Cabaran dan isu yang dihadapi dalam pelaksanaan Program Sekolah Lestari
di Malaysia.
Komathy Letchumanan, Rosniza Aznie Che Rose
Program Geografi, Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia
Correspondence: Rosniza Aznie Che Rose (email:aznie@ukm.edu.my)
Received: 06 February 2020; Accepted: 15 June 2020; Published: 27 February 2021
Abstrak
Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLASS) merupakan satu idea yang dibentuk bagi membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsep pembangunan lestari. Program ini merupakan program anjuran Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mendapat kerjasama teknikal daripada Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Justeru itu, satu kajian telah dijalankan untuk mengenalpasti cabaran dan isu yang dihadapi oleh pihak sekolah semasa pelaksanaan Program Sekolah Lestari ini. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif iaitu teknik temubual bersemuka untuk mengumpul data. Teknik persampelan bertujuan digunakan terhadap sembilan orang guru yang merupakan penyelaras program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) di sekolah telah ditemubual menggunakan temubual bersemuka melalui panggilan video untuk mendapatkan maklumat berkaitan dengan cabaran dan isu yang dikenalpasti dalam pelaksanaan program Sekolah Lestari. Dapatan kajian menunjukkan antara cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaan program SLAAS adalah: dari segi pengurusan program, kerjasama antara warga sekolah, kekangan masa, kekangan kewangan, dan sokongan ibu bapa serta bantuan agensi luar. Selain itu, terdapat juga beberapa isu yang telah dikenalpasti semasa temubual. Walaupun terdapat pelbagai cabaran dan isu dinyatakan dalam pelaksanaan Sekolah Lestari, namun penerusan program Sekolah Lestari ini akan bakal melahirkan warga sekolah yang peka dan prihatin dengan isu alam sekitar dan akan meningkatkan tahap kesedaran mereka.
Kata Kunci: Cabaran,kekangan masa dan wang, kerjasama warga sekolah, pengurusan program, sokongan ibu bapa, sekolah lestari (SLAAS).
Challenges and issues faced by schools in implementing the Sustainable
Schools Program in Malaysia.
Abstract
Sustainable School Environment Award (SLASS) is an idea created to inculcate environmental education by instilling environmental values in the areas of management, curriculum, co-curriculum, and green sustainability to create living practices that are in line with the concept of sustainable development. This program is organized by the Department of Environment (DOE) and Ministry of Education Malaysia (MOE) with technical cooperation from the Institute of Environment and Development (LESTARI), National University of Malaysia (UKM), State Education Department, Local Authorities (LA) and Non-Governmental Organizations (NGO). Therefore, a study was conducted to identify the challenges and issues faced by the school during the implementation of the Sustainable Schools Program. The study uses qualitative methods, which use face-to-face interview techniques with video calls to collect data. Purposive sampling techniques aimed at nine teachers, who are coordinators of the Sustainable School Environmental Award (SLAAS) program, were interviewed to obtain information on the challenges and issues identified in the implementation of the Sustainable Schools program. The findings show that the challenges faced in implementing the SLAAS program are in terms of program management, collaboration among the school community, time constraints, financial constraints, and parental support, and external agency assistance. Besides, some issues were identified during the interview. Although there were various challenges and issues identified in the implementation of Sustainable Schools, the continuation of the Sustainable Schools program will raise their awareness and concern for the environment.
Keywords: Challenges, time and money constraints, collaboration among school community, program management, parent support, sustainable schools (SLAAS).
Pengenalan
Pembangunan lestari atau kelestarian semakin berleluasa diperkatakan dan merupakan multidimensional. Konsep multidimensional merujuk kepada tiga tonggak utama iaitu ekonomi, alam sekitar dan sosial (Maria, 2015). Pada tahun 1983, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Suruhanjaya Alam Sekitar Dunia dan Pembangunan (WCED) dan menerbitkan laporan akhir yang berjudul Masa Depan Kita yang dikenali juga sebagai Laporan Bruntland 1987. Menurut laporan tersebut, pendekatan baru untuk pembangunan dicipta dan dikenali sebagai Pembangunan Berkekalan, yang ditakrifkan sebagai pembangunan yang memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan keupayaan generasi akan datang untuk memenuhi keperluan mereka sendiri (Hezri & Hasan, 2006; Kwami et al., 2015; Peter et al., 2016; WCED, 1987).
Konsep kelestarian telah menjadi agenda utama dunia. UNESCO (2010) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Mampan 2005-2014 (DefSD). Kebanyakan agensi seperti agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan agensi swasta telah menjalankan pelbagai usaha meningkatkan pengetahuan dan penerapan isu kelestarian dalam melaksanakan pembangunan lestari. Pada asasnya, konsep pembangunan lestari, bermaksud
pembangunan yang dijalankan untuk memenuhi keperluan penduduk dunia semasa tanpa menjejaskan keperluan penduduk dunia pada masa depan. Pelbagai inisiatif terhadap pembangunan kelestarian telah diambil oleh organisasi berkaitan untuk pelbagai kumpulan sasaran tertentu dengan kesedaran tentang kepentingan dan keperluan isu-isu alam sekitar. Pembangunan lestari dilihat sebagai salah satu idea pembangunan yang paling proaktif dan praktikal untuk menangani keperluan pembangunan serta pemuliharaan alam sekitar (Hanifah et al., 2016; Noranida & Khairulmaini Osman, 2014).
Menurut Laporan Brundtland (1987), idea pembangunan mampan secara rasmi telah diperkenalkan dan mengaitkannya dengan hubungan ekologi, ekonomi dan sosial (Sinakou et al., 2019). Bagi mencapai pembangunan yang mampan, adalah penting untuk menyelaraskan tiga unsur teras yang saling berkaitan antara satu sama lain iaitu pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan pemuliharaan alam sekitar. Pada setiap tahun, kita sering mendapat berita yang optimis bahawa terdapat langkah yang lebih murah dan boleh dipercayai wujud dalam penyelesaian masalah persekitaran dunia. Keadaan ini membolehkan persekitaran dapat berubah menjadi lebih bersih, lebih berdaya tahan dari segi ekonomi jika penduduk sedar keseriusan keadaan kritikal persekitaran dunia dan mengambil langkah dengan menggunakan tenaga boleh diperbaharui dan pelbagai langkah lain bagi mengurangkan pelepasan asap atau gas serta meningkatkan usaha pengubahsuaian (Sagan et al., 2018).
Pembangunan lestari boleh diterapkan dalam beberapa matlamat atau tema kerana ianya sesuai dilaksanakan secara tempatan dan mengikut budaya. Skim Pelaksanaan Antarabangsa untuk Dekad Pendidikan Nasional untuk Pembangunan Lestari (DESD) (UNESCO 2005) mengenal pasti tonggak utama dalam konsep pembangunan lestari seperti dalam Rajah 1 (Noranida & Khairulmaini Osman, 2014).
Sumber: Adams, 2006
Rajah 1. Tiga tonggak utama dalam pembangunan lestari
Berdasarkan Rajah 1, tiga tonggak bersilang antara satu sama lain untuk mewujudkan ekonomi yang saksama untuk masyarakat, sambil mewujudkan kebolehan berdaya maju bersama alam sekitar, sehingga boleh bertahan oleh masyarakat dan seterusnya wujudkan pencapaian konsep pembangunan lestari (Wern & Weng, 2010).
Ekonomi
Boleh bertahan Saksama Berdaya maju PEMBANGUNAN LESTARISosial
Alam
Sekitar
Kajian literatur
Pendidikan pembangunan lestari di Malaysia.
Isu alam sekitar yang berlaku pada masa kini boleh diatasi dengan menggunakan elemen Pendidikan kerana Pendidikan adalah elemen yang penting untuk memperbaiki keupayaan manusia untuk membantu memperkasakan pelaksanaan pembangunan lestari. Pendekatan yang paling ideal adalah menerusi pendidikan pembangunan lestari (Education for Sustainable Development-ESD) yang merupakan pendekatan yang paling sesuai dan selari dengan tuntutan Dasar Alam Sekitar Negara dan tuntutan peringkat global menerusi Dekad Pendidikan untuk Pembangunan Lestari 2005-2014 (DefSD) Selain itu, pendekatan ini juga boleh membangunkan pengetahuan, nilai dan kemahiran dalam usaha meningkatkan kualiti hidup tanpa merosakkan planet bumi pada masa hadapan. Masa depan yang lebih lestari mampu dibentuk jika digalakkan dari segi integriti alam sekitar, ekonomi dan masyarakat yang adil bagi generasi kini dan masa depan dengan perubahan dalam tingkah laku melalui pendekatan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) (Hanifah & Shaharuddin, 2016; Lee et al., 2016).
Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) pada dasarnya adalah merujuk kepada perubahan dalam cara kita mendidik anak-anak dan diri kita dengan tujuan segera bagi memastikan masa depan yang mampan. Hal ini bersangkut-paut dengan penghasilan masa depan yang lebih lestari kerana ia hanya mampu dicapai dengan kewujudan generasi muda yang bertangungjawab (Affeldt et al., 2015). Sementara itu, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) juga membentangkan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) sebagai projek pembangunan dengan menetapkan empat objektif dan empat teras manakala terdapat negara dan pihak berkepentingan sudah mentafsirkan panggilan ini dalam pelbagai cara. Antara objektifnya ialah memudahkan rangkaian, hubungan, pertukaran dan interaksi antara pihak berkepentingan dalam ESD, meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan untuk pembangunan lestari, membantu negara membuat kemajuan ke arah dan mencapai matlamat Pembangunan Milenium melalui usaha ESD dan menyediakan negara dengan peluang baru untuk menggabungkan ESD ke dalam usaha pembaharuan pendidikan. Empat teras yang diutarakan dalam UNESCO pula adalah meningkatkan akses kepada asas pendidikan yang berkualiti, mengorientasikan program pendidikan yang sedia ada, membangunkan pemahaman dan kesedaran awam serta menyediakan latihan. Walaubagaimanapun, pendekatan kurikulum dan pedagogi serta sempadan antara tema 'subjek' atau 'pembelajaran bertema' kadang-kala dipertikaikan oleh pendidik yang memperkenalkannya, mereka berkongsi komitmen terhadap perubahan dalam kandungan pendidikan dan penyampaiannya (Little & Green, 2009).
Menurut Sterling (2004), konsep kelestarian bukan hanya satu isu yang perlu ditambah dalam kurikulum yang penuh padat, tetapi ia merupakan pintu masuk kepada kandungan kurikulum yang berbeza, pedagogi, perubahan organisasi, dasar dan etos. Pada masa yang sama, kesan corak ketidaklestarian pada masa kini dan masa depan kita sangat mendesak sehingga tindak balas dari pendidikan tinggi tidak boleh didasarkan hanya pada integrasi kemampanan ke peringkat pendidikan tinggi kerana ini melibatkan pengehadan, penyesuaian dan tindak balas. Hubungan ini juga perlu dilihat dengan cara yang lain iaitu, transformasi pendidikan yang lebih tinggi ke arah integriti dan seluruh negeri diterapkan pandangan sistematik tentang kemampanan dalam pendidikan dan masyarakat (Bhawani, 2009).
Sekolah lestari di Malaysia.
Hubungan antara pembangunan mampan dan ESD adalah untuk mengenal pasti keutamaan guru dan pelajar untuk menangani tiga elemen utama iaitu persekitaran, ekonomi dan sosial. Menurut Huckle (2013), peranan sekolah adalah menyebarkan pengetahuan, membangunkan budaya dan memanfaatkan potensi atau bakat pelajar melalui program sekolah. Walaupun pendidikan alam sekitar boleh berlaku di mana saja, tetapi tempat asas dan utama adalah di sekolah. Sekolah memainkan peranan penting dalam proses membantu pelajar belajar dan sedar tentang alam sekitar. Ini dapat dibuktikan dalam kajian oleh Berglund et al., (2014), bahawa pelaksanaan ESD di sekolah mempengaruhi pelajar. Apabila nilai yang baik ditanamkan pada kanak-kanak, perkembangan kanak-kanak akan berkembang sejajar dengan penanaman nilai alam sekitar yang akan akhirnya menghasilkan kesedaran alam sekitar dan warganegara yang bertanggungjawab (Hanifah et al., 2016). Justeru itu, sikap juga satu objektif yang penting bagi membantu menerapkan nilai dan keprihatinan terhadap persekitaran serta lebih penting untuk penyertaan aktif dalam perlindungan alam sekitar dan peningkatan kesedaran (Wee et al., 2017). Proses pengintegrasikan kelestarian dalam setiap aspek kehidupan di kawasan persekitaran yang melibatkan proses pembelajaran, pengurusan bangunan, mod pengangkutan dari atau ke sekolah dan hubungan di antara komuniti dan sekolah merupakan idea asas Sekolah Lestari. (Hanifah et al., 2014).
Semasa Simposium Pendidikan Alam Sekitar untuk Pengetua Sekolah Peringkat Kebangsaan pada 27-30 Ogos 2001 berlaku di Melaka, yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (MOSTE) dengan kerjasama Maktab Perguruan Teknik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) satu program telah diwujudkan iaitu program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar (SLAAS) merupakan program usahasama beberapa pihak untuk proses pembangunan lestari. Program ini memberi penekanan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar meliputi aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan berterusan selaras dengan usaha Dasar Alam Sekitar yang ingin mengimplementasikan lapan prinsip dan tujuh prinsip hijaubagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsep pembangunan lestari. Konsep sekolah lestari ini merangkumi lima objektif utama iaitu a)memupuk nilai murni alam sekitar pada kalangan warga sekolah b)meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar c)menggalakkan warga sekolah melaksanakan aktiviti mesra alam dengan berkesan d)meningkatkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar e)mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari. Selain itu, pelbagai program Sekolah Lestari juga telah dirancang seperti dalam Rajah 2 payung konsep yang menunjukkan aktiviti alam sekitar di laksanakan di sekolah bagi mencapai objektif SLAAS (Jabatan Alam Sekitar, 2012).
Sumber: Jabatan Alam Sekitar, 2012
Rajah 2. Aktiviti Alam Sekitar yang sedang dilaksanakan di sekolah
Metod kajian
Kajian ini berbentuk penjelasan dengan menggunakan kaedah kualitatif. Temu bual bersemuka melalui panggilan video dilaksanakan terhadap sembilan orang informan dan analisis kandungan digunakan. Menurut Creswell & Plano Clark (2017), melalui kaedah temu bual sesuatu maklumat penting boleh diperolehi secara terperinci. Selain itu, Crawford & Irving (2009) juga menyatakan bahawa persepsi yang menyeluruh berkaitan sesuatu isu dapat diperolehi sekiranya informan yang ditemubual dapat mengaitkan pengalaman dan pelajaran yang dimiliki dengan kepakaran dan pengetahuan terkini. Teknik persampelan bertujuan telah dibuat dalam kalangan sembilan orang informan dari sekolah rendah dan sekolah menengah. Sampel kajian kualitatif dipilih dalam kalangan golongan penyelaras program bagi sekolah yang terlibat dalam program tersebut.
Transkripsi temu bual informan dianalisis secara manual kerana, walaupun terdapat perisian komputer, proses menginterpretasi kesignifikan data kepada kategori tertentu dan mencari perkaitan masih belum tercapai sepenuhnya (Bogdan & Biklen, 1992). Kemunculan tema tertentu dalam transkripsi temubual digunakan untuk mengecam tema utama (Tappan, 2000). Analisis data temu bual telah dilaksanakan dengan mentranskripsikan temu bual secara verbatim. Data yang lebih khusus dan mendalam telah diperolehi mengenai cabaran dan isu dalam pelaksanaan program Sekolah Lestari daripada temubual yang dijalankan bersama informan.
Hasil kajian dan perbincangan
Hasil daripada perbincangan dapatan kajian telah dikenalpasti beberapa cabaran dan isu dalam pelaksanaan program Sekolah Lestari. Beberapa penemuan telah diperolehi daripada hasil kajian iaitu pengurusan program, kerjasama warga sekolah, kekangan masa, kekangan kewangan,
sokongan ibu bapa dan bantuan agensi luar serta isu-isu yang wujud semasa pelaksanaan program Sekolah Lestari.
Pengurusan program.
Hasil daripada temu bual, didapati bahawa cabaran yang dihadapi adalah dari segi pengurusan program, iaitu satu perancangan yang lengkap perlu dirancang bagi melaksanakan program kelestarian tersebut.
“Sekolah kami ini telah merancang 100 projek hijau bagi program kelestarian dan perlu membuat dokumentasi sebelum dan selepas program tersebut…..perlu melibatkan semua pihak dalam komuniti sekolah iaitu dari barisan pentadbir, guru, pelajar dan tidak ketinggalan pekerja am sekolah serta pihak kantin sekolah…..”(2019: temu bual).
(Informan 1)
“ …. elemen dalam program ini terlalu pelbagai dan menjurus ke arah amalan 3K jadi bukan hanya aspek kelestarian sahaja. Kami perlu melibatkan semua pihak….susah juga kalau nak dapat komitment semua…” (2019: temu bual).
(Informan 2)
Menurut informan yang lain, beliau merupakan pentadbir yang baru berpindah ke sekolah tersebut dan diminta untuk menguruskan program kelestarian di sekolah tersebut.
“…..saya ini baru di sini, tiba-tiba terima tugas sebagai penyelaras….belum saya tidak kenal orang lagi, tidak tahu cara cikgu bekerja…Masalah yang paling besar, majoriti cikgu menolak apabila hendak buat program lestari ini…..sebab isu yang berlaku pada tahun 2017 ketika sekolah mendapat Johan peringkat negeri….kekeliruan tentang hadiah kemenangan…Saya terpaksa berdepan dengan cikgu-cikgu ini yang menolak program ini. …..satu lagi dokumetasi program lestari yang lepas tidak ada dalam simpanan sekolah….” (2019: temu bual)
(Informan 3)
Oleh itu, beliau terpaksa meyakinkan mereka yang merupakan golongan majoriti. Selain itu, informan yang seterusnya, juga menyatakan tentang jaringan program.
“……. banyak sangat program jaringan dalaman sama ada dengan kelab, persatuan dan uniform…..semuanya tidak diselaraskan bersama-sama….cara mendokumentasikan program pun tidak ada jaringan bersama…. sebab inilah sekolah saya kurang dapat markah dari segi pengurusan” (2019: temu bual).
Kerjasama warga sekolah
Cabaran seterusnya yang dikenalpasti adalah cabaran untuk menwujudkan kerjasama pihak warga sekolah. Menurut informan, kerjasama adalah satu komponen yang penting dalam keberkesanan perjalanan program.
“…….kerjasama ini penting sebenarnya…contohnya bagi 100 projek hijau ini, pihak kantin pun kena mengitar semula sisa makanan dan menjual makanan yang seimbang serta sihat kepada pelajar dengan bekas makanan yang tidak membahayakan alam sekitar dan kurang karbon…….pelajar pula kena mengitar semula kertas di dalam bilik darjah dan setiap pelajar dalam bilik darjah seharusnya meminimumkan pembuangan kertas dalam kelas……..guru dan pelajar seharusnya memotivasikan antara satu sama lain untuk mempraktikkan sikap mesra alam untuk selama-lamanya…..” (2019: temu bual).
(Informan 1)
“……susah juga untuk mendapatkan kerjasama semua pihak secara berterusan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar termasuk pelestarian sebab program kelestarian ini bukan sahaja melibatkan program perasmian dan perancangan sahaja tetapi program yang berterusan untuk selama-lamanya…….” (2019: temu bual).
(Informan 2) “…… saya nampak pelajar terlatih untuk menggunakan bahan kitar semula namun kesedaran dalam konsep “reduce” seperti menggunakan secara jimat kertas lukisan atau buku masih tidak berkesan….dalam program “green break” sekolah saya ini, saya dapati agak sukar untuk mendidik pelajar-pelajar untuk ada rasa tanggungjawab membersihkan tetra pak atau botol plastik selepas digunakan…..sebab biasanya mereka buang bahan-bahan ini dalam tong sampah biasa walaupun ada tong kitar semula…..penekanan ini oleh semua guru pun juga belum tercapai sepenuhnya sebab hanya guru yang terlibat sahaja yang menekankan kesedaran ini…..” (2019: temu bual).
(Informan 4)
Jika diteliti dengan lebih mendalam, informan yang seterusnya pula menyatakan program kelestarian beliau kurang mendapat kerjasama daripada pelajar itu sendiri.
“….sebab tidak ramai pelajar yang minat, minat mereka hanya sementara sahaja…kalau saya tidak kejar mereka tidak buat…contohnya tanaman cili sekolah saya, dua bulan yang pertama saya yang uruskan semua. Walaupun sudah buat jadual, mereka tidak bergerak pun. Kemudian saya lepaskan seratus peratus pada pelajar, adalah dalam sepuluh orang pelajar yang datang tolong untuk sementara waktu….lepas itu hilang…pokok cili banyak sudah mati dan rosak…menyebabkan saya kena jaga balik semula….pengetua dan pentadbir memberi sokongan penuh cuma ada rakan-rakan guru yang iri hati apabila projek saya jadi….mereka mula tidak memberi sokongan…disebabkan projek kelestarian ini juga saya dicalonkan
sebagai salah seorang penerima Anugerah Pencapaian Cemerlang…..” (2019: temu bual).
(Informan 9) “…. projek kelestarian sekolah saya bawah pelajar Pendidikan Khas kena jaga….ada yang buat ada yang tak…pelajar ini tak boleh buat sendiri…saya kena ada bersama…susah juga bagi saya….” (2019: temu bual)
(Informan 7)
Kekangan masa.
Berdasarkan hasil daripada temubual yang dijalankan, cabaran seterusnya yang dikenalpasti adalah kekangan masa, yakni ia melibatkan aspek masa yang tidak mencukupi bagi menjalankan program kelestarian ini.
“…..sebenarnya keutamaan pelaksanaannya di sekolah hanyalah untuk membudayakan sahaja kelestarian alam sekitar dan bukannya sasaran kepada projek-projek yang gah…..jadi pelaksanaannya menyebabkan gangguan kepada masa kelancaran waktu pengajaran dan pembelajaran akademik, wujudnya kekangan antara akademik dan misi kelestarian alam sekitar…...” (2019: temu bual).
(Informan 2) “…..walaupun silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) terkini terkandung program kelestarian, pembelajaran berasaskan projek memakan masa dan pemantauan yang berterusan diperlukan….guru perlu merancang masa aktiviti pembelajaran lestari berkaitan dengan kehendak Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)….pelajar ini tidak buat di luar waktu pengajaran dan pembelajaran kerana terlibat dengan aktiviti lain seperti kelas tambahan, kelas tuisyen, aktiviti permainan seperti bola sepak dan lain-lain atau keluar bersama keluarga….” (2019: temu bual).
(Informan 3) “….saya dan cikgu lain terpaksa menggunakan masa senggang kami untuk memastikan stesen yang kami uruskan sentiasa dalam keadaan yang baik…..dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan taman yang sedia ada pula hanya dilaksanakan pada hari Rabu iaitu waktu perjumpaan kokurikulum sahaja….pelajar tidak boleh diminta untuk melaksanakan tanggungjawab seperti dalam jadual yang dibekalkan kerana kekangan masa... Selain itu, dengan jadual yang padat dengan tugas utama, kami terpaksa mencuri masa untuk mencari nama saintifik dan nama tempatan tumbuhan sebab bukan semua guru mahir ataupun tahu dari segi taxonomi yang betul dan perlu melabelkan setiap satu….apabila tibanya cuti sekolah, ada pokoknya yang layu dan mati…. tukang kebun yang seorang tidak mampu menjaga seluruh kawasan sekolah dalam masa waktu kerja yang ditetapkan…..” (2019: temu bual).
“…. saya terpaksa mengorbankan masa cuti saya untuk menjaga kawasan tanaman saya kerana jika tanamannya tidak dipantau dari masa ke masa, tanaman tersebut mudah diserang serangga dan menyebabkan tanamannya mati...” (2019: temu bual).
(Informan 7)
Menurut Guy Posey et al., (2010), bahawa guru adalah seorang yang tidak mempunyai masa untuk memikirkan benda lain yang tidak berkaitan dengan tugasnya kerana beban tugasnya itu sendiri agak berat (Hasliza et al., 2016). Kenyataan ini dapat membuktikan cabaran kekangan masa yang berlaku dalam pelaksanaan sekolah lestari.
Kekangan kewangan
Hasil daripada temubual juga, dapat dikenalpasti satu lagi cabaran utama yang dilalui semasa melaksanakan program pelestarian ini adalah kekangan dari segi kos. Hal ini dapat disokong oleh kajian yang dibuat oleh Hanifah (2016), menyatakan bahawa program sekolah lestari ini tidak diteruskan kerana masalah tenaga, masa dan kewangan oleh salah seorang responden (Hanifah et al., 2016). Hampir kesemua responden terpaksa mengatasi cabaran ini dengan cara masing-masing.
“….. bagi program pelestarian sebegini sumber kewangan kerajaan (SUWA) sukar diperolehi dan kalau hendak gunakan sumber kewangan matapelajaran perlu buat pelan kertas kerja dan permohonan yang awal sekurang-kurangnya 3 bulan sebelumnya…..sebab itu saya buat sistem saham bagi membeli pokok-pokok untuk program pelestarian ini. Saya hanya diberi satu bidang tanah yang kosong dan dicadang untuk menanam 500 pokok cili dengan kosnya RM15,000….saya telah membuka tawaran kepada pihak sekolah dan setiap guru untuk membeli 5 buah pokok dengan harga RM150 atau dengan lebih….walaupun sukar saya dapat mengumpul RM15,000 dan memulakannya. Pada musim yang ketiga, saya berjaya mengumpul hasil sebanyak RM30,000 dengan hasil usaha saya dan beberapa orang pelajar Kelab Bestari….akhir tahun lepas, saya berjaya memulangkan hasil-hasilnya kepada guru yang terlibat dengan dividennya sekali….projek ini menjadi hasil usaha sama Kelab Bestari sekolah saya…..” (2019: temu bual).
(Informan 8)
Menurut informan yang berjaya memenangi dua anugerah SLASS pada tahun 2009/2010 pula menyatakan, sekolah beliau mengalami cabaran dari segi kekurangan sumber kewangan bagi menjalankan projek-projek yang mega.
“…….pihak sekolah terpaksa mencari dan berusaha mewujudkan hubungan yang baik dengan beberapa agensi, pihak berkuasa tempatan dan badan berkorporat untuk menjalankan program mega tersebut. Contohnya, Maljis Perbandaran dan Jabatan Saliran Air diminta untuk buat satu sungai buatan di tanah terbiar di belakang sekolah dan buat taman rekreasi di situ….kami juga gunakan teknologi mikroorganisma sumbangan Majlis Pembandaran bagi menggantikan bahan pencuci kimia yang digunakan selama ini untuk mencuci tandas dan baja organik
untuk tanaman…. sekolah saya pernah memenangi anugerah Tandas Bersih Peringkat Kebangsaan pada tahun 2009. …Badan pengurusan sisa pepejal juga membantu dalam kerja pembersihan dan program kitar semula….tapi bukanlah mudah untuk mendapat bantuan-bantuan tersebut bagi mengusahakan program-program yang gah ini…. sebab program-program yang berkos besar ini tidak dapat dilaksanakan sekiranya tiada bantuan daripada pihak-pihak tertentu…...” (2019: temu bual).
(Informan 1)
Sebagai lanjutan daripada penerangan tadi, terdapat juga informan yang lain menyatakan bahawa sekolah beliau pernah memenangi anugerah Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar peringkat negeri pada tahun 2017 dan mendapat tempat ketiga tahun 2019 di peringkat negeri.
“….. saya terpaksa memikirkan cara untuk mendapatkan peruntukan untuk tambahbaik dan baikpulih stesen-stesen tersebut….sebab tiada kesinambungan penjagaan bagi program kelestarian selepas penyertaan dalam sesuatu pertandingan…..tetapi dengan hasil usaha, penyelaras dan guru-guru di sekolah, kami berjaya menang…..” (2019: temu bual).
(Informan 6)
Hasil daripada temubual ini dapat dirumuskan bahawa semua sekolah yang terlibat dalam program pelestarian ini telah mengambil inisiatif sendiri untuk mengatasi kekangan kewangan bagi keberkesanan program kelestarian ini.
Sokongan ibu bapa dan bantuan agensi luar
Rentetan dari temu bual yang dijalankan, terdapat cabaran yang wujud dari segi sokongan ibu-bapa dan bantuan agensi luar.
“……sekolah saya mendapat tentangan dari ibu bapa pelajar…. mereka lebih mementingkan kualiti keputusan peperiksaan anak-anak mereka dan tidak menggalakan anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti sekolah sebegini….mereka menyekat anak-anak mereka daripada terlibat dalam aktiviti luar waktu pembelajaran…..” (2019: temu bual).
(Informan 3)
“……setiap kali perjumpaan kokurikulum ada sahaja ibu bapa yang akan datang ke sekolah untuk membawa balik anak mereka dengan pelbagai alasan …..bilangannya meningkat dari masa ke masa kerana tidak mahu menyertai program yang disediakan oleh badan ko-kurikulum bagi pelestarian…ini menyebabkan sumber tenaga pelajar kurang dan tidak termasuk pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 terlibat dalam kelas tambahan dan kelas khas….saya juga menghadapi cabaran untuk memastikan ibu bapa faham terhadap program kelestarian…pada awalnya, ibu bapa tidak faham keperluan program ini dan lambat mendapat kepercayaan mereka….kami terpaksa sentiasa kemaskini maklumat berkaitan dengan aktiviti dalam whatapp atau laman sosial untuk kesedaran dan pemahaman ibu bapa.….lepas itu, barulah terdapat sedikit komitmen ibu bapa
untuk membenarkan anak mereka menyertai program ini dalam masa tambahan iaitu selepas waktu pembelajaran……” (2019: temu bual).
(Informan 8)
“……sekolah saya menghadapi masalah untuk mendapat bantuan dari agensi luar atau agensi kerajaan untuk membantu membudayakan program ini…..kalau dapat bantuan tiada sesi pementoran antara sekolah dan pihak yang terlibat menyebabkan lagi kesukaran dalam pelaksanaan program kelestarian ini…..kami terpaksa memikirkan dengan sendiri cara untuk mengatasi masalah yang wujud contohnya, dari segi pemantauan kitar semula…” (2019: temu bual).
(Informan 2)
Sebenarnya, sokongan ibu bapa dan bantuan agensi luar yang baik boleh menjayakan lagi program kelestarian dengan sekolah. Hal ini dapat dibuktikan dalam kajian Myende (2019) menyatakan bahawa jika sesuatu hubungan perlu berfungsi dan mampan adalah baik untuk mendapatkan kerjasama dalam membuat perancangan dan keputusan, komunikasi dua hala yang berkesan, keinginan untuk menangani isu kuasa, dan penciptaan budaya yang menggalakkan penyertaan kepimpinan (Myende, 2019).
Isu-isu yang wujud semasa pelaksanaan program Sekolah Lestari.
Hasil daripada temubual ini juga, dapat dikenalpasti dan dinyatakan beberapa isu berkaitan pelaksanaan Sekolah Lestari.
“…..kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dalam kalangan warga sekolah masih sangat rendah lagi sebenarnya….penglibatan guru dan juga pelajar juga rendah sebab tidak mengendahkan kesan atau akibat daripada pencemaran, perubahan cuaca dan lain-lain lagi…..”(2019: temu bual).
(Informan 5)
Hal ini dijelaskan dalam kajian yang dibuat oleh Hazura (2009), seramai 107 orang guru di Sekolah Menengah Kedah dan Pulau Pinang menunjukkan tahap pemahaman guru terhadap Pendidikan Pembangunan Lestari masih lemah dan begitu juga dengan kajian Masitah (2011) dalam kalangan 263 orang guru menunjukkan bahawa tahap pengetahuan dan kesedaran yang agak sederhana. Selain itu, pengetahuan yang terhad terhadap kandungan Pendidikan Pembangunan Lestari secara tidak langsung menyebabkan konsepnya tidak tercapai (Hanifah et al., 2016).
“…..budak-budak ini masih kurang pendedahan terhadap ilmu dan tanggungjawab untuk memelihara alam sekitar. Generasi sekarang ini kurang mengambil tanggungjawab melestarikan alam sekitar…..contohnya pengurusan sampah, konsep 3R, penghijauan dan amalan menjaga kebersihan…di sekolah saya ini kegiatan mencemarkan dan merosakkan alam sekitar dilakukan secara terbuka (vandelisme) di beberapa kawasan yang telah dicantikkan….mereka tidak sedar pun mereka menyumbang kepada kerosakan alam seperti pembaziran sumber tenaga dan wang…. setahu saya negara kita belum mencapai tahap kelestarian seperti negara Jepun dan jiran kita negara Singapura yang tergolong dalam kategori
negara yang mempunyai Indeks Prestasi Alam Sekitar yang lebih baik dari Malaysia…..pendidikan kelestarian pun masih belum dapat memberi kesedaran sepenuhnya kepada pelajar dan masyarakat sebenarnya…...” (2019: temu bual). (Informan 5)
Hal ini diperakui oleh Huckle (2009) dalam kajiannya , menyatakan bahawa kebanyakan sekolah yang dilawat menunjukkan tahap pengetahuan yang terhad terhadap kelestarian atau inisiatif yang berkaitan (Huckle, 2009).
“……isu kepimpinan untuk pengurusan program contohnya untuk mengetuai atau menjalankan aktiviti yang berkaitan pun masih tahap rendah lagi dalam kalangan guru dan pelajar…….” (2019: temu bual).
(Informan 3)
Generasi pelajar yang bakal menerajui negara dapat dilahirkan sekiranya kemahiran kepimpinan diberi perhatian. Hal ini dinyatakan oleh Wictor & Andersson (2012), bahawa pemimpin yang mempunyai kemahiran kepimpinan yang tinggi dapat melahirkan negara yang berjaya, berdaya maju dan disegani (Saharuddin, 2018). Rajah 3 meringkaskan cabaran dan isu pelaksanaan program Sekolah Lestari Anugerah Alam Sekitar melalui perspektif responden.
Cabaran dan isu dalam pelaksanaan program Sekolah Lestari (SLAAS)
Informan 1 (Cabaran)
Kekurangan dari segi kewangan untuk melaksanakan ptojek yang besar.
Perlu mempunyai rangkaian dengan pihak-pihak tertentu untuk melaksanakan projek
Penggunaan teknologi tertentu untuk mengantikan bahan kimia dan baja kimia.
Kerjasama antara semua pihak sekolah untuk memastikan pelaksanaan projek-projek tertentu (100 projek hijau)
Informan 2 (Cabaran)
Elemen terlalu pelbagai yang menjurus ke arah amalan 3K dan bukan hanya aspek kelestarian shj - menyebabkan perlunya kerjasama banyak pihak untuk pelaksanaannya.
Kesukaran mendapatkan sumber tenaga yang berterusan dalam memulihara alam sekitar termasuk pemuliharaan kelestarian sekolah lebih sukar berbanding untuk merasmikan atau merancang sahaja.
Keutamaan pelaksanaan di sekolah hanyalah untuk membudayakan sahaja kelestarian alam sekitar ini dan bukanlah sasaran kepada projek2 yang gah yang menyebabkan gangguan kepada kelancaran pdpc akademik murid. -kekangan antara akademik & misi kelestarian alam sekitar.
Kurang kerjasama daripada pihak badan2 kerajaan atau bukan kerajaan yang lain untuk membantu pembudayaan ini. (Pejabat pemaju perubahan @ Jabatan landskap @ swm @) - TIADA SESI PEMENTORAN antara sekolah dan pihak terlibat.
Informan 3 (Cabaran)
Guru menghadapi kesukaran untuk pembudayaan dan kekangan masa pembelajaran berasaskan projek untuk kssm silibus baru dan guru perlu merancang aktiviti lestari sesuai dgn kehendak DSKP.
Ibu bapa mementingkan kualiti keputusan peperiksaan dan menyekat anak menyertai aktiviti luar.
Pelajar pula sukar menjadikan budaya dan terlalu stress dengan tambahan/kelas luar jadual/kelas tuition.
Masalah kekurangan kewangan dan masa akibat aktiviti yang terlalu penuh.
(Isu)
Kepimpinan untuk mengetuai dan menjalankan aktiviti yang berkaitan.
Informan 4 (Cabaran)
banyak program jaringan dalaman samada dengan kelab, persatuan dan uniform tidak diselaraskan bersama-sama.
cara mendokumentasikan program tidak ada jaringan bersama
masalah dari segi memelihara dan memulihara taman sedia ada kerana diadakan pada hari rabu semasa perjumpaan koko sahaja. Murid tidak boleh diminta untuk melaksanakan tanggungjwb seperti jadual yang dibekalkan kerana kekangan masa
hanya seorang tukang kebun lelaki yg juga digunakan utk membantu kerja pembersihan kawasan sekolah
apabila cuti2 sekolah, ada pokok yang layu atau mati
peruntukan kurang bagi menambahkan sistem takungan air hujan di sekolah.
dalam program green break, agak sukar nak mendidik anak-anak ada rasa tanggungjawab membersihkan tetrapak atau botol plastik selepas digunakan. Biasanya bahan ni hanya diletakkan pada general waste bin. Penekanan oleh semua guru yang belum tercapai sepenuhnya. Hanya guru berkenaan sahaja yang menyumbang dalam.program kesedaran.
Informan 5 (Cabaran)
Kesedaran untuk memelihara dan memulihara alam sekitar dalam kalangan warga sekolah sangat rendah.
Penglibatan guru dan pelajar juga rendah kerana tidak mengendahkan kesan akibat daripada pencemaran, perubahan cuaca.
Kurang pendedahan mengenai ilmu dan tanggungjawab untuk memelihara alam.
Generasi sekarang kurang berminat untuk mengambil tanggungjawab melestari alam seperti pengurusan sampah, 3R, penghijauan, dan amalan menjaga kebersihan.
(Isu)
Sampah tidak diurus dengan sewajarnya.
Kegiatan mencemar dan merosakkan alam dilakukan secara terang-terangan.
Setiap orang tidak sedar bahawa mereka menyumbang kepada kerosakan alam seperti pembaziran sumber tenaga.
Negara belum mencapai tahap kelestarian alam seperti negara Jepun.
Pendidikan kelestarian belum dapat memberi kesedaran sepenuhnya kepada pelajar/ masyarakat
Informan 6 (Cabaran)
Pentadbir baru yang berpindah. Telah diberi tugas. Belum mengenali guru-di sana.
Terdapat guru-guru yang menolak program tersebut pada mulanya, terpaksa panggil dan berdepan dengan guru tersebut.
Masalah dokumentasi tiada dalam simpanan.
Kekangan kewangan untuk baikpulih kawasan yang lama dan baru dan mencari sumber kewangan untuk program.
Kekangan masa bagi guru untuk melaksanakan aktiviti yang dirancang.
Cabaran untuk mendapatkan komitmen guru sebelum dan selepas program.
Informan 7 (Cabaran)
Guru tepaksa meluangkan masa cuti sendiri untuk menjaga kawasan tersebut.
Tanaman diserang serangga.
Pelajar Pendidikan Khas dipertanggungjawabkan untuk menjaga. Cabaran dari segi komitmen pelajar.
Informan 9 (Cabaran)
Kesukaran untuk
mendapatkan kerjasama dari pelajar. Perlu dipanggil dan diingatkan berulang kali.
Pentadbir memberi sokongan tetapi terdapat guru yang irihati dan tidak membantu apabila dicalonkan bagi Anugerah Pencapaian Cemerlang .
Informan 8 (Cabaran)
Kekangan kewangan kerana tidak boleh mengunakan wang SUWA dan sumber lain. Guru mengunakan konsep saham untuk menjana duit bagi memulakan projek kelestarian.
Kerjasama pelajar sukar diperolehi untuk terlibat dalam program kelestarian ini.
Dari segi pentadbir, cabaran untuk memberi kepercayaan penuh untuk melaksanakan program tersebut.
Kefahaman ibu bapa yang kurang memahami kehendak program ini dan akhirnya memberi kebenaran untuk melibatkan diri
Mendapatkan komitmen guru dan pelajar secara berterusan di samping “core business” guru iaitu mengajar dan pelajar adalah belajar.
Kesimpulan
Malaysia terdiri di antara negara yang sedang membangun. Pembangunannya dari segi ekonomi adalah agak pesat berbanding dengan negara ASEAN yang lain kerana kekayaan sumber semulajadi di negara kita. Bagi menampung jumlah penduduk yang ramai pada masa depan, kita perlu menggunakan sumber ini dengan sebaik mungkin. Oleh itu, Malaysia perlu berpegang pada konsep pembangunan lestari bagi menangani keperluan rakyat pada masa akan datang. Walaupun ia bukan perkara yang mudah, pelbagai strategi telah dirancang dalam program pembangunan lestari. Antaranya adalah program Sekolah Lestari yang dirancang bagi mewujudkan sekolah yang membudayakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Pendekatan yang menyeluruh ini melibatkan perancangan dan penglibatan semua warga sekolah, pelaksanaan program Pendidikan Alam Sekitar yang sedia ada di sekolah dapat diintegrasi dan diperkukuhkan. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran dan isu yang dikenalpasti dalam pelaksanaan program Sekolah Lestari termasuklah kekangan masa dan kewangan, pengurusan program, kerjasama antara warga sekolah, sokongan ibu bapa dan bantuan agensi luar. Oleh itu, semua pihak yang berkepentingan diseru untuk bergading bahu membantu pihak sekolah memudahkan lagi pelaksanaan program sekolah lestari ini supaya semua sekolah di Malaysia dapat mengamalkan konsep pembangunan lestari.
Penghargaan
Penghargaan kepada Geran Penyelidikan TAP-K012925, FRGS/1/2019/SS07/UKM/02/2 dan penyelaras program Sekolah Lestari kerana membantu penyelidikan ini.
Rujukan
Adams, W. M. (2006). The future of sustainability. Re-thinking environment and development in the twenty-first century. In Report of the IUCN Renowned Thinkers Meeting. https://doi.org/10.1007/1-4020-4908-0
Affeldt, F., Weitz, K., Siol, A., Markis, S., & Eilks, I. (2015). A non-formal student laboratory as a place for innovation in education for sustainability for all students. Education Sciences,
5(3), 238-254 https://doi.org/10.3390/educsci5030238
Berglund, T., Gericke, N., & Chang Rundgren, S. N. (2014). The implementation of education for sustainable development in Sweden: Investigating the sustainability consciousness among upper secondary students. Research in Science and Technological Education, 32(3), 318-339 https://doi.org/10.1080/02635143.2014.944493
Bhawani, V. (2009). Education for sustainable development. Environment, 51(2), 8-10 https://doi.org/10.3200/ENVT.51.2.08-10
Bogdan, R., & Biklen, S. K. (1992). Qualitative research for education: an introduction to theory and methods. Allyn and Bacon.
Crawford, J., & Irving, C. (2009). Information literacy in the workplace: A qualitative exploratory study. Journal of Librarianship and Information Science, 41(1), 29-38 https://doi.org/10.1177/0961000608099897
Creswell, J. W., & Plano Clark, V. L. (2017). Designing and conducting mixed methods research. SAGE Publications Ltd.
Guy Posey, Thomas Brugess, Marcus Eason, & Yawna Jones. (2010). The advantages and disadvantages of the virtual classroom and the role of the teacher. 2010 Southwest Division Science Institute Conference. 4-6 March 2010, Dallas, TX.
Hanifah, M., Mohmadisa, H., Yazid, S., Mohamad Suhaily Yusri, C. N., & Nasir, N. (2016). Aspek kritikal pendidikan pembangunan lestari berdasarkan data temu bual guru. Journal of
Social Science (EDUCATUM), 2, 52-66
Hanifah, M., Shaharuddin, A., Yusri Che Ngah, M. S., & Ali, N. (2014). Pendidikan Pembangunan Lestari - Hubungan kesedaran antara ibu bapa dengan pelajar. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 10(5), 71-84
Hanifah, M., & Shaharuddin, I. (2016). Education for sustainable development in Malaysia: A study of teacher and student awareness. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 12(6), 77-88
Hasliza, H., Siti, M., Mohd, N., & Zarina, M. (2016). Cabaran yang dihadapi oleh guru dalam pelaksanaan persekitaran pembelajaran maya Frog di bilik darjah. Asia Pacific Journal of Educators and Education, 31, 115–129 https://doi.org/10.21315/apjee2016.31.7
Hezri, A. A., & Hasan, M. N. (2006). Towards sustainable development? The evolution of environmental policy in Malaysia. Natural Resources Forum, 30(1), 37-50 https://doi.org/10.1111/j.1477-8947.2006.00156.x
Huckle, J. (2009). Sustainable schools: Responding to new challenges and opportunities.
Geography,94(1), 13-21. https://doi.org/10.1080/00167487.2009.12094247
Huckle, J. (2013). Eco-schooling and sustainability citizenship: Exploring issues raised by corporate sponsorship. Curriculum Journal, 24(2), 206-223 https://doi.org/10.1080/ 09585176.2013.779286
Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pelajaran Malaysia, Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) (2012). Asas Pembentukan Sekolah Lestari-Anugerah Alam Sekitar. (Ed. ke-3). Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya.
Kwami, H. I., Che-Ani, A. I., Ibrahim, N. L. N., & Abd-Razak, M. Z. (2015). Assessing students perceptions to sustainability practices at National University of Malaysia (UKM).
International Journal of Environment and Sustainable Development, 14(2), 143-153 https://doi.org/10.1504/IJESD.2015.068603
Lee, S. W., Ma, S. C. W., & Lee, N. (2016). Practicing the integration of education for sustainable development (ESD) into the school curriculum. International Journal of Comparative Education and Development, 18(4), 219-245 https://doi.org/10.1108/ijced-07-2016-0015 Little, A. W., & Green, A. (2009). Successful globalisation, education and sustainable
development. International Journal of Educational Development, 29(2), 166–174. https://doi.org/10.1016/j.ijedudev.2008.09.011
Maria, T. A. (2015). Sustainable development a multidimensional concept. Annals-Economy Series, 82–86.
Myende, P. E. (2019). Creating functional and sustainable School–Community Partnerships: Lessons from three South African cases. Educational Management Administration and Leadership, 47(6), 1-19 https://doi.org/10.1177/1741143218781070
Noranida, M., & Khairulmaini Osman, S. (2014). Malaysia’s Efforts toward Achieving a Sustainable Development: Issues, Challenges and Prospects. Procedia - Social and Behavioral Sciences, 120, 299–307. https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.02.107
Peter, C. J., Libunao, W. H., & Abdul Latif, A. (2016). Extent of education for sustainable development (ESD) integration in Malaysian community colleges. Journal of Technical
Education and Training, 8(1), 1-13
Sagan I., Surosz W., Zielinski T. (2018) Introduction. In: Zielinski T., Sagan I., Surosz W. (eds) Interdisciplinary Approaches for Sustainable Development Goals. GeoPlanet: Earth and Planetary Sciences. Springer, Cham. https://doi.org/10.1007/978-3-319-71788-3_1
Saharuddin, T. (2018). Aktiviti kokurikulum sebagai pemangkin kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar. Human Sustainability Procedia.
Sinakou, E., Boeve-de Pauw, J., & Van Petegem, P. (2019). Exploring the concept of sustainable development within education for sustainable development: implications for ESD research and practice. Environment, Development and Sustainability, 21, 1–10 https://doi.org/10.1007/s10668-017-0032-8
Sterling S. (2004) Higher Education, Sustainability, and the Role of Systemic Learning. In: Corcoran P.B., Wals A.E.J. (eds) Higher Education and the Challenge of Sustainability. Springer, Dordrecht. https://doi.org/10.1007/0-306-48515-X_5
Tappan, M. B. (2000). Autobiography, Mediated Action, and the Development of Moral Identity. In Narrative Inquiry, 10(1), 81-109 https://doi.org/10.1075/ni.10.1.05tap
WCED. (1987). Our Common Future. Oxford: Oxford University Press.
Wee M.I., Ariffin F.N., Ng T.F., Shabudin A.F.A. (2017) Awareness and Attitudes Towards Sustainable Development Amongst Higher Education Students in Penang, Malaysia. In: Leal Filho W., Azeiteiro U., Alves F., Molthan-Hill P. (eds) Handbook of Theory and Practice of Sustainable Development in Higher Education. World Sustainability Series. Springer, Cham. https://doi.org/10.1007/978-3-319-47877-7_4
Wern, C., & Weng, C. (2010). The potentials, threats and challenges in sustainable development of Penang National Park. Malaysian Journal on Environmental Management, 11(2), 95-109
Wictor, I., & Andersson, S. (2012). The importance of leadership and vision in born globals.