Berbahasa untuk Tujuan Beribadah
Bahasa ini meliputi seluruh kehidupan manusia yang membolehkan sesebuah masyarakat itu berkomunikasi bagi mencapai tujuan yang diinginkan sama ada untuk bersosial atau menyampaikan maklumat antara satu sama lain. Bahasa juga dianggap penting kerana melalui bahasa juga kita sebagai hamba kepada Tuhan Maha Esa dapat mengaplikasikannya sebagai satu saluran untuk beribadah kepadaNya. Ibadah adalah satu tanda manusia untuk mengabdikan dan menghambakan diri kepada Pencipta iaitu Allah S.W.T. Ibadah bukan sahaja untuk memenuhi tuntutan di dalam rukun Islam sahaja, malah ibadah juga merangkumi semua perkara baik dengan niat yang baik yang disandarkan semata-mata kerana Allah S.W.T termasuklah cara manusia berbahasa atau berkomunikasi. Islam sangat menekankan umatnya supaya sentiasa menjaga lidah yakni dalam percakapan atau berbahasa sesuai dengan firman Allah, “Tiada satu kata pun yang diucapkan (manusia) melainkan di depannya (dicatat) oleh Malaikat pengawas yang selalu hadir.” (Surah Qaf ; 18).
Ayat di atas menegaskan setiap orang Muslim harus menjaga lidahnya daripada berkata-kata perkara yang tidak baik dan sia-sia di dalam tutur bicaranya, kerana apabila lidah tidak dijaga dengan baik, maka komunikasi tersebut akan membawa kepada dosa dan merencatkan konsep ibadah yang sempurna kepada Allah S.W.T. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2012:72), komunikasi yang berkesan melibatkan semua bentuk hubungan antara manusia dengan segala bentuk keperluannya. Terdapat tiga jenis hubungan, iaitu hubungan manusia dengan Allah S.W.T (hablum minallah), hubungan antara manusia dengan manusia (hablum minannas) dan hubungan manusia dengan alam sekitar. Hubungan manusia dengan Sang Pencipta dikenali sebagai komunikasi menegak kerana Allah dilihat sebagai tunjang kepada segala proses komunikasi yang berlaku. Jenis hubungan ini melibatkan dua perkara utama iaitu duniawi dan ukhrawi selaras dengan syariat Islam itu sendiri. Hubungan antara manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitar pula dikenali sebagai komunikasi secara mendatar. Komunikasi ini melibatkan dua orang individu secara bersemuka langsung atau berkomunikasi dengan makhluk lain seperti jin, bunian, flora atau fauna. Komunikasi jenis ini biasanya berlaku tanpa dirancang terlebih dahulu.
berbahasa atau berkomunikasi, kita juga seharusnya menjaga atau menapis setiap bait –bait perkataan yang keluar daripada mulut kita agar perkara tersebut tidak dikeji dan dibenci oleh Allah. Antara perbuatan-perbuatan yang dikeji Allah dalam berbahasa ialah mengumpat, mencela, mengejek, menipu, mengadu domba dan lain-lain. Karya sastera bahasa Melayu seperti pantun merupakan satu contoh yang terbaik yang memperlihatkan bahasa sebagai ibadah kepada Allah S.W.T. Pantun di dalam masyarakat Melayu dianggap sebagai satu khazanah bangsa yang mempunyai nilai yang amat tinggi dalam kalangan masyarakat Melayu yang penuh dengan nasihat dan pesanan yang mengajak berbuat kebaikan serta melarang berbuat perkara yang buruk.
Masyarakat Melayu dahulu amat mementingkan adat dan ajaran Islam maka tidak hairanlah jika unsur-unsur agama dimasukkan ke dalam pantun bagi mengajak manusia untuk mengenal tuhan dan sebagai dakwah kepada masyarakat Melayu yang lain.. Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Melayu berpegang kepada kepercayaan khurafat seperti animisme dan dinamisme yang mempercayai setiap perkara mempunyai semangat atau roh yang memberin kesan baik atau buruk serta mempercayai kuasa roh nenek moyang. Selepas kedatangan Islam, amalan tauhid iaitu mengesakan Allah S.W.T dan mengakui bahawa tiada daya kuasa lain selainNya, yang sememangnya menjadi akidah Islam telah membawa masyarakat Melayu ke arah pembinaan tamadun yang lebih baik sekaligus meninggalkan segala adat kepercayaan dahulu yang jauh terpesong. Dengan itu, secara tidak langsung elemen-elemen Islam mula dimasukkan ke dalam penulisan dan karya-karya orang Melayu terdahulu seperti cerpen, pantun, sajak dan sebagainya mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah.
Sebagai contoh pantun seperti di bawah: