• Tidak ada hasil yang ditemukan

LEBUHRAYA KE NERAKA OLEH MAMAT KHALID TA

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "LEBUHRAYA KE NERAKA OLEH MAMAT KHALID TA"

Copied!
4
0
0

Teks penuh

(1)

LEBUHRAYA KE NERAKA OLEH MAMAT KHALID: TALKIN UNTUK HEDONIS DAN JUGA YANG TAQWA

oleh Hassan Abd Muthalib

Orang sakit saya tolong. Orang yang tak sakit pun saya tolong. -- Dialog Khir Rahman sebagai Setan dalam Lebuhraya ke Neraka

Hedonis: yang menganggap kesenangan dan kenikmatan material sebagai tujuan utama dalam hidup (Kamus Besar Indonesia)

Semerah Padi (1956), adalah karya yang sangat berbeza dibanding dengan filem-filem P. Ramlee yang lain. Buat pertama kali, P. Ramlee mengarah sebuah filem berunsur dakwah secara terang-terangan. Aimi Jarr (seorang wartawan yang pernah berkerja dengan P. Ramlee) memberitahu penulis bahawa idea untuk Semerah Padi tercetus apabila P. Ramlee melihat beberapa rakan seperjuangannya hidup di luar batasan di kota raya Singapura, milieu yang jauh berbeza dari kampung tradisional. Tapi itu kisah yang tersurat. Apakah nawaitu sebenar P. Ramlee dalam menyampaikan sebuah cerita sebegini rupa? Apakah persoalan atau falsafah yang mahu dilontarkannya?

Terdapat dua pasangan yang berzina. Pasangan Galak (Normadiah) dan Jejaka (A. Rahim) yang keras mempertahankan kelakuan mereka yang bernafsu gila. Pasangan Dara (Saadiah) dan Aduka (P. Ramlee) pula berzina kerana saling mencintai. Mereka rela dihukum di atas ketelanjuran mereka. Itu cerita yang tersurat.

Petanda untuk memahami cerita yang tersirat (atau nawaitu sebenar P. Ramlee) berada pada watak Taruna (Nordin Ahmad). Dia adalah tunang kepada Dara. Sebagai manusia biasa, dia sepatutnya berang di atas kejadian dan berhak membunuh Aduka. Sebaliknya dia bersedia lepaskan Dara kepada Aduka jika dia tahu mereka saling mencintai. Kerana dia menyayangi Aduka lebih daripada Dara, malah memohon belas kasihan daripada ketua kampong yang menjalankan hukuman ke atas Aduka. Ternyata, Taruna ialah seorang manusia yang bersifat spiritual, yang mengambil sifat Tuhan sebagai Yang Maha Penyayang (sebgaimana dilafaz di awal filem melalui bacaan Bismillah, yang juga menjadi petanda). Hukum hudud tetap tidak boleh dipertikai. Tetapi bagaimana pula dengan naluri manusia yang semulajadi? Bukankah Adam dan Hawa sendiri melanggar apa yang sudah dilarang oleh Tuhan? Maka bagaimanakah diadili manusia-manusia sebegini? Pelbagai soalan dibangkitkan oleh P. Ramlee agar menjadi renungan oleh para jauhari.

Seperti P. Ramlee, Mamat Khalid juga mengutarakan soalan dalam Lebuhraya ke Neraka, yang juga sebuah filem yang amat berbeza daripada filem-filemnya yang lain. Jika sebelum ini, Mamat memasukkan elemen akhlak dan moraliti secara tersirat dalam filem-filemnya, kini unsur dakwah bersifat spiritual dibawa secara terang-terangan. Kesinambungannya dapat dilihat dalam filem Apokalips X (2015, yang sebenarnya dibuat selepas Lebuhraya Ke Neraka). Watak Pendeta (Pyanhabib), yang bertindak seakan Nabi Musa, a.s. membawa sekumpulan manusia menuju kehidupan yang baru. Ianya juga dapat dilihat dalam Rock Bro! (2016) di mana beberapa rockers mencari diri melalui agama. Mereka tidak menyedari bahawa elemen spiritual sudah memang terdapat di dalam diri mereka dalam misi memperjuangkan muzik rock.

(2)

(2016). Pendekatan yang dipilih Mamat kali ini agak kompleks. Form (bentuk) filem ini sebenarnya menuntut garapan yang pelbagai. Ternyata Mamat memahami dan mengikuti aliran seni masakini dan memasukkannya ke dalam medium filem secara sinematik.

Di antara petanda-petanda (untuk memahami nawaitu Mamat) dalam Lebuhraya ke Neraka ialah dua adegan arkib tentang kekejaman manusia. Yang satu, rakaman Adolph Hitler pada zaman

pemerintahannya, seorang diktator yang telah membunuh jutaan Yahudi. Visual kedua ialah serangan di New York pada tahun 2001, di mana kelihatan ramai manusia terjun dari bangunan Twin Towers. Kedua-dua peristiwa ini adalah di antara yang paling dahsyat dalam sejarah tamadun manusia. Perbezaan dengan yang sebelumnya ialah, terdapat rakaman visual hari ini yang diulang tayang berkali-kali untuk tontonan umum. Sukar untuk dipercaya yang ianya sudah benar-benar berlaku. Visual dua pesawat yang melanggar Twin Towers seakan satu petikan dari filem blockbuster

Hollywood. Pelbagai kontroversi telah menyeliputi peristiwa ini, yang mengundang persoalan samada ia dilakukan oleh pengganas atau pun ianya satu konspirasi untuk mewujudkan Islamophobia. Tangan Setan jelas kelihatan dalam peristiwa-peristiwa ini.

Setan sudah berjanji kepada Tuhan bahawa dia akan berusaha menghancurkan anak Adam dengan apa cara pun. Apabila manusia melakukan kekufuran di dunia, maka pada hakikatnya, itu adalah kerja Setan. Ada kala tangannya dilihat secara terang-terangan, misalnya dalam sesuatu pembunuhan. Ada kalanya secara halus, di antaranya apabila manusia menjadi Machiavellian, yang ‘menghalakan’ sesuatu kerja jahat kerana mahu matlamat dicapai.

Dalam Apokalips X, Mamat memulakan filem dengan matahari muncul di ufuk Barat dan bintang-bintang jatuh dari langit. Kedua-duanya adalah petanda tentang qiamatnya dunia. Qiamat juga bermaksud saat kematian seseorang manusia. Dalam Lebuhraya ke Neraka, Mamat menampakkan qiamat sudah hampir tiba pada Bob (Awie) dan empat rakan superbikers mewah. Di antara alam hidup dan mati ini, pelbagai kekeliruan berlaku di mana mereka sukar untuk membezakan yang mana realiti dan yang mana fantasi. Inilah renungan Mamat Khalid tentang pelbagai peristiwa yang

melanda negara kita di mana ramai manusia sudah lupa mereka akan mengadap Tuhan mereka satu hari nanti.

Jika sudah mati dan berada di dalam kubur, jenazah akan didatangi oleh malaikat-malaikat Mungkar dan Nakir dengan beberapa soalan mereka. Bagaimana pula jika seseorang itu berada dalam alam di antara hidup dan mati? Dan kemudian Setan pula muncul dengan beberapa soalan untuk dia? Di tangan Mamat, Setan (diperankan oleh Khir Rahman) tidak bertanduk, berekor atau pun berwajah bengis. Sebaliknya ia memberikan salam dan sangat bersopan menghulurkan bantuan. Katanya: “Orang sakit saya tolong. Orang yang tak sakit pun saya tolong.”

Rakan-rakan Bob bersifat hedonis, yang hidup untuk menikmati dunia semata-mata. Kata Setan kepada Bob: “Ini di antara aku dengan kau, Bob. Bukan dengan kawan-kawan kau.” Mengikut hukum syaraq, mereka ini tentnya isi neraka. Maka Setan tak ada isu dengan manusia sebegitu. Setan menghadapi masalah dengan Bob. Kerana daripada seorang manusia hedonis, dia sudah ‘berpaling tadah’ dan berubah. Tidak ada sesuatu yang lebih merunsingkan Setan, yang menaikkan tekanan darahnya! Maruahnya sudah tercabar…

(3)

Setan berdepan dengan Bob, mencabar dan cuba mengelirukannya dengan satu lagi soalan: “Bob, kau ingat aku dan semua ini betul-betul wujud atau semuanya dalam imaginasi kau?”

Talkin di kawasan perkuburan bukanlah kepada yang sudah mati tetapi ditujukan kepada hadirin sebagai satu peringatan bahawa mereka juga akan sampai ke situ sebagai mayat satu hari nanti. Naskah Lebuhraya ke Neraka adalah seakan satu talkin bagi mereka yang khayal dengan kehidupan mereka di dunia, yang melakukan pelbagai penyelewengan dan kezaliman tanpa memikir mereka akan menemui Yang Maha Hakim nanti. ‘Talkin’ ini juga ditujukan kepada mereka yang taat pada ajaran agama. Mereka juga dalam bahaya dan boleh disesatkan oleh Setan pada bila-bila masa. Kata Setan kepada rakan-rakan Bob: “Jangan nak tipu seorang yang menipu.” Setan itu adalah yang maha penipu yang tiada tandingannya.

Salah satu watak yang sering berulang dalam filem-filem Mamat ialah watak pembantu hospital. Ini dapat dilihat dalam Zombi Kampung Pisang (2007, diperankan oleh Sofi Jikan); dalam Hantu Kak Limah Balik ke Rumah (2013, Zainuri Misfar) dan kini dalam Lebuhraya ke Neraka (Pekin Ibrahim). Melalui pengalamannya melihat kerja-kerja seorang doktor, seorang pembantu hospital sikit

sebanyak memahami apakah ubat yang sepatutnya diberi kepada pesakit. Kemudian ia juga mampu melakukan yang sama bagi masalah kesihatan yang ringan. Namun, ia tidak mempunyai ilmu kedoktoran dan hanya bergantung kepada pengalamannya.

Inilah yang terjadi kepada beberapa penglibat dalam industri perfileman dan bidang-bidang berkaitan, di mana mereka tidak ada ilmu yang sebenar dan hanya bergantung kepada pengalaman mereka semata-mata. Dan hari ini, ramai yang menjadi penceramah agama tetapi tidak

menyampaikan hal-hal spiritual kepada ummah agar mereka dapat mengenal diri dan Tuhan. Sebaliknya ummah asyik ditakut-takutkan dengan perkara-perkara haram dan azab di neraka nanti. Itulah maksud disebalik imej Pekin Ibrahim sebagai seorang ahli agama. Dalam khayalan Bob dan rakan-rakannya, mereka melihat stetoskop yang dipakai Pekin hidup menjadi beberapa ekor naga yang menakutkan.

Filem adalah renungan tentang diri, manusia, alam dan ketuhanan. Ia adalah satu seni yang amat luar biasa, yang menggabungkan pelbagai seni yang lain, yang kemudian hasilnya menjadi cerminan tamadun sesuatu bangsa. Untuk menepati filem sebagai satu bentuk seni serta mengekalkan aspek sinematiknya, Mamat tidak menggunakan imej-imej cliche atau pun artificial. Tidak ada ustaz yang berserban dan berjubah, yang melaungkan takbir atau menjerit-jerit membaca ayat untuk

menghalau Setan.

Setiap cerita mempunyai point-of-view (sudut pandangan). Ternyata cerita dalam Lebuhraya ke Neraka adalah dari sudut pandangan Bob, yang sudah menjadi manusia ‘terpilih’ (untuk melihat alam yang bakal kita semua temui). Bob seringkali dilihat melalui dua ‘flash frame’: wajahnya yang merenung kamera dan sebuah lubang yang seakan sebuah portal. Apabila disunting dengan cepat, melalui prinsip ‘persistence of vision’, Bob seakan merenung audiens. Siapakah yang memandang dan siapa pula yang dipandang?

(4)

Pendekatan ini boleh dilihat dalam beberapa filem Mamat seperti Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit, Kala Malam Bulan Mengambang dan Apokalips X. Juga di dalam filem-filem beberapa karyawan yang lain seperti Mansor Puteh (Seman, 1986), Nasir Jani (Kembara Seniman Jalanan, 1986), Anuar Nor Arai (Johnny Bikin Filem, 1995), Shuhaimi Baba (Layar Lara, 1998) dan U–Wei Hajisaari (Hanyut, 2012). Ia juga boleh dilihat dalam filem-filem, di antaranya: Federico Fellini (8 ½, 1963), Woody Allen (Purple Rose of Cairo, 1985), Giuseppe Tornatore (Cinema Paradiso, 1988), David Lynch (Mulholland Drive, 2001), Ang Lee (Life of Pi, 2012), Tsai-ming Liang (Stray Dogs, 2013) dan Damien Chazelle (La La Land, 2016).

Kerja seorang karyawan filem bukanlah untuk menyogok sesuatu. Mamat tidak mahu mengajar atau memberi nasihat. Niatnya hanya untuk menyampaikan sebuah cerita yang menghiburkan. Terpulang kepada audiens untuk merenung subjek, isu dan teknik yang dibawanya sebagaimana Bob merenungi audiens seakan menyoal mereka. Seperti kata pengarah tersohor Indonesia, Teguh Karya kepada penulis: “Aku letakkan engkau pada watak-watak di layar. Sekiranya kau nampak diri sendiri pada watak-watak itu, maka aku sudah berjaya dalam kerja aku.”

Ternyata Mamat Khalid sudah melakukan kerjanya dengan cemerlang. Itulah cara dan gaya untuk menyampaikan sesuatu yang spiritual.

Referensi

Dokumen terkait