• Tidak ada hasil yang ditemukan

PERMOHONAN HARTA TAJUK: PUSAKA KECIL TANGGUNGJAWAB WARIS DAN PERANAN PENGHULU

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "PERMOHONAN HARTA TAJUK: PUSAKA KECIL TANGGUNGJAWAB WARIS DAN PERANAN PENGHULU"

Copied!
14
0
0

Teks penuh

(1)

TAJUK:

PERMOHONAN HARTA PUSAKA KECIL

TANGGUNGJAWAB WARIS DAN PERANAN PENGHULU

1. Pendahuluan

Kelewatan memohon untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka setelah berlaku kematian pemilik harta (simati) adalah satu fenomena biasa yang berlaku dalam masyarakat kita. Banyak kes-kes yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh para waris dan tidak diselesaikan segera walaupun kematian itu telah berlaku beberapa tahun. Ada kes-kes tertentu yang memakan masa puluhan tahun untuk diselesaikan, malah ada juga kes-kes kematian yang berlaku sebelum zaman pendudukan Jepun masih belum diselesaikan.

Anggota masyarakat kita nampaknya memandang remeh tentang penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ini. Mereka seolah-olah tidak menyedari bahawa penangguhan dalam pembahagian itu sebenarnya mengundang risiko yang sangat besar dari segi hukum dan undang-undang.

2. Pentadbiran Harta Pusaka Di Malaysia

Terdapat 3 undang-undang yang menetapkan cara dan peraturan pentadbiran harta pusaka di Malaysia:

• Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Akta No. 97)

• Akta (Pembahagian) Harta Pusaka Kecil 1955 (Akta No. 98)

(2)

Berdasarkan undang-undang tersebut, agihan bidangkuasa pembahagian pusaka dikendalikan oleh 3 agensi:

?

AMANAH RAYA BERHAD

(pusaka ringkas)

Mengendalikan harta simati yang hanya meninggalkan harta alih sahaja dan nilainya tidak melebihi RM 600,000.

Contohnya: wang simpanan di bank, BSN, ASB, Tabung Haji, kereta, motosikal, saham, dividen dan sebagainya.

?

PEJABAT TANAH / UNIT PEMBAHAGIAN

PUSAKA

(pusaka kecil)

Mengendalikan harta simati yang meninggalkan harta tak alih (tanah) sahaja atau harta tanah beserta dengan harta alih seperti duit simpanan di bank dan sebagainya dan nilainya tidak melebihi RM 600,000 Contohnya: simati meninggalkan 2 bidang tanah sahaja atau meninggalkan 2 bidang tanah dan duit simpanan diTabung Haji.

?

MAHKAMAH TINGGI

(pusaka besar)

Mengendalikan harta simati yang meninggalkan sama ada harta tak alih (tanah) atau harta alih yang nilainya melebihi RM 600,000 atau harta berwasiat (bagi bukan Islam) walaupun nilainya kurang daripada RM 600,000

(3)

Bagi maksud kertas kerja ini, penerangan adalah ditumpukan kepada pembahagian pusaka mengikut Akta Pembahagian Pusaka Kecil, 1955

3 Apakah Harta Pusaka Kecil

3.1 Definisi

Harta pusaka kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh simati yang mempunyai ciri-ciri berikut:

• Simati tidak meninggalkan wasiat (di bawah Akta Wasiat 1959)

• Harta itu terdiri daripada : Harta tak alih (tanah) dan lain-lain harta alih jika ada seperti wang simpanan, KWSP, ASB, saham dan sebagainya

• Jumlah nilai kesemua harta itu tidak melebihi RM 600,000. Sekiranya harta tersebut bernilai lebih daripada RM 600,000.00 atau tidak mengandungi harta tak alih atau mempunyai wasiat, maka bukanlah ia pusaka kecil dan hendaklah diselesaikan oleh Amanah Raya Berhad atau Mahkamah Tinggi.

3.2 Ciri-ciri Istimewa Pembahagian Harta Pusaka Kecil

Di antara cirri-ciri istimewa dalam pembahagian harta pusaka kecil ialah:

• Borang permohonan (Borang A) boleh didapati di tiap-tiap Unit Pembahagian Pusaka atau Pejabat Tanah dengan percuma.

(4)

• Perbicaraan boleh diadakan di Balai Raya / Penghulu / Dewan Orang Ramai yang berhampiran dengan tanah peninggalan simati.

• Perkhidmatan peguam tidak diperlukan.

• Sekiranya tidak dapat menghadiri perbicaraan pada tarikh yang ditetapkan, waris berkenaan boleh kemukakan borang persetujuan.

• Penyerahan / penerimaan hak / bahagian sesama waris boleh dibuat semasa perbicaraan dan tidak dikenakan apa-apa bayaran.

• Pembahagian dibuat secara terus kepada waris simati (direct transmition) dan surat kusa tadbir hanya diberi dalam keadaan tertentu.

• Kos penyelesaian paling rendah. Permohonan RM 10.00. Selesai RM 10.00 dan tambahan RM 2.00 bagi tiap satu salinan perintah pembahagian.

3.3 Cara Membuat Permohonan

• Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat dalam borang khas iaitu Borang A.

• Permohonan mestilah disertakan dengan: o Bukti kematian:

Sijil kematian / permit menguburkan atau

Surat sumpah oleh 2 orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan (bagi kematian semasa pendudukan Jepun/ sebelumnya); atau

(5)

Perintah Anggapan Kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi bagi kematian tanpa kubur atau orang hilang.

o Salinan photostate kad pengenalan / sijil kelahiran semua waris

o Salinan hak milik atau Perakuan Carian Rasmi yang menunjukkan pegangan harta tak alih simati.

o Salinan dokumen harta-harta alih, seperti salinan sijil saham, salinan buku simpanan, salinan penyata KWSP dan sebagainya (jika ada).

3.4 Siapakah Yang Layak Memohon

Seksyen 8 (1) Akta Pembahagian Pusaka Kecil memperuntukkan pihak-pihak yang boleh membuat permohonan, iaitu:

i. Salah seorang daripada waris-waris simati yang berhak menerima pusaka seperti suami, isteri, anak lelaki, anak perempuan, ibu, bapa dan sebagainya termasuk Majlis Agama Islam (Baitulmal).

ii. Pemberi hutang (creditor) termasuk pemegang gadaian / pemegang pajakan dan pengkaveat.

iii. Pembeli (pembelian melalui surat perjanjian yang sah dengan simati)

iv. Amanah Raya Berhad

(6)

3.5 Perbicaraan

Semua waris dan mana-mana orang yang berkepentingan atas harta pusaka itu bertanggungjawab untuk hadir di dalam perbicaran tersebut Sekiranya ada di antara waris yang tidak dapat hadir, pastikan waris yang tidak hadir itu menandatangani surat persetujuan yang menyatakan cara pembahagian yang dikehendakki. Ini bagi mengelakkan kes tersebut tertangguh atau tidak dapat diselesaikan.

3.6 Pembahagian

Mengikut faraid

Pembahagian sama rata / sama banyak Takharuj dengan balasan

Takharuj tanpa balasan

Pembahagian mengikut pakatan / persetujuan

1. Sebab Mengapa Pembahagian Pusaka Tidak Disegerakan

Berdasarkan pengalaman dan kajian yang telah dijalankan di kalangan waris-waris, di antara faktor-faktor yang menyebabkan pembahagian pusaka tidak disegerakan ialah:

4.1 Salah Tanggapan

Sebahagian dari masyarakat beranggapan bahawa adalah tidak wajar membahagikan harta pusaka terlalu awal, kononnya “tanah kubur masih

merah”. Jika terdapat salah seorang waris yang menyarankan agar

pembahagian dan penyelesaian harta itu dibuat dengan segera, biasanya dia akan dipandang serong oleh waris -waris yang lain, dituduh sebagai

(7)

tidak beradab, tidak menghormati simati dan sebagainya. Untuk mengelakkan perkara ini, akhirnya semua waris mengambil sikap berdiam diri dan menanti-nanti bilakah perkara itu akan diselesaikan dan siapakah yang patut memulakannya. Anak sulu ng yang selalunya menjadi tumpuan hanya berdiam diri. Penantian ini kadangkala memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun. Ini adalah satu tanggapan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana pembahagian pusaka perlu disegerakan supaya dapat ditentukan hak waris-waris.

4.2 Terlalu Bersopan

Masyarakat Melayu terkenal dengan sifat bersopan santun yang tinggi nilainya. Mereka amat berhati-hati agar tidak dikatakan orang sesuatu yang tidak baik terhadap mereka. Dalam kes penyelesaian harta pusaka in i umpamanya, masing-masing takut untuk bersuara, bertanyakan tentang harta pusaka nanti akan dituduh berkehendakkan harta, tamakkan harta. Justeru itu masing-masing membiarkan harta pusaka tersebut sehingga sekian lama tanpa menyelesaikannya. Dengan bersif at demikian, mereka telah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk membahagikan pusaka, sekaligus mereka juga telah mengabaikan tuntutan agama supaya menyegerakan pembahagian pusaka. Dengan ini bermakna mereka telah mengenepikan agama semata-mata kerana adat bersopan santun yang bukan pada tempatnya.

4.3 Tiada pengetahuan dan maklumat

Kekurangan pengetahuan dan maklumatini boleh ditafsirkan kepada dua maksud.

(8)

Pertama, waris-waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam

tentang proses pembahagian harta pusaka sama ada dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak tahu apakah yang harus mereka lakukan, ke mana dan kepada siapa harus dikemukakan perkara tersebut.

Kedua, mereka tidak tahu tentang risiko dan implikasi dari tindakan

mereka menangguh-nangguhkan pembahagian harta pusaka. Mereka menganggap tidak ada apa-apa kesan dari segi hukum mahupun undang-undang. Akibatnya, pusaka itu dibiarkan begitu sahaja tanpa disegerakan penyelesaiannya.

4.4 Sikap Tidak Apa / Tidak Prihatin

Sebahagian daripada masyarakat pula menganggap bahawa tugas menyelesai harta pusaka ini merupakan satu tugas yang remeh temeh. Mereka mengambil sikap endah tak endah (adamant attitude) dan menganggap bahawa menangguhkan penyelesaian harta pusaka ini tidak mendatangkan sebarang kesan, baik dari segi hukum atau undang-undang. Mereka tidak prihatin terhadap tuntutan agama yang menuntut mereka agar menyegerakan pembahagian pusaka.

Sebab itulah kadangkala harta pusaka itu dibiarkan sehingga begitu lama tidak diselesaikan. Mereka hanya mahu menyelesaikannya apabila sesuatu yang menguntungkan bakal menemui mereka, misalnya apabila harta tersebut hendak dijual, digadai atau diambil balik oleh kerajaan dan mendapat wang pampasan.

(9)

Selalunya keadaan demikian berlaku keatas hartanah. Mereka tidak mempunyai rasa tanggung jawab untuk menyelesaikannya, kerana tanah tidak ke mana. Selagi tidak terdesak selagi itulah tanah tersebut dibiarkan.

Ada di antara mereka yang tinggal di luar daerah atau negeri enggan untuk pulang menyelesaikan pusaka dengan alasan tidak ada masa, tidak memadai kerana harta sedikit dan berbagai alasan lagi. Sedangkan apabila dibuat kenduri kahwin misalnya mereka boleh pulang meraikannya.

4.5 Pertelingkahan Di Kalangan Waris-waris

Pertelingkahan sesama waris juga merupakan salah satu sebab mengapa harta pusaka dibiarkan dan tidak diselesaikan dengan segera.

Pertelingkahan mungkin wujud sebelum berlaku kematian dan berlarutan. Apabila berlaku kematian, waris -waris yang bertelingkah itu tidak dapat bersua muka di antara satu sama lain apatah lagi bertanya khabar tentang harta pusaka atau berbincang mengenainya.

Pertelingkahan mungkin juga wujud selepas kematian. Mungkin ada di antara waris-waris yang tidak puas hati di dalam sesuatu perkara semasa pengurusan jenazah misalnya atau ada yang sengaja untuk cuba menguasai atau membolot harta-harta simati untuk kepentingan dirinya sendiri. Ini berlaku akibat dari rasa tamak dan haloba dan kadangkala sayangkan harta itu supaya tidak jatuh ketangan orang lain. Akibatnya harta pusaka tidak dibahagi dan dibiarkan.

(10)

4.6 Tidak Puas Hati Dengan Sikap Simati

Ini salah satu sebab yang juga menyumbang kepada kelewatan penyelesaian harta pusaka tetapi kurang diberikan perhatian. Ada kes yang berlaku, di mana waris-waris tidak puas hati dengan sikap simati semasa hayatnya yang tidak berlaku adil terhadap anak-anaknya. Ada anak yang diberi layanan dan perhatian baik dan ada yang sebaliknya. Ada juga anak yang telah diberi hibbah (pemberian semasa hidup) dan ada yang tidak diberi, atau diberi tetapi secara tidak adil, dan berbagai perkara lagi. Hal-hal seumpama ini juga akan menyebabkan sebahagian waris merasa jauh hati dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada penyelesaian harta pusaka itu.

4.7 Tidak Mahu Harta Berpindah Kepada Orang Lain

Mengikut satu kajian yang dilakukan oleh seorang Pegawai Pembahagian Pusaka yang membuat ijazah sarjana mendapati, 81% daripada waris -waris yang disoal siasat mempunyai hubungan yang baik dengan -waris yang lain, dan tidak mempunyai apa-apa masalah yang boleh mengakibatkan berlakunya kelewatan permohonan untuk menuntut pusaka, tetapi apabila disoal siasat beliau mendapati sikap pemohon itu sendiri yang menyebabkan berlakunya kelewatan di mana ada di kalangan mereka yang tidak mahu menyusahkan diri, berasa selesa dengan keadaan semasa. Mereka ini adalah di kalangan orang yang mendudukki tanah pusaka atas nama simati. Mereka menjadi berat hati dan takut untuk memohon pusaka kerana takut tanah yang didudukki mereka akan dituntut oleh waris-waris lain. Oleh yang demikian untuk mengelakkan wujudnya hubungan tidak mesra di antara waris, maka lebih elok tanah tersebut kekal dengan nama simati.

(11)

4.8 Menaruh Harapan Kepada Anak Sulung

Kajian juga mendapati seramai 55% daripada waris yang disoal mengakui dan bersetuju bahawa mereka mengharapkan waris yang tertua (anak sulung) yang akan membuat tuntutan harta pusaka. Waris lain hanya tunggu dan lihat. Oleh kerana anak sulung tidak mengambil apa-apa tindakan, berlakulah kelewatan dalam permohonan pusaka.

5. Implikasi dari Kelewatan Penyelesaian

Kelewatan penyelesaian pembahagian harta puisaka ini sebenarnya mengundang banyak masalah dan implikasinya sama ada dari segi hukum mahu pun undang-undang.

Implikasi dari segi hukum

1. Terdedah kepada perlanggaran hukum a. Termakan harta secara batil b. Termakan harta anak yatim 2. Tidak menunaikan hak-hak simati

a. Hutang simati tidak dijelaskan dengan segera b. Wasiat tidak dilaksanakan dengan segera

3. Bilangan waris makin bertambah ramai akibat kematian berlapis 4. Pembahagian yang salah akibat lupa keterangan sebenar

Implikasi dari segi undang-undang, ekonomi dan sosial

1. Harta terbiar dan tidak terurus

2. Urusniaga hartanah tidak dapat dijalankan

3. Wang pampasan pengambilan balik tanah tidak dapat dibayar kepada waris-waris

(12)

4. Berbangkit isu pemilikan beramai-ramai keatas hartanah

5. Kehilangan dokumen penting seperti surat mati, surat perjanjian dan sebagainya

6. Menyulitkan proses perbicaraan pembahagian pusaka.

6. Tanggungjawab waris Menyelesaikan Pembahagian

Harta Pusaka

Semua waris adalah bertanggungjawab untuk menyelesaikan harta pusaka dengan secepat mungkin. Bukan sekadar membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka di Pejabat Pembahagian Pusaka, tetapi mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan pembahagian dengan sebaik mungkin, iaitu dengan cara:

1. Membuat permohonan untuk membahagikan harta pusaka secepat mungkin

2. Mengadakan perbincangan terutamanya berkaitan cara pembahgian yang akan dipersetujui.

3. Bertolak ansur / prihatin / bertimbang rasa dan hidupkan semangat kekeluargaan.

4. Menghadiri perbicaraan. Jika tidak dapat hadir, boleh tanda tangan surat persetujuan.

5. Mengambil tahu semua harta pusaka dan apa-apa yang berkaitan dengannya, seperti hutang, wasiat dan sebagainya

6. Bekerjasama demi untuk menyelesaikan harta pusaka ini dengan sebaik mungkin.

(13)

7. Peranan Penghulu.

Penghulu adalah salah satu daripada golongan pemimpin masyarakat yang sangat rapat dengan waris -waris. Penghulu yang bertanggungjawab terhadap anak mukimnya akan sentiasa peka dengan sebarang masalah yang dihadapi oleh mereka dan tidak ketinggalan di dalam masalah harta pusaka. Telah banyak tindakan yang diambil oleh penghulu-penghulu dalam menangani masalah ini di mukim masing-masing, tetapi masih ramai waris yang belum menyelesaikan harta pusaka. Di antara peranan yang boleh dimainkan oleh penghulu di dalam membantu waris -waris menyelesaikan pusaka di antaranya:

o Memberi khidmat nasihat kepada waris o membantu mengisi borang permohonan o membantu penyelesaian / perbincangan

o menganjurkan program penerangan dan klinik pusaka

8. Kesimpulan dan Penutup.

Prosedur pembahagian harta pusaka kecil sebenarnya ringkas dan murah, dengan hanya mengisi borang A dan jumlah bayaran serendah RM 22.00. Namun begitu masih ramai di kalangan waris -waris yang belum menyelesaikan harta pusaka. Waris -waris seharusnya bersama bertanggungjawab menyelesaikan pusaka sebaik mungkin demi untuk menjamin kesejahteraan institusi keluarga dan kesinambinan keturunan pemilik harta. Untuk menyemarakkan lagi semangat waris -waris kearah penyelesaian pusaka, penghulu perlu memainkan peranan

Sebenarnya penyelesaian harta pusaka adalah tanggungjawab semua waris-waris. Bagaimana pun waris -waris perlulah memilih salah seorang

(14)

di antara mereka sebagai ketua yang akan bertanggungjawab menguruskan hal-hal berkaitan dengan penyelesaian dan pembahagian harta pusaka di peringkat keluarga dan juga pejabat. Ketua yang dipilih sebaik-baiknya diutamakan anak sulung sebagai pengganti orang tua. Tetapi sekiranya anak sulung tidak berupaya kerana uzur, tinggal jauh, tiada kemampuan dan sebagainya, tugas sebagai ketua bolehlah dipindahkan kepada sesiapa sahaja di kalangan waris-waris yang mempunyai kemampuan untuk menguruskannya tanpa mengira status sama ada lelaki atau perempuan, bahkan isteri, ibu atau bapa juga boleh menguruskan penyelesaian pembahagian pusaka ini.

Adalah diharapkan seminar ini akan dapat merumuskan satu jalan penyelesaian yang berkesan keatas kelewatan permohonan pembahagian harta pusaka, dengan hasrat dapat melahirkan waris -waris yang bertanggungjawab dan prihatin di dalam urusan pembahagian pusaka.

Sekian terima kasih.

Disediakan oleh:

Wan Abdul Halim b in W Harun Ketua Penolong Pengarah Unit Pembahagian Pusaka Negeri Perak.

Tarikh: 7.3.2005

Referensi

Dokumen terkait