• Tidak ada hasil yang ditemukan

ANCAMAN PROPAGANDA BARAT SEBAGAI USAHA KE ARAH MENGUASAI DUNIA ISLAM [THE WESTERN PROPAGANDA AND THEIR EFFORTS TO CONQUER THE MUSLIM WORLD]

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2022

Membagikan "ANCAMAN PROPAGANDA BARAT SEBAGAI USAHA KE ARAH MENGUASAI DUNIA ISLAM [THE WESTERN PROPAGANDA AND THEIR EFFORTS TO CONQUER THE MUSLIM WORLD]"

Copied!
8
0
0

Teks penuh

(1)

1

ANCAMAN PROPAGANDA BARAT SEBAGAI USAHA KE ARAH MENGUASAI DUNIA ISLAM

[THE WESTERN PROPAGANDA AND THEIR EFFORTS TO CONQUER THE MUSLIM WORLD]

1LUTPI MUSTAFA

[email protected]

*1MOHD SHAFIEE HAMZAH

[email protected]

1 Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin, Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu, MALAYSIA

* Corresponding Author

ABSTRACT

The study aims to investigate the western propaganda and their efforts to conquer the Muslim world.

From the past till the present, the west persistently wages war with Islam and the Muslim. They use all sorts of ways including through colonization. The method in this study is qualitative using exploration study design. The objective of this study is to explain the methods of the western propaganda used in conquering the Islamic world. This study analysis is mode by using the inductive and deductive methods in order to formulate a good study outcome. The finding of this study concludes that the western propaganda is a serious threat to the Islamic world and this should be handled tactfully so that the unity of the Muslims will not be divided. This study suggests that more detailed study are carried out in order to know the forms of propaganda the west will carry out.

Key Words: Western propaganda, emotional, stereotype, Muslim world

ABSTRAK

Kajian ini membincangkan mengenai propaganda Barat dan usaha-usaha mereka untuk menguasai dunia Islam. Sejak dahulu hingga sekarang, Barat tidak berhenti-henti memerangi Islam dan umat Islam, mereka menggunakan pelbagai cara termasuk melalui penjajahan. Kaedah yang diguna-pakai dalam kajian ini ialah kualitatif dengan menggunakan reka bentuk penerokaan. Objektif kajian ini menjelaskan mengenai kaedah propaganda Barat yang dilakukan untuk menguasai dunia Islam.

Analisis kajian ini dibentuk dengan menggunakan metode induktif dan deduktif bagi merumuskan hasil kajian yang baik Dapatan dalam kajian merumuskan bahawa propaganda Barat sangat berbahaya kepada dunia Islam dan perkara ini harus ditangani supaya umat Islam tidak menjadi umat yang berpecah belah. Di antara usaha mereka untuk menguasai dunia Islam ialah mengemukakan istilah emosional dan stereotaip, melatih tokoh-tokoh Islam menjadi tali barut barat, manipulasi media barat terhadap para pejuang Islam, mengeksploitasi fakta terhadap gerakan Islam dan membentuk

(2)

2

representatif sebagai alat propaganda. Kajian ini mencadangkan supaya kajian-kajian lebih terperinci dilakukan untuk mengetahui bentuk-bentuk propaganda yang dilakukan oleh Barat.

Kata kunci: Propaganda Barat, emosional, stereotaip, dunia Islam

PENGENALAN

Propaganda boleh dijelaskan sebagai penerangan atau penyiaran mengenai ideologi yang dihebahkan untuk mempengaruhi orang ramai, iaitu diayah yang disebar secara teratur dan tersusun mengenai sesuatu fahaman atau pendapat yang bertujuan untuk mendapat sokongan dari pelbagai pihak (Kamus Dewan, 1993).

Terkait mengenai propaganda Barat terhadap pejuang Islam yang menuduh mereka sebagai ekstremis agama, perkara ini boleh dijelaskan sebagai dakyah barat yang cuba menguasai pemikiran masyarakat dunia untuk memburuk-burukkan imej Islam, ajaran Islam dan umat Islam seluruhnya.

Dengan memanipulasi berita-berita yang berlaku seperti peperangan, serangan berani mati dan pengeboman, mereka mengaitkan kejadian tersebut dengan Islam dan para peluang Islam.

Penguasaan Barat dalam dunia laporan dan penyebaran maklumat memudahkan bagi mereka untuk meyakinkan masyarakat dunia bahawa laporan yang disiarkan melalui pelbagai saluran berita seolah- olah benar yang mengaitkan siri keganasan dengan para pejuang Islam.

Setelah jatuhnya Daulah Islam yang terakhir, iaitu Daulah Uthmaniyyah di Turki, para penjajah dan orientalis Barat serta konco-konconya telah mengemukakan ‘plan tindakan’ terhadap sistem perundangan dan sistem kehidupan yang hendak dibentuk ke dalam masyarakat Islam untuk mengubah corak dan rentak hidup umat Islam serta pemikiran mereka supaya sesuai sebagaimana yang dikehendaki oleh penjajah. Segala tabiat kemanusiaan dan nilai-nilai agama telah dirungkaikan satu persatu, bermula dari hubungan persaudaraan iman, pergaulan dalam masyarakat, amal ibadat, akhlak dan lain-lain sehingga kepada kepercayaan hidup dan rupa bentuk akidah yang menjadi pegangan umat Islam (Ulwan, 1985).

KESAN NEGATIF KEDATANGAN PENJAJAH

Kedatangan penjajah ke bumi umat Islam mempunyai satu tujuan dan satu matlamat, iaitu untuk melenyapkan Islam dan ajarannya serta memusnahkan umat Islam dari pegangan agama, di samping mengembangkan pengaruh penjajah yang tidak lagi diminati di Benua Eropah ketika itu. Mereka sanggup mengharungi lautan yang luas terbentang dan membuka laluan baru untuk datang menjajah ke bumi umat Islam termasuk ke Asia Timur, Asia Tengah dan Asia Tenggara. Sebenarnya, usaha- usaha pembaharuan semula yang dibawa oleh penjajah merupakan usaha yang mengajak umat manusia supaya kembali ke zaman jahiliah, tetapi dalam bentuk yang lebih moden sesuai dengan keadaan semasa. Walaupun mereka cuba mengubah style dan budaya masyarakat ke arah yang lebih baik dengan mengemukakan satu konsep kehidupan baru., Namun realitinya tidak sedemikian rupa, kerana masyarakat akan menjadi lebih parah apabila pegangan dan kepercayaan ketuhanan telah dicungkil dari kehidupan, masyarakat yang hendak dibentuk itu akan menjadi masyarakat hancur musnah moral dan akhlaknya, masyarakat yang terumbang-ambing dalam arus kemajuan kerana tidak mempunyai attitude dan peradabannya sendiri.

(3)

3

Jelaslah kepada kita semua, sekalipun penjajah telah lama meninggalkan dunia Islam, namun mereka telah berjaya meninggalkan satu kesan yang abadi ke atas masyarakat setempat, iaitu ‘kesan pemikiran’ yang dianggap suatu usaha yang berjaya dalam agenda penjajah. Kebanyakan negara Islam yang pernah dijajah tidak mahu menukarkan sistem perundangan yang dicipta oleh penjajah kepada sistem perundangan Islam sebagaimana yang sedia kala sekalipun penjajah telah lama meninggalkan negara tersebut dan sekalipun kuasa pemerintahan negara dipegang oleh mereka yang percayakan Allah dan RasulNya. Begitu juga dengan sistem kehidupan, sepatutnya dengan kuasa yang ada setiap pemimpin boleh mengeluarkan arahan supaya masyarakat Muslim melaksanakan corak kehidupan dengan berlandaskan kepada syariat dan mengambil tindakan undang-undang kepada mereka yang ingkar. Mengapa berlaku demikian? Tidak lain dan tidak bukan melainkan pemikiran mereka telah dijajah, sekalipun mereka tahu bahawa mereka adalah seorang Muslim. Dan mereka tahu bahawa sistem perundangan Islam yang dicipta oleh Allah adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sistem perundangan ciptaan penjajah, tetapi apa boleh buat kerana minda dan pemikiran mereka telah dijajah dan telah cop sehingga menyebabkan mereka tidak dapat berfikir dengan waras.

DEFINISI PROPAGANDA

Menurut kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary, 2015), propaganda dijelaskan sebagai:

“Ideas or statements that may be false or exaggerated and that are used in order to gain support for a political leader, party, etc.”

Menurut Abd Rauf (2011).), perkataan propaganda dalam Bahasa Arab disebut sebagai al- Di’ayah (ةَياَعِدلا) yang diterjemahkan dengan maksud dakyah. Dalam Mu’jam al-‘Arabiy al-Asasiy, perkataan al-Di’ayah (ةَياَعِدلا) merupakan manhaj atau jalan yang bertujuan untuk menyebarkan sesuatu barangan atau fikrah atau madhhab, sama ada melalui kitab atau iklan atau ceramah.

Propaganda juga boleh diertikan sebagai penyebaran secara sistematik mengenai doktrin atau fahaman atau pernyataan yang mengandungi aliran pemikiran, pandangan dan kepentingan tertentu (Mohammad Shoelhi, 2012). Dalam Encyclopedia Britannica (2010) dan The Oxford Companion to the English Language (1992), Tom Mc Athur menjelaskan bahawa perkataan propaganda berasal dari bahasa Neo Latin iaitu propaganda’s atau propagated yang bererti penyebaran. Perkataan ini buat pertama kali diguna-pakai oleh Paus Gregorius XV di Italia pada tahun 1622 untuk menamakan aktiviti misionari Gereja Katolik Rom sebagai ‘Congregatio de Propaganda Fide’.

Maka, bermula dari sini perkataan tersebut diperluaskan penggunaannya yang merujuk pada gerakan teroris untuk menyebarkan suatu keyakinan, dogma, doktrin dan sistem tertentu (Mohammad Shoelhi, 2012). Propaganda boleh dikaitkan suatu komunikasi yang berusaha untuk mempengaruhi pendapat dan pandangan tanpa menghiraukan kesan baik atau buruk dan benar atau salah mengenai apa yang disampaikan. Komunikasi yang dimaksudkan adalah untuk mempengaruhi sikap masyarakat terhadap tujuan tertentu, iaitu “Propaganda is a form of communication aimed towards influencing the attitude of a population toward some cause or position.” (Ali Kusno, 2015).

Dalam kalangan para sarjana dan tokoh-tokoh ilmuwan telah mendefinisikan propaganda dengan pelbagai pendapat. Menurut Robert Cole (1996) dalam bukunya Propaganda in the Twentieth Century War and Politics menjelaskan, bahawa propaganda merupakan sesuatu bentuk idea yang tertumpu ke arah aspek sumber, metode, sistem, sifat, jenis kegiatan, bentuk komunikasi yang dipilih dan tempat sebagai pentas penyebaran.

(4)

4

Menurut Harold D Lasswell (1971) dalam karyanya ‘Propaganda Techniquein The World War’ mengatakan, bahawa propaganda merupakan ideologi yang dilakukan melalui simbol-simbol yang mempunyai pengertian tertentu atau menyampaikan pendapat yang konkrit dan akarat melalui sebuah cerita, gambar-gambar, desas-desus, khabar angin dan pelbagai bentuk yang lain.

Manakala Coulumbis dan Wolfe (1990) dalam buku berjudul ‘Introduction to International Relations: Power and Justice’ menjelaskan, bahawa propaganda merupakan salah satu kaedah atau metode yang digunakan oleh sesebuah negara untuk membina keamanan pemeliharaan dan penerapan kekuasaan dalam rangka memajukan kepentingan nasional.

Terarah kepada pendapat F. Rahmadi (1992) dalam bukunya ‘Public Relations dalam teori dan praktik’ menyatakan, pengertian Propaganda adalah informasi yang mengandungi doktrin, ideologi dan pernyataan resmi dari pemerintah. Propaganda juga dijelaskan suatu kegiatan komunikasi dengan menggunakan teknik-teknik tertentu untuk mengawal sikap dan tingkah laku manusia demi kesamaan dalam suatu pendapat atau cita-cita.

Berdasarkan daripada definisi propaganda tersebut, maka di sana dapat difahami bahawa propaganda mengandungi manipulasi dan daya muslihat yang sangat mempesona sebagai sarana untuk meyakinkan orang ramai dan masyarakat agar menganut suatu fahaman aliran, pemikiran, sikap dan arah tindakan tertentu. Menjelaskan realiti ini, propaganda tidak menyampaikan informasi secara langsung, tetapi memberi informasi yang dirancang untuk mempengaruhi sesuatu pihak yang mendengar. Akan tetapi, propaganda terkadang menyampaikan mesej yang benar, namun seringkali menyesatkan kerana umumnya maklumat propaganda hanya untuk menyampaikan fakta-fakta pilihan yang dapat menghasilkan pengaruh tertentu atau terarah untuk menghasilkan reaksi emosional daripada reaksi rasional. Matlamat propaganda adalah untuk mengubah dan merombak daya pemikiran masyarakat untuk kepentingan tertentu. Propaganda boleh dijelaskan sebagai suatu usaha untuk mengubah pemikiran atau kepercayaan secara sistematik yang membentuk persepsi, manipulasi dan kognisi untuk mempengaruhi secara langsung perilaku agar memberikan respond sesuai yang dikehendaki pelaku propaganda.

USAHA BARAT KE ARAH MEMBENTUK PROPAGANDA TERHADAP DUNIA ISLAM

Propaganda barat terhadap para pejuang Islam tercatat dalam sebuah buku yang ditulis oleh Alfred McClung Lee and Elizabeth Briant Lee (1939) berjudul: ‘The Fine Art of Propaganda: A Study of Father Coughlin’n Speeches’. Buku ini telah diulas oleh KJ Holsti (1992) dalam karyanya Politik Antarabangsa: Kerangka Untuk Analisis yang memetik beberapa fakta penting daripada buku tersebut mengenai teknik propaganda yang dilakukan ke atas umat Islam, di antaranya dapat dijelaskan sebagaimana berikut:

Mengemukakan istilah emosional dan stereotaip

Propaganda yang disebarkan menggunakan istilah-istilah yang mampu memberi kesan emosional dan stereotaip yang dianggap sebagai negatif seperti buruk, buas, gila dan jahat. Istilah-istilah tersebut kemudian dilabelkan kepada seseorang atau para pejuang Islam atau sesebuah negara tanpa melihat kerasionalannya. Namun, apa yang penting tindakan tersebut memenuhi kehendak barat.

Sebagaimana istilah yang digunakan terhadap orang-orang Arab yang dikaitkan dengan Islam, umat

(5)

5

barat menggambarkan mereka sebagai orang yang keji, kejam, bernafsu buas dan melakukan seks yang ganas.

Istilah negatif ini juga digambarkan kepada Nabi s.a.w. sendiri yang dianggap sebagai gila seks dan ‘pengganas.’ Perkara ini terbukti apabila pengarang kartun A Doaug Marlette telah memuatkan tajuk yang berjudul, ‘What Would Mohammed Drive? Kartun ini memaparkan bahawa Nabi s.a.w. menaiki trak yang berisi bom nuklear sebagaimana trak yang digunakan oleh Timothi McVeigh dalam peristiwa pengeboman di Oklahoma City pada tahun 1995 (KJ Holsti,1992).

Mereka melabelkan para pejuang HAMAS di Palestin dan para pejuang yang menegakkan syariat Islam sebagai pengganas, skriptualisme, tekstualis, ortodoks dan konservatif. Penggunaan istilah ‘Muslim ekstremis’ bertujuan memberi kesan negatif pada para pendakwah dan pendokong syariat Islam. Manakala negara yang tidak mengikut telunjuk barat di Timur Tengah di label sebagai

‘negara militan’ dan sementara negara yang seiring dengan kemahuan mereka disebut sebagai ‘negara moderat’(KJ Holsti,1992).

Melatih Tokoh-Tokoh Tempatan Menjadi Tali Barut Barat

Propaganda yang hendak disebarkan bukan suatu perkara yang mudah untuk dikendalikan, keadaan ini memerlukan kepakaran dan kebijaksanaan dari semua aspek. Dengan sebab itu, mereka berusaha menyamar diri untuk memahami nilai budaya dan gaya kehidupan masyarakat setempat sehingga mampu berbahasa loghat tempatan. Penyebar propaganda biasanya lebih suka menggunakan khidmat penduduk tempatan yang mempunyai potensi untuk menyebarkan propaganda mereka. Di antara cara yang paling efisien ialah dengan melatih seseorang individu dalam kalangan penduduk tempatan yang diangkat sebagai pemimpin atau sebagai tokoh untuk dijadikan sumber rujukan dalam pelbagai perkara. Proses ini dilakukan melalui latihan dan pendidikan, manakala media memainkan peranan dengan menampilkan tokoh tersebut dalam pelbagai program atau aktiviti berbentuk kemasyarakatan secara berterusan sehingga diberi anugerah gelaran atau penghargaan (KJ Holsti,1992).

Perkara ini pernah berlaku di Turki apabila tumbangnya Kerajaan Islam Uthmaniyyah, maka musuh-musuh Islam yang terdiri dari penjajah barat telah melantik Mustafa Kemal Ataturk sebagai tokoh pemodenan. Beliau telah melaksanakan pelbagai rancangan pembaratan di Turki yang berasaskan prinsip sekularisme (Geoffrey L. Lewis, 1974). Transformasi utama beliau ialah mensekularkan negara dan masyarakat Turki, di samping perubahan dalam struktur sosio-ekonomi negara (Suna Kili,1980). Di antara usaha yang dilakukan oleh beliau ialah menggubal undang-undang penyatuan pendidikan sekular, undang-undang pemakaian topi, undang-undang perkahwinan secara sivil, undang-undang pengharaman kegiatan agama seperti menutup kegiatan tarekat dan makam para wali-wali, mengharamkan laungan azan dan mengharamkan pemakaian mengikut cara Islam (Naseh

‘Ulwan,1985).

Manipulasi Media Barat Terhadap Para Pejuang Islam

Untuk memastikan propaganda terus tersebar, musuh-musuh Islam melantik seseorang individu atau mana-mana jabatan untuk menyokong tindakan mereka, terutama ke atas mana-mana organisasi Islam atau tokoh-tokoh Islam yang tidak sehaluan dengan mereka supaya masyarakat akan mengambil tindakan yang sama menyokong apa yang mereka lakukan. Di antara contoh perkataan

(6)

6

propaganda yang biasa digunakan ialah memberi gelaran ‘pakar’ atau ‘ahli’ atau ‘ilmuwan’ atau

‘yang berpengalaman’ sebagai suatu usaha untuk menambah keyakinan orang ramai (KJ Holsti,1992).

Menjelaskan maksud tersebut, barat cuba meyakinkan para pembaca bahawa di sana adanya jaringan Jama’ah Islamiyah atau al-Qaeda yang mula bertapak di Asia Tenggara. Media-media barat akan merujuk kepada pendapat orang yang mereka sebut sebagai ‘pakar pengganas’ seperti Rohan Gunaratma. Mereka menyebut perkataan ‘pakar’ dalam kajiannya mengenai pengganas atau dalam karyanya tentang pengganas. Padahal, segala fakta dan maklumat yang termuat dalam penulisannya langsung tidak mempunyai bukti-bukti ilmiah. Begitu juga dengan perkataan ‘pemahaman Islam yang sebenar’ adalah merujuk kepada maksud yang dikehendaki demi kepentingan barat. Padahal, individu yang dirujuk itu merupakan agen barat yang dilatih dan menjadi dalang di tengah-tengah lautan umat Islam. Di antara pertubuhan yang menjadi propaganda dan mempunyai hubungan yang erat dengan barat ialah Heritage Foundation (KJ Holsti, 1992).

Dengan sebab itu, setiap individu Muslim perlu berhati-hati menilai watak tokoh-tokoh yang dianggap berkarisma dalam pasaran dunia dengan melihat dari sudut pemahaman dan bicara mereka melalui nas-nas syarak, bukan tertarik dengan apa-apa gelaran yang diberi kepada mereka.

Mengksploitasi Fakta Terhadap Gerakan Islam

Di dalam kitab Ma’alim fi al-Tariq, Sayyid Qutb (1987) pernah menyuarakan bahawa para orientalis dan umat barat dengan sengaja menyembunyikan fakta-fakta mengenai Islam dengan memberi gambaran bahawa Islam adalah gerakan kekerasan yang memaksa manusia untuk menganut akidahnya. Dengan sebab itu, propaganda yang disebarkan ke atas dunia Islam menggunakan beberapa fakta yang terpilih, sekalipun benar namun ianya tidak menggambarkan realiti yang sebenar.

Di antara fakta-fakta tersebut yang digunakan untuk membuat resolusi yang di jelas secara umum seperti: ‘Perjuangan menegakkan syariat Islam dilabelkan dengan kekerasan.’ Resolusi daripada fakta tersebut menunjukkan wujudnya aksi kekerasan yang dilakukan oleh para pejuang Islam yang ingin menegakkan syariat Islam, sekalipun fakta tersebut dibuat tanpa sebarang bukti dan keterangan.

Namun, mereka menyembunyikan fakta lain mengenai perjuangan syariat Islam tanpa kekerasan, seperti perjuangan Hizb al-Tahrir di Uzbekistan, Jordan, Mesir dan di negara-negara. Tujuannya ialah supaya perkara ini memberi kesan yang mendalam kepada pemikiran manusia bahawa perjuangan menegakkan syariat Islam di label dengan aktiviti keganasan dan kekerasan (KJ Holsti, 1992).

Di antara fakta lain, bahawa Kerajaan Amerika telah mengeluarkan propaganda khusus untuk membantah dakwaan bahawa wujudnya diskriminasi ke atas kaum Muslim selepas serangan 11 September. Mereka menyiarkan iklan propaganda ke dunia Islam dengan memaparkan empat orang warganegara Amerika yang berasal dari keturunan Arab berbual-bual dan berbincang mengenai kesempitan hidup di negara tersebut. Namun, gambaran tersebut hanyalah satu propaganda untuk menutup hakikat yang sebenar. Di sana terdapat banyak fakta-fakta lain di Amerika yang menyukarkan kaum Muslim, tetapi tidak dimuatkan dalam iklan tersebut, seperti kewajiban cap jari bagi warga dari Arab, Pakistan dan negara-negara Islam lain, masjid dan Islamic Centre dirosakkan, terdapat gangguan terhadap wanita Islam dan Islamophobia sebagai wujudnya kebencian warga Amerika ke atas umat Islam (KJ Holsti, 1992).

(7)

7

Membentuk Representatif Sebagai Alat Propaganda

Di antara usaha barat untuk mencipta kebencian terhadap Islam dan umat Islam ialah membentuk kumpulan representatif sebagai black sheep yang bertanggungjawab memainkan peranan menyebarkan propaganda. Berbicara mengenai persoalan ini, media massa dan tokoh-tokoh sarjana mempunyai hubungan rapat untuk membentuk kombinasi yang seiring bagi menjayakan tujuan tersebut (KJ Holsti, 1992).

Media massa berperanan sebagai alat yang paling sesuai untuk menyampaikan propaganda kepada manusia dengan pantas dan meluas. Ianya merupakan strategi yang sangat efektif untuk mengubah minda dan sikap manusia. Peranan media massa juga bertindak sebagai alat untuk mengubah istilah daripada baik kepada buruk, seperti istilah ‘pejuang’ diubah menjadi istilah

‘pengganas.’ Perkara ini pernah berlaku di Afganistan, di mana media massa menggunakan istilah

‘pejuang’ kepada para mujahidin Afganistan, kerana pada ketika itu Amerika mempunyai kepentingan untuk menghalau dan membendung pengaruh komunis dari negara tersebut. Namun, apabila kepentingan Amerika berubah untuk menguasai bumi Afganistan, maka istilah ‘pejuang’ itu ditukar kepada istilah ‘pengganas’ kepada para mujahidin (KJ Holsti,1992). Dengan itu, media massa sangat berperanan untuk membuat aliran minda dan anjakan persepsi tanpa menyedari hakikat sebenar di sebalik kejadian yang berlaku.

Manakala tokoh-tokoh sarjana dan para ilmuwan pula dijadikan sebagai pengulas untuk memberi komentar terhadap sesuatu isu, kerana mereka mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang yang boleh dipercayai oleh masyarakat. Oleh itu, kupasan dan saranan mereka boleh dijadikan benih propaganda yang lebih dipercayai. Dalam kalangan intelektual Islam, mereka digunakan sebagai alat propaganda barat sama ada mereka sedar atau sebaliknya. Sebagai contoh, agenda barat seperti di Amerika telah memberi biasiswa kepada para pelajar di seluruh dunia dilihat sebagai satu muslihat. Mereka yang terpilih biasanya dari kalangan aktivis pelajar dan mereka yang cerdas dalam bidang-bidang berkaitan, namun lemah dari sudut kefahaman agama atau mereka yang berpengaruh dalam sesebuah negara. Mereka akan dididik dan dibina untuk dijadikan sebagai agen-agen propaganda untuk kepentingan Amerika di negara masing-masing apabila mereka menamatkan pelajaran nanti (KJ Holsti, 1992).

KESIMPULAN

Dunia barat sentiasa berusaha untuk menghancurkan Islam dan umat Islam supaya mereka menjadi umat yang terumbang-ambing tanpa pedoman. Usaha-usaha yang mereka lakukan sejak dahulu hingga sekarang adalah untuk melaga-lagakan umat Islam dan memecah-belah hubungan di antara mereka. Kajian ini merumuskan bahawa barat sememangnya berusaha untuk menguasai dunia Islam dengan menyebarkan pelbagai dakyah dan propaganda. Di antara propaganda yang dilakukan untuk menguasai dunia Islam ialah mengemukakan pelbagai istilah emosional dan stereotaip, melatih tokoh-tokoh Islam menjadi tali barut barat mereka, manipulasi media barat terhadap para pejuang Islam, mengeksploitasi fakta secara salah terhadap gerakan Islam dan membentuk representatif sebagai alat propaganda mereka.

Dunia Islam hari ini telah dipenuhi oleh para sarjana dan tokoh-tokoh intelektual yang menjadi pengkhianat agama. Mereka menyebarkan idea-idea barat seperti sekularisme, demokrasi, individualisme dan pluralisme dalam masyarakat sehingga masyarakat terpedaya dengan dakyah yang disebarkan. Mereka tetap akan menjadi pembela pemikiran barat yang dibiayai sepenuhnya bertujuan untuk memesongkan akidah umat Islam dan menjauhkan mereka daripada pegangan syariat

(8)

8

agama. Dua perkara ini menjadi tumpuan dalam agenda propaganda kerana kedua-dua perkara ini merupakan nadi kekuatan umat Islam.

RUJUKAN

Abdullah Naseh Ulwan.1985. Tarbiyah al-Aulad fi al-Islam. Kaherah: Dar al-Bayan al-Arabi.

Alfred McClung Lee and Elizabeth Briant Lee. 1939. The Fine Art of Propaganda: A Study of Father Coughlin's Speeches. New York: Harcourt Brace and Co.

Ali Kusno. 2015. Makna Bahasa Propaganda Dalam Wacana (Spanduk Dan Baliho) Tuntutan Otonomi Khusus Provinsi Kalimantan Timur (Kajian Semiotik). Parole Vol.5 No.1, April 2015.

F. Rachmadi. 1992. Public Relations Dalam Teori Dan Praktek. Gramedia Pustaka Utama.

Geoffrey L. Lewis. 1974. Modern Turkey. London: Ernest Benn.

Harold D Lasswell. 1971. Propaganda Techniquein The World War. Cambridge, Mass: M.I.T. Press.

Hassan, Abd Rauf. (2011). Kamus Bahasa Melayu Arab, Bahasa Arab Melayu. Selangor: Fajar Bakti.

Helena Olii. 2007. Opini Publik. Hlm. 38. Jakarta: Indeks.

Joanna Turnbull & Diana Les. 2015. Oxford Advanced Learner’s Dictionary. New York: Oxford University Press.

Kj Holsti, Hassan Ahmad .1992. Politik Antarabangsa: Suatu Rangka Kerja Analisis Kuala Lumpur:

DBP

Mohammad Shoelhi. 2012. Propaganda dalam komunikasi internasional. Hlm. 34. Bandung:

Simbiosa Rekatama Media.

Robert Cole. 1996. Propaganda in Twentieth Century War and Politics. Scarecrow Press.

Sayyid Qutb.1987. Ma’alim fi al-Tariq. Qahirah: Dar al-Shuruq

Suna Kili.1980. Kemalism in Contemporary Turkey. International Political Science Review Journals. Vol. 1, No. 3, 1980.

The Encyclopaedia Britannica. 2010. Encyclopædia Britannica, Inc

The Oxford Companion to the English Language. 1992. Oxford University Press.

Theodore A. Couloumbis, James H. Wolfe. 1990. Introduction to International Relations: Power And Justice. London: Prentice Hlml International.

Referensi

Dokumen terkait