• Tidak ada hasil yang ditemukan

ARTIKEL ABD. MUHAIMIN BIN HASBOLLAH : MANIFESTASI SENI UKIRAN KAYU KONTEMPORARI

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "ARTIKEL ABD. MUHAIMIN BIN HASBOLLAH : MANIFESTASI SENI UKIRAN KAYU KONTEMPORARI"

Copied!
12
0
0

Teks penuh

(1)

JAPPAJournal- Journal of Applied Art

Copyright © Publisher Scientific Academia Network (Scientiaca) E-ISSN:2710-7019 online

ARTIKEL

ABD. MUHAIMIN BIN HASBOLLAH : MANIFESTASI SENI UKIRAN KAYU

KONTEMPORARI

Yusniza Mohamed Yusof

a

, Harleny Abd. Arif

b

, Norakmal Abdullah

c,*

a Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak, MALAYSIA b Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak, MALAYSIA c Fakulti Seni, Komputeran & Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak, MALAYSIA

* Corresponding author: yusanak_yusof@yahoo.com

ARTICLE HISTORY Received: 17 Januari 2020 Accepted: 2 February 2020 Published Online:31 July 2020

ABSTRAK

Makalah ini akan mengetengahkan penggiat seni ukiran kayu kontemporari iaitu Abd. Muhaimin Bin Hasbollah yang telah banyak memberi sumbangan dalam mengharumkan nama negara. Objektif kajian adalah untuk menggalur kehidupan selain mengenal pasti ciri-ciri identiti pada hasil seni ukiran kayu kontemporari penggiat seni tersebut. Kaedah kajian yang digunakan adalah kaedah kualitatif berdasarkan pemerhatian, temu bual dan dokumentasi bagi melengkapkan pengumpulan data. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ukiran kayu yang diilhamkan bermotifkan flora dan fauna, serta persekitaran yang dipengaruhi oleh faktor pemilihan tema, idea dan konsep motif. Motif-motif ini mempunyai keunikannya yang tersendiri malah turut mempunyai mesej yang tersirat berkaitan dengan kehidupan dan hubungan manusia dengan alam. Kajian ini diharap berupaya mengiktiraf Muhaimin Bin Hasbollah sebagai tokoh seni ukiran kayu kontemporari selain usaha ke arah mengekalkan warisan seni ukiran kayu tempatan. This paper will highlight the activist of contemporary wood carving art, namely Abd. Muhaimin Bin Hasbollah who has contributed a lot in making the country famous. The objective of the study is to stimulate life in addition to identifying the characteristics of identity in the contemporary wood carving works of the art activist. The research method used is a qualitative method based on observations, interviews and documentation to complete the data collection. The findings of the study indicate that the wood carving is inspired by flora and fauna motifs, as well as the environment influenced by the selection factors of themes, ideas and motif concepts. These motifs have their own uniqueness and even have an implicit message related to human life and relationship with nature. It is hoped that this study will be able to recognize Muhaimin Bin Hasbollah as a contemporary wood carving figure as well as efforts towards preserving the local wood carving heritage. KEYWORDS

Abd. Muhaimin bin Hasbollah Seni Ukiran Kayu Kontemporari Motif ukiran

1.0 PENDAHULUAN

Seni Ukiran Melayu merupakan satu bentuk seni yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan masyarakat Melayu. Seni Ukiran adalah sebahagian daripada hasil kraftangan yang wujud seiring dengan reka bentuk seni rupa yang lain. Seni ukiran adalah warisan yang mempunyai nilai yang tidak ternilai harganya. Seni Ukiran

Melayu merupakan kemahiran hasil kerja tangan dan ketinggian ilmu yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai bentuk barangan di sekeliling kita. Seni ukiran adalah satu cabang seni rupa yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan orang Melayu sejak zaman berzaman lagi (Syed Ahmal Jamal, 1992).

Dalam budaya Melayu penerapan ukiran kayu dapat dilihat pada produk seperti peralatan dapur, barangan kraf,

(2)

perabot, rumah, perahu dan lain-lain. Ukiran kayu digunakan juga pada perkakas yang berbentuk ringkas seperti sudip, pengukur kelapa, acuan kuih dan sebagainya yang merupakan alatan kegunaan harian. Turut ditonjolkan juga kehalusan ukiran pada alat pertahanan diri seperti keris yang melambangkan jati diri masyarakat Melayu. Seiring dengan peredaran masa, penghasilan seni ukiran kayu juga tidak ketinggalan malah terus berevolusi mengikut perkembangan masa kini. Jika dahulu pengukir hanya menggunakan motif tradisional, namun kini mereka mula melahirkan karya-karya seni ukiran kayu kontemporari yang turut mempunyai nilai estetik tersendiri. Seni ukiran kayu melalui sejarah yang panjang bermula daripada zaman pembinaan istana-istana Melayu, rumah-rumah orang Melayu, masjid-masjid, kenderaan seperti perahu, kereta lembu hinggalah kepada peralatan domestik. Walaupun zaman berubah, namun kraf ukiran kayu terus dilestarikan sebagai penghias di dalam bangunan-bangunan pentadbiran, premis-premis perniagaan, sebagai hiasan dan sebagainya (Saufi Abdul Ghani, 2008).

Sedasawarsa ini, kraf ukiran kayu mula dihasilkan oleh pengukir-pengukir mengikut citarasa dan permintaan dunia hari ini. Masyarakat di Malaysia secara amnya mengetahui tentang seni ukiran kayu tetapi tidak ramai yang mengenali seni ukiran ini dengan lebih dekat lagi. Mereka juga tidak menyedari bahawa seni ukiran bukan hanya terdiri daripada ukiran tradisional malah telah berubah kepada seni ukiran kontemporari mengikut citarasa dan peredaran zaman.

Di Malaysia, ramai penggiat kraf ukiran kayu yang memang terkenal dengan kemahiran ukiran kayu tradisional dan kontemporari yang tiada tolok bandingnya. Antaranya, Haji Abdul Latif bin Long, Wan Mustafa bin Wan Su atau lebih dikenali sebagai Wanpo, Norhaiza bin Noordin, Mohd. Salizan bin Abd. Rahman, Wan Su bin Wan Othman, Nik Rashiddin bin Nik Hussein, Abd. Muhaimin bin Hasbollah, Mohd. Abdah bin Hassan serta ramai lagi (Nuasa Ukiran Melayu, 2013). Hari ini, ramai antara kita yang kurang mengenali penggiat-penggiat seni ukiran yang banyak menghasilkan karya seni yang mempunyai jiwa dan nilai yang tinggi. Seharusnya insan-insan seni seperti ini perlu kita hargai dan patut diberi penghargaan semasa mereka masih hidup lagi dan bukannya setelah mereka tiada. Tambahan pula, tidak ramai yang menyedari betapa pentingnya memelihara warisan kesenian ini agar tidak luput dan dapat diwarisi oleh generasi yang akan datang. Warisan seni budaya ini merupakan lambang jati diri bangsa dan memaparkan ketinggian tamadun bangsa pencipta seni tersebut (Abdul Halim Nasir, 2016).

2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Kajian ini dijalankan bagi tujuan-tujuan berikut :

2.1 Menggalur kehidupan Abd. Muhaimin bin

Hasbollah sebagai penggiat seni ukiran kayu

kontemporari.

2.2 Mengenal pasti ciri-ciri yang terdapat pada

seni ukiran kayu kontemporari yang dihasilkan oleh Abd. Muhaimin bin Hasbollah.

2.3 Menginterprestasikan nilai estetik pada karya

seni ukiran kayu kontemporari Abd. Muhaimin bin Hasbollah.

3.0 PERSOALAN KAJIAN

Persoalan kajian adalah seperti berikut:

3.1 Siapakah Abd. Muhaimin bin Hasbollah?

3.2 Bagaimanakah ciri-ciri seni ukiran kayu kontemporari Abd. Muhaimin bin Hasbollah?

3.3 Apakah keistimewaan yang dapat dilihat pada

seni ukiran kayu kontemporari Abd.Muhaimin bin Hasbollah?.

4.0 METODOLOGI

Kajian ini dijalankan melalui kaedah kualitatif. Menurut Danzin dan Lincoln (1987) mengatakan bahawa kaedah kualitatif adalah melalui wawancara atau temubual, pengamatan, dan dokumentasi bagi mengetahui serta memahami sikap, pandangan, perasaan dan perilaku individu mahupun kumpulan. Ia juga termasuk penelitian tentang biografi seseorang yang berkaitan dengan kehidupan individu tersebut dalam hubungannya dengan masyarakat, sifat-sifat, watak dan karya. Melalui kajian kualitatif, maklumat dapat dikumpul dengan lebih terperinci dan telus. Pengkaji akan menemubual individu yang dikaji secara langsung iaitu Abd. Muhaimin bin Hasbollah untuk mendapatkan data-data berkaitan sejarah dan latar belakang, karya-karya, penglibatan, pencapaian dan sumbangan beliau dalam bidang kraf ukiran kayu kontemporari ini.

4.1 Pendekatan Kajian

Dalam menjalankan kaedah mengenai sejarah latar belakang dan perkembangan hidup Abd. Muhaimin bin Hasbollah ini, pendekatan yang digunakan dalam kajian ini ialah Pendekatan Etnografi. Dalam istilah Yunani, ethnos, bermaksud masyarakat, ras atau sebuah kelompok kebudayaan, dan etnografi bermaksud sebuah ilmu yang menjelaskan cara hidup manusia. Kajian ini juga merupakan kajian yang digunakan dalam penyelidikan sosial untuk mengetahui tentang sesuatu budaya, adat, kepercayaan, tingkah laku berdasarkan maklumat-maklumat yang dikumpul dari kajian lapangan (Dr. Wan Mohd Khairul Firdaus, 2015). Pengkaji perlu menemubual, memerhati dan mendokumentasi bagi memahami kajiannya dalam tempoh masa tertentu.Hal ini adalah untuk memahami fenomena sosial daripada perspektif penglibatan di antara pengkaji dengan Abd. Muhaimin bin Hasbollah. Kajian dijalankan pada persekitaran semulajadi responden di Bengkel Inakraf,

(3)

Temerloh dengan melibatkan interaksi bersemuka di antara pengkaji dengan Abd. Muhaimin bin Hasbollah. Pengkaji juga turut melibatkan diri secara langsung sepanjang tempoh kajian dijalankan.

Pendekatan budaya juga diambil kira dalam kajian ini. Pendekatan budaya berkait rapat dengan persekitaran sekeliling masyarakat dan hubungannya dengan budaya malah juga dalam bidang pendidikan. Budaya menurut Raymond Williams merupakan sebuah proses dari intelektual, spiritual dan estetika. Budaya juga merupakan cara hidup yang khusus mengenai seseorang manusia, tempoh masa atau sesuatu kelompok (Storey, 2009). Lingkungan budaya meliputi semua aspek perilaku masyarakat atau individu yang mempunyai norma-norma kehidupan yang penuh dengan amalan kepercayaan, adat atau prinsip hidup tertentu di mana ia berkembang menjadi kuat sehingga akhirnya membentuk budaya baharu yang bersesuaian dengan budaya setempat. Manakala, pendidikan secara praktis tidak dapat dipisahkan dengan budaya kerana keduanya melengkapi dan mendukung di antara satu sama lain (Edy Hartono, 2013). Menurut Freeman Butt, dalam bukunya yang terkenal iaitu Cultural

History of Western Education menyatakan bahawa

pendidikan adalah kegiatan menerima dan memberikan pengetahuan sehingga kebudayaan dapat diteruskan dari satu generasi ke generasi. Pendekatan ini secara rasionalnya sangat bersesuaian kerana kita dapat melihat evolusi yang dibawa oleh penggiat seni kraf ukiran Abd. Muhaimin bin Hasbulloh dari peringkat awal sehingga ia beradaptasi dengan suasana persekitaran dunia kini. Secara tidak langsung dapatan daripada kajian dapat dijadikan bahan dan maklumat pengkaji untuk memahami perkaitan di antara keperibadian dengan pengalaman Abd. Muhaimin bin Hasbollah sepanjang beliau melibatkan diri dalam dunia kraf ukiran kayu ini.

Rasional pengkaji menggunakan pendekatan etnografi dan budaya adalah kerana ianya bersesuaian dengan sumbangan Abd. Muhaimin bin Hasbollah pada masyarakat, negara dan perkembangan seni kraf ukiran itu sendiri. Dengan berlandaskan pendekatan tersebut, pengkaji dapat mengupas segala maklumat yang dikehendaki dalam menjalankan kajian terhadap Abd. Muhaimin bin Hasbollah sekaligus ianya sangat bersesuaian untuk dijadikan sebagai panduan kepada pengkaji untuk memahami keperibadian dan pengalaman yang telah dilalui oleh Abd. Muhaimin bin Hasbollah. Dalam mengkaji ciri-ciri ukiran kayu dan nilai estetika pada kraf ukiran kayu Abd. Muhaimin bin Hasbollah, pengkaji melihat daripada sudut perspektif seni berlandaskan prinsip yang digunakan oleh Zakaria Ali. Seni kraf ukiran kayu merupakan kraf yang mempunyai nilai estetikanya tersendiri. Estetika berasal daripada perkataan Greek berkaitan dengan deria pengamatan melibatkan mata yang berfungsi untuk melihat. Dalam proses menikmati estetika sesuatu objek seni, mata merupakan salah satu deria yang boleh menilai estetika. Dalam konteks ini, estetika mengikut pendapat Socrates ialah sesuatu yang melibatkan imaginasi. Proses imaginasi

ini pula ialah bagaimana seseorang menikmati sesuatu karya yang melibatkan perasaan dan emosi (Zakaria Ali, 1987).

Menurut Zakaria Ali lagi, estetika juga merupakan ilmu yang didapati daripada apa yang dinilai daripada objek seni. Objek seni yang dilahirkan oleh orang Melayu kebanyakannya berkait dengan keindahan yang tertakluk kepada bahan dan teknik. Bahan daripada alam semula jadi pula merupakan tahap pengalaman yang terpenting bagi orang Melayu. Keadaan alam semula jadi yang kaya dan indah menjadi tarikan kepada seniman Melayu untuk menghasil dan membuat sesuatu untuk keperluan dan kegunaannya. Penggunaan bahan alam yang dihasilkan mereka melibatkan dua perkara, iaitu teknik dan estetika. Teknik dikaitkan dengan kaedah atau proses yang dilalui oleh seniman sehinggakan dapat menghasilkan sesuatu yang mempunyai nilai estetika. Nilai estetika yang dihasilkan dalam kraf orang Melayu ini adalah berkaitan dengan prinsip berhalus, berguna, bersatu, berlawan, berlambang dan bermakna (Zakaria Ali, 1987) supaya penghasilannya dapat memberi kepuasan kepada pereka, penghayat kraf atau penghayat seni.

Rajah 4.1: Prinsip Estetika Zakaria Ali, 1987 Berdasarkan rajah 4.1 di atas, terdapat enam Prinsip Estetika Melayu mengikut pendekatan Zakaria Ali iaitu :

4.1.1 Prinsip Berhalus

Menunjukkan bahawa kemahiran dan kepakaran amat penting bagi menghasilkan karya seni yang sempurna. Prinsip ini menonjolkan daya kreatif orang Melayu. Ia melibatkan konsep di antara kraf atau kemahiran dengan seni. Kemahiran amat diperlukan untuk mencipta sebarang objek seni mengikut Sejarah.

4.1.2 Prinsip Berguna

Bermaksud setiap hasil seni itu harus mempunyai fungsi dan kegunaan. Tanpa fungsi, sesuatu karya seni itu hilang keunikannya. 4.1.3 Prinsip Bersatu

Prinsip Estetika

Melayu

Prinsip Berhalus Prinsip Berguna Prinsip Bersatu Prinsip Berlawan Prinsip Berlambang Prinsip Bermakna

(4)

Bermaksud keharmonian sesuatu karya seni itu. Kebiasaannya prinsip ini dapat dilihat daripada aspek pengunaan warna dan corak. Ada perkaitan dan integrasi yang wujud di dalam sesebuah karya seni.

4.1.4 Prinsip Berlawan

Kewujudan unsur kasar dan halus dalam setiap hasil seni. Ianya melibatkan permukaan yang kasar atau licin. Setiap permukaan kasar ataupun licin akan menimbulkan kesan ketegangan yang menjurus kepada kesan penyudahan karya seni yang menarik. Penyudahan yang baik dan sempurna ini diakibatkan oleh jenis-jenis permukaan yang berbeza.

4.1.5 Prinsip Berlambang

Nilai estetika sesuatu karya seni Melayu juga harus melambangkan budaya. Lambang yang dimaksudkan adalah penentu kepada penyatuan di antara isi dengan bentuk karya seni yang dihasilkan.

4.1.6 Prinsip Bermakna

Setiap karya seni perlu membawa makna tertentu. Sesuatu objek seni wujud secara intrinsik dan ekstrinsik. Ia menjadi dasar kepada setiap penghasilan karya seni seperti ukiran kayu, pembuatan keris dan pembentukan huruf-huruf kaligrafi. Jika sesuatu karya seni yang bermakna tidak diambil kira dan tidak difahami oleh generasi muda maka kesenian itu akan hilang maknanya.

Bertunjangkan enam prinsip Zakaria Ali, maka pengkaji menginterprestasikan nilai estetika pada karya seni ukiran kayu kontemporari Abd. Muhaimin bin Hasbollah. Dengan prinsip ini, sebanyak lima karya seni kraf ukiran kayu Abd. Muhaimin bin Hasbolah diinterpretasikan nilai estetiknya oleh pengkaji untuk melihat nilai keindahan yang terdapat pada karya yang dihasilkan oleh beliau.

4.2 Jenis Data

Jenis-jenis data termasuklah data lisan dan data bercetak. Pengkaji memilih untuk menggunakan kedua jenis data ini untuk mendapatkan sumber maklumat kerana ianya bersesuaian dengan kajian ini.

4.2.1 Data Lisan

Data lisan adalah data yang diperoleh hasil daripada temubual dan penceritaan daripada penggiat seni yang dikaji. Data lisan lebih tertumpu kepada maklumat yang diperolehi daripada pendengaran pengkaji.

4.2.2 Data Bercetak

Data bercetak pula merupakan data-data yang diperoleh dalam bentuk tulisan, jurnal, gambar-gambar, surat khabar dan sumber internet. Data ini dikumpul dan digunakan bagi menyokong dalam penulisan pengkaji tentang penggiat yang dikaji.

4.2.3 Data Audio Visual

Data audio visual dikumpul dengan menggunakan peranti teknologi bagi mendapatkan data menerusi rakaman visual dan audio sepanjang proses pemerhatian pengkaji terhadap penggiat kraf ukiran kayu. Hasil rakaman ini dapat memudahkan pengkaji untuk melihat dan menilai segala data dengan lebih tepat dan bermaklumat.

4.3 Kaedah Mengumpul Data

Kaedah mengumpul maklumat merupakan satu cara untuk membentuk sesuatu kajian. Dalam kajian ini, pengumpulan data dilakukan dengan beberapa kaedah antaranya kaedah temu bual, kaedah pemerhatian dan kaedah analisis data.

4.3.1 Temu bual Mendalam

Temu bual mendalam merupakan instrumen yang agak penting kerana menerusi kaedah ini penemu ramah menjalankan temu bual yang terperinci berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan. Apa-apa yang disebutkan oleh responden merupakan data penting kajian. Tindak balas yang relevan akan dicatatkan kata demi kata. Melalui kaedah ini seseorang pengkaji boleh memperoleh kefahaman yang meluas dan sempurna dengan cara “mendalami” sesebuah topik tertentu. Temubual mendalam bersifat luas, terbuka, tidak terstruktur, dan tidak semestinya bersifat tetap. Intinya ialah pertemuan berulang kali secara langsung antara pengkaji dan subjek pengkajian. Tujuannya untuk memahami pandangan subjek pengkajian tentang kehidupan, pengalaman, atau situasi subjek pengkajian, sebagaimana diungkapkan dalam bahasanya sendiri. Secara ringkasnya, temubual mendalam bertujuan untuk menggali riwayat atau kronologi penggiat seni ukiran untuk mendapatkan maklumat tentang kehidupannya melalui bahasa lisannya sendiri sekali gus, pengkaji dapat mempelajari kegiatan dan kejadian yang diamati secara langsung.

4.3.2 Kaedah Pemerhatian

Melalui kaedah ini, pengkaji turut memerhati dan melibatkan diri dengan penggiat seni untuk mendapatkan data-data sokongan dengan lebih mendalam lagi. Kaedah ini melibatkan proses rakaman gambar, video dan catatan berkaitan penggiat seni sebagai bukti kajian. Pengkaji juga akan memerhatikan bahan, motif, teknik dan proses, tingkahlaku serta suasana sekeliling yang melibatkan kehidupan penggiat seni kraf ukiran kayu ini. Pengkaji

(5)

secara langsung akan melakukan pemerhatian terhadap subjek pengkajiannya sekali gus menimbulkan interaksi sosial di antara pengkaji dengan subjek pengkajian itu sendiri. Interaksi ini bertujuan untuk memperoleh data melalui teknik yang sistematik.

4.4.3 Kaedah Analisis Data

Kesemua data yang diperoleh daripada pelbagai sumber akan diteliti secara lebih terperinci lagi dan akan dikumpul serta diproses menjadi lebih tersusun bagi memudahkan proses penganalisa dilakukan. Data tersebut kemudiannya disusun mengikut kategori yang sesuai. Setiap data akan dicatat bagi mengelakkan pengkaji terlepas pandang, tersalah tafsir atau terlupa maklumat yang telah diperoleh. Setelah itu, pengkaji akan membuat

huraian dan tafsiran berdasarkan analisis ke atas semua data yang diperoleh. Semua analisis ke atas data yang dibuat adalah untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan kajian yang dikaji.

5.0 DAPATAN KAJIAN

5.1 Latar Belakang Abd. Muhaimin Bin Hasbollah

Nama penuh beliau ialah Abd. Muhaimin bin Hasbollah, berasal daripada Pontian Johor. Beliau bersekolah di SMK Sultan Alauddin di Bukit Besar, Kulai Johor sehingga tingkatan lima. Dari zaman sekolah lagi, beliau sememang amat meminati bidang lukisan hingga menceburkan diri dalam bidang lukisan mural serta mengambil upah melukis catan cat minyak daripada pelanggan-pelanggan di sekitar Johor. Melukis merupakan hobi dan jika berkelapangan, beliau akan keluar ke lokasi-lokasi tertentu seperti air terjun dan pantai untuk mencari idea di situ. Beliau sememangnya cenderung melukis berkaitan pemandangan, bermula dari situ kerjayanya dalam bidang seni mula berkembang. Selepas SPM iaitu pada tahun 1982, beliau masih meneruskan minat melukis sambil menunggu peluang untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Namun memandangkan pada zaman tersebut agak sukar dalam mencari pekerjaan dan peluang lain, beliau memilih untuk bekerja di Singapura dengan sebuah syarikat di Bukit Timah pada tahun 1983.

Semasa di sana, beliau masih lagi meneruskan minat melukis di mana lukisannya turut ditempah oleh beberapa individu di Singapura. Setelah bekerja selama dua tahun di Singapura, beliau pulang semula ke tanah air untuk meneruskan minat melukis. Pada tahun 1985, beliau telah permohonan melanjutkan pelajaran dalam bidang ukiran kayu setelah terjumpa artikel daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Pada tahun 1986, beliau memulakan pembelajaran Asas Ukiran Kayu di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Cawangan Temerloh Pahang selama setahun setengah. Namun kini, tempat tersebut ditukarkan kepada Pusat Inkubator. Pada tahun 1990, Institut Kraf Negara di Rawang, Selangor ditubuhkan dan semua pusat cawangan ditutup. Pada masa

tersebut hanya pengajian peringkat sijil sahaja yang ditawarkan, namun kini pelajar-pelajar boleh menyambung pembelajaran sehingga ke peringkat diploma dan seterusnya ijazah.

Selama setahun enam bulan meneruskan pengajian di Pusat Kraf, beliau telah menerima anugerah sebagai pelatih terbaik. Setelah tamat pengajian di situ, beliau menjalani pula latihan praktikal selama tiga bulan di Kelantan Wood Carving yang mana pemiliknya adalah Allahyarham Abdul Latiff bin Long yang dikenali juga sebagai Pengukir Diraja. Sepanjang berada di situ banyak ilmu yang diperolehi dalam memperbaiki lagi teknik mengukir serta menghasilkan motif ukiran dengan baik. Beliau juga amat rapat dengan allahyarham Abdul Latiff bin Long dan banyak ilmu yang dicurahkan serta pengalaman yang sangat berharga sepanjang bersamanya. Dengan itu, minat beliau dalam bidang ukiran semakin bercambah sehingga beliau dapat meningkatkan teknik mengukir ke tahap yang lebih baik lagi. Menurut Abd. Muhaimin bin Hasbollah, beliau sentiasa ingat pesanan allahyarham iaitu “Jika kita mahu belajar mengukir, kita perlu ada seorang guru”. Di Kelantan guru dikenali sebagai SANAD atau dalam perkataan lain mentor. Allahyarham Abdul Latiff bin Long memang banyak mencurahkan ilmu kepada beliau kerana menurut allahyarham, beliau mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan orang lain.

Pada tahun 1991, beliau meninggalkan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia kerana membuka bengkel ukiran kayu bersama isteri yang ketika itu turut sama belajar di sana. Pada tahun 1992, bengkel ini berjaya dibuka sepenuhnya atas usaha tangan sendiri dan diberi nama INA KRAF hasil singkatan nama isteri beliau. Pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi oleh beliau sepanjang menguruskan bengkel ini. Bengkel ini dibina tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak, hanya menggunakan kewangan sendiri kerana pada ketika itu proses permohonan sebarang bentuk bantuan terlalu payah dengan karenah birokrasi. Berbekalkan modal yang sedia ada, beliau mula membeli beberapa peralatan memotong kayu dan turut memohon bantuan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Setelah dua kali memohon akhirnya diluluskan apabila beliau sendiri berjumpa secara peribadi dengan Dato’ Aziz bin Deraman yang merupakan pengarah ketika itu. Pada masa itu bantuan dikenali sebagai Skim Bantuan Luar Bandar dan diberikan secara percuma sahaja.

Setelah bengkel dilengkapi sepenuhnya dengan semua mesin dan kelengkapan, beliau mula mengambil anak-anak muda di kampung untuk bekerja di bengkelnya.Di situ, beliau mula mengajar, membantu dan membimbing mereka agar dapat bekerja dengan baik sehingga mahir. Pada ketika itu, produk kraf ukiran kurang saingan dan menerima tempahan daripada pelanggan tetap setiap bulan. Sepanjang mengambil anak-anak muda untuk bekerja, beliau mula menanam matlamat mahukan anak muridnya sendiri membuka bengkel masing-masing agar seni ukiran kayu dapat dikembangkan dengan lebih meluas lagi. Bengkel beliau merupakan bengkel pertama

(6)

yang diwujudkan di negeri Pahang yang berdaya maju. Setelah itu, barulah banyak agensi yang datang untuk mendaftarkan bengkel beliau di bawah mereka antaranya RISDA, FELCRA, MTIB, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan sebagainya. Agensi-agensi inilah yang membantu dalam apa jua perkara bagi memperkembangkan lagi seni ukiran kayu ini (Abd. Muhaimin hasbollah, 2019).

5.2 Seni Ukiran Kayu Kontemporari Abd Muhaimin Bin Hasbollah

Menurut Abd. Muhaimin bin Hasbollah, seni ukiran kayu kontemporari ini merupakan satu pilihan daripada pelbagai jenis ukiran. Sebelum mengetahui ukiran kontemporari ini, seelok-eloknya perlu kenal dan tahu ilmu berkaitan dengan ukiran tradisional dahulu kerana ukiran kayu tradisional merupakan asas utama. Banyak falsafah dan makna tertentu yang kita tidak ketahui terdapat di sebalik ukiran kayu. Kita perlu melihat dari mana orang terdahulu mendapat ilham untuk mengukir. Dahulu, apabila tiba musim menuai atau tengkujuh kebanyakan mereka hanya berada di rumah dan mula mencari kerja dengan membuat sesuatu benda yang boleh digunakan sebagai peralatan harian seperti mesin emping, kukur kelapa dan sebagainya. Bagi memperindahkan produk yang dihasilkan, mereka mula mengukir dengan kreatif motif-motif alam sekeling seperti bunga melur dan tumbuh-tumbuhan lain, kemudian diadaptasi menjadi motif ukiran yang menarik. Selain itu jika mereka mengukir pintu-pintu rumah, motif yang selalu digunakan adalah motif bunga yang wangi seperti bunga melur dan bunga tanjung. Penggunaan motif bunga ini adalah sebagai metafora di mana motif bunga ini seakan-akan memberi satu haruman wangi di dalam rumah. Selain itu, contoh ukiran di kepala katil menggunakan motif daun sireh, daun ketamguri dan sebagainya menjadi metafora kepada tumbuhan herba di mana mereka percaya jika sakit atau kurang sihat dengan berbaring di katil tersebut dapat menenangkan dan mempercepatkan proses penyembuhan. Kebanyakan orang dahulu, mereka menghasilkan ukiran ini bukan sekadar untuk kelihatan indah sahaja tetapi penuh bermakna dan berfalsafah. Contoh lain lagi, ukiran sulur saling bertindihan, ukiran daun berlipat membawa maksud dalam hidup bermasyarakat kita perlu saling hormat menghormati di antara satu sama lain, yang muda menghormati yang tua dan sebaliknya. Hujung daun diukir sedikit melentik membawa maksud sesama kita jangan bergaduh, berlawan dan perlu menghormati di antara satu sama lain. Ukiran yang dihasilkan penuh dengan makna dan falsafah, menjadikan ukiran kayu Malaysia sangat berbeza dengan ukiran kayu Indonesia atau Thailand. Oleh sebab itu, pengukir yang hebat atau mahir dalam seni ukiran kayu perlu tahu akan makna dan falsafah ukiran kayu bukan hanya sekadar mengukir sahaja tanpa mengetahui maknanya. Terdapat 300

sehingga 400 motif-motif yang diadaptasi daripada alam sekeliling menjadi motif ukiran kayu dan setiap motif yang dihasilkan dikaitkan dengan cara hidup seharian seperti sikap dan bahasa yang digunakan. Setiap ukiran yang dihasilkan perlu dihayati kerana mempunyai makna-maknanya yang tersendiri.

Menurut Abd. Muhaimin bin Hasbollah lagi, beliau sememangnya lebih suka menggunakan motif-motif bunga yang mempunyai makna tersendiri. Berkaitan hal identiti pula, melalui pengalaman belajar di Kelantan dan Terengganu, beliau mendapati motif ukiran yang digunakan di kedua-dua negeri hampir sama. Disebabkan itu terdetik di hati beliau untuk mencipta identiti sendiri yang mana jika sesiapa yang melihatnya akan tahu bahawa itu adalah ukiran yang telah dihasilkan oleh beliau. Beliau lebih gemar memilih Daun Sayap dan Bunga Tikam Seladang sebagai motif identiti ukiran kerana mempunyai maksudnya yang tersendiri. Ukiran kontemporari juga mempunyai teknik khasnya yang tersendiri dengan penggunaan alatannya yang tertentu. Perbezaannya, ukiran kontemporari ini lebih kasar ukirannya berbanding ukiran tradisional kerana nilai tambah lebih dipentingkan contohnya seperti kesan pahat pada permukaan kayu turut dikekalkan berbeza dengan ukiran tradisonal yang lebih mementingkan kelembutan dan kelicinan permukaan kayu yang diukir. Kontemporari lebih kepada kesan buatan tangan untuk menampakkan keaslian dan motif yang dihasilkan lebih bebas. Seni ukiran kayu kontemporari merujuk kepada ukiran kayu yang mengaplikasikan motif flora, fauna dan kosmos mengikut citarasa sendiri dan permintaan semasa. Kebiasaannya ia dihasilkan mengikut kesesuaian tempat dan kehendak pelanggan. Biasanya proses penghasilannya, tidaklah terlalu lama berbanding penghasilan ukiran kayu tradisi. Ini kerana penggunaan teknologi terkini dan juga motif yang di gunakan adalah mudah untuk diukir berbanding ukiran tradisi

Dalam menghasilkan sesuatu motif ukiran ini bukanlah satu perkara yang mudah. Kedua-dua ukiran ini mempunyai tahap kerumitannya yang tersendiri di mana seorang pengukir perlu peka dengan alam sekitar, perlu tahu dan faham dengan olahan motif yang dipilih begitu juga ketika membentuk motif tersebut. Bagi motif tradisional, pengukir perlu peka dan menjaga falsafah ukiran tradisional manakala kontemporari pula, pengukir perlu menyatakan hal sesuatu yang lebih bermakna. Tambahan lagi jika diterapkan juga nilai falsafah ukiran ke dalamnya, ukiran kayu kontemporari akan menjadi lebih bermakna dan bernilai tinggi. Seni ukiran kayu kontemporari tidak terhad pada motif bunga sahaja, malah banyak lagi unsur lain yang boleh diolah seperti angin, air, api dan sebagainya mengikut daya kreativiti dan idea masing-masing. Cuma yang berbezanya, ukiran tradisional lebih halus, terperinci dan lembut berbanding kontemporari. Sebenarnya di luar negara juga terdapat banyak ukiran kayu cuma membezakan dengan ukiran negara kita, mereka tidak mempunyai nilai falsafah hanya sebagai hasil seni estetik sahaja.

(7)

Kini, semua pengukir kayu telah disatukan di bawah satu persatuan iaitu Persatuan Penggiat Seni Ukir Kayu Malaysia di mana Abd. Muhaimin bin Hasbollah telah dilantik sebagai setiausaha, Yang Dipertua Norhaiza bin Noordin (adiguru) dan Naib Timbalan Wan NurKamar Rahmatullah bin Wan Mustafa. Ahli persatuan ini sudah mencecah hampir 1000 orang ahli dan semua ahli persatuan dapat bersatu dan berunding pelbagai hal dengan baik. Semua pengukir kayu perlu tahu asas ukiran dan perlukan ‘sanad’ kerana inilah antara syarat utama untuk bergelar seorang pengukir. Kontemporari ini adalah satu pilihan sebenarnya di mana jika telah menguasai asas boleh dikembangkan kepada gaya lain dan bebas. Kontemporari bermaksud bebas dan tidak terikat dengan mana-mana jenis ukiran tradisional. Ukiran kontemporari lebih kepada alam realiti dan nyata tanpa maksud tertentu dan lebih dikenali dengan ukiran moden. Berbeza dengan tradisional yang menekankan makna dan falsafah di setiap motif ukirannya.

5.3 Karya-karya Seni Ukiran Kayu Kontemporari Abd. Muhaimin Bin Hasbollah

Dapatan gambar adalah hasil pertemuan pengkaji dengan Abd. Muhaimin bin Hasbollah di Bengkel Inakraf, Temerloh Pahang. Dalam pertemuan ini, satu sesi temu bual telah dijalankan bersama Abd. Muhaimin bin Hasbollah yang telah banyak berkongsi pengalaman dalam bidang ukiran. Turut disentuh tentang penghasilan motif-motif ukiran dan makna di sebalik setiap ukiran kayu kontemporari yang dihasilkan sehingga berjaya mengharumkan nama negara.

Gambar 1

Tajuk : Nature And Culture (A Glory Park) Bahan : Nepali Chilawni (kayu keras) Motif : Bunga Teratai dan Ikan Emas Acara : World Wood Day 2016, Kathmandu

Academy, Nepal

Gambar 1, merupakan ukiran kayu yang dihasilkan oleh

Abd. Muhaimin bin Hasbollah di acara World Wood Day 2016, Kathmandu Nepal. Motif ukiran kayu yang

dihasilkan ini berkait rapat dengan lambang keagamaan dan kebudayaan di Nepal. Nepal merupakan sebuah negara yang kaya dengan kebudayaan dan ritual keagamaannya. Oleh kerana itu, situasi ini telah mendorong Abd Muhaimin bin Hasbollah untuk menghasilkan ukiran yang menggunakan elemen-elemen yang terdapat di Nepal. Beliau memilih motif Bunga Teratai kerana bunga ini sering digunakan dalam setiap acara keagamaan dan kebudayaan di Nepal serta menjadi ‘bunga wajib’ dalam masyarakat ini . Motif lain yang digunakan adalah Ikan Emas kerana mengikut masyarakat di sana, ikan emas adalah lambang kekayaan dan kebahagiaan. Turut diukir ialah pepatung-pepatung yang terbang bebas membawa maksud keceriaan dalam kehidupan.

Prinsip Estetika Zakaria Ali

Ciri Karya 1 : ‘Nature And Culture’

(A Glory Park)

Berhalus

 Menggunakan bahan daripada sejenis kayu keras tropika yang berwarna coklat gelap yang sememang sesuai dijadikan bahan ukiran.  Kemasan ukiran yang sangat

terperinci pada motif yang diukir.

Berguna

 Motif yang diukir membawa maksud tersirat.

 Motif Bunga Teratai dikaitkan dengan keagamaan.

 Penduduk Nepal menggunakan bunga teratai dalam berbagai ritual keagamaan.

Bersatu  Pilihan tema alam yang sesuai dengan persekitaran tempat.

Berlawanan

 Motif Bunga Teratai (flora/tumbuhan) berlawanan dengan motif Pepatung (fauna/serangga).

Berlambangan

 Motif Pepatung berkaitan dengan kebebasan dan keceriaan dalam kehidupan.  Motif Ikan Emas

melambangkan kekayaan dan kebahagiaan.

Bermakna

 Motif yang diukir diilhamkan daripada pemerhatian kehidupan dan kebudayaan masyarakat Nepal.

 Elemen atau motif yang dihasilkan sememangnya mempunyai perkaitan dengan budaya tempatan.

(8)

Jadual 1 : Ciri-ciri ukiran kayu Karya ‘Nature And

Nature’ berpandukan kepada prinsip estetika Zakaria Ali.

Gambar 2

Tajuk : The Freedom Of Life Bahan : Kayu pine gunung

Motif : Ikan Karp ( Kontemporari ) Acara : The 7th China ( Kaihua ) Root

Carving Art & Culture Festival 2019, Kaihua, China.

Gambar 2, merupakan ukiran kontemporari yang

dihasilkan oleh Abd. Muhaimin bin Hasbollah di Festival Seni dan Kebudayaan di Kaihua, China pada awal tahun 2019. Karya ini menunjukkan hasil ukiran kayu bermotifkan beberapa ekor ikan yang seakan-akan cuba untuk melepaskan diri daripada jaring yang telah rosak. Motif ikan diambil daripada spesis ikan karp yang menjadi elemen penting dalam kepercayaan orang Cina. Bagi kepercayaan kaum Cina, ikan karp membawa maksud lambang kejayaan kerana ikan jenis ini sering berenang di sungai tanpa henti sehingga masyarakat mereka percaya bahawa ikan ini boleh berubah menjadi naga dalam tempoh masa tertentu. Menurut Encik Abd. Muhaimin bin Hasbollah, ukiran yang dihasilkan ini menggambarkan tentang kebebasan dalam kehidupan. Ini turut membawa maksud bahawa dalam kehidupan ini kebebasan sangat penting bagi semua makhluk yang hidup malah peluang yang ada di depan mata perlu digunakan sebaik mungkin dengan bijak agar kehidupan lebih bernilai.

Prinsip Estetika Zakaria Ali

Ciri Karya 2 : ‘The Freedom Of Life’

Berhalus

 Menggunakan bahan daripada sejenis kayu pokok pine yang tumbuh subur di kawasan pergunungan.

 Ukiran pada sisik ikan diukir halus dan teliti menimbulkan jalinan sisik sebenar terutama pada bahagian kepala dan badan.

Berguna

 Motif ikan karp sememangnya sinonim dengan kepercayaan bagi masyarakat kaum Cina.

Bersatu

 Motif ikan yang diukir seakan-akan sedang melompat mewujudkan prinsip pergerakan di situ.

 Wujud kerhamornian pada motif beberapa ekor ikan yang disusun seakan-akan sedang melompat untuk melepaskan diri.

Berlawanan  Permukaan kayu kasar tetapi mempunyai struktur urat yang halus menimbulkan kesan unik pada motif ukiran.  Bahagian atas diukir lebih halus berbanding bahagian bawah yang lebih kasar. Berlambangan

 Motif ikan karp melambangkan kejayaan dalam hidup.

 Sekumpulan ikan yang melonjak ke atas dan merosakkan jaring melambangkan semangat kerjasama secara berkumpulan dalam menghadapi sebarang halangan dan dugaan.

Bermakna

 Menggunakan kayu pokok pine kerana bagi masyarakat di China pokok pine sebagai simbolik kepada jangka hayat panjang, keberterusan, ketabahan dan martabat.  Ikan karp sinonim dalam

kehidupan masyarakat Cina yang bekerja keras dan hidup harmoni.

Jadual 2 : Ciri-ciri ukiran kayu Karya ‘The Fredom Of

(9)

Gambar 3

Tajuk : Life Under The Sun Bahan : Kayu Blok

Motif : Hidupan Alam ( Kontemporari ) Acara : World Wood Day 2018, Siem Reap,

Cambodia.

Gambar 3, Ukiran kayu yang betajuk ‘Life Under The

Sun’ telah dihasilkan pada acara World Wood Day 2018 yang berlangsung di Siem Reap, Cambodia. Hasil karya ini mengunakan motif-motif alam semula jadi seperti matahari, flora dan fauna. Motif matahari melambangkan kekuasaan matahari sebagai sumber utama kehidupan di dunia ini dan merupakan simbol kepada lengkapnya kehidupan hari ini. Matahari juga sebagai sumber utama bagi kehidupan manusia, tumbuh-tumbuhan, flora dan fauna. Ukiran ini seakan bercerita kepada khalayak tentang melindungi alam semulajadi supaya kehidupan lebih seimbang dan terpelihara. Penggunaan motif juga sinonim dengan kehidupan masyarakat Kemboja yang sememangnya menghargai alam semulajadi dan mereka percaya setiap benda yang hidup saling berkaitan. Alam semulajadi perlu dipelihara bagi kelestarian generasi seterusnya. Jika alam dirosakkan, masyarakat ini percaya akan menerima musibah yang buruk dan akan mengganggu kehidupan mereka di muka bumi ini.

Prinsip Estetika Zakaria Ali

Ciri Karya 2 : ‘Life Under The Sun’

Berhalus  Menggunakan bahan daripada sejenis kayu blok yang sangat besar atau dikenali juga dengan nama ‘Rain Tree’.

 Blok kayu agak keras memberi sedikit cabaran dalam mengukir motif.

Berguna  Motif yang diukir menjelaskan tentang pentingnya alam semulajadi untuk dilindungi agar dapat dinikmati oleh generasi seterusnya.

Bersatu  Wujud prinsip harmoni yang bersatu dengan alam. Motif flora, fauna dan kosmos menjadikan alam seimbang dan saling berkait rapat diantara satu sama lain.

Berlawanan  Mempunyai permukaan kayu yang agak kasar namun memberikan kesan yang menarik setelah diukir. Berlambangan  Motif matahari melambangkan

kekayaan dan sumber utama semua kehidupan.

Bermakna  Motif alam yang diukir berkait dengan kepercayaan masyarakat Kemboja bahawa alam perlu dijaga dan dilindungi agar tidak menerima musibah dalam kehidupan.

Jadual 3: Ciri-ciri ukiran kayu Karya ‘Life Under The

Sun’ berpandukan kepada prinsip estetika Zakaria Ali.

Gambar 4

Tajuk : Prosperity Of Life Bahan : Root Wood/Wood Box Motif : Tradisional dan Kontemporari Acara : Minggu Pertukaran Kebudayaan

Ukiran Kayu Antarabangsa 2019, Wenzhou, Zhejiang, China

Gambar 4, Ukiran yang dihasilkan daripada permilihan

kayu yang melengkung dikaitkan dengan maksud jambatan. Motif ukiran diukir pada kayu berbentuk jambatan, melambangkan hubungan yang dibina diantara kedua-dua sempadan. Sempadan yang dimaksudkan

(10)

adalah hubungan generasi muda dengan golongan tua yang saling berkaitan dan mempunyai hubungan rapat. Orang muda perlu menghormati orang tua dan orang tua pula perlu mendidik dan menjaga generasi muda dengan baik agar dapat melahirkan generasi yang cemerlang. Motif bunga berputar mengikut bentuk asal kayu menjadi simbol kecantikan dan kesopanan dalam membina hubungan yang baik. Ukiran ini digabungkan sebagai lambang kekuatan dan keharmonian dalam hubungan yang dibina. Penggunaan motif flora juga dikaitkan dengan keharmonian kehidupan manusia dengan alam yang sememangnya tidak boleh berpisah dan saling bergantungan diantara satu sama lain.

Prinsip Estetika Zakaria Ali Ciri Karya 2 : ‘Prosperity Of Life’ Berhalus

 Menggunakan bahan daripada sejenis kayu sederhana keras yang berwarna putih kekuningan.

 Pemilihan kayu yang unik sebagai nilai estetik tambahan kepada motif yang diukir.

Berguna

 Kayu yang terbuang dijadikan bahan untuk ukiran kemudiannya diukir motif flora dapat dijadikan sebagai karya seni yang mempunyai nilai keindahan yang tinggi sebagai hiasan.

Bersatu

 Motif flora yang diukir menjalar dan melilit pada permukaan kayu menimbulkan kesan harmoni dan indah.

Berlawanan

 Hujung dan pangkal kayu yang berbeza saiz kebesarannya menjadikan ukiran ini semakin unik.

 Permukaan kasar namun bersesuaian.

Berlambangan

 Motif bunga pada kayu melambangkan kekuatan, keindahan dan keharmonian dalam membina satu hubungan yang baik.

Bermakna  Kayu yang melengkung seakan-akan jambatan.

 Jambatan bermaksud hubungan di antara yang tua dengan muda perlu dijalinkan dengan baik.  Mereka hidup dalam suasana

yang aman dan berharmoni antara satu sama lain.

 Motif bunga sebagai lambang kecantikan dan kesopanan dalam membina hubungan yang baik.

Jadual 4 : Ciri-ciri ukiran kayu Karya Prosperity Of Life

berpandukan kepada prinsip estetika Zakaria Ali.

Gambar 5

Tajuk : The Bridge

Bahan : Kayu Mahogani Drift Motif : Bunga Tulip dan Bunga Lili Acara : Minggu Pertukaran Kebudayaan

Ukiran Kayu Antarabangsa 2019, Wenzhou, Zhejiang, China

Gambar 5, merupakan hasil karya ukiran 3D yang

menggambarkan gabungan atau hubungan dua negara iaitu bunga tulip mewakili Turki manakala bunga lili mewakili negara Eropah. Kedua-dua negara ini dipisahkan oleh Lautan Bhosforus. Biar pun kedua-dua negara ini terpisah, namun kedua-duanya mempunyai hubungan yang akrab dan harmoni diantara satu sama lain. Perbezaan budaya dan

(11)

adat tidak memisahkan mereka untuk berharmoni diantara kedua-dua negara. Semangat persaudaraan merupakan faktor hubungan mereka rapat dan kekal utuh zaman berzaman. Bersumberkan idea kedua jenis bunga inilah telah memberikan Abd. Muhaimin bin Hasbollah idea dalam menghasilkan ukiran kayu kontemporari ini. Sememangnya kedua-dua jenis bunga ini memang banyak terdapat di Turki dan Eropah yang dijadikan sebagai simbol bagi kedua-dua negara. Gabungan motif Bunga Tulip dan Bunga Lili menjadi satu simbol perpaduan bagi kedua negara yang mempunyai berbagai budaya di dalamnya

.

Prinsip Estetika Zakaria Ali Ciri Karya 2 : ‘The Bridge’ Berhalus

 Menggunakan bahan daripada sejenis kayu sederhana keras berwarna kekuningan yang sememangnya sesuai dalam pembuatan ukiran.

Berguna

 Motif berbentuk 3D menimbulkan satu perspektif menarik dalam penghasilan karya ukiran ini.

Bersatu

 Motif Bunga Tulip dan motif Bunga Lili yang diukir menjelaskan tentang hubungan dua negara yang berbeza tetapi saling berharmoni di antara satu sama lain.

Berlawanan

 Motif ukiran diukir mempunyai unsur perbezaan di antara budaya Barat dan budaya Timur.

Berlambangan

 Motif Bunga Tulip mewakili negara Turki manakala motif Bunga Lili mewakili negara Eropah.

Bermakna

 Motif dua jenis bunga yang digunakan sebagai simbolik perbezaan di antara dua buah negara.

Jadual 5 : Ciri-ciri ukiran kayu Karya The Bridge

berpandukan kepada prinsip estetika Zakaria Ali.

5.4 Penyertaan dan Pencapaian Abd. Muhaimin Bin Hasbollah

Sepanjang berkecimpung dalam bidang ukiran ini, banyak pengalaman diperolehi oleh beliau dengan menyertai pelbagai pertandingan dan penyertaan ukiran kayu hingga ke luar negara. Antara anugerah dan penyertaan yang telah diterima beliau :

2012 - The Best of Achievement Craftmanship

Award (Asia-China) at International Live Wood Carving Show & Competition, Nanning, China.

2014 - Pendik Antisan International Festival in

Year at Pendik, Istanbul, Turkey.

2015 - Wood Carving Event at World Wood Day,

Eskiseher, Turkey.

2016 - World Wood Day Khatmandu, Nepal. 2018 - World Wood Day at Siem Reap, Cambodia. 2019 - Belt & Road Wood Artist Culture

Exchange Week,Wenzhou, China. - The 7th China ( Kaihua ) Root Carving Art

& Culture Festival Kaihua, China. - World Wood Day, Vienna Austria. - Buyukchekmace Craft & Art Festival,

Istanbul Turkey.

- International Festival Handicrafter, Kokand Uzbekistan.

- Pengiktirafan ADIGURU KRAF KE-4 oleh Kerajaan Malaysia.

6.0 RUMUSAN

Seni ukiran kayu merupakan warisan turun-temurun yang akan lenyap jika tidak dipelajari oleh generasi sekarang. Jika tidak dipelajari, ilmu tidak dapat diwarisi. Bersandarkan hal tersebut maka lahirlah kepentingan untuk mengenali penggiat seni ukiran kayu yang telah menyumbang jasa dalam melestarikan seni ukiran ini. Kemahiran mengukir merupakan ilmu yang harus dipelajari supaya terus kekal walaupun berlakunya peredaran masa. Sedar akan masalah ini, pengukir pelapis perlu untuk menyambung kesinambungan seni ukiran pada masa hadapan. Justeru, kajian ini adalah untuk mengenali dan mengkaji dengan lebih dekat penggiat seni ukiran kayu kontemporari yang telah menghasilkan banyak karya seni ukiran dan telah memberi sumbangan dalam mengharumkan nama negara.

Kajian ini juga boleh dijadikan sebagai satu rakaman kehidupan seorang penggiat seni ukiran kayu kontemporari yang mempunyai bakat dan keunikannya yang tersendiri. Ia juga boleh dijadikan sebagai satu bahan rujukan ilmiah kepada peminat seni ukiran tanah air yang ingin mengenali dengan lebih dekat serta mengkaji keunikan yang terdapat dalam ukirannya. Selain itu, kajian ini juga penting demi kelangsungan seni ukiran kayu kontemporari oleh generasi akan datang serta dapat mengetengahkan keistimewaan ukiran kepada bakat-bakat baru dalam bidang seni ukiran kayu agar mereka menjadikan beliau teladan dan juga sumber rujukan. Hasil seni ukiran kayu kontemporari Abd.

(12)

Muhaimin bin Hasbollah rata-ratanya bermotifkan flora dan fauna, serta persekitaran yang dipengaruhi oleh faktor pemilihan tema, idea dan konsep motif. Motif-motif yang dihasilkan oleh beliau mempunyai keunikannya yang tersendiri malah turut mempunyai mesej yang tersirat berkaitan dengan kehidupan dan hubungan manusia dengan alam. Semua hasil karya seni ukiran kayu kontemporari beliau bukan sahaja bermakna tetapi seni ukiran ini juga mempunyai nilainya yang tinggi dan tersendiri.

5.0 RUJUKAN

Abdul Halim Nasir, 2016. Ukiran Kayu Melayu Tradisi. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

John Storey, 2003. Cultural Studies and The Study of Popular Culture, Theories and Methods. University of Georgia Press.

Kamarul Azmi Jasmi, 2012. Metodologi Pengumpulan

Data dalam Penyelidikan Kualitatif, Kursus

Penyelidikan Kualitatif Siri 1,2012, Puteri Resort

Melaka.

Mohammad Nazri bin Ahmad. (2016 ). Falsafah Seni

Ukiran Melayu. Tesis Doktor Falsafah Akademi

Pengajian Melayu. Universiti Kuala Lumpur.

Nuasa Ukiran Melayu, 2013. Universiti Malaya Robert Freeman Butts, 1955. A Cultural History of

Western Education Its Sosial and Intellectual Foundations. McGraw-Hill Series in Education.

University of California.

Saufi Bin Abdul Ghani, 2008. Sejarah Industri Ukiran

Kayu En. Rahman Bin Long, Universiti Pendidikan

Sultan Idris.

Syed Ahmal Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa dan Pustaka, kuala Lumpur.

Tengku Sharipah Hj. Tengku Ibrahim. (2000). Tokoh Kraf Negara: Haji Tengku Ibrahim Tengku Wook. Tesis Satu Kajian Biografi, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.

Temu bual bersama Abd. Muhaimin Bin Hasbollah, 28 Februari 2019. Inakraf, Temerloh, Pahang. Temu bual bersama Abd. Muhaimin Bin Hasbollah,

7 April 2019. Inakraf, Temerloh, Pahang.

Zakaria Ali, 1987. Seni Dan Seniman Esei-Esei Seni

Gambar

Gambar  1,  merupakan  ukiran  kayu  yang  dihasilkan  oleh  Abd. Muhaimin bin Hasbollah di acara World Wood Day  2016,  Kathmandu  Nepal
Gambar  2,  merupakan  ukiran  kontemporari  yang  dihasilkan oleh Abd. Muhaimin bin Hasbollah di Festival  Seni  dan  Kebudayaan  di  Kaihua,  China  pada  awal  tahun  2019
Gambar  4,  Ukiran  yang  dihasilkan  daripada  permilihan  kayu  yang  melengkung  dikaitkan  dengan  maksud  jambatan
Gambar  5,  merupakan  hasil  karya  ukiran  3D  yang  menggambarkan gabungan atau hubungan dua negara iaitu  bunga tulip mewakili Turki manakala bunga lili mewakili  negara  Eropah

Referensi

Dokumen terkait