International Journal of Social Science Research (IJSSR) eISSN: 2710-6276 | Vol. 4 No. 4 [December 2022]
Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr
BAHASA SARKASTIK DALAM LAMAN SOSIAL FACEBOOK
(SARCASTIC LANGUAGE IN FACEBOOK SOCIAL SITES)
Ezzah ‘Afifah Nasrudin1*, Norazlina Mohd Kiram2, Zuraini Jusoh3 dan Rozita Che Rodi4
1 2 3 4 Jabatan Bahasa Melayu, Faculti Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia,
Serdang, MALAYSIA
*Pengarang penghubung: [email protected]
Article Information:
Article history:
Received date : 30 September 2022 Revised date : 8 November 2022 Accepted date : 28 November 2022 Published date : 7 December 2022
To cite this document:
Nasrudin, E. A., Mohd Kiram, N., Jusoh, Z., & Che Rodi, R. (2022).
BAHASA SARKASTIK DALAM LAMAN SOSIAL FACEBOOK. International Journal of Social Science Research, 4(4), 19-29.
Abstrak: Kajian ini menyingkap pengetahuan baharu dari aspek gaya penyampaian sarkastik dalam laman sosial Facebook. Hal ini demikian kerana bahasa sarkastik telah mengalami perubahan dari sudut penyampaiannya disebabkan berlakunya perkembangan teknologi Internet. Impaknya, bahasa sarkastik telah mengalami permasalahan dari sudut kekeliruan bentuk (Alva, 2016) sehingga bahasa sarkastik telah menjadi satu bahasa yang agak rumit untuk difahami (Penny, 2018). Justeru, kajian ini dijalankan adalah untuk merungkaikan gaya penyampaian sarkastik dalam laman sosial Facebook secara rinci. Bagi merungkai permasalahan tersebut, reka bentuk kajian kualitatif dengan sokongan kaedah analisis kandungan telah digunakan.Pengumpulan data dijalankan bermula bulan Julai 2017 hingga Disember 2019 dan data terkumpul adalah sebanyak 120 status #sarkastik. Data ini dianalisis mengikut Model Gibbs (2000). Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat enam bentuk yang digunakan dalam menyampaikan sarkastik, iaitu ironi (56%), agresif (7.5%), humor (16%), persoalan retorik (15%), hiperbola (3%) dan kenyataan tidak benar (2%).
Kata Kunci: Bahasa Sarkastik, Gaya Bahasa Sarkastik,
#sarkastik, Laman Sosial Facebook, Model Gibbs.
Abstract: This study reveals new knowledge from the aspect of sarcastic style in the Facebook social site. This is because sarcastic language has undergone changes from the point of view of delivery due to the development
1. Pengenalan
Dunia yang sedang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini telah memberikan impak besar dalam komunikasi. Hal ini demikian kerana masyarakat dunia telah beralih kepada penggunaan teknologi sebagai alat komunikasi. Lanjutan daripada itu, laman media sosial telah dilihat sebagai revolusi terkini yang dapat menghubungkan antara individu dengan individu lain tanpa mengira sempadan (Fatimah & Ali, 2015). Bertitik tolak daripada kenyataan tersebut, jelas menunjukkan bahawa laman media sosial ini telah membuka ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat dunia. Impaknya, pertembungan bahasa dan budaya luar telah berlaku. Hal ini demikian kerana masyarakat bahasa sering menjadikan laman media sosial sebagai satu platform untuk menzahirkan perasaan, pemikiran, idea mahupun kritikan.
Jika diteliti dengan lebih mendalam tentang skop bahasa dalam laman media sosial, bahasa sarkastik adalah salah satu bahasa yang dominan digunakan oleh masyarakat bahasa. Atas faktor ini, sarkastik dianggap sebagai satu fenomena biasa dalam laman media sosial (Samaneh, 2016). Sarkastik secara umumnya dikenali sebagai bahasa sindiran tajam sehingga ucapan yang diungkapkan itu mampu mengguris hati pendengar (Keraf, 2007). Lazimnya, ucapan sarkastik ini disampaikan secara terang-terangan, tanpa berlapik (Kreuz, 2018). Akan tetapi, disebabkan berlakunya evolusi bahasa sarkastik dalam era globalisasi ini, maka ucapan sarkastik dikenali sebagai ucapan yang mengandungi pertentangan makna sebenar dan tujuan disampaikan adalah untuk menyindir sasarannya (Ashwin, 2015). Senario pada masa ini juga telah memaparkan bahawa ironi, agresif, humor, hiperbola, persoalan retorik dan kenyataan tidak benar dijadikan sebahagian daripada teknik penyampaian sarkastik (Gibbs, 2000).
of Internet technology. As a result, sarcastic language has experienced problems from the point of confusion of form (Alva, 2016) so that sarcastic language has become a rather complicated language to understand (Penny, 2018). Therefore, this study was conducted to analysis the style of sarcastic delivery in Facebook social media in detail. In order to unravel the problem, a qualitative research design with the support of content analysis methods was used. Data collection was carried out from July 2017 to December 2019 and the data collected was as much as 120 #sarcastic statuses. This data was analysis according to the Gibbs Model (2000). Overall, the findings of the study show that there are six forms used in delivering sarcasm, namely irony (56%), aggressiveness (7.5%), humour (16%), rhetorical questions (15%), hyperbole (3%) and statements that are not true (2%).
Keywords: Sarcastic language, Sarcastic language style,
#sarcastic, Facebook social site, Gibbs model.
Berdasarkan beberapa pandangan ahli bahasa ini jelas menunjukkan bahawa bahasa sarkastik telah mengalami proses transformasi dari sudut penggayaannya. Justeru, kajian ini amat penting dijalankan kerana dapat memberikan pengetahuan tentang gaya penyampaian sarkastik yang digunakan oleh masyarakat pada era ini. Jika pengetahuan ini dapat disampaikan kepada masyarakat bahasa, tidak mustahil ia akan dapat membantu untuk mengenali ciri-ciri bahasa sarkastik kini, dan sekali gus dapat memperlihatkan kelainan gaya yang digunakan oleh masyarakat pada era ini.
Gaya Bahasa Sarkastik dalam Kalangan Masyarakat
Secara umumnya, kajian berkaitan ironi dalam ucapan sarkastik telah lama dijalankan oleh pengkaji tempatan dan luar negara. Hal ini demikian kerana kajian bahasa yang melibatkan ucapan secara implisit (ironi) ini dilihat semakin mencabar untuk dikenal pasti oleh ahli bahasa dan para pengkaji. Justeru, banyak pendekatan dan kaedah yang diaplikasikan oleh para pengkaji ini bagi mengenal pasti gaya penyampaian sarkastik.
Dalam kajian yang melibatkan gaya bahasa sarkastik, kebanyakan kajian terdahulu lebih tertumpu kepada gaya sindiran kesat. Perkara ini jelas kelihatan apabila terdapat pendapat daripada ahli bahasa atau para pengkaji yang menyatakan bahawa ciri utama bagi gaya bahasa sarkastik lebih bersifat pada celaan dan kesat. Misalnya, Tarigan (2009) menyatakan bahawa bahasa sarkastik merupakan bahasa sindiran yang tajam sehingga mampu menyakitkan hati pendengar. Selain itu, bahasa tersebut sememangnya berfungsi untuk mengejek, menghina, dan mencemuh. Berdasarkan fungsi inilah yang menyebabkan bahasa sarkastik menjadi sebahagian daripada bahasa yang telah melanggar prinsip kesantunan bahasa dan sekali gus dapat menimbulkan emosi yang negatif seperti marah, tertekan dan hina (Muhsyanur, 2016).
Raja Nur Afiqah, Noor Sulastry Yurni, Mohd Azizuddin, dan Haslina (2018) telah meneroka satu kajian yang berkaitan dengan sarkastik politik yang berbentuk “Internet Trolling” di Malaysia. Berdasarkan hasil kajian tersebut, pengkaji menyedari bahawa sarkastik lebih cenderung digunakan dalam isu-isu politik dan penggunaan sarkastik dikatakan lebih ke arah negatif yang dilihat berdasarkan tema-tema yang muncul dalam trolling politik. Sebagai contoh, “Jwpn2 yg kita anggap bodoh tu la sbnrnya yg dpt menyelamatkn bila di mhkamah...
Bg kita mcm bodoh, tp bg pengamal undg2, tu la jwpn yg terbaik” dan “Sekor bermewah2 dgn duit rakyat, sekor dpt rumah besar dgn hrga murah, rakyat jgk yg merana, kos sara hidup mahal,nak bli rmh sekangkang kera pun mahal...”. Berdasarkan contoh ini, jelas memaparkan pendebatan secara kritikal dalam kalangan masyarakat terhadap isu pembelian rumah banglo yang melibatkan seorang menteri. Menerusi isu tersebut, pengkaji merungkaikan makna dengan merujuk tema. Sebagai contoh, istilah seperti “orang biasa” dan “kita” telah merujuk tema (rakyat). Rakyat tidak berpuas hati dengan kenyataan yang disampaikan oleh seseorang yang merujuk kepada tema (Lim Guan Eng). Menerusi kajian ini, didapati bahawa para pengkaji hanya menemukan bentuk sarkastik secara agresif sahaja. Perkara ini menunjukkan bahawa sarkastik lebih ke arah negatif dalam penggunaannya.
Seterusnya, Alva (2016) telah mengkaji bahasa sarkastik menerusi rancangan siri televisyen House MD daripada siaran Amerika Syarikat. Beliau telah meneliti ucapan sarkastik melalui lima episod rancangan tersebut yang bermula dari episod pertama hingga episod lima.
Menerusi episod-episod tersebut, sebanyak 100 data telah terkumpul melalui ucapan yang disampaikan oleh watak utama sahaja. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini, ialah semantik dan pragmatik. Penelitian ini menghasilkan beberapa penemuan, iaitu beliau menemui dua bentuk sarkastik, iaitu secara halus dan agresif. Perkara ini dibuktikan menerusi
contoh yang diberikan seperti ucapan sarkastik secara halus, “How long do you think you can ignore them?” (Seorang doktor yang telah ditegur oleh rakannya). Seterusnya, ucapan dalam bentuk agresif, “Clever, but also pathetic” (Seorang pekerja yang ditegur oleh pengarahnya).
Sementara itu, Siti Norsyahida dan Nor Azwan (2017) telah meneliti “Jenis Bahasa Sindiran dalam Ujaran Vlog”. Kajian ini melibatkan 30 video yang dirakam dan dimuatnaik oleh seorang vlogger iaitu Mat Luthfi ke dalam laman sesawang Youtube. Pengkaji telah menggunakan Kerangka Keraf ini dalam mengenal pasti bahasa sindiran yang digunakan dalam 30 video yang telah dikumpulkan sejak tahun 2011 hingga 2014. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat tiga jenis sindiran yang digunakan dalam video tersebut.
Pertama, sindiran ironi merujuk kepada bahasa sindiran yang diungkapkan secara halus, kedua, sindiran sarkastik yang merujuk kepada sindiran kesat dan tajam, dan ketiga sindiran sinisme yang merujuk kepada sindiran yang berbentuk kesangsian. Antara ketiga-tiga jenis sindiran ini, sindiran sinisme telah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 86% penggunaannya, diikuti dengan sindiran ironi 10% dan akhir sekali adalah sarkastik 6%.
Berdasarkan kajian sarkastik dalam kalangan masyarakat ini dapat disimpulkan bahawa kebanyakan pengkaji telah memperlihatkan pelbagai kaedah dan pendekatan yang dianggap relevan pada masa ini. Jika dilihat daripada pengkajian barat lebih menjurus kepada aspek yang lebih khusus dengan penerapan metodologi saintifik yang agak kompleks untuk difahami. Bagi pengkajian tempatan pula, telah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan.
Namun demikian, kajian-kajian terkini tentang bahasa sarkastik khususnya bentuk penyampaiannya masih lagi berkurangan. Oleh hal yang demikian, kajian bahasa sarkastik khususnya dalam laman sosial Facebook dirasakan perlu bagi mengetahui ciri-ciri sebenar bahasa sarkastik pada masa ini, di samping dapat mempelbagaikan bahan kajian.
Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk menganalisis gaya penyampaian sarkastik dalam laman sosial Facebook.
Kaedah Penyelidikan
Kajian ini telah dijalankan ke atas bahasa sarkastik dalam laman sosial Facebook yang diberikan tumpuan pada aspek gaya penyampaian sarkastik. Pemilihan laman sosial Facebook telah dijadikan sebagai bahan kajian kerana laman tersebut telah memperoleh peratusan tertinggi dalam kalangan pengguna (Nizam, 2016) dan ia dijadikan sebagai satu platform oleh masyarakat untuk mengemukakan sesuatu isu dan mesej tertentu menerusi bahasa tersebut.
Sebanyak 120 status yang mempunyai tanda pagar sarkastik (#sarkastik) dalam laman sosial Facebook telah terkumpul dengan bermula pada bulan Julai 2017 sehingga Disember 2019.
Bagi memperkukuhkan lagi kajian ini, pengkaji akan menggunakan teknik analisis kandungan dan pendekatan yang digunakan dalam penyelidikan ini, ialah pendekatan Model Gibbs (2000).
Model Gibbs (2000)
Gibbs (2000) telah menyatakan bahawa sarkastik sebagai bahasa sindiran yang disampaikan dalam enam bentuk, seperti ironi (menggunakan kata yang positif; sindiran halus dalam situasi yang negatif), agresif (sindiran kesat dan tajam bagi tujuan untuk mencela atau mencemuh), humor (sindiran yang lucu sehingga mencuit hati pendengar), hiperbola (sindiran yang melampau dengan menggunakan ayat yang berlebih-lebihan), persoalan retorik (persoalan yang dibuat secara sindiran), dan kenyataan tidak benar (sindiran yang disampaikan dengan
merendahkan sesuatu perihal yang besar). Tujuan penggunaan bahasa sarkastik ini adalah untuk menyindir, mengkritik, mencela, mengejek, dan sebagainya. Gibbs (2000) menyatakan lagi bahawa setiap kategori yang disampaikan itu sememangnya mengandung makna yang tersirat.
Analisis Dapatan dan Perbincangan Kajian
Berdasarkan analisis yang dijalankan, didapati bahawa sarkastik dapat disampaikan menerusi enam bentuk, iaitu ironi, agresif, humor, hiperbola, persoalan retorik, dan kenyataan tidak benar. Perkara ini dapat dibuktikan seperti pada Rajah 1 di bawah:
Rajah 1: Gaya Penyampaian Sarkastik dalam Laman Sosial Facebook
Berdasarkan analisis yang dijalankan ke atas 120 status sarkastik dalam laman sosial Facebook, didapati bahawa keenam-enam bentuk mengikut Model Gibbs (2000) telah ditemui penggunaannya. Jadual 5 menunjukkan 120 status sarkastik dalam laman sosial Facebook mengikut klasifikasi yang digariskan dalam Model Gibbs (2000). Keseluruhannya, bentuk yang memperoleh kekerapan tertinggi sebanyak 113 data (56%), ialah bentuk ironi berbanding dengan bentuk yang lain seperti humor yang mencatatkan kekerapan sebanyak 32 data (16%), diikuti persoalan retorik yang telah memperoleh kekerapan sebanyak 30 data (15%), manakala agresif pula direkodkan sebanyak 16 data (7.5%), dan hiperbola adalah sebanyak 6 data (3%) serta kenyataan tidak benar telah dicatatkan kekerapannya sebanyak 4 data (2%) sahaja.
Bertitik tolak daripada hasil dapatan kajian ini, jelas membuktikan bahawa bentuk ironi adalah bentuk yang paling dominan digunakan ketika menyampaikan sarkastik dengan mencatatkan.
Perkara ini disokong oleh Gibbs (2000) dengan menyatakan bahawa sarkastik sememangnya tidak akan terpisah dengan bentuk ironi kerana ia adalah sifat semula jadi bahasa tersebut.
56%
8%
16%
3% 15%
2%
Gaya Penyampaian Sarkastik dalam Laman Sosial Facebook
Ironi Agresif Humor Hiperbola Persoalan Retorik Kenyataan Tidak Benar
(i) Gaya Ironi
Penyampaian sarkastik lazimnya menggunakan wacana ironi. Dalam kategori ini, Gibbs (2000) menyatakan bahawa pengguna menyampaikan sarkastik dengan menggunakan ucapan yang positif bagi mencerminkan niat negatif. Perkara ini dapat dilihat berdasarkan contoh teks sarkastik yang diperoleh dalam laman sosial Facebook.
(i) Konteks : Ayat Sarkastik :
Kerajaan negeri membenarkan pesta arak
“Tahniah kerajaan negeri Selangor yang up S101 (25/9/2017) to date”.
(ii) Konteks : Ayat Sarkastik : S3 (2/2/2019)
Isu penurunan saham di Malaysia
“Terima kasih BN. Ini semua salah Najib.
Bercukurlah Nak!”.
(iii) Konteks : Ayat Sarkastik : S84 (20/8/2017)
Tragedi kemalangan basikal lajak
“Bagus... Syabas...buat selalu. Semoga meraih Pingat Emas suatu hari nanti...”.
Berdasarkan data (S101 -25/9/2017) telah memaparkan sarkastik secara ironi. Pengesanan gaya ironi dapat dikenal pasti melalui penggunaan kata “Tahniah” merujuk makna ucapan selamat atau ucapan yang ditujukan kepada seseorang yang membenarkan keadaan itu berlaku. Namun, ucapan tersebut disampaikan dalam keadaan yang negatif. Perkara ini dapat dilihat menerusi Rajah 1.
Rajah 1: Struktur Mengesan Sentimen Positif “Tahniah” dalam Situasi Negatif “Pesta Arak”
Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa sarkastik secara ironi sememangnya bercanggah dengan konteks sebenar. Sungguh pun bahasa yang disampaikan bersifat halus, namun maksud sebenar ucapan tersebut mampu memberikan kesan yang mendalam kepada pembaca. Perkara ini dapat dilihat menerusi data yang diperoleh seperti berikut:
(i) Konteks : Seksaan bagi orang Munafiq Ayat Sarkastik
S79
(13/11/2017)
: “Khabarkanlah berita gembira kepada orang Munafiq bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih. An-Nisa:138”.
(ii) Konteks : Hukum agama Islam
Ucapan Sarkastik
Kata utama:
Tahniah Pesta Arak
Sentimen Positif Sentimen Negatif
Ayat Sarkastik S81
(18/11/2017)
: “Seks selamat dibenarkan asalkan tak mengandung. Arak bereh asalkan tak mabuk. Rasuah okay asalkan namanya komisyen atau duit kopi. Tak tutup aurat okay asalkan hati baik. Masuk neraka okay asalkan bakar tak hangus!”
(iii) Konteks : Masalah disiplin pelajar Ayat Sarkastik
S76
(18/12/2017)
: “Saya guru... hari tu saya tengok budak sekolah memBULI, hisap rokok, mencuri dekat koperasi sekolah, hisap gam lumba motor dan kacau murid perempuan... saya buat donno (tak tahu) je... ekekek... 1 tindakan yang bijak!”
Namun begitu, terdapat juga ucapan sarkastik yang disampaikan secara harfiah. Dengan erti kata lain, ucapannya mudah untuk difahami tanpa melibatkan analisis makna yang mendalam.
Namun, disebalik ucapannya itu tersembunyi niat yang sebenar, iaitu menyindir sasarannya.
Perkara ini dapat dilihat berdasarkan data di bawah:
(i) Konteks : Jamu punca penyakit kronik Ayat Sarkastik
S28
(21/2/2018)
: “Ala x mkn jamu pun blh sakit jgk kan”
(ii) Konteks : Perlawanan bola sepak Malaysia dan Indonesia
Ayat Sarkastik S109
(27/8/2017)
: “Aku rasa kalau lawan dengan Jepun, sure takde masalah ni... sebab penyokong Jepun akan tolong bersihkan stadium sebelum balik...”
(iii) Konteks : Pemilihan pemimpin Ayat Sarkastik
S68 (5/9/2018)
: “Kesimpulan daripada peristiwa...
Peristiwa perjuangan pada PARTI atau RAKYAT... Jika pada PARTI mampu mengabaikan RAKYAT!, Jika pada RAKYAT mampu mengabaikan PARTI!”
(ii) Gaya Agresif
Gibbs (2000) telah menerangkan bahawa sarkastik secara agresif dianggap sebagai bentuk ironi paling kasar atau kesat. Lazimnya, penyampaian bahasa sarkastik secara agresif ini dianggap sebagai sesuatu yang negatif sifatnya. Hal ini demikian kerana penggunaannya adalah bertujuan untuk memarahi seseorang dengan kata-kata kesat dan dilemparkan kepada sasarannya secara terang-terangan. Misalnya, “Ekonomi sekarang macam siput! Yang tadbir pun level budak2... macam takde muka2 baru je... memang lahabau betul!” (S119 – 3/11/2017).
Ucapan tersebut disampaikan secara terang-terangan. Selain itu, terdapat juga data yang menunjukkan bahawa sarkastik secara agresif ini dapat disampaikan dalam situasi yang positif.
Misalnya, situasi “guru kafa dinaikkan gaji”, maka ucapan yang disampaikan, “Kurang ajar
ADUN yang aku undi hari tu... Berani dia sentuh guru KAFA?!” (S54 – 17/5/2018).
Berdasarkan contoh yang diberikan ini, jelaslah bahawa sarkastik secara agresif dapat diaplikasikan dalam situasi negatif mahupun positif (Gibbs, 2000).
(iii) Gaya Humor
Sarkastik secara humor merujuk pada ucapan sindiran yang disampaikan secara jenaka (Gibbs, 2000). Dalam kategori ini, Gibbs menyatakan bahawa penggunaannya adalah berfungsi untuk mengejek dan mengusik individu tertentu dengan cara mengajuk atau meniru percakapan seseorang. Hal ini bertujuan untuk memperoleh keseronokan dalam perbualan. Tambahan lagi, beliau menyatakan bahawa humor boleh ditemui dalam bentuk ironi, agresif, hiperbola, dan persoalan retorik. Dengan penerapan humor dalam kesemua bentuk ini, maka ucapan yang disampaikan oleh penutur mudah juga untuk diterima oleh sasarannya. Bagi menguatkan lagi penyataan tersebut, terdapat beberapa contoh yang ditemui dalam dataPerkara ini dapat dilihat berdasarkan dapatan data yang diperoleh dalam laman media sosial Facebook.
(i) Ayat Sarkastik S8 (3/12/2019)
: Kategori:
Ironi
“18 kali orang minta kongsikan tips jadi hensem, kali ke 19 yang minta pun saya tak bagi juga”.
(ii) Ayat Sarkastik S62
(15/5/2018)
: Kategori:
Agresif
“Siasat sekali kenapa sabun Dettol pembasmi kuman hanya 99% je, kenapa x genapkan jadi 100% trus, buto berkira sangat apehal???”
(iii) Ayat Sarkastik S7
(15/10/2019)
Kategori:
Hiperbola
“Kalau sembang babi pun boleh terbang...”
(iv) Ayat Sarkastik S111
(6/7/2017)
: Kategori:
Persoalan Retorik
“Klik2 dapat duit...syoknyer main forex. Korang tak main lagi ke? Kahkahkah..”.
(iv) Gaya Hiperbola
Hiperbola dikategorikan sejenis bahasa ironi yang disampaikan secara berlebih- lebihan daripada maksud sebenar. Sarkastik secara hiperbola ini disifatkan oleh Gibbs (2000), ialah suatu bahasa yang disampaikan secara sindiran dan menekankan penerangan dengan lebih mendalam, seperti “Sebelum dicipta alam dan Adam, Tuhan mencipta kalimah “Thunami Melayu”. Maka serulah kalimah itu, nescaya kamu akan menangi PRU14” (S24- 21/4/2018).
Selain itu, penyampaiannya juga lebih ke arah menjengkelkan atau menyakitkan hati jika ucapannya disampaikan dalam konteks negatif. Sebagai contoh, “Kalau sembang babi pon boleh terbang” (S7-15/10/2019). Tambahan lagi, Gibbs (2000) telah menyatakan bahawa ucapan sarkastik secara hiperbola ini dapat dikesan melalui penggunaan kata penguat seperti yang terdapat pada ayat, “Saya sangat tidak bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan kepada 62 tahun. Saya syorkan agar dikekalkan jawatan seumur hidup” (S47- 9/3/2018).
(v) Gaya Persoalan Retorik
Pernyataan retorik merupakan soalan yang diajukan tanpa mengharapkan jawapan daripada pendengar atau jawapan yang diberikan itu sememangnya tidak dapat dijangkakan. Dengan erti lain, persoalan yang dinyatakan adalah tidak relevan dengan konteks (Gibbs, 2000; Dzemal Spago 2020). Lazimnya, persoalan tersebut disampaikan bagi tujuan untuk menekankan sesuatu perkara atau kesan akan sesuatu. Perkara ini dapat dilihat menerusi data yang diperoleh seperti di bawah.
(i) Konteks : Isteri Perdana Menteri boros berbelanja.
Ayat Sarkastik S59 (18/5/2018)
: “Woi Malaysian...kome ni dah nape haa?
Dah giler ek? Nape dengki sangat? Dia menabung sejak kecil lagi tau, kecik kecik dah pandai menabung”.
(ii) Konteks : Penulis meluahkan ketidakpuasan hati terhadap DAP atas bantuan yang diberikan ke atas bangsanya sendiri, iaitu Melayu.
Ayat Sarkastik S104 (27/7/2017)
: “Kurang ajar DAP. Mana boleh lebihkan Melayu??? Lebihkan bangsa sendiri lah!”
(iii) Konteks : Penipuan dalam perdagangan Forex.
Ayat Sarkastik S111 (6/7/2017)
: “Klik2 dapat duit...syoknyer main forex.
Korang tak main lagi ke? Kahkahkah..”.
Namun begitu, terdapat juga pernyataan sarkastik yang ditemui dalam bentuk persoalan retorik ini disampaikan secara terang-terangan tanpa berlapik. Penyampaian sarkastik dalam bentuk persoalan retorik ini bertujuan untuk menyampaikan matlamat seperti menekankan sesuatu perkara. Justeru, pernyataan sarkastik ini memudahkan pembaca atau pendengar untuk mentafsirkan niat penutur, iaitu menyindir sasarannya. Misalnya:
(i) Ayat Sarkastik S12 (24/5/2019)
: “Masih ujud lagikah “mazhab” RM50 penuh trolli???”
(ii) Ayat Sarkastik S36 (17/1/2018)
: “Ini je level kau? Kamon laa... kt Malaysia ni ramai je jadi Harley Quinn lepas tanggal tudung.
(iii) Ayat Sarkastik S113 (15/7/2017)
: “...Bila kerajaan kenakan cukai bagi menampung kebajikan rakyat di makinya kerajaan balik... semua nak free je...
korang ingat duit datang dari langit???”
(vi) Gaya Kenyataan Tidak Benar
Gaya kenyataan tidak benar ini menerangkan perihal cara penutur menyampaikan sarkastiknya secara halus daripada keadaan yang sebenar (Gibbs, 2000). Gaya yang dibuat itu kelihatan seperti memperlekehkan atau meremehkan sesuatu keadaan yang berat atau besar. Sebagai contoh, “Tu dia... dia nak free ja... Tapi kan Tuan Rafizi, depa takut hang leceh buat ching chai ja.” (S73 – 24/5/2018). Menurut Gibbs (2000), sarkastik secara kenyataan tidak benar adalah satu-satunya kategori yang tidak mempunyai unsur humor di dalam ucapannya. Perkara ini dapat dibuktikan menerusi ucapan, “Mari kita enjoy... Carlsberg sudah halal” (S4 – 15/10/2019). Selain itu, bentuk sarkastik secara kenyataan tidak benar ini juga melibatkan percanggahan dari sudut fakta (Gibbs, 2000). Misalnya, ucapan “Wawasan 2020 suatu pandangan jauh, bukan impian malah kenyataan... Bersama kita jayakan” (S1-31/12/2019) ini disampaikan dengan paparan imej kereta terbang.
Kesimpulan
Secara umumnya, kajian ini dijalankan untuk meneliti gaya penyampaian sarkastik dalam laman sosial Facebook. Tujuannya adalah untuk melihat dan memahami fenomena yang berkaitan dengan perubahan bahasa sarkastik yang melibatkan aspek tersebut mengikut aliran zaman di negara ini. Perubahan ini berlaku ekoran daripada komunikasi yang melangkaui sempadan disebabkan teknologi yang semakin maju. Impaknya, penyerapan budaya luar telah meresap dalam amalan masyarakat Melayu dari sudut bahasa. Perkara ini jelas kelihatan apabila pengkaji meneliti kajian-kajian lepas yang relevan dengan kajian ini. Hasilnya terdapat perkembangan dari sudut penyampaian bahasa tersebut. Atas perkembangan bahasa tersebut, telah membuatkan kajian ini dijalankan untuk melihat sejauhmana perubahan bahasa sarkastik dari aspek gaya bahasa sarkastik.
Berdasarkan dapatan kajian yang dijalankan ini, maka jelaslah bahawa gaya penyampaian sarkastik dapat disampaikan dalam enam bentuk, iaitu ironi, agresif, humor, hiperbola, pernyataan retorik dan kenyataan tidak benar (Gibbs, 2000). Selain itu, pengucapan sarkastik sememangnya mengandungi pertentangan makna sebenar. Menerusi bentuk sarkastik dalam laman sosial Facebook didapati terdapat enam bentuk yang ditemui, iaitu ironi, agresif, humor, hiperbola, persoalan retorik dan kenyataan tidak benar. Namun, hasil kekerapan yang digunakan oleh masyarakat bahasa, ialah bentuk ironi. Dapatan kajian ini bertepatan dengan hasil kajian yang dilakukan oleh Gibbs (2000) yang mendapati bahawa bentuk ironi sememangnya sebati dengan bahasa sarkastik. Tambahan lagi, beliau menyatakan bahawa bentuk sarkastik secara kenyataan tidak benar merupakan bentuk sarkastik yang pasif. Ini bersesuaian dengan dapatan kajian ini apabila melihat bentuk sarkastik secara kenyataan tidak benar telah memperoleh peratusan terendah berbanding bentuk yang lain. Sementara itu, bahasa sarkastik juga boleh disampaikan secara terangan (Marshall, 2013). Melalui kajian sarkastik ini juga pengkaji dapat membuktikan bahawa bahasa sarkastik ini telah melalui perkembangannya yang sebelum ini dilihat kajian-kajian tempatan hanya cenderung pada penggunaan bahasa sarkastik secara agresif (kesat) sahaja.
Rujukan
Alva Septiantya. (2016). Bentuk, Makna dan Tujuan Tuturan Sarkasme Pada Serial Televisi House Md Episode 1 – 5 Musim 1. Yogyakarta: Universitas Gadjah Madah.
Ashwin Rajadesingan. (2015). Sarcasm Detection on Twitter: A Behavioral Modeling Approach. In Proceedings of the 19th ACM SIGKDD International Conference on Knowledge Discovery and Data Mining, pages 41–49.
Carvalho P., Wallace, Hao L. dan Mario J. S. (2016). Modelling Context with User Embeddings for Sarcasm Detection in Social Media. NESC-ID Lisboa, Instituto Superior T´ecnico, Universidade de Lisboati School, University of Texas at Austin.
Fatimah Akmal & Ali Salman. (2015). Partisipasi politik belia secara ‘online’ melalui ruang demokrasi maklumat media baru. Jurnal Komunikasi Malaysian Journal of Communication Jilid 31(1) 2015: 81-100.
Gibbs, R. W. (2000). Irony in Language and Thought: A Cognitive Science Reader. New York:
Cambridge University Press.
Keraf, G. (2007). Diksi dan gaya bahasa. Jakarta: PT Gramedia Pustaka.
Kreuz, R. J. (2018). The use of verbal irony: Cues and constraints. Metaphor: Implications and applications, 23-38.
Marshall, A. (2013). The Practice of Satire in England. 1658–1770. JHU Press.
Muhsyanur Shahrir. (2016). Telaah Sarkasme Pada Judul Berita Dalam Surat Kabar Palopo Pos. Seminar Nasional Prasasti II “Kajian Pragmatik dalam Pelbagai Bidang”, Indonesia.
Nadali S. (2016). Sarcasm detection model based on tweets’ strength using hashtags and non- hashtags sentiment analysis. Journal of Computational and Theoretical Nanoscience 24(2):1362-1365.
Nizam Ismail. (2016). The Impact of Social Media on Students’ Academic Performance A Case of Malaysia Tertiary Institution. International Journal of Education, Learning and Training. Vol.1. No.1. Pp.14-21.
Raja Nur Afiqah Raja Zulkifli, Noor Sulastry Yurni Ahmad, Mohd Azizuddin Mohd Sani, &
Haslina Muhamad. (2018). Satira Politik: Analisis Internet Trolling di Malaysia.
Malaysian Journal of Communication Jilid 34(2) 2018: 223 242.
Siti Norsyahida Mohd A. Rashid & Nor Azuwan Yaakob. (2017). Jenis Bahasa Sindiran Dalam Ujaran Vlog. International Journal of Language Education and Applied Linguistics (IJLEAL), Universiti Malaysia Pahang.
Tarigan, H. G. (2009). Pengajaran Gaya Bahasa. Bandung: Angkasa.