Bicara Buku
Idea-idea Pendidikan Berkesan Al-Ghazali & Konfusius (Penerbit UKM 2010)
Karya Dr. Abdul Salam Yussof
Pada: Selasa, 3 Mei 2011 Jam: 10.00 pagi
Pembicara buku:
Dr. Abdul Salam Yussof (Pengarang buku)
Prof. Zakaria Stapa (Ahli Sidang Pengarang Universiti) En. Hasrom Haron (mantan Pengarah Penerbit UKM)
Moderator:
Dr. Roosfa Hashim
(Pengerusi Jawatankuasa Penerbitan Pusat Pengajian Umum, UKM)
Idea-Idea Pendidikan Berkesan Al-Ghazali Dan Konfusius
Oleh Abdul Salam Yussof Penerbit UKM (2010)
Buku ini menganalisis persoalan epistemologi daripada dua tokoh. Al-Ghazali dan Konfusius tokoh pemikir besar yang telah banyak memberi sumbangan pemikiran mereka dalam kemajuan ilmu sejak zaman berzaman hingga kini. Pemikiran mereka masih lagi menjadi sumber rujukan untuk menghadapi cabaran zaman kontemporari. Pelbagai idea besar ini tidak pernah terhenti daripada terus berkembang. Permasalahan yang dikaji menyentuh soal falsafah ilmu, dan matlamat pendidikan serta metodologi pengajaran, dan pembelajaran yang berkesan sebagai alternatif memperlengkap sistem pendidikan moden yang lebih menekankan teknologi maklumat, dan komunikasi. Para pelajar kini menghadapi krisis rohani, dan nilai-nilai moral yang kurang menyenangkan banyak pihak dalam masyarakat. Kajian ini bersandarkan karya besar Al-Ghazali, Ihya Ulum Al-Din dan Lun Yu, iaitu himpunan ajaran Konfusius yang dibukukan oleh para pengikut selepas kematiannya. Kekuatan kerohanian mesti diutamakan untuk mencapai tahap kecemerlangan para pelajar yang menuntut ilmu. Keyakinan, keberanian, dan etika murni mesti ditanam kepada setiap kanak-kanak sejak peringkat awal perkembangan.
Kesedaran rohaniah tercapai kematangannya pada peringkat yang terakhir dalam proses pendidikan. Ini timbul setelah latihan yang cukup untuk membersih jiwa serta daya fikiran sudah menjadi matang, dan dapat menerima kebenaran rohani. Nilai moral perlu diberikan keutamaan terhadap jenis ilmu yang lain. Dengan menanamkan nilai positif dan nilai murni, maka seseorang dapat berperanan, dan bertindak dengan lebih rasional dan objektif dalam menangani masalah.
Krisis moral dan konflik nilai yang boleh memberi kesan buruk kepada kehidupan individu dan masyarakat dapat dikurangkan sekiranya setiap orang dapat menggunakan akal fikiran dengan lebih rasional, objektif dan bertimbang rasa. Buku ini penting dalam melihat dan membandingkan sumbangan kedua-dua tokoh dunia daripada dua tamadun yang berbeza.
ABDUL SALAM YUSSOF, Ph.D adalah pensyarah kanan di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bidang pengkhususan beliau adalah tamadun Islam dan tamadun Asia, kemahiran berfikir dan hiburan etnik.