• Tidak ada hasil yang ditemukan

Impak Kolonialisme Ke Atas Sistem Pendid

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2018

Membagikan "Impak Kolonialisme Ke Atas Sistem Pendid"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

IMPAK KOLONIALISME KE ATAS SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA: Satu Tinjauan Dari Perspektif Perubahan Sosialisasi Masyarakat1

Oleh

SOLAHUDDIN BIN ISMAIL2

solahuddin@uum.edu.my MOHD NIZHO ABDUL RAHMAN3

nizho@uum.edu.my

Abstrak

Era penjajahan Barat (kolonialisme) hampir lima ratus tahun ke atas Tanah Melayu telah memberi kesan yang mendalam terhadap jiwa dan kehidupan rakyat. Dengan konsep “ God Gold and Glory”, penjajah telah berjaya merubah lanskap sosial masyarakat melalui sistem dan dasar-dasar yang telah mereka perkenalkan. Proses yang memakan masa berzaman lamanya umpama api dalam sekam yang setiap saat dan ketika menunggu untuk membaham sedikit demi sedikit yang akhirnya jika tidak dikawal akan memusnahkan seluruh struktur dalam tamadun masyarakat. Antara aspek penting yang diberi perhatian oleh penjajah adalah pendidikan. Atas alasan mentamaddunkan rakyat maka penjajah memperkenalkan satu bentuk sistem pendidikan mengikut acuan (moule) dan model Barat yang asasnya adalah kapitalisme. Aplikasi acuan ini telah memberi impak mendalam dalam kehidupan bermasyarakat pada ketika ini. Kertas ini cuba untuk membincangkan dua perkara pokok iaitu sejarah dan latarbelakang sistem pendidikan Barat terutamanya perkembangan pendidikan di zaman British dan pengaruhnya terhadap sistem sosial masyarakat Malaysia mutakhir ini.

PENDAHULUAN

Kedatangan penjajah ke Alam Melayu telah memberikan kesan yang mendalam ke atas sistem kehidupan mereka. Perubahan demi perubahan dilaksanakan atas alasan mentamadunkan masyarakat pribumi khususnya orang-orang Melayu. Ia selari dengan kehendak dan keinginan masyarakat Eropah ketika itu yang merasakan pada pandangan mereka perlu memajukan penduduk di tanah jajahan agar dapat menikmati nilai ketamadunan mengikut acuan seperti mana mereka kecapi hasil dari arus perubahan yang dibawa oleh proses Renaissance. Potugis, Belanda dan British adalah antara kuasa besar penjajah yang pernah menguasai Alam Melayu - Tanah Melayu - telah berusaha untuk mewujudkan pembaharuan berasaskan citarasa dan kehendak Barat.

Malaysia yang pada waktu itu dikenali dengan nama Tanah Melayu turut tidak terlepas dari arus perubahan sistem yang dibawa oleh kolonial. Perubahan atas tema “The White Man Burden” sebenarnya cuba dimanipulasi oleh penjajah dalam rangka mengaburi mata rakyat tempatan disebalik keinginan mereka untuk mendominasi, menguasai dan mengaut secara optimum sumber kekayaan dari hasil bumi yang dimiliki oleh Tanah Melayu, menyebarluaskan

1 Kertas kerja ini dibentangkan di Seminar Dasar Malaysia Peringkat Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi

MARA (UiTM) Sabah & INQKA pada 6-8 Oktober 2009 di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Kota Kinabalu Sabah.

2 Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembangunan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa

(COLGIS) Universiti Utara Malaysia SINTOK Kedah.

(2)

ajaran Kristian dan membina empayar baru Barat berasaskan paksi demokrasi sekular dalam urustadbir negeri-negeri di bawah naungan mereka.

Untuk menjayakan hasrat penjajah ini maka penstrukturan semula dalam urusan pentadbiran Kerajaan Melayu telah dilakukan khususnya oleh penjajah British. Neri-negeri Melayu telah dibahagi-kelompokkan kepada tiga bentuk iaitu Negeri Selat, Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-Negeri-Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Negeri-Negeri-negeri ini telah dipaksa oleh British untuk menerima Gabenor dan Residen mereka sebagai penasihat untuk urusan urustadbir negeri. Hasilnya kuasa pemerintahan negeri oleh sultan dan raja Melayu telah didominasi oleh penasihat British melainkan hal yang berkaitan dengan agama dan adat istiadat Melayu.

Perubahan kepada sistem pentadbiran ini memerlukan tenaga kerja untuk menggerakkan urustadbir negeri-negeri di bawah naungan British. pada peringkat awal, British telah membawa masuk para pegawai yang terdiri daripada pentadbir British untuk membantu mengukuhkan sistem pemerintahan mereka. Suasana ini semakin berkurangan apabila British mula mengkaderisasi golongan pentadbir melalui penubuhan sekolah-sekolah Inggeris sebagai langkah dan persediaan untuk melancarkan pengurusan pentadbiran mereka.

LATAR BELAKANG PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Pendidikan merupakan salah satu aspek penting dalam kehidupan manusiawi. Di Malaysia, sistem pendidikan telah melalui arus perubahan zamannya yang tersendiri. Ia boleh dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu zaman tradisional4, zaman kolonial dan zaman pasca

kolonial. Menurut Muhammad Yusuf, pembahagian ini adalah untuk tujuan teknikal bagi membezakan penulisan tempatan dengan penulisan yang dipengaruhi oleh Barat (Muhammad Yusuff Hashim, 1992; xiii). Peranan yang dimainkan oleh sistem pendidikan telah banyak memberi nilai tambah kepada pembangunan kerohanian sehingga berupaya melahirkan modal insan yang setanding dengan negara maju. Begitu juga dengan perkembangan pembangunan fizikal negara yang secara tidak langsung terbina daripada intelektualisme cerdik pandai yang lahir dalam sistem pendidikan terdahulu.

Zaman Tradisional

Pendidikan tradisional telah mencipta zaman kecemerlangannya yang tersendiri. Ia menjadi pemangkin dalam melahirkan banyak kerajaan kecil di Tanah Melayu seperti Kerajaan Kedah Tua, Kerajaan Langkasuka, Kerajaan Gangga Negara. Kerajaan Tan-Tan (Abdullah Ishak, 1990; 5-9) dan sebagainya. Arus perkembangan pendidikan pada zaman ini boleh dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa Hinduisme-Buddhisme dan zaman Islam. Period ini menyaksikan bermulanya perkembangan aliran keagamaan di dalam masyarakat Melayu. Namun kepercayaan ini telah dicampur adukkan bersama fahaman animisme yang telah sebati dengan jiwa orang-orang Melayu.

Fasa Hinduisme-Buddhisme

4 Suatu konsepsi pengistilahan yang menunjukkan satu unsur pribumi (yang amat totok) yang secara disedari atau

(3)

Kegiatan keilmuan dan kependidikan di Tanah Melayu telah bermula sejak zaman Hindu-Buddha lagi. Akan tetapi ia hanya tertumpu kepada golongan raja dan bangsawan sahaja. Pedekatan yang bersifat elit ini menjadikan nilai pendidikan itu hanya terangkum dan terhad kepada kalangan golongan atasan sahaja. Skop pendidikan yang sempit yang tertakluk hanya kepada golongan bangsawan ini memperlihatkan agenda pengukuhan terhadap konsep dewaraja5

dan nirvana (Abdul Rahman, 1989; 23-27) bagi meyakinkan rakyat supaya memberi taat setia dan menurut perintah dan arahan raja dan pembesar secara menyeluruh tanpa ragu-ragu. Manakala istana, kuil dan candi pula dijadikan tempat dan medan untuk menjalankan kegiatan ilmu di kalangan mereka.

Fokus utama terhadap kegiatan ilmu lebih menjurus kepada hal yang bersifat keagamaan yang bertujuan untuk memahami dan mendalami secara mendalam tentang nilai dan amalan di dalam ajaran Hindu. Epik Ramayana dan Mahabrata dipentaskan bukan hanya sekadar hiburan golongan bangsawan semata-mata tetapi juga sebagai nilai untuk mendidik masyarakat terutamaya para pembesar agar berpegang teguh dengan aliran Hinduisme (Abdul Rahman, 1989; 66-68). Baghavad Ghita dan Bharatayuddha ditulis untuk memenuhi tuntutan pembesar dalam mengukuhkan lagi konsep devaraja di kalangan rakyat (al-Attas, 1999; 12-13). Pengajaran dan pembelajaran secara tidak langsung ini telah menjadi asas pengukuhan dan penerimaan yang menyeluruh terhadap ajaran agama Hindu.

Perkembangan Hinduisme-Buddhisme disebarkan kepada masyarakat Melayu dengan menggunakan bahasa Sanskrit(Nik Safiah Karim at all, 1991; 4). Manakala bentuk tulisan pada zaman ini telah menggunakan tulisan Pallava (Berita Harian, 19 Nov 2008; 2). Penggunaan bahasa dan tulisan yang menjadi medium utama dalam pendidikan dapat dilihat menerusi penemuan arkeologi ke atas inskripsi-inskripsi (Nik Hassan Suhaimi: 1992; 11) kerajaan Melayu zaman tersebut. Mantra (agama) dan sastra (syair dan puisi) ditulis oleh agamawan supaya ia dapat disampaikan dengan lebih sempurna kepada masyarakat.

Fasa Islam

Islam mula didakwahkan kepada masyarakat di Tanah Melayu sejak kurun ke 7M lagi (Abdullah Ishak, 1990; 70-71). Penyebaran Dakwah Islamiah meliputi tiga tahap iaitu tahap persinggahan, tahap pertapakan dan tahap penyebaran pengaruh secara besar-besaran (Abdul Rahman, 1989; 89-91) dan disebarkan oleh bangsa Arab/Farsi dan India yang datang berdagang dan bertukar barangan di Tanah Melayu. Namun penyebaran Islam menjadi lebih pesat menjelang kurun ke 15M dan 16M. Islam diterima secara positif disebabkan oleh beberapa factor yang saling berkaitan antara satu sama lain. Antara faktor tersebut ialah (Abdullah Ishak, 1990; 71):

a) Perlumbaan penyebaran agama b) Perkahwinan

c) Perdagangan

d) Penguasaan syahbandar e) Politik dan penaklukan

f) Keperibadian pendakwah dan ahli sufi

5 Suatu konsep yang memanifestasikan raja sebagai jelmaan atau anak Tuhan. Mereka adalah titisan - incarnation

(4)

g) Penulisan dan kesusasteraan h) Kemurnian (kequddusan) Islam

Misi dakwah Islamiah di Tanah Melayu tersebar seawalnya kepada masyarakat melalui raja. Ia kemudiannya diikuti oleh pembesar dan juga rakyat jelata. Kesan daripada pengIslaman raja Melaka telah menyebabkan Islam telah berkembang pesat ke Tanah Jawa, Meluku, Borneo serta tanah jajahan Melaka di Tanah Melayu dan Sumatera seperti Pahang, Terengganu, Kedah, Pattani, Johor, Kampar, Inderagiri, Rokan, Siak dan Bengkulis (Abdullah Ishak, 1990; 100). Perkembangan Islam ini menjadikan Melaka sebagai pusat bagi penyebaran Islam terbesar di rantau Melayu ketika itu. Kedudukan ini diperkukuhkan lagi dengan kedatangan ulama-ulama besar yang bukan sahaja berperanan setaraf dengan pembesar dan pentadbir negeri malahan diberi tanggungjawab dalam hal ehwal keagamaan dan pendidikan masyarakat.

Pembesar bersama-sama rakyat jelata sentiasakan dahagakan ilmu menggambarkan bahawa Islam telah berjaya mengubah kehidupan masyarakat Melayu yang sebelumnya menggemari kehidupan berfoya-foya kepada kehidupan yang cintakan ilmu pengetahuan Islam. Istana, rumah, masjid dan surau dijadikan pusat bagi kegiatan ilmu-ilmu Islam. Silibus yang diindoktranisi dari zaman Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabi’in diaplikasikan dengan memberi penekanan terhadap pembacaan, penulisan dan pengajian al-Quran serta asas-asas Islam seperti Fiqh, Tawhid, Tasawwuf, Sejarah Islam, Falsafah Islam dan sebagainya secara lebih komprehensif (Abdullah Ishak, 1995; 131).

Melaka telah meletakkan batu asas kepada kelahiran sistem pendidikan Islam yang lebih tersusun dan teratur. Mata pelajaran berserta sukatannya diatur secara sistematik menjadikan pendidikan Islam itu mudah untuk dipelajari dan dihayati. Manakala kesanggupan ulama-ulama besar seperti Sayyid Abdul Aziz, Maulana Sadar Jahan, Maulana Jalaluddin dan sebagainya untuk turut serta menyampaikan ilmu telah memberikan kesan mendalam dalam sanubari rakyat untuk terus mempraktis ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Islam yang dilihat sebagai agama sejagat meliputi bangsawan dan marhaen telah berjaya memikat dan menarik minat masyarakat untuk terus beramal dengan suruhannya hingga ke hari ini.

Zaman Kolonial

(5)

Dalam aspek pendidikan, penjajah Portugis merupakan pelopor kepada sistem pendidikan moden di Tanah Melayu. Ia bertujuan untuk menghalang dan menggagalkan perkembangan Islam. Portugis telah menyediakan alternatif pendidikan melalui pembinaan gereja-geraja Kristian sebagai usaha untuk menyaingi masjid orang-orang Melayu Islam. Gereja pertama dibina atas perintah Albuquerque dan ia ia siap sepenuhnya pada tahun 1515M. Selepas itu sebuah lagi gereja bernama Gereja Our Lady of the Visitation telah dibina. Pada tahun 1521M, Duerte Coelho telah membina Gereja St. Paul daripada kayu lalu diubahsuai pada tahun 1590M dengan bangunan batu. Usaha Portugis untuk menyebarkan agama Kristian Katolik menjadi lebih giat dengan kehadiran Francis Xavier pada tahun 1545M. Pembinaan Pusat Mubaligh Jesuit dan Sekolah St. Paul dilaksanakan untuk mengkaderkan pendakwah-pendakwah Kristian. Beliau juga telah menyelenggara penterjemahan Rukun Sepuluh Kristian dan doa-doa yang berkaitan ke dalam bahasa Melayu. Namun Francis Xavier merasa kecewa kerana ajaran Kristian kurang mendapat sambutan daripada penduduk tempatan (Khoo Kay Kim, 1992; 61-62).

Belanda telah berjaya menawan Melaka pada tahun 1641M. Polisi dan dasar penjajah Belanda sama seperti Portugis iaitu politik dan ekonomi di samping mengembangkan Kristian. Sebaliknya, Belanda menghadapi saingan politik dan perdagangan dari kuasa Barat seperti Portugis dan juga kuasa tempatan seperti Kerajaan Bantam dan Kerajaan Mataram. Kekalutan ini menjadikan Belanda hanya memberi fokus kepada aspek perniagaan dan pemerintahan serta tidak berusaha untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada masyarakat Melayu Islam. Semasa penjajahan Belanda, kegiatan dan aktiviti berkaitan keagamaan dan pendidikan mengalami kelesuan dan tidak ditonjolkan secara ketara. Abdullah Ishak mengatakan hal ini berlaku disebabkan dua kemungkinan. Pertama; tidak wujud sebarang bentuk penulisan atau laporan dari mana-mana pihak sama ada bersifat ilmiah atau tidak yang melaporkan tentang kegiatan pendidikan yang dijalankan. Kedua; sikap intelektual yang sengaja merahsiakan kegiatan yang berlaku bagi mengelakkan tentangan dan ancaman ganas daripada penjajah Belanda. Namun berpandukan pernyataan-pernyataan zaman kemudiannya, maka dibuat rumusan bahawa kegiatan agama dan pendidikan tetap berjalan semasan penjajahan Belanda tetapi situasinya tidak menonjol (Abdullah Ishak, 1995; 133).

Penstrukturan pemerintahan mengikut acuan British juga turut berlaku di dalam sistem pendidikan masyarakat Melayu. Zaman ini memperlihatkan berpecahnya pendidikan kepada lima kategori iaitu pendidikan pondok, sekolah Melayu, sekolah Cina, sekolah Tamil dan juga sekolah Inggeris (Shahril Marzuki at all; 36-47). Pemecahan sekolah-sekolah ini adalah berasaskan status bangsa yang terdapat di Tanah Melayu pada ketika itu. Dan ia dikenali sebagai sistem pendidikan vernakular yang mana pengajaran dan pembelajarannya diterapkan dalam bahasa ibunda masing-masing. Dengan itu wujud Sekolah Arab, Sekolah Melayu Sekolah Cina, sekolah Tamil yang bergerak selari dengan Sekolah Inggeris walaupun metod pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, prasarana/infrastuktur dan tenaga pengajarnya tidaklah sesempurna yang dimiliki oleh Sekolah Inggeris. Ia sekadar memenuhi tuntutan agar bangsa yang terdapat di Tanah Melayu menguasai sedikit ilmu untuk membaca dan mengira di peringkat awal pendidikan di kalangan penduduk berbilang bangsa.

(6)

Tanah Melayu (W.R. Roff, 2004; 19-21). Agenda pendidikan yang dibawa oleh British hanya sekadar melepaskan batuk di tangga kerana keperluan pendidikan untuk masyarakat di Tanah Melayu bukanlah untuk mencelikkan mereka dari buta huruf tetapi sekadar memenuhi tuntutan dan memudahkan gerak kerja dalam urusan pentadbiran mereka sahaja. Penubuhan Penang Free School (1816M), Melaka Free School (1826M) dan Singapura Free School (1834M) yang masing-masing terletak di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura adalah sekolah aliran Inggeris yang cuba untuk memberikan pendidikan kepada semua bangsa di Tanah Melayu. Ia dinamakan ‘free’ kerana sekolah-sekolah ini diberi kebebasan untuk menerima murid yang terdiri daripada pelbagai kaum dang agama (Choong Lean Keow, 2008; 12-13). Namun begitu, sekolah-sekolah ini kurang mendapat sambutan dari kalangan anak-anak Melayu kerana ditakuti jika belajar di sekolah Inggeris, anak-anak mereka akan menjadi ‘Kristian’ (W.R. Roff, 2004; 23).

Pada tahun 1821M, sekolah Melayu pertama telah dibina di Gelugor Pulau Pinang tetapi ia kurang mendapat sambutan serta mengalami masalah kekurangan guru. Dan pada tahun 1856M, sekolah Melayu di Teluk Belanga dan Kampung Gelam Singapura. Penubuhan sekolah-sekolah Melayu ini sebenar tidak bertujuan untuk memberi pendidikan yang sempurna kepada anak-anak Melayu. Ia sekadar untuk memenuhi keperluan politik penjajah yang cuba untuk mengambil hati pembesar Melayu. Kurikulum yang ditawarkan pula banyak diambil dari cerita-cerita dongeng yang melekakan pemikiran orang-orang Melayu. Manakala lepasan sekolah Melayu hanya dilantik untuk menjawat jawatan rendah dalam pentadbiran British (Shahril Marzuki dan Habib Mat Som, 1999; 3-4). Justeru, pendidikan di Tanah Melayu oleh pihak British bukanlah bertujuan untuk mendidik masyarakatnya menjadi manusia yang berilmu pengetahuan tetapi sekadar memenuhi tuntutan semasa terutamanya oleh golongan pembesar Melayu yang menginginkan orang-orang Melayu ada sedikit pengetahuan untuk kelangsungan kehidupan mereka. Ini dtegaskan sendiri oleh George Maxwell (dipetik dari Mohd Ali Kamarudin, 1981; 10):

Tujuan kerajaan bukanlah hendak mengadakan segelintir pemuda-pemuda yang berpendidikan baik, tidak juga sebilangan budak-budak yang kurang terdidik melainkan ialah untuk memperbaiki keadaan bilangan terbesar penduduk dan menjadikan anak nelayan-nelayan atau petani-petani itu seorang nelayan atau petani yang lebih cerdik daripada bapanya serta menjadikan ia mengerti menerusi pelajarannya yang keberuntungannya dalam hidup ini adalah sesuai dengan cara hidup disekelilingnya.

(7)

Walau bagaimanapun sekitar tahun 1900an, atas inisiatif golongan muda yang terkesan dengan modenisasi dan gerakan reformasi di Timur Tengah telah membuka ruang perbincangan dalam Majalah al-Imam (1906M) untuk mengubah pemikiran orang-orang Melayu berlandaskan ilmu pengetahuan. Mereka berpendapat bahawa pendidikan sahaja yang dapat membuka ruang untuk orang-orang Melayu keluar dari belenggu penjajah dan kemelaratan hidup (B.W. Andaya & L.Y. Andaya, 1982; 203). Mereka ngajak masyarakat Melayu supaya berijtihad dalam kahidupan dan tidak bertaklid secara membuta tuli sebagai jalan keluar untuk memajukan kehidupan (Syed Muhammad Khairudin al-Junied & Dayang Istiaisyah Hussin, 2005; 252). Tahun 1908M, Madrasah al-Iqbal al-Islamiyah telah ditubuhkan di Singapura sebagai alternatif pendidikan moden bagi orang-orang Melayu. Institusi ini menggabungkan aliran pendidikan Timur Tengah dan Barat dengan dalam satu sekolah yang mempunyai infrastruktur moden seperti yang terdapat pada sekolah Inggeris. Sekolah ini menjadi perintis kepada percambahan sekolah-sekolah lain di Tanah Melayu ketika itu (W.R.Roff, 2004; 71).

Dengan kesedaran bahawa pendidikan sebagai satu wahana untuk membangunkan bangsa, maka segelintir anak-anak muda Melayu yang berpendidikan agama dari Timur Tengah telah mengambil resiko yang tinggi sehingga sanggup mencabar bangsa mereka untuk keluar (ijtihad) dari kemelaratan dan kemiskinan akibat kebebalan mereka yang mengikut (taklid) secara membuta tuli dan menolak arus medenisasi yang di bawa oleh Barat. Hasilnya wujud satu rangkaian pendidikan Melayu yang stabil dan bersifat moden tanpa mengabaikan teras pendidikan Islam kepada anak bangsa Melayu hingga ke hari ini.

Zaman Pasca Kolonial

Sistem pendidikan telah berkembang pesat setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957M. Sekolah-sekolah dibina dengan banyak sekali hingga ke luar bandar untuk member pendidikan yang sempurna kepada rakyat. Jaringan pendidikan ini bukan hanya setakat di peringkat rendah sahaja malahan di kembangkan di peringkat menengah dan di peringkat pengajian tinggi seperti mana yang terkandung di dalam syor-syor yang dikemukakan oleh Penyata Razak 1956M dan Penyata Rahman Talib 1960M. Pendemokrasian pendidikan dilaksanakan dengan dengan member jaminan pendidikan untuk anak-anak untuk tempoh sekurang-kurangnya enam tahun. Peluang mendapat pendidikan dipertingkatkan dan ruang pendidikan percuma yang menyeluruh kepada rakyat telah diperkenalkan pada tahun 1962M (Ee Ah Meng, 1996; 27-37).

(8)

tenaga mahir yang dihasilkan terutamanya melalui sistem pendidikan vokasional adalah tepat dan memenuhi kehendak pasaran pada ketika itu.

Pendidikan di Malaysia berkembang maju dengan bertambahnya institusi pengajian tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk mentransformasikan negara ke arah perindustrian. Sekolah dan institut latihan dan vokasional diperkenalkan dengan penawaran kursus-kursus berasaskan sains dan teknologi agar pelajar mampu untuk menghadapi perubahan zaman seperti yang disasarkan oleh pihak kerajaan. Universiti Sains Malaysia (1969), Universiti Kebangsaan Malaysia (1970), Universiti Teknologi Malaysia (1971) dan Universiti Pertanian Malaysia (Ee Ah Meng, 1996; 52) ditubuhkan dengan matlamat untuk mendidik mahasiswa yang mahir di peringkat pengajian tinggi yang mampu mengurus perkembangan sains dan teknologi selari dengan tuntutan semasa. Sehingga hari ini, sistem pendidikan negara telah berkembang maju dengan kursus-kursus yang lebih efision untuk memartabatkan pendidikan Negara selaras dengan tuntutan globalisasi dunia kini.

PENDIDIKAN DAN PERUBAHAN SOSIAL MASYARAKAT MELAYU

Sistem pendidikan telah mengalami evolusi yang ketara setelah berlakunya kolonialisme ke atas Tanah Melayu. Masyarakat Melayu yang secara tradisinya terdidik dengan pendidikan bersifat keagamaan yang dianggap tidak formal telah diperbaharui dengan ssuatu sistem pendidikan yang lebih tersusun dengan berpaksikan sekolah dan institusi bermodelkan pendidikan Barat. Penyususnan semula sistem pendidikan orang-orang Melayu oleh golongan reformis Islam yang berpendidikan Timur Tengah telah berjaya membangunkan semula kehidupan masyarakat Melayu yang sebelumnya bertaklid tanpa hala tuju yang jelas kepada hidup secara lebih saintifik berasaskan ijtihad berlandaskan tatasusila yang diajar oleh Islam. Melalui pendidikan, masyarakat Melayu telah ditransformasikan pemikiran mereka agar menerima sistem pendidikan yang menggabungkan urusan duniawi dan urusan ukhrawi. Mereka tidak lagi terikat dengan sistem pendidikan tradisional yang semata-mata membincangkan persoalan-persoalan keagamaan sahaja tetapi juga perlu mendalami ilmu yang berkaitan dengan lapangan kehidupan seharian. Inilah yang menjadi landasan kepada sistem pendidikan Malaysia hari ini yang menekankan pembangunan aspek rohani dan jasmani seperti yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.

(9)

Kesan Positif

Sungguhpun kolonialisme telah menerjah dalam pelbagai aspek dalam sistem pemerintahan Negara tetapi ia juga telah memberikan input baru yang boleh diambil manfaat untuk kemajuan bangsa Melayu itu sendiri. Dalam aspek pendidikan, kolonialisme telah mewujudkan satu bentuk sistem pendidikan yang berorganisasi dengan susunan yang teratur sebagaimana yang sepatutnya ada dalam sesebuah institusi pendidikan. Kolonialisme yang memperkenalkan sekolah Inggeris telah mewujudkan prasarana pendidikan moden dengan adanya struktur bangunan sekolah, kelas-kelas pengajian yang dikenali sebagai bilik darjah, kurikulum pengajian mengikut tahap kemajuan murid, tenaga pengajar yang dilatih khusus untuk sesuatu subjek, sistem peperiksaan sebagai kayu ukur kefahaman murid, persijilan sebagai meknisme untuk mendapatkan pekerjaan serta pejabat untuk mengurus operasi sesebuah institusi pendidikan. Ini menjadikan institusi pendidikan itu lebih bermakna bukan hanya sebagai pusat untuk menimba ilmu pengetahuan tetapi juga sebagai sebuah institusi yang menjadi tapak dalam mendapatkan pekerjaan. Konsep serampang dua mata ini telah berjaya mendidik masyarakat Melayu agar bersungguh-sungguh dalam pendidikan supaya mereka mendapat kesenangan melalui peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan setelah tamat pengajian.

Sistem persekolahan yang sistematik dan tersusun telah membuka peluang dan ruang untuk bangsa Melayu mendapat pendidikan. Kurikulum yang disusun atur oleh pentadbir sekolah Inggeris semestinya memihak kepada pendekatan sekularisme yang ternyata memisahkan pelajaran sekular dan pelajaran agama. Subjek-subjek sekular diajar kepada murid di sebelah pagi manakala subjek agama pula diberi pilihan untuk murid mendudukinya dan di ajar di sebelah petang (Muhd Ali Kamaruddin, 1981; 4). Sungguhpun begitu, murid-murid yang belajar telah distrukturkan secara sistematik mengikut kelas-kelas tertentu berdasarkan keupayaan mereka agar ilmu yang diterima sama ada yang berbentuk sekular atau agama dapat dikuasai dengan sebaiknya. Kaedah ini telah membezakan dengan pendidikan tradisional yang hanya menumpukan kepada subjek atau ilmu keagamaan semata-mata. Pengintegrasian ilmu ini menjadikan nilai ilmu itu bertambah kukuh kerana murid bukan hanya mantap dalam ilmu agama tetapi juga menguasai ilmu harian yang bersifat duniawi.

(10)

Dengan adanya institusi pendidikan yang sistematik juga telah melahirkan semangat nasionalime di kalangan orang-orang Melayu untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah British. Pejuang-pejuang kemerdekaan seperti Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Fuad Hassan, Zulkifli Muhammad, Ahmad Boestaman dan ramai lagi telah mendapat pendidikan asas melalui acuan dan struktur pendidikan yang dibawa oleh British. walaupun dari sudut nama institusi pendidikan yang mendidikan mereka mungkin berbeza kerana adanya sekolah Agama/Arab, sekolah Melayu dan sekolah Inggeris tetapi acuan pendidikan moden itu datangnya dari model dan sistem yang dibawa kolonial. Cuma mungkin atas kesedaran dan penghayatan ilmu yang ditimba maka timbul rasa ingin melepaskan diri dari bayangan British lalu memperjuangkan tindakan-tindakan untuk menuntut kemerdekaan dari kuasa penjajah.

Justeru pendidikanlah yang memainkan peranan penting dalam member nilai tambah kepada perkembangan dan kemajuan hidup orang-orang Melayu. Status social masyarakat Melayu berubah setalah adanya sistem pendidikan yang tersusun dan sistematik yang diterokai oleh kolonial. Namun dengan kebijaksanaan orang-orang Melayu sendiri untuk membebaskan mereka dari belenggu kemiskinan dan penguasaan penjajah, maka sistem pendidikan kolonial telah diubahsuai mengikut budaya dan adat resam Melayu serta menokok tambah elemen agama agar pendidikan yang mereka perolehi sesuai dengan ajaran Islam yang dianuti oleh bangsa Melayu serta tidak menghakis kebudayaan Melayu yang menjadi intipati dalam kehidupan seharian mereka. Modifikasi yang dilakukan dalam pendidikan Melayu telah memberi impak yang kuat untuk mengubah sosialisasi hidup Melayu serta menjadi pemangkin kepada kelangsungan pendidikan hari ini.

Kesan Negative

Walaupun banyak manfaat yang diperolehi dari sistem pendidikan kolonial, terdapat juga kelemahan yang sedikit sebanyak mendominasi kehidupan orang-orang Melayu. Dengan wujudnya sekularisme dalam sistem pemerintahan maka tempiasnya juga terkena dalam sistem pendidikan. Perkembangan pendidikan Inggeris yang diberikan secara percuma dan disertakan dengan pelbagai kemudahan infrastruktur yang sempurna telah memberikan cabaran yang besar ke atas sistem pendidikan tradisional yang lebih member tumpuan kepada sukatan pelajaran yang bersifat keagamaan semata-mata. Masyarakat Melayu terutamanya Kaum Tua yang menolak sistem pendidikan moden telah merugikan orang-orang Melayu. Banyak anak-anak Melayu terdahulu yang mengikuti kaedah pendidikan tradisional hanya mengikuti jejak langkah keluarga mereka sama ada menjadi petani ataupun nelayan. Ini kerana kehendak kolonialisme zaman itu memerlukan sijil sebagai ‘alat’ untuk menjawat sesuatu jawatan dalam kerajaan dan ia berterusan hingga ke hari ini. Sebab penolakan kepada sistem pendidikan moden adalah kerana ditakuti anaka-anak mereka yang terpesong akidah mereka dan bertukar agama menjadi Kristian. Sikap tidak rasional ini amat merugikan bangsa Melayu kerana hingga mutakhir ini bangsa Melayu masih lagi ketinggalan dalam bidang-bidang professional seperti kedoktoran, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya.

(11)

sesama sendiri di kalangan orang-orang Melayu yang masing-masing berpegang teguh dengan pendirian politik kepartian mereka. Ini adalah hasil dari pendekatan sekularisme yang ditaja oleh kolonial dalam sistem pendidikan negara. Faham kebangsaan yang ditinggalkan oleh penjajah British telah bertembung dengan aliran Islam sehingga memecah belahkan institusi kemasyarakatan orang-orang Melayu. Semuanya bersusur galur dari sistem pendidikan yang terpisah secara spiritualnya tetapi wujud dalam acuan dan sistem adalah satu.

Kesimpulan

Dasar dan polisi pendidikan kolonial telah membawa perubahan yang ketara dalam kehidupan bermasyarakat orang-orang Melayu. Kalau zaman tadisional, masyarakat Melayu diletakkan di bawah satu naungan (sultan dan raja Melayu) tetapi apabila berlakunya kolonialisme Barat maka terjadinya pemisahan antara pemerintahan dan agama (sekularisme) sehingga mengubah keseluruhan corak hidup orang-orang Melayu. Paksi kepada pemisahan ini dapat dilihat dengan jelas melalui sistem pendidikan yang diberikan kepada rakyat. Unsur material yang dipersembahkan kepada melalui pengenalan sijil-sijil atau anugerah-anugerah tertentu dalam peperiksaan menjadikan masyarakat Melayu terikat dengan budaya kecemerlangan akademik semata-mata dengan matlamat menjadikan pendidikan sebagai asas untuk mendapat pekerjaan yang baik. Inilah yang amat ditekankan oleh ibu bapa agar anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran di sekolah ataupun di universiti tetapi ramai dari kalangan ibu bapa yang tidak prihatin akan ketidakuapayaan dan kelemahan anak-anak mereka dalam pengajian keagamaan seperti pembacaan al-Quran dan penguasaan ilmu fardu ain yang menjadi kewajipan bagi setiap individu Muslim.

Tidak adapat dinafikan bahawa gabungan ilmu sekular dan ilmu Islam banyak dilaksanakan di sekolah-sekolah harian malahan di universiti di dalam negara kita tetapi penghayatannya amat kurang sekali. Diskriminasi terhadap kurikulum agama jelas berlaku apabila ia diajar di waktu petang dan diberi pilihan sama ada murid ingin menghadirinya atau tidak. Ini memberi kesan jangka panjang dan tidak mustahil pada masa hadapan ramai dari kalangan murid yang tidak akan tahu membaca al-Quran dan mengenal Islam. Perubahan sosialisasi masyarakat Melayu akibat dari pelaksanaan sistem pendidikan sekular amat membimbangkan sekali dan tindakan segera perlu difikirkan secara kolektif agar yang dikejar akan diperolehi dan yang dikendong tidak berciciran.

RUJUKAN

(12)

Abdullah Ishak, 1990; Islam di Nusantara Khususnya di Tanah Melayu, Penerbit al-Rahmaniah.

al-Attas, Syed Muhamad Naquib, 1999, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, KL: Angkatan Belia Islam Malaysia.

B.W. Andaya & L.Y. Andaya, 1982, A History of Malaysia, The Macmillan Press Ltd.

Choong Lean Keow, 2008, Falsafah dan Pendidikan di Malaysia, KL: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Ee Ah Meng, 1996; Pendidikan di Malaysia 1; Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Khoo Kay Kim, 1992, Kedatangan Orang Eropah dalam Zainal Abidin Abdul Wahid at. all.,

Malaysia Warisan dan Perkembangan, KL: DBP

Mohd Ali Kamarudin, 1981, Sejarah Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, KL: Penerbit UKM

Muhammad Yusuf Hashim, 1992, Pensejarahan Melayu: Kajian Tentang Tradisi Sejarah Melayu Nusantara, KL: DBP.

Nik Hassan Suhaimi, 1992, Zaman Protosejarah Malaysia dalam Zainal Abidin Abdul Wahid at. all., Malaysia Warisan dan Perkembangan, KL: DBP

Nik Safiah Karim at all, 1991, Tatabahasa Dewan, jilid 1, KL: Dewan Bahasa dan Pustaka. Shahril Marzuki at all; 1994, Pendidikan di Malaysia, Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Shahril Marzuki dan Habib Mat Som, 1999, Isu Pendidikan di Malaysia Sorotan dan Cabaran, Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.

Syed Muhammad Khairudin al-Junied & Dayang Istiaisyah Hussin, August 2005, Estranged From The Ideal Past: Historical Evolution of Madrasahs in Singapore, Journal of Muslim Minority Affairs, Vol. 25, No. 2.

Referensi

Dokumen terkait