Kajian Kes OSS
Penubuhan Komuniti OSS UKM sebagai kumpulan pengguna, kumpulan khidmat
sokongan kepada pengguna lain, dan sebagai pembangun aplikasi OSS di UKM
Nama: Puan Noraini Talib
Tajuk Kajian Kes: Penubuhan Komuniti OSS UKM sebagai kumpulan pengguna, kumpulan
khidmat sokongan kepada pengguna lain, dan sebagai pembangun aplikasi OSS di UKM.
Agensi Kerajaan / Institusi : Pusat Teknologi Maklumat, UKM.
Alamat Penuh: Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM
Bangi.
Alamat Surat-menyurat: Pusat Teknologi Maklumat, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600
UKM Bangi, Selangor, Malaysia.
Mel-E: [email protected]
Telefon: 03-89213590
URL: opensource.ukm.my
Pengenalan Agensi
Wawasan
Menyediakan persekitaran perkhidmatan teknologi maklumat yang berkualiti dalam menjana kecemerlangan akademik dan kecekapan pentadbiran
Moto
Peneraju & Perintis Teknologi Maklumat
Misi
Bertekad menjadi Pusat Perkhidmatan ICT yang cemerlang
Dasar Kualiti
Bertekad memberikan perkhidmatan ICT yang berkualiti serta membuat penambahbaikan secara berterusan dan memenuhi keperluan pelanggan
Piagam Pelanggan
• Membangunkan sistem aplikasi dalam tempoh yang dipersetujui dengan pemilik sistem
• Menyediakan sistem pelayan pangkalan data serta pemprosesan data mengikut keperluan pelanggan • Menyelenggara komputer dalam tempoh empat (4) hari bekerja dalam tempoh terima aduan
• Membangunkan persembahan multimedia untuk upacara rasmi universiti dalam tempoh satu (1) bulan setelah menerima maklumat lengkap
Objektif Kualiti PTM
• Membangun dan menyelenggara Sistem Aplikasi yang memenuhi keperluan dalam masa yang dipersetujui bersama pemohon
• Memastikan ketersediaan perkhidmatan Pelayan (Server)Utama, Pelayan (Server) Web dan Pangkalan Data mencapai 90%
• Menyelesaikan ketidak capaian rangkaian dalam tempoh satu (1) hari bekerja
• Membaik pulih komputer dalam tempoh empat (4) hari bekerja (tertakluk kepada adanya alat ganti) dari tarikh terima permohonan
• Membangun produk multimedia dalam tempoh yang dipersetujui bersama pelanggan • Memastikan pelanggan mencapai tahap kepuasan yang memuaskan terhadap produk dan
perkhidmatan
• Memberi akuan terima terhadap aduan pelanggan dalam tempoh satu (1) hari bekerja • Memberi maklum balas terhadap aduan pelanggan dalam tempoh 10 hari bekerja
• Memberikan maklum balas aduan kerosakan dalam tempoh tiga (3) jam dari masa diterima melalui Sistem Maklum Balas dan Aduan ICT dalam masa bekerja
Objektif Projek
Penubuhan Komuniti OSS UKM sebagai pengguna khas perisian sumber terbuka dan menjadi kumpulan penyokong khidmat sokongan kepada pengguna-pengguna perisian sumber terbuka di kalangan warga UKM.
Matlamat Penubuhan
Penubuhan Komuniti OSS UKM adalah sebagai langkah menggalakkan pembudayaan penggunaan perisian sumber terbuka dengan cara promosi secara berkala dan khidmat sokongan pengguna sepanjang masa menggunakan ruangan forum dan jaringan sosial.
Ahli-ahli Komuniti OSS UKM ini juga digalakkan terlibat dengan pembangunan aplikasi berasaskan perisian sumber terbuka dan bersedia berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman masing-masing dengan seluruh pengguna di UKM.
Organisasi
Penaung : Prof Dr Ir Othman bin A Karim Penasihat : Prof Dr Mahamod bin Ismail Penasihat : En Azman bin Chik
Jawatankuasa Kerja
Pengerusi : Puan Noraini Talib
Timb. Pengerusi : Puan Hafizah Suzana Hussein Setiausaha : Puan Suzita Awaluddin Timb. Setiausaha : Puan Zatul Hijannah Miasin Bendahari : Puan Norasyikin Sharim Timb. Bendahari : Puan Rohani Kamal AJK : Cik Duratul Ain Yahya AJK : Encik Muhammad Fitri AJK : Puan Hasnur Bariah Adnan
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan
Latihan, kursus dan bengkel Latihan
Ahli-ahli komuniti OSS UKM diberi peluang untuk memberi latihan kepenggunaan perisian sumber terbuka kepada warga UKM mengikut kemampuan dan pengalaman masing-masing. Mereka juga berkhidmat secara sukarela membantu warga UKM dalam menjayakan forum komuniti yang terdapat di laman web opensource.ukm.my sebagai ruang perbincangan mengenai perisian sumber terbuka secara maya.
Kursus
Kursus berasaskan perisian sumber terbuka dijalankan secara berkala dan setiap kursus diiktiraf oleh UKM sebagai kursus dalaman yang dibuka penyertaannya kepada semua warga UKM.
Bengkel
Bengkel Perisian Sumber Terbuka untuk satu-satu produk perisian akan diadakan berdasarkan permintaan oleh mana-mana Pusat Tanggungjawab di dalam UKM. Ahli-ahli Komuniti yang terlibat dalam menjayakan bengkel tersebut akan dikira perkhidmatan mereka dalam Sistem Penilaian Prestasi mereka dalam skop penyebaran ilmu.
Pameran
Pameran perisian sumber terbuka diadakan dari masa ke semasa untuk memberi seberapa banyak maklumat mengenai perisian sumber terbuka kepada seluruh warga UKM kakitangan dan juga pelajar.
Ceramah dan Taklimat
Ceramah dan taklimat berkaitan perisian sumber terbuka berdasarkan satu-satu produk atau jenama sering diadakan untuk mendatangkan motivasi kepenggunaan dan sekaligus menyampaikan maklumat yang betul mengenai perisian sumber terbuka kepada para pengguna.
Latar Belakang Penubuhan
Peringkat awal penubuhan komuniti OSS UKM iaitu pada bulan Januari tahun 2009, ianya hanyalah satu kumpulan yang mengumpulkan para peminat perisian sumber terbuka dari kalangan kakitangan Pusat Teknologi Maklumat, UKM itu sendiri. Peringkat awal penubuhannya, satu laman web dinamik dilancarkan untuk mencari keahlian dari warga UKM. Laman web tersebut boleh dicapai melalui URL opensource.ukm.my. Pada masa itu, objektif dan matlamat penubuhan juga tidak begitu jelas dan tiada aktiviti yang dapat dijalankan sebagai usaha promosi.
Keahlian komuniti OSS UKM pada peringkat awal hanyalah dalam 15 orang dan untuk mendapatkan kerjasama setiap ahli bagi menjayakan usaha promosi perisian sumber terbuka pada masa itu sangat mencabar kerana setiap ahli terikat dengan tugas hakiki sebagai kakitangan UKM. Kesibukan setiap ahli menyebabkan penubuhan komuniti OSS UKM hampir-hampir terkubur begitu sahaja.
Cabaran Penubuhan
Sukar mendapatkan kerjasama ahli
Salah satu cabaran yang dihadapi ialah sukar mendapat kerjasama ahli untuk setiap aktiviti yang dirancang untuk dilaksanakan. Ini adalah kerana kakitangan terikat dengan tugas hakiki dan tanggungjawab mereka terhadap jawatan dan perkhidmatan adalah lebih utama berbanding aktiviti sukarela yang dirancang oleh Komuniti OSS UKM.
Matlamat dan hala tuju Komuniti yang tidak jelas
Pada peringkat awal penubuhan, matlamat dan hala tuju Komuniti OSS UKM tidak begitu jelas dan ramai pengguna tidak tahu mengapa mereka harus menyertai Komuniti ini.
Tiada pengalaman
Kebanyakan dari ahli tiada pengalaman dalam menjayakan satu-satu komuniti OSS dan budaya komuniti sumber terbuka ketika itu belum diwujudkan lagi di UKM.
Tidak memahami konsep komuniti
Ramai ahli masih tidak memahami konsep komuniti yang sebenar seperti yang diamalkan oleh komuniti-komuniti OSS di luar negara yang biasanya diasaskan oleh penyelidik-penyelidik dan para pelajar di Universiti.
Langkah-langkah yang diambil dalam menghadapi cabaran
Mendapatkan Naungan dari Pegawai Atasan
Salah satu langkah yang diambil untuk menghadapi semua cabaran dalam penubuhan dan usaha mengekalkan komuniti OSS UKM ini ialah dengan mendapatkan naungan dari Pegawai Atasan. Banyak pihak yang telah membantu dengan memberi cadangan agar aktiviti pembudayaan perisian sumber terbuka oleh Komuniti OSS UKM ini dijadikan tugas hakiki atau diberikan KPI.
Kesudian Tuan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat, UKM untuk menjadi penaung kepada Komuniti OSS UKM ini telah banyak membantu penubuhan dan juga perkembangan Komuniti ini.
Kempen Alternatif Perisian Sumber Terbuka peringkat UKM 2009.
Sebagai meneruskan usaha untuk memperkembangkan lagi Komuniti OSS UKM dengan menambah keahlian dan merangka satu bentuk objektif dan matlamat yang jelas, satu program diadakan selama 3 bulan bermula pada bulan Mei hingga Julai 2009 iaitu Kempen Alternatif Sumber Terbuka peringkat UKM.
Kempen tersebut telah berjalan dengan jayanya dan keahlian komuniti OSS UKM menjadi semakin ramai dan tidak terhad kepada kakitangan sahaja, malah ramai mahasiswa turut menyertai. Kemeriahan penyertaan ahli-ahli komuniti dapat dilihat dalam kemeriahan forum maya yang menjadi ruangan hangat perbincangan mengenai perisian sumber terbuka oleh para pengguna.
Kempen ini juga turut mendapat sokongan yang hebat oleh aktivis-aktivis komuniti OSS Malaysia, dan kami telah mempelajari budaya komuniti itu dan sekaligus memahami konsep komuniti sebenar yang dibawa oleh rakan-rakan komuniti OSS Malaysia. Budaya dan konsep komuniti yang dibawakan mereka telah diteladani oleh ramai ahli-ahli Komuniti OSS UKM. Perkembangan yang baik dapat dilihat hasil 3 bulan kempen tersebut dijalankan.
Di antara rakan-rakan komuniti dan organisasi yang terlibat sebagai rakan penyokong komuniti OSS UKM
ialah:-Ubuntu Loco Malaysia Joomla Malaysia
Fedora Malaysia PCBSD Malaysia
Komuniti OSS UTM
Facebook Malaysia
Kesan positif selepas penubuhan Komuniti OSS UKM
Di antara kesan positif yang dapat dilihat selepas penubuhan Komuniti OSS UKM
ialah:-1. Kursus-kursus OSS yang telah diasaskan oleh Pusat Teknologi Maklumat mendapat sambutan yang sangat baik dari warga UKM.
Senarai kursus-kursus dalam modul sumber terbuka yang telah dijalankan secara rasmi di UKM
ialah:-i. Kursus Openoffice.org
ii. Kursus Pengenalan CMS Joomla iii. Kursus Pengenalan CMS Drupal
iv. Kursus Pembangunan Web Dinamik menggunakan Ruby On Rails v. Kursus Pembangunan Web Dinamik menggunakan PHP dan MySql vi. Kursus Pembangunan Web Dinamik menggunakan Cakephp vii. Kursus Sistem Operasi Sumber Terbuka
2. Forum OSS di laman web opensource UKM mendapat sambutan dari warga UKM dan juga masyarakat luar UKM termasuk kakitangan dari agensi kerajaan yang lain.
3. Keahlian yang semakin bertambah memudahkan projek-projek sukarelawan untuk apa sahaja acara atau program OSS yang dijalankan diperingkat Universiti mahupun Kebangsaan.
4. Banyak projek-projek pembangunan di UKM kini telah menggunakan perisian sumber terbuka. Di antaranya
ialah:-• Rangkaian UKM :
-◦ Sistem pemantauan rangkaian menggunakan Nagios, Wethermap, ZenOSS dan banyak lagi. ◦ Sistem Pengurusan Alamat IP UKM dibangunkan menggunakan perisian PHP dan MySQL. • Aplikasi UKM
◦ Sistem Soal-Selidik UKM dibangunkan menggunakan framework Limesurvey.org ◦ Sistem Galeri Video UKM dibangunkan menggunakan PHPMotion.
◦ Perkhidmatan E-Kad UKM dibangunkan menggunakan CMS Joomla dan rekabentuk E-Kad dibuat menggunakan perisian GIMP.
◦ Banyak sistem-sistem maklumat UKM telah dibangunkan menggunakan bahasa Pengaturcaraan PHP dan MySql.
◦ Penggunaan framework Mymeeting telah dikuatkuasakan penggunaannya di seluruh UKM. ◦ Forum UKM dibangunkan menggunakan framework PHPbb.
◦ Blog UKM dibangunkan menggunakan bahasa pengaturcaraan Ruby On Rails. • Prasarana UKM
◦ Kiosk UKM kini menggunakan Live Cd Kiosk yang diberi nama MAGH UKM Kiosk¹³ yang dibangunkan hasil pengubahsuaian sistem operasi Ubuntu.
• Laman Web UKM
◦ Laman web rasmi UKM telah menggunakan CMS dan diikuti oleh banyak lagi laman web PTJ di UKM yang turut menggunakan CMS.
5. Penggunaan perisian cetak rompak semakin berkurangan.
Ini dapat dilihat melalui Program Klinik Linux yang dijalankan di sekitar UKM oleh Komuniti OSS UKM di mana kami mendapat banyak permintaan untuk pemasangan perisian seperti
Openoffice.org dan GIMP serta sistem operasi Ubuntu oleh para mahasiswa. Di antara komen-komen yang kami terima ialah mereka serik menggunakan perisian cetak rompak kerana berlaku banyak masalah seperti perisian yang tidak stabil dan ancaman virus.
Testimoni
Testimoni 1
"Komuniti OSS UKM ini patut diwujudkan di UKM kerana ia banyak memberi faedah kepada warga UKM dalam memperkenalkan perisian sumber terbuka. Sebagai pustakawan yang menumpukan kepada bidang tugas berkaitan ICT, saya sangat memerlukan khidmat dari Komuniti OSS UKM untuk membantu saya membuat penyelidikan dalam bidang perisian sumber terbuka."
En Md Hafiz Ahmad Zulkifli Pustakawan Perpustakaan Tun Sri Lanang Universiti Kebangsaan Malaysia
Testimoni 2
"Komuniti OSS UKM ini telah banyak membantu memperkembangkan lagi ilmu kami dalam perisian sumber terbuka dan mereka telah menjadi penasihat yang baik kepada para webmaster di UKM,"
Dr. Azrul Azlan Hamzah Webmaster Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) Universiti Kebangsaan Malaysia
Testimoni 3
“Saya telah mengenali komuniti OSS UKM sejak pertama kali mengikuti kursus CMS Joomla. Tenaga pengajarnya sangat berpengalaman dan sejak itulah saya berminat untuk mengenali perisian sumber terbuka, dan Komuniti OSS UKM banyak memberi bantuan dan sokongan kepada saya.”
Deti Irmayani Mawardi Pembantu Tadbir Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Testimoni 4
"Komuniti OSS UKM ini memang sangat diperlukan kerana ia memberi banyak faedah kepada warga UKM dan pustakawan seperti saya yang memang terlibat dalam penyelidikan perisian sumber terbuka untuk kegunaan kerja harian”
Encik Farid Zainal Pustakawan Perpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia
Testimoni 5
“Saya sangat menghargai usaha murni kakitangan Pusat Teknologi Maklumat, UKM dalam mewujudkan Komuniti OSS UKM kerana ia boleh mengumpulkan pengguna-pengguna perisian sumber terbuka dari kalangan pelajar dan kakitangan untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan pengetahuan. Perisian sumber terbuka tidak akan hidup tanpa adanya satu komuniti yang kuat yang menyokong perkembangannya.”
Encik Shaiffulnizam Mohamad Guru / Presiden Joomla Malaysia / Alumni UKM
Testimoni 6
“Komuniti OSS UKM adalah komuniti yang sangat diperlukan terutamanya di salah satu universiti penyelidikan yang terkenal di Malaysia. Komuniti ini berperanan untuk mewujudkan budaya sumber terbuka yang sangat positif seperti perkongsian ilmu pengetahuan, mengelakkan aktiviti cetak rompak, dan menggalakkan inovasi dan kreativiti di kalangan pelajar, warga UKM dan masyarakat sekitar. “
Encik Lutfi Raffi Guru / Ahli Komuniti OSS UTM
Testimoni 7
“Tanpa komuniti tiadalah Open Source Software (OSS). Komuniti adalah mengapa OSS dibangunkan, berkembang dan kini matang. Budaya gotong-royong dalam komuniti OSS telah membangunkan sistem operasi, perisian dan sebagainya. Dengan komuniti juga pengguna-pengguna OSS mendapat sokongan dan bantuan dalam pelbagai penyelesaian ICT berkaitan sumber terbuka.
Komuniti OSS UKM adalah komuniti yang perlu dijadikan contoh bagi komuniti OSS di Malaysia dan juga komuniti ICT seluruh negara. Kita melihat usaha-usaha komuniti OSS UKM mempunyai kesan mendalam kepada UKM itu sendiri. Kerjasama antara ahli-ahli komuniti telah dapat melaksanakan pelbagai aktiviti-aktiviti seperti promosi, sokongan pengguna dan pembangunan sistem berasaskan sumber terbuka.
Kewujudan Komuniti OSS UKM, dapat dilihat sebagai penyelaras dan penasihat dalam pelbagai aktiviti-aktiviti ICT yang berkaitan dengan perisian sumber terbuka di UKM.
Saya berharap agar komuniti OSS UKM akan dikekalkan dan menjadi penyokong kepada pengguna perisian sumber terbuka dalam mendidik mereka agar terus berdikari, mengurangkan
kebergantungan kepada pembekal perisian berlesen yang mahal dan membangunkan sendiri perisian-perisian sumber terbuka yang boleh ditengahkan ke komuniti OSS antarabangsa.”
Encik Harisfazillah Jamel Presiden OSDC.my
URL Berkaitan
http://opensource.ukm.my
Harapan Masa Depan
Kami berharap agar Komuniti OSS UKM akan terus dikekalkan dan diberi sokongan sebaiknya oleh Pusat Teknologi Maklumat, UKM agar ianya berkembang menjadi satu wadah penting dalam menaikkan nama Universiti Kebangsaan Malaysia di mata dunia.
Matlamat kami untuk melahirkan lebih ramai pembangun berjiwa penyelidik dalam bidang sumber terbuka diharapkan dapat dicapai dan tidak terkubur begitu sahaja. Selain itu, kami juga berharap agar satu unit khas ditubuhkan di UKM yang akan mengetuai Komuniti OSS UKM di mana ia sendiri akan memacu perjalanan komuniti agar matlamat yang dibawanya tidak tinggal harapan sahaja.