• Tidak ada hasil yang ditemukan

SAINS BAHARU MENURUT OSMAN BAKAR. Abstrak

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "SAINS BAHARU MENURUT OSMAN BAKAR. Abstrak"

Copied!
13
0
0

Teks penuh

(1)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021

SAINS BAHARU MENURUT OSMAN BAKAR Kamal Azmi bin Abd. Rahman

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected]

Abstrak

Mendepani cabaran yang tidak pernah berhenti sejak pada abad moden sehingga kini, sarjana sains Islam iaitu Osman Bakar komited membawakan agenda sains Islam yang berpaksikan kepada Tauhid. Matlamat utama penulisan ini adalah untuk membahaskan pandangan Osman Bakar mengenai ‘sains baharu’ yang mana menepati agenda sains Islam. Penulisan mengenai pandangan Osman Bakar tentang sains baharu ini adalah berbentuk kualitatif yang bertujuan untuk menganalisis perspektif beliau mengenai sains Islam. Perbahasan tentang sains Islam yang akan dibentangkan adalah berdasarkan kepada analisis kandungan penulisan, syarahan dan kertas kerja beliau mengenai cabaran sains pasca moden. Osman Bakar telah dipilih kerana sumbangan beliau sangat signifikan, tanggungjawab dan komitmen dalam berkongsi pemikiran dan kefahaman tentang sains Islam di peringkat antarabangsa. Beliau juga merupakan seorang tokoh penting yang telah menulis tentang hubungan antara sains dan agama dalam bentuk yang holistik iaitu hubungan yang harmoni antara agama dan sains. Kajian telah mendapati Osman Bakar telah mengkritik sains moden dan membentangkan idea tentang sains Islam yang bertunjangkan kepada Tauhid. Sains moden menurut beliau juga tidak lagi dapat menjawab persoalan dalam sains kontemporari yang lahir daripada pasca-modenisme. Oleh yang demikian, beliau telah membawakan idea sintesis agung antara sains Islam, sains moden dan sains pasca moden dalam membentuk sains baharu. Sains baharu ini menurut beliau adalah Islamik dan berpaksikan kepada prinsip Tauhid. Cadangan sains baharu ini jika dapat dikembangkan dengan lebih terperinci sudah tentunya dapat membuka jalan bagi penciptaan ilmu dan teknologi yang lebih maju dalam masyarakat Islam kontemporari.

Kata kunci: Sains baharu, sains Islam, sains moden, sintesis, Osman Bakar PENGENALAN

Terminologi sains Islam telah digunakan oleh saintis Muslim untuk membezakannya dengan sains moden. Sains moden yang dominan pada abad moden sehingga kini adalah bermasalah kerana sekular dan bertentangan dengan world view Islam. Dalam menuju era baharu iaitu pasca moden, sains tersebut terus berkembang dan melalui beberapa fasa pembaharuan. Namun begitu, sains pasca moden masih berpegang dengan prinsip yang sama dan memberikan penekanan kepada aspek relativisme dan subjektivisme. Mendepani cabaran yang tidak pernah berhenti sejak pada abad moden ini, sarjana sains Islam iaitu Osman Bakar komited membawakan agenda sains Islam yang berpaksikan Tauhid. Idea ini mendapat sambutan daripada ramai sarjana

(2)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 Muslim. Malahan magnum opus beliau, Tawhid and Science yang telah menjelaskan gagasan idea sains Islam telah dirujuk oleh ramai sarjana dan diterjemah ke dalam pelbagai bahasa. Oleh yang demikian, matlamat penulisan ini adalah untuk membahaskan pandangan Osman Bakar mengenai ‘sains baharu’ yang mana menepati kerangka sains Islam. Perbahasan tentang sains Islam yang akan dibentangkan adalah berdasarkan kepada apa yang telah dibentangkan oleh Osman Bakar melalui banyak penulisan, syarahan dan kertas kerja beliau mengenai cabaran sains pasca moden. Idea utama dalam sains baharu yang diketengahkan oleh beliau ialah sintesis ilmu yang mana akan dibincangkan lanjut dalam kertas kerja ini.

Penulisan mengenai pandangan Osman Bakar tentang sains baharu ini adalah berbentuk kualitatif yang bertujuan untuk menganalisis perspektif beliau mengenai sains Islam. Ia memfokuskan kepada beberapa tema yang diperolehi daripada penulisan beliau dan juga kajian lepas. Osman Bakar telah dipilih kerana sumbangan beliau sangat signifikan, tanggungjawab dan komitmen dalam berkongsi pemikiran dan kefahaman tentang sains Islam di peringkat antarabangsa dan terutamanya Malaysia. Beliau juga merupakan seorang tokoh penting yang menulis tentang hubungan antara sains dan agama dalam bentuk yang holistik iaitu hubungan yang harmoni antara agama dan sains. Pemilihan Osman Bakar adalah bertepatan kerana bidang tujuhan beliau dalam bidang Islamisasi ilmu adalah dalam bidang sains (Abu Hassan, Sidek, Mohamed, & Kudus, 2016). Seperti mana yang dinyatakan oleh Abu Hassan et. al. (2016), walaupun terdapat beberapa tokoh penting dalam bidang Islamisasi ilmu seperti Syed Muhammad Nauquib al-Attas, Wan Mohd Nor Wan Daud dan Shahhari Mohamad Zain, Osman Bakar merupakan tokoh yang memberikan fokus kepada sains Islam dan paradigma Tauhid.

BIOGRAFI RINGKAS OSMAN BAKAR

Osman Bakar telah dilahirkan pada 1946 di Temerloh, Pahang. Beliau memulakan pendidikan tinggi di University of London dalam bidang matematik pada tahun 1967.

Selepas tamat pengajian pada tahun 1970, beliau kembali ke Malaysia dan kemudian meneruskan pengajian di Bedford University dalam bidang mathematics & algebraic group theory. Oleh kerana minatnya yang mendalam bidang falsafah, beliau telah meneruskan pengajian di Temple University di bawah penyeliaan Seyyed Hossein Nasr dalam bidang falsafah dan bukan dalam bidang matematik seperti latar belakang akademik beliau. Oleh itu, Osman Bakar banyak dipengaruhi oleh pemikiran dan penulisan Syed Hossein Nasr (Hassan et al., 2016). Selepas tamat pengajian, beliau terus berkhidmat sebagai pensyarah sejarah dan falsafah sains di Universiti Malaya dan pernah menjadi professor pelawat di Georgetown University. Beliau telah menulis 13 buah buku dan 200 buah artikel penting dalam bidang falsafah sains Islam (Shamsaie & Mahmoudi, 2016). Antara karya monumental beliau adalah Tawhid and

(3)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 Science yang telah diterbitkan di beberapa negara lain dan dialih bahasa ke bahasa Parsi, Turki, Indonesia, Albania, Sepanyol, China, Urdu, Arab dan Bosnia.

Osman Bakar pernah menjawat jawatan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) dan merupakan individu yang bertanggungjawab menerajui International Institute of Islamic Thought Malaysia (IIITM).

Beliau merupakan bekas Profesor Emeritus Falsafah Sains di Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan pernah menjadi Profesor di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman sebagai Fellow Kanan dan Ahli Majlis di Center for Muslim-Christian Understanding (CMCU), Edmund Walsh School of Foreign Service, Georgetown University. Beliau dilantik sebagai Profesor di Universiti Georgetown dan penyandang Kursi Pengajian Islam bagi Asia Selatan dari 1 Julai 2000 sehingga 30 Jun 2005. Selain itu, beliau juga pernah dilantik menjadi Research Fellow, Graduate School of Theology, Doshisha Universiti Kyoto, Jepun. Beliau juga merupakan ahli kepada West-Islamic World Dialogue Initiative (Council of 100 Leaders) of World Economic Forum, Switzerland dan merupakan Perunding di Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (Siti Ezaliza Mustafa, 2009).

Oleh kerana sumbangan yang telah diberikan oleh Osman Bakar, beliau telah dipilih antara 20 tokoh ilmuwan yang paling berpengaruh di Malaysia (Siti Ezaliza Mustafa, 2009). John Esposito dan Ibrahim Kalin (2009) telah mengiktiraf Osman Bakar antara 500 tokoh Muslim paling berpengaruh di dunia dalam The Most Influential Muslims In The World. Daftar tokoh ilmuwan Muslim yang telah disenaraikan dianggap sebagai tokoh yang memiliki kemampuan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat dan mampu membawa perubahan. Antara sumbangan penting Osman Bakar adalah dalam bidang penjenamaan sains Islam.

Walaupun beliau bukanlah individu pertama yang merintis usaha-usaha pengislaman ilmu dan sains, tetapi beliau merupakan tokoh ilmuwan dan pemikir yang komited meneruskan lagi gerak kerja ini secara konsisten dalam pelbagai disiplin ini. Beliau telah memberikan penjelasan dasar tentang falsafah sains moden berteraskan agama Islam dan kepentingan dialog antara peradaban. Malah usaha ini juga merupakan satu lagi contoh pengislaman ilmu kontemporari dan pengislaman ilmu kemanusiaan. Dapat disimpulkan di sini juga bahawa Osman Bakar turut berperanan penting dalam usaha menyuntik dan menyerlahkan kembali kepentingan prinsip Tauhid dalam menghuraikan kepentingannya dalam pemikiran, sejarah dan falsafah sains serta dialog peradaban (Abu Hassan & Mohd Kahambali @ Hambali, 2013).

SAINS ISLAM DAN SAINS MODEN

Secara umumnya, perbahasan tentang hubungan antara sains dengan agama telah lama dibahaskan. Perbahasan ini seringkali dicerminkan sebagai pertentangan antara

(4)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 dua kutub yang keterlaluan iaitu antara sains dengan agama, falsafah dengan agama atau akal dengan wahyu. Perspektif pertentangan ini hendaklah dimurnikan kerana kefahaman antara sains dengan Islam sebagai agama tidak sedemikian. Hubungan antara Islam dengan sains adalah harmoni. Oleh yang demikian, ia merupakan suatu halangan yang perlu dilalui oleh Islam dalam membuktikan kekayaan Islam sebagai sebuah peradaban. Islam telah menganjurkan saranan untuk mencari ilmu termasuk sains bahkan terdapat keserasian antara syariah Islam dengan ilmu sains. Penjelasan tentang keharmonian Islam dengan sains inilah antara sumbangan penting para sarjana Islam kepada ilmu. Cuma keunikan sains yang dibawakan oleh sains Islam ini adalah berteraskan kepada wahyu daripada Tuhan dan bukan hanya terbentuk daripada kefahaman manusia tentang kebenaran. Usaha-usaha untuk menjelaskan sains Islam ini juga adalah sebahagian daripada apa yang difahami sebagai Islamisasi ilmu.

Dalam membahaskan definisi sains Islam, Bakar (n.d.) menyatakan bahawa terdapat beberapa definisi Sains Islam antaranya al-‘ulum al-Islamiyyah yang biasanya merujuk kepada ilmu agama (religious sciences) dan ada juga yang memberikan definisi sains Islam sebagai ilmu tentang alam semula jadi yang mana dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran dan juga Hadis. Kumpulan pemikir yang berpegang dengan definisi ini mempercayai sains moden dengan mendakwa banyak penemuan sains telah dijelaskan terlebih dahulu oleh Quran. Tafsiran mereka terhadap ayat-ayat Quran yang dianggap sebagai sarat dengan nilai dan idea saintifik telah dipengaruhi oleh sains moden. Hakikatnya pendekatan sedemikian yang digunakan untuk mentafsir Quran dengan berpandukan kepada penemuan saintifik telah banyak dikritik oleh sarjana Islam.

Walaupun begitu, menurut beliau, kedua-dua definisi ini bermasalah dan tidak tepat. Dalam sejarah tamadun Islam pembahagian sains yang diterima adalah al-‘ulūm al-naqliyyah atau ilmu rasional atau al-‘ulūm al-‘aqliyyah yang mana telah lama membentuk sistem pendidikan sehingga zaman moden. Pembahagian ini mengandungi kesatuan perspektif epistemologi yang mana kedua-dua cabang ilmu dianggap sebagai Islamik kerana kedua-duanya mematuhi kriteria epistemologi Islam. Pendefinisian tersebut telah tersebar sebagai kefahaman perdana dalam tradisi pemikiran Islam maka, dikotomi dalam hal epistemologi sebenarnya berasal daripada pemikiran Barat (Bakar, n.d.).

Muslim pada hari ini juga keliru tentang identiti dan karakter sains dalam tamadun Islam yang mana menimbulkan perdebatan hangat dalam penggunaan istilah sains Islam. Bagi mereka, tiada bezanya sains yang lahir dalam tamadun Islam dan sains moden pada sifat dan ciri-cirinya kerana ia adalah kesinambungan lengkap antara dua sains yang berbeza zaman. Kefahaman ini menurut Bakar (2011) adalah salah kerana prinsip yang terkandung dalam sains, menyebabkan ianya dipanggil

(5)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 sains Islam, bukan kerana ia adalah hasil ciptaan Muslim akan tetapi lebih penting daripada itu, ia diasaskan oleh prinsip Quran yang jelas dan universal. Oleh itu Osman Bakar telah menggunakan istilah sains Islam bagi menjelaskan pertentangan antara sains menurut perspektif Islam dengan sains kontemporari yang dibina berdasarkan kepada kerangka pemikiran Barat.

Walaupun begitu, terdapat dalam kalangan sarjana atau saintis Muslim yang tidak bersetuju dengan istilah sains Islam kerana sains adalah neutral dan tidak perlu disifatkan dengan ‘Islam’. Bahkan istilah tersebut tidak pernah dilakukan oleh saintis Islam sebelum ini. Namun menurut Bakar (1991), saintis Islam sebelum ini tidak berhadapan dengan cabaran sains bukan Islam kerana hanya terdapat satu kefahaman sains yang dominan iaitu sains Islam yang universal. Sebaliknya pada zaman kini, terdapat pertentangan yang jelas antara sains Islam dengan sains Barat moden yang mana kedua-duanya adalah berbeza pada aspek falsafah dan asal semula jadinya.

Sains Islam menurut Bakar (Bakar, 2016) adalah menepati maksud hikmah dalam mencari ilmu yang berada pada pertengahan antara dua kutub yang keterlaluan. Menurut beliau dua kutub yang keterlaluan tersebut adalah menghindari diri daripada mencari ilmu dan kekal dalam keadaan jahil manakala kutub keterlaluan yang satu lagi adalah terlalu asyik dalam mencari ilmu (termasuk ilmu yang tidak bermanfaat) tanpa ada sebarang kekangan. Maka, falsafah etika sains dan teknologi dalam Islam adalah mengelak daripada terjatuh ke lembah dua kutub yang keterlaluan tersebut.

Pemikiran sains Islam Osman Bakar boleh diperolehi melalui penulisan Tawhid and Science. Menurut Al-Aidrus (2008), karya ini telah membentangkan bukti-bukti pencapaian sains Islam yang gemilang pada abad pertengahan dan juga hujah yang meyakinkan tentang kejayaan silam tamadun Islam. Bakar (2011) menjelaskan bahawa Tauhid sebagai pusat kepada pengembangan ilmu sains Islam dan ianya dianggap sebagai ‘the psyche of Muslim’. Oleh yang demikian, penggunaan istilah sains Islam atau Islamic science adalah bertujuan untuk membukti keesaan Tuhan iaitu Tauhid. Apa yang ada pada alam dan manusia adalah bukti kesatuan ini dan menjelaskan bahawa semuanya adalah datang daripada Tuhan yang satu. Oleh itu, teras falsafah sains bagi Osman Bakar adalah berlandaskan Tauhid (Abu Hassan &

Mohd Kahambali @ Hambali, 2013). Menurut beliau sains Islam adalah pendahulu kepada sains moden. Saintis Islam telah merintis jalan bagi perkembangan ilmu sains moden. Walaupun begitu, perkembangan pesat sains moden telah mengeluarkan Tuhan daripada kajian dan penemuannya.

Sains Islam yang awal berpusat kepada Tuhan, maka etika dan tujuan sains adalah perkara penting dalam kerja-kerja saintifik silam. Manakala perbahasan etika

(6)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 dan moral dalam sains moden adalah sekular iaitu tanpa sebarang pengaruh daripada agama sesuai dengan perkembangan peradaban moden Barat. Dengan semangat sekularisme dan tanpa panduan etika dan moral, sains berpotensi membawa kepada kebinasaan seperti melalui penyelidikan kejuruteraan genetik, penggunaan teknologi untuk menghasilkan tenaga pemusnah yang besar seperti senjata biologi dan lain- lain. Oleh kerana itu, penulisan Tawhid and Science banyak tertumpu kepada ilmu perubatan, bioetika dan teknologi (Al-Aidrus, 2008). Falsafah sains tidak harus dibahaskan berdasarkan kepada kerangka utilitarianisme sahaja sebaliknya, ia harus diwacanakan berdasarkan kepada epistemologi, metafizik, teologi, kosmologi, psikologi dan eskatologi (Al-Aidrus, 2008). Sains seperti cabang-cabang ilmu lain dalam Islam bertujuan untuk keselamatan jiwa dan untuk mencapai kebahagiaan manusia serta kesenangan di dunia dan Akhirat.

Sains Tauhidik memastikan tiada falasi dalam penyelidikan dan penemuan oleh saintis terutamanya dalam memberikan sifat Tuhan kepada alam atau ciptaan seperti mana meyakini bahawa teori evolusi sebagai asal kepada kewujudan sekaligus menafikan adanya Pencipta. Fenomena seperti ini terbentuk daripada akar yang menafikan Tuhan dalam kerja-kerja saintifik. Oleh itu, sains tidak neutral sebaliknya value laden. Sebagaimana sains boleh memberikan banyak manfaat, begitu jugalah potensi yang terkandung dalam sains untuk memberikan banyak mudarat. Tauladan dan peranan sains Tauhidik boleh dilihat dalam perkembangan ilmu abad pertengahan melalui usalah kumpulan sarjana yang lahir pada zaman tersebut yang telah melakukan saringan terhadap elemen yang diperolehi daripada tamadun asing seperti Yunani, Parsi, China, India dan lain-lain. Kerja-kerja saringan ilmu yang telah dilakukan oleh tamadun Islam ini jugalah yang telah diteruskan oleh tamadun Barat moden secara menyeluruh dengan membuang elemen Tuhan dan agama daripada ilmu yang telah diwarisi daripada tamadun Islam. Menurut Bakar (2011), Islamisasi sains dan teknologi adalah indigenization of science and technology yang merujuk kepada usaha untuk membangunkan ilmu sains dan teknologi mengikut acuan budaya setempat dan agama terutamanya sesuai dengan tujuan kebangsaan. Pemikiran sains Osman Bakar ini banyak dipengaruhi oleh pemikiran gurunya Seyyed Hossein Nasr dengan gagasan sains tradisional dan suci (Abu Hassan & Mohd Kahambali @ Hambali, 2013).

Oleh yang demikian, Osman Bakar telah mengkritik dasar sains moden Barat.

Walaupun sains Barat banyak mengambil manfaat daripada sains Islam abad pertengahan, tidak semua yang lahir daripada sains Islam digunakan oleh Barat dalam pembentukan ilmu sains. Sarjana Barat telah melakukan adaptasi dan membuangkan mana-mana yang tidak menepati kerangka epistemologi dan worldview mereka dalam membentuk sains sekular. Barat moden memilih untuk mewarisi mana-mana elemen sains Islam yang mematuhi kerangka rasional yang disandarkan kepada falsafah semulajadi utilitarianisme (Bakar, 2011). Menurut Bakar

(7)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 (2011) apa yang telah dikeluarkan oleh Barat daripada sains Islam adalah komponen eksklusif sains Islam yang dicipta untuk ummah dan keperluan spiritual seperti mana yang ditetapkan oleh Syariah Islam.

Menurut Bakar (n.d.), sains moden ialah sains yang berakar daripada Barat pada awal abad ke-17 berdasarkan kepada falsafah mekanistik Newton bagi alam dan penggunaan prinsip epistemologi rasionalisme dan emperisisme. Prinsip Newton inilah yang digunakan secara meluas oleh world view sains Barat. Walaupun begitu, menurut beliau, quantum physics telah meruntuhkan falsafah sains moden yang telah dibina dengan kerangka fizik Newton tersebut. Hal ini menyebabkan fizik baru diterima oleh pemikir pos modernisme kerana ia mengukuhkan posisi falsafah mereka sebagai gerakan lawan terhadap dasar-dasar yang telah dibangunkan oleh kumpulan modenis. Jadi, jangka hayat sains moden yang dibanggakan oleh saintis sangatlah singkat jika dibandingkan dengan sains Islam sebelumnya. Jangka hayat sains moden hanyalah selama tiga ratus lima puluh tahun (abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-20) manakala sains Islam abad pertengahan bertahan lebih lama iaitu bermula pada abad ke-8 hingga abad ke-17.

PEMBAHARUAN DALAM SAINS PASCA MODEN

Jika dilihat kepada sejarah falsafah sains, komponen sains Islam telah diwarisi oleh Barat dalam sains moden (Bakar, 2011). Walaupun pembentukan sains moden dipengaruhi oleh sains Islam, sains moden bukanlah sains Islam yang sebenar. Sains moden sudah menghilangkan peranan asal sains kerana semangat zaman moden.

Sains moden ini telah berjaya membentuk peradaban Barat. Namun begitu, menurut Bakar (2011), sejak pertengahan abad ke-20, ramai dalam kalangan intelektual Barat termasuk para saintis mereka menyatakan bahawa sains moden sedang menuju pengakhirannya. Mereka mendakwa worldview sains moden telah dihancurkan oleh satu cabang ilmu baru yang dipanggil ‘fizik baharu’. Sains moden juga sudah tidak ampuh lagi untuk memuaskan keinginan pasca-modenisme terhadap sains baharu.

Oleh itu, pasca-modenisme telah menimbulkan banyak persoalan tentang sains moden dan membuangnya rentetan penemuan fizik kuantum.

Postmodernisme telah mengabaikan worldview sains moden yang sangat dibanggakan dalam peradaban Barat moden tetapi tidak menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Mereka juga tidak menyediakan asas yang kukuh bagi sains kontemporari bagi kegunaan masa kini. Oleh itu, terdapat persamaan antara sains Islam dengan sains pasca moden apabila kedua-dua sains bersetuju bahawa fizik baru (fizik kuantum) telah merosakkan asas sains moden. Jadi, pembinaan sains baharu hendaklah mempunyai satu asas yang baharu juga. Pembinaan asas ini boleh dibantu oleh sains Islam dahulu kerana tradisi sains Islam telah diketahui umum sebagai sains yang mempunyai asas yang kukuh. Sains Islam yang dimaksudkan di sini bukan

(8)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 sahaja sains Islam secara keseluruhannya tetapi juga cabang-cabangnya yang lain seperti ilmu matematik, sains semula jadi dan juga sains kognitif.

Dalam menjelaskan tentang keperluan sains baharu, Osman Bakar telah membincangkan tentang sejarah perkembangan sains secara kronologikal iaitu sains Islam, sains moden dan sains pasca moden. Setelah menimbangkan isu yang berkaitan dengan sains Islam, sains moden dan sains pasca-moden, ummah mesti berusaha menghasilkan sains baharu menerusi sintesis idea yang terkandung dalam ketiga-tiga budaya intelek dan pandangan hidupnya. Alat intelek yang paling penting dalam sintesis ini ialah prinsip tauhid yang terkandung dalam al-Quran (Bakar, 2011).

Sintesis sains tiga zaman ini juga adalah meneruskan tradisi sains Islam abad pertengahan yang telah melakukan sintesis ilmu Yunani, Parsi, China, India dan lain- lain.

Oleh itu, Osman Bakar telah mengutarakan pandangannya tentang projek sains baharu iaitu Postmodern Synthesis of Islamic Science and Modern Science yang mana turut dimuatkan dalam projek beliau yang telah disenaraikan dalam https://themuslim500.com/ (Bakar, n.d.). Sains baharu ini akan mengekalkan nilai universal yang terdapat dalam tradisi sains Islam iaitu nilai ummah atau kesejagatan.

Keperluan ummah adalah perennial dan sejagat dalam sifat keperluan sains Islam sepanjang zaman. Oleh itu, jika sains Islam menjadi dominan semula, ia akan kekal dengan penonjolan sifat utama ini seperti mana yang diwarisi daripada zaman klasik.

Secara umumnya, sains Islam yang baharu atau sains masa hadapan akan membawakan agenda untuk keperluan ummah dan juga keperluan universal atau komuniti manusia global (Bakar, n.d.). Sains baharu atau neo-sains Islam memerlukan sintesis agung bagi ummah abad ke-21. Apa yang dimaksudkan oleh Bakar (n.d.) mengenai sintesis agung ini adalah sintesis sains tiga zaman dengan menggunakan prinsip Tauhid. Oleh itu, seluruh ummah hendaklah bekerjasama untuk menghasilkan sains baharu melalui usaha sintesis tersebut yang melibatkan tiga budaya dan pandangan alam. Beliau berpandangan bahawa usaha ke arah penilaian semula dan perubahan tertentu perlu dilakukan kepada asas sains moden.

Menurut Osman Bakar, kerangka epistemologi asli yang perlu dikembalikan ke dalam ilmu sains adalah epistemologi Tauhid seperti yang ada dalam tradisi Islam.

Bakar (2011) telah mengilustrasikan sains Tauhidik dengan merujuk kepada pencapaian sains yang telah dibangunkan pada beberapa abad pertama dalam sejarah Islam. Ilmu yang lahir adalah hasil sintesis idea saintifik tradisi Arab-Islam dan juga pelbagai elemen lain termasuk pemikiran semasa daripada sumber saintifik zaman pra-Islam yang terkandung di dalam peradaban bukan Arab di tangan Muslim.

Walaupun begitu, majoriti idea saintifik dan falsafah adalah seperti yang telah ditemukan di dalam Quran dan Hadis Nabi SAW ataupun yang terkandung dalam ilmu Islam yang berasal daripada sumber-sumber Quran dan Hadis. Maka, sumber

(9)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 Islam terutama Quran dan Hadis tetap memainkan peranan penting dalam kerja-kerja sintesis ilmu. Contohnya, ahli sains dan falsafah Islam telah mengabaikan atau menolak teori atom Democritus kerana beliau memberikan kualiti seperti tidak dapat dihancurkan dan kekekalan kepada atom-atom ini yang difahami pada perspektif teologi dan metafizik Islam sebagai unik bagi Tuhan sahaja. Walaupun begitu umumnya, mereka menerima teori unsur Plato dan Aristotle, Pythagoras, Euclid, Galen dan Hippocrates. Oleh itu, mereka menyaring warisan intelektual Yunani untuk mengenal pasti idea yang boleh diterima untuk sintesis pengetahuan mereka berdasarkan kepada Quran dan Hadis.

KEWAJARAN KERJA SINTESIS DALAM PEMBENTUKAN SAINS BAHARU Bakar (n.d.) menyeru para sarjana dan saintis Muslim untuk menjayakan idea sains Islam sebagai alternatif sains moden melalui cadangan sintesis besar ini dan beliau juga optimis bahawa idea ini akan dapat direalisasikan. Berdasarkan kepada perspektif epistemologi Islam, terdapat beberapa alasan kenapa perlunya untuk menjayakan gagasan sintesis antara sains Islam, sains moden dan sains pasca-moden.

Menurut beliau, justifikasi terhadap keperluan kerja-kerja sintesis sains baharu boleh dibahagikan kepada tiga perspektif utama iaitu teologi, falsafah dan sains.

Justifikasi pertama terhadap keperluan sintesis sains baharu ialah berdasarkan kepada perspektif teologi. Menurut Bakar (2011) Islam sebagai agama terakhir telah memainkan peranannya sebagai synthesizer iaitu penggabung – yang telah melakukan sintesis kepada agama-agama terdahulu. Oleh itu, usaha sintesis ini adalah penerusan bukti kewujudan atau raison d’etre Islam sebagai agama. Begitu juga al-Quran yang telah menyampaikan semua peringatan Tuhan kepada manusia tentang Kitab terakhir sebagai sintesis kepada semua kitab-kitab lain yang telah diturunkan terdahulu maka, tiada lagi kitab yang akan diturunkan selepasnya. Kandungan utama teologi Islam yang membezakannya dengan agama dan apa-apa ideologi yang pernah ada ialah prinsip keesaan tuhan (al-Tauḥīd) (Bakar, 2011). Prinsip ini menjadi asas epistemologi bagi pelbagai peringkat dan juga cabang ilmu mengikut dasar Islam sebagai agama ilmu yang unggul dan inklusif secara semulajadi. Bagi tujuan kerja- kerja sintesis ilmu secara umum atau spesifik, prinsip Tauhid boleh dijadikan panduan setelah aspek aplikasinya telah jelas dan dikenalpasti. Berdasarkan kepada sejarah dalam bidang sains, tamadun Islam telah menjadi saksi tentang peranan prinsip ini dalam kerja sintesis pada peringkat falsafahnya dan juga pembinaan teori.

Perkembangan ilmu dalam tamadun Islam terutamanya ilmu falsafah telah memperlihatkan usaha sintesis kepelbagaian tradisi intelektual yang kompleks daripada Syria, Arab, Parsi, Turki, Barbar dan lain-lain (Fakhry, 2004). Oleh itu, sains Islam menurut beliau juga perlu dicipta melalui sintesis tersebut. Urutan epistemologinya saling berhubung dengan kepelbagaian elemen. Walaupun sukar, tetapi telah digabungkan dengan cantik dan harmoni menjadi satu melalui prinsip

(10)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 Tauhid. Misi dan usaha sintesis adalah semangat semula jadi dalam sains Islam sebagai respon terhadap epistemologi sains moden dan pemikiran pasca-moden.

Tambahan lagi, pengetahuan sintesis menjanjikan jawapan yang lebih efektif kepada cabaran falsafah yang dibawa oleh sains moden dan pasca moden berbanding projek Islamisasi ilmu yang mana menurut beliau boleh menyebabkan perpecahan sosial terutamanya dalam kehidupan masyarakat pelbagai yang menuntut Muslim hidup bersama dan berwacana dengan orang bukan Islam (Bakar, n.d.). Hal tersebut sesuai dengan pandangan beliau bahawa sains boleh digunakan sebagai alat penting bagi keperluan dialog antara peradaban (Abu Hassan & Mohd Kahambali @ Hambali, 2013).

Perspektif kedua bagi justifikasi sintesis sains ialah falsafah. Ini kerana terdapat perbezaan antara pandangan falsafah sains Islam dan sains moden. Pandangan falsafah sains kedua-duanya adalah berkait dengan persoalan ontologi, kosmologi dan epistemologi. Secara ontologinya, sains Islam menerima idea heirarki kewujudan universal (marātib al-mawjūdāt) yang terhasil daripada Tuhan sebagai yang tertinggi manakala kewujudan fizikal di bumi sebagai yang terbawah. Sains moden telah menukar kefahaman ontologi tersebut dengan mengurangkan kewujudan kepada satu peringkat sahaja iaitu kepada kewujudan yang paling rendah dalam hierarki tradisi kewujudan universal yang diterima dalam Islam. Sains moden akhirnya menggunakan idea dunia fizikal autonomi yang sepenuhnya terlepas daripada Tuhan. Kepercayaan ini menjadikan idea Tuhan bertindih dengan sains sehingga menyebabkan kefahaman hakikat kewujudan ialah apa yang hanya dapat dibentuk melalui kaedah empirikal sahaja. Secara kosmologinya pula, sains Islam menerima idea alam mempunyai aspek spiritual, halus dan hidupan fizikal yang disusun mengikut heirarki. Lapisan alam adalah bergantung kepada aturan Tuhan sepertimana yang terkandung di dalam Quran. Sebaliknya alam yang dipercayai oleh sains moden tidak lagi hidup mengikut peraturan tersebut dalam sususan kosmik baru mereka. Teori alam Newtonian telah menjadi mesin besar yang beroperasi berdasarkan kepada undang-undang fizikal yang boleh ditemui oleh akal manusia dan tugas utama sains adalah untuk meneroka undang-undang ini. Manakala, idea manusia yang mempunyai badan, akal dan jiwa yang dipersetujui oleh sains Islam telah dikurangkan menjadi pembahagian Cartesian body-mind yang menjadi asas penting dalam sains moden. Maka lahirlah wajah atau gambaran manusia moden sebagai mesin yang berfikir (Bakar, n.d.). Agenda artificial intelligence di era pasca moden adalah percubaan untuk menjadikan proses mesin minda manusia kepada dapatan logiknya.

Justifikasi ketiga bagi kewajaran usaha sintesis sains adalah berdasarkan kepada perspektif sains. Tidak dapat dinafikan bahawa sains moden telah memberikan sumbangan data saintifik yang mengkagumkan tentang alam semula jadi dan manusia. Pengkhususan yang intensif dalam pelbagai cabang sains moden telah

(11)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 menjadi faktor utama kepada kejayaan ini. Walau bagaimanapun, keterlaluan dalam pengkhususan ini telah mengakibatkan masalah yang tersendiri. Ini kerana setiap kejayaan dalam pengkhususan yang telah dicapai bagi perkembangan ilmu adalah daripada usaha sintesis. Kekurangan sintesis ilmu dan kajian rentas disiplin adalah disebabkan oleh ramainya ahli akademik dan sarjana yang dibangunkan mengikut pandangan intelektual dan pengkhususan ilmu dalam disiplin masing-masing.

Hasilnya, pemisahan intelektual telah menguasai institusi pengajian tinggi (Bakar, n.d.). Bakar (n.d.) berpendapat bahawa sintesis pengetahuan antara sains Islam dan sains moden dapat membantu menangani isu-isu yang timbul dari keterlaluan dalam sains semasa. Ini kerana sains sentiasa memerlukan penyatuan pengetahuan yang terperinci dan khusus bagi mencapai keluasan visi ilmu pengetahuan yang sebenar.

Kerja sintesis antara sains Islam dengan sains moden tidak bermaksud semua asas andaian, konsep dan teori, metod dan alat, skema interpretasi data, objektif dan kriteria lain terus diterima tanpa syarat dalam proses sintesis. Menurut beliau, proses awal sintesis adalah penyaringan dan mengeluarkan apa-apa yang tidak diperlukan.

Ia adalah proses untuk mengasingkan kesalahan daripada kebenaran. Proses saringan yang sama juga perlu dilakukan dalam warisan sains Islam. Saringan merupakan satu aktiviti intelek yang memerlukan kearifan kepada data dalam banyak persoalan bagi membolehkan pekerja sintesis untuk menentukan status epistemologi ilmu. Oleh itu, pekerja sintesis perlu mempunyai perbendaharaan ilmu yang luas dalam sesuatu cabang ilmu. Bagi menjayakan projek sintesis ilmu ini, ia seharusnya diteruskan sebagai perusahaan kolektif. Proses saringan akan dimulakan dengan saringan terhadap warisan ilmu di dalam kedua-dua sains. Fasa yang seterusnya adalah interpretasi semula kepada idea yang telah dipilih. Kemudian sampai kepada fasa integrasi kepada idea yang telah diinterpretasi semula berdasarkan kepada kerangka epistemologi Tauhid sehingga kerja sintesis selesai. Oleh itu, fasa saringan memerlukan tenaga dan komitmen serta akan menghabiskan banyak masa. Manakala fasa integrasi memerlukan kebijaksanaan dan hikmah daripada pekerja sintesis.

Kejayaan sintesis terdahulu dalam sejarah tamadun Islam boleh menjadi sumber inspirasi kepada pekerja-pekerja sintesis yang baharu.

KE ARAH PEMBETUKAN SAINS BAHARU

Sains dalam perspektif Osman Bakar dilihat melalui sejarah. Menurut beliau, usaha Muslim untuk membangunkan sains dan teknologi yang bermanfaat dibincangkan dalam tiga fasa sejarah: pertama, ketika umat Islam merupakan pengeluar pengetahuan sains dan teknologi yang terkemuka di dunia; kedua, dalam masa kemunduran ketika mereka tidak lagi menentukan arah sains; dan ketiga, dalam kemungkinan 'sejarah' masa depan seperti yang dapat dilihat dari tren umat Islam sekarang di lapangan (Bakar, 2016). Seperti yang telah dibincangkan, pada zaman moden, tradisi tauhidik yang telah dibina pada abad pertengahan semakin hilang peranannya. Namun demikian, Bakar (2011) optimis bahawa tradisi tauhidik Islam

(12)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 boleh dihidupkan kembali pada zaman kini. Pembentukan sains baharu hasil sintesis yang dinyatakan oleh Osman Bakar adalah sains Islam. Ini kerana terdapat garis pemisah yang jelas pada hari ini antara sains Islam dengan sains Barat yang mempromosikan sains yang sekular (Bakar, 1991). Oleh yang demikian, sains bagi generasi Islam yang akan datang hendaklah sesuai dengan kerangka iman dalam Islam serta tidak mempunyai isu moral atau etika. Sains Islam juga dapat menyeimbangkan dan menyelesaikan masalah materialisme dalam sains moden. Ini kerana kekuatan sains Islam terletak kepada kefahaman Tauhid (Bakar, 1991). Namun begitu, Bakar (n.d) menyatakan bahawa tidak mengejutkan jika terdapat dalam kalangan sarjana yang mengenepikan idea sintesis epistemologi atau memandang enteng terhadap usaha ini. Menurut beliau, secara intelektual, projek sintesis ilmu yang dicadangkan ini adalah perlu, bukan hanya untuk masyarakat Muslim tetapi untuk seluruh manusia. Maka, beliau optimis bahawa projek ini perlu diteruskan dan juga mungkin perlu diberikan penjelasan lanjut. Beliau juga seringkali menegaskan bahawa sejarah Muslim dalam kerja-kerja sintesis ilmu boleh dijadikan panduan kepada ahli akademik dan sarjana kontemporari yang berminat untuk mendokong agenda sintesis ini.

KESIMPULAN

Semua ilmu termasuk juga sains tidak kira lahir dan digunakan di mana pun adalah value laden dan bukan value-free. Dalam berhadapan dengan perkembangan sains dan teknologi moden, sarjana Muslim akan cuba untuk memaknai sains dan teknologi dengan berdasarkan kepada kefahaman tempatan yang menepati standard moral dan Islam. Oleh itu, sarjana Islam seperti Osman Bakar membawakan satu kefahaman baru tentang sains yang bertentangan dengan sains moden. Sebagai saintis dan cendiakawan Islam, tuntutan untuk membina sebuah sains baharu yang sesuai denga pradigma Islam adalah usaha berterusan yang perlu dilakukan. Apatah lagi kini kita hidup dalam abad ke-21 yang serba mencabar. Setiap masyarakat di seluruh dunia diseru agar mencipta ilmu dan budaya saintifik baharu untuk diri dan komuniti sejagat. Sintesis sains baharu yang dicadangkan oleh Osman Bakar adalah sesuai dengan keperluan zaman dan ummah. Sains baharu adalah sintesis sains dan sesuai dengan sains Islam. Idea baru ini sebenarnya adalah penerusan warisan tradisi tamadun Islam yang telah ditinggalkan. Cadangan sains baharu ini jika dapat dikembangkan dengan lebih terperinci sudah tentunya dapat menjelaskan bagaimana umat Islam hari ini dapat membuka jalan bagi membina budaya ilmiah dan penciptaan teknologi yang lebih maju dalam masyarakat Islam kontemporari.

RUJUKAN

Abu Hassan, M., & Mohd Kahambali @ Hambali, K. (2013). Pengislaman Sains dan Pengaruhnya Dalam Peradaban: Respons Ilmuwan Muslim Terpilih. Journal of

(13)

E-Prosiding Seminar Antarabangsa Islam dan Sains 2021

“Wawasan Kemakmuran Bersama 2030”

Khamis, 9 September 2021 Universiti Sains Islam Malaysia

E-Prosiding SAIS 2021 Human Capital Development, 6(1), 133–150.

Abu Hassan, M., Sidek, S., Mohamed, S., & Kudus, N. (2016). The Perspectives of Four Muslim Scholars on Islamization of Science. Sci . Int . ( Lahore ), 28(2), 1359–1362.

Al-Aidrus, M. A. (2008). Review on Tawhid and Science (Osman Bakar). KATHA Journal of Dialogue of Civilization, 4, 127–131.

Bakar, O. (n.d.). Towards a Postmodern Synthesis of Islamic Science and Modern Science, the Epistemological Groundwork. Retrieved from https://themuslim500.com/guest-contributions-2020/towards-a-postmodern- synthesis-of-islamic-science-and-modern-science-the-epistemological- groundwork/

Bakar, O. (1991). Tawhid and Science (1st ed.). Kuala Lumpur: Secretariat for Islamic Philosophy and Science.

Bakar, O. (2011). Islamic Science, Modern Science, and Post-Modernity Towards a New Synthesis Through a Tawhidic Epistemology. Revelation and Science, 1(03), 13–20.

Bakar, O. (2016). Science and Technology for Mankind’s Benefit: Islamic Theories and Practices - Past, Present, and Future. In M. H. Kamali, O. Bakar, D. Batchelor, Abdul-Fattah, & R. Hashim (Eds.), Islamic Perspectives on Science and Technology (pp. 17–35). https://doi.org/10.1007/978-981-287-778-9

Fakhry, M. (2004). A History of Islamic Philosophy. In Paper Knowledge . Toward a Media History of Documents (3rd ed.). New York: Columbia University Press.

Shamsaie, M., & Mahmoudi, A. (2016). A Study of the Thought of Selected Muslim Intellectual in Malaysia on Islam and Modernity. Journal Social Sciences, 11(6), 940–946.

Referensi

Dokumen terkait