• Tidak ada hasil yang ditemukan

Baju Riau Pahang: Potongan Dan Material Istimewa Dalam Penghasilan Baju. Selangor. ABSTRAK

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Baju Riau Pahang: Potongan Dan Material Istimewa Dalam Penghasilan Baju. Selangor. ABSTRAK"

Copied!
10
0
0

Teks penuh

(1)

Baju Riau Pahang: Potongan Dan Material Istimewa Dalam Penghasilan Baju Aszulhida Aman ¹,*, Ros Mahwati Ahmad Zakaria², Zuliskandar Ramli ³ 1,2,3Institut Alam Dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi,

Selangor.

1,*Kolej Kemahiran Tinggi MARA Rembau, Pedas, Negeri Sembilan

aszulhida.mara@mara.gov.my

ABSTRAK

Kajian ini akan memberi fokus kepada evolusi potongan baju Riau Pahang, menggunakan pendekatan kualitatif bertujuan untuk mengenalpasti rupa bentuk, potongan dan fabrik yang digunakan dalam penghasilan baju yang dikatakan mempunyai bentuk dan fungsi yang unik ini. Baju Riau Pahang ini hanya dipakai oleh segelintir masyarakat di Alam Melayu pada suatu ketika dahulu yang dikatakan berasal dari Riau tetapi mempunyai nama yang berbeza . Beberapa penyelidik terdahulu menyatakan bahawa baju ini hanya boleh didapati di istanaistana dan di kalangan golongan bangsawan sahaja. Walaubagaimanapun, asalusul Baju Riau Pahang ini juga masih belum dikenal pasti sehingga ke hari ini biar pun ada pendapat yang mengatakan ia kemungkinan berasal dari Pahang atau Johor Riau. Pakaian ini juga mula diperkenalkan pada awal kurun ke - 20 tetapi kenyataan ini juga tiada bukti kukuh untuk disokong kesahihannya. Kajian ini akan membincangkan evolusi rupa bentuk dan potongan Baju Riau Pahang yang dikatakan berkembang di dalam istana serta golongan bangsawan tetapi kini dipakai oleh semua lapisan masyarakat.

Kata kunci: Rupa bentuk; Potongan; Evolusi; Pakaian.

PENGENALAN

Pakaian adalah perkara asas dan penting di dalam kehidupan seseorang yang bertujuan untuk melindunginya dari panas dan sejuk. Di dalam masyarakat Melayu, fungsi utama pakaian adalah untuk menutup aurat mengikut hokum agama Islam yang dianuti oleh masyarakat Melayu ini. Selain itu, ia juga berfungsi untuk melindungi kulit dari cuaca panas atau sejuk dan keadaan sekeliling. Sebelum kedatangan Islam di Tanah Melayu, kaum wanita di sini hanya berkemban dan cara pemakaian ini pula dianggap sebagai pakaian wanita Melayu yang tertua dan terawal. Walaupun berkemban dianggap tidak sopan, tetapi pada helaian ketiga pemakaian ini dipakaikan pada bahagian bahu untuk menutup anggota badan yang terdedah. Kedatangan agama Islam bukan sahaja telah menukar cara dan nilai agama pada orang Melayu, bahkan telah menukar cara mereka berpakaian kepada memakai baju yang lebih menutup keseluruhan anggota badan dan dilihat lebih sempurna.

(2)

189

Setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu, masyarakat Melayu mula mencari identiti mereka dalam berpakaian terutama sekali wanita yang memakai pakaian dan aksesori kepala mengikut kelas lapisan masyarakat. Mengikut kajian terdahulu, baju kurung telah wujud lebih dari dari 600 tahun terdahulu. Pakaian ini menjadi kebanggan dan warisan masyarakat Melayu sejak abad ke 15 pada pemerintahan Kesultanan Melaka. Baju Kurung ini juga terdapat beberapa jenis variasi mengikut negeri di Tanah Melayu antaranya Baju Kurung Telok Belanga, Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Riau Pahang.

Antara baju yang jarang didengari dari dulu adalah Baju Riau Pahang. Ini kemungkinan baju tersebut hanya dipakai oleh golongan yang tertentu sahaja. Zubaidah Shawal (1994) berpendapat baju ini hanya boleh didapati di istanaistana dan pada golongan bangsawan sahaja. Asal-usul Baju Riau Pahang ini juga masih belum dikenal pasti sehingga ke hari ini walaupun ada pendapat yang mengatakan ia kemungkinan berasal dari Pahang atau Johor Riau. Pakaian ini juga dikatakan diperkenalkan pada awal kurun ke - 20 tetapi ini juga tiada bukti kukuh untuk disokong kesahihannya.

Sesetengah masyarakat menyebut Baju Riau Pahang sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Ada juga berpendapat bahawa Baju Riau Pahang ini adalah adunan dari Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Kebaya Labuh. Menurut cerita, pakaian ini telah diilhamkan oleh Tengku Ampuan Mariam iaitu puteri kepada Sultan Ahmad Al Muazzam Shah (Sultan Pahang 1). Ikatan perkahwinan Tengku Ampuan Mariam dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Sultan Terengganu ke XIII) di mana ikatan perkahwinan ini menjadi salah satu sebab mengapa Baju Riau Pahang hanya boleh didapati dikedua-dua negeri tersebut sahaja. Pemakaian baju ini juga tidak meluas ke negeri lain seperti mana Baju Kurung Kekek yang rata-rata dipakai oleh wanita Melayu seluruh Nusantara. Walaupun terdapat banyak kajian dan penyelidikan mengenai pemakaian orang Melayu sejak beratus-ratus tahun dahulu tetapi tidak ramai pengkaji yang memberi fokus kepada Baju Riau Pahang itu sendiri. Ini adalah mungkin disebabkan pemakaian ini hanya dikhaskan kepada golongan istana dan tertentu sahaja, tidak seperti Baju Kurung lain yang dipakai oleh segenap lapisan masyarakat di Tanah Melayu dari dulu hingga kini. Asal usul busana Melayu ini juga masih menjadi tanda tanya kerana tiada catitan yang sahih tentang kedatanga busana ini ke Tanah Melayu.

Di antara berjenis baju tradisional orang Melayu, Baju Riau Pahang adalah yang paling rumit pembuatannya dan istimewa dari segi potongannya. Ia melibatkan potongan kekek dan pesak yang memerlukan tukang jahit yang mahir untuk memotong dan mencantumnya. Jika diteliti kepada cara pembuatan Baju Riau Pahang ini, ia tidak dapat ditiru oleh mana-mana tukang potong jikalau hanya dipandang sekilas pandang. Baju ini juga dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang mengikut pangkat dan kedudukan di dalam istana ( Busana Melayu – Zubaidah Shawal – 1994). Selain itu material yang digunakan juga amat sukar didapati kerana ia hanya digunakan oleh sekelompok masyarakat sahaja terutama golongan istana dan bangsawan.

Potongan pada leher baju ini juga adalah berkolar tinggi seperti kolar baju tradisional masyarakat Cina. Baju ini juga dipercayai merupakan adunan Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Kebaya Labuh, sekali pandang ia seperti Baju Kebaya Labuh yang berkolar tinggi. Fabrik baju ini juga memainkan peranan penting kerana hanya tujuh jenis

(3)

190

fabrik sahaja yang digunakan oleh Tengku Ampuan Mariam pada ketika itu ( Busana Melayu Johor – Siti Zainon Ismail). Jika dilihat dari segi tinggalan sejarah yang ada, Baju Riau Pahang tidak mempunyai maklumat yang kukuh dari segi asal usul pemakaian baju ini. Ini adalah kerana ia gabungan dua daerah yang berada jauh di antara satu sama lain. Potongan baju ini juga kini adalah tidak asli dan diubah mengikut peredaran masa dan trend terkini oleh para pereka fesyen tanpa mengetahui nilai-nilai estetik Baju Riau Pahang ini. Penggunaan butang baju ini juga tidak diberi penekanan oleh sesetengah pihak pada masa kini, ini mungkin kerana kurang pemahaman mengenai baju ini dan juga maklumat yang amat sedikit diperolehi dari pihak istana dan potongan asli baju ini kurang mendapat perhatian.

Untuk mendalami asal usul sesuatu kaum itu dan peredaran masa yang dilalui, pemakaian mereka adalah adalah satu faktor yang perlu diambil berat. Ini dapat dilihat ada sesetengah pihak masih keliru dengan Baju Pahang yang ada dan Baju Pesak Gantung yang telah diperbaharui oleh masyarakat kini. Potongan dan cara cantuman ketiga-tiga baju ini mempuyai ciri yang berlainan tetapi jika dilihat dari luaran sahaja, ia seakan-akan sama.

KERAJAAN PAHANG-RIAU

Kesultanan Negeri Pahang dikatakan telah wujud semenjak zaman Kerajaan Melaka lagi apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang telah dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang. Sebelum wujudnya Kesultanan Negeri Pahang, mereka telah berada dibawah pemerintahan Kerajaan Siam. Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan tragedi tersebut berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik sebagai Sultan di Pahang.

Pada tahun 1617, Acheh ketika itu berada di bawah kepimpinan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menyerang Pahang dan membawa Sultan Ahmad bersama keluarganya ke Acheh dengan diikuti oleh 10,000 rakyat Pahang. Kemudian anak Raja Pahang seperti Puteri Kamaliah atau dikenali sebagai Putrie Phang dan Raja Husein atau dikenali sebagai Sultan Iskandar Thani telah menjadi Sultan dan Sultanah Acheh yang hebat pada ketika itu. Seterusnya,pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan Johor yang pada ketika itu berpusat di Negeri Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini telah berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) pada ketika itu. Apabila Sultan Mahmud Shah II mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) pemerintahan pula telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana). Ini adalah keturunan Sayyid Al-Idrus dari Acheh iaitu dari Hadralmaut Yemen. Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) telah menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil IV pada masa itu. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang telah memerintah di Negeri Pahang. Daripada

(4)

191

keturunan zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, iaitu Wan Ahmad.

Rajah 1: Sumber latar geografi menunjukkan ikatan Riau-Johor-Lingga

LATAR BELAKANG KAJIAN

Kajian ini akan tertumpu pada satu potongan pakaian masyarakat Melayu iaitu Baju Riau Pahang. Asal usul baju ini juga sukar untuk dikenal pasti dengan tepat. Banyak pandangan berpendapat bahawa baju ini tiba di Tanah Melayu ketika di zaman kerajaan Johor-Riau-Lingga. Ini dapat dilihat ketika rombongan itu tiba di Tanah Melayu mengiringi Sultan Ismail dan cara pemakaian hulubalangnya mirip kepada potongan Baju Riau Pahang ini (Haziyah Hussin, 2013). Di dalam kajian ini Baju Riau Pahang yang akan diketengahkan kerana kajian baju ini kurang mendapat perhatian. Ini mungkin juga ada yang menyatakan asal-ususl pakaian ini adalah dari istana dan pada permulaan penciptaanya pemakaian pakaian ini adalah amat terhad kepada golongan istana sahaja. Ada juga teori yang berpendapat baju ini terjadi kerana hubungan baik di antara Riau dan Pahang satu ketika dahulu. Negeri Riau dan Pahang adalah dua negeri yang terletak berjauhan tetapi catatan mengenai dua buah negeri ini menyatakan ia mempuyai pertalian sejarah dan sosio budaya yang rapat. Kedua-dua negeri ini sudah menjalin hubungan sejak dari zaman kerajaan Melayu Melaka dan terus berkekalan buat sekian lamanya. Dari hubungan ini terciptanya potongan pakaian Melayu ini yang dipanggil Baju Riau Pahang. Segelintir masyarakat menyebut baju ini sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki (Zubaidah Syawal,1994).

(5)

192

Mengikut Zubaidah Sual baju yang telah diilhamkan oleh Tengku Ampuan Mariam iaitu puteri kepada Sultan Ahmad Al-Muazzam Shah (Sultan Pahang 1). Hasil daripada perkahwinan dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (Sultan Terengganu) antara faktor utama mengapa pakaian ini hanya popular di kedu-dua negeri tersebut. Pemakaian potongan Baju Riau Pahang ini juga tidak menjadi pakaian rakyat sebalinya ia adalah lebih berbentuk pakaian peribadi Tengku Ampuan Mariam dan kerabatnya.

Di antara potongan baju masyarakat Melayu, Baju Riau Pahang ini adalah yang paling rumit pembuatannya. Sehingga kini tidak ramai tukang jahit yang mahir di dalam pembuatan pakaian ini dan membuatkan potongan Baju Riau Pahang ini mendapat suntikan baru dan dievolusikan kepada potongan yang lebih miudah. Jika kita melihat potongan baju ini dengan sekilas pandang, amatlah sukar untuk ditiru cara pemotongannya. Seperti baju-baju tradisi yang lain, Baju Riau Pahang juga diperbuat daripada dasar-dasar pertambahan mengikut bentuk badan dan kesesuaian si pemakai. Pada kedua-dua bahagian tepi baju berpesak kembang tidak berkekek tidak seperti Baju Kurung biasa.

Masyarakat Melayu pada zaman dahulu akan mengenakan baju tradisional orang Melayu yang pada kebiasaanya lebih kepada Baju Melayu dan Baju Kurung. Selain dari baju tersebut, orang Melayu juga dikenali melalui identity pakaian Baju Kebaya, Celana, Kain Sarung, Samping dan Selendang (Baju dan Sarung – 2002). Namun begitu pemakaian ini mendapat suntikan dan imej baru yang lahir daripada pertumbuhan dan perkembangan pakaian orang dahulukala melalui proses ubah ansur. Proses perubahan ini adalah kerana berlakunya peradaban awal masyarakat Melayu dahulu dan mendapat pengaruh dari luar akibat daripada aktiviti perdagangan daripada India, China Arab dan Eropah. Unsur-unsur tamadun dari pelbagai etnik inilah yang menjadikan identiti pemakaian orang Melayu popular hingga kini dan masih dipakai seperti Baju Kurung dan Baju Melayu.

Di dalam kajian ini, rujukan sejarah dan klasik menjadi bahan utama untuk memahami konsep budaya dan masyarakat Melayu. Bahan ini juga merupakan penyumbang utama kepada bentuk, gaya dan koordinasi di dalam kostum tradisional Melayu khususnya di dalam Baju Riau Pahang ini. Rahmat (2004) menyatakan bahawa kajian melalui antropologi, kajian budaya, semiotika dan sejarah ada membincangkan budaya melalui material makna simbolik sedia ada di dalam budaya. Zubaidah Syawal (1994) menyatakan bahawa Baju Riau Pahang ini hanya dipakai di dibeberapa buah negeri daripada kesan perkahwinan di raja. Pakaian ini juga hanya dapat dilihat digayakan oleh segelintir masyarakat yang dipercayai terdiri daripada golongan istana dan bangsawan. Sementara itu kajian mengenai kategori dan gaya kostum Melayu dilakukan oleh Zubaidah Shawal (1994), Abbas Alias dan Norwani Md. Nawawi (2003) dan Azah Aziz (2006). Pengarang seperti Mohd. Said Sulaiman (1931), Tenas Effendy (2005) dan Siti Zainon Ismail (2006) menulis tentang etika dan prinsip umum baju tradisional Melayu. Antara seminar dan pameran yang diadakan berhubung penggunaan tradisional pakaian dan kain adalah Warisan Tekstil Malaysia (15 Disember 2003 - 31 Januari 2004) oleh Galeri Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur, Batik Malaysia: Warisan Hidup 10 November - 2 Disember 2007) oleh Galeri Petronas dan Galeri Seni Negara, Kuala Lumpur.

(6)

193

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah kalitatif bagi mengenalpasti rupa bentuk dan potongan Baju Riau Pahang. Potongan baju ini yang unik dan tersendiri menjadi satu titik tolak kepada teknologi pembuatan baju masyarakat Melayu di mana kekek dan potongan pesaknya amat berlainan dari potongan baju kurung yang biasa dipakai. Kajian ini menganalisis akan kompleksnya cara pemotongan baju ini kepada reka bentuk busana. Kajian kepustakaan pula digunakan sepanjang kajian untuk menganalisis data dan bahan rujukan yang lain. Antara bahan-bahan yang dijadikan rujukan adalah seperti buku, jurnal, hasil kajian terdahulu, akhbar, dokumen dan lain-lain. Pada asas kajian ini beberapa pasang baju dipotong bagi mendapatkan ukuran asas potongan dan reka bentuk pakaian. Ia menjadi rumit dan unik ketika cantuman bahagian pesak dibuat. Ia tidak boleh dijahit jika dilihat dengan hanya sekali pandang. Begitu juga pada bahagian kolar yang nampak sedikit tegak pada bahagian leher. Ia juga memerlukan kemahiran untuk mencantum bahagian badan ke bahagian kolar tersebut. Penyelidikan ini akan merangkumi kajian etnografi dan bahan dalam budaya Melayu. Penyelidikan ini akan berdasarkan analisis kandungan, bukti sejarah, lawatan ke muzium, Arkib Nasional dan beberapa orang pengumpul barang-barang antik bagi mendapatkan data. Tinjauan kajian terdahulu bagi memberi pemahaman sejarah dan latar belakang tatasusila pemakaian orang Melayu sejak berkurun lama.

Selain itu maklumat melaui temu ramah bersama pakar di dalam bidang busana Melayu yang terdiri daripada Zubaidah Sual, Prof. Dr. Siti Zainon dan beberapa lagi pakar dibuat bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Selain itu, pertemuan bersama pengumpul barang-barang antik, profesional dan para akademik yang dilakukan semasa lawatan ke beberapa organisasi yang disebut. Antara lain faktor yang semakin dilupakan oleh masyarakat kini di dalam memakai busana Melayu adalah fungsi fungsi lain seperti fungsi jumlah butang, kain yang dipadankan dan jahitan kekemasan seperti tulang belut dan sebagainya. Di dalam perbincangan Baju Riau Pahang ini, setiap jumlah butang yang dikenakan mempunyai makna yang simbolik yang tersendiri di mana baju yang dikancing dengan butang tujuh atau sembilan adalah mengikut darjat mereka di dalam istana. Kini masyarakat Melayu lupa pada kiraan kancing yang digunakan. Mereka lebih selesa membuat rekaan mengikut kehendak individu bukannya mengikut fungsi pakaian tersebut.Kajian ini juga memberi penekanan kepada penggunaan kain broket dan songket yang sememangnya amat popular di kalangan orang-orang bangsawan dari dulu hingga kini. Ini dapat dilihat pada kebanyakkan koleksi Tengku Ampuan Mariam dan kerabatnya yang di pamerkan di Muzium Johor untuk rujukan pada masa kini. Terdapat sekurang-kurangnya tujuh jenis fabrik yang digunakan khas untuk membuat Baju Riau Pahang ini. Apa yang menariknya adalah semua kain ini menampilkan ciri-ciri khas tradisi agung dengan penggunaan fabrik mewah yang diimport khas seperti tafeta iaitu tenunan Istanbul, serasah India lengkap dengan proses serta teknik seperti menyulam (tekat/suji), menenun (cindai), menyukit (songket), menelepuk (telepuk) dan mengikat celup (pelangi). Penggunaan kain-kain mewah ini bagi melambangkan status kedudukan seseorang di dalam masyarakat. Kain yang dipilih hanyalah digunakan dikalangan golongan istana sahaja.

(7)

194

Kini setelah ia popular di kalangan rakyat biasa, penggunaan fabriknya juga tersebar luas. Ramai yang membuat Baju Riau Pahang ini menggunakan fabric dari kain kapas dan satin mengikut kesesuaian fesyen terkini. Pengaruh luar terhadap pakaian Melayu seperti wujudnya Baju Kurung Moden telah menyebabkan busana Melayu sepeti Baju Riau, Baju Kebaya, Baju Kurung Kekek makin kurang mendapat sambutan.

Rajah 2: Tengku Ampuan Hajjah Mariam dengan busananya.

Rajah 3: menunjukkan pola Baju Riau Pahang yang mendapat suntikan baru dari segi

(8)

195

Rajah 4: Baju Riau koleksi dari Portal Diraja Pahang

Rajah 5: Baju Riau Pahang koleksi dari Portal Diraja Pahang

DAPATAN KAJIAN

Dari pandangan kajian yang dijalankan telah melibatkan tiga aspek perubahan kepada rupa bentuk dan potongan di dalam evolusi Baju Riau Pahang ini seperti berikut:

1. Potongan baju asal adalah longgar dan mengikut syarak di dalam pemakaian baju. Faktor bahawa kaum wanita Melayu pada masa itu yang menitikberatkan tata susila, adat dan budaya berpakaian cara orang Melayu amat diambil kira.

2. Potongan yang telah dievolusi sekarang mengikut kehendak pasaran di Malaysia, pakaian ini telah diubah sedikit dari segi tiada lagi kocek digunakan sebagai fungsi utama pakaian ini. Kocek pada asasnya digunakan oleh kaum wanita sebagai tempat menyimpan duit atau sapu tangan. Kini kocek itu seolah-olah tiada fungsi lagi apabila kaum wanita sekarang lebih suka membawa tas tangan.

(9)

196

3. Potongan pada pesak juga telah diubah pada bahagian hadapan di mana potongan asasnya pesak bercantm pada bahagian belakang dan tiada potongan pada bahagian hadapan. Sekarang potongan hadapan dan belakang adalah sama dan ia sedikit sebanyak telah mengubah rupa bentuk pakaian itu sendiri. Ini secara tidak langsung Baju Riau Pahang kini lebih mengikut rupa bentuk susuk badan di pemakai.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, walaupun terdapat banyak kajian dan penyelidikan mengenai pemakaian orang Melayu tetapi tidak ramai pengkaji yang memberi focus kepada Baju Riau Pahang itu sendiri. Ini adalah mungkin disebabkan pemakaian ini hanya dikhaskan kepada golongan istana dan tertentu sahaja, tidak seperti Baju Kurung lain yang dipakai oleh segenap lapisan masyarakat di Tanah Melayu dari dulu hingga kini. Asal usul busana Melayu ini juga masih menjadi tanda tanya kerana tiada catitan yang sahih tentang kedatangan busana ini ke Tanah Melayu.

Di antara berjenis baju tradisional orang Melayu, Baju Riau Pahang adalah yang paling rumit pembuatannya dan istimewa dari segi potongannya. Ia melibatkan potongan kekek dan pesak yang memerlukan tukang jahit yang mahir untuk memotong dan mencantumnya. Pembuatannya Baju Riau Pahang ini juga memerlukan penelitian yang sempurna kerana jika dilihat sekali imbas, amatlah sukar untuk menirunya. Pada bahagian kolar baju ini juga berlainan dari baju-baju di Alam Melayu yang lain yang kebanyakkannya berlubang di leher dan dikemas dengan jahitan seperti tulang belut atau jahitan mata lalat. Baju ini juga dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang mengikut pangkat dan kedudukan di dalam istana. Selain itu material yang digunakan juga amat sukar didapati kerana ia hanya digunakan oleh sekelompok masyarakat sahaja terutama golongan istana dan bangsawan.

Potongan pada leher baju ini juga adalah berkolar tinggi seperti kolar baju tradisional masyarakat Cina. Baju ini juga dipercayai merupakan adunan Baju Kurung Cekak Musang dan Baju Kebaya Labuh, sekali pandang ia seperti Baju Kebaya Labuh yang berkolar tinggi. Fabrik baju ini juga memainkan peranan penting kerana hanya tujuh jenis fabrik sahaja yang digunakan oleh Tengku Ampuan Mariam pada ketika itu

RUJUKAN

Abbas Alias dan Norwani Md Nawawi (2006). Pakaian Melayu Sepanjang Zaman. Dewan Bahasa Pustaka.

Azah Aziz (2002) Rupa dan Melayu Busana Melayu Balai Senilukis Negara – Baju + Sarung

Haziyah Hussin – Evolusi dan Tipologi Pakaian Wanita Melayu di Semenanjung Malaysia.

(10)

197

Maruwiah Ahmat (2012) Pakaian Tradisional – Siri Budaya Warisan Malaysia. Mohd Said Sulaiman (2008) Pakai Patut Melayu- UKM

Patricia L. Baker. (1995) Islamic Textiles. Londo: British Muzeum Press

Prof. Dato’ Dr Hood Salleh (2011) – People and traditions. Editions Didier Millet, Universiti Kebangsaan Malaysia,2006

Salikin Sidek (2010) – Rujukan Khazanah Budaya Melayu; Grup Buku Karangkraf Zubaidah (1994) Busana Melayu. Jabatan Muzium Dan Antikuiti Malaysia.

Haziyah Hussin – Evolusi dan Tipologi Pakaian Wanita Melayu di Semenanjung Malaysia.

Zaharah Sulaiman, Wan Hashim Wan Teh, Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman – Asal Usul Melayu, Induknya Di Benua Sunda

Zaharah Ahmad Osman (1995). Inspirasi Pendekatan Kontemporari Reka Corak Tekstil Tradisional Melayu. Selangor.

Referensi

Dokumen terkait