International Journal of Social Science Research (IJSSR) eISSN: 2710-6276 [Vol. 4 No. 2: June 2022]
Journal website: http://myjms.mohe.gov.my/index.php/ijssr
CABARAN PENGOPERASIAN BAS MINI DI KOTA KINABALU DALAM TEMPOH PANDEMIK COVID-19
(THE CHALLENGES OF THE MINI BUS OPERATION IN KOTA KINABALU DURING THE COVID-19 PANDEMIC
PERIOD)
Harifah Mohd Noor1* dan Hazlee Jirip2
¹ Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah, MALAYSIA
² Pusat Pengajian Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah, MALAYSIA
*Pengarang penghubung: [email protected]
Article Information:
Article history:
Received date : 23 May 2022 Revised date : 19 June 2022 Accepted date : 20 June 2022 Published date : 30 June 2022
To cite this document:
Mohd Noor, H., & Jirip. H. (2022).
CABARAN PENGOPERASIAN BAS MINI DI KOTA KINABALU DALAM TEMPOH PANDEMIK COVID-19.
International Journal of Social Science Research, 4(2), 170-182.
Abstrak: Penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia menyebabkan berlakunya kemerosotan ekonomi yang mendadak termasuklah sektor pengangkutan awam. Salah satunya adalah perkhidmatan bas mini antara sektor yang terjejas dalam tempoh pandemik, sama ada dari sudut permintaan atau penggunaanya. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk menilai cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas mini di Kota Kinabalu, Sabah dalam tempoh penularan penyakit pandemik Covid-19. Metadologi kajian yang digunakan adalah kaedah kualitatif yang melibatkan 15 informan yang terdiri daripada pengusaha bas mini di Kota Kinabalu. Perisian ATLAS.ti 8 serta teknik analisis tematik diaplikasikan dalam menganalisis data kajian.
Hasil kajian mendapati terdapat empat tema utama iaitu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), Persaingan, Penggunaan Teknologi Digital dan Kepercayaan Pengguna yang menjadi cabaran utama pengusaha bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik. Cabaran dalam sektor pengangkutan awam darat ketika pandemik Covid-19 merupakan aspek yang penting untuk dinilai kerana, sektor ini turut memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan ekonomi setempat mahupun negara ini.
Kata kunci: covid-19, bas mini, pengangkutan awam, Kota Kinabalu, cabaran pandemik covid-19.
1. Pengenalan
Keberkesanan perkhidmatan pengangkutan awam merupakan aspek yang amat penting untuk dinilai dan menjadi salah satu kayu pengukur kepada tahap kemajuan serta kualiti hidup masyarakat di sesebuah tempat mahupun negara (Deyas & Woldeamanuel, 2020).
Pengangkutan awam darat adalah turut memainkan peranan yang amat penting dalam peningkatan kualiti hidup dari sudut mobliti dan tahap ketersampaian masyarakat bandar mahupun luar bandar (Seo & Nam, 2019). Selain itu, perkhidmatan pengangkutan awam darat juga adalah signifikan dalam peningkatan taraf sosio-ekonomi dalam kalangan syarikat, pemegang saham, dan individu serta turut memainkan peranan terhadap keseimbangan ekosistem alam sekitar (Sun & Cui, 2018).
Pengoperasian perkhidmatan pengangkutan awam darat mengalami tekanan disebabkan oleh penularan Covid-19 yang berlaku pada akhir disember 2019. Virus Covid-19 atau juga dikenali sebagai Koronavirus yang berasal daripada Koronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk 2 (SARS-Cov-2) telah diiktiraf sebagai penyakit pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 mac 2020 (World Health Organization, 2020). Penularan Covid-19 memberikan impak dan permasalahan yang besar terhadap sektor pengangkutan awam bukan sahaja dari sudut permintaan malahan dari aspek pengoperasiannya (De Souza & Mátrai, 2022). Pengoperasian perkhidmatan pengangkutan awam terbatas dan mengalami banyak cabaran disebabkan oleh penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kebanyakan negara di Eropah mahupun Asia termasuk negara kita sendiri iaitu Malaysia.
Abstract: The global spread of the Covid-19 pandemic has led to a severe economic slowdown, particularly in the public transportation sector. One of them is the minibus service between the sectors affected during the pandemic period, either in terms of demand or consumption. Therefore, this study aims to assess the challenges faced by the minibus operators in Kota Kinabalu during the Covid-19 pandemic. The research methodology used is a qualitative approach involving 15 informants composed of minibus operators in Kota Kinabalu. The ATLAS.ti 8 software and thematic analysis techniques were applied to analyze the study data. The study found that there are four main themes, which are Compliant with Standard Operating Procedures (SOP), Competition, Use of Digital Technology and Consumer Trust, has become the main challenge for minibus operators at Kota Kinabalu during the pandemic period.
The challenges in the land transportation sector during the Covid-19 pandemic are an important consideration to assess because, this sector also plays a significant role in the development of the local and national economies.
Keywords: Covid-19, minibus, public transportation, Kota Kinabalu, challenges Covid-19 pandemic.
Penetapan SOP seperti tempoh masa beroperasi, penggunaan pembayaran secara digital, penetapan had kapasiti penumpang, dan perubahan dari aspek pengoperasian (Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2020), menyebabkan banyak isu dan cabaran yang berlaku dalam kalangan syarikat atau pengusaha perkhidmatan ini. Keadaan ini menyebabkan penurunan pendapatan yang mendadak dalam kalangan syarikat dan pihak berkepentingan akibat penularan Covid-19. Menurut laporan akhbar, Berita Harian Online, (2020), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara 0.1 peratus hingga 4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan wabak Covid-19.
Kajian ini adalah memfokuskan kepada cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas mini di Kota Kinabalu Sabah dalam tempoh pendemik Covid-19. Terdapat beberapa fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang difokuskan dalam penyelidikan ini iaitu Fasa 1 sehingga Fasa 7 yang mana bermula pada 18 Mac sehingga 31 Ogos 2020 (Shahir Adnan, 2020).
Lanjutan itu, cabaran yang dihadapi oleh sektor perkhidmatan awam darat terutamanya perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu adalah wajar untuk dinilai secara lebih mendalam di peringkat nasional. Hal ini kerana, sektor pengangkutan awam darat adalah antara sektor yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara melalui peningkatan KDNK atau Gross Domestic Product (GDP) (Kementerian Pengangkutan Malaysia, 2019).
2. Metodologi Kajian
Kajian ini mengaplikasikan pendekatan kualitatif dengan menggunakan temubual semi- berstruktur di kawasan kajian iaitu Kota Kinabalu, Sabah. Teknik temubual semi-berstruktur dipilih kerana, penyelidik dapat membina soalan tambahan yang berkaitan, serta mampu mendalami proses temubual yang dijalankan (Merriam, 1998). Manakala, bagi teknik persampelan yang digunakan adalah persampelan bertujuan iaitu memfokuskan kepada pengusaha yang juga sebagai pemandu bas mini. Seramai 15 informan telah dipilih untuk sampel kajian ini, dimana informan menjawab soalan yang diajukan oleh penyelidik mengikut panduan soalan temu bual yang disediakan berdasarkan objektif yang telah ditetapkan. Lanjutan itu, perisian ATLAS.ti 8 dan kaedah analisis tematik digunakan dalam menganalisis serta mempersembahkan dapatan kajian. Analisis tematik adalah berkaitan dengan proses mengenal pasti dan analisis pola makna atau tema serta merupakan alat yang boleh digunakan untuk menjimatkan kos dan fleksibel untuk penyelidikan yang menggunakan pendekatan kualitatif (Braun & Clarke 2006).
3. Sorotan Literatur Perkhidmatan Bas Mini
Perkhidmatan bas mini secara umumnya hanya terdapat di dunia ketiga atau negara yang sedang membangun seperti Indonesia, Kenya dan negara-negara Afrika Utara (Cervero &
Golub, 2007). Walaupun perkhidmatan bas mini dikategorikan sebagai pengangkutan yang tidak formal namun ianya masih mempunyai laluan yang tetap berdasarkan peraturan atau koperasi yang berkaitan. Kebiasanya perkhidmatan bas mini menjalankan pengoperasian di kawasan yang tidak mempunyai sistem pengangkutan awam yang sistematik atau pengangkutan awam formal (Cervero & Golub, 2007). Namun begitu, di negara Malaysia khususnya negeri Sabah, perkhidmatan bas mini dikategorikan sebagai pengangkutan formal kerana pengusaha perkhidmatan ini berdaftar di bawah Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah.
Perkhidmatan pengangkutan bas mini mula diperkenalkan pada tahun 1975 dan ditamatkan pada tahun 1998 di Malaysia terutamanya di ibu negara. Bas mini merupakan pengangkutan utama di ibu kota sekitar pada tahun 1970 sehingga 1980 kerana ianya dianggap pengangkutan awam yang paling murah pada ketika itu (Walters, 1979). Pengangkutan awam seperti bas mini merupakan pengangkutan yang penting bagi golongan masyarakat yang tidak mempunyai kenderaan persendirian untuk bergerak dan memindahkan barangan dari satu tempat ke tempat yang lain (Harifah et al., 2016). Di Sabah khususnya Kota Kinabalu, perkhidmatan bas mini masih lagi dominan sehingga kini terutamanya bagi kawasan pinggir bandaraya Kota Kinabalu kerana perkhidmatan pengangkutan awam yang formal seperti bas berhenti-henti masih lagi tidak beroperasi secara menyeluruh dan terdapat kawasan yang tidak mempunyai akses perkhidmatan bas berhenti-henti (Saravanan et al., 2020).
Perkhidmatan bas mini di Sabah, kebanyakannya dioperasikan secara persendirian dengan menggunakan van, namun terdapat juga pengusaha yang menyewakan bas mereka kepada individu (pemandu) untuk menjalankan perkhidmatan mereka. Perkhidmatan bas mini mempunyai kapasiti sebanyak 12 penumpang bagi satu perjalanan (trip) (Harifah et al., 2016). Manakala bagi laluan perkhidmatan bas mini khususnya di Kota Kinabalu, ianya tidak mempunyai laluan yang tetap namun mempunyai jarak lingkungan perkhidmatan iaitu 50 km atau perkhidmatan hanya boleh dijalankan dalam daerah yang sama (Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, n.d.). Walaupun begitu, jarak ini tertakluk kepada kawasan perkhidmatan yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah. Ciri fizikal perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu adalah menggunakan van putih dengan kadar tambang bagi setiap satu perjalanan (trip) bagi bas mini yang mempunyai penghawa dingin adalah 20 sen per kilometer, manakala bagi perkhidmatan bas mini yang tidak mempunyai penghawa dingin, kadar tambang yang ditetapkan oleh LPKP Sabah adalah 18 sen per kilometer (Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, n.d.).
Impak dan Cabaran Perkhidmatan Pengangkutan Awam Dalam Tempoh Pandemik Covid-19
Penurunan terhadap penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam turut berlaku secara mendadak di China. Penurunan penggunaan yang berlaku adalah sehingga 5.9 peratus dalam tiga suku pertama tahun 2020 yang melibatkan 1955 Yuan per kapita (Zhang & Tong, 2021).
Penurunan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam disebabkan oleh penularan Covid- 19 serta gangguan terhadap piskologi dan kesan trauma terhadap penularan virus ini. Selain itu, masyarakat di negara China juga kebanyakannya beralih kepada pengangkutan persendirian seperti kereta, motorsikal dan basikal atau berjalan kaki untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.
Selain itu, situasi yang sama turut berlaku di United States, yang mana berlakunya penurunan yang tinggi terhadap penggunaan perkhidmatan awam sehingga mencapai 75 peratus, menurut maklum balas daripada responden dalam kajian yang dilakukan adalah tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam dalam tempoh pandemik. Hanya kurang daripada 10 peratus daripada responden yang menyatakan bahawa mereka tidak khuatir untuk menggunakan perkhidmatan awam walaupun dalam tempoh pandemik (Parker et al., 2021).
Tambahan itu, penurunan perkhidmatan pengangkutan awam turut berlaku di tiga wilayah Sweden yang mana mencatatkan penurunan daripada 40 peratus sehingga 60 peratus (Jenelius & Cebecauer, 2020).
Di Ghana, pengguna perkhidmatan pengangkutan awam secara puratanya tidak mematuhi peraturan atau SOP iaitu penggunaan pelitup muka (face mask) di tempat awam dan pengangkutan awam. Ini disebabkan oleh Ghana pada ketika itu mengalami kekurangan bekalan pelitup muka, selain daripada kuasa beli penduduk Ghana adalah rendah disebabkan kualiti hidup yang rendah. Selain itu, tahap kesedaran terhadap penggunaan pelitup muka juga amat rendah menjadikan peningkatan kes jangkitan yang mendadak di Ghana (Dzisi &
Dei, 2020). Ini menjadi cabaran utama yang harus diatasi oleh kerajaan Ghana dalam memastikan pematuhan terhadap polisi pencegahan penyakit berjangkit dapat diatasi di negara tersebut.
Pengaplikasian terhadap penggunaan digital dalam perkhidmatan pengangkutan awam adalah amat diperlukan serta wajar diaplikasikan dalam tempoh pandemik Covid-19. Aspek yang perlu untuk diaplikasikan adalah dari sudut pembayaran secara digital atau pembayaran secara cashless. Pertukaran wang kertas mempunyai risiko tinggi untuk berlakunya penularan jangkitan dalam kalangan pengguna serta pekerja perkhidmatan pengangkutan awam.
Gardner (2020), menyatakan bahawa virus Covid-19 merebak dengan pantas akibat penggunaan wang kertas dan syiling dalam segala transaksi yang dilakukan sama ada di pasar raya, pengangkutan awam dan sebagainya. Selain itu, Thomas et al., (2008), menekankan bahawa sesetengah virus, terutamanya yang berkaitan dengan selsema manusia, mempunyai potensi untuk bertahan selama beberapa hari pada wang kertas.
4. Dapatan dan Perbincangan Kajian
Penularan Covid-19 yang berlaku di negara ini telah banyak memberikan impak yang negatif terhadap pengoperasian perkhidmatan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu, Sabah. Hasil analisis dapatan kajian mendapati bahawa terdapat empat tema cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha bas mini di Kota Kinabalu seperti mana dipaparkan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Tema Cabaran Perkhidmatan Bas Mini di Kota Kinabalu Dalam Tempoh Pandemik COVID-19
Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP)
Penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dilaksanakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberikan impak yang tinggi terhadap pengoperasian perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu. Penetapan SOP seperti had kapasiti penumpang, had masa bekerja, pembayaran tanpa tunai (Cashless) dan penggunaan MySejahtera
mempengaruhi sedikit-sebanyak rutin pengoperasian dalam kalangan pengusaha bas mini.
Penetapan SOP telah memberikan cabaran kepada pengusaha bas mini terutamanya terhadap pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara. Rajah 2 adalah tema dan sub-tema bagi cabaran pengoperasian bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik. Dalam tema cabaran pematuhan SOP, cabaran yang dihadapi oleh pengusaha bas mini dapat dilihat dari aspek kesukaran untuk beroperasi. Manakala, pengguna perkhidmatan ini turut menghadapi cabaran untuk mematuhi SOP kerana kurang pengetahuan terhadap SOP dan terdapat juga segelintir pengguna tidak patuh terhadap SOP yang telah ditetapkan.
Rajah 2: Sub Tema Cabaran Pengusaha Bas Mini di Kota Kinabalu Terhadap Pematuhan SOP
Antara cabaran pengusaha bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik Covid-19 adalah menghadapi kesukaran untuk beroperasi. Hal ini kerana, mereka perlu menyediakan keperluan untuk pelaksanaan dan pematuhan SOP sebelum mereka memulakan perjalanan untuk bekerja. Hasil dapatan kajian mendapati, terdapat informan menyatakan bahawa mereka sukar untuk beroperasi kerana wajib mematuhi SOP sebagai syarat untuk mereka memulakan perkhidmatan iaitu mengangkut dan menurunkan penumpang. Antara SOP yang menyukarkan operasi mereka adalah seperti yang dinyatakan oleh informan 3 dan informan 6.
“Oh, SOP ini pun macam bikin susah juga kami memandu ni, sebab mau kasi sedia itu la ini la. Macam itu kasi jarak tempat duduk, mau kasi tape dia, supaya nampak jarak, itu bikin scan suhu, itu mahal o, tapi mau ada itu semua, kalau tida kena saman o, haha.”
(Informan 3,)
“Macam itu kebenaran operasi tu kan, kami tunggu LPKP punya pengumuman dulu baru buli operasi. Lagi itu, macam perlu kasi sedia, tempat tulis nama, sukat suhu badan, kasi jarak di van, mau ada itu semua baru buli jalan. Macam masuk kedai juga ba kan.”
(Informan 6,) Keadaan ini menyukarkan pengusaha bas mini untuk beroperasi kerana mereka terikat dengan SOP yang telah ditetapkan. Selain itu, kos penyediaan SOP yang diperlukan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pengusaha bas mini dan ini menyebabkan peningkatan kos operasi mereka. Keadaan ini memberikan tekanan terhadap kumpulan pengusaha bas mini di Kota Kinabalu disebabkan peningkatan kos operasi, ditambah lagi dengan penurunan permintaan terhadap perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik Covid-19.
Selain daripada kesukaran untuk beroperasi, cabaran pengusaha bas mini juga adalah dari aspek pelaksanaan SOP yang telah ditetapkan. Hal ini kerana, terdapat segelintir pengguna tidak mematuhi SOP sebelum dan semasa menggunakan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu. Antara SOP yang seringkali tidak dipatuhi oleh pengguna adalah seperti, tidak memakai pelitup muka (face mask) dengan betul, tidak merekodkan nama dengan menulis atau mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum menaiki bas serta tidak mengimbas suhu badan. Senario ini meningkatkan lagi kesukaran pengusaha bas mini untuk beroperasi serta ianya meningkatkan bebanan kerja mereka.
Tambahan itu, terdapat risiko yang dihadapi oleh pengusaha bas mini iaitu dikenakan denda atau kompaun sekiranya penumpang mereka tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Jika ini berlaku, ianya memberikan kerugian yang tinggi terhadap pengusaha bas mini dan penumpang itu sendiri. Selain itu, peningkatan risiko jangkitan kepada pemandu dan penumpang bas mini adalah tinggi jika terdapat penumpang yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN ketika menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Situasi seperti ini, sudah semestinya meningkatkan tekanan terhadap pengusaha bas mini, namun ianya perlu diatasi kerana cabaran ini turut memberikan impak yang negatif kepada mereka jika tidak dibendung dengan langkah yang lebih efisien dan sistematik.
Lanjutan itu, terdapat juga pengguna perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu yang mengalami kesukaran untuk mematuhi SOP kerana kurang pengetahuan terhadap SOP yang ditetapkan. Analisis dapatan kajian turut mendapati bahawa terdapat pengguna yang tidak berniat untuk tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hal ini kerana mereka tidak mengetahui kaedah penggunaan aplikasi MySejahtera untuk mendaftar masuk (check in) sebelum menaiki perkhidmatan bas mini. Pengguna yang mempunyai kurang pengetahuan terhadap SOP adalah terdiri daripada golongan warga emas atau lebih berumur yang kurang mahir dalam menggunakan telefon pintar (smart phone) serta tidak celik huruf. Selain itu, terdapat juga informan yang menyatakan bahawa mereka terpaksa membantu golongan warga emas atau golongan yang lebih berumur untuk menulis nama dalam buku rekod bagi memastikan mereka berdaftar sebelum perjalanan dimulakan. Situasi ini sudah semestinya meningkatkan bebanan kerja pemandu bas mini kerana perlu memastikan SOP yang ditetapkan, dipatuhi dengan betul oleh penumpang bagi memastikan kelancaran pada setiap perjalanan yang dilakukan.
Persaingan
Penularan Covid-19 di Malaysia bukan sahaja mengganggu rutin pengoperasian perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu, namun antara cabaran lain yang dihadapi oleh pengusaha bas mini adalah dari aspek persaingan yang semakin tinggi untuk mendapatkan penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas mini dalam tempoh pandemik. Rajah 3 memaparkan sub-tema persaingan diantara perkhidmatan bas mini dengan perkhidmatan pengangkutan yang lain iaitu perkhidmatan van sapu (tanpa permit), perkhidmatan e-hailing iaitu Grab dan Maxim serta Teksi.
Rajah 3: Persaingan Di Antara Perkhidmatan Bas Mini dan Perkhidmatan Pengangkutan Lain
Persaingan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik Covid-19 semakin meningkat ekoran daripada perubahan pola dan penurunan jumlah pergerakan masyarakat dari satu tempat ke tempat yang lain. Hal ini menyebabkan persaingan diantara perkhidmatan bas mini dan bas tanpa permit semakin tinggi. Hasil analisis kajian mendapati bahawa, informan menyatakan perkhidmatan van sapu memberikan saingan yang tinggi kepada pengusaha bas mini di Kota Kinabalu. Keadaan ini semakin merungsingkan apabila perkhidmatan van sapu menggunakan tempat menunggu bas mini sebagai tempat mereka untuk menjalankan operasi.
Keadaan ini turut menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan pengusaha bas mini disebabkan oleh pihak yang mengoperasikan perkhidmatan bas tanpa permit menjalankan operasi mengambil dan menurukan penumpang di tempat mereka. Selain itu, pengusaha bas mini juga merasa tertindas kerana perkhidmatan van sapu tidak mempunyai permit yang sah untuk beroperasi daripada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP). Ini memberikan cabaran dan tekanan terhadap pengusaha bas mini kerana mereka kekurangan permintaan disebabkan oleh persaingan yang tinggi dan ini akan mempengaruhi aliran pendapatan mereka, lebih-lebih lagi dalam tempoh pandemik.
Selain daripada van sapu (tanpa permit), perkhidmatan E-hailing iaitu Grab turut menjadi saingan terhadap perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu. Hasil analisis dapatan kajian mendapati bahawa, dalam tempoh pandemik terdapat pengguna perkhidmatan bas mini beralih kepada perkhidmatan Grab kerana pengguna lebih selesa dan rasa selamat ketika menggunakan perkhidmatan ini. Stigma sesetengah pengguna yang merasakan bahawa perkhidmatan bas mini kurang selamat untuk digunakan dalam tempoh pandemik Covid-19 memberikan cabaran yang tinggi terhadap pengusaha bas mini untuk mengekalkan pengguna perkhidmatan mereka. Selain itu, kebolehsampaian yang tinggi ketika menggunakan perkhidmatan Grab turut menjadi faktor pengguna beralih kepada menggunakan perkhidmatan ini berbanding dengan menggunakan perkhidmatan bas mini.
Lanjutan itu, pekhidmatan E-hailing iaitu Maxim dan Teksi turut menjadi pesaing perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik. Persaingan diantara perkhidmatan bas mini dan e-hailing (Maxim) serta teksi telah berlaku sebelum tempoh penularan Covid-19 lagi. Namun demikian semasa tempoh penularan penyakit pandemik Covid-19, pola pergerakan masyarakat berubah iaitu tidak bergerak dengan kerap (duduk di rumah) dan hanya bergerak jika perlu, berbanding dengan sebelum penularan Covid-19.
Keadaan ini memberikan persaingan terhadap permintaan diantara perkhidmatan bas, e- hailing (Maxim) dan teksi. Senario ini, meningkatkan cabaran kepada pengusaha bas mini
dalam memastikan perkhidmatan mereka terus relevan dalam tempoh pandemik serta mendapat permintaan seperti biasa.
Penggunaan Teknologi Digital
Rajah 4: Sub Tema Cabaran Penggunaan Teknologi Digital Dalam Perkhidmatan Bas Mini di Kota Kinabalu
Penularan Covid-19 yang berlaku di negara Malaysia memberikan kesedaran bahawa pengaplikasian terhadap teknologi digital dalam perkhidmatan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu adalah amat diperlukan. Penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh MKN seperti penggunaan aplikasi MySejahtera dan transaksi elektronik seperti Touch n Go serta pembayaran secara atas talian atau pembayaran tanpa tunai digalakkan dalam perkhidmatan pengangkutan awam bagi mengekang berlakunya penularan Covid-19 dalam sektor pengangkutan awam. Namun demikian, pengusaha bas mini di Kota Kinabalu mengalami kesukaran untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan mereka. Rajah 4 merupakan sub tema bagi cabaran penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu.
Pengusaha bas mini di Kota Kinabalu mengalami kesukaran untuk mengaplikasikan penggunaan teknologi digital seperti pembayaran tanpa tunai atau cashless. Keadaan ini juga menjadi cabaran yang signifikan kepada pengusaha bas mini kerana risiko jangkitan melalui pertukaran wang kertas dan syiling adalah tinggi dalam tempoh pandemik Covid-19. Hasil dapatan kajian mendapati bahawa, pengusaha bas mini di Kota Kinabalu tidak mempunyai kemahiran untuk menggunakan atau menyediakan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai.
Pengusaha bas mini lebih selesa menggunakan pembayaran seperti biasa iaitu pembayaran secara tunai, kerana bagi mereka ianya mudah dan tidak mempunyai risiko untuk mengalami kerugian atau kesalahan transaksi.
Selain itu, terdapat beberapa pengusaha bas mini menyatakan bahawa kadar bayaran tambang yang murah turut mendorong mereka untuk menggunakan kaedah pembayaran secara tunai berbanding menggunakan pembayaran tanpa tunai. Seterunsya, pengguna perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu juga kurang mahir menggunakan perkhidmatan pembayaran secara
cashless, lebih-lebih lagi bagi golongan yang lebih berumur atau golongan warga emas.
Tambahan itu, pembayaran secara cashless merupakan sesuatu yang baru bagi pengusaha bas mini dan ianya sukar untuk diaplikasikan disebabkan oleh kurang kemahiran dan pengetahuan mengenai kaedah penggunaan sistem pembayaran secara atas talian.
Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk proses pendaftaran atau check in sebelum menaiki perhidmatan pengangkutan awam adalah salah satu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan Covid-19 dikalangan pekerja dan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam. Penyediaan Kod QR MySejahtera atau quick response (QR) code, turut menjadi cabaran bagi pengusaha bas mini di Kota Kinabalu di fasa awal penularan Covid-19. Hasil analisis dapatan kajian, pengusaha bas mini menyatakan bahawa mereka tidak mengetahui kaedah penyediaan dan penggunaan Kod QR MySejahtera untuk digunakan dalam perkhidmatan mereka.
Namun begitu, terdapat juga usaha dan iktihar yang dilakukan oleh pengusaha bas mini dalam menyediakan Kod QR MySejahtera untuk mengurangkan risiko jangkitan dikalangan pengguna. Usaha yang dilakukan adalah dengan meminta bantuan daripada rakan pemandu bas mini yang lebih mahir dalam penyediaan Kod QR MySejahtera. Kaedah ini lebih membantu pengusaha bas mini untuk mengatasi cabaran yang mereka hadapi dan memastikan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu sentiasa relevan dan mampu bertahan dalam tempoh pandemik.
Selain daripada pengusaha bas mini menghadapi cabaran bagi mengaplikasikan teknologi digital dalam perkhidmatan bas mini, pengguna perkhidmatan ini turut mempunyai kekangannya yang tersendiri dalam menggunakan kemajuan teknologi digital hasil daripada perkembangan revolusi industri 4.0. Terdapat segelintir pengguna perkhidmatan bas mini mempunyai kurang pengetahuan terhadap penggunaan aplikasi MySejahtera dan juga sistem pembayaran secara cashless. Hasil analisis dapatan kajian, beberapa informan menyatakan bahawa pengguna tidak mengetahui kaedah penggunaan aplikasi MySejahtera dan pembayaran secara cashless. Norma baharu dalam tempoh pandemik ini menjadi cabaran yang getir kerana pengusaha dan pengguna bas mini terpaksa mengadaptasikan sesuatu yang baru bagi mereka.
Lanjutan daripada itu, cabaran pengguna perkhidmatan bas mini dalam menggunakan kemajuan teknologi digital ketika tempoh pandemik turut terbantut akibat kekangan kemudahan dari sudut pemilikan telefon pintar dan jaringan internet. Dapatan kajian mendapati, pemilikan telefon bimbit yang tidak dapat menyokong aplikasi MySejahtera, menyukarkan pengguna untuk mengimbas Kod QR MySejahtera yang disediakan. Golongan yang lebih berumur adalah golongan yang tidak memiliki telefon pintar yang mampu menyokong aplikasi MySejahtera. Selain itu, terdapat juga pengguna perkhidmatan bas mini tidak mempunyai pelan data internet yang mampu membantu mereka untuk mengimbas Kod QR MySejahtera dengan lebih lancar. Keadaan ini juga menyukarkan dan melambatkan proses perjalanan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu.
Kepercayaan Pengguna
Rajah 5: Sub Tema Kepercayan Pengguna Perkhidmatan Bas Mini di Kota Kinabalu Dalam Tempoh Pandemik Covid-19
Kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan pengangkutan awam adalah salah satu aspek yang penting bagi memastikan perkhidmatan ini terus mendapat permintaan yang baik walaupun dalam tempoh pandemik Covid-19. Kepercayaan pengguna terhadap perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu turut menjadi cabaran yang perlu diatasi oleh pengusaha bas mini di bandaraya ini. Terdapat dua sub tema hasil daripada analisis data (rajah 5) yang diperolehi iaitu, kepercayaan pengguna menurun dan normal atau seperti biasa.
Dalam tempoh pandemik Covid-19, tahap kepercayaan pengguna perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu adalah menurun. Ini menjadi salah satu cabaran yang perlu dihadapi dan diatasi oleh pengusaha bas mini kerana senario ini adalah amat signifikan kepada faktor penurunan permintaan dan seterusnya mempengaruhi penurunan terhadap aliran tunai atau pendapatan mereka. Penurunan kepercayaan ini berlaku disebabkan oleh, terdapat segelintir pengguna merasa tidak selamat, tidak selesa dan merasa takut untuk menggunakan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu dalam tempoh pandemik.
Selain itu, terdapat juga pengguna perkhidmatan bas mini yang beralih menggunakan mod pengangkutan persendirian atau pengangkutan yang lain seperti e-hailing iaitu Grab, kerana merasa lebih selamat dan selesa kerana tidak berkongsi dengan pengguna yang lain serta tidak perlu bersesak-sesak ketika melakukan sesuatu perjalanan. Tambahan itu, peningkatan kadar kes jangkitan yang tinggi menjadikan pengguna merasa lebih khuatir untuk menggunakan perkhidmatan bas mini, ditambah lagi dengan penularan khabar angin di media sosial mengenai kes jangkitan dikalangan pengusaha dan pengguna perkhidmatan bas mini.
Situasi ini berlaku di awal fasa penularan Covid-19, ini memberikan impak yang tinggi terhadap penurunan permintaan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu.
Walau bagaimanapun, hasil dapatan kajian mendapati bahawa, informan menyatakan terdapat pengguna yang masih mempercayai dan menggunakan perkhidmatan bas mini walaupun dalam tempoh pandemik. Keadaan ini berlaku kepada individu atau kumpulan individu yang tidak mempunyai pengangkutan persendirian dan tidak mempunyai pilihan pengangkutan yang lain. Selain itu, pengguna yang mempunyai kepercayaan terhadap perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu adalah terdiri daripada kumpulan pekerja yang bekerja dalam sektor pekerjaan tidak formal seperti bekerja di pasar raya dan juga kedai makan. Kumpulan individu ini tidak mempunyai kenderaan persendirian dan mempunyai kuasa beli yang rendah serta kurang berkemampuan untuk memiliki kenderaan persendirian. Namun begitu, tahap kepercayaan kumpulan individu ini masih seperti biasa dan sentiasa menggunakan perkhidmatan bas mini untuk tujuan pergerakan harian dalam tempoh sebelum dan semasa penularan Covid-19 di Kota Kinabalu.
5. Kesimpulan
Penularan penyakit pandemik Covid-19 yang berlaku di negara kita, memberikan cabaran yang tinggi terhadap sektor pengangkutan awam. Sektor pengangkutan awam di Kota Kinabalu, iaitu perkhidmatan bas mini turut terjejas dan mengalami tekanan dalam tempoh pandemik ini. Hasil dapatan kajian menjelaskan bahawa terdapat empat tema cabaran utama yang iaitu Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), Persaingan, Penggunaan Teknologi Digital dan Kepercayaan Pengguna. Cabaran ini mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap pengoperasian bas mini di Kota Kinabalu lebih-lebih lagi terhadap pengusaha bas mini.
Cabaran dan tekanan yang dihadapi oleh pengusaha bas mini dalam tempoh pandemik, adalah sesuatu yang sukar untuk diatasi, namun tahap resilien yang tinggi dalam kalangan pengusaha bas mini di Kota Kinabalu dapat memastikan, perkhidmatan bas mini terus relevan dan selamat digunakan walaupun dalam tempoh pandemik. Walau bagaimanapun, komponen luaran dalam sistem pengangkutan seperti kerajaan, pengguna dan masyarakat turut memainkan peranan yang amat penting dalam resilien pengusaha bas mini di Kota Kinabalu.
Langkah yang sistematik serta efisien adalah penting untuk dinilai serta dilaksanakan bagi memastikan pengangkutan awam seperti perkhidmatan bas mini terus dapat memberikan sumbangan terhadap perkembangan sosio-ekonomi setempat serta mampu menyumbang terhadap pembangunan ekonomi negara walaupun dalam keadaan yang tidak menentu seperti dalam tempoh penularan penyakit pandemik Covid-19. Peningkatan terhadap kualiti perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu terus ditagih dan diharapkan dapat berkembang pada masa akan datang dan menjadi salah satu faktor kepada pemacu perkembangan sosio- ekonomi di bandaraya Kota Kinabalu secara khusunya dan di negeri Sabah secara amnya.
Rujukan
Braun V. & Clarke V. (2006). Using thematic analysis in psychology. Qualitative Research in Psychology, 3(2), 77–101.
Berita Harian Online (2020, 10 April). COVID-19 beri impak besar KDNK Malaysia - Bank Dunia Diakses daripada https://www.bharian.com.my/bisnes/lain- lain/2020/04/675645/covid-19-beri-impak-besar-kdnk-malaysia-bank-dunia.
Cervero, R. & Golub, A. (2007). Informal transport: A global perspective. Transport Policy 14 (2007) 445–457.
Dzisi, E. K., & Dei, O. A. (2020). Adherence to social distancing and wearing of masks within public transportation during the Covid 19 pandemic. Transportation Research Interdisciplinary Perspectives, 7, 100191.
Deyas, G. T., & Woldeamanuel, M. G. (2020). Social and economic impacts of public transportation on adjacent communities: The case of the addis ababa light rail transit.
Research in Transportation Economics, 84, 100970.
De Souza, R. N., & Mátrai, T. (2022). Impacts of the COVID-19 pandemic in the demand for urban transportation in Budapest. Transportation Research Procedia, 62, 99-106.
Gardner B. (2020, 2 March) Dirty Banknotes May be Spreading theCoronavirus, WHO
Suggests. The Telegraph. Diakses daripada
https://www.telegraph.co.uk/news/2020/03/02/exclusive-dirty-banknotes-may-spreading- coronavirus-world-health/.
Harifah Mohd Noor, Mazdi Marzuki, Jabil Mapjabil, & Oliver Valentine Eboy (2016).
Keberkesanan perkhidmatan bas mini di Kota Kinabalu Sabah. Malaysia Journal of Society and Space 12(12), 50-62.
Jenelius, E. & Cebecauer, M. (2020). Impacts of COVID-19 on public transport ridership in Sweden: analysis of ticket validations, sales and passenger counts. Transportation Research Interdisciplinary Perspectives, 8, 10024.
Kementerian Pengangkutan Malaysia (2019). Dasar Pengangkutan Negara. National Transport Policy 2019-2030. Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Kementerian Pengangkutan Malaysia. (2020, April). Pekerja dalam perkhidmatan pengangkutan awam, pemandu dan penunggang p-hailing perlu pantau tahap kesihatan diri. Malaysia. Kementerian Pengangkutan Malaysia. Diakses daripada http://cccovid19.mot.gov.my/assets/images/preview/23042020-Pemantauan-Kesihatan- Pekerja-Ehailing-Dan-Phailing.
Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Sabah. (n.d.). Dasar Umum: Dasar Perlesenan Kenderaan Peradagangan Sabah. Diakses daripada https://www.lpkpsabah.gov.my/lpkp/images/dasar_umum.pdf
Merriam, S. B. (1998). Qualitative research and case study applications in education. San Francisco: Jossey-Bass Publisher.
Parker, M. E., Li, M., Bouzaghrane, M. A., Obeid, H., Hayes, D., Frick, K. T.& Chatman, D.
G. (2021). Public transit use in the United States in the era of COVID-19: Transit riders’
travel behavior in the COVID-19 impact and recovery period. Transport Policy, 111, 53- 62.
Saravanan Sundara Sakaran, Harifah Mohd Noor & Rosmiza M. Z. (2020). Ketersampaian penduduk terhadap perkhidmatan pengangkutan awam di Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah. Malaysian Journal of Society and Space, 16(1), 168-181.
Shahir Adnan (2020, 25 Jun). Implikasi Covid-19 kepada ekonomi negara. Malaysia Kini.
Diakses daripada https://www.malaysiakini.com/news/531780.
Seo, W., & Nam, H. K. (2019). Trade-off relationship between public transportation accessibility and household economy: Analysis of subway access values by housing size.
Cities, 87, 247-258.
Sun, Y., & Cui, Y. (2018). Evaluating the coordinated development of economic, social and environmental benefits of urban public transportation infrastructure: Case study of four Chinese autonomous municipalities. Transport Policy, 66, 116-126.
Thomas, Y., Vogel, G., Wunderli, W., Suter, P., Witschi, M., Koch, D. & Kaiser, L. (2008).
Survival of influenza virus on banknotes. Applied and Environmental Microbiology, 74(10), 3002-3007.
Walters, A. A. (1979). The Benefits of Minibuses: The Case of Kuala Lumpur. Journal of Transport Economics and Policy, 13(3), 320–334.
World Health Organization. (2020). Coronavirus disease (COVID-19). Diakses daripada https://www.who.int/health-topics/coronavirus#tab=tab_1
Zhang, Q., & Tong, Q. (2021). The economic impacts of traffic consumption during the COVID-19 pandemic in China: A CGE analysis. Transport Policy, 114, 330-337.