• Tidak ada hasil yang ditemukan

Tanggungjawab Pemunya Premis dalam Undang-Undang Tort Islam: Satu Kajian Perbandingan dengan Undang-Undang Sivil Maghribi dan Tunisia

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2021

Membagikan "Tanggungjawab Pemunya Premis dalam Undang-Undang Tort Islam: Satu Kajian Perbandingan dengan Undang-Undang Sivil Maghribi dan Tunisia"

Copied!
14
0
0

Teks penuh

(1)

© Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi, Selangor. ISSN 1511-3434 http://ukmsyariah.org/terbitan/index.php/isusyariah22/

Tanggungjawab Pemunya Premis dalam

Undang-Undang Tort Islam: Satu Kajian

Perbandingan dengan Undang-Undang

Sivil Maghribi dan Tunisia

Abdul Basir Mohamad

Pengenalan

Premis1 dalam perbincangan ini termasuk rumah, bangunan

pentadbiran, bangunan yang sedang dibina, lif, balkoni, bahagian yang bersambung dengan sesebuah bangunan, saluran air di sesebuah bangunan dan sebagainya. Umumnya dapat dikatakan bahawa perkataan ‘premis’ itu bukan hanya tertumpu kepada sesebuah binaan sahaja, bahkan ia juga merangkumi sesuatu bahagian yang bersambungan dengannya. Di samping itu, premis boleh dijadikan prinsip asas, dan teorinya boleh diguna pakai bukan hanya kepada sesuatu binaan tidak alih sahaja, bahkan juga kepada binaan yang seumpama bangunan, seperti pentas, papan terjun, kapal yang sedang dibina, tangga, menara kawat elektrik, pintu gerbang dan sebagainya. Boleh juga kes binaan ini diguna pakai untuk sesuatu kemudaratan yang disebabkan oleh pokok. Perbincangan ini dapat dilihat dalam mazhab Zaydi dan Ibadi yang telah mengetengahkan kes pokok yang condong dan hampir tumbang. Kes ini dianggap sama seperti kes sesebuah tembok atau dinding yang condong dan hampir tumbang. Jika pemunya pokok telah diberi notis supaya pokok tersebut ditebang, tetapi dia tidak mengambil sebarang tindakan, dia akan bertanggungan jika pokoknya itu tumbang dan mencederakan seseorang atau merosakkan harta benda seseorang (Ahmad b. Yahya b. al-Murtada 1366H/1947M, 5: 244).

Apabila membicarakan tajuk tentang kemudaratan yang disebabkan oleh bangunan atau sesuatu binaan, para ulama Islam telah membahagikan kedudukan bangunan kepada dua bahagian, iaitu pertama, keadaan bangunan itu pada asalnya sudah rosak dan kedua, keadaan sesuatu bangunan itu pada asalnya baik, kemudian ia rosak dan menyebabkan kemudaratan. Sebelum menumpukan perbincangan ini kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap sesuatu kemudaratan akibat sesebuah bangunan, perlu dijelaskan kedudukan pendapat para ulama Islam mengenai pembahagian keadaan struktur bangunan itu terlebih dahulu berserta dengan bebanan tanggungan terhadapnya.

(2)

Tanggungan Terhadap Kerosakan yang Disebabkan oleh

Premis dalam Undang-Undang Tort Islam

Kerosakan Asal Sesebuah Premis atau Bangunan

Para fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa sesiapa yang membina atau mendirikan sesebuah dinding di atas tanahnya dan dinding itu condong ke arah jalan raya atau ke arah tanah jiran semenjak ia dibina atau didirikan lagi, pihak yang mendirikannya itu akan bertanggungan terhadap segala bentuk kemudaratan yang disebabkan oleh dinding tersebut. Tindakan atau kelakuan pemunya dinding itu dianggap sebagai suatu tindakan salah yang boleh disamakan seperti seseorang yang melakukan sesuatu halangan di jalan raya yang boleh mewujudkan keadaan berbahaya kepada penggunanya dan juga premis-premis di sekitarnya. Para fuqaha memutuskan bahawa tindakan sedemikian dikira sebagai ta‘addi (pencerobohan), kerana pelaku sudah boleh menjangka sesuatu yang buruk akan menimpa hak-hak orang lain dengan sesebuah binaan yang telah condong pada peringkat pembinaannya lagi. Kaedah ini dapat diguna pakai dan diperluaskan kepada sebarang bentuk premis yang mempunyai kerosakan semenjak ia dibina, walaupun secara kecuaian (Ibn Qudamah 1947, 7: 827; al-Marghinani t.th., 4: 196; al-Kasani t.th. 7: 283; Zakariyya al-Ansari 1994, 2: 175; Ibn Farhun 1884, 2: 247).

Kerosakan Luar Dugaan Sesebuah Premis atau Bangunan

Jika premis yang telah dibina dengan baik, dalam keadaan tegak dan seimbang, kemudian ia menjadi condong ke arah jalan raya atau tanah orang lain, adakah pemunya premis akan bertanggungan terhadap sebarang kemudaratan dan kerosakan disebabkan daripada runtuhan premis tersebut selepas dia diminta supaya meruntuhkannya, tetapi dia tidak mengambil sebarang tindakan? Berkenaan dengan kes ini, pendapat para fuqaha boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama

Pemunya premis atau bangunan itu bertanggungan secara mutlak sama ada dia diminta terlebih dahulu supaya dirobohkan atau tidak diminta berbuat sedemikian. Ini adalah pendapat sebahagian ulama mazhab Syafii, sebahagian ulama mazhab Hanbali, Ashhab, Ibn Abi Layla, Abu Thawr dan Ishaq ibn Rahawayh. Hujah mereka: pemunya bertanggungjawab menjaga dan memelihara premisnya yang dalam keadaan berbahaya itu. Justeru, jika dia tidak berhati-hati dalam penjagaan premisnya, dia dianggap sebagai muta‘addi dan cuai. Mereka menyamakan kes ini seperti dengan kes sesebuah binaan atau dinding yang dibina dalam keadaan condong sejak awal pembinaannya (Nawawi t.th.: 284; Ibn Qudamah 1947, 7: 828; Muhammad al-Sharbini al-Khatib 1958, 4: 86; Qasim b. ‘Isa Ibn Naji 1982, 2: 244; Abu ‘Abd Allah al-Hattab 1992, 6: 321).

(3)

Kumpulan kedua

Pemunya premis atau bangunan itu tidak bertanggungan secara mutlak, kerana dia telah membinanya di atas tanah miliknya sendiri yang dia berhak berbuat sedemikian dan pada waktu yang sama kejadian runtuhan bangunan atau apa-apa binaan itu bukanlah terhasil daripada tindakannya, sama ada dia telah diminta supaya meruntuhkannya terlebih dahulu ataupun tidak. Pendapat ini ialah pendapat ulama mazhab Syafii (mengikut pendapat yang asahh), ulama mazhab Zahiri, ulama mazhab Hanafi yang berpegang kepada qiyas2 dan ia merupakan

satu pendapat dalam mazhab Hanbali (mengikut pendapat yang masyhur). Mereka berhujah dengan mengatakan bahawa pemunya sesebuah bangunan itu tidak dianggap sebagai muta‘addi. Dia telah membina bangunannya itu di atas tanah miliknya dalam keadaan tegak dan seimbang. Sebarang keadaan yang membuat ia condong bukanlah tindakannya. Mereka berpegang kepada kaedah:

.لالحا يرغتب ًناومضم نوكي لا ،نومضم يرغ هلوأ ناك ام

Maksudnya: Sesuatu yang pada peringkat awalnya tiada sebarang tanggungan, tidak akan ada tanggungan sekalipun dengan perubahan keadaannya.

Mereka juga berpendapat bahawa kes sebegini seolah-olah akibat daripada perbuatan Tuhan (al-Marghinani t.th., 4: 195; al-Sarakhsi 1986, 27: 9; al-Shirazi 1995, 3: 207; al-Nawawi t.th.: 284; Ibn Qudamah 1947, 7: 828; Ibn Hazm t.th., 10: 528).

Kumpulan ketiga

Jika pemunya premis telah diminta untuk meruntuhkan premisnya, kerana ia didapati sudah tidak stabil atau mengalami kerosakan yang berkemungkinan besar akan runtuh dan pemunya tidak mengambil sebarang tindakan yang diminta sehingga berlalu suatu tempoh masa yang mencukupi dan munasabah, dia akan dibebankan tanggungan membayar segala kerugian akibat daripada premisnya itu. Mereka berhujah dengan menegaskan bahawa hak penggunaan jalan raya adalah kepunyaan orang ramai. Oleh itu, orang ramai mempunyai hak untuk meminta pemunya premis meruntuhkan premisnya yang berkemungkinan besar akan runtuh dan mengakibatkan kemudaratan. Kegagalan melaksanakan atau mematuhi notis atau permohonan tersebut akan menyebabkan dia bertanggungan terhadap segala kemudaratan yang berlaku disebabkan premisnya itu. Walau bagaimanapun, jika orang ramai tidak mengambil tindakan sedemikian, iaitu memberi notis kepada pemunya premis supaya meruntuhkan premisnya, maka pemunya tidak akan menanggung apa-apa bebanan tanggungan. Ulama kumpulan ini secara jelas menekankan keperluan permohonan atau suruhan atau pemberian notis (mutalabah) kepada pemunya supaya dia meruntuhkan premisnya terlebih dahulu. Jika tidak ada tindakan sedemikian, dia tidak boleh dibebankan dengan apa-apa tanggungan. Ulama kumpulan ini terdiri daripada Shurayh, al-Nakha‘i,

(4)

al-Sha‘bi, al-Hasan, al-Thawri, para ulama mazhab Hanafi yang berpegang kepada istihsan, jumhur fuqaha mazhab Maliki, pendapat terpilih (al-qawl al-mukhtar) daripada mazhab Hanbali dan para ulama tabi‘in (a’immat al-tabi‘in).

Para ulama kumpulan ini membandingkan kes tuntutan supaya diruntuhkan sesuatu premis itu dengan kes seseorang menjumpai sehelai pakaian orang lain dan tuan punya pakaian membuat tuntutan. Jika pihak yang menjumpai pakaian itu enggan menyerahkannya dan pakaian itu hilang atau rosak, dia dianggap bersalah, kerana telah melakukan ta‘addi dan akibatnya dia bertanggungan terhadap pakaian tersebut (Ibn Qudamah 1947, 7: 828; Marghinani t.th., 4: 195; al-Sarakhsi 1986, 27: 9; Malik b. Anas 1994, 4: 667; Khalil b. Ishaq 1981: 348; al-Hattab 1992, 6: 321; al-Kasani t.h., 7: 283; al-Sha‘rani 1940, 2: 129; al-Dimashqi 1987: 275; al-Bahuti 1982, 4: 124).

Para ulama kumpulan ini juga menegaskan bahawa pemunya (rabb al-dar atau malik al-dar) atau sesiapa sahaja yang mempunyai hak untuk meruntuhkan sesebuah bangunan atau binaan itu harus diminta atau diarahkan supaya berbuat demikian. Mereka adalah seperti pemberi sewa (mu’ajjir), penggadai (rahin), rakan kongsi (sharik), pemegang wasiat (wasi) dan penjaga kanak-kanak (ab al-yatim atau ab al-sabi). Ini membawa erti bahawa pemegang gadaian (murtahin), penyewa (musta’jir), pemegang amanah (muda‘), penyewa rumah (sakin al-dar) dan peminjam (musta‘ir) tidak boleh diminta atau diarahkan supaya meruntuhkan sesebuah binaan, sebab mereka tidak mempunyai hak berbuat sedemikian (Ibn Qudamah 1947, 7: 829; Malik ibn Anas 1994, 4: 667; Abu Muhammad b. Ghunaym al-Baghdadi 1890: 182; Marghinani t.th., 4: 196; Sarakhsi 1986, 27: 10; al-Bahuti 1982, 4: 124; ‘Ali Haydar t.th., 8: 559 & 561).

Dalam Majallat al-Ahkam al-‘Adliyyah, artikel 928, kes ini diperundangkan seperti berikut:

Sekiranya dinding atau tembok kepunyaan seseorang roboh dan menyebabkan kerosakan atau kerugian kepada orang lain, dia tidak bertanggungan membayar ganti rugi. Tetapi sekiranya sebelum dinding atau tembok itu roboh, dia telah diberitahu oleh orang lain supaya merobohkan dinding itu dan sekiranya masa yang mencukupi telah diberi kepada dia untuk meruntuhkannya, tetapi dia tidak berbuat demikian dalam masa itu sehingga ia roboh, pemilik bertanggungan ke atas sebarang kecederaan dan kerosakan yang dialami oleh orang lain akibat daripada keruntuhan dinding tersebut…

Pihak yang Bertanggungan mengikut Undang-Undang Tort

Islam

Apabila membincangkan pihak yang seharusnya bertanggungan terhadap sesuatu kemudaratan akibat daripada sesebuah premis atau binaan atau bangunan, umumnya sudah pasti tergambar kepada kita bahawa ia ditanggung oleh pemunyanya. Timbul persoalan, bagaimana jika sesebuah premis itu pada ketika ia menyebabkan kemudaratan

(5)

berada di bawah jagaan seseorang lain, seperti penyewa, pemegang amanah, pemegang gadaian, atau peminjam. Adakah mereka juga akan bertanggungan?

Penulisan-penulisan ulama Islam dahulu menggunakan beberapa perkataan khusus untuk menggambarkan siapa yang sebenarnya akan bertanggungan jika berlaku sesuatu kemudaratan akibat daripada sesebuah premis. Sebahagian ulama menggunakan perkataan rabb al-dar dan sebahagian ulama lain menggunakan perkataan malik al-al-dar, yang kedua-duanya merujuk kepada pemunya bangunan. Di samping itu, terdapat ulama yang menggunakan perkataan sahib al-ha’it untuk pengertian pemunya premis atau binaan atau bangunan (al-Sarakhsi 1986, 27: 10; Baghdadi 1890: 182; Buhuti 1982, 4: 124; al-Marghinani t.th., 4: 196; Malik ibn Anas 1994, 4: 667).

Apabila diteliti perkataan-perkataan yang telah digunakan oleh para ulama untuk pengertian pemunya, iaitu rabb, malik dan sahib, seharusnya dilihat pula huraian kepada perkataan-perkataan tersebut, apakah ia termasuk juga pemegang gadaian atau pemegang amanah atau penyewa dan sebagainya. Maka, beberapa pernyataan para ulama mazhab Sunni akan dilihat dan dibincangkan.

Imam al-Sarakhsi (w. 483H/1090M) (1986, 27: 10), seorang ulama mazhab Hanafi, mengatakan:

Jika sebuah tembok itu merupakan suatu barang gadaian, diminta kepada pemegang gadaian (supaya meruntuhkan tembok/mengambil tindakan sewajarnya), dia tidak menanggung apa-apa beban tanggungan (akibat daripada tembok itu), kerana dia tidak mungkin meruntuhkannya dan tidak sah membuat tuntutan/perintah kepadanya, dan jika perintah dibuat kepada penggadai, dia bertanggungan, kerana dia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap temboknya itu (iaitu meruntuhkannya)…

al-Baghdadi (1890: 182), juga seorang ulama mazhab Hanafi, mengatakan dalam tulisannya:

Jika terhadap rumah seseorang, maka tuntutan/perintah harus dilakukan kepada pemilik rumah dan jika dalam rumah tersebut terdapat penghuni, seperti peminjam (musta‘ir) atau penyewa (musta’jir), hendaklah mereka membuat permohonan/perintah kepadanya (iaitu pemilik rumah), dan sah permohonan untuk menghilangkan kemudaratan dibuat kepada qadi dan selain daripadanya (iaitu mana-mana pihak berkuasa) apabila tidak terdapat seseorang untuk diberi notis dengan syarat pihak tersebut mempunyai kuasa untuk meruntuhkannya dan mengosongkan ruang udara. Dan orang-orang yang tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan bagi meruntuhkan sesebuah rumah, adalah tidak sah tuntutan/perintah dibuat kepadanya, seperti pemegang gadaian, penyewa, pemegang amanah dan penghuni rumah (sakin al-dar), dan sah perintah dibuat kepada penggadai, kerana dia mempunyai kuasa untuk menebus semula rumahnya…

al-Marghinani (w. 593H/1196M) (T.th., 4: 196) dalam manuskripnya menyatakan:

(6)

Pada dasarnya adalah sah permohonan dilakukan kepada pihak yang mempunyai kuasa untuk meruntuhkan tembok dan melapangkan ruang udara. Pihak yang tidak mempunyai kuasa berbuat sedemikian adalah tidak sah untuk membuat permohonan kepada mereka, seperti pemegang gadaian, penyewa, pemegang amanah dan penghuni rumah, dan adalah sah permohonan dilakukan kepada penggadai, kerana dia mempunyai kuasa berbuat sedemikian dengan cara menebus semula temboknya, dan juga sah kepada pemegang wasiat dan penjaga (bapa dan ibu) anak yatim, kerana mereka (pemegang wasiat dan penjaga kanak-kanak yatim) itu mempunyai hak penjagaan.

Dalam mazhab Maliki, kenyataan berhubung dengan pemunya premis dapat dijelaskan dengan kata-kata berikut:

Aku bertanya: Apakah pendapat engkau apabila sesebuah tembok itu condong, dan di dalam rumah terdapat penghuni yang bukannya pemunya rumah (rabb al-dar) dan rumah itu sebenarnya telah digadai atau disewa, kepada siapa harus dibuat aduan? Aku menjawab: Apabila terdapat pemunya rumah, maka tidak memberi apa-apa erti pengaduan melainkan kepadanya, dan sekiranya dia tidak wujud hendaklah dibawa perkara tersebut kepada pihak berkuasa (sultan), dan tidak memberi apa-apa erti pengaduan dibuat kepada penghuni rumah. Aku bertanya: Adakah ini pendapat Malik? Aku menjawab: Ini adalah pendapatku… (Malik 1994, 4: 667).

Dalam mazhab Hanbali dinyatakan dalam kitab Kashshaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘ seperti berikut:

Jika seseorang mengadu (supaya diruntuhkan sesebuah tembok yang rosak) dan pemunya tembok (sahib al-ha’it) melengah-lengahkannya atau pihak berkuasa melengah-lengahkannya, maka dia (sahib) bertanggungan…, tetapi jika kelengahan itu disebabkan sesuatu keperluan untuk mendapatkan sesuatu alat (seperti jentera), maka tanggungan tidak dibebankan ke atasnya, kerana tidak wujud unsur kecuaian… dan tidak memberi kesan tuntutan dibuat kepada penyewa rumah, peminjam, pemegang amanah dan pemegang gadaian, kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk meruntuhkan tembok (al-Buhuti 1982, 4: 124).

Dalam mazhab Syafie, perkara berkaitan dengan istilah pemunya bangunan tidak jelas dinyatakan, cuma damirnya sahaja disandarkan kepada bangunan, tembok dan sebagainya yang dapat difahami bahawa dia adalah pemunya dan pemilik bangunan. Tidak diterangkan secara lanjut kedudukan tanggungan apabila sesebuah bangunan itu diserahkan kepada pemegang gadaian, pemegang amanah dan sebagainya. Ini dapat dilihat daripada kenyataan di bawah:

Jika sesebuah bangunan yang dibina dalam keadaan stabil itu runtuh selepas ia condong ke atas jalan raya dan mencederakan seseorang atau menyebabkan dia mati, atau merosakkan harta bendanya, maka tiada apa-apa tanggungan ke atasnya (iaitu, pemunya bangunan) mengikut pendapa-apat yang asahh, kerana dia telah membinanya di atas harta miliknya tanpa condong (stabil) dan runtuhnya bangunan itu bukanlah wujud daripada

(7)

perbuatannya sama ada dia cuai memperbaikinya ataupun tidak… al-Adhra‘i berkata: Pendapat itu terpilih, dan pendapat pertama itu tiada perbezaan sama ada dituntut supaya diruntuhkan atau tidak. Jika seseorang meminta diruntuhkan sesebuah bangunan yang tidak condong, tidak wajib diruntuhkannya sepertimana yang dinyatakan dalam kitab al-Rawdah, dan tiada apa-apa tanggungan sesuatu kemudaratan yang wujud daripadanya, kerana ia (bangunan) tidak melampaui daripada hartanya… dan pemunya harta boleh membuat tuntutan kepada pemunya dinding/tembok yang condong (man mal jidaruh) ke arah hartanya supaya diruntuhkan sepertimana tuntutan supaya dihilangkan dahan-dahan pokok yang mengganggu tanahnya... (al-Khatib 1958, 4: 86).

Daripada kenyataan di atas, didapati hanya perkataan pemunya (man) sahaja disebut. Dapat dikatakan bahawa bolehlah diikuti mafhum kenyataan daripada mazhab-mazhab lain dan disamakan dengan kenyataan ini. Maka pemunya sesebuah bangunan itu sahajalah yang boleh diminta supaya mengambil tindakan terhadap sesebuah bangunan, bukannya orang lain dan dia sahaja bertanggungan akibat daripada bangunannya itu.

Begitu juga kenyataan di dalam kitab al-Muhadhdhab yang berbunyi:

Jika seseorang membina tembok di atas tanah kepunyaannya dan tembok itu condong ke arah jalan raya dan runtuh lalu menimpa seseorang dan dia meninggal dunia... pendapat kedua dan ia pendapat Abu Sa‘id al-Istakhri sesungguhnya dia (pemunya bangunan) tidak bertanggungan dan ini adalah pendapat mazhab, kerana dia telah membinanya di atas tanah kepunyaannya dan akibat yang telah berlaku bukanlah daripada perbuatannya, seolah-olah tembok yang runtuh itu dalam keadaan tidak condong (al-Shirazi 1995, 3: 207).

Kenyataan penulis al-Muhadhdhab, iaitu Imam Abu Ishaq al-Shirazi (w. 476H), hanya menyebut pemunya sahaja yang berkaitan dengan kes ini. Dia tidak menyebut pihak-pihak lain. Maka dengan itu dapat dikatakan bahawa sebarang kemudaratan akibat daripada sesebuah bangunan, pemunyanya sahaja yang bertanggungan.

Daripada beberapa kenyataan di atas dapat dikatakan bahawa pemunya dan pemilik sesebuah bangunan sahajalah yang bertanggungan terhadap segala kemudaratan yang disebabkan oleh bangunannya itu. Pemunya dan pemilik ini termasuk juga rakan kongsi, di mana mereka menjadi pemunya bersama. Oleh itu, kaedahnya bagi sesuatu kes kemudaratan yang disebabkan runtuhan sesebuah bangunan, liabiliti atau tanggungan akan dibebankan ke atas pemunya yang sebenar, bukan ke atas orang lain.

Justeru, para ulama menegaskan bahawa pemunya atau sesiapa sahaja yang mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap bangunannya atau premisnya, dia juga hendaklah diminta berbuat demikian oleh pihak tertentu jika didapati bangunannya itu berbahaya kepada orang ramai. Mereka termasuklah pemberi sewa, penggadai,

(8)

rakan kongsi, wasi, penjaga anak yatim, pemberi amanah dan penerima harta warisan.

Bagi kes penerima harta warisan, menjadi sah sesuatu tuntutan dibuat kepada salah seorang ahli waris untuk meruntuhkan bangunan yang diwarisinya. Jika dia tidak mengambil apa-apa tindakan selepas diberi notis, mengikut kaedah istihsan, dia bertanggungan sekadar bahagian warisannya, kerana dia dianggap berkemungkinan (berkemampuan) untuk mengumpulkan ahli waris lain untuk mengambil tindakan terhadap bangunan tersebut. Tetapi mengikut kaedah qiyas, dia tidak bertanggungan, kerana dia hanya salah seorang daripada ahli waris sahaja, sudah pasti dia tidak berkemungkinan (berkemampuan) meruntuhkannya sepertimana dia tidak berkemungkinan (berkemampuan) mendirikannya secara seorang diri. Dia tidak dianggap sebagai muta‘addi. Keadaan sebegini adalah bagi kes notis tidak diberikan kepada semua ahli waris, cuma sebahagiannya sahaja (al-Sarakhsi 1986, 27: 10; al-Marghinani t.th., 4: 197; Qadi Zadah Afandi 1977, 10: 323). Bagi kes ahli waris tidak mampu mengambil tindakan, dia boleh membuat aduan atau permohonan kepada pihak berkuasa (qadi) (al-Marghinani t.th., 4: 197).

Hakikatnya semua pihak yang disebut sebelum ini merupakan pemunya kepada sesebuah bangunan. Oleh itu, pemegang gadaian, penyewa, pemegang amanah, peminjam dan penghuni bangunan tidak boleh diminta untuk mengambil tindakan terhadap sesebuah bangunan, sebab mereka tidak mempunyai hak sedemikian (Ibn Qudamah 1947, 7: 829; Malik ibn Anas 1994, 4: 667; Sarakhsi 1986, 27: 10; al-Baghdadi 1890: 182; al-Marghinani t.th., 4: 196; al-Buhuti 1982, 4: 124).

Bagi kes pemegang wasiat, penjaga kanak-kanak kecil dan penjaga anak yatim, walaupun tuntutan atau pemberian notis dibuat kepada mereka mengenai sesebuah bangunan sebelum kemudaratan berlaku, pembayaran ganti rugi atau pampasan akibat daripada kemudaratan daripada bangunan tersebut diambil daripada harta wasiat, harta benda milik kanak-kanak kecil dan harta anak yatim bukan diambil daripada harta penjaga kanak-kanak tersebut. Ini dapat difahami daripada beberapa kenyataan para ulama seperti di bawah.

Imam al-Sarakhsi (1986, 27: 10) berkata:

Dan jika diminta kepada pemunya rumah, maka di atasnya tanggungan, kerana dia berkuasa meruntuhkannya. Apabila diminta kepada bapa kanak-kanak kecil atau wasi untuk mengambil tindakan dan dia tidak berbuat sedemikian sehingga bangunan itu runtuh dan menyebabkan kemudaratan, maka tanggungan ke atas kanak-kanak, kerana bapa dan wasi kedua-duanya mengambil tempat kanak-kanak tersebut. Sah tuntutan dibuat kepada kedua-duanya dan tuntutan itu seperti tuntutan kepada kanak-kanak itu selepas balighnya…

Dalam al-Hidayah (al-Marghinani t.th., 4: 196-197) kenyataan berkaitan dengan kes ini seperti berikut:

(9)

Sah meminta atau memohon kepada pemberi gadaian… dan kepada wasi, penjaga anak yatim… dan tanggungan adalah pada harta anak yatim, kerana tindakan mereka dianggap seperti tindakannya (anak yatim) (fi‘l

ha’ula’ ka fi‘lih)”.

Dihuraikan perkataan “tindakan mereka dianggap seperti tindakannya” memberi erti tindakan atau perbuatan wasi dan penjaga kanak-kanak adalah seperti perbuatan atau tindakan kanak-kanak itu sendiri. Aduan atau permohonan kepada wasi dan penjaga dikira seperti permohonan kepada kanak-kanak selepas dia baligh. Jika wasi dan penjaga tidak mengambil tindakan terhadap sesebuah bangunan milik kanak-kanak termasuk sisa-sisa runtuhan bangunan itu yang mana mereka berdua bekerja untuk kanak-kanak tersebut, maka tanggungan dibebankan ke atas harta kanak-kanak tersebut (Qadi Zadah Afandi 1977, 10: 322).

Dalam tulisan lain (al-Musili t.th., 5: 47; al-Baghdadi 1890: 182.), kenyataan berkaitan persoalan ini berbunyi:

Sah tuntutan dibuat kepada penggadai, kerana dia mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan dengan cara penebusan kembali barang gadaian dan demikian itu juga bapa, wasi dan ibu, terhadap sesebuah tembok (bangunan) kepunyaan seorang kanak-kanak, kerana tugas mereka melaksanakan tanggungjawab pengawasan ke atas kanak-kanak, dan tanggungan pada harta milik kanak-kanak, kerana perbuatan mereka (bapa, wasi dan ibu) dikira seperti perbuatannya (kanak-kanak) (fi‘l ha’ula’ ka

fi‘lih).

Ringkasnya, dapat dikatakan bahawa jika aduan, tuntutan atau permohonan dibuat berkaitan dengan bangunan milik seseorang dan ia masih di bawah jagaan seseorang, tuntutan tersebut dikira sah apabila dibuat kepada penjaganya. Walau bagaimanapun, jika berlaku sebarang kemudaratan akibat daripada bangunan itu, tanggungan dibebankan ke atas harta kanak-kanak tersebut, bukan ke atas harta penjaganya.

Peruntukan Undang-Undang Sivil Maghribi dan Tunisia

Berkaitan dengan Tanggungan Pemunya Premis atau

Bangunan

Dalam perbincangan ini, Undang-undang Sivil Maghribi dan Tunisia akan dirujuk. Perkara yang akan dirujuk hanyalah seksyen-seksyen yang berkaitan dengan kerosakan yang disebabkan oleh sesebuah premis atau bangunan.

Di dalam seksyen 89 Undang-undang Sivil Maghribi tahun 1912 memperuntukkan bahawa tanggungjawab terhadap sesebuah bangunan tidak hanya dibebankan ke atas pemunya (mālik) bangunan, tetapi juga kepada pihak yang diberi kuasa untuk mengawal selianya (Sayyid Muhammad Amin 1967: 235).

Seksyen tersebut memperuntukkan:

Dituntut pemunya (mālik) bangunan atau sebarang bangunan yang bersambungan pada bangunan lain (supaya menjaganya) daripada

(10)

kemudaratan yang wujud disebabkan runtuh sebahagian daripadanya, kerana lama usia atau cuai penyelenggaraan atau rosak/lemah pada pembinaannya. Dan muncul/wujud demikian itu juga pada kejadian tumbang atau runtuh sesuatu yang dikira sebagai satu bahagian daripada harta tidak alih (‘aqār), seperti pokok, peralatan komponen bangunan dan sebagainya daripada sesuatu sambungan/tambahan yang dikira sebagai harta tidak alih secara khusus. Dan jadilah kejadian ini di atas tanggungan pemunya tanah jika wujud keadaan-keadaan yang berasingan pemilikan tanah.

Dalam keadaan penyelenggaraan bangunan diamanahkan kepada seseorang (shakhs) lain yang bukan pemunyanya sama ada dengan melalui akad, atau melalui hak penggunaan manfaat atau sebarang hak zahir (‘ayni) yang lain, jadilah kejadian di atas tanggungan pihak (shakhs) tersebut.

Dan apabila hak pemilikan dipertikaikan, jadilah kejadian di atas tanggungan pihak/sesiapa (man) yang memiliki (yahuz) bangunan pada waktu kejadian runtuhnya itu.

Undang-undang Sivil Tunisia tahun 1906 di dalam seksyen 97 memperuntukkan:

Pemunya (mālik) rumah atau bangunan secara mutlak bertanggungan terhadap kemudaratan yang wujud daripada runtuhannya atau runtuh sebahagiannya disebabkan lama usianya atau ketiadaan penyelenggaraan atau tidak sempurna pada pembinaannya, dan hukum ini berlaku pada runtuhan sebarang benda yang bersambungan dengan bangunan, misalnya pokok-pokok, mesin-mesin yang bersambungan dengan binaan dan sebagainya yang bersambungan dengan tapak asal disebabkan ia tambahan/sambungan/tempelan, dan apabila tanah dimiliki oleh pemunya dan serpihan-serpihan bangunan dimiliki oleh pihak lain, maka pemunya (mālik) serpihan-serpihan tersebut merupakan pihak yang dituntut terhadap kemudaratan, dan apabila tugas penyelenggaraan bangunan diserahkan kepada seseorang lain bukan pemunya (mālik) yang dipersetujui dengan kontrak atau selainnya seperti diberi hak penggunaan manfaat, maka tanggungan ke atasnya. Dan jika hak pemilikan dipertikaikan, maka tanggungan di atas pihak atau sesiapa (man) yang memilikinya (bangunan itu).

Daripada beberapa peruntukan undang-undang sivil tersebut, di sini dihuraikan lebih lanjut kehendak seksyen-seksyen tersebut berkaitan dengan pemunya dan penjaga bangunan, dan kemudian dibandingkan dengan peruntukan yang telah direkodkan oleh para ulama Islam.

Dalam peruntukan Undang-undang Sivil Tunisia dan Maghribi, jelas didapati perkataan yang digunakan untuk menunjukkan pihak yang bertanggungan terhadap sebarang kemudaratan yang disebabkan oleh sesebuah bangunan adalah mālik kepada tanah yang dibina bangunan di atasnya. Ini bermakna tuan punya tanah adalah pemunya kepada bangunan yang dibina di atasnya. Dapat difahami bahawa kehendak peruntukan ini adalah bersamaan dengan kehendak undang-undang Islam. Oleh itu, pemunya tanah merangkumi rakan kongsi, pemberi

(11)

sewa, penggadai, pemberi amanah dan penerima harta warisan. Kemudian peruntukan undang-undang sivil ini meluaskan lagi pengertian mālik itu kepada dua jenis, iaitu:

a) Seseorang yang diamanahkan untuk menjaga bangunan melalui ikatan kontrak.

b) Seseorang yang diamanahkan untuk menjaga bangunan dengan diberi hak mengambil manfaat daripada bangunan itu.

Jika diteliti kepada kedua-dua bentuk mālik tersebut, seseorang yang diamanahkan untuk menjaga sesebuah bangunan melalui ikatan kontrak dapat dikatakan bertepatan dengan undang-undang Islam. Justeru, termasuklah di dalamnya wasi, penjaga harta anak yatim, penjaga harta orang cacat, penjaga harta kanak-kanak dan nazir wakaf. Tetapi bagi maksud seseorang yang diamanahkan untuk menjaga bangunan dengan diberi hak mengambil manfaat daripada bangunan itu, ia didapati tidak bertepatan dengan kehendak undang-undang Islam. Kehendak kedua-dua undang-undang sivil ini ialah pihak muntafi‘ bertanggungan jika wujud sesuatu kemudaratan daripada bangunan yang dia diberi hak mengambil manfaat daripada bangunan tersebut, tetapi undang-undang Islam tidak memperakuinya.

Jadi, peruntukan kedua-dua undang-undang ini didapati memasukkan pengertian malik secara bercampur di antara yang bertepatan dengan undang-undang Islam dan tidak bertepatan dengan undang-undang Islam. Ini mungkin pengaruh daripada undang-undang sivil negara-negara Arab lain yang menyebabkan ia terjadi sedemikian.

Kesimpulan

Daripada perbincangan yang lalu dapat dikatakan bahawa Islam sangat mengambil berat dengan sebarang kemudaratan atau kerosakan yang berlaku tanpa mengira ia berlaku akibat daripada perbuatan manusia sendiri, haiwan atau lain-lain termasuk bangunan. Perbincangan tentang tanggungan yang disebabkan oleh runtuhan bangunan bukanlah suatu perkara asing dalam undang-undang Islam, malah ia telah dibincangkan oleh semua mazhab dalam Islam termasuk mazhab Syiah.

Lantaran pentingnya hal ini ditangani, maka ia perlu diawasi dan dikawal selia melalui penguatkuasaan undang-undang. Oleh itu, didapati kebanyakan undang-undang sivil negara-negara Arab memperuntukkan seksyen khusus berkenaan dengan bangunan dan kemudaratan yang diakibatkan olehnya dan juga pihak yang seharusnya dibebankan tanggungan. Seksyen-seksyen yang berkaitan dapat dilihat dalam Undang-undang Sivil Tunisia dan Maghribi.

Apabila diteliti dalam undang-undang Islam mengenai pihak yang bertanggungan terhadap kemudaratan yang diakibatkan oleh sesebuah bangunan, didapati Islam menetapkan ke atas pemunya sebenar sesebuah bangunan yang akan bertanggungan terhadap segala tort bangunannya. Bukannya pihak lain yang tidak mempunyai hak pemunyaan.

(12)

Hal ini termasuklah bagi kes bangunan yang diawasi dan dikawal selia oleh seseorang yang dipertanggungjawabkan untuk tujuan tersebut, pemunyanya yang sebenar tidak mempunyai keahlian yang cukup untuk menjaganya, sama ada kerana masih kecil, gila, atau cacat. Jika bangunan yang diawasi dan dikawal selia itu menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, pihak yang mengawasi dan menjaganya bertanggungan, tetapi tanggungan itu dikembalikan kepada pemunya yang sebenar. Segala ganti rugi diambil daripada harta benda pemunya yang sebenar. Manakala dalam kes harta wakaf, selepas sesuatu harta itu diwakafkan, maka tanggungan kemudaratan yang berlaku daripada bangunan yang diwakafkan itu beralih kepada nazir wakaf. Ini kerana hak pemilikan dan pemunyaan telah beralih daripada pemunya sebenar kepada pihak yang dipertanggungjawabkan untuk menjaganya, iaitu nazir wakaf. Cuma dalam undang-undang Islam tidak disebut secara jelas bagaimana kedudukan sesebuah bangunan itu jika ia diserahkan atau diamanahkan kepada seseorang atau pihak tertentu untuk menjaga dan mengawal selianya bagi suatu tempoh tertentu melalui suatu kontrak. Bagi pendapat penulis, jika suatu kontrak dilakukan, termasuk tanggungjawab dan bebanan tanggungan segala kemudaratan yang mungkin berlaku, maka kontrak itu sah dan pihak yang mempersetujuinya akan bertanggungan bagi segala akibat daripada bangunan tersebut. Melainkan perkara tersebut tidak disebut atau dipersetujui dalam akad perjanjian.

Jika ditinjau kepada undang-undang sivil yang telah dibentangkan, dapat dikatakan bahawa Undang-undang Sivil Tunisia dan Maghribi memperuntukkan pengertian “pemunya” kepada sesiapa yang mempunyai “kuasa bertindak” dan “kuasa mendapat manfaat” untuk menentukan bebanan tanggungan. Maka pihak yang boleh dibebankan dengan tanggungan mengikut undang-undang tersebut adalah pemunya asal bangunan atau sesiapa sahaja yang mempunyai kuasa tersebut, melainkan penyewa dan peminjam. Oleh itu didapati kehendak undang-undang sivil tersebut terdapat sebahagian pihak yang dikenakan bebanan tanggungan bertepatan dengan kehendak undang-undang Islam, manakala sebahagian yang lain tidak bertepatan dengannya.

Ringkasnya, undang-undang Islam lebih menumpukan bebanan tanggungan ke atas pihak yang mempunyai hiyāzah qānūniyyah daripada hiyāzah māddiyyah. Ini bermakna jika berlaku sesuatu kemudaratan bersabit dengan sesebuah bangunan, pemunya yang tercatat namanya di dalam geran pemilikan bangunan itu perlu dikenal pasti untuk dibebankan tanggungan, bukan pihak lain. Tetapi mengikut Undang-undang Sivil Maghribi dan Tunisia, hiyāzah māddiyyah juga diambil kira, selain daripada hiyāzah qānūniyyah. Ini menyebabkan pihak yang dipertanggungjawabkan itu termasuk muntafic sesebuah bangunan.

(13)

Nota Hujung

1 Dalam bahasa Inggeris disebut ‘premise’ dan dalam bahasa Arab disebut al-bina’

atau al-ha’it. al-Ha’it pada asal maknanya adalah dinding, tetapi di sini ia juga boleh diertikan sebagai binaan yang sama kedudukannya sepertimana bangunan dan sebagainya. Di dalam seksyen 3, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, “premis” ditafsirkan sebagai termasuklah mesuaj, rumah, bangunan, tanah, tenemen, ismen dan hereditamen dari apa-apa pemegangan, sama ada terbuka atau terkepung, sama ada dibina atasnya atau tidak, sama ada awam atau persendirian, dan sama ada disenggara atau tidak di bawah pihak berkuasa berkanun. Manakala ‘bangunan’ ditafsirkan sebagai termasuklah apa-apa rumah, pondok, bangsal atau kepungan beratap, sama ada digunakan bagi kediaman manusia atau selainnya, dan juga apa-apa tembok, pagar, pelantar, pementasan, get, tiang, pilar, paling, bingkai, papan dinding, tempat lancar, limbungan, dermaga, tembok sambut, jeti, pentas mendarat atau jambatan, atau apa-apa binaan, tupang atau asas yang berkaitan dengan yang disebut di atas.

2 Berdasarkan kepada prinsip qiyas mengikut pendapat ini memberi erti bahawa

pemunya tidak dianggap sebagai muta‘addi, kerana binaan atau bangunan itu dibina di atas tanah miliknya dan tindakan memohon supaya ia diruntuhkan tidak akan membebankan apa-apa liabiliti ke atasnya. Lihat Shams al-Din al-Sarakhsi (1986, 27: 9).

Rujukan

Ahmad ibn Yahya ibn al-Murtada. 1947. al-Bahr al-Zakhkhar al-Jami‘ li Madhahib ‘Ulama’ Amsar. Kaherah: Matba‘at Sunnah al-Muhammadiyyah wa Matba‘at al-Sa‘adah.

‘Ali Haydar. T.th. Durar al-Hukkam Sharh Majallat al-Ahkam. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Ansari, Abu Yahya Zakariyya. 1994. Fath al-Wahhab. Beirut: Dar al-Fikr.

Baghdadi, Abu Muhammad ibn Ghunaym. 1890. Majma‘ al-Damanat. Kaherah: al-Matba‘ah al-Khayriyyah bi al-Jamaliyyah. Buhuti, Mansur ibn Yunus. 1982. Kashshaf Qina‘ ‘an Matn

al-Iqna‘. Beirut: Dar al-Fikr.

Dimashqi, Abu ‘Abd Allah. 1987. Rahmat Ummah fi Ikhtilaf al-A’immah. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Hattab, Abu ‘Abd Allah. 1992. Mawahib al-Jalil li Sharh Mukhtasar Khalil. Beirut: Dar al-Fikr.

Ibn Farhun, Burhan Din. 1884. Tabsirat Hukkam fi Usul Aqdiyah wa Manahij Ahkam. Kaherah: Matba‘ah al-Bahiyyah.

Ibn Hazm, Abu Muhammad ‘Ali ibn Ahmad ibn Sa‘id. T.th. al-Muhalla. Beirut: al-Maktab al-Tijari.

Ibn Qudamah. 1947. al-Mughni. Kaherah: Dar al-Manar.

al-Kasani, ‘Ala’ al-Din Abi Bakr ibn Mas‘ud. T.th. Bada’i‘ al-Sana’i‘. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

(14)

al-Khatib, Muhammad al-Sharbini. 1958. Mughni al-Muhtaj. Kaherah: Sharikat Maktabat wa Matba‘at Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh.

Malik ibn Anas. 1994. al-Mudawwanah al-Kubra. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Marghinani, Burhan Din. T.th. Hidayah Sharh Bidayat al-Mubtadi. T.tp.: al-Maktabah al-Islamiyyah.

Muhammad Fawzi. 1966. al-Mas’ūliyyah al-Taqsiriyyah. Ph.D Tesis, Universiti al-Qahirah.

Musili, ‘Abd Allah ibn Mahmud. T.th. Ikhtiyar li Ta‘lil al-Mukhtar. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Nawawi, Muhy al-Din Abu Zakariyya Yahya ibn Sharaf. T.th. Minhaj Talibin wa ‘Umdat Muftin. Kaherah: Maktabat al-Thaqafah.

Qadi Zadah Afandi. 1977. Nata’ij Afkar fi Kashf Rumuz wa al-Asrar (Takmilat Fath al-Qadir). Beirut: Dar al-Fikr.

Qasim ibn ‘Isa ibn Naji. 1982. Sharh Ibn Naji ‘ala Matn al-Risalah Ibn Abi Zayd al-Qayrawani. Beirut: Dar al-Fikr.

al-Sarakhsi, Shams al-Din. 1986. al-Mabsut. Beirut: Dar al-Ma‘rifah. Sayyid Muhammad Amin. 1967. al-Mas’ūliyyah al-Taqsīriyyah. Ph.D

Tesis, Universiti al-Qahirah.

al-Sha‘rani, ‘Abd al-Wahhab. 1940. al-Mizan al-Kubra. Kaherah: Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladuh.

Shirazi, Abu Ishaq. 1995. Muhadhdhab. Beirut: Dar Kutub al-‘Ilmiyyah.

Undang-undang Malaysia, Akta 133, Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974.

Zuhayli, Wahbah Mustafa. 1416H/1995M. Mas’ūliyyah Nāshi’ah ‘an Ashyā’, dalam Majallat Majma‘ Fiqhi al-Islāmi. Makkah: Rābitat al-‘Ālam al-al-Islāmi.

Referensi

Dokumen terkait

Apabila Pimpinan Perusahaan tidak bisa/berhalangan hadir dapat di wakilkan oleh Pengurus yang namanya tercantum dalam Akte Perusahaan dengan membawa surat Kuasa/ Tugas bermaterai

Mandor Pemasangan Rangka Atap Baja Ringan (TS 056) 1

Mohammad Ibn Ishaaq stated of Wahb Ibn Munbah said that when Allah took Kalih Ibn Yofra (Jephtha) after Joshua, Ezekiel Ibn Buzi succeeded him as the prophet to the Israelites..

[r]

Dengan ini diberitahukan bahwa setelah diadakan penelitian oleh Kelompok Kerja Konstruksi IV (empat) ULP Kabupaten Lampung Tengah menurut ketentuan – ketentuan yang berlaku,

Kontrak Pekerjaan Yang Sedang Dilaksanakan (jika ada) Demikian disampaikan atas perhatiannya diucapkan terima

Seluruh asli dokumen penawaran Saudara yang telah diunggah melalui LPSE

Kelengkapan Dokumen yang harus Saudara bawa pada saat acara dimaksud terdiri atas: - asli Dokumen Pengadaan sebagaimana yang telah diunggah pada LPSE Kota Medan; - asli