TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT DAN ISLAM
1
Siti Aminah Binti Ishak 2
Dr.Wan Fariza Alyati Wan Zakaria
Abstrak
Kajian ini membincangkan mengenai teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat dan Islam. Ilmuan Barat yang diketengahkan dalam perbincangan ini ialah Emile Durkheim dan Sigmund Freud, manakala ilmuan Islam dilihat berdasarkan kepada pandangan Syed Naquib Al-Attas dan Merryl Wyn Davies. Tokoh ilmuan Barat membincangkan teori kelahiran agama dalam skop perbincangan agama primitif, manakala ilmuan Islam pula berdasarkan konsep al-dīn secara menyeluruh. Matlamat utama kajian adalah untuk membuat perbandingan antara ilmuan Barat dan Islam, sekaligus memahami konsep kelahiran agama dalam kehidupan manusia berdasarkan kepada kepercayaan atau nilai kemanusiaan. Untuk mencapai matlamat kajian, terdapat beberapa objektif yang diketengahkan oleh pengkaji. Pertamanya ialah membincangkan mengenai teori kelahiran agama menurut pandangan ilmuan Barat dan Islam dalam memahami konsep kelahiran agama berdasarkan kepada fitrah manusia. Kedua, membuat perbandingan antara teori yang dikemukakan oleh ilmuan Barat dengan Islam untuk mengenalpasti bahawa teori yang dikemukakan berdasarkan kepada kepercayaan tokoh terhadap agama atau nilai kehidupan. Keseluruhan kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif berdasarkan pendekatan analisis secara induktif yang mana kesimpulan yang dilakukan adalah untuk menjawab persoalan-persoalan kajian. Pengkajian dan analisis dilakukan terhadap maklumat yang diperolehi daripada sumber rujukan primer dan sekunder yang mencakupi pandangan Barat dan Islam. Hasil kajian mendapati bahawa ilmuan Barat menyatakan bahawa agama hanya sebagai kehendak kepada naluri beragama sedangkan ilmuan Islam berpendapat bahawa agama adalah keperluan yang sangat penting dalam kehidupan manusia secara menyeluruh.
Kata Kunci : Teori kelahiran agama, Konsep Agama, Ilmuan Islam, Ilmuan Barat.
1
Siti Aminah Ishak, B.A. Pelajar Sarjana Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan.
2
Dr.Wan Fariza Alyati Wan Zakaria, Ph.D. Pensyarah di Jabatan Usuluddin & Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan.
PENGENALAN
Fenomena beragama merupakan suatu fenomena yang muncul seusia kewujudan manusia di dunia. Dalam tamadun kemanusian, kepercayaan beragama seiring dengan perkembangan sejarah sesuatu bangsa. Gejala beragama dan perasaan keagamaan diperlukan oleh manusia kerana naluri dan fitrah manusia memerlukan kepada panduan dan pegangan yang boleh membimbing manusia dalam menjalani cara hidup dan menyusun kehidupan beragama (Mohd Sulaiman Yasin 1985:1-3 ).
Pada dasarnya, kehidupan beragama merupakan kepercayaan terhadapnya kekuatan yang luar biasa dan supernatural yang berpengaruh terhadap kehidupan individu dan masyarakat. Kepercayaan tersebut telah melahirkan perbuatan tertentu seperti berdoa, memuja dan menyembah. Keadaan itu juga menimbulkan sikap mental yang tertentu seperti rasa takut, kagum dan menghormati kuasa supernatural. Dalam antropologi agama, segala perilaku yang berkaitan hal keagamaan dikenali sebagai ritual agama. Kehidupan beragama juga merupakan wadah penyejuk jiwa dan sumber motivasi (Bustanuddin Agus 2006 : 1-4). Agama sebagai satu kaedah yang mampu memberikan motivasi kepada manusia dapat digambarkan melalui fungsi agama dalam kehidupan manusia sebagai petunjuk yang mengarahkan kepada kehidupan yang sempurna.
Justeru, kehidupan beragama merupakan suatu fenomena yang mendapat perhatian dan dibincangkan oleh para ilmuan daripada pelbagai latar belakang. Dalam kertas kerja ini pengkaji akan membincangkan teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat dan Islam seterusnya mengenalpasti kepentingan beragama dalam kehidupan manusia. Melalui perbincangan tersebut juga, pengkaji membezakan penggunaan terma agama, religion dan dīn dalam perbahasan antropologi agama.
TEORI KELAHIRAN AGAMA
KONSEP AGAMA, RELIGION DAN DĪN
Agama, religion dan dīn merupakan istilah yang merujuk kepada kepercayaan manusia yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka. Manusia memerlukan pegangan dan kepercayaan dalam menjalani kehidupan seharian kerana ia merupakan naluri fitrah manusia. Pegangan dan kepercayaan manusia juga dijadikan sebagai perlindungan dan jaminan keselamatan serta sebagai asas kekuatan dalam kehidupan. Hal ini kerana kepercayaan manusia kepada unsur agama menjadikan kehidupan mereka lebih teratur dan bersistematik. Kehidupan yang teratur dalam agama dapat dilihat berdasarkan kepada suruhan melakukan kebaikan. Situasi ini dapat dilihat dalam semua agama yang terdapat di dalam dunia ini tidak kira sama ada Islam, Kristian, Buddha, Konfucius dan sebagainya. Kehidupan manusia tanpa kepercayaan kepada agama tidak teratur dan dunia akan menjadi huru hara serta kejahatan akan berleluasa. Keadaan tersebut berlaku kerana tiada panduan dan suruhan yang menyeru ke arah kebaikan. Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa agama merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia kerana agama mempengaruhi kehidupan seharian mereka.
Walaupun pada kebiasaannya agama disinonimkan dengan istilah religion dan dīn, akan tetapi apabila diteliti secara mendalam ketiga-tiga istilah tersebut mempunyai perbezaannya. Agama yang berasal daripada perkataan Sanskrit yang bermaksud ‘tidak kacau’ dan ‘tidak pergi’ merujuk kepada kepercayaan dan kehidupan yang berada dalam keadaan teratur dan tidak kucar-kacir (Faudzinaim Badaruddin 2007 : 4). Istilah agama juga menggambarkan kepada suatu kepercayaan kepada Tuhan, sifat-sifat dan kekuasan Tuhan serta menerima perintah dan ajaran-Nya. Oleh yang demikian, agama adalah kepercayaan manusia kepada Tuhan dan suatu peraturan yang mengatur kehidupan manusia. Hal ini kerana agama merupakan tindakan sistem sosial yang melibatkan kepercayaan kepada suatu kuasa, yakni Tuhan dan berfungsi sebagai penyelamat dalam kehidupan manusia sama ada secara individu mahupun masyarakat. Walau bagaimanapun, perbincangan berkaitan agama merupakan suatu yang bersifat universal dan umum. Ini kerana perbincangan berkaitan agama merangkumi semua agama yang terdapat di dalam dunia ini tanpa dibataskan kepada agama yang tertentu.
Istilah religion pula berasal daripada perkataan Latin yang membawa maksud mengikat, iaitu merujuk kepada ikatan antara penganut dengan tuhannya. Religion menurut pandangan E.B Taylor bermakna kepercayaan manusia kepada kuasa ghaib. Hal ini berdasarkan kajian beliau terhadap kepercayaan atau agama yang bersifat animism (Edwards 1975 :36). James Martineu pula menyatakan bahawa religion merupakan kepercayaan kepada tuhan. Martineu juga berpendapat bahawa tuhan mengatur alam semesta dan mempunyai hubungan moral dengan manusia (Edwards 1967: 140) Ilmuan Barat dalam hal ini percaya bahawa kehadiran kuasa ghaib yang dianggap suci dan spiritual dapat ditanggapi dan dirasai oleh manusia berdasarkan kepada kepercayaan mereka terhadap objek totem dan mana . Oleh yang demikian, konsep religion hanya merangkumi kepercayaan kepada kuasa ghaib dan hubungan yang baik dilakukan melalui upacara penyembahan terhadap kuasa tersebut bagi menunjukkan rasa penghormatan. Justeru, religion adalah kepercayaan dan pegangan terhadap kuasa ghaib yang membentuk sikap dan pengamalan keagamaan dalam diri manusia.
kecenderungan yang terdapat dalam diri manusia yang dikenali sebagai adat resam dan kebiasaan atau fitrah. Melalui istilah dīn juga muncul aspek pengabdian dan penyerahan diri manusia kepada Penciptanya bagi menzahirkan perjanjian serta fitrah yang terkandung dalam diri manusia sejak azali (Naquib Al-Attas 1976 : 5-6). Kenyataan tersebut menunjukkan bahawa dīn merupakan suatu pegangan yang bukan sahaja melibatkan lahiriah manusia, akan tetapi dīn adalah pegangan yang merangkumi aspek dalaman diri manusia yang melihatkan unsur rohaniah. Perbicangan berkenaan dīn juga dapat dihubungkan dengan keimanan manusia kepada Penciptanya. Istilah dīn yang dibincangkan adalah lebih cenderung kepada agama fitrah manusia yakni Islam. Dalam Islam, keimanan manusia diungkapkan melalui perkataan, dibenarkan di dalam hati manusia dan dapat dibuktikan berdasarkan kepada pengamalan dan perbuatan mereka.
Perbincangan di atas menggambarkan bahawa dīn merupakan cara hidup yang melibatkan unsur lahiriah dan rohaniah manusia. Hal ini kerana pusat kehidupan manusia sebagai seorang Muslim adalah berasaskan kepada keimanan manusia kepada keEsaan Tuhan yang merangkumi unsur tauhid dalam bentuk Rukun Iman. Keimanan Muslim akan menyedarkan peranan manusia sebagai hamba dan khalīfah Allah. Situasi tersebut membawa manusia mengabdikan diri kepada Penciptanya demi menzahirkan kehambaan diri manusia. Amalan pengabdian diri kepada Pencipta membentuk prinsip taqwa dalam agama yang menjadi dasar dalam kehidupan seharian manusia.
Oleh yang demikian, dapat dirumuskan bahawa istilah agama, religion dan dīn mempunyai perbezaan. Istilah agama lebih umum daripada istilah religion dan dīn kerana agama merujuk kepada semua agama yang terdapat di dunia ini tidak kira sama ada agama budaya mahu pun agama samawi. Tetapi perbincangan religion lebih menumpukan aspek kepercayaan dan pegangan masyarakat primitif sedangkan perbincangan dīn lebih tertumpu kepada agama fitrah manusia iaitu Islam secara keseluruhan. Walaupun begitu, konsep agama dan religion mempunyai persamaan dari segi ajaran dalam kepercayaan dan pegangan beragama. Hal ini kerana dalam kedua-dua konsep tersebut hanya mengandungi ajaran yang berbentuk hubungan manusia dengan Tuhan. Namun begitu, konsep dīn yang dibincangkan merangkumi aspek perhubungan antara manusia dengan Tuhan dan hubungan antara manusia dengan manusia. Keadaan tersebut menggambarkan bahawa perbincangan dīn berkaitan pegangan hidup lebih menyeluruh kerana melibatkan unsur lahiriah dan rohaniah manusia yang menepati fitrah semulajadi tujuan penciptaan manusia.
TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT
Di dalam perbincangan berkaitan teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat ini, pengkaji mengemukakan pandangan dua tokoh barat yang terkenal iaitu Emile Durkheim dan Sigmund Freud. Kedua-dua pandangan tokoh Barat ini melihat agama berdasarkan masyarakat primitif.
Emile Durkheim
Emile Durkheim merupakan seorang tokoh sosiologi dan ahli falsafah Perancis. Emile Durkheim membincangkan tentang agama dalam karya beliau yang bertajuk The Elementary of Religious Form. Durkheim menyatakan bahawa totemisme merupakan agama atau suatu kepercayaan yang paling kuno dalam amalan keagamaan. Istilah totemisme merupakan nama yang diberikan oleh para pemikir terhadap perilaku berfikir yang memaparkan rasa hormat terhadap sesuatu benda atau simbol bagi suatu kumpulan yang kebiasaannya dikaitkan dengan binatang atau elemen alam. Tambahan lagi, Durkheim menyatakan bahawa agama adalah suatu elemen yang menyatukan individu yang berada dalam komuniti sosial. Beliau berpendapat bahawa sesuatu agama berasal daripada masyarakat itu sendiri. Agama juga menjadi lambang kolektif masyarakat ideal. Melalui agama juga manusia dapat memandu kehidupan manusia dalam menangani persoalan kehidupan.
Menurut Emile Durkheim, agama merupakan suatu ciptaan fenomena sosial. Beliau menyatakan bahawa agama atau totemisme merupakan suatu kuasa masyarakat (The Power of Society) yang mampu mengatur minda manusia dalam menentukan antara kebaikan dan keburukan. Kuasa tersebut juga membantu manusia mengatur kehidupan dan fenomena sosial mereka. Durkheim juga menyatakan bahawa kelahiran agama adalah berdasarkan kepada perasaan hormat dan keagungan terhadap suatu kuasa yang suci yang menuntut keabdian tanpa sebarang bantahan. Perasaan itu muncul bermula daripada masyarakat primitif. Dalam masyarakat primitif, tanggungjawab menjaga hak kelompok adalah amat kuat kerana setiap anggota masyarakat tidak terpisah antara individu dengan pemikiran sekelompok. Adat, kepercayaan dan pantang larang merupakan suatu yang diterima oleh masyarakat sebagai yang agung dan mesti dihargai. Hal ini kerana manusia merupakan makhluk sosial yang memerlukan kehidupan bermasyarakat. Sitausi ini dapat dibuktikan apabila terdapat dakwaan yang menyatakan pemikiran, perasaan dan tingkah laku individu adalah milik dan ketentuan masyarakat ( Hick 1983 : 31).
Masyarakat yang mempunyai kepercayaan totemic mempercayai bahawa mereka disatukan dalam sebuah masyarakat dengan suatu ikatan. Ikatan tersebut merupakan suatu sifat yang dikhususkan dalam masyarakat tersebut. Golongan ini juga mempercayai bahawa hubungan yang terdapat dalam masyarakat bukannya hasil daripada pertalian darah, tetapi atas dasar kaum atau puak yang mempunyai nama yang sama (Emile Durkheim 1976 : 104). Hal ini kerana, dalam sesuatu puak atau kaum terdapat beberapa kelompok yang terdiri daripada salasilah keluarga yang berlainan, namun kesatuan mereka dalam suatu komuniti diikat dan disimpul dengan suatu kuasa yang berada dalam objek totem.
menjadikan totem sebagai sesuatu yang mempunyai kuasa ghaib. Tindak balas daripada persekitaran ini melahirkan perasaan kagum, hormat dan mengagungkan sesuatu, yang dinisbahkan sebagai perasaan beragama.
Sigmund Freud
Sigmund Freud pula merupakan seorang pemikir terkenal dalam bidang psikologi dan dianggap sebagai pengasas psikoanalisis. Agama menurut pandangan Sigmund Freud merupakan sesuatu yang berbeza. Sigmund Freud dalam bukunya Totem and Taboo membahaskan tentang agama yang berpunca daripada neurosis dalam kehidupan manusia. Situasi ini berlaku kerana wujudnya gangguan emosi akibat konflik yang tidak dapat diselesaikan dalam kehidupan. Gangguan tersebut bercirikan keresahan sama ada melalui pertuturan atau perlakuan tertentu. Dalam konteks pemikiran beliau tentang agama, Freud berpendapat bahawa taboo merupakan perilaku dan perbuatan terlarang yang disebabkan oleh kecenderungan tanpa sedar. Manakala, totem adalah satu objek yang diambil untuk mengadakan hubungan yang rapat dengan objek tersebut. Freud telah memberikan gambaran berdasarkan kepada teori Oedipus Complex. Berdasarkan teori tersebut, pada awal kehidupan kanak-kanak, manusia hidup dalam keluarga yang mengandungi bapa, ibu dan anak. Sifat ibu yang penyayang telah menyebabkan anak mempunyai perasaan dan cemburu kepada individu yang mendekati dan bersama ibu, walaupun ia adalah bapa kepada si kanak-kanak. Disebabkan perasaan cemburu terhadap bapa anak tersebut sanggup mengorbankan bapanya walaupun sepatutnya beliau mentaati dan menghormati seorang bapa. Justeru, timbul perasaan bersalah dan menyesal terhadap pengorbanan yang dilakukan, menyebabkan si anak memuja figura bapa (father-figure) sebagai pelindung untuk menghilangkan perasaan bersalah tersebut. Lalu melahirkan satu ritual penyembahan dan pengorbanan kepada si bapa. Menurut Freud, beliau menyatakan bahawa asal-usul agama, etika dan masyarakat dapat ditemui dalam teori Oedipus Complex yang dijelaskan oleh beliau dalam bentuk hubungan anak-bapa.
Justeru, agama menurut Freud adalah suatu produk untuk memenuhi keinginan manusia. Hal ini dapat dilihat berdasarkan perbincangan beliau tentang teori Oedipus Complex yang mengetengahkan konsep totem dan taboo. Menurut beliau totem adalah suatu objek yang diambil untuk mengadakan hubungan yang rapat dengan objek tersebut agar dapat memenuhi keinginan dalam diri manusia. Kebiasaannya totem digambarkan dengan binatang ( sama ada binatang yang boleh dimakan dan tidak berbahaya ataupun binatang yang berbahaya dan menakutkan), dan jarang totem digambarkan dengan tumbuhan atau fenomena semulajadi. Kebanyakan suku atau suatu puak kebiasaannya mengambil roh nenek moyang mereka sebagai totem. Hal ini kerana mereka mempercayai bahawa roh tersebut akan menghantar petunjuk dan ramalan yang berkaitan dengan sesuatu perkara yang akan berlaku. Jika suatu perkara yang akan berlaku akan membahayakan orang lain, mereka akan memberikan peringatan kepada ahli yang berada dalam kalangan mereka agar dapat melindungi diri daripada kecederaan. Suku dan puak yang mempunyai objek totem, khususnya binatang, tidak membunuh atau memusnahkan totem tersebut dan mereka juga menghindarkan diri mereka daripada memakan daging totem tersebut (Sigmund Freud 2001 : 3).
Perlakuan keagamaan pula merupakan suatu yang berlaku dalam keadaan sedar. Hal ini kerana perlakuan tersebut merupakan suatu usaha yang menggunakan akal untuk memahami dunia dan pada masa yang sama menunjukkan kegagalan manusia untuk menggunakan akal secara rasional. Situasi ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat primitif yang cuba untuk berlaku rasional dalam kehidupan beragama tetapi ritual totem dan taboo menghalang mereka untuk rasional. Dalam kebudayaan masyarakat primitif, totem dan taboo merupakan suatu ritual berkaitan dengan perasaan serba salah yang hadir dalam jiwa manusia. Sebagaimana teori Oedipus Complex yang diketengahkan oleh Freud, kemunculan perasaan serba salah dan sedih telah menyebabkan si anak mengagungkan figura bapa demi menzahirkan perasaan hormatnya terhadap bapa. Freud turut menegaskan bahawa agama muncul disebabkan perasaan serba salah dan usaha untuk menghilangkan perasaan tersebut dengan memuja dan mengagungkan totem serta mengikuti taboo agar kehidupan masyarakat lebih teratur. Agama menurut Freud lebih menumpukan terhadap perasaan manusia dan tindak balas persekitaran. Melalui perasaan manusia mencipta sesuatu untuk pegangan. Pegangan yang dicipta mampu melindungi dan memberi ketenangan dalam kehidupan manusia.
Secara keseluruhannya, agama merupakan suatu elemen kompleks yang muncul dalam kehidupan manusia. Kelahiran sesuatu agama adalah disebabkan tindak balas manusia terhadap persekitaran. Situasi ini dapat dilihat berdasarkan pandangan Durkheim yang menyatakan kesedaran manusia terhadap kuasa masyarakat yang menyatukan dan mengatur kehidupan mereka. Namun begitu, Freud pula menyatakan bahawa perasaan bersalah yang muncul dalam fikiran manusia disebabkan pengorbanan yang dilakukan mendorong manusia mematuhi dan menyerahkan ketaatan kepada suatu kuasa yang lebih tinggi. Kedua-dua tokoh Barat ini mengakui bahawa kemunculan agama disebabkan tindak balas perasaan manusia terhadap persekitaran yang dikuasai oleh suatu kuasa ghaib. Tindak balas itu telah menerbitkan perilaku atau suatu ritual bagi menzahirkan perasaan dan kepatuhan mereka kepada kuasa yang dikagumi tersebut. Perasaan dan perilaku serta ritual itulah yang dinamakan sebagai agama.
yang teguh dan kukuh dipercayai diikat dengan suatu kuasa yang berada di dalam masyarakat tersebut. Berbeza dengan Freud, beliau menyatakan bahawa agama lahir hasil tindak balas individu terhadap suatu kejadian yang menyebabkan munculnya perasaan bersalah sehingga mewujudkan unsur kekaguman. Freud berpendapat sedemikian kerana beliau beranggapan bahawa agama merupakan ilusi ciptaan manusia yang mampu memberikan kepatuhan dan ketaatan kepada suatu kuasa tertinggi yang mampu memenuhi keinginan manusia. Walaupun pada zahirnya kelihatan perbezaan pada pandangan mereka namun asas kepada wujudnya agama atau lahirnya agama ialah manusia itu sendiri kerana manusia yang mencipta agama untuk memenuhi keperluan naluri dan perasaan bersalah mereka. Walaupun perasaan beragama masih boleh dianggap sebagai fitrah, namun kemunculan agama bukanlah sebagai God-given ataupun anugerah Tuhan sebagai pencipta tetapi sebaliknya ciptaan dan ilusi manusia semata-mata.
TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN ISLAM
Perbincangan teori kelahiran agama ini dilihat berdasarkan dua tokoh ilmuan Islam iaitu Naquib Al-Attas dan Mery Wyn Davies. Kedua-dua tokoh ini mengemukakan pandangan berdasarkan kepada perbincangan istilah dīn. Berdasarkan perbincangan melalui istilah tersebut dapat dibuktikan bahawa agama menurut pandangan Islam merangkumi setiap aspek kehidupan dan perasaan beragama adalah suatu fitrah yang sememangnya wujud dalam diri manusia.
Syed Naquib Al-Attas
Perjanjian yang dimaksudkan oleh beliau adalah merujuk kepada ayat Al-Quran dalam Surah Al-A’rāf ayat 172 yang bermaksud “Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (engkaulah Tuhan kami), Bahkan kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Berdasarkan ayat diatas difahami bahawa apabila Allah menciptakan manusia, maka di alam roh manusia disaksikan dengan diri sendiri akan ketuhanan-Nya. Penyaksian dan perjanjian tersebut mengikat manusia secara mutlak. Oleh yang demikian, sesiapa yang memungkiri janji akan dijatuhkan hukuman kerana mereka telah menzalimi dirinya sendiri. Malahan, manusia yang memegang perjanjian yang dimaterai adalah tergolong dalam orang yang adil terhadap dirinya kerana ia menempatkan dirinya pada tempat yang tepat dan sebati dengan tabiat semulajadinya yang inginkan kemuliaan dan kesejahteraan insaniah (Naquib Al-Attas 2001 : 38-39).
Seterusnya dalam konteks agama, hamba digambarkan dengan menggunakan istilah cabd yang merujuk kepada insan yang penuh dengan keinsafan mengakui bahawa mereka berhutang diri, budi dan daya secara mutlak kepada Penciptanya, yakni Allah. Keinsafan diri manusia sebagai hamba yang mempunyai hutang kepada Pencipta melahirkan cibadah yang merujuk kepada segala perbuatan, amalan dan perkhidmatan yang disedari dan dilakukan dengan sukarela dan dilaksanakan semata-mata kerana Allah. Pengabdian diri hanya kepada Allah dapat menzahirkan insan sebagai makhluk Allah yang mempunyai kehidupan rohani atau juga dikenali sebagai fitrah (Naquib Al-Attas 1976 : 21).
muka bumi ini, maka mereka perlu berlaku adil dalam perlaksaan tanggungjawab tersebut. Keadilan dalam perlaksaan tangungjawab yang diamanahkan oleh Allah sebagaimana yang telah disaksikan dan dijanjikan oleh manusia akan mendorong mereka, terutamanya individu Muslim mencapai kebahagian yang abadi. Naquib juga menyatakan bahawa diri manusia yang selamat di sisi Allah adalah mereka yang menggambil Islam sebagai pegangan dan cara hidup yang sempurna dalam setiap aspek kehidupan.
Menurut pandangan Naquib Al-Attas, tafsiran Islam dilihat melalui keimanan dan penyerahan diri iaitu ibadah. Keislaman seseorang merangkumi pengakuan melalui lisan, diisbatkan melalui hati dan dibuktikan melalui amalan. Kehidupan sebagai seorang Islam bukan hanya melibatkan fizikal sahaja, malahan termasuk aspek rohani. Hal ini kerana, kebahagiaan dan kesejahteraan yang diimpikan oleh semua manusia merangkumi aspek jasmani dan rohani diri individu tersebut. Situasi tersebut menggambarkan bahawa, agama menurut pandangan Naquib bukan ditanggapi melalui fizikal, akan tetapi melibatkan aspek rohani atau dalaman diri manusia itu sendiri. Penglibatan kedua-dua aspek memerlukan kepada konsep keadilan agar manusia dapat mencapai kebahagiaan dan kesejahteraan dalam kehidupan mereka.
Merryl Wyn Davies
Merryl Wyn Davies merupakan seorang sarjana Muslim Wales, penulis dan penyiar atau juru hebah yang mengkhususkan diri dalam Islam. Merryl Wyn Davies memulakan perbincangan berkaitan agama dengan mengetengahkan konsep penciptaan manusia. Menurut Davies, dalam memahami konsep penciptaan manusia terdapat tiga perkara yang dititikberatkan, antaranya ialah konsep fitrah, khalīfah dan dīn. Ketiga-tiga perkara yang dinyatakan oleh Davies membawa kepada definisi manusia dalam konteks sosial. Hal ini kerana, fitrah merupakan tabiat atau pembawaan semula jadi manusia yang dilihat sebagai dimensi kemampuan dan kurniaan. Manusia dijadikan dan diciptakan oleh Allah sebagai khalīfah di muka bumi ini. Khalīfah dalam konteks ini menggambarkan bahawa manusia berperanan sebagai pemegang amanah di muka bumi bagi menjelaskan status dan hak manusia di bumi tersebut. Manakala dīn berfungsi sebagai agama atau cara hidup manusia yang dilihat sebagai proses operasi. Ketiga-tiga aspek tersebut saling melengkapi dan memperlengkapkan antara satu sama lain bagi membuktikan dimensi kewujudan manusia (Merryl Wyn Davies 1992 : 119). Hal ini kerana, manusia yang diciptakan dengan bekalan fitrah dan bertanggungjawab sebagai khalīfah memerlukan dīn untuk memenuhi fitrah dan melaksanakan amanah yang telah dijanjikan sebagai cabd dan pemegang amanah kepada alam ini.
Wyn Davies 1992 : 120). Kenyataan di atas memberikan kefahaman kepada kita bahawa dengan adanya perjanjian di antara manusia dan Penciptanya telah mewujudkan suatu perasaan tanggungjawab sebagai pemegang amanah. Oleh yang demikian, fitrah juga menginsaf dan mengingatkan manusia agar dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sekaligus memberikan peringatan kepada manusia bahawa kehidupan yang dikecapi pasti ada pengakhirannya, yakni kembali kepada Penciptanya.
Dalam penjelasan beliau tentang dīn, Davies bersetuju dengan pandangan dan huraian Al-Attas berkenaan konsep hutang dan gambaran tentang tawaran, transaksi dan pinjaman dalam menjelaskan perjanjian manusia dengan Tuhan. Dapat dijelaskan di sini bahawa perjanjian antara manusia dengan Penciptanya telah mewujudkan suatu tanggungjawab untuk menunaikan janji tersebut dan disinonimkan oleh Naquib dan Davies dengan istilah hutang. Secara semula jadinya, manusia yang berhutang bertangungjawab untuk menunaikan hutangnya. Akan tetapi bekalan fitrah yang dibekalkan kepada manusia mendorong mereka untuk membuat pilihan sama ada mahu menerima tanggungjawab tersebut atau sebaliknya. Penerimaan manusia untuk tidak menunaikan amanah yang dipertangggungjawabkan akan mendatangkan pelbagai implikasi kepada mereka. Keadaan ini dapat dihubungkaitkan dengan konsep ganjaran dan balasan yang terkandung dalam istilah dīn itu sendiri sebagaimana yang telah dibincangkan oleh Naquib. Menurut Naquib, manusia yang menerima amanah dengan penuh ketaatan dan kepatuhan akan menerima ganjaran dan sebaliknya mereka yang menolak amanah yang dijanjikan sejak awal penciptaan manusia itu akan menerima balasan.
Tambahan lagi, konsep khalīfah dalam kehidupan manusia menurut Davies adalah merujuk kepada peranan manusia di muka bumi ini. Status semua manusia tidak kira sama ada lelaki mahupun perempuan adalah khalīfah mewakili Tuhan sebagai pentadbir di muka bumi. Dalam konsep khalīfah ini terdapat dua implikasi yang boleh digariskan. Implikasi tersebut ialah manusia mempusakai dunia dengan kehendak Tuhan dan satu generasi ke generasi yang lain mengambil alih tanggungjawab tersebut sebagai khalīfah. Kenyataan tersebut menggambarkan bahawa konsep manusia sebagai khalīfah tersirat makna perhubungan dan komunikasi di antara manusia dalam memakmurkan bumi ini manusia (Merryl Wyn Davies 1992 : 126).
Dalam perbincangan berkaitan konsep agama, Davies banyak bersetuju dengan pendapat Naquib Al-Attas kerana perbahasan beliau tentang dīn meliputi setiap aspek agama dan tangungjawab manusia kepada Penciptanya. Davies juga menekankan konsep penciptaan manusia dan daripada perkara tersebut maka timbul aspek fitrah, khalīfah dan dīn yang menyempurnakan perbahasan beliau. Fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia telah melahirkan rasa bertanggungjawab sebagai khalīfah untuk memakmurkan bumi. Aspek khalīfah disempurnakan dengan rasa kehambaan manusia kepada penciptanya dan disebabkan tanggungjawab manusia sebagai cabd yang memegang amanah dan berhutang, maka mereka memerlukan satu garis panduan yang mampu memandu manusia untuk menunaikan amanah tersebut sekaligus dapat mencapai kebahagiaan. Garis panduan tersebut dikenali sebagai dīn yang mampu memenuhi setiap aspek kehidupan dan sesuai dengan fitrah manusia sebagai khalīfah dan cabd di muka bumi ini.
Secara keseluruhannya, walaupun pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua tokoh berlainan, tetapi perbicangan mereka merangkumi aspek kehidupan beragama. Ini kerana perbahasan Naquib Al-Attas lebih tertumpu kepada penelitian dan pendetailan terhadap istilah dīn, bahkan Davies memulakan perbincangan dengan melihat kepada aspek asal-usul manusia. Namun dalam perbincangan berkaitan teori kelahiran agama pandangan menurut Islam, mereka bersepakat menyatakan bahawa manusia berperanan sebagai cabd dan khalīfah di muka bumi. Hal ini dilihat berdasarkan kepada perjanjian yang dilakukan oleh manusia terhadap Penciptanya sebelum mereka lahir di dunia. Perjanjian itulah yang mengikat hubungan manusia dengan Penciptanya dan melalui hubungan tersebut manusia akan melakukan kebaikan dan ibadah agar mengecapi kebahagiaan dan kesempurnaan hidup. Kebaikan dan ibadah yang dilaksanakan oleh individu beragama mengukuhkan ikatan sesama mereka dalam melahirkan sebuah masyarakat sehingga mampu membentuk sebuah tamadun yang mempunyai peradaban.
Situasi ini juga menunjukkan bahawa agama yang disinonimkan dengan istilah dīn menurut ilmuan Islam bukanlah suatu yang lahir hasil daripada evolusi atau tindak balas manusia terhadap sesuatu secara berperingkat. Namun begitu, agama menurut ilmuan Islam adalah suatu anugerah daripada Allah kepada manusia untuk menzahirkan tujuan penciptaan manusia. Oleh yang demikian bagi mereka, kewujudan manusia di dunia inilah penyebab kepada adanya agama. Manusia dan agama merupakan dua elemen yang tidak boleh dipisahkan kerana agama merupakan penyempurnaan kepada proses penciptaan manusia. Manusia diciptakan oleh Allah dengan dibekalkan dengan elemen fitrah yang membawa manusia kembali kepada konsep asal perjanjian manusia dengan Allah. Elemen fitrah juga menunjukkan kebergantungan manusia kepada Allah. Oleh itu, ketaatan dan kepatuhan manusia dalam menunaikan tangungjawab sebagai khalīfah dan cabd akan mencapai kebahagiaan duniawi dan ukhrawi.
manusia kerana faktor persekitaran atau sebagai suatu fenomena sosial. Bahkan agama adalah hasil perjanjian antara manusia dengan Penciptanya sejak azali dan ia sudah sedia wujud dalam fitrah diri manusia. Jelas di sini bahawa kela.hiran agama menurut perspektif ilmuan Islam adalah berbeza dengan perspektif ilmuan Barat.
PERBANDINGAN TEORI KELAHIRAN AGAMA MENURUT ILMUAN BARAT DAN ISLAM
Menurut pandangan Barat, agama berasal daripada proses evolusi yang berlaku dalam diri manusia dan masyarakat. Menurut Freud kemunculan perasaan beragama yang muncul dalam diri manusia lahir daripada perasaan kecewa individu dalam menghadapi konflik dengan masyarakat. Freud menyatakan bahawa agama adalah ilusi yang muncul hasil daripada desakan keinginan manusia terhadap sesuatu perkara. Perkara tersebut dikaitkan oleh Freud berdasarkan kepada teori Oedipus Complex. Dalam teori tersebut manusia terlalu mengejar kenikmatan yang tiada batasan. Namun dalam mengejar kehendaknya ada yang tidak dapat dipenuhi kerana terdapat batasan yang menjadi penghalang. Oleh kerana keinginan manusia tidak dapat dipenuhi, mereka berasa kecewa dan memberontak. Pemberontakan itu telah menyebabkan mereka berasa bersalah terhadap apa yang telah dilakukan. Perasaan bersalah tersebut menyebabkan manusia mengambil objek totem bagi mengurangkan kekecewaan. Pemujaan dan kebergantungan terhadap objek totem melahirkan perasaan kagum dan hormat sehingga mencetuskan satu peraturan moral dalam kehidupan. Kenyataan Freud menggambarkan bahawa agama lahir hasil daripada evolusi ilusi dan perasaan manusia yang berada dalam keadaan yang tertekan.
Seterusnya, Dukheim menyatakan bahawa agama merupakan evolusi fenomenologi sosial yang berlaku dalam kehidupan bermasyarakat. Perbincangan beliau masih menumpukan dalam persekitaran masyarakat primitif sebagaimana yang diketengahkan oleh Freud, akan tetapi beliau melihat agama sebagai suatu kuasa yang menghubung dan mengukuhkan ikatan kemasyarakatan di antara manusia yang berada dalam sesebuah puak atau kaum. Bagi beliau objek totem yang dipegang oleh sesuatu puak atau kaum menjadi simbol bagi puak tersebut dan mereka mempercayai bahawa objek itu mempunyai kuasa luar biasa yang mampu mengeratkan ikatan perkauman di antara mereka. Hasil kepercayaan kepada kuasa luar biasa ini mampu melahirkan perasaan kagum, lalu daripada kekaguman itu muncul perasaan ingin mengagungkan objek tersebut sebagai suatu yang mempuyai unsur spiritual dan sacred. Tindak balas manusia terhadap masyarakat itulah yang melambangkan unsur keagamaan dalam kehidupan manusia.
Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.
Ayat di atas membincangkan berkenaan isu tauhid yang dibentangkan dari aspek fitrah semulajadi manusia. Melalui landasan fitrah inilah Allah menciptakan manusia sebagai makhluk sosial yang menghuni bumi dan dengan unsur fitrah tersebut jua Allah mengaitkan perjanjian manusia dengan bersaksikan diri mereka dan kejadian diri mereka sendiri. Keadaan tersebut bererti bahawa pengakuan diri manusia terhadap perasaan beragama merupakan suatu fitrah yang diciptakan oleh Allah berada dalam diri manusia. Melalui fitrah juga manusia mengakui akan Rububiyyah Allah dengan bersaksikan dirinya berdasarkan kepada kewujudan dan kesedarannya terhadap hakikat yang dirasai di lubuk hatinya (Sayyid Qutb 2000 : 379-380). Berdasarkan kepada kenyataan tersebut secara hakikat semulajadinya, manusia dilahirkan sebagai insan yang mempunyai fitrah ingin kembali kepada Penciptanya. Tidak dinafikan lagi bahawa kehidupan manusia memerlukan kepada pertolongan Penciptanya kerana usaha dan daya manusia terbatas.
Oleh yang demikian, dalam memenuhi fitrah yang dianugerahkan oleh Allah, ia disempurnakan dengan utusan risalah Illahi yang dibawa oleh para rasul . Risalah Illahi iaitu wahyu daripada Allah merupakan peringatan dan amaran kepada manusia yang menyeleweng daripada fitrah semulajadi (Sayyid Qutb 2000 : 380). Wahyu daripada Allah juga dikenali sebagai syariat yang dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seorang Muslim. Tambahan lagi, peringatan dan amaran yang dibawa oleh para rasul dijadikan sebagai bimbingan agar manusia dapat menjalani kehidupan dengan penuh kebaikan dan tiada kemungkaran yang berlaku.
Melalui perbicangan tersebut juga didapati bahawa kepercayaan tauhid merupakan suatu perjanjian yang diadakan di antara fitrah manusia dengan Allah sejak mereka diwujudkan di alam ini. Berdasarkan fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia mereka tidak mempunyai sebarang alasan untuk membatalkan perjanjian tersebut walaupun rasul tidak diutuskan kepada mereka. Tetapi, rahmat Allah mengkehendaki agar rasul-rasul diutuskan bagi menyampaikan berita yang menggembirakan dan memberi amaran kepada mereka yang menyeleweng ( Sayyid Qutb 200 : 380). Oleh itu, dapat diringkaskan bahawa agama menurut ilmuan Islam adalah berasal secara semulajadi selaras dengan penciptaan manusia berdasarkan kepada perjanjian yang telah termaterai oleh manusia dengan Penciptanya. Kelahiran agama bagi pandangan ilmuan Islam bermula sejak kelahiran manusia di alam ini. Hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada ajaran tauhid yang dibawa oleh setiap rasul yang diutuskan oleh Allah kesemuanya menyeru kepada ketauhidan dan keEsaanNya. Dalam usaha dakwah ketauhidan ini, Allah mengutuskan seorang rasul bagi kaum-kaum tertentu. Seterusnya usaha dakwah ini disempurnakan oleh Rasulullah, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Kesempurnaan dakwah ini dapat dilihat berdasarkan kepadas seruan ketauhidan baginda yang merangkumi keseluruhan umat manusia dan risalah yang dibawa oleh baginda juga mendapat jaminan pemeliharaan daripada Allah. Pegangan terhadap agama fitrah dan risalah yang terdapat dalam agama itu juga dapat menjamin kesejahteraan hidup dan menjauhkan diri daripada berada di dalam kesesatan.
daripada sikap dan persekitaran manusia yang memerlukan sesuatu untuk dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Melalui evolusi dan tindak balas tersebut juga melahirkan perasaan kagum dan hormat terhadap suatu kuasa ghaib yang dianggap suci. Tindak balas tersebut turut melahirkan ritual dan penyembahan manusia terhadap kuasa tersebut untuk menunjukkan kepatuhan dan menjelaskan perasaan kehormatan mereka terhadap kuasa yang suci dan dikagumi tersebut.
Manakala menurut pandangan ilmuan Islam, agama wujud sejak azali berdasarkan kepada perjanjian manusia dengan Penciptanya sejak awal penciptaan manusia di muka bumi ini. Hal ini menyatakan bahawa adanya manusia maka lahirnya agama yang dapat memenuhi fitrah kehidupan manusia. Kelahiran agama disebabkan kewujudan manusia di bumi ini menunjukkan bahawa kecenderungan manusia untuk mempercayai dan mengambil agama sebagai panduan hidup merupakan suatu lumrah dalam kehidupan manusia sebagai makhluk sosial. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan kerana secara fitrah semulajadinya manusia mempunyai keinginan untuk kembali kepada Penciptanya.
RUMUSAN
Secara keseluruhannya dapat ditegaskan di sini bahawa, agama merupakan satu unsur pelengkap dalam kehidupan manusia yang diakui kewujudannya oleh para ilmuan yang diketengahkan dalam perbincangan ini. Namun, kewujudan dan kemunculan agama yang dibahaskan oleh para ilmuan bagi meneliti sama ada ia benar-benar wujud ataupun hanyalah satu rekaan manusia. Berdasarkan kepada perbincangan berkenaan teori kelahiran agama menurut ilmuan Barat dan Islam, dapat dirumuskan bahawa agama menurut ilmuan Barat adalah manifestasi kehendak dalaman manusia, manakala ilmuan Islam pula berpendapat bahawa agama adalah satu keperluan dalam kehidupan manusia. Keadaan ini dapat dilihat dalam kehidupan seharian manusia, yang mana kehendak dan keperluan merupakan dua elemen yang berbeza.
Keperluan adalah sesuatu yang perlu dipenuhi oleh setiap manusia, manakala kehendak adalah sesuatu yang dipenuhi berdasarkan kepada kemampuan manusia. Keperluan adalah aspek yang lebih penting berbanding kehendak. Keperluan yang selalu disinonimkan dengan kehidupan seharian manusia adalah keperluan makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Oleh yang demikian, pengkaji merasakan bahawa dalam keperluan seharian manusia perlu berdasarkan kepada konsep agama. Agama pada pandangan ilmuan Islam merupakan satu anugerah yang diberikan kepada manusia oleh Penciptanya bagi memenuhi fitrah semulajadi kehidupan manusia. Ilmuan Islam juga menegaskan bahawa kewujudan manusia di muka bumi ini menyebabkan lahirnya agama. Hal ini kerana agama merupakan satu unsur yang sangat mempengaruhi kehidupan manusia sekaligus personaliti dan perwatakan manusia itu sendiri.
seiring dengan kewujudan manusia. Situasi tersebut dapat membuktikan bahawa konsep agama yang dibincangkan oleh ilmuan Islam meliputi aspek fitrah semulajadi manusia. Kenyataan kelahiran agama seiring dengan kewujudan manusia membuktikan bahawa Islam merupakan agama dan dīn yang mampu merealisasikan keperluan kehidupan seharian manusia.
RUJUKAN
Akbar S. Ahmed. 1996. Toward Islamic Antropology. Selangor: The International Insitute Of Islamic Thought.
Bustanuddin Agus. 2006. Agama dalam Kehidupan Manusia. Jakarta: Fajar Interpratama.
Davies, Merryl Wyn. 1988. Knowing One Another Shaping an Islamic Anthropology. London: Mansell Pub.
Davies, Merryl Wyn. 1992. Saling Mengenali Membentuk Antropolgi Islam. Terj. Mohd Sahari Nordin & Norsita Lin Ahmad. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Durkheim, Emile. 1976. The Elementery Forms of the Religious Life. London: George Allen & Unwin.
Edwards, D Miall. 1975. The Philosophy of Religion. Calcutta: Proressive Publisher.
Edwards, Paul. The Encyclopedia of Philosophy. 1967. Vol 7. New York: MacMillan Publishing Company.
Freud, Sigmund. 2001. Totem and Taboo. London: Routledge.
Haron Din et al. 1990. Manusia dan Islam. Kuala Lumpur : Amiza Publishing.
Hick, John .1983. Philosophy of Religion. New Jersey: Prentice Hall Inc.
Jaafar Muhammad. 2006. Tujuh Formula Hidup Sukses. Selangor: PTS Millenia Sdn Bhd.
Mohd Sulaiman Yasin. 1985. Islam dan Aqidah. Selangor:Al-Omari Sdn Bhd.
Naquib Al-Attas. 1976. Islam : Faham Agama dan Asas Akhlak. Muktamar Islam Antarabangsa. Anjuran Majlis Islam Eropah.
Naquib Al-Attas. 2001. Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur : Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Naquib Al-Attas. 2002. Hakikat al-Sa’ādah wa Ma’na hā fi al-Islām. Terj. Muhammad Zainiy Uthman. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Sayyid Qutb. 2000. Jil 6. Tafsir Fi Zilalil Qur’an. Terj. Yusoff Zaky Haji Yacob. Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Sayyid Qutb. Jil 4. 2000. Tafsir Fi Zilalil Qur’an. Terj. Yusoff Zaky Haji Yacob. Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. 2010. Kuala Lumpur: Darul Fikir.