Integrasi Ilmu ICT Di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ke Arah Kemanusiaan Sejagat: Satu Analisa Awal
Mokmin bin Hj Basri
Mokmin bin Haji Basri. 2005. Integrasi ilmu ICT di Kolej Universiti Islam Antarabangsa
Selangor (KUIS) ke Arah Kemanusiaan Sejagat: satu analisa awal. Prosiding Wacana
Pendidikan Islam (Siri 4), hlm. 259-266. ISBN: 983-2975-43-3.
Abstrak
“Membangun Sistem Kurikulum Pendidikan Tinggi Bersepadu Serta Menawarkan Perkhidmatan Pengajaran Dan Pembelajaran (P&P) Berkualiti Yang Menepati Kehendak Pelanggan, “Stakeholder” Dan Pasaran” – satu ayat pernyataan Dasar Kualiti bagi Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Pernyataan ini adalah manifestasi kepada cita-cita merealisasikan saranan ke-empat Persidangan Pertama Pendidikan Muslim Sedunia pada Mac 1977 – “Islamic humanities must be an integral part of technical curricula at all levels of education. Similarly, natural sciences studies should be introduced in humanities curricula”. (S. Waqar Ahmad Husaini 1986: 47). Selaras dengan keazaman KUIS mendokong prinsip kesepaduan ilmu dan melebarkan sasaran ke peringkat global, persoalan bagaimana model kesepaduan ilmu ini dapat membantu kearah melahirkan graduan yang seimbang dalam bidang ICT, kewujudan kesan nilai murni dari model yang dilaksanakan selama ini dan bagaimana model ini harus dikembangkan akan disentuh dalam kertas kerja ini. Kertas kerja berasaskan penyelidikan lapangan ini akan melibatkan sampel pensyarah dan pelajar bidang ICT di KUIS.
Pengenalan
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dengan nama asalnya Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) telah ditubuhkan pada tahun 1995. Dimiliki sepenuhnya oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), KUIS bermula dengan menawarkan program Diploma Pengajian Islam bersama pelajar seramai 46 orang, KUIS telah berkembang dengan menawarkan 17 program peringkat diploma melalui 5 buah sekolah pengajian. Bilangan pelajar KUIS juga telah meningkat iaitu sekitar 3000 setiap semester dengan hampir 10 peratus darinya adalah pelajar luar negara. Salah satu sekolah pengajian yang menawarkan program-program konvensional dan berasaskan teknologi di KUIS adalah Sekolah Teknologi dan Sains Informasi (STSI). Sekolah ini menawarkan program-program berkaitan teknologi maklumat (ICT) iaitu Diploma Teknologi Maklumat (Multimedia), Diploma E-Dagang, dan Diploma Sains Komputer serta dua program peringkat ijazah yang bakal ditawarkan mulai November 2005.
Selari dengan namanya, tujuan KUIS ditubuhkan adalah untuk memartabatkan agama Islam melalui wadah pendidikan. Jelas terpahat, matlamat KUIS adalah untuk ‘membentuk dan mendidik generasi Ummah agar menjadi insan soleh melalui dasar pendidikan berteraskan ilmu Naqli (Revealed knowledge) dan ilmu aqli (Acquired knowledge) yang berpaksikan Tauhid untuk melahirkan generasi professional yang seimbang bagi menghadapi cabaran zaman’.
integral part of technical curricula at all levels of education. Similarily, natural sciences studies should be introduced in humanities curricula” (S. Waqar Ahmad Husaini 1986: 47). Malah saranan ini diperkuatkan lagi dalam persidangan kedua Pendidikan Islam pada Mac 1980, dengan memperakui bahawa sains sosial dan kemanusiaan Islam (Shar`iyyah science) berpostensi untuk melahir, membangun dan menyelaras perkembangan sains dan teknologi. Sekali lagi dalam Seminar Pemikiran Islam ke-Tiga peringkat antarabangsa yang diadakan di Kuala Lumpur pada 1984, mengakui bahawa pengislaman sains dan teknologi perlu dilaksanakan kerana ia adalah salah satu cabang ilmu yang penting dalam usaha pengislaman ilmu secara keseluruhan.
Kertas kerja ini akan mengkaji keberkesanan proses islamisasi ilmu teknologi ICT di KUIS yang dilaksanakan melalui Sekolah Teknologi dan Sains Informasi (STSI) kerana setelah hampir 6 tahun sekolah ditubuhkan, kajian sejauh mana penerimaan oleh pelajar dan kesediaan para pensyarahnya dalam melaksanakan proses islamisasi ini adalah suatu yang menarik untuk dijalankan. Selain itu persoalan mampukan proses ini melahirkan graduan yang mempunyai akhlaq dan adab bagi mendokong iltizam ke arah kemanusiaan sejagat juga perlu untuk dijawap.
Matlamat Pendidikan ICT
Dunia tanpa sempadan (borderless world), ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy), perdagangan elektronik (E-commerce) malah apa juga ‘jargon’ yang digunakan, cukup mengambarkan betapa mencabarnya dunia pada masa hadapan. Justru generasi yang bakal menghadapi cabaran sejagat ini perlu di persiapkan dengan nilai dan kualiti akhlaq tinggi agar dapat menerajui perubahan dan sistem tersebut atau paling tidak, persiapan itu dapat membantu mereka agar tidak tersungkur dalam persaingan. Justru apabila ditanya, apakah acuan yang hendak digunakan, maka jawapanya tidak lain adalah melalui wadah pendidikan. Namun pendidikan yang memisahkan antara teknologi dan ‘tawhid’ telah terbukti hanya mampu melahirkan Muslim yang individulistik, berorentasi material, sombong dan segala macam bencana sosial dan alam. Sejarah pula membuktikan kelahiran dan perkembangan sains dan teknologi dalam masyarakat Muslim di Zaman Pertengahan adalah disebabkan oleh berkembangnya falsafah pendidikan dan epistemologi Islam (S. Waqar Ahmad Husaini 1986: 20). Maka bagi mengembalikan kembali kegemilangan Islam, tiada pilihan lain kecuali menawarkan pendidikan bersepadu iaitu penawaran sistem pendidikan yang bertunjangkan ‘tawhid’ yang telah dibuktikan oleh sejarah akan melahirkan peneraju sains dan teknologi yang mampu memakmurkan alam, iaitu para teknokrat dan saintis yang pekerjaan dan ciptaannya menjadi amal soleh dan melahirkan taqwa yang sudah pasti peribadinya dihiasi oleh nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Suatu nilai yang tidak lari dengan matlamat pendidikan dalam Islam iaitu untuk melahirkan manusia yang beradab. Manusia yang mempunyai nilai dan kualiti jiwa dan pemikiran yag baik bagi melakukan perbuatan yang betul yang berlawanan dari perbuatan salah, perbuatan yang sesuai berlawanan silap yang akhirnya boleh mengelakkan dari keaiban (Syed Muhammad Naquib al-Attas 1999:25).
Pekerja berpengetahuan Muslim pula mempunyai tanggungjawab yang lebih besar, iaitu bukan sekadar pengguna, malah penentu corak dalam masyarakat sesuai dengan tarafnya sebagai khalifah dimuka bumi ini (Quran 35: 39). Justru graduan ICT juga tidak terlepas dari tanggungjawab untuk menuntut ilmu dan seterusnya membangunkan perisian, sistem, dan perkakasan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia khususnya ‘ummah’ (Mohd Fauzan Noordin & Norsaidatul Akmar 1998).
Model Islamisasi Ilmu di KUIS
Sedar tentang tanggungjawab yang besar bagi melahirkan graduan ICT yang mempunyai nilai kemanusiaan sejagat seperti yang telah secara amnya disebut di atas tadi, semua program ICT yang ditawarkan oleh KUIS diintegrasikan dengan matapelajaran-matapelajaran tradisi Islam. Berikut adalah jadual matapelajaran tradisi Islam dan isi kandungan utamanya yang berjumlah 12 jam kredit iaitu mewakili kira-kira 12 peratus dari jumlah jam keseluruhan, yang diintegrasikan ke dalam program-program ICT di KUIS.
Semester 1 MUA 1102 : Aqidah dan Akhlaq 2 jam kredit
Semester 4 MUM 4102 : Fiqh Al-Muamalah 2 jam kredit
Kandungan
Semester 5 MUE 5102 : Sistem Ekonomi dan Kewangan Islam 2 jam kredit
Semester 6 TBF 6102 : Falsafah Sains dan Teknokrat Muslim 2 jam kredit Kandungan
i. Pengenalan Sains dan Konsep Ilmu ii. Sejarah Perkembangan Ilmu Sains
iii. Kritik Terhadap Falsafah dan Konsep Sains Barat
iv. Sains Menurut Perspektif Islam
v. Beberapa Penerokaan Saintis Muslim dalam Bidang Sains
vi. Falsafah Kehidupan
vii. Isu-Isu berkaitan Teknologi dan Agama
Bahan dan Kaedah
Kaedah yang dijalankan adalah dengan mengedarkan kertas soalselidik kepada sampel pensyarah dan pelajar ICT dari Sekolah Teknologi dan Sains Informasi (STSI), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Hasil Kajian
Hasil kajian yang dijalankan akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Pensyarah dan Pelajar bagi memudahkan lagi perbincangan.
Pensyarah
Seramai 12 dari 13 (92 peratus) pensyarah STSI telah menjawab soalselidik yang diedarkan. Hasil dari analisa yang dilakukan, 100 peratus koresponden mengetahui konsep integrasi ilmu konvensional dengan nilai Islam. Didapati 67 peratus mendapat pendedahan kepada konsep integrasi ilmu dari sumber pembacaan, seminar atau sewaktu menuntut di Universiti selebihnya iaitu 33 peratus koresponden mengaku menerima melalui program-program di KUIS.
50 peratus koresponden mengaku menerapkan nilai-nilai murni setiap kali kuliah dijalankan. 42 peratus lagi hanya melakukannya apabila teringat dan selebihnya melakukannya seminggu sekali.
Berkaitan dengan pencarian ayat al-Quran atau hadith yang berkaitan dengan matapelajaran yang diajar, 50 peratus koresponden mengaku pernah mencarinya manakala 50 peratus lagi tidak pernah mencari. 67 peratus daripada koresponden yang pernah mencari adalah bertujuan melihat perspektif Islam tentang matapelajaran yang mereka ajar dan bagi tujuan mengkaji seterusnya ingin membangunkan ICT Islam. 33 peratus mencari sebagai pengetahuan tambahan sahaja.
Bagi yang menjawab tidak pernah, 50 peratus mengatakan tidak ada masa bagi berbuat demikian. 17 peratus mengatakan tidak diminta untuk berbuat demikian. 34 peratus lagi tidak mengatakan sebarang sebab.
100 peratus koresponden pensyarah bersetuju supaya pendedahan tentang integrasi ilmu diperkukuhkan lagi melalui apa-apa juga mekanisme yang bersesuaian. 83 peratus dari keseluruhan koresponden mengatakan mereka bercita-cita untuk meningkatkan ilmu-ilmu Islam mereka secara formal dan yang selebihnya menjawab tidak pasti.
Pelajar
Dari keseluruhan koresponden, 38 (41 peratus) orang pelajar adalah dari aliran agama diperingkat menengah dan selebihnya iaitu 59 peratus dari bukan aliran agama. Dari 38 pelajar aliran agama, 97 peratus bersetuju dengan penawaran matapelajaran tradisi Islam. Manakala dari 54 pelajar bukan aliran agama, 76 peratus bersetuju dengan penawaran matapelajaran tersebut.
Seramai 47 dari 81 (58 peratus) orang pelajar yang bersetuju, mereka mengakui bahawa penawaran matapelajaran tersebut berguna bagi menghadapi persekitaran kerja dan masa depan yang mencabar. Manakala 33 peratus bersetuju penawaran matapelajaran tersebut dapat menambahkan ilmu fardhu ain mereka dan kesemua mereka bersetuju jika para pensyarah ICT memasukkan nilai-nilai Islam dalam proses P&P.
Manakala dari 12 orang pelajar yang tidak bersetuju, 7 mengatakan disebabkan oleh ianya tidak berkaitan dengan bidang kerjaya yang bakal diceburi, dan 5 orang menyatakan ianya membebankan jam kredit yang diambil. 9 orang daripadanya bersetuju para pensyarah ICT memasukkan nilai Islam dalam P&P mereka. Kesemua mereka bersetuju bahawa ilmu agama mereka bertambah dibanding sebelum mengambil matapelajaran islam tersebut.
Seramai 6 dari 92 koresponden (6.5 peratus) tidak meningkat ilmu agama mereka berbanding dengan sebelum mengambil matapelajaran Islam.
Perbincangan
Dari sudut epistemologi Islam, dua cabang pengetahuan iaitu ilmu naqli dan ilmu aqal walaupun bersumberkan dua ‘buku’ yang berbeza adalah suatu yang tidak selari idea atau pemikiranya, tindakan dan institusinya. Justru dua buku ini (al-Quran dan Alam Semester), adalah sangat berkait, tidak dapat dipisahkan serta membentuk kesepaduan dan sistem yang holistik. Setiap buku menjurus, memimpin serta mengesahkan kebenaran antara satu sama lain iaitu satu prinsip kebenaran ‘tawhid’ sepertimana yang ditegaskan oleh Ibnu Rushd dalam bukunya yang terkenal ‘On the Harmony of Religion and Philosophy’ (S. Waqar Ahmad Husaini 1986: 17-21).
Justru hilangnya ‘tawhid’ dalam bidang sains dan teknologi, termasuk ICT, maka hilanglah dan jatuhlah nilai-nilai kemanusiaan sejagat dikalangan para penuntut dan pembangunnya. Malah jauh lebih memilukan, kerana kegagalan menerima amaran al-Ghazali, Ibn Rushd, Ibn Khaldun, dan yang lainnya itu, sains dan teknologi terus jauh dari bumi Muslim, malah ‘agama’ juga turut lemah dan menurun (S. Waqar Ahmad Husaini 1986: 20).
Institute of Islamic Thought 1987: 51-52). Namun begitu KUIS telah memulakan langkahnya dan proses pembaikan akan terus dilaksanakan.
Perbincangan seterusnya akan dibahagikan kepada dua bahagian itu Pensyarah dan Pelajar kerana dua elemen ini adalah sangat berbeza, satu pihak bertugas untuk memberi dan menyampai dan satu lagi pihak adalah yang menerima dan mengamalkan.
Pensyarah
Dalam bahagian ini, persepsi dan kesediaan pensyarah, sebagai anggota terpenting mendokong amanah ini, terhadap proses integrasi ilmu, turut dijalankan kerana merekalah pada akhirnya yang bertanggungjawab membangunkan struktur atau model teknologi Islam dalam bidang masing-masing.
Dari soalselidik yang dijalankan, didapati tidak wujud perkaitan diantara jangkamasa perkhidmatan di KUIS dengan kefahaman tentang integrasi ilmu dikalangan para pensyarah ICT. Suatu perkembangan yang sangat baik adalah, 100 peratus dari para pensyarah ICT mengetahui apakah konsep integrasi ilmu. Namun demikian hanya 31 peratus koresponden mendapat maklumat tersebut dari KUIS. Perlu diselidik lebih lanjut mengapa peratusan tersebut amat rendah, adakah disebabkan oleh kurangnya program-program yang menjurus ke arah cita-cita ini, atau kurangnya komitmen pensyarah untuk mengikuti program-program tersebut. Jika disebabkan oleh kurangnya program anjuran KUIS, terdapat ruang bagi memperkemaskan lagi proses integrasi ilmu di KUIS. Program-program berkala boleh dijalankan, mungkin bermula dengan induksi, seminar seterusnya bengkel atau apa juga mekanisme pengukuhan perlu diberikan kepada para pensyarah ICT dan harus dirancang dengan baik (Mohd Adanan Isman 2004: 7-8). Bagi mengukuhkan lagi kefahaman tentang Islam, KUIS mungkin boleh merancang kemudinya melaksanakan pendekatan agar semua pensyarah perlu mengambil matapelajaran teras syariah diawal perkhidmatan mereka sebagai pra syarat pengesahan jawatan mereka.
Peratusan pensyarah yang menerapkan nilai-nilai murni dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) juga tidak begitu memberangsangkan kerana hanya 50 peratus dikalangan pensyarah menerapkan nilai-nilai murni seperti amanah, adil, jujur, ikhlas dan seumpamanya dalam bilik-bilik kuliah pada setiap sesi P&P. Keadaan ini tidak wajar dibiarkan berterusan kerana ia bakal menghasilkan natijah yang tidak baik kepada para graduan. Adalah menjadi kewajipan kepada Institusi Pengajian Tinggi khususnya Institut Pengajian Tinggi Islam bagi melahirkan graduan yang berpegang kepada nilai-nilai kemanusiaan sejagat bagi menangani cabaran integrasi di peringkat sejagat dan pencapaian kemajuan sains (Mohd Adanan Isman 2004: 47- 48).
Usaha-usaha yang lebih komprehensif perlu dilaksanakan bagi mengharmonikan elemen ‘tawhid’ dalam matapelajaran yang diajar oleh pensyarah ICT kerana peratusan pensyarah yang mencari ayat-ayat al-Quran dan Hadith serta ijmak ulama yang berkaitan dengan matapelajaran yang diajar belum mencapai tahap yang baik. Walapun usaha ini bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan, namun ia perlu dilaksanakan oleh para pensyarah. Kesukaran bagi melaksanakan usaha ini mungkin dapat dipermudahkan hasil pendedahan dari bengkel-bengkel khas yang dianjurkan.
Pelajar
diterima dengan baik oleh para pelajar ICT dengan 88 peratus dari keseluruhan koresponden bersetuju dengan penawaran matapelajaran tradisi Islam dalam kurikulum program mereka. Terdapat sedikit perkaitan diantara pelajar dari aliran agama dengan pelajar dari bukan aliran agama dari sudut penerimaan proses ini. Didapati pelajar bukan aliran agama cenderung untuk tidak setuju dengan matapelajaran tersebut kerana peratusan yang tidak bersetuju adalah 24 peratus berbanding 2 peratus bagi bekas pelajar aliran agama. Namun apa yang menarik adalah kesemua mereka bersetuju bahawa pengetahuan agama mereka meningkat selepas mengikuti matapelajaran-matapelajaran tersebut.
Berkaitan dengan persoalan beban jumlah jam kredit yang tinggi apabila para pelajar terpaksa mengambil matapelajaran tambahan tradisi Islam dalam kurikulum program ICT adalah satu isu yang patut dibincangkan. Hasil dari kajian yang dijalankan mendapati bahawa tidak terdapat perkaitan yang jelas diantara beban pelajar dengan penawaran matapelajaran tradisi Islam kerana hanya 5 peratus dari keseluruhan koresponden merasa terbeban dengan mengambil matapelajaran tersebut dalam program mereka. Justru dapat ditegaskan bahawa persoalan tentang beban kepada pelajar bukanlah satu isu yang besar sehingga menolak agenda yang lebih penting dan mendesak ini untuk dilaksanakan. Seterusnya faktor yang menyebabkan pelajar tidak bersetuju adalah andaian bahawa matapelajaran tersebut tidak ada kaitan dengan kerjaya yang bakal diceburi kelak. Tidak dapat dinafikan, secara amnya matapelajaran ini tidak ada perkaitan, namun disinilah nilai-nilai kemanusiaan sejagat diterapkan ke dalam jiwa pelajar. Malah walaupun mereka tidak bersetuju, semua mereka bersetuju jika para pensyarah menerapkan nilai-nilai murni dalam P&P.
Secara keseluruhanya, 93.5 peratus pelajar samada dari kumpulan yang bersetuju atau tidak, mengakui bahawa ilmu agama mereka bertambah berbanding dengan sebelum mengambil matapelajaran tradisi Islam tersebut. Ini membuktikan bahawa, wujud kesan baik kepada para pelajar yang telah melalui proses islamisasi di KUIS dan pendidikan yang berteraskan ‘tawhid’ ini seterusnya diyakini mampu melahirkan insan yang mempunyai nilai kemanusiaan sejagat.
Walaupun proses islamisasi di KUIS sudah menampakkan putiknya, namun ia perlu dipelihara dan diperbaiki dari semasa ke semasa agar menjadi buah yang ranum yang boleh memberi manfaat kepada alam sejagat. Proses yang panjang ini perlukan kepada komitmen dari semua pihak, dari pengurusan tertinggi hinggalah ke peringkat jentera pelaksana. Selain itu perancangan yang teliti perlu dilakukan dengan mengambil kira pengalaman dan halangan-halangan yang telah dialami oleh institusi-institusi yang telah melaksanakan agenda seumpamanya seperti Universiti Raja Abdul Aziz, Jeddah.
Cadangan
Penghargaan
Penulis ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada kesemua koresponden yang telah meluangkan masa bagi menjawab soalselidik yang diberi. Terima kasih juga kepada pihak pengurusan atas galakan dan sokongan yang diberikan. Tidak dilupakan terima kasih kepada keluarga tersayang.
Rujukan
1. Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1999. The Concept of Education in Islam, a Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization.
2. David N. Abdulai, eds. 2001. Malaysia and the K-Economy: Challenges, Solutions, and the Road Ahead. Kuala Lumpur: Pelanduk Publication.
3. G. Manimaran. 2002. Pendidikan Sepanjang Hayat Kunci K-Ekonomi. Utusan Malaysia, 12 September
4. Mohd Fauzan Noordin & Norsaidatul Akmar. 1998. Manpower and Training Issues in Relation to The Development of the Multimedia Super Corridor. Kertas Kerja dibentangkan di Seminar Multimedia dan Islam, Anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia, 26-27 Mei, Kuala Lumpur.
5. International Institute of Islamic Thought. 1987. Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan. Herndon: IIT.
6. Mohd Adanan Isman. 2004. Minda Presiden - Koleksi Ucapan Presiden KISDAR. Kolej Islam Selangor Darul Ehsan Sdn. Bhd. Bangi.
7. Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1989. Islām and the Philosophy of Science. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization.
8. Syed Muhammad Naquib al-Attas. 1999. The Concept of Education in Islam: A Framework for an Islamic Philosophy of Education. Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization.
9. S. Waqar Ahmed Husaini. 1985. Teaching Islamic Science and Engineering: International Comparison, and Case Studies from King Abdul Aziz University. Leicester: Islamic Foundation.
10. S. Waqar Ahmed Husaini. 1986. Islamic Science and Public Policies: Lessons from History of Science. Kuala Lumpur: University of Malaya Cooperative Bookshop.
Nama Penulis: Dr. Mokmin bin Haji Basri
Institusi: Sekolah Teknologi & Sains Informasi
Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Persiaran Putra 1, Bandar Seri Putra,
43000 Bangi Selangor Darul Ehsan.
No Telefon: 03-8925 4251 ext 1316 (O) / 03- 8926 6937 (fax)
013-371 7579 (HP)