa Kimia Makmal (2015):
Jadual 1: Jenis-jenis Sisa Kimia Makmal
Kod Sisa Diskripsi
SW 409 Bekas, beg atau kelengkapan yang dilupuskan yang dicemari dengan bahan kimia, racun makhluk peorsak, minyak mineral atau buangan terjadual
SW 410 Kain buruk, plastik, kertas atau turas yang dicemari dengan buangan terjadual
SW 429 Bahan kimia yang terbuang atau tidak mengikut spesifikasi
SW 430 Bahan kimia yang usang
9.5 Bagi buangan terjadual dari Perkara 7.1 (ii, iii dan iv) kategori perlulah dirujuk kepada Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
9.6 Hanya kontraktor yang dilantik oleh UTHM sahaja yang boleh mengendalikan buangan terjadual yang terhasil.
9.7 Bagi kod buangan terjadual SW 431 iaitu buangan daripada pengilangan atau pemprosesan atau penggunaan bahan letupan, ianya perlu dimaklumkan kepada pihak OSHE untuk dikendalikan secara khas.
10.0 TANGGUNGJAWAB PENGHASIL BUANGAN TERJADUAL
10.1 Penghasil buangan terjadual perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap buangan yang dihasilkannya.
10.2 Penghasil buangan perlu mengenalpasti jenis buangan terjadual yang dihasilkan dan punca/ proses/ aktiviti yang menghasilkan buangan terjadual tersebut bagi melengkapkan Jadual Kedua (Lampiran 2). Ianya juga merupakan keperluan dalam membantu penghasilan maklumat sisa.
10.3 Penghasil buangan perlu menyediakan bekas penyimpanan sisa yang sesuai (Perkara 11.0 dan 12.0) bagi buangan terjadual mereka.
11.0 PENGENDALIAN DAN PENGASINGAN
11.1 Setiap pengendali buangan terjadual perlu mematuhi peraturan keselamatan berkaitan hazard fizikal, kesihatan dan alam sekitar yang boleh diakibatkan oleh buangan terjadual dengan merujuk kepada Helaian Data Keselamatan (SDS) dan maklumat buangan terjadual (waste card) (jika ada) (Rujuk Perkara 17.0 bagi keperluan maklumat buangan terjadual (waste card)).
11.2 Samada maklumat buangan terjadual (waste card) ada atau tiada, buangan terjadual perlulah diasingkan mengikut kategori buangan terjadual (kod SW) dan Jadual Keempat (Lampiran 3), Peraturan 2 di bawah Peraturan- peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 berkenaan dengan potensi tidak serasian buangan terjadual yang bercampur bagi mengelakkan situasi yang berbahaya menerusi penjanaan haba, kebakaran, letupan atau pelepasan bahan-bahan toksik.
11.3 Oleh kerana terdapat buangan terjadual yang terhasil dari satu-satu proses yang mungkin mempunyai ciri-ciri bahan berbahaya yang sama bagi bahan asas/ bahan kimia, maka Carta Keserasian bagi Campuran Bahan Kimia (Compatibility Chart for Chemical Mixtures)(Lampiran 4) dari Environmental Protection Agency (EPA) boleh digunakan semasa pengasingan buangan terjadual.
12.0 PENYIMPANAN BUANGAN TERJADUAL
12.1 Buangan terjadual perlu disimpan di dalam bekas-bekas yang sesuai dengan buangan terjadual yang hendak disimpan, tahan lasak, boleh ditutup dan boleh mencegah pertumpahan atau kebocoran buangan terjadual ke alam sekeliling.
12.2 Bekas buangan terjadual boleh terdiri dari jenis Jerrican/ carboy, tong jenis bunghole (plastik/keluli), tong terbuka atas (open top) (plastik/ keluli), kotak kartun, beg jumbo (jumbo bags) dan bekas untuk sisa klinikal.
12.3 Jerrican/ carboy, tong jenis bunghole (plastik/keluli) boleh digunakan bagi buangan terjadual jenis cecair dan semi cecair (contoh: enapcemar basah manakala tong terbuka atas (open top) (plastik/ keluli), kotak kartun, beg jumbo (jumbo bags) digunakan bagi buangan terjadual jenis pepejal.
12.4 Buangan terjadual boleh dibuang didalam bekas guna semula yang mengandungi bahan-bahan mentah/ bahan asal/ bahan kimia yang serasi dengan buangan terjadual tersebut tanpa melalui sebarang cucian lanjut.
12.5 Jika buangan terjadual ingin menggunakan bekas bahan kimia yang pernah mengandungi bahan mentah/ bahan asal/ bahan kimia yang tidak serasi (Lampiran 3 dan Lampiran 4) dengan buangan terjadual yang hendak dibuang, bekas tersebut perlulah dibasuh terlebih dahulu sebelum digunakan.
Air cucian yang terhasil dari aktiviti cucian tersebut perlu dikumpulkan dan dicirikan sebagai buangan terjadual.
12.6 Bekas buangan terjadual yang sedang digunakan hendaklah sentiasa ditutup pada setiap masa kecuali pada waktu yang perlu samada untuk menambah atau mengalihkan buangan terjadual.
12.7 Jika keadaan bekas tidak berkeadaan baik atau berlaku sebarang kebocoran ketika sedang dalam tempoh penggunaan, buangan terjadual perlulah dialihkan kepada bekas yang lain serta merta.
12.8 Bekas buangan terjadual yang telah 90% penuh atau yang tidak digunakan lagi perlu ditutup dengan rapat dan dibawa ke tempat pengasingan sementara / stor buangan terjadual yang telah dikhaskan.
12.9 Bagi tempat pengasingan sementara buangan terjadual di dalam makmal/
tempat penghasil buangan, pihak Ketua PTj perlu memastikan setakat yang praktik akan;
12.9.1 kesesuaian tempat pengasingan buangan terjadual yang disediakan 12.9.2 menyediakan kelengkapan pelan kecemasan seperti tumpahan
buangan terjadual dan pengungsian, dan penyediaan fasiliti yang berkaitan dengan baik.
12.10 Buangan terjadual yang dibawa masuk ke tempat simpanan sementara/ stor perlulah dilabel terlebih dahulu (rujuk Perkara 13.0).
12.11 Kemasukan buangan terjadual ke dalam tempat simpanan sementara/ stor perlulah sentiasa direkod di dalam inventori seperti dalam Jadual Kelima (Lampiran 5), Peraturan 11 di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 (rujuk Perkara 16.0).
12.12 Buangan terjadual hanya boleh disimpan di tempat simpanan sementara atau stor tidak lebih dari 180 hari (6 bulan) dari tarikh penghasilannya dan kuantiti buangan adalah tidak melebihi dari 20 tan metrik seperti yang dinyatakan dalam Peraturan 8 di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
12.13 Tempat simpanan sementara/ stor bagi buangan terjadual yang berada di luar lokasi buangan terjadual perlulah di dalam kawasan yang kering, berpagar dan mempunyai pintu masuk, teduh (berbumbung) dengan lantai konkrit yang bersesuaian, tidak pecah dan dilengkapi dengan sistem pengudaraan yang baik bagi sisa yang meruap.
12.14 Papan tanda bagi tempat pengasingan / stor mestilah dapat dilihat dengan jelas.
12.15 Tempat pengasingan / tempat simpanan sementara buangan terjadual perlu merujuk kepada Jadual Keempat (Lampiran 3) dan Carta Keserasian bagi Campuran Bahan (Lampiran 4).
12.16 Tempat pengasingan / tempat simpanan sementara buangan terjadual perlu mempunyai kelengkapan spillage kit dan sump pit bagi memudahkan kerja- kerja pembersihan dilakukan jika berlaku tumpahan.
12.17 Tempat pengasingan / tempat simpanan sementara buangan terjadual perlu mempunyai kemudahan bagi akses trak angkat susun (forklift truck) untuk memudahkan buangan terjadual dialih atau disimpan selepas proses pembungkusan (Perkara 14.0). Bagi tempat simpanan sementara yang tidak mempunyai akses trak angkat susun, pihak OSHE akan memberitahu tempat yang bersesuaian bagi lokasi selepas pembungkusan.
12.18 Tempat pengasingan / tempat simpanan sementara buangan terjadual perlu dijauhi daripada semua sumber haba dan bahan yang menyebabkan nyalaan api.
12.19 Semua tempat simpanan sementara/ stor pusat buangan terjadual adalah kawasan LARANGAN bagi aktiviti makan dan minum (termasuk penyediaan makan dan minum).
12.20 Penyelaras Buangan Terjadual/ Pembantu Jurutera/ Ketua Penyelidik (bagi makmal-makmal penyelidikan yang tidak mempunyai Pembantu Jurutera) perlu membuat semakan secara mingguan menggunakan Senarai Semak Keperluan Tempat Simpanan Buangan Terjadual (Lampiran 6) yang telah disediakan oleh pihak OSHE bagi kesemua makmal/ bengkel/ lokasi penghasilan buangan terjadual di bawah tanggungjawabnya.
13.0 PELABELAN BUANGAN TERJADUAL
13.1 Pelabelan diperlukan bagi tujuan pengenalpastian dan amaran.
13.2 Label perlulah mengandungi maklumat-maklumat seperti kod dan nama buangan terjadual, tarikh mula penghasilan buangan, pegawai bertanggungjawab, nombor telefon serta lokasi penghasilan buangan terjadual (Lampiran 7).
13.3 Bekas buangan terjadual perlulah dilabel dengan jelas dan betul mengikut pencirian sisa yang terpakai untuknya seperti yang dinyatakan dalamJadual Ketiga (Lampiran 8), Peraturan 10 di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
13.4 Label bagi ciri bahaya buangan terjadual mestilah berbentuk empat segi sama diletakkan pada sudut 45 darjah dan berdimensi tidak kurang dari 10 cm x 10 cm kecuali jika saiz bekas atau bungkusan memerlukan label yang saiz lebih kecil.
13.5 Label perlulah dicetak di atas kertas A4 putih dan label ciri bahaya perlu berwarna dengan warna yang betul dan tulisan berwarna hitam sebagaimana yang dinyatakan di dalamJadual Ketiga.
13.6 Dalam kes buangan terjadual yang mempunyai dua atau lebih bahaya, segala bahaya hendaklah dikenalpasti dan dilabel dengan betul.
14.0 PEMBUNGKUSAN BUANGAN TERJADUAL
14.1 Sebelum buangan terjadual diangkut keluar dari premis UTHM, bekas yang mengandungi buangan terjadual tersebut perlulah dibungkus dan ditempatkan di atas palet bagi keselamatan dan kemudahan pengendalian.
Proses pembungkusan buangan terjadual dilakukan oleh kontraktor yang telah dilantik oleh UTHM.
14.2 Sebelum buangan terjadual dibungkus, Jadual Kelima (rujuk Perkara 16.0) terlebih dahulu perlu dihantar dan diverifikasi oleh pihak OSHE. Kuantiti dan jenis buangan terjadual yang akan dihantar ke pusat kitar semula/ rawatan/
pelupusan akan dikira dan kuantiti bekas, tong dan palet yang diperlukan akan dianggar.
14.3 Keperluan bekas, tong dan palet bagi tujuan pengangkutan keluar dari premis UTHM akan diuruskan oleh pihak OSHE.
14.4 Bekas dan palet yang telah dibungkus sempurna akan dimasukkan semula ke dalam tempat pengasingan/ simpanan sementara menunggu ianya dibawa keluar dari premis UTHM.
14.5 Sewaktu sesi pembungkusan oleh kontraktor, pegawai yang bertanggungjawab terhadap buangan yang dibungkus perlu hadir ke tapak bagi merekodkan buangan mereka.
14.6 Aktiviti ini dikecualikan bagi buangan terjadual SW 403 dan SW 404 dari Perkara 7.1 (iv).
15.0 PEMBERITAHUAN TENTANG PENGELUARAN BUANGAN TERJADUAL
15.1 Setiap penghasil buangan perlu memberitahu pihak OSHE mengenai penghasilan buangan terjadual dalam masa 10 hari dari tarikh pengeluaran buangan terjadual tersebut. Pemberitahuan perlu dilakukan dengan cara mengisi Jadual Kedua yang telah dibekalkan oleh pihak OSHE lengkap dengan maklumat yang diperlukan.
15.2 Pihak OSHE pula perlu menyemak, mengesahkan dan seterusnya memaklumkan pemberitahuan ini kepada Ketua Pengarah, Jabatan Alam Sekitar mengenai kategori dan kuantiti baru buangan terjadual yang dikeluarkan dalam masa 30 hari dari tarikh pengeluaran buangan terjadual tersebut. Keperluan pemberitahuan ini terkandung di dalam Peraturan 3, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
15.3 Jadual Kedua perlu dilengkapkan dan ditandatangani oleh penyedia (pegawai yang bertanggungjawab sebagai penghasil buangan terjadual di PTj) dan pengesahan oleh Ketua Makmal/ Pengurus Makmal atau orang yang bertanggungjawab sebagai pemilik lokasi buangan terjadual. Setelah lengkap, Jadual Kedua ini perlu dihantar kepada OSHE secara salinan lembut (softcopy) untuk tujuan notifikasi kepada Jabatan Alam Sekitar.
16.0 INVENTORI BUANGAN TERJADUAL
16.1 Semua kuantiti buangan yang hendak dikeluarkan dari tempat pengasingan di makmal-makmal PTj dan di tempat-tempat yang mengendalikan buangan ke tempat simpanan sementara berpusat atau tempat pengumpulan yang ditetapkan oleh OSHE untuk untuk diolah atau dilupuskan perlu direkodkan di dalam Jadual Kelima (Lampiran 5) ataupun rekod inventori seperti yang dikehendaki dalam Peraturan 11, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
16.2 Jadual Kelima mengandungi maklumat umum PTj, nama makmal, lokasi dan orang yang bertanggungjawab bagi buangan, nama buangan, kod SW dan kuantiti buangan (dalam kg). Kuantiti buangan terjadual perlu dicatat secara terperinci setiap minggu bagi setiap buangan yang masuk, sedia ada atau yang keluar (sebagai contoh, namun tidak tertakluk kepada tujuan rawatan, perolehan semula, kitar semula atau pelupusan).
16.3 Jadual Kelima perlu dilengkapkan dan ditandatangani oleh penyedia (pegawai yang bertanggungjawab sebagai penghasil buangan terjadual di PTj) dan pengesahan oleh Ketua Penyelidik/ Ketua Makmal/ Pengurus Makmal atau orang yang bertanggungjawab sebagai pemilik lokasi buangan terjadual.
Setelah lengkap, Jadual Kelima ini perlu dihantar kepada OSHE secara salinan lembut (softcopy) untuk tujuan semakan dan rekod.
17.0 PENYEDIAAN MAKLUMAT BUANGAN TERJADUAL (WASTE CARD)
17.1 Setelah pihak OSHE menerima Jadual Kelima yang lengkap diisi oleh pihak penghasil buangan terjadual, semakan dan identifikasi keperluan buangan akan dibuat.
17.2 Setiap jenis buangan perlu dilengkapi dengan maklumat buangan (waste card) iaitu Jadual Ketujuh seperti yang dikehendaki oleh Peraturan 13, Peraturan- peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Contoh maklumat buangan terjadual adalah sepertiLampiran 9.
17.3 Maklumat buangan terjadual (waste card) perlulah mengandungi maklumat berikut:
i. Nama buangan terjadual ii. Sifat-sifat buangan terjadual iii. Pengendalian buangan terjadual
iv. Langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku tumpahan atau pelepasan tidak sengaja yang menyebabkan kecederaan.
v. Langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku tumpahan atau pelepasan tidak sengaja yang menyebabkan kerosakan fizikal.
17.4 Maklumat buangan (waste card), jenis buangan, kuantiti dan bekas buangan terjadual ini perlu dimaklumkan kepada kontraktor pelupusan yang dilantik oleh UTHM sebelum buangan terjadual dibawa keluar dari UTHM.
17.5 Bagi buangan terjadual yang mengandungi campuran lebih dari dua buangan terjadual yang lain (selain dari deskripsi yang telah diberikan oleh Jadual 1), ianya perlu dianalisa terlebih dahulu sebelum maklumat buangan (waste card) boleh dibuat.
17.6 Analisa buangan terjadual dan maklumat buangan terjadual (waste card) dibuat oleh kontraktor yang telah dilantik oleh UTHM.
18.0 PELUPUSAN BUANGAN TERJADUAL
18.1 Lawatan tapak oleh pihak OSHE akan diadakan bagi memastikan keperluan pelabelan, bekas penyimpanan dan inventori adalah betul sebelum aktiviti pembungkusan (Perkara 14.0).
18.2 Bagi tujuan pelupusan di fasiliti rawatan buangan terjadual yang dilantik oleh UTHM, pihak OSHE perlu menyatakan kumpulan jenis sisa seperti Jadual 2 untuk dimaklumkan kepada kontraktor tersebut melalui sistem di talian yang telah ditetapkan.
Jadual 2: Kumpulan Jenis Sisa (Mengikut Pengkelasan Kualiti Alam)
Kumpulan Jenis Sisa
A Sisa Mengandungi Minyak Mineral
Sisa mengandungi minyak pelincir, minyak hidraulik dan sebagainya.
B Sisa kimia Organik Yang Mengandungi Halogen atau Sulfur > 1%
Freon, sisa PVC, kloroform, pelarut, kapasitor dan transformer yang mengandungi PCB dan seumpamanya.
C Sisa Pelarut Yang Mengandungi Halogen / Sulfur < 1%
Aseton, alcohol (contoh: etanol, metanol, benzena, terpentina, xilena dan seumpamanya. Sisa hendaklah boleh dipam, mengandungi < 50% air dan nilai kalorifik 18 MJ/kg.
H Sisa Kimia Organik Yang Mengandungi Halogen / sulfer < 1%
Gam, susu getah, cat, fenol, dakwat pencetakan, minyak sintenik, sabun, epoksi dan seumpamanya.
K Sisa Mengandungi Raksa
Raksa, lampu wap, cecair COD, bateri yang mengandungi raksa dan seumpamanya
T Sisa Racun Perosak
Insektisid, fungus dan pembunuh lumut, racun tikus dan seumpamanya
X Sisa Tak Organik
Asid, alkali, natrium hipoklorik, garam tak organik, enapcemar logam hidroksida, sisa kromat, sianida dan seumpamanya.
Z Lain-lain
18.3 Setelah pembungkusan selesai dan maklumat telah dibekalkan kepada kontraktor pelupusan, pengutipan buangan terjadual oleh kontraktor pelupusan akan dilakukan dalam satu jangka masa yang ditetapkan oleh pihak pelupusan.
18.4 Bagi buangan terjadual dari kod SW 403 dan SW 404 dari Perkara 7.1 (iv), buangan perlulah dimasukkan ke dalam plastik yang boleh diautoklaf (bewarna biru/ jernih) yang mempunyai simbol hazard biologi terlebih dahulu sebelum di autoklaf. Selepas itu, buangan perlu dimasukkan ke dalam plastik kuning bersimbol hazard biologi dan dimasukkan ke dalam bekas buangan terjadual sebelum dibawa keluar dari UTHM. Keperluan bekas penyimpanan, rawatan, pelupusan dan keperluan-keperluan lain perlulah merujuk kepada Perkara 3.6, Pengurusan Keselamatan Bio di Universiti (2020).
19.0 PENGANGKUTAN BUANGAN TERJADUAL
19.1 Sebarang penggunaan kenderaan bagi tujuan pergerakan, pemindahan, penempatan atau peletakan buangan di luar premis UTHM perlu mematuhi Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] dan mendapat kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar.
19.2 Bagi kegunaan dalaman premis pula, kenderaan perlulah mematuhi keperluan pengendalian selamat buangan terjadual dengan merujuk kepada maklumat buangan terjadual (waste card). Penggunaan kenderaan persendirian bagi tujuan ini adalah tidak dibenarkan.
19.3 Untuk tujuan pergerakan, pemindahan, penempatan atau perletakan buangan di luar premis UTHM, kontraktor yang berlesen telah dilantik oleh UTHM mengikut keperluan perundangan.
19.4 Merujuk kepada Perkara 12.12, buangan terjadual bagi semua kod buangan terjadual (kecuali SW 431, SW 403 dan SW 404) akan dibawa keluar dari UTHM tidak melebihi dari enam (6) bulan selepas tarikh penghasilannya atau mengikut keperluan semasa UTHM.
19.5 Manakala, bagi kod SW 403 dan SW 404, buangan terjadual akan dibawa keluar dari UTHM satu kali seminggu atau mengikut keperluan semasa UTHM.
19.6 Bagi kod SW 431 rujuk kepada Perkara 9.7 untuk tujuan pemakluman pihak OSHE terlebih dahulu.
20.0 NOTA KONSAINAN (CONSIGNMENT NOTES)
20.1 Pihak OSHE akan mengisi Bahagian I dari Jadual Keenam yang juga dinamakan sebagai nota konsainan (Lampiran 10) sebanyak enam (6) salinan seperti yang dikehendaki oleh Peraturan 12, Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Keenam-enam salinan ini
kemudiannya diserahkan kepada kontraktor yang akan membawa keluar buangan terjadual keluar dari UTHM.
20.2 Kontraktor tersebut kemudiannya akan mengisi Bahagian II Jadual Keenam bagi keenam-enam salinan dan memberi semula dua salinan kepada Universiti. Satu dari salinan tersebut akan diberikan kepada Jabatan Alam Sekitar manakala satu lagi akan disimpan sebagai rekod.
20.3 Setelah kontraktor yang membawa buangan terjadual keluar dari UTHM tersebut menyerahkan buangan terjadual ke tempat pelupusan dalam masa 10 hari, kontraktor pelupusan pula akan mengisi empat salinan Bahagian III Jadual Keenam tersebut dan menyerahkan satu salinan kepada kontraktor pembawa buangan terjadual, satu salinan kepada UTHM dan satu salinan lagi kepada Jabatan Alam Sekitar dalam masa 20 hari dari tarikh penerimaan buangan terjadual tersebut.
20.4 Setelah menerima salinan yang telah lengkap diisi dikesemua tiga bahagian tersebut, pihak OSHE perlulah menyimpan salinan nota konsainan ini bagi menandakan bahawa buangan terjadual yang telah terhasil telah selamat diterima oleh pihak kontraktor pelupusan yang telah dilantik oleh UTHM.
21.0 LATIHAN KEPADA PENGHASIL DAN PENGENDALI BUANGAN TERJADUAL 21.1 Pihak PTj perlu memastikan semua penghasil dan pengendali buangan
terjadual (staf / pelajar) di PTj masing-masing telah menjalani latihan secukupnya seperti dikehendaki mengikut keperluan Perintah 15, Peraturan- peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
21.2 Latihan-latihan yang terlibat ialah dalam pengenalpastian, pengendalian, pelabelan, pengangkutan, penstoran dan tindakbalas semasa tumpahan atau pelepasan buangan terjadual.
21.3 Semua latihan perlu diulang bagi setiap 2 tahun bagi semua staf.
21.4 Latihan juga perlu diberikan semula sekiranya:
(i) terdapat perubahan dan informasi baharu yang dikeluarkan oleh kontraktor pelupusan buangan terjadual, Jabatan Alam Sekitar atau pun OSHE, UTHM.
(ii) Penghasil dan pengendali buangan terjadual (staf / pelajar) diberikan tugasan baru / tempat kerja baru.
(iii) Semua latihan yang diberikan perlu disediakan rekod latihan yang lengkap dan rekod perlu diselenggara dan disimpan dengan baik.
22.0 PENYIMPANAN DAN PENYENGGARAAN REKOD
22.1 Semua rekod berkaitan dalam garis panduan ini perlu dipastikan diselenggara dan sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
22.2 Bagi tujuan tersebut, tanpa menjejaskan keperluan perundangan, penyimpanan rekod adalah seperti Jadual 3;
Jadual 3: Jenis Rekod, Tempoh Penyimpanan dan Tanggungjawab
Bil. Jenis rekod Tempoh
Penyimpanan Tanggungjawab 1. Notifikasi (Jadual Kedua)
Selagi bahan kimia yang didaftarkan masih terpakai
OSHE
2 Inventori (Jadual Kelima) 3 tahun PTj penghasil buangan 2. Salinan nota konsainan (yang
telah lengkap diisi di Bahagian I,
II dan III) 3 tahun OSHE
23.0 CARTA ALIR
23.1 Carta alir bagi keseluruhan proses yang terlibat dalam pengurusan buangan terjadual boleh dirujuk kepadaLampiran 11.
24.0 DOKUMEN RUJUKAN
24.1 Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.
24.2 Garis Panduan Pengurusan Bahan Kimia, OSHE, UTHM, 2020.
24.3 Guidelines on the Disposal of Chemcial Wastes From Laboratories, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Edisi ke 2, 2015.
24.4 Guidelines for Packaging, Labelling and Storage of Scheduled Wastes in Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli, 2014.
24.5 Biosafety Guidelines: Contained Use Activity of Living Modified Organism, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Malaysia, 2012.
24.6 Pengurusan Keselamatan Bio di Universiti, OSHE, UTHM, 2020.
24.7 Fatihah Suja, Rakmi Abdul Rahman, Arij Yusof and Mohd Shahbudin Masdar (2014), e-Waste Management Scenarios in Malaysia, Journal of Waste Management, Vol.2014.
LAMPIRAN 1 JADUAL PERTAMA
SW 1 Buangan logam dan buangan berasaskan logam SW101 Buangan yang mengandungi arsenik atau sebatiannya
SW102 Buangan bateri asid plumbum dalam bentuk sempurna atau hancur
SW103 Buangan bateri yang mengandungi kadmium dan nikel atau raksa atau litium
SW104 Debu, sanga, dros atau abu yang mengandungi arsenik, raksa, plumbum, kadmium, kromium, nikel, kuprum, vanadium, berilium, antimoni, tellurium, talium, atau selenium, tidak termasuk sanga daripada kilang besi dan keluli SW105 Enap cemar galvani
SW106 Sisa daripada pemerolehan kembali likuor penjerukan asid
SW107 Sanga daripada pemprosesan kuprum bagi pemprosesan lanjut atau penapisan yang mengandungi arsenic, plumbum, atau kadmium.
SW108 Sisa larutan resap daripada pemprosesan zink dalam bentuk debu dan enap cemar
SW109 Buangan yang mengandungi raksa atau sebatiannya.
SW110 Buangan daripada pemasangan elektrikal dan elektronik yang mengandungi komponen seperti akumulator, suis raksa, kaca daripada tiub sinar katod dan kaca teraktif atau kapasitor bifenil terpoliklorin yang lain, atau yang dicemari dengan kadmium, raksa, plumbum, nikel, kromium, kuprum, litium, perak, mangan, atau bifenil terpoliklorin
SW 2 Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk tidak organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan organik
SW201 Buangan asbestos dalam bentuk enap cemar, debu atau gentian SW202 Buangan mangkin
SW203 Buangan terjadual tidak boleh bergerak termasuklah enap cemar yang ditetapkan secara kimia, dikapsulkan, dipejalkan atau distabilkan
SW204 Enap cemar yang mengandungi satu atau beberapa logam termasuklah kromium, kuprum, nikel, zink, plumbum, kadmium, aluminium, timah, vanadium dan berilium
SW205 Buangan gipsum yang terhasil daripada proses industri kimia atau loji janakuasa
SW206 Asid tidak organik terpakai
SW207 Enap cemar yang mengandungi fluorida
SW 3 Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan tidak organik
SW301 Asid organik terpakai dengan pH yang kurang daripada atau sama dengan 2 yang mengakis atau berbahaya
SW Buangan fluks yang mengandungi campuran asid organik, pelarut atau
302 sebatian ammonium klorida
SW303 Buangan pelekat atau glu yang mengandungi pelarut organik tidak termasuk bahan polimer pepejal
SW304 Kek tekan daripada prapengolahan lai sabun gliserol SW305 Minyak pelincir terpakai
SW306 Minyak hidraulik terpakai
SW307 Emulsi minyak mineral-air terpakai SW308 Enap cemar kapal tangki minyak SW309 Campuran minyak-air seperti air balast
SW310 Enap cemar dari tangki penyimpanan minyak mineral SW311 Buangan minyak atau enap cemar berminyak
SW312 Sisa berminyak dari bengkel automotif, stesen servis minyak atau perangkap gris
SW313 Tanah yang dicemari minyak daripada penapisan semula minyak pelincir terpakai
SW314 Minyak atau enap cemar daripada operasi penyenggaraan loji penapisan minyak
SW315 Tar atau sisa bertar dari loji penapisan minyak atau loji petrokimia SW316 Enap cemar asid
SW317 Sebatian organologam terpakai termasuklah plumbum tetraetil, plumbum tetrametil dan sebatian organotimah
SW318 Buangan, bahan dan artikel yang mengandungi atau yang dicemari dengan bifenil terpoliklorin (BFT) atau trifenil terpoliklorin (TFT)
SW319 Buangan fenol atau sebatian fenol termasuklah klorofenol dalam bentuk cecair atau enapcemar
SW320 Buangan yang mengandungi formadehid
SW321 Buangan atau enap cemar getah atau lateks yang mengandungi pelarut organik atau logam berat
SW322 Buangan pelarut organik bukan terhalogen SW323 Buangan pelarut organik terhalogen
SW324 Buangan sisa penyulingan tidak berair terhalogen atau bukan terhalogen yang terhasil daripada proses permeolehan kembali pelarut organik
SW325 Buangan resin tidak matang yang mengandungi pelarut organic ataulogam berat termasuklah resin epoksi dan resin fenolik
SW326 Buangan sebatian fosforus organic
SW327 Buangan cecair terma (pemindahan haba) seperti glikol etilena
SW 4 Buangan yang mungkin mengandungi sama ada juzuk tidak organik atau organic
SW401 Alkali terpakai yang mengandungi logam berat
SW402 Alkali terpakai dengan pH yang lebih daripada atau sama dengan 11.5 yang mengakis atau berbahaya
SW403 Dadah terbuang yang mengandungi bahan psikotrofik atau yang mengandungi bahan yang bertoksik, berbahaya, karsinogenik, mutagenik atau teratogenik
SW404 Buangan patogenik, buangan klinikal atau bahan yang dikuarantinkan SW405 Buangan yang terhasil daripada peyedian dan pengeluaran barangan
farmaseutikal
SW406 Klinker, sangan, abu, dari penunu buangan terjadual SW407 Buangan yang mengandungi dioksin dan furan
SW408 Tanah, puing, atau bahan tercemar yang terhasil daripada pembersihan tumpahan bahan kimia, minyak mineral, atau buangan terjadual
SW409 Bekas, beg atau kelengkapan yang dilupuskan yang dicemari dengan bahan kimia, racun mahkluk perosak, minyak mineral atau buangan terjadual
SW410 Kain buruk, plastik, kertas atau turas yang dicemari dengan buangan terjadual
SW411 Karbon teraktif yang terpakai tidak termasuk karbon daripada pengolahan air boleh diminum dan proses industri makanan dan penghasilan vitamin SW412 Enap cemar yang mengandungi sianida
SW413 Garam terpakai yang mengandungi sianida
SW414 Larutan alkali berair terpakai yang mengandungi sianida SW415 Minyak pelindapan terpakai yang mengandungi sianida SW416 Enap cemar dakwat, cat pigmen, lakuer, perwarna atau varnis SW417 Buangan dakwat, cat, pigmen, lakuer, perwarna atau varnis
SW418 Produk dakwat, cat, pigmen, lakuer, perwarna atau varnish yang terbuang atau yang tidak mengikut spesifikasi yang mengandungi pelarut organik SW419 Diisosianat terpakai dan sisa sebatian isosianat tidak termasuk bahan
berpolimer pepejal daripada proses pengilangan busa SW420 Larutan resap dari tapak pelupusan buangan terjadual SW421 Campuran buangan terjadual
SW422 Campuran buangan terjadual dan buangan tidak terjadual
SW423 Larutan pemprosesan terpakai, bahan kimia fotografi terbuang atau buangan fotografi terbuang
SW424 Agen pengoksidaan terpakai
SW425 Buangan daripada pengeluaran, formulasi, perdagangan atau penggunaan racun mahkluk perosak, racun herba atau biosid
SW426 Produk yang tidak mengikut spesifikasi daripada pengeluaran, formulasi, perdagangan, atau penggunaan racun mahkluk perosak, racun herba, atau biosid.
SW427 Enap cemar mineral termasuklah enap cemar kalsium hidroksida, enap cemar pemfosfatan, enap cemar kalsium sulfit dan enap cemar karbonat SW428 Buangan daripada operasi pengawetan kayu yang menggunakan garam
tidak organik yang mengandungi kuprum, kromium, atau arsenik daripada sebatian fluorida atau yang menggunakan sebatian yang mengandungi fenol berklorin atau kreosot
SW429 Bahan kimia yang terbuang atau tidak mengikut spesifikasi SW430 Bahan kimia makmal yang using
SW431 Buangan daripada pengilangan bahan letupan
SW432 Buangan yang mengandungi, yang terdiri daripada, atau yang dicemari dengan peroksida
SW 5 Buangan lain
SW501 Apa-apa sisa daripada pengolahan atau pemerolehan kembali buangan terjadual atau pemprosesan atau penggunaan
Lampiran 2 JADUAL KEDUA
LAMPIRAN 3 JADUAL KEEMPAT
LAMPIRAN 4
LAMPIRAN 5 JADUAL KELIMA
LAMPIRAN 6 SENARAI SEMAK KEPERLUAN TEMPAT SIMPANAN BUANGAN TERJADUAL
LAMPIRAN 7 TEMPLAT LABEL BUANGAN TERJADUAL
LAMPIRAN 8 JADUAL KETIGA
KEHENDAK PELABELAN BAGI BUANGAN-BUANGAN TERJADUAL
LAMPIRAN 9 CONTOH MAKLUMAT BUANGAN TERJADUAL (WASTE CARD)
LAMPIRAN 10 JADUAL KEENAM
NOTA KOSAINAN BAGI BUANGAN TERJADUAL
LAMPIRAN 11 CARTA ALIR PENGURUSAN BUANGAN TERJADUAL DI UTHM