• Tidak ada hasil yang ditemukan

Corak Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran Dalam Tafsir Nur Al-Ihsan

N/A
N/A
Protected

Academic year: 2024

Membagikan "Corak Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran Dalam Tafsir Nur Al-Ihsan"

Copied!
11
0
0

Teks penuh

(1)

Corak Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran Dalam Tafsir Nur Al-Ihsan:

Satu Analisis

(Patterns of Interpretation of Al-Quran Verses in Tafsir Nur Al-Ihsan:

An Analysis)

Mohd Sholeh Sheh Yusuff1*, Mohamad Alwi Ab Rahman1, Mat Rani Abdul Manaf1

1 Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzham Shah (UniSHAMS), 09300 Kuala Ketil, Kedah

*Pengarang Koresponden: mohdsholeh@unishams.edu.my Accepted: 15 November 2022 | Published: 1 Decenber 2022

DOI:https://doi.org/10.55057/ijarih.2022.4.4.1

_________________________________________________________________________________________

Abstrak: Tafsir Nur al-Ihsan merupakan tafsir kedua selepas Tarjuman al-Mustafid yang ditulis dalam bahasa Melayu pada abad ke-19 Masihi oleh Syeikh Muhammad Sa’id bin Umar.

Objektif utama kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji dan memperlihatkan bentuk dan corak tafsiran ayat-ayat al-Quran yang dipraktikkan oleh Syeikh Muhammad Said bin Umar ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan. Karya Tafsir Nur al-Ihsan karangan Syeikh Muhammad Said bin Umar ini beredar secara meluas dalam masyarakat yang mana ia dijadikan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran serta rujukan masyarakat dalam memahami kandungan ayat-ayat al-Quran. Proses menganalisis teks Tafsir Nur al-Ihsan akan menggunakan kaedah analisis kandungan berbentuk kajian kepustakaan sepenuhnya yang menggunakan pendekatan subjektif bagi melihat data secara deskriptif dan kualitatif. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat enam corak tafsiran yang diperaktikkan oleh Syeikh Muhammad Said bin Umar ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan ini iaitu kaedah al-Tafsir bi al-Ma’thur, al-Tafsir al-Ra’y, al- Tafsir Mawdu’I, al-Tafsir al-Sufi, al-Tafsir al-Fiqhi dan al-Tafsir al-‘Ilmi. Oleh itu, diharapkan pendedahan dan analisis yang dilakukan ini dapat memberi maklumat dan pengetahuan baharu kepada masyarakat perihal Tafsir Nur al-Ihsan.

Kata kunci: Tafsir Nur al-Ihsan, Syeikh Muhammad Said, corak tafsiran ayat al-Quran

Abstract: Tafsir Nur al-Ihsan is the second Tafsir after Tarjuman al-Mustafid which was written in Malay in the 19th century AD by Sheikh Muhammad Sa'id bin Umar. The main objective of this study is to study and show the form and pattern of interpretation of the verses of the Qur'an practiced by Sheikh Muhammad Said bin Umar when writing Tafsir Nur al-Ihsan.

The work entitled Tafsir Nur al-Ihsan written by Sheikh Muhammad Said bin Umar is widely circulated in the community where it is used as a teaching and learning material as well as a community reference in understanding the content of the verses of the Quran. The process of analyzing the text of Tafsir Nur al-Ihsan will use content analysis methods in the form of library research that uses a subjective approach to view data descriptively and qualitatively. The results of the study found that there are six patterns of interpretation practiced by Sheikh Muhammad Said bin Umar when writing this Tafsir Nur al-Ihsan, namely the method of al- Tafsir bi al-Ma'thur, al-Tafsir al-Ra'y, al-Tafsir Mawdu'i, al-Tafsir al-Sufi, al-Tafsir al-Fiqhi and al-Tafsir al-'Ilmi. Therefore, it is hoped that this disclosure and analysis can provide new information and knowledge to the community about Tafsir Nur al-Ihsan.

(2)

Keywords: Tafsir Nur al-Ihsan, Syeikh Muhammad Said, pattern of interpretation of the Qur’anic verse

___________________________________________________________________________

1. Introduction

Syeikh Muhammad Said bin Umar Qadi Jitra al-Qadhi merupakan salah seorang tokoh ulama Kedah yang telah menghasilkan karya dalam bidang tafsir berbahasa Melayu tulisan jawi berjudul Tafsir Nur al-Ihsan. Tafsir Nur al-Ihsan menjadi rujukan dalam memahami ayat-ayat al-Qur’an bukan sahaja oleh orang awam bahkan juga para ilmuan semasa yang turut menggunakannya sebagai bahan pengajaran kepada masyarakat. Karya yang bernilai tinggi ini telah banyak memberi sumbangan keilmuan kepada orang ramai sehingga menyebabkan para sarjana tertarik untuk mengkaji dan membuat penelitian terhadapnya dari pelbagai aspek seperti sejarah, bahasa, pengaruh dan ketokohan pengarang.

Tafsir Nur al-Ihsan adalah sebuah tafsir al-Quran yang masih digunakan sebagai bahan pengajaran dan rujukan sehingga sekarang terutamanya di institusi-institusi pengajian pondok, di masjid-masjid dan di surau-surau. Contohnya, pengajian mingguan di Darul Fuqaha, Baling Kedah dan Yayasan al-Huffaz, Kuala Ketil, Kedah. Rakaman kuliah pengajian tafsir ini juga secara meluas tersebar di media sosial dan media massa seperti di saluran Youtube dan Facebook sehingga boleh dicapai oleh sesiapa sahaja dan di mana sahaja. Tinjauan awal pengkaji mendapati bahawa terdapat beberapa corak atau kaedah pentafsiran yang diperaktikkan oleh Syeikh Muhammad Said bin Umar ketika menghasilkan Tafsir Nur al- Ihsan. Hal ini menunjukkan keahlian dan ketokohan pengarang dalam bidang tafsir al-Quran ini. Walaupun begitu, terdapat kritikan terhadap kandungan Tafsir Nur al-Ihsan diperkatakan dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, Zaim (2010) yang merupakan salah seorang pengkaji kandungan Tafsir Nur al-Ihsan berpendapat bahawa penulisan karya ini mempunyai kekurangan kerana di sana terdapat kekurangan gaya penulisan yang tidak dinyatakan sumber ambilan fakta dan kekurangan yang disebabkan pengarang banyak menggunakan pendapat yang tidak berasas di dalam pentafsirannya. Begitu juga dengan Mat Taib (2003) yang menyatakan keraguannya terhadap kisah-kisah yang terdapat di dalam Tafsir Nur al-Ihsan kerana pengarang tidak menerangkan sumber ambilannya secara jelas. Justeru, masyarakat perlu berhati-hati ketika membaca dan merujuk karya ini.

Oleh kerana, Tafsir Nur al-Ihsan digunakan secara meluas sebagai bahan pengajaran dalam tafsiran al-Quran dan rujukan masyarakat dalam memahami ayat-ayat suci al-Quran, maka usaha pemurnian karya ini wajar dilakukan. Salah satu bentuk usaha tersebut adalah melalui kajian terhadap teks ayat-ayat al-Quran yang terdapat dalam karya ini secara menyeluruh demi mengenal pasti dan mengesan corak-corak tafsiran ayat-ayat al-Quran yang yang diperaktikkan oleh pengarang. Sugguhpun sepatutnya kajian terhadap teks dan kandungan karya perlu dikaji secara menyeluruh, namun untuk artikel ini tumpuan hanya diberikan kepada corak-corak tafsiran ayat-ayat al-Quran yang terdapat dalam karya ini sebagai satu usaha awal ke arah pemurnian kandungan Tafsir Nur al-Ihsan yang seterusnya boleh dikembangkan kepada aspek- aspek lain yang pastinya menyumbang ke arah kesempurnaan karya tersebut.

2. Pengenalan Karya Tafsir Nur Al-Ihsan

Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah karya besar yang telah dihasilkan oleh Syeikh Muhammad Said. Beliau mula menghasilkan karya tersebut pada bulan Zulhijjah, 1344 Hijrah bersamaan Januari 1925 Masihi, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim

(3)

Shah ibn al-Marhun Sultan Ahmad Taj al-Din Mukarram Shah (1881-1943), Sultan Kedah yang ke-25. Penulisan karya ini memakan masa selama dua tahun sembilan bulan untuk disiapkan, dan ia telah berjaya diselesaikan pada hari Rabu, satu Rabiul Akhir 1346 Hijrah bersamaan satu Oktober 1927 Masihi (Zaim, 2010).

Tafsir Nur al-Ihsan mula dicetak dengan cetakan pertamanya pada tahun 1934 Masihi di Mekah oleh Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih dan cetakan kedua pada tahun 1936 Masihi di Pulau Pinang. Cetakan ketiga karya ini adalah pada tahun 1391 Hijrah bersamaan tahun 1970 Masihi oleh Percetakan al-Muarif Sdn. Bhd, Matba’ah bin Halabi di Fathani dan Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih di Bangkok Thailand.

Sementara itu, terdapat juga cetakan yang diterbitkan oleh Dar al-Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, Mesir pada tahun 1349 Hijrah (Othman, A. R., 2012). Setiap cetakan Tafsir Nur al-Ihsan perlu terlebih dahulu mendapat keizinan daripada waris Syeikh Muhammad Said dan tanda keizinan tersebut dapat dilihat di setiap halaman (i) setiap jilid (Abdul Rahman, A. R., 2010).

Tafsir Nur al-Ihsan dihasilkan oleh Syeikh Muhammad Said dalam empat jilid dan setiap jilid disusun mengikut surah-surah al-Qur’an. Jilid pertama merangkumi Surah al-Fatihah hingga Surah al-Ma’idah, jilid kedua merangkumi Surah al-An’am hingga Surah Hud, jilid ketiga merangkumi Surah al-Kahf hingga Surah al-Zumar, dan jilid keempat merangkumi Surah al- Mu’min hingga Surah al-Nas. Tafsir Nur al-Ihsan agak sukar untuk diperolehi di pasaran dan ia hanya dijual di kedai-kedai buku yang tertentu sahaja. Kebanyakan karya yang beredar di pasaran Malaysia pada hari ini ialah yang dicetak oleh syarikat dari Pulau Pinang berukuran 26.5 cm x 20 cm dan cetakan yang terbaharu diterbitkan oleh Akademi Jawi Malaysia dalam versi tahkik dan taqlik, tahun 2020 (Yusuff, 2020).

Tafsir ini bukan sahaja tersebar di bumi Melayu khususnya di negeri Kedah, bahkan di Perak Utara, Seberang Prai Pulau Pinang dan juga di Selatan Thailand (Abdul Rahman, A. R., 2010).

Tafsir Nur al-Ihsan merupakan sebuah karya tafsir berbahasa Melayu yang dikarang menggunakan tulisan Jawi ini telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam khususnya di Malaysia, di samping ia juga merupakan satu usaha murni Syeikh Muhammad Said yang telah mewariskannya kepada masyarakat sehingga ke hari ini. Kandungan karya ini adalah lengkap dan menyeluruh mencakupi penerangan seperti asbab nuzul ayat, fadilat-fadilat, permasalahan fiqah, ayat al-Mutashabihat, al-Nasikh dan al-Mansukh serta kisah-kisah umat terdahulu (Umar, M. S., 1970).

Tafsir Nur al-Ihsan dimulai dengan pendahuluan yang disebut sebagai Muqaddimah sebagaimana kebanyakan karya. Walau bagaimanapun pengarang tidak menyatakan metodologi yang digunakan dalam pentafsirannya di dalam pendahuluan ini. Setiap surah dimulai dengan nama surah, status surah sama ada Makkiyyah atau Madaniyyah di samping disertai dengan bilangan ayat dan sebab dinamakan surah itu jika ada (Umar, M. S., 1970).

Bahasa yang digunakan dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran ialah bahasa Melayu dialek Melayu Kedah. Istilah yang digunakan oleh pengarang dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran di dalam karya ini antaranya adalah yang berhubung kait dengan pekerjaan dan aktiviti masyarakat setempat. Pengarang menggunakan perkataan bendang, perhumaan, pokok padi, tanam padi kerana beliau terkesan dengan salah satu pekerjaannya iaitu pesawah (Othman, A.

R., 2012). Negeri Kedah yang mendapat jolokan “Negeri Jelapang Padi” sudah termaklum bahawa rata-rata pekerjaan utama masyarakatnya adalah penanam padi lebih-lebih lagi di dataran Kedah-Perlis (Asmad, 1987).

(4)

Selain itu, penggunaan bahasa Arab juga meluas digunakan dalam karya ini. Perkataan- perkataan Arab terlihat di setiap helaian karya bermula jilid yang pertama sehingga jilid yang keempat. Tulisan jawi yang digunakan pula diselangi perkataan-perkataan Arab yang disusuli dengan terjemahannya di dalam bahasa Melayu, tetapi kebanyakan perkataan Arab itu tiada sebarang tanda ataupun kurungan yang dibuat bagi membezakan antara perkataan Melayu dan Arab. Walau bagaimanapun, terdapat juga terjemahan-terjemahan yang diletakkan di dalam kurungan dan kalimah-kalimah yang langsung tidak diterjemah (Umar, M. S., 1970).

Dalam pada itu, terjemahan ayat yang dibuat adalah dengan gaya bahasa Melayu klasik yang terikat dengan kaedah bahasa Arab. Terjemahan banyak menggunakan struktur ayat songang iaitu struktur ayat yang tidak terikat dengan kaedah subjek-predikat. Ia juga banyak menggunakan struktur ayat pasif yang diwakili oleh imbuhan di dan oleh, di samping banyak menggunakan perkataan al-Ma’na, erti, sebab, maka, kerana, iaitu, dengan, daripada, supaya, seperti, yakni, makna, pada, seumpama, ertinya dan tatkala bertujuan untuk menghurai dan menjelaskan tafsiran-tafsiran yang agak mengelirukan, mengemukakan contoh-contoh atau membawa sesuatu perbincangan yang berkaitan dengan sesuatu tafsiran. Corak-corak penulisan seperti ini dilakukan oleh pengarang secara konsisten pada semua jilid karyanya (Umar, M. S., 1970). Selain itu, antara kara-karya yang menjadi rujukan Syeikh Muhammad Said Ketika menulis Tafsir Nur al-Ihsan ialah Tafsir al-Jalalyn, Tafsir al-Jamal, Tafsir al- Baydawi, Tafsir al-Khazin, Tafsir al-Tabari, Tafsir Ibn Kathir, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al- Razi dan Tafsir al-Nasafi (Yusuff, M. S. S., 2014).

3. Corak-Corak Tafsiran Ayat-Ayat Al-Quran Dalam Tafsir Nur Al-Ihsan

Artikel ini tertumpu kepada penelitian terhadap corak-corak tafsiran ayat-ayat al-Quran yang terdapat dalam Tafsir Nur al-Ihsan itu. Secara umumnya, terdapat tujuh perbahasan yang dibincangkan oleh Syeikh Muhammad Said dalam Tafsir Nur al-Ihsan merangkumi sebab nuzul ayat, permasalah fiqah, akidah, hadis-hadis, kisah-kisah isra’iliyyat, ayat nasikh mansukh dan fadilat-fadilat. Setiap perbincangan tersebut adalah berdasarkan ayat-ayat al-Quran yang hendak ditafsirkan (Umar, M. S., 1970). Walaupun begitu, kajian mendapati bahawa terdapat enam corak tafsiran ayat-ayat al-Quran yang diperaktikkan oleh Syeikh Muhammad Said bin Umar dalam Tafsir Nur al-Ihsan ini. Oleh itu, kajian ini membahagikan corak-corak tersebut menerusi huraian berikut.

3.1 al-Tafsir al-Ma’thur

al-Qattan (2000) memberitahu bahawa al-Tafsir al-Ma’thur bermaksud tafsiran yang berpegang kepada riwayat yang sahih berasaskan kepada sumber dari al-Quran itu sendiri iaitu tafsir al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain, dengan Hadis Nabi s.a.w yang merupakan sumber kedua selepas al-Quran dan pendapat para sahabat Baginda s.a.w. Al-Dhahabi (1977) pula menjelaskan bahawa terdapat satu sumber lain selain tiga sumber tersebut yang termasuk di dalam al-Tafsir al-Ma’thur iaitu mentafsir al-Quran dengan pendapat tabi’in iaitu mereka yang menerima ilmu daripada pada sahabat.

Dalam mentafsirkan ayat al-Quran dengan ayat yang lain, Syeikh Muhammad Said hanya menyisipkan sedikit sahaja potongan ayat-ayat dari surah lain semasa mentafsirkan dan membincangkan sesebuah ayat. Ayat-ayat sampingan tersebut ditafsirkan dengan ringkas dan tidak dijelaskan dengan terperinci. Ia dibawa hanya sebagai penyokong kerana ia turut mempunyai kaitan yang sama dengan ayat yang dibincangkan itu. Contohnya ketika beliau mentafsirkan sebahagian ayat yang ke-140 dari surah al-Baqarah (Umar, M. S., 1970);

(5)

(الله مأ ملعأ متنأء لق )" kata oleh mu ya Muhammad bagi mereka itu adakah kamu terlebih ketahui atau Allah terlebih ketahui daripada kamu dan sungguhnya telah lepas daripada keduanya oleh Nabi Ibrahim dengan firmanNya (اينارصن لاو ايدوهي ميهاربا ناك ام). Tiada ada Nabi Ibrahim itu Yahudi dan tiada Nasara dan mereka yang tersebut sertanya itu mengikut baginya pada kelepasan itu”.

Teks tersebut memberitahu bahawa Allah SWT telah menafikan dakwaan orang kafir yang mengatakan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishaq, Nabi Ya’qub dan semua anak dan cucu mereka beragama Yahudi dan Kristian. Pengarang menguatkan tafsirannya itu menerusi ayat yang lain iaitu ayat yang ke-67, surah Ali ‘Imran yang menegaskan bahawa meraka bukan beragama Yahudi dan bukan juga Kristian.

Berkenaan penggunaan hadis pula, terdapat banyak potongan hadis yang dimuatkan ke dalam karya ini. Zaim (2010) di dalam disertasinya bertajuk “Kajian Takhrij Hadith Dalam Tafsir Nur al-Ihsan” memberitahu bahawa sebahagian hadis yang dimasukkan oleh pengarang tidak mempunyai sanad yang lengkap, bahkan ada sejumlah hadis yang langsung tidak dijelaskan sanadnya. Selain itu, beliau juga tidak menyatakan status atau penilaian hadis dan tidak menyatakan dengan terperinci sumber hadis tersebut. Walaupun begitu, kajian ini mendapati bahawa terdapat juga hadis yang dinyatakan sumber ambilannya seperti katanya; “Riwayat Hakim pada Mustadrak (Umar, M. S., 1970). Al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihayn ialah sebuah kitab matan hadis yang dikarang oleh Muhammad bin Abd Allah Abu Abd Allah al-Hakim al- Naysabury (al-Hakim, 1997). Selain itu, ketika pengarang mentafsir ayat al-Quran beliau turut menggunakan pendapat Sahabat sebagai sumber tafsiran. Beliau terus menyandarkannya kepada mereka seperti Abd Allah bin Abbas dan Ali r.a (Umar, M. S., 1970).

Penggunaan sumber pentafsiran berasaskan qawl tabiin juga diaplikasi oleh pengarang di dalam karyanya. Pengarang mengambil sumber tersebut daripada tujuh orang tabiin dengan terus menyandarkan kepada mereka seperti Mujahid dan Ja’far al-Sadiq (Umar, M. S., 1970).

Contohnya, pengarang menceritakan kisah kaum Nabi Lut a.s yang berhubung kait dengan ayat ke-36 dari surah al-Dhariyat (Umar, M. S., 1970); “Kata Suddi dan Muqatil: Adalah mereka itu 600 ribu (kaum Nabi Lut seramai 600 ribu orang – tambahan pengkaji) maka memasuk Jibra’il akan sayapnya bawah bumi kaum Lut maka cabut akan dia hingga dengar ahli langit suara mereka itu kemudian ditiarapkan atas ke bawah kemudian diturun batu neraka pada yang keluar dan musafir mereka itu”.

Berdasarkan huraian yang telah diberikan menunjukkan bahawa Syeikh Muhammad Sa’id dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran telah mengaplikasi metodologi al-Tafsir al-Ma’thur di dalam karya Tafsir Nur al-Ihsan merangkumi tafsiran ayat al-Quran menggunakan ayat al- Quran yang lain, tafsiran ayat al-Quran menggunakan hadis Nabi s.a.w, tafsiran ayat al-Quran bersumberkan pendapat sahabat Baginda dan tafsiran menggunakan pendapat tabiin.

3.2 al-Tafsir bi al-Ra’yi

al-Tafsir bi al-Ra’yi ialah pendapat seorang pentafsir dengan ijtihad beliau sendiri disertai dengan syarat yang diperlukan termasuk menguasai bahasa Arab (al-Dhahabi, 2000). Corak pentafsiran ini terjadi apabila pentafsir membuat sesuatu tafsiran selain daripada corak al- Tafsir al-Ma’thur tersebut di samping memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan oleh para ulama, seperti menguasai bahasa Arab, mengetahui al-Nasikh dan al-Mansukh dan menguasai ilmu usuluddin (al-Dhahabi, 1977). Artikel ini membahagikan corak al-Tafsir bi al-Ra’yi yang diaplikasi dalam Tafsir Nur al-Ihsan kepada lima pembahagian iaitu tafsir dengan kaedah bahasa Arab, tafsir dengan syair Arab, tafsir dengan qiraat, tafsir dengan kisah-kisah dan tafsir dengan kaedah soal-jawab.

(6)

a) Tafsir Kaedah Bahasa Arab

Pengarang telah mengaplikasi kaedah ini pada dua tempat iaitu pada jilid keempat, halaman 54 dan 288. Salah satu contoh pentafsiran tersebut ialah ketika beliau mentafsirkan sebahagian dari ayat ke-58, surah al-Zukhruf (Umar, M. S., 1970); “( الا َد َج َّلاِإ َكَل ُهوُبَرَض اَم) tiada perbuat mereka itu akan dia bandingan itu melainkan jalan perbantahan dengan batil kerana makna (ام) daripada innakum wa ma ta’budun )ام( itu bagi yang tiada berakal seperti an’am, tiada masuk Isa dan Uzayr dan Malaikat kerana mereka itu makhluk yang berakal”.

Pengarang menjelaskan bahawa ayat tersebut menafikan dakwaan yang dibuat oleh kafir musyrikin bahawa Nabi Isa akan masuk neraka bersama-sama dengan penyembahnya berdasarkan ayat ( نودبعت امو مكنإ) yang bermaksud; sesungguhnya kamu bersama dengan apa yang kamu sembah. Hal yang demikian itu disebabkan huruf (ام) di dalam ayat tersebut mengikut kaedah bahasa Arab dikhususkan kepada sesuatu yang tidak berakal seperti berhala, sedangkan Nabi Isa seorang manusia yang berakal. Maksud sebenar berdasarkan ayat ialah penyembah- penyembah berhala akan masuk neraka bersama-sama dengan berhala yang mereka sembah.

Penjelasan pengarang tersebut bertepatan dengan pernyataan al-Daqar (2001) di dalam kitabnya Mu’jam al-Qawa’id al-‘Arabiyyah bahawa penggunaan huruf (ام) mengikut kaedah bahasa Arab dikhususkan kepada sesuatu yang tidak berakal.

b) Tafsir Dengan Syair Arab

Terdapat pula di tiga tempat di mana pengarang mengaplikasi syair Arab dalam mentafsirkan ayat al-Quran iaitu pada jilid ketiga, halaman 150 dan jilid keempat, halaman 63 dan 269, contohnya ketika pengarang mentafsirkan sebahagian ayat yang ke-37 dari surah al-Dukhan (Umar, M. S., 1970); Tubba’ itu Raja Yaman beriman dengan al-Nabi s.a.w dahulu daripada peranaknya 900 tahun, tatkala mengkhabar akan dia oleh Yahudi dengan khabaran al-Nabi.

Gelarannya Abu Karab, nama As’ad bin Mulkikub. Maka segala Ansar Madinah keturunan daripadanya, ditinggal setengah kaumnya ketika ia qasad Madinah runtuh, Madinah dikata orang: Madinah ini tempat hijrah al-Nabi akhir zaman serta ditulis syair tinggal pada ahli Madinah berketurunan sampai pada Abu Ayyub Ansar:

مسنلا ئراب الله نم لوسر هنأ دمحأ ىلع تدهش دم ولف يمع نباو اريزو تنكل هرمع يلإ يرمع

Catatan pengarang tersebut memberitahu bahawa Tubba’ iaitu seorang raja di Negara Yaman yang telah beriman dengan Baginda s.a.w 900 tahun sebelum kelahirannya disebabkan beliau mendapat berita dari seorang pendeta Yahudi tentang kerasulan Baginda s.a.w. Suatu ketika Tubba’ berhasrat merobohkan kota Madinah, tetapi hasratnya itu dibatalkan apabila beliau mendapat tahu bahawa Nabi akhir zaman iaitu Rasulullah s.a.w akan berhijrah ke Madinah suatu hari nanti. Beliau mengarang sebuah syair yang bermaksud “Aku bersaksi atas Ahmad bahawa beliau adalah utusan dari Allah yang menjadikan manusia, jika umurku panjang sehingga zamannya, aku sanggup menjadi menteri dan sepupunya”. Pengarang memuatkan syair tersebut da-lam menggambarkan kemuliaan Tubba’ sepertimana yang telah dinyatakan menerusi ayat al-Quran berkenaan.

c) Tafsir Dengan Qiraat

Kajian mendapati bahawa hanya sekali sahaja pengarang menyatakan perbezaan qiraat di dalam karyanya yang diaplikasi untuk mentafsirkan sebahagian ayat yang ke-112 dari surah al-

(7)

Ma’idah (Umar, M. S., 1970); “(ءا َم َّسلا َن ِ م اة َدِئآ َم اَنْيَلَع َلِ زَنُي نَأ َكُّبَر ُعيِطَت ْسَي ْلَه) adakah kuasa Tuhan engkau menurun atas kami akan hidangan daripada langit; yakni adakah engkau kuasa minta akan Tuhan engkau seperti setengah bacaan ( ُعي ِطَت ْسَت) dengan Ta’ Khitab kerana Hawariyyun ini mukminin sekalian, tiada syak pada kuasa Allah Ta’ala itu” .

Bacaan qiraat yang dimaksudkan oleh pengarang ialah menurut riwayat al-Kisa’I (Kharuf, 2002). Al-Dimyati (2001) menjelaskan bahawa beliau ialah al-Imam Ali bin Hamzah bin Abd Allah Abu al-Hasan, dilahirkan pada tahun 120 Hijrah dan mati pada tahun 189 Hijrah di zaman khalifah Harun al-Rashid. Pengarang menyatakan bahawa ayat tersebut tidak menunjukkan Hawariyyun iaitu pengikut Nabi Isa a.s yang beriman dengannya menaruh syak terhadap kekuasaan Allah SWT. Sebenarnya mereka meminta perkenan baginda supaya berdoa kepada Allah menurunkan sedikit makanan dari langit, lalu Allah perkenankan permintaan itu.

Pentafsiran ini terhasil berdasarkan qiraat yang diriwayatkan oleh al-Kisa’i yang membacanya dengan ( ُعي ِطَت ْسَت) pada ayat tersebut.

d) Tafsir Dengan Kisah-Kisah

Dalam mentafsirkan ayat-ayat al-Quran yang dikuatkan dengan kisah Nabi Muhammad s.a.w dan umat terdahulu, pengarang melakukannya dalam tiga keadaan iaitu memuatkan sesebuah kisah sehingga sampai ke penghujungnya seperti kisah Ashab al-Kahf, meringkaskan kisah yang telah diceritakan pada ayat terdahulu seperti kisah kafir Quraysh yang menentang Rasulullah, dan meringkaskan kisah yang akan dipanjangkan pada ayat yang akan datang seperti kisah Nabi Yahya a.s. Contohnya pengarang menceritakan kisah Nabi Yahya a.s secara ringkas yang berkaitan dengan ayat ke-7, surah al-Isra’ (Umar, M. S., 1970); “Maka sungguh berbuat fasid Bani Isra’il kedua kali dengan bunuh Nabi Yahya anak Nabi Zakariyya yang dibunuh dahulu itu, dan yang masyhur Nabi Yahya dibunuh dahulu daripada Zakariyya seperti lagi akan datang pada surah Maryam”.

Petikan tersebut menceritakan tentang Bani Isra’il yang banyak melakukan perkara mungkar kepada Allah SWT. Menurut pengarang, kemungkaran kali kedua ialah mereka telah membunuh Nabi Yahya a.s yang merupakan anak kepada Nabi Zakaria a.s. Menurut kisah yang masyhur dalam kalangan ulama tafsir, Nabi Yahya dibunuh oleh Bani Isra’il mendahului ayahnya iaitu Nabi Zakariyya dan kisah berkenaan dengan pembunuhan itu pengarang perincikannya pada surah Maryam pula.

e) Tafsir Dengan Kaedah Soal-Jawab

Kaedah soal-jawab dalam mentafsirkan ayat al-Quran sepertimana yang diaplikasi oleh Syeikh Muhammad Sa’id memainkan peranan penting dalam memberi kefahaman kepada pembaca.

Kaedah ini berupaya mengembangkan minda, pengetahuan dan kefahaman pembaca terhadap tafsiran yang dibuat kerana ia membangkitkan rasa ingin tahu pembaca seterusnya memberi tumpuan penuh terhadap apa yang akan disampaikan. Walaupun begitu, pengarang hanya mengaplikasi kaedah ini di 17 tempat sahaja di dalam karyanya. Sebagai contoh, pengarang mentafsirkan sebahagian ayat yang ke-9, surah al-Zumar (Umar, M. S., 1970); “Adakah mereka yang mendiri segala bagi taat Tuhannya pada segala masa malam hal sujud dan berdiri sembahyang semalaman kerana takut azab Akhirat dan harap rahmat Tuhannya syurga itu seperti mereka yang maksiat dengan kufur dan lainnya? Tiada bersamaan keduanya. Orang mukminin dalam syurga dan orang kafir dalam neraka”.

Menerusi petikan tersebut, pengarang mentafsirkan ayat berkenaan dalam bentuk soal-jawab di mana beliau mengutara satu persoalan mengenai persamaan antara orang yang mentaati

(8)

Allah SWT kerana takut akan azab yang tersedia di hari Akhirat di samping mengharapkan rahmat dan syurga Allah SWT dengan orang yang mengkufuri Allah. Setelah itu beliau menegaskan pula bahawa tiada persamaan di antara keduanya kerana orang yang beriman akan memperoleh syurga, sedangkan orang kafir akan dimasukkan ke dalam neraka. Oleh itu, pendedahan kajian mengenai kaedah pentafsiran menggunakan kaedah bahasa Arab, syair Arab, qiraat, kisah-kisah dan kaedah soal-jawab tersebut telah membuktikan bahawa Syeikh Muhammad Sa’id telah mengaplikasi al-Tafsir bi al-Ra’yi di dalam karya Tafsir Nur al-Ihsan ini.

3.3 al-Tafsir al-Mawdu’i

Menurut al-Dhahabi (1977), al-Tafsir al-Mawdu’i ialah pentafsiran yang dibuat berdasarkan tajuk-tajuk tertentu. Pentafsir meletakkan sebuah tajuk lalu beliau memuatkan ayat-ayat al- Quran berkaitan dengan tajuk itu seraya mentafsirkannya. Artikel ini memperlihatkan bahawa terdapat 314 tajuk yang terkandung di dalam Tafsir Nur al-Ihsan, termasuklah yang tidak disenaraikan pada isi kandungan karya. Pada jilid pertama terdapat 72 tajuk, jilid kedua 89 tajuk, jilid ketiga 68 tajuk dan jilid keempat 85 tajuk. Sebagai contoh, ketika mentafsirkan ayat 124 dari surah al-Baqarah, pengarang meletakkan tajuk terlebih dahulu iaitu “Percubaan Nabi Ibrahim dengan sepuluh perkara”. Setelah itu, pengarang akan menghuraikan perihal 10 perkara berkenaan sepertimana yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim a.s berdasarkan ayat-ayat al- Quran yang berkaitan dengannya (Umar, M. S., 1970).

3.4 al-Tafsir al-Sufi

Corak tafsir al-Sufi juga terlihat di dalam Tafsir Nur al-Ihsan di mana pengarang mengaplikasi corak tersebut apabila menepati ayat-ayat al-Quran yang bertepatan dengan ilmu kesufian. Al- Tafsir al-Sufi atau disebut juga sebagai al-Tafsir al-Ishari terjadi apabila pentafsir membahaskan maksud di sebalik ayat walaupun pada zahirnya tidak menunjukkan maksud tersebut (‘Itr, 1996). Corak pentafsiran al-Sufi telah berlaku pada zaman Baginda s.a.w di mana Abd Allah Ibn Abbas pernah memperaktikkannya dalam peristiwa kunjungan beliau bersama Saidina Umar melawat tentera-tentera Badar (al-Bukhari, 1979). Di dalam Tafsir Nur al-Ihsan pula, Syeikh Muhammad Sa’id mencatatkan (Umar, M. S., 1970): “Dan hendaklah lihat oleh tiap-tiap seorang apa amalan yang kebajikan yang ia telah dahulu akan dia bagi esok hari Kiamat daripada sembahyang fardu sunat dan puasa zakat fardu sunat dan zikir Allah, baca Quran, tasbih, takbir, tahlil, tahmid dan taubat dan kasih Allah dan takutnya dan muraqabah Allah dan dawam al-hudur; intai-intai Allah dengan mata hati dan berkekalan hadir hati pada Allah...” .

Petikan di atas menjelaskan bahawa setiap orang yang beriman seharusnya mengambil berat tentang amal kebaikan seperti mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, membaca al-Quran, bertasbih, bertakbir, bertahlil dan memohon keampunan dari Allah SWT, yang akan menjadi bekalannya di akhirat nanti. Pengarang menggunakan istilah muraqabah dan dawam al-hudur yang merupakan istilah yang digunakan dalam ilmu kesufian (al-Qusyairi, 2002). Al-Muraqabah bermaksud berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sebenar-benarnya dan salah satu caranya ialah mempercayai kewujudan hari Akhirat (al-Khan, 2003). Manakala dawam al-hudur pula ialah sentiasa mengingati Allah SWT dalam apa jua keadaan bahkan begitu asyik sehingga tidak menyedari apa yang berlaku di sekeliling (al- Ansari, 2000). Corak tafsir al-Sufi tersebut wujud di dalam Tafsir Nur al-Ihsan disebabkan pengarang terkesan dengan aliran tarekat yang diikuti olehnya iaitu tarekat al-Naqshabandi al- Ahmadi sepertimana yang telah dikhabarkan pada Khatimah karya (Umar, M. S., 1970).

(9)

3.5 al-Tafsir al-Fiqhi

Corak pentafsiran fiqh turut diaplikasi oleh Syeikh Muhammad Sa’id dalam karyanya. Hal ini disebabkan oleh peranan beliau yang merupakan seorang pegawai agama di Daerah Jitra Kedah yang disebut juga seorang mufti ketika Tafsir Nur al-Ihsan dihasilkan, yang demikian itu sudah semestinya memberi kesan kepada teks di dalam karya tersebut. Nur al-Din ‘Itr (1996) membahaskan bahawa corak pentafsiran al-fiqhi berlaku apabila pentafsir mengemukakan perbincangan mengenai permasalahan-permasalahan fiqah serta menyatakan perbezaan pendapat di antara imam-imam mazhab, corak inilah yang terdapat di dalam Tafsir Nur al- Ihsan. Ketika pengarang membahaskan persoalan fiqah, beliau meletakkan tajuk-tajuk kecil mengenai permasalahan yang ingin dibincangkan itu, seperti Bicara Haji, Hukum Qisas, Hukum al-Sawm, Hukum Bunuh, Hukum Zina dan Qadhaf. Contohnya, pengarang menyatakan permasalahan mengambil wuduk berkaitan dengan ayat ke-6, surah al-Ma’idah (Umar, M. S., 1970): “Wajib sapu sekalian kepala pada Imam Malik dan Imam Ahmad, wajib serubu’ pada Imam Abu Hanifah dan barang yang dinama sapu pada Imam Syafie”.

Berdasarkan petikan tersebut pengarang membahaskan mengenai menyapu kepala ketika mengambil wuduk di mana menurut pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad wajib;

membasuh sekalian kepala, manakala menurut Imam Abu Hanifah pula mengehadkan kepada basuhan ¼ bahagian kepala dan menurut Imam al-Syafie pula sudah memadai jika hanya menyapu kepala tanpa mengehadkan kepada sesuatu kawasan. Corak al-Tafsir al-Fiqhi yang terhasil di dalam karya Tafsir Nur al-Ihsan ini adalah disebabkan terpengaruh dengan latar belakang pengarang yang berperanan sebagai seorang pegawai agama daerah yang juga disebut seorang mufti ketika itu.

3.6 al-Tafsir al-‘Ilmi

Artikel juga turut memperlihatkan kewujudan corak al-Tafsir al-‘Ilmi dalam Tafsir Nur al- Ihsan. al-Tafsir al-‘Ilmi bermaksud pentafsiran yang menyentuh persoalan sains ketika mentafsikan sesuatu ayat al-Quran (al-Dhahabi, 1977). Kajian mendapati bahawa pengarang mengaplikasi corak tafsir ini pada lima tempat iaitu pada jilid kedua, halaman 180, 205 dan 289, jilid ketiga, halaman 150 dan jilid keempat, halaman 269. Sebagai contoh kewujudan corak al-Tafsir al-‘Ilmi, pengarang mentafsirkan sebahagian ayat ke-16, surah al-Hijr (Umar, M. S., 1970): “Dan sungguh telah Kami jadi pada langit beberapa buruj 12; Hamal, dan Thawr dan Jawza’ dan Saratan dan Asad dan Sumbulah dan Mizan dan ‘Aqrab dan Qaws dan Jady dan Dalw dan Hut. Maka sekalian perjalanan bintang tujuh; pertama Marikh baginya Hamal dan ‘Aqrab, kedua Zuhrah baginya Thawr dan Mizan, ketiga ‘Utarid baginya Jawza’ dan Sunbulah, keempat Qamar baginya Saratan, kelima Shams baginya Asad, keenam Musytari baginya Qaws dan Hut, ketujuh Zuhal baginya Jady dan Dalw”.

Berdasarkan petikan tersebut menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan di langit ini 12 bintang yang diistilahkan sebagai Hamal, Thawr, Jawza’, Saratan, Asad, Sumbulah, Mizan,

Aqrab, Qaws, Jady, Dalw dan Hut. 12 bintang itu pula berada pada tujuh paksi iaitu Hamal dan ‘Aqrab berada pada paksi Marikh, Thawr dan Mizan pada paksi Zuhrah, Jawza’ dan Sunbulah pada paksi ‘Utarid, Saratan pada paksi Qamar, Asad pada paksi Shams, Qaws dan Hut pada paksi Musytari dan Jady serta Dalw pula pada paksi Zuhal. Pernyataan ini dikuatkan oleh Yusuf (2003) di dalam karyanya berjudul Mawsu’at al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Qur’an wa al- Sunnat al-Mutahharah bahawa al-Buruj merupakan salah satu perbahasan mengenai ilmu sains yang terdapat di dalam al-Quran . Istilah-istilah sains yang telah digunakan oleh pengarang sebegini menunjukkan bahawa beliau banyak menguasai ilmu pengetahuan sehingga menjangkau ilmu sains yang turut terkesan dalam penulisannya.

(10)

4. Kesimpulan

Institusi pengajian pondok yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan telah menyumbang kepada penyebaran ilmu Islam khususnya di negeri Kedah Darul Aman. Penyebaran ini turut dirasai oleh Syeikh Muhammad Sa’id di mana beliau telah mendapat didikan awal dari ayahnya sendiri sebelum menjejak kaki ke Patani dan seterusnya ke Mekah al-Mukarramah. Di sana beliau telah melalui pelbagai pengalaman dalam menuntut ilmu di samping mengembara dan melawati banyak tempat bersejarah. Setelah beberapa ketika di sana beliau pulang ke tanah air untuk mencurah bakti kepada nusa dan bangsanya. Salah satu sumbangan yang telah beliau berikan ialah menghasilkan sebuah karya dalam bidang tafsir al-Quran berjudul Tafsir Nur al- Ihsan.

Tafsir Nur al-Ihsan yang dikarang di dalam bahasa Melayu dialek Kedah dan menggunakan tulisan Jawi merupakan karya tafsir lengkap 30 juzuk al-Quran yang kedua dihasilkan di Alam Melayu selepas Tarjuman al-Mustafid yang dikarang oleh Syeikh Abdul Rauf al-Singkeli, seorang ulama Acheh Darul Salam. Tafsir Nur al-Ihsan dihasilkan dalam empat jilid, terangkum di dalamnya perbahasan mengenai sebab nuzul ayat, kisah-kisah al-Isra’iliyyat, ayat al-Mutashabihat, ayat al-Nasikh al-Mansukh, al-Qasas dan juga qiraat walaupun hanya sekali disentuh oleh pengarang di samping menggunakan bahasa dan uslub yang mudah difahami oleh masyarakat yang merujuknya. Selain itu, beliau juga telah mengaplikasi enam kaedah pentafsiran merangkumi al-Tafsir bi al-Ma’thur, al-Tafsir bi al-Ra’yi, al-Tafsir al-Mawdu’i, al-Tafsir al-Sufi, al-Tafsir al-Fiqhi dan al-Tafsir al-‘Ilmi.

Rujukan

Abdul Rahman, A. R. (2010) “Mengenali Tuan Haji Saaid Mufti Ulama Tersohor di Alam Melayu”, dalam Seminar Ulama Melayu. Shah Alam: Dewan Seminar, Masjid Sultan Abdul Aziz Shah.

‘Itr, N. D. (1996) ‘Ulum al-Qur’an al-Karim. Dimashq: Dar al-Subl.

al-Ansari, Z. M. (2000). Nata’ij al-Afkar al-Qudsiyyah. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Bukhari, M. I. (1979) Sahih al-Bukhari. al-Qahirah: Maktabah al-Salafiyyah.

al-Daqar, A. G. (2001) Mu’jam al-Qawa’id al-Arabiyyah fi al-Nahw wa al-Tasrif. Dimashq:

Dar al-Qalam.

Al-Dhahabi, M. H. (1977). ‘Ilm al-Tafsir. Al-Qahirah: Dar al-Ma’arif.

Al-Dhahabi, M. H. (2000). Al-Tafsir wa al-Mufassirun. Beirut: Dar al-Yusuf.

al-Dimyati, M. M. (2001) Ittihaf Fudala’ al-Basyar fi al-Qira’at al-Arba’at ‘Asyar. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

al-Hakim, M. A. A. (1997) Al-Mustadrak ‘Ala al-Sahihayn. Al-Qahirah: Dar al-Haramayn li al-Taba’ah wa al-Nashr wa al-Tawzi’.

al-Khan, M. S. (2003). Al-‘Aqidat al-Islamiyyah. Beirut: Dar al-Kalim al-Tayyib.

al-Qattan, M. (2000). Mabahith fi Ulum al-Qur’an. Bayrut: Mu’assasat al-Risalah.

al-Qushayri, A. K. H. (2002) al-Risalat al-Qusyayriyyah. Dimashq: Dar al-Farfur.

Asmad. (1987). Kedah. Melaka: Associated Educational Distributor (M) Sdn. Bhd.

Kharuf, M. F. (2002) al-Muyassar fi al-Qira’at al-Arba’a ‘Asyarah, Beirut: Dar al-Kalim al- Tayyib.

Mat Taib, M. I. (2003) Israiliyyat Dalam Tafsir: Kajian Terhadap Kitab Nur al-Ihsan, Karya Haji Muhammad Sa’id bin Umar. Disertasi Sarjana Pengajian Islam. Universiti Malaya.

Othman, A. R. (2012) “Tafsir Nur al-Ihsan: Satu Pengenalan”. Temu bual. 07 Julai.

Umar, M. S. (1970). Tafsir Nur al-Ihsan. Fatani: Matba’ah Bin Halabi.

Yusuf, A. (2003) Mawsu’at al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Qur’an wa al-Sunnat al-Mutahharah.

(11)

Dimashq: Maktabah Dar Ibn Hajar.

Yusuff, M. S. S. (2014). “Tafsir Nur al-Ihsan oleh Syeikh Muhammad Said Umar: Satu Kajian Bandingan”, Tesis Doktor Falsafah yang tidak diterbitkan, Universiti Sains Malaysia.

Yusuff, M. S. S. (2020). Tafsir Nur al-Ihsan Edisi Tahkik dan Ta’liq. Kajang: Akademi Jawi Malaysia.

Zaim, M. N. (2010) Kajian Takhrij Hadith Dalam Tafsir Nur Al-Ihsan. Disertasi Sarjana Sastera. Universiti Sains Malaysia.

Referensi

Dokumen terkait

Contohnya, kertas kerja bertajuk “Aplikasi Ilmu Takhrij Dalam Kitab Tafsir Melayu: Tinjauan Awal Terhadap Surah Al-Baqarah, Kitab Tafsir Nur Al-Ihsan Oleh Al-Shaykh Muhammad

Dalam surat al-Rah{ma>n ayat 27 penafsiran Syeikh al-’Uthaimin yang berkaitan dengan ayat-ayat tajsi>m dan tashbi>h, baik itu di karya tafsir atau pun non

asy-syari > ’ah ada ayat Al-Quran sebagai obyek penelitian. Ayat Al-Quran disejajarkan dengan teks dalam tradisi hermeneutis. Pada disiplin ilmu tafsir, ada penerima

Secara umum, kajian ini bertujuan untuk mengkaji ayat-ayat berhubung penjagaan alam sekitar yang terdapat dalam al-Quran. Secara khususnya, kajian ini bertujuan untuk

Dalam tafsir ini, beliau cukup memberi perhatian kepada ayat-ayat al-quran yang berkaitan dengan al-kawniyyah atau perkembangan alam tabii sebagai cara menguatkan

Taburan ayat al-Quran berkaitan dengan bintang pada jadual 4 di atas, dari 13 ayat kesemuanya didapati empat jilid mengandungi satu ayat al-Quran iaitu jilid 3, 4, 6 dan 1.

Surah al-Baqarah: Ayat 219 Menerusi kajian ini, penulis telah meneliti bahawa Hamka telah mengaplikasikan maqasid syariah ketika mentafsirkan ayat tersebut dengan menyentuh aspek

oleh itu, berilah peringatan Dengan Al-Quran ini kepada orang Yang takutkan janji azab Ku.” Dengan meletakkan Surah Taha ayat 2-4 pada permulaan kitab menunjukkan bahawa Syeikh