1.0 : PENGENALAN
Pada abad ke-19, dapat kita lihat bahawa aktiviti ekonomi seperti perlombongan,
perdagangan, pertanian komersial dan sebagainya telah membawa kepada keuntungan yang
berlipat kali ganda kepada Tanah Melayu sekaligus membuka mata pelabur-pelabur asing
termasuklah pihak British sendiri. Namun, keadaan ini telah mendatangkan kepada pertikaian
kerana golongan yang menguasai sektor ini bukanlah rakyat Melayu sebaliknya dikuasai oleh
golongan imigran. Malah, golongan pemerintah juga gemar untuk menjalinkan kerjasama
dengan golongan imigran berbanding rakyat Melayu. Hal ini diperjelaskan di dalam artikel A.
Rahman Tang Abdullah. Tambahan pula, hal ini turut disokong di dalam penulisan sejarah
oleh beberapa ahli sejarah yang terkenal. Fenomena ini dapat dilihat di dalam penulisan
John G. Butcher, Chai Hon Chan dan James C. Jackson.1
Secara tradisionalnya, rakyat Melayu menjalankan ekonomi secara kecil-kecilan dan
hanya untuk menyara diri dan ahli keluarga sahaja. Mereka lazimnya tinggal di luar bandar
dan melakukan perkerjaan seperti pertanian, nelayan, menternak haiwan dan sebagainya.
Adakah disebabkan faktor ini yang memandang rendah terhadap kebolehan rakyat Melayu
yang menyebabkan pemerintah cenderung untuk membentuk kerjasama dengan imigran
dalam ekonomi komersial? Oleh itu, di dalam artikel ini, saya akan menganalisiskan sebab
dan musabab mengapakah pemerintah gemar bekerjasama dengan golongan imigran
berbanding usaha mentransformasikan rakyat Melayu ke dalam ekonomi baru.
KOMUNITI IMIGRAN DALAM AKTIVITI KOMERSIAL
2.1: PENCAPAIAN KOMUNITI IMIGRAN DALAM BIDANG EKONOMI KAPITALIS
Golongan imigran dilihat mempunyai pencapaian yang baik berbanding rakyat Melayu dalam
bidang ekonomi komersial. Bidang yang dimaksudkan ialah seperti bidang perniagaan,
perdagangan, perlombongan timah serta perladangan komersial. Aktiviti perlombongan
menunjukkan bahawa kemasukan buruh-buruh dari negara luar seperti China telah menjadi
bukti bahawa sememangnya pemerintah Melayu gemar membentuk kerjasama dengan
imigran luar. Hal ini demikian kerana sektor perlombongan berkembang dengan pesat pada
akhir tahun 1870-an. Kira-kira empat perlima pendatang Cina di Negeri-Negeri Melayu
Bersekutu terlibat secara langsung dalam perlombongan. (Arudsothy. 1968: 57).2 Jadi,
ramailah golongan imigran dari China hadir ke Tanah Melayu.
Pelombong Cina telah memajukan aktiviti perlombongan di Tanah Melayu dengan
memperkenalkan teknik-teknik yang jauh lebih baik dari rakyat Melayu sendiri. Teknik yang
digunakan oleh rakyat Melayu ialah seperti mendulang dan melampan manakala Cina pula
menggunakan teknik yang lebih moden untuk mendapatkan hasil perlombongan dalam skala
yang besar. Oleh kerana tiada golongan proletar Melayu yang sedia bekerja di lombong,
pemerintah Melayu setuju membenarkan penyertaan pelombong Cina dengan mendapat
komisen yang lumayan.3
Hal ini bermakna, golongan Melayu sendiri yang membuka ruang dan peluang kepada
golongan imigran Cina khususnya di dalam sektor perlombongan. Pemerintah juga
2 Jomo Kwame Sundram, Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung Malaysia, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, hlm. 181.
membentuk kerjasama dengan imigran luar kerana mereka mendapat komisen yang begitu
tinggi sehingga menyebabkan mereka mudah untuk mengaut keuntungan dalam masa yang
singkat.
Perkembangan perlombongan ini tertumpu di Larut, Lukut, Kinta, Lembah Klang dan
Sungai Ujong. Buktinya berdasarkan kepada peningkatan eksport pada tahun 1850 iaitu 6500
tan dan meningkat pada tahun 1890 kepada 15101 tan. Dari segi perniagaan pula, banyak
kedai dibuka oleh orang-orang Cina terutamanya di bandar-bandar yang terletak di kawasan
perlombongan.4 Maka, perkembangan ekonomi di Tanah Melayu ini semakin meningkat oleh
sebab kedatangan golongan imigran. Hal ini menyebabkan Tanah Melayu menjadi sebuah
pengeluar bijih timah yang tertinggi di dunia pada ketika itu disebabkan oleh permintaan
yang tinggi dari negara luar.
2.2 : KELEBIHAN KOMUNITI IMIGRAN YANG MEMPUNYAI AKSES MODAL YANG BESAR SERTA MENDAPAT GALAKAN DARIPADA PEMERINTAH
Golongan pemerintah gemar membentuk kerjasama dengan golongan imigran kerana
terdapat pelbagai kemudahan dari aspek kewangan. Mereka peroleh kewangan melalui sistem
cukai yang dibayar oleh rakyat dan modal-modal dari pihak luar. Salah satu bentuk kerjasama
yang dapat dilihat antara golongan pemerintah dengan komuniti imigran ialah terdapatnya
pelabur-pelabur asing memberikan modal kepada pemerintah Melayu di samping mendapat
galakan daripada pihak British. Sebagai contoh, modal British cukup menyedari pentingnya
kuasa dan sokongan kerajaan untuk menyediakan suasana pelaburan yang stabil dan menarik
daripada segi undang-undang dan infrastruktur ekonomi.5
4 Hairi Abdullah, Penduduk Semenanjung Malaysia, Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, 1989, hlm. 71.
British memberikan galakan dan sokongan yang padu kepada golongan pemerintah
dan juga kepada komuniti imigran khususnya golongan Cina. Mereka menggalakkan
kedatangan Cina ke Tanah Melayu dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi
tambang, jaminan keselamatan dan sebagainya memandangkan keperluan tenaga buruh yang
murah dan banyak. Faktor inilah yang menjadi faktor penarik komuniti imigran gemar
menjalankan aktiviti ekonomi di Tanah Melayu.
Golongan pemerintah melihat perkara ini sebagai satu aset kepada mereka kerana
mereka peroleh keuntungan yang berlipat kali ganda sekiranya mereka membentuk kerjasama
dengan golongan imigran. Sebagai contoh, kaum Cina memperoleh kewangan atau modal
untuk mengusahakan aktiviti perlombongan yang dilihat mendapat permintaan yang tinggi di
dunia. Perusahaan ini banyak memberi ruang dan peluang kepada golongan imigran untuk
menjalankan aktiviti bersifat komersial.
Selain komuniti imigran Cina, terdapat juga golongan imigran seperti kaum India
yang membentuk kerjasama dengan golongan pemerintah di Tanah Melayu untuk memajukan
ekonomi di Tanah Melayu. Mereka turut mendapat keistimewaan seperti mendapat peluang
untuk mengusahakan perusahaan getah. Hal ini disebabkan oleh perkembangan pertanian
ladang telah mewujudkan banyak peluang pekerjaan sekali gus mendorong kedatangan
imigran asing ini ke Tanah Melayu secara besar-besaran. 6 Permintaan yang tinggi terhadap
getah di Eropah dan Amerika adalah untuk menghasilkan pelbagai jenis barang seperti tayar,
kasut, penebat barangan elektrik dan sebagainya telah menggalakkan kerajaan Inggeris
mengusahakan penanaman getah secara besar-besaran.
Keperluan ini semakin mendesak apabila orang-orang Melayu tidak gemar untuk
berladang getah. Oleh itu, orang India dibawa masuk untuk bekerja di ladang-ladang kerana
mereka tidak kisah sekiranya dibayar upah yang sedikit. Galakan British inilah yang menjadi
pendorong kepada kaum India untuk mengusahakan perladangan getah. Sebaliknya, golongan
Melayu enggan mengusahakan aktiviti perladangan dan pertanian kerana mereka diupah
dengan gaji yang sedikit yang tidak setimpal dengan kerja yang mereka lakukan walaupun
terdapat banyak kelebihan dan keistimewaan yang diberikan oleh golongan pemerintah.
2.3 : KOMUNITI IMIGRAN LEBIH BIJAK DAN BERANI MENGAMBIL RISIKO
Komuniti imigran dilihat begitu bijak dan berani mengambil risiko terutamanya dalam aspek
perdagangan. Aktiviti perdagangan ini dikuasai oleh golongan imigran khususnya Cina.
Mereka mempunyai pelbagai kelebihan seperti sangat bijak dalam tawar-menawar, bijak
mengaut keuntungan yang lebih besar, malah mereka begitu rajin dan berdikari. Kesemua
ciri-ciri yang dinyatakan ini diperoleh melalui pengalaman sejarah mereka iaitu pernah
diambil sebagai tenaga buruh sebelum ini lagi. Hal ini dapat dilihat di dalam buku P.
Ramasamy (1994), “the effectiveness of their bargaining position was based on certain
historical circumstances such as the manner of labour recruitment, organization, and control
within the colonial economy”.7 Jadi, hal ini telah membuka mata pemerintah untuk
membentuk kerjasama dengan golongan imigran. Contohnya, golongan pemerintah
melakukan aktiviti perdagangan dengan komunti imigran seperti Arab, Eropah, China, dan
India Muslim.
Rakyat Melayu dilihat hanya berdagang secara kecil-kecilan yang hanya untuk
memenuhi keperluan hidup mereka sahaja. Walaupun begitu, rakyat Melayu hanya mampu
untuk menjadi penjaja kecil-kecilan. Sebagai contoh, pada awal abad ke-19, hanya terdapat
satu kedai di sebuah kawasan terutamanya di kampung-kampung. Oleh itu, mereka tidak tahu
cara untuk mengaut keuntungan yang lebih besar. Hal ini demikian kerana mereka tidak
mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang secukupnya untuk menceburi bidang
ekonomi komersial. Golongan pemerintah melihat hal ini sebagai salah satu cara untuk
membentuk kerjasama dengan golongan imigran disebabkan oleh golongan imigran cekap
mengambil kesempatan malah lebih bersikap terbuka untuk mengubah cara hidup mereka
iaitu dari ekonomi sara diri kepada ekonomi komersial. Rakyat Melayu pula masih
menumpukan perusahaan ekonomi sara diri terutama dalam sektor pertanian dan perikanan
yang ternyata tidak banyak menyumbang kepada pemangkin ekonomi negara.
Di samping itu, kebijaksanaan kaum imigran Cina jelas terpamer apabila mereka
menubuhkan pertubuhan mereka sendiri demi menjaga kepentingan ekonomi mereka.
Kegiatan berpersatuan orang Cina bermula dengan penubuhan kongsi. Sebuah kongsi yang
berpengaruh dikenali sebagai Twelve Company atau San-tiao Kou Kongsi. Penubuhan ini
telah dibentuk pada sekitar tahun 1830-an apabila bermulanya kegiatan melombong emas di
Bau, Kuching. Kongsi juga berperanan sebagai badan yang mengurus hal ehwal orang Cina
di Bau, khususnya dalam perlombongan. Tambahan pula, terdapat juga penubuhan persatuan
yang lain. Antaranya Kongkek yang dibentuk oleh pemimpin Hokkien dan Teochew seawal
tahun 1876.8 Kongkek berfungsi untuk mengendalikan urusan penanaman dan perusahaan
lada serta gambir. Ironinya, imigran Cina sememangnya mahir menggunakan kesempatan
yang ada untuk kepentingan ekonomi mereka sendiri.
2.4 : KEENGGANAN RAKYAT TEMPATAN MENCEBURI BIDANG PERTANIAN DAN PERLOMBONGAN
Salah satu faktor rakyat tidak mahu menceburi bidang perladangan dan perlombongan adalah
kerana mereka tidak bersedia untuk tinggal di kawasan perladangan dan perlombongan yang
jauh terpencil dari kawasan tempat tinggal mereka. Mereka tidak bersedia untuk
meninggalkan ahli keluarga mereka yang tinggal di kampung. Pada pandangan mereka,
mereka lebih gemar menjalankan ekonomi sara diri yang sudah menjadi pekerjaan
turun-temurun berbanding memajukan taraf ekonomi mereka kepada ekonomi komersial.
Faktor inilah yang menjadi punca pemerintah gemar melakukan aktiviti pertanian dan
perladangan dengan komuniti imigran. Perkara ini juga disebabkan oleh kecekapan golongan
imigran dalam menguruskan hal ekonomi yang berskala besar atau ekonomi kapitalis.
Sebagai contoh, di Johor, Temenggung telah bekerjasama dengan Syeikh dan Cina dalam
sektor perladangan komersial pada pertengahan abad ke-19.9 Tambahan pula, rakyat Melayu
sendiri yang tidak mahu berkecimpung dalam ekonomi komersial. Mereka tidak mahu kerana
mereka dibayar gaji yang rendah, dipaksa melakukan tugas yang berat tetapi upah yang
mereka terima tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh mereka.
Walau bagaimanapun, P. Ramasamy menggunakan isitilah yang berlainan untuk
menunjukkan bahawa keengganan rakyat tempatan dalam menceburi bidang ekonomi
komersial iaitu keengganan kepada kebencian seperti “initially, European planters
experimented with local Malay labour but concluded that the native Malays had an aversion
work on plantations”.10 Hal ini demikian kerana, isitilah yang digunakan oleh P. Ramasamy
tersebut ialah untuk menunjukkan bahawa kesungguhan rakyat Melayu yang tidak mahu
menceburi bidang pertanian dan perlombongan. Oleh itu, golongan pemerintah dan komuniti
imigran telah menggunakan kesempatan ini kerana komuniti imigran dilihat sudah biasa
dengan orientasi ekonomi wang malah golongan pemerintah pula bukannya mahu
memulakan transformasi ekonomi dalam kalangan rakyat.
9 A. Rahman Tang Abdullah, “ Economic Change and Transition of Malay Society in Malaya in Late Nineteenth and Early Twentieth Centuries”, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Jilid 20, (2012) : 77.
Contohnya, konsesi untuk penanaman padi di Kedah diberikan kepada kaum Cina oleh
Sultan Abdul Hamid Halim Shah pada akhir abad ke-19 kerana kaum Cina banyak
berkecimpung di dalam bidang pertanian padi secara komersial berbanding Melayu. Hal ini
dapat dibuktikan di dalam jurnal A. Rahman Tang Abdullah bahawa kes di Kedah pada abad
ke-19 dan awal abad ke-20, perkembangan penanaman padi sebagai ekonomi komersial telah
disumbangkan oleh imigran Cina berbanding kaum Melayu.11
Pendapat yang dikemukakan oleh A. Rahman Tang Abdullah begitu tepat menunjukkan
bukti bahawa sejak dari dahulu lagi, sememangnya ekonomi di Tanah Melayu telah dikuasai
oleh imiran Cina. Impaknya, jelaslah bahawa penglibatan imigran Cina di dalam ekonomi di
Tanah Melayu akan melibatkan kerjasama dengan pemerintah kerana mereka mahir dalam
bidang pertanian padi.
2.5 : LANGKAH MENTRANSFORMASIKAN EKONOMI TRADISIONAL RAKYAT MELAYU KEPADA EKONOMI KOMERSIAL PERLAHAN BERBANDING KOMUNITI IMIGRAN
Aspek utama yang memperlihatkan transformasi di dalam aktiviti pertanian orang Melayu
ialah penanaman padi. Orang Melayu melakukan aktiviti pertanian padi yang berskala kecil.
Tujuan mereka ialah untuk memenuhi keperluan keluarga mereka dan untuk keperluan
penduduk kampung sahaja. Jadi, pertanian padi ini tidak boleh dijadikan sebagai lebihan
makanan malah tidak boleh dieksport ke negara luar disebabkan oleh penanaman yang
berskala kecil. Kesannya, pada awal abad ke-19, kecenderungan untuk menghasilkan lebihan
makanan tidak menjadi keutamaan kepada masyarakat Melayu petani. Langkah
mentransformasikan diri mereka daripada ekonomi sari diri kepada ekonomi komersial agak
perlahan.
Perkembangan penanaman padi kepada peringkat yang lebih besar iaitu sebagai
penanaman komersial telah dijalankan oleh masyarakat Cina berbanding Melayu. Kenyataan
ini turut disokong oleh A. Rahman Tang Abdullah bahawa langkah untuk
mentransformasikan ekonomi rakyat Melayu kepada skala yang lebih besar untuk memenuhi
keperluan hidup mereka adalah lebih perlahan berbanding Cina.12 Kenyataan ini secara tidak
langsung telah membuktikan bahawa tiada transformasi terhadap masyarakat Melayu
walaupun terdapat pelbagai bantuan dan kemudahan yang diberikan oleh pemerintah. Sebagai
contoh, kerajaan telah memberikan peruntukan dan kewangan dalam bentuk subsidi untuk
meningkatkan pertanian kepada skala yang lebih besar.
Namun, hal ini telah menyebabkan rakyat Melayu akan terlalu bergantung kepada
kerajaan. Oleh itu, sukar untuk mentransformasikan taraf ekonomi rakyat Melayu kepada
ekonomi komersial. Perkara ini secara tidak langsung telah menyebabkan golongan
pemerintah terdorong untuk membentuk kerjasama ekonomi dengan komuniti imigran
khasnya imigran Cina di dalam bidang penanaman padi berbanding rakyat Melayu sendiri.
3.0 : KESIMPULAN
Kesimpulannya, dapat kita simpulkan bahawa sememangnya golongan pemerintah pada abad
ke-19 lebih cenderung untuk membentuk kerjasama dengan komuniti imigran dalam aktiviti
komersial berbanding dengan usaha mentransformasikan rakyat Melayu ke dalam ekonomi
baru di Tanah Melayu. Sebagai analoginya, peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu
telah mendorong kedatangan imigran-imigran dari luar seperti Cina dan India ke Tanah
Melayu. Negeri-negeri Selat menjadi pangkalan mereka memasuki kawasan perlombongan di
negeri-negeri Melayu dan bekerja di sektor perniagaan, pertanian dan perladangan seperti di
ladang-ladang gambir, lada hitam dan tebu.13
Sumbangan pihak imigran telah membantu meningkatkan ekonomi sekali gus
mengubah corak kehidupan masyarakat di Tanah Melayu sehinggalah sekarang. Misalnya,
rakyat Malaysia boleh mengaitkan peristiwa pada abad ke-19 tersebut dengan peristiwa
sejarah pada hari ini iaitu Malaysia telah mewujudkan kerjasama ekonomi dengan
negara-negara Asia yang lain seperti Singapura, China, Korea dan sebagainya.
4.0 : BIBLIOGRAFI
A.Rahman Tang Abdullah. 2012. “Economic Change and Transition of Malay Society in Malaya in Late nineteenth and Early Twentieth Centuries”, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 20, (2012): 71-95.
Cheah Boon Kheng dan Abu Talib bin Ahmad. 1990. Kolonialisme di Malaysia dan Negara-negara Lain. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Hairi Abdullah. 1989. Penduduk Semenanjung Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Heidemann Frank. 1992. Kanganies in Sri Lanka and Malaysia: Tamil Recruiter-cum-Foreman As A Sociological Category in The Nineteenth and Twentieth Century. Germany: Anacon.
Ho Hui Ling. 2012. “Orang Cina dan Penglibatan dalam Politik di Negeri Sarawak”, Jurnal Jabatan Sejarah Universiti Malaya, 20, (2012): 1-26.
Jomo Kwame Sundram. 1988. Pembangunan Ekonomi dan Kelas Sosial di Semenanjung
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
P Ramasamy. 1994. Plantation Labour, Unions, Capital, and The State in Peninsular Malaysia. Kuala Lumpur: Oxford University Press.