• Tidak ada hasil yang ditemukan

Pembangunan profil kemahiran generik terhadap graduan hospitaliti

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Pembangunan profil kemahiran generik terhadap graduan hospitaliti"

Copied!
9
0
0

Teks penuh

(1)

Pembangunan Profil Kemahiran Generik Terhadap Graduan Hospitaliti

Tan King Hiyang Khalid Husseine Bin Tuah

Fakulti Pendidikan Teknikal Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

tankh@uthm.edu.my

Abstrak - Kajian ini dilakukan untuk membangunkan profil kemahiran generik terhadap graduan hospitaliti berdasarkan kehendak majikan sektor perhotelan. Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan yang melibatkan majikan sektor perhotelan yang berdaftar di bawah Malaysian Association of Hotels (MAH) di zon utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Kajian ini berbentuk kuantitatif yang menggunakan instrumen soal selidik. Kaedah temu bual semi struktur turut digunakan bagi menyokong data kuantitatif yang diperolehi. Daripada 11 domain kemahiran generik yang dikaji, didapati kemahiran personal merupakan kemahiran generik yang sangat penting untuk dikuasai oleh graduan hospitaliti (min = 4.64). Di samping itu, tidak terdapat perbezaan yang signifikan mengikut statistik antara kehendak majikan sektor perhotelan di zon utara dengan zon selatan Semenanjung Malaysia mengenai kemahiran generik yang diperlukan ke atas graduan hospitaliti. Profil kemahiran generik yang telah dibangunkan telah disahkan oleh pihak MAH dan pihak ini menyokong agar profil ini diimplementasikan dalam kurikulum pengajian hospitaliti di Malaysia.

1. Pengenalan

Secara mukadimmahnya, pembangunan sektor hospitaliti di Malaysia kini sedang memuncak lantaran Malaysia dilihat lebih stabil berbanding negara-negara lain di Asia. Manakala dasar kerajaan pula adalah ingin menjadikan sektor ini sebagai salah satu sektor ekonomi yang teguh, berdaya saing dan tumbuh berterusan. Yahaya (2007) menyatakan bidang hospitaliti ini merangkumi perkhidmatan seperti hotel, restoran, pelancongan, katering dan kontrak katering. Pengurusan dalam bidang hospitaliti ini sangat berkait rapat dengan industri pelancongan negara. Ini kerana para pelancong yang bertandang ke negara kita pasti akan menggunakan khidmat hospitaliti terutamanya di sektor perhotelan.

Mengikut sumber Unit Perancang Ekonomi Negara, pertumbuhan sektor hospitaliti terus menarik pelaburan sektor swasta. Bilangan hotel bertambah sebanyak 51.2% dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke Lapan (RMK-8) daripada 1492 pada tahun 2000 kepada 2256 pada tahun 2005. Malah, dalam tempoh RMK-8 guna tenaga dalam sektor hospitaliti meningkat pada kadar purata 2.9% setahun daripada 390000 pada tahun 2000 kepada 451000 pada tahun 2005. Namun, guna tenaga hotel cuma meningkat sebanyak

(2)

1.6% dalam tempoh 2000 kepada 91156 pada tahun 2005. Maknanya di sini, masalah kekurangan tenaga pekerja di sektor hospitaliti masih berlaku.

Justeru, dalam penghasilan guna tenaga ini, kemahiran generik adalah amat dititikberatkan yang perlu dikuasai oleh pelajar. Mike (1999) menyatakan pihak majikan pada masa kini memerlukan pekerja yang bukan sahaja mempunyai kemahiran khusus seperti kemahiran teknikal atau bidang yang diambil, namun kemahiran generik perlulah diadaptasikan dengan baik.

2. Latar Belakang Masalah

Menerusi statistik pasaran buruh negara untuk bulan Jun 2007 yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Kementerian Sumber Manusia menunjukkan masalah ketara dalam penempatan pekerja dalam sektor hospitaliti yang membabitkan industri hotel dan restoran iaitu pada bulan Jun 2007 sahaja sebanyak 2,263 kekosongan kerja bagi seluruh negeri di Malaysia. Kekosongan kerja ini berlaku kerana permasalahan mencari pekerja yang berkemahiran oleh pihak majikan.

Persoalan tetap timbul yang mana kadar pengangguran di Malaysia masih berlaku sedangkan wujud kekosongan jawatan misalnya di dalam industri hospitaliti. Ini dapat dilihat pada tahun 2005, bilangan siswazah yang menganggur adalah 63,000 orang. Dimaklumi bahawa kursus pengajian hospitaliti adalah merupakan kursus dalam pendidikan vokasional. Bilangan graduan pendidikan vokasional yang menganggur turut meningkat daripada 1600 orang pada tahun 2004 kepada 1800 orang pada tahun 2005 iaitu 200 graduan pemegang ijazah dan 1600 pemegang diploma (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2007).

Antara salah satu punca penganguran graduan berlaku adalah disebabkan kegagalan menguasai kemahiran generik dengan baik (Malaysian Association of Hotels, 2007a, Berita Harian, 3 Jun 2006, Utusan Malaysia, 4 Mei 2007). Rentetan daripada itu, keperluan untuk mengenal pasti kemahiran generik yang perlu dikuasai oleh graduan hospitaliti di Malaysia adalah amat mustahak untuk dikaji sepertimana yang dilakukan oleh Mike Raybould dan Hugh Wilkins (2005), Oklahoma Department of Career and Technology Education (2004), Ontario Ministry of Training, Colleges and Universities (2005) dan Ying-Wei Lu (1999).

Selain daripada itu, dalam pengukuhan sistem piawaian, kualiti pendidikan teknikal dan kurikulum teknikal seperti kursus hospitaliti perlu diperbaiki dengan kerjasama dan input industri. Kurikulum pengajian hospitaliti perlu dimurnikan dengan menitikberatkan penguasaan kemahiran generik bagi memenuhi kehendak industri (Matthew, 2007; Mike, 1999; Tribe 2003). David dan Sandra (2004) turut bersetuju bahawa kurikulum pengajian hospitaliti pada masa kini perlu menekankan kemahiran generik. Untuk itu, kerjasama antara pihak akademik dan industri hospitaliti adalah amat diperlukan dalam pembentukkan kurikulum pengajian hospitaliti yang lebih kompetitif.

(3)

3. Pernyataan Masalah

Wujud masalah ketidaksepadanan yang mana berlaku masalah pengangguran terhadap graduan hospitaliti tetapi pada masa yang sama wujud kekosongan jawatan dalam industri hospitaliti. Salah satu punca pengangguran graduan hospitaliti adalah disebabkan kurangnya penguasaan kemahiran generik. Maka itu, kurikulum pengajian hospitaliti perlu dimurnikan dengan menitikberatkan penguasaan kemahiran generik bagi memenuhi kehendak industri. Namun, profil kemahiran generik khas untuk graduan hospitaliti di Malaysia belum dibangunkan lagi seperti yang dilakukan di luar negara. Justeru itulah, pengkaji mencadangkan agar sebuah profil mengenai kemahiran generik untuk graduan hospitaliti perlu dikaji dan dibangunkan mengikut kehendak industri.

4. Objektif Kajian

Objektif kajian ini dilakukan adalah untuk:

i. Mengenal pasti elemen-elemen kemahiran generik yang diperlukan ke atas graduan hospitaliti berdasarkan kehendak majikan dalam sektor perhotelan di zon utara dan selatan Semenanjung Malaysia.

ii. Mengetahui perbezaan yang signifikan mengikut statistik antara kehendak majikan sektor perhotelan di zon utara dengan zon selatan Semenanjung Malaysia mengenai kemahiran generik yang diperlukan ke atas graduan hospitaliti.

iii. Menilai profil kemahiran generik yang dibangunkan untuk graduan hospitaliti berdasarkan pandangan pakar bidang hospitaliti.

5. Metodologi Kajian

Lokasi kajian adalah bertumpu kepada sektor perhotelan di zon utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Populasi kajian ini adalah melibatkan 141 majikan sektor perhotelan yang berdaftar di bawah Malaysian Association of Hotels (MAH). Daripada pengiraan formula Cochran’s menerusi Bartlett et al. (2001), interpolasi bagi populasi 100 hingga 200 untuk populasi 141 ialah 51. Justeru, saiz minimum sampel dalam kajian ini ialah 51 responden. Kaedah pemilihan sampel dalam kajian ini ialah persampelan rawak mudah. Instrumen kajian yang digunakan ialah soal selidik dengan lima skala Likert dan temu bual semi-struktur. Subjek kajian temu bual adalah pihak atasan MAH. Soal selidik yang dibangunkan adalah hasil daripada analisis awal daripada lapan sumber yang relevan iaitu Ahmad Esa et al. (2005a), Australian Chamber of Commerce and Industry, and Business Council of Australia (2002), Bennett.N et al. (1999), Jabatan Pengurusan Institusi Pengajian Tinggi, KPTM (2006), Mike Raybould dan Hugh Wilkins (2005), Oklahoma Department of Career and Technology Education (2004), Ontario Ministry of Training, Colleges and Universities, (2005) dan Ying-Wei Lu (1999).

(4)

Kajian rintis turut dilakukan ke atas 10 majikan sektor perhotelan yang tidak berdaftar di bawah MAH. Kemudian, hasil daripada pengedaran dan pengumpulan data soal selidik, terdapat 58 responden telah menjawab soal selidik dengan lengkap. Data daripada soal selidik ini telah dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package For Social Science Version 15.0 dengan berdasarkan kekerapan, peratusan dan skor min. Manakala, perbezaan signifikan antara perspektif responden di kedua-dua zon menggunakan ujian Mann Whitney U.

6. Keputusan dan Perbincangan

Menerusi dapatan kajian yang diperolehi, didapati bahawa kemahiran personal merupakan domain kemahiran yang berada pada hierarki tertinggi dan sangat penting untuk dikuasai oleh graduan hospitaliti. Ini menyamai dapatan kajian yang dilakukan oleh David dan Sandra (2004) yang meletakkan kemahiran personal adalah kemahiran generik yang perlu dikuasai oleh graduan hospitaliti untuk menceburi bidang pekerjaan dalam sektor perhotelan kelak. Perkara ini dipersetujui oleh Jeniffer (2004), Muhammad Shahrim (2007), Oklahoma Department of Career and Technology Education (2004) dan Ying Wei Lu (1999) kerana pekerja dalam sektor perhotelan lebih banyak berkhidmat dengan pelanggan dalam mencapai kepuasan dan kualiti yang mereka inginkan. Dapatan kajian ini dapat ditunjukkan menerusi Jadual 1.

Menerusi temubual bersama pihak MAH, antara kelemahan pekerja hospitaliti masa kini adalah dari aspek penampilan diri yang kurang menarik, kurang menjaga kesihatan dan tidak mengikuti trend fesyen semasa. Justeru, pihak MAH menasihatkan agar

(5)

graduan hospitaliti mempraktikkan cara hidup yang sihat dengan budaya hidup yang aktif kerana aspek kemahiran personal ini penting dalam sektor perhotelan.

Daripada dapatan kajian yang diperolehi, domain yang berada pada hierarki kedua penting adalah kemahiran kepimpinan. Keupayaan seseorang pekerja dalam bidang perhotelan untuk memimpin misalnya memimpin projek, bertanggungjawab, mempengaruhi orang lain dan berani membuat keputusan adalah sangat penting bagi memastikan projek atau kerja yang dihasilkan dapat dijalankan dengan lancar (Muhammad Shahrim, 2007). Di samping itu, dapatan ini menyamai kajian yang dilakukan oleh Snedd dan Heiman (1995); dan Breiter dan Clemet (1996) yang menunjukkan bahawa kemahiran kepimpinan adalah antara tiga domain kemahiran generik yang berada kedudukan teratas yang diperlukan oleh pihak majikan sektor perhotelan.

Kemahiran menyelesaikan masalah merupakan domain ketiga penting yang diperlukan oleh majikan terhadap graduan hospitaliti menerusi dapatan kajian yang diperolehi. Dapatan ini menyerupai kajian yang dilakukan oleh Mike Raybould dan Hugh Wilkins (2005) yang mana kemahiran menyelesaikan masalah adalah kemahiran generik yang berada pada kedudukan tiga teratas paling penting untuk dikuasai oleh graduan hospitaliti berdasarkan perspektif majikan sektor perhotelan di Australia. Kebolehan dalam menguasai kemahiran ini sangat mustahak bagi seseorang graduan untuk mengenal pasti punca masalah semasa melakukan sesuatu kerja selain menyelesaikan masalah tersebut dengan menggunakan alternatif yang terbaik sepertimana yang diutarakan oleh Callan (2003); Australian Chamber of Commerce and Industry & Business Council of Australia (2002); dan Ahmad Esa et al., 2005b. Ini kerana melalui temu bual yang diadakan bersama pihak MAH, pekerja hospitaliti pada masa kini terlalu bergantung kepada orang lain dalam membuat kerja sehinggga menyebabkan kerja menjadi tertangguh. Justeru, penekanan terhadap penguasaan kemahiran ini adalah amat penting.

Di samping itu, domain-domain kemahiran lain juga adalah sangat penting untuk dikuasai oleh graduan hospitaliti sepertimana yang ditekankan dalam Oklahoma Department of Career and Technology Education (2004) dan Ontario Ministry of Training, Colleges and Universities (2005).

Tetapi, terdapat percanggahan berlaku yang mana kemahiran generik kelapan yang perlu dikuasai oleh graduan hospitaliti adalah kemahiran berkomunikasi. Dapatan ini agak kontra dengan situasi semasa yang menyatakan bahawa kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang sangat penting untuk dikuasai oleh graduan. Ini kerana menerusi Berita Harian (3 Jun 2006) dan Utusan Malaysia (4 Mei 2007) melaporkan bahawa antara faktor graduan menganggur adalah disebabkan kurangnya kemahiran berkomunikasi terutamanya dalam bahasa Inggeris. Namun, dapatan kajian ini menyamai kajian yang telah dilakukan oleh Ahmad Esa et al. (2005b) yang menyatakan kemahiran lain seperti kemahiran penyelesaian masalah dan kepimpinan berada pada kedudukan teratas berbanding kemahiran berkomunikasi menerusi perspektif industri.

Menerusi dapatan kajian yang diperolehi, hasil ujian Mann Whitney U di dalam Jadual 2 menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan mengikut statistik antara

(6)

kehendak majikan sektor perhotelan di zon utara dengan zon selatan Semenanjung Malaysia mengenai kemahiran generik yang diperlukan ke atas graduan hospitaliti. Hal ini dibuktikan melalui kesemua nilai signifikan yang diperolehi adalah melebihi nilai P iaitu 0.05. Justeru, hasil kajian gagal menolak hipotesis null. Ini bermakna, walaupun terdapat perbezaan dari segi pemeringkatan kemahiran ini, tidak terdapat perbezaan yang ketara dari segi mean rank untuk kedua-dua zon. Ini kerana, kedua-dua zon mengklasfikasikan kesemua kemahiran generik ini sebagai penting.

Rentetan daripada itu, hasil kajian ini selari dengan kajian yang dilakukan oleh Dickerson dan Green (2002) yang menyatakan bahawa kemahiran-kemahiran generik adalah kemahiran-kemahiran yang merentasi pekerjaan. Kajian oleh Dench, Perryman dan Giles (1988) pula menunjukkan bahawa majikan menyatakan kepentingan kemahiran generik adalah untuk semua bahagian tanpa mengira jenis pekerjaan.

Setelah analisis data dilakukan, dapatan kajian yang diperolehi telah dihantar dan dibincangkan bersama pihak Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D Department) Malaysian Association of Hotels (MAH) untuk proses penilaian dan pengesahan. Hasil daripada perbincangan yang telah dilakukan, pihak MAH mendapati bahawa dapatan kajian yang diperolehi daripada kajian ini dapat membantu dan menyumbang kepada pembangunan industri hospitaliti terutamanya kepada kolej mahupun institut pengajian yang menawarkan pengajian hospitaliti di Malaysia. Ini bermakna profil kemahiran generik terhadap graduan hospitaliti adalah sah untuk dibangunkan dan boleh

(7)

dicadangkan kepada pihak-pihak tertentu untuk digunapakai dalam kurikulum pengajian hospitaliti.

Menerusi temu bual yang diadakan, pihak MAH telah memberikan cadangan agar profil ini diimplementasikan dalam subjek teras pengajian hospitaliti yang mana jika pelajar tersebut gagal dalam menguasai kemahiran generik ini, mereka tidak dibenarkan untuk bergraduat.

7. Kesimpulan

Secara keseluruhannya, majoriti keseluruhan elemen-elemen yang terkandung di dalam setiap kemahiran generik yang dikaji berdasarkan perspektif majikan sektor perhotelan adalah penting untuk dikuasai oleh graduan hospitaliti. Selain itu, tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara perspektif majikan sektor perhotelan di zon utara dan selatan Semenanjung Malaysia mengenai kemahiran generik yang diperlukan terhadap graduan hospitaliti. Hasil dapatan kajian ini juga telah dinilai dan disahkan oleh pihak MAH agar profil kemahiran generik yang dibangunkan untuk graduan hospitaliti dapat dicadangkan kepada pihak akademik untuk diimplementasikan dalam pengajian jurusan hospitaliti.

8. Cadangan

Cadangan Hasil Kajian

Menerusi kajian ini, pengkaji ingin mencadangkan agar profil kemahiran generik yang telah dibangunkan terhadap graduan hospitaliti ini dapat digunakan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) untuk diimplementasikan dalam kurikulum pengajian hospitaliti. Ini kerana menerusi profil ini, pihak KPTM akan dapat mengetahui elemen-elemen kemahiran generik yang sangat penting dan dikehendaki oleh majikan sektor perhotelan ke atas seseorang graduan hospitaliti. Justeru, penekanan terhadap elemen-elemen kemahiran generik yang diklasifikasikan sebagai sangat penting perlu diutamakan di dalam kurikulum pengajian hospitaliti.

Selain itu, adalah dicadangkan agar pihak institut pengajian tinggi (IPT) sama ada di peringkat universiti, politeknik mahupun kolej dapat menggunakan profil yang telah dibangunkan ini untuk dijadikan panduan dalam proses pengajaran dan pembelajaran pengajian hospitaliti. Pihak pensyarah atau pihak pengurusan IPT boleh menggunakan profil ini untuk mengenal pasti tahap penguasaan kemahiran generik pelajar hospitaliti semasa berada di dalam pengajian.

Cadangan Kajian Lanjutan

Berdasarkan kepada dapatan kajian yang diperolehi, pengkaji turut mencadangkan agar kajian lanjutan dapat dilakukan bagi memperkasakan lagi keupayaan graduan hospitaliti dalam penguasaan kemahiran generik seperti berikut:

(8)

i. Kajian yang telah dilakukan ini hanya bertumpu di zon utara dan selatan Semenanjung Malaysia. Justeru, dicadangkan agar pengkaji akan datang dapat melakukan kajian berkenaan keperluan kemahiran generik mengikut perspektif majikan sektor perhotelan di Malaysia Timur yakni Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

ii. Di samping itu, kajian ini dilakukan terhadap hotel-hotel yang berdaftar di bawah Malaysian Association of Hotels. Maka, untuk kajian yang seterusnya kelak, populasi kajian mahupun sampel kajian dapat dipelbagaikan lagi bagi mengetahui perspektif kehendak majikan tentang kemahiran generik yang diperlukan untuk graduan hospitaliti.

iii. Kajian ini berbentuk kajian kuantitatif di mana borang soal selidik digunakan dan kaedah temu bual semi-struktur diadakan untuk menyokong data kuantitatif. Justeru, kajian selanjutnya boleh menggunakan kajian berbentuk kualitatif untuk mengetahui keperluan kemahiran generik terhadap graduan hospitaliti dengan lebih tepat.

iv. Kajian seterusnya juga boleh menggunakan pelbagai responden yang bukan sahaja berfokuskan majikan sektor perhotelan iaitu pengurus sumber manusia, tetapi boleh menjadikan pengurus lain di sektor perhotelan sebagai responden kajian seperti pengurus makanan dan minuman, pengurus ‘front office’, pengurus katering dan lain-lain bagi mengetahui kehendak pengurus tersebut tentang kemahiran generik yang diperlukan terhadap graduan hospitaliti semasa bekerja di bawah jabatan masing-masing.

v. Pengkaji juga mencadangkan bahawa sekiranya profil yang telah dibangunkan ini diterima oleh pihak yang KPTM atau universiti untuk diimplementasikan dalam kurikulum pengajian hospitaliti, pengkaji seterusnya boleh mengkaji tahap penguasaan kemahiran generik graduan hospitaliti dan mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi sekiranya terdapat kelemahan berlaku ke atas pelajar hospitaliti dalam penguasaan kemahiran generik

Rujukan

Ahmad Esa, Jailani Mohd Yunus & Noraini Kaprawi (2005a). “Kebolehpercayaan Inventori Kemahiran Generik.” Universiti Tun Hussein Onn Malaysia: Tesis PhD. Ahmad Bin Esa, Jailani Bin Md. Yunos, Noraini Binti Kaprawi dan Mohd Yusop Bin

Abd. Hadi (2005b). “Keperluan Kemahiran Pihak Industri Lawan Kemahiran Dimiliki Graduan.” Universiti Tun Hussein Onn Malaysia: Tesis PhD. Australian Chamber of Commerce and Industry, and Business Council of Australia

(2002). “Employability Skills for the Future, Department of Education, Science and Training.” Canberra: AGPS.

Barlett, J., Kotrlik J. dan Higgins, C. (2001). “Organizational Research: Determining Approriate Sample Size in Survey Research.” Information Technology, Learning and Performance Journal, Volume 19, No. 1.

Berita Harian (2001). “Pengusaha Hotel Perlu Tingkat Mutu Perkhidmatan.” 14 April 2001.

(9)

Berita Harian (2006). “Modul Kemahiran Berkomunikasi, Ketrampilan di IPTA Mulai Julai.” 3 Jun 2006.

Breiter, D. dan Clements, C.(1996). “Hospitality Management Curricula for the 21st Century.” Hospitality and Tourism Educator, 8 (1), 57-60.

David Littlejohn and Sandra Watson (2004). “Developing Graduate Managers for Hospitality and Tourism.” International Journal of Contemporary Hospitality Management Volume 16. Number 7. 408-414.

Dickerson, A. dan Green, F. (2002). “The Growth and Valuation of Generic Skill.” JEL Working Paper J31, pp. 1-49.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2007). “Penyiasatan Tenaga Buruh, Profil Siswazah di Malaysia.” Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia. 53-58.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2003). “Banci Perkhidmatan Tepilih (Sektor Swasta).” Putrajaya: Jabatan Perangkaan Malaysia. 3-5.

Malaysian Association of Hotels (2007a). “Survey on Hospitality Graduates in Hotel Industry.” MAH Survey: Issue 05/2007.

Malaysian Association of Hotels (2007b). “MAH Membership Directory.” Malaysian Association of Hotels.

Malaysian Association of Hotels (2007c). “Minimum Requirement for Star of Hotels. Ministry of Tourism Malaysia.”

http://www.hotels.org.my/files/star_rating_criteria.pdf. Dicapai pada 30 Ogos 2007.

Matthew Alexander (2007). “Reflecting on Changes in Operational Training in UK Hospitality Management Degree Programmes.” International Journal of Contemporary Hospitality Management. Vol. 19 No. 3. 211-220.

Mike Rimmington (1999). “Vocational Education: Challenges for Hospitality

Management in the New Millennium.” International Journal of Contemporary Hospitality Management 11/4. 186-191.

Mike Raybould dan Hugh Wilkins (2005). “Over Qualified and Under Experienced: Turning Graduates into Hospitality Managers.” International Journal of Contemporary Hospitality Management. Vol. 17. No. 3. 203-216.

Muhammad Shahrim Ab. Karim (2007). “Kerjaya Dalam Bidang Perhotelan.” Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. 22-30.

Oklahoma Department of Career and Technology Education (2004). “Hospitality Skills Standard” United States: Stillwater.

Ontario Ministry of Training, Colleges and Universities (2005). “Hospitality Administration Program Standard.” Toronto.

Tribe, K. (2003), “Demand for Higher Education and the Supply of Graduate.” European Educational Research Journal. Vol. 2 No. 3. 463-71.

Yahaya Ibrahim (2007). “Pemerkasaan Industri Pelancongan.” dalam Utusan Karya (2007). “Pemikir.” Kuala Lumpur: Utusan Karya. Bil. 48. April-Jun 2007. 82-84. Ying-Wei Lu (1999). “Important Skill for Taiwanese Hospitality and Tourism Graduate

as Perceived by Hospitality Educators and Human Resource Managers.” The Graduate College University of Wisconsin-Stout Menomonie, Wisconsin.

Referensi

Dokumen terkait

(Wawancara siswa, 26 Februari 2019) Pada tahap ini, siswa diberikan kebebasan untuk membangun pengetahuan mereka dengan terlibat aktif dalam lingkungan belajar (melalui

Pada pembelajaran di kelas eksperimen, siswa diminta dan di- arahkan untuk menganalisis data hasil percobaan yang diperoleh pada kegiatan mencoba atau jika tidak

Bagaimana kualitas media visualisasi tiga dimensi dengan virtual reality pada materi laju reaksi untuk meningkatkan keterampilan proses sains dan kemampuan kemampuan berpikir

indikator tersebut diganti mengunakan indikator alami (indikator ekstrak secang, ekstrak daun jati, dan ekstrak kulit buah naga), perubahan warna pada metode analisa

Berdasarkan kasus di atas penulis mencoba menelaah dulu dari segi manfaat pembongkaran kuburan tersebut yang akan didirikan apartemen, dari segi manfaat itu

Pengaruh pemberian tepung kulit ubi kayu fermentasi menggunakan Bacillus amyloliquefaciens dalam ransum terhadap performa ayam petelur starin isa brown.. Biokonversi

Ulat lama kelamaan akan menyerang pada titik tumbuh dan melanjutkan membuat terowongan pada batang utama pada tanaman tebu yang terserang tersebut (Bursatriannyo, 2013).. Biologi